Sedih Dan Gembira Hari Ini
Masuk hari ini, sudah hampir seminggu saya demam. Suhu badan yang turun naik, sakit² di seluruh sendi², selsema, batuk dan lemah² badan menyebabkan kebanyakan aktiviti yang saya rancangkan tergendala. Apa boleh saya buat? Kesihatan kita semuanya adalah atas ketentuan Yang Maha Esa. Ikutkan hati, terasa bagai hendak mengeluh sahaja.
Tetapi kemudian saya terasa malu sendiri. Sebenarnya, apabila dihitung semula. Rasanya sudah lebih 5 tahun saya tidak dilanda sakit yang sebegini kuat. Dalam 5 tahun sebelum ini, kesihatan saya cukup baik. Paling teruk pun, hanya batuk² beberapa hari. Tidak perlu ke klinik, esok lusa pasti sembuh sendiri. Jadi jika kerana sakit yang beberapa hari ini saya hendak sedihkan, tentu sahaja tidak wajar.
Kemudian saya teringat. Memang beginilah sifat manusia. Kesemua manusia sentiasa inginkan yang terbaik. Bukan untuk satu ketika, tetapi jika boleh hendak setiap masa. Selama²nya. Seperti seseorang yang dikurniakan kerjaya yang mantap, ekonomi yang kukuh dan pasangan yang baik. Tetapi jika tidak dikurniakan cahaya mata, maka satu kesedihan itu menutup segala kebaikan yang pernah dialaminya.
Kerana memang sudah menjadi kebiasaan kita untuk menumpukan perhatian kita kepada masalah. Jadi jika terjadi sesuatu masalah, kita lupakan segala yang ada. Sedang kita tidak sedar, disebabkan penumpuan yang melampau terhadap masalah itu akhirnya akan mengundang kerugian kepada perkara² yang lain. Hingga kita hilang nikmat yang sedia ada yang mungkin lebih besar.
Sepertinya contoh tadi, seorang yang mempunyai segalanya kecuali cahaya mata. Jika dia terlalu sibuk meratapi nasibnya yang tidak berpewaris, akhirnya dia mencari pasangan yang lain. Kononnya untuk mendapatkan anak. Tanpa dia menyedari bahawa perbuatannya itu akhirnya menyebabkan dia kehilangan seorang pasangan hidup yang selama ini jujur dan ikhlas berbakti kepadanya.
Begitu juga terdapat segelintir orang yang cuba lari dari masalah. Bukan cuba menyelesaikan sebaliknya meninggalkan bebanan fikirannya jauh² dengan mungkin, mencari hiburan di kelab² malam, minum arak atau mungkin dengan menagih dadah. Tanpa sebenarnya dia menyedari bahawa dia telah meninggalkan kebahagiaan yang lain. Paling penting, dia telah meninggalkan iman.
Maka kerana itu adalah penting untuk bersifat sabar dalam segala menhadapi segala bentuk masalah mahupun dugaan. Kerana tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaiannya. Kerana setiap masalah itu datangnya dari Allah swt, maka apakah salahnya untuk kita bermohon kepadaNya untuk menyelesaikan masalah kita? Bukankah Allah yang berkuasa atas segala²nya?
Seperti saya yang sedang tidak sihat ini. Kerana ingin pulih, saya segera pergi ke Klinik A. Lalu saya diberikan ubat selsema, ubat bantuk, antibiotik dan berbagai² jenis pil lagi yang didatangkan dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna. Kemudian setelah beberapa hari menelan ubat² tersebut, sakit saya masih tidak berkurangan malah makin bertambah.
Lalu saya pergi pula ke klinik yang lain, katakan Klinik B. Dan tiba², setelah dua kali makan ubat dari kilnik itu, penyakit saya mula menampakkan tanda² untuk sembuh. Lalu saya pun katakan bahawa di Klinik B, doktor dan ubatnya bagus manakala Klinik A ubatnya tidak bagus dan doktornya kerja main² sahaja. Bolehkah begitu? Sebenarnya, yang menyembuhkan penyakit ini doktor, ubat atau Allah swt semata²?
Teringat saya kepada seorang kenalan. Dia ini, apabila dilanda musibah, panyakit misalnya, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah bersolah 2 rakaat dan kemudian berdoa meminta Allah menyembuhkan penyakitnya, jika itu yang terbaik untuknya. Jika ditanya kenapa tidak ke klinik, katanya memang boleh baik makan ubat tetapi iman kita tidak dapat apa².
Maksudnya, apabila dia bersolah 2 rakaat, meminta Allah menyembuhkan penyakitnya dan kemudian ditaqdirkan penyakitnya benar² sembuh, maka pohon keimanan di dalam dadanya mula berbuah dengan lebat dan semua buahnya masak dengan ranum. Atau dengan ayat yang lebih mudah, dia dapat rasakan pertambahan iman yang besar di dalam jiwanya.
Tetapi bukanlah saya katakan jika anda sakit tidak perlu berjumpa dengan doktor. Tidak ada salahnya berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubat. Malah itu termasuk sebagai sebahagian dari usaha juga. Hanya, janganlah sampai beranggapan bahawa ubat dan doktor yang menyembuhkan sesuatu penyakit itu. Kerana semuanya adalah di bawah kawalan Allah swt, Tuhan Pentadbir Alam.
Dan apa yang lebih penting di sini, dengan sedikit kedukaan atau kehampaan, janganlah dijadikan alasan untuk menafikan kesemua nikmat yang pernah kita alami. Seperti orang yang kecewa di dalam perkahwinan, janganlah dikesalkan kerana dikurniakan dengan pasangan yang salah, sebaliknya bersyukurlah kerana dikurniakan dengan anak² yang soleh dan solehah.
Jelas, walaupun perkahwinan tadi dari satu segi memberikannya derita, tetapi dari satu segi yang lain ia menjadikannya seorang yang beruntung. Jadi sesuatu perkara yang Allah ciptakan biasanya mempunyai mudharat dan manfaatnya dalam satu masa. Jika kita hanya menumpukan fokus kita kepada mudharatnya semata², maka jadilah kita orang² yang kufur, iaitu orang² yang tidak mensyukuri nimat yang hadir bersamanya.
Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". (Quran Surah al-A’raaf 7:188)
Tidak ada sesiapa di dunia ini, meski Nabi Muhammad saw sendiripun yang mengetahui apa yang akan terjadi esok. Kesedihan hari ini bukan membayangkan kesedihan hari esok dan selama²nya. Siapa tahu air mata yang kita titiskan hari ini akan membuahkan senyuman manis sebaik bangkit pada pagi hari esok? Maka janganlah disedihkan apa saja yang berlaku pada hari ini. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani…
No comments:
Post a Comment