Terima Kasih Pak Lah!
Syukur… Alhamdulillah… Rasanya tidak ada lafaz lain yang lebih sesuai disebut selain lafaz tersebut bersama ucapan ‘Terima kasih Pak Lah’ sebaik pengumuman berhubung dengan Perkara 121(1)(A) yang hangat diperkatakan baru² ini. Perdana Menteri semalam menyebut bahawa peruntukan ini tidak perlu diubah-suai. Lebih dari itu, tindakan ‘Menteri² Durhaka’ tersebut menarik balik memorandum mereka juga amat² dihargai.
Nampaknya agama Islam masih selamat sebagai agama rasmi, walaupun tidak diamalkan secara kaffah di bumi Malaysia ini. Sekurang²nya kita kurang sedikit kebimbangan dalam hati kita akan masa depan anak² kita nanti. Cuma apa yang dibimbangkan, perkara ini akan berbangkit semula. Seperti penyakit kudis. Mungkin boleh baik jika dibubuh ubat, tetapi silap sedikit, kemungkinan akan membiak semula.
Sebenarnya saya sedikit tertawa melihat latahan para menteri yang mengutuk perihal penghantaran memorandum ini. Jika sebelum ini mereka dilihat sebagai kaku beku, dan bisu ketika hal ini dibincangkan oleh pelbagai peringkat masyarakat, namun secara tiba² mereka cuba berlagak hero sebaik Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan beliau. Secara tiba² semuanya mengutuk tindakan 9 orang menteri kabinet bukan Islam.
Sama ada mereka benar² sensitif dengan isu ini atau sekadar ‘menyokong’ kenyataan Perdana Menteri, tidak dapat dipastikan. Biarkanlah mereka. Apa yang penting bagi kita adalah untuk mengelak insiden yang memalukan dan menyakitkan hati seperti ini berulang lagi. Bukan apa, saya bimbang jika ia ditolak oleh PM hari ini, apakah mungkin ia akan ditolak juga oleh PM yang akan datang?
Jika para jemaah menteri dan Ahli Parlimen Melayu kita yang sepatutnya Islam hanya bersikap menunggu keputusan PM terlebih dahulu sebelum memberi komen, rasanya kedudukan agama kesayangan kita ini masih belum selamat. Kemungkinan kesucian Islam untuk dirogol bergilir² sekali lagi masih ada. Untuk itu, satu (atau lebih) langkah yang lebih drastik dan efektif perlu diambil.
Sudah masanya untuk kita orang² Islam di negara ini bersatu. Pas, Umno, Abim dan badan² NGO Islam yang lain perlu menggembleng tenaga untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas lagi mengenai Islam kepada bukan Islam. Supaya selepas ini, tidak lagi muncul sebarang usaha dari mereka untuk membenamkan agama yang kita anuti, yang kita laungkan sebagai kita sayangi ini.
Orang² kafir di negara kita semakin lama semakin terkeliru dengan agama kita. Ditambah lagi dengan melihat perbuatan orang Islam sendiri yang melampaui kekufuran orang² kafir. Dalam keadaan kita yang semakin jauh dari pegangan Islam, bagaimana mungkin kita mampu membuat mereka hormat apatah lagi merasa kagum dengan agama kita. Perkara ini pernah Nabi saw sebutkan dalam sepotong hadits;
“Umat² yang lain akan beramai² berhimpun mengelilingi kamu laksana mereka mengelilingi hidangan (memakan / meratah).” Dan bertanyalah seorang yang ada: “Adakah kerana jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?” Sabda Rasulullah saw: “Tidak! Sebenarnya kamu (umat Islam) ramai, tetapi laksana banyaknya buih dalam air banjir (sehingga dihanyutkan). Allah mencabut kehebatan kamu yang dirasa di dalam diri musuh kamu, dan Allah melontarkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan.” Dan bertanya pula seorang yang ada: “Apakah dia al-wahan itu wahai Rasulullah?” Sabda Rasulullah saw: “Kasihkan dunia dan bencikan mati”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Jelas, inilah yang telah menimpakan kita. Penyakit al-wahan. Kerana penyakit inilah, orang² kafir telah hilang rasa kagum terhadap kita. Dan kerana penyakit inilah mereka dengan beraninya telah meminta undang² berkaitan agama kita diubah, sesuai dengan pemahaman mereka. Maka jika diperhalusi, telah jelas dan nyata kejadian ini adalah kerana kita sendiri. Seolah² kita yang menjadi punca kebiadaban mereka itu.
Untuk membuang penyakit al-wahan ini bukanlah kerja sehari. Ia kerja yang memakan masa bertahun² lamanya. Namun, apakah kita benar² serius dalam hendak mengikis penyakit ini dari terus berkembang biak di dalam iman kita? Jika ya, kita perlu lakukan sesuatu. Dan satu²nya cara untuk menyekat pembiakan virus wahan ini hanyalah dengan kembali kepada ajaranNya.
Kita perlu memulakan kelas² bimbingan agama, bukan sahaja di surau², madrasah² atau masjid², sebaliknya kita perlu memasukkan di dalam silabus matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah² dengan kadar segera. Dan ianya tidak boleh hanya menekankan kepada persoalan sekitar ibadah sahaja. Sebaliknya perlu ada penekanan dalam konsep syariah yang sebenarnya. Seperti mana yang diamalkan oleh Nabi saw dan para sahabat.
Semoga dengan ini, akan mampu mengislahkan umat Islam di negara kita, sekaligus mengundang semula rasa kagum kepada kehebatan kita kepada orang² yang kafir. Dengan lahirnya rasa kekaguman terhadap Islam, maka di ketika itu insyaAllah tidak akan wujud lagi kemungkinan jemaah menteri yang bukan Islam mengemukakan memorandum bantahan terhadap undang² syariah kita.
Tindakan para menteri menarik balik memorandum itu satu langkah yang dihargai. Akan tetapi, luka yang telah tercalar bukan mudah untuk dirawati. Lebih² lagi setelah mendengar tuduhan mereka bahawa undang² syariah kita memberi kesan kepada yang bukan Islam. Atau dalam bahasa lebih jelas, bersikap tidak adil kepada bukan Islam. Tentu saja kita tidak mampu memaafkan mereka begitu sahaja. Tetapi renungkanlah sebentar maksud ayat ini:
Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Quran Surah al-Baqarah 2:109)
Jadi buat sementara ini, memadailah dengan memaafkan mereka. Dan sama²lah kita berdoa semoga perkara ini tidak berulang lagi. Namun, jika ditaqdirkan terjadi lagi perkara seperti ini, adakah masih wajar untuk kita berdiam diri? Fikirkanlah…
No comments:
Post a Comment