03 January 2006

Sting Garden (Setinggan)

Rasa tertarik pula apabila membaca akhbar Harian Metro semalam (2 Januari 2006) di seksyen Bintang. Bukanlah tertarik dengan gossip atau gambar2 artis2 seksi sebaliknya tertarik kepada berita berkenaan seorang artis (pelakon / penyanyi) yang bernama Safura. Artikel itu bercerita berkenaan rumah ibu bapanya di Kampung Batu 8, Hulu Kelang yang nyaris dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Rumah itu dikatakan telah terdiri selama 40 tahun. Iaitu sebelum dia dilahirkan lagi (mengikut petikan itu Safura berumur 33 tahun). Terselit gambar yang memaparkan kesedihan pada wajah Safura. Manakan tidak, di situlah rumahnya dia dilahirkan, dibesarkan, diijabkabul dan dan bermacam2 memori indah lagi. Kata orang tua2, tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat membesar.

Disebut juga kononnya MPAJ ada menyediakan rumah gantian. Malangnya rumah itu masih belum siap dibina. MPAJ kemudiannya menyediakan penempatan sementara yang mana, kucinya diberikan 2 hari sebelum kejadian cubaan meroboh itu berlaku. Dan harga rumah gantian yang asalnya dikhabarkan RM25k tiba2 dinaikkan menjadi RM35k. Hm… Terbit juga rasa simpati di dalam hati saya mengenangkan kes Safura ini.

Betapa tidak, saya sendiri seorang warga setinggan. Malah sehingga hari ini saya masih lagi tinggal di rumah setinggan kebanggaan saya ini. Jika hendak diikutkan, tanah ini bukanlah benar2 setinggan kerana kami perlu membayar sejenis bayaran (seperti sewaan) dalam jumlah tertentu setiap tahun. Kononnya jika engkar, maka kami tidak akan diberikan rumah gantian apabila rumah kami ini dirobohkan.

Hina sangatkah setinggan ini? Manakah yang lebih hina? Seorang pemimpin yang rasuah atau satu keluarga yang miskin yang membina rumah di atas tanah kerajaan (hakikatnya semua tanah milik Allah)? Suatu ketika dahulu pernah disebut2 rumah2 setinggan yang di luarnya buruk tetapi di dalamnya bagaikan kondominium. Ada juga diceritakan bahawa beberapa pemilik setinggan yang ada mempunyai rumah di tempat lain.

Begini, biarlah saya jelaskan. Sewaktu kami berpindah di rumah ini pada tahun 1981 dahulu, ayah bekerja sebagai buruh kapal. Dengan waktu kerja yang tidak menentu, kadangkala berbulan tidak pulang2 dan kadangkala berbulan tidak bekerja, menafikan hak kami untuk memiliki sebuah ‘rumah halal’. Sebelumnya kami menyewa di Kampung Belantik tetapi diminta keluar setelah anak tuan rumah berkahwin.

Maka ayah pun beli rumah ini dengar harga RM2k. Punyalah cantik rumah ini ketika kami beli, tak ubah macam reban kambing, bak kata arwah nenek tiri saya. Ketika itu hidup kami memang susah. Jangankan nak beli rumah atau kereta, hendak makan pun kadang2 tak berlauk. Nasi goreng dari pagi hingga malam. Tapi syukurlah kami tidak perlu makan siput babi. Dan ayah juga bukan jenis duduk diam ketika tidak ada projek.

Kawasan ini juga belum maju. Jalan yang bertar cukup sedikit. Yang banyaknya jalan tanah merah, yang lebarnya cukup setakat tayar motorsikal melaluinya. Talian telefon, elektrik dan bekalan air bersih janganlah disebut. Walau bagaimanapun kami tetap gembira kerana inilah saja rumah yang kami mampu miliki. Dari merempat tak tentu hala, baiklah kami jumpa reban kambing ini.

Tetapi itu dulu. Kemudian, perlahan2 ayah renovasi rumah kami. Dari rumah panggung, akhirnya lantai kami ‘jejak ke tanah’. Keadaan bertambah baik apabila kakak2 dan abang2 saya mula bekerja dan berkahwin kemudiannya. Setelah saya tamat pengajian dan bekerja, saya minta ayah berehat dan saya mengambil alih tanggungjawab di dalam rumah. Perlahan2, status kemiskinan pergi meninggalkan kami. Alhamdulillah…

Jadi sekarang, jika anda ke rumah kami, anda akan lihat 2 buah kereta, dish Astro, tv, set home theatre dan bermacam2 lagi aksesori mewah. Bukan niat hendak berlagak atau apa, tapi setelah saya ceritakan semuanya, apakah anda rasa adil jika hendak dikatakan bahawa pemilik rumah setinggan kaya2 belaka? Sedangkan ketika kami tersiksa kemiskinan dahulu, tidak pernah pun diperbesarkan di media2 cetak dan elektronik.

Memang saya telah membeli rumah. Harga rumah itu lebih 5 kali ganda dari harga rumah yang disediakan oleh kerajaan sebagai rumah gantian. Walaupun rumah ini nanti akan jauh lebih baik dari rumah sedia ada (insyaAllah), tetapi ada satu perkara yang tidak mampu diadakan oleh rumah baru itu. Apa dia? Segala nostalgia kami anak beranak yang tinggal di sini sejak hampir 25 tahun yang lalu.

Inilah rumahnya yang menyaksikan keenam2 adik beradik saya termasuk saya sendiri membesar hingga mendirikan rumah tangga. Inilah rumahnya di mana kesemua 15 cucu ayah dan ibu saya mula bertatih dan belajar berjalan. Ini juga rumahnya yang membuktikan kemesraan kami anak beranak termasuk ipar duai saya. Apakah boleh dibuang begitu sahaja memori yang indah sebegini?

Entah apa salahnya jika rumah ini diberikan terus kepada kami. Jika diletakkan harga sehingga RM200k pun saya sanggup membelinya. Kerana saya begitu sayangkan rumah ini. Sedangkan segala2nya telah ada disediakan di sini. Bekalan air, elektrik, pili bomba, sistem perparitan dan berbagai2 lagi kemudahan infrastruktur yang menunjukkan seolah2 rumah kami bukan lagi ditarafkan sebagai setinggan.

Ya, mungkin kerana Kg. Stulang Baru ini terletak begitu hampir dengan pusat bandaraya maka sudah semestinya keburukan rumah kebanyakan dari kami menyakitkan mata pemimpin2 yang kebanyakannya memiliki rumah laksana istana. Atau mungkin kerana tanah ini begitu berharga dan boleh didirikan bangunan2 besar atau rumah2 mewah yang kemudiannya boleh dijualkan kepada bangsa asing kerana penduduk asal tidak berkemampuan? Atau kerana apa ya?

Memanglah ada disediakan rumah gantian. Rumah flat 4 tingkat yang tidak berlif dan protokol untuk memilikinya begitu perit seolah2 kerajaan terpaksa memberinya, bukan dengn ikhlas dan niat hendak membantu. Dalam pembahagian kedudukan rumah juga berlaku penyelewengan. Mengapa tidak diadakan undian? Sebaliknya pemimpin2 politik di sini bebas meletakkan nama orang sesuka hati mereka.

Hinggakan ibu bapa saya dan jiran saya yang tua dan memang diketahui tidak sihat diberikan rumah di tingkat 3 dan 4 sedangkan kawan2 mereka yang masih muda dan sihat wal afiat diletakkan di tingkat 1 & 2. Apakah ini yang dinamakan ‘Tradisi Membela Rakyat”? Usah ditanyakan betapa kecewanya kami, saya, keluarga saya, jiran2 saya dan mereka2 yang tidak berkroni dengan pemimpin tempatan di sini.

Hina sangatkah setinggan ini hingga hendak dihapuskan terus dalam tahun 2006 ini? Sedangkan pengamal2 rasuah dan penyeleweng wang rakyat dan PPRT terus dibiarkan bebas bahkan dibela? Apakah mereka tidak tahu atau saja2 buat tidak tahu ramai anak2 setinggan yang menjawat jawatan2 penting sama ada dalam sektor swasta mahupun kerajaan? Apakah mereka begitu pasti setinggan ini sarang penagih dadah?

Seorang teman saya, seorang pengurus, juga anak setinggan pernah merungut. Katanya, kita dibuat seperti bola. Seolah2 tidak pernah menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara. Sedangkan para pemimpin lupa bahawa jika tidak kerana setinggan di JB ini, Umno mungkin telah berkubur ketika diharamkan pada tahun 1987 dulu. Jka tidak kerana setinggan yang huduh ini, Kg. Stulang Baru tentu masih diselubungi belukar hingga kini.

Saya pasti akan tetap dihalau dari kampung ini sama ada saya tulis atau tidak artikel ini. Dan berdasarkan pengalaman lepas, jika saya menulis sesuatu yang menghentam dasar kerajaan saya pasti akan menerima email2 cacian. Tapi tidak mengapa. Artikel ini bukan untuk mengubah apa2 keputusan kerajaan. Artikel ini sekadar meluahkan sedikit dari senarai panjang kekecewaan saya sebagai anak Malaysia yang berstatus bumiputera.

Ini bukan bermotif politik. Bukan juga menghasut. Sekadar menceritakan kebenaran. Anda yang bukan warga setinggan mungkin tidak mengerti hati dan masalah kami. Tidak mengapa asalkan jangan terus2an menghina kami tanpa menyedari kisah yang sebenarnya…

2 comments:

Anonymous said...

Kita senasib. janganlah marah sangat. sampai keluar api akak tengok.

Blogger said...

Pak Ngah nak hantar posting artikel ni ke Kelatedaily.net dan tranungkite.net...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.