29 January 2006

Hijrah Dan Da'wah


InsyaAllah, Maghrib esok (30 Januari 2006) kita akan menyambut kedatangan 1 Muharram yang menandakan bermulanya satu tahun lagi kiraan hijriah. Seperti yang telah diketahui umum, tahun hijriah ini mula digunapakai dalam zaman pemerintahan Saiyidina Umar al-Khattab ra dengan mengambil kira tahun penghijrahan Baginda Nabi Muhammad saw sebagai tahun bermulanya kiraan.

Penghijrahan Nabi saw dari kota Makkah ke kota Madinah adalah kerana penentangan oleh penduduk kota Makkah, yang ketika itu majoritinya penyembah berhala, terhadap ajaran yang Baginda saw bawa. Namun begitu, bukanlah bererti Baginda saw melarikan diri atau berputus asa terhadap da’wah ke atas musyrikin Makkah. Sebaliknya penghijrahan itu sebagai salah satu usaha da’wah yang lebih besar.

Namun penghijrahan ke Madinah bukanlah perkara yang tidak dirancang. Sebelum Baginda saw merancang untuk meninggalkan Makkah, Baginda saw telah terlebih pergi ke Thaif, atas usaha iman dengan harapan penerimaan penduduk Thaif terhadap Baginda adalah lebih baik. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Baginda bukan setakat dihalau, malah telah dihina, dicaci bahkan dicederakan oleh orang di sana.

Ini adalah kerana penduduk Makkah telah terlebih dahulu mengetahui mengenai rancangan Baginda saw dan telah menyebarkan fitnah agar penduduk Thaif turut membenci Baginda Nabi saw. Baginda saw telah dibaling dengan batu sehinggakan darah bertakung di dalam kasut Baginda. Sehinggakan Jibrail yang sepatutnya tidak berperasaan turut bersimpati melihat kesusahan Baginda saw.

Menurut riwayat, Jibrail telah turun menghadap Nabi saw meminta Baginda saw berdoa agar diturunkan bala terhadap kaum Thaif yang kufur itu. Namun Baginda saw merupakan seorang yang cukup positif. Baginda saw menolak dengan alasan, biarpun penduduk Thaif hari ini menolak Baginda, apa yang Baginda harapkan adalah anak² mereka nanti akan beriman pada hari esok.

Ini adalah sebuah contoh perjuangan yang diperjuangkan atas nama iman yang tulen, yang kental dan disertai dengan keyakinan yang tebal. Baginda relakan tubuh Baginda yang suci lagi mulia bermandikan darah dalam menegakkan kalimah ‘Laailaha illAllah’. Jangankan hendak berputus asa, bahkan menaruh dendam juga tidak. Inilah sifat terpuji yang membawa kepada iman di dalam jiwa kita hari ini.

Ini kerana, sifat ini turut diwarisi oleh orang² yang mempercayai Baginda dan diteruskan zaman berzaman. Maka jadilah agama Islam sebagai agama yang terbesar dan paling ramai penganutnya di dunia hari ini. Sekarang, sebagai orang yang hanya perlu meneruskan sisa² perjuangan Nabi saw dan para sohabat serta pengikut² sohabat, apakah kita telah benar² menjalankan tugas kita?

Hari ini, kerana kesusahan yang sedikit, kita telah menolak tugas da’wah. Atas alasan yang berbentuk duniawi, kita memperlekehkan tugas² da’wah. Lebih dari itu, kita mengutuk, menghina bahkan menghalang mereka yang berjalan atas nama da’wah. Maka apakah masih wajar kita berbangga sebagai orang yang mengaku Islam? Sedangkan iman tidak akan tertegak di dalam hati kita tanpa usaha yang sebegitu.

Cuba bayangkan, setelah kewafatan Nabi saw, para sohabat dan para pengikut mereka telah mengabaikan tugas sebagai penyampai ini. Maka apakah agama kita pada hari ini? Dapatkah kita bayangkan hari ini kita masih menari mengelilingi pokok meminta semangat pokok itu menyelamatkan kita? Atau menyanyi di hadapan patung yang mempunyai banyak tangan atau berteleku di hadapan patung lelaki yang disalib?

Namun syukur Allah telah menyelamatkan kita dengan mengirimkan mubaligh² yang ikhlas untuk membentuk kepercayaan kita terhadap rukun iman yang enam dan beramal dengan rukun Islam yang lima. Akan tetapi, tidakkah kita merasa simpati pula terhadap mereka yang hari ini masih memuja patung berwajah gajah atau percaya bahawa Allah itu mempunyai anak?

Peristiwa hijrah membawa pelbagai makna. Ia bukan setakat kisah Nabi saw dilantik sebagai ketua negara, bahkan ia menjadi medan yang menyaksikan dua pihak yang sentiasa bertelagah iaitu puak Aus dan Khawarij bersatu menjadi kaum yang lebih besar iaitu kaum Ansar. Ia juga memperlihatkan sifat dan semangat perpaduan di kalangan muslim apabila kaum Ansar dengan rela hati membantu kaum Muhajirin.

Lebih dari itu, penghijrahan Baginda merupakan titik tolak pembentukan sebuah negara Islam sepenuhnya yang ditadbir berlandaskan hukum² syariah yang diturunkan Allah, yang melaksanakan hukum hudud sepenuhnya. Ia menjadi bukti bahawa pentadbiran Islam bukan setakat mampu mewujudkan suasana harmoni di kalangan warganya, bahkan mampu turut berlaku adil terhadap yang bukan Islam.

Pentadbiran Baginda Nabi saw dan Piagam Madinah menjadi bahan bukti kukuh bahawa modul pemerintahan yang terbaik sebenarnya adalah dari langit, bukan dari akal singkat manusia. Dan mengatasi segalanya, penghijrahan Nabi saw ke Madinah telah menjadi asas kepada pembukaan Kota Makkah dan penawanan Ka’abah dengan tidak menitiskan walau setitis darah sekalipun.

Hari ini, di kebanyakan negeri di Malaysia menyambut ketibaan Maal Hijrah dengan cuti umum. Seperti amalan biasa, cuti umum menjadi hari kita bersenang lenang dengan keluarga. Di hari inilah kita keluar membeli-belah, berkelah malah lebih dahsyat lagi, keluar berdating dengan pasangan kita. Hari yang sepatutnya menimbulkan keinsafan, telah menjadi hari memuaskan nafsu dan menghasilkan dosa.

Jika dilihat sekeliling kita, perjuangan yang Baginda Nabi saw perjuangkan lebih kurang 1440 tahun dahulu kian menjadi sia² pada hari ini. Bukan setakat maksiat kian berleluasa, bahkan usaha² untuk menghapuskannya juga kian tidak mendapat tempat di hati kita. Bukan bermaksudkan tuan² yang mulia sekalian, sebaliknya saya berbicara tentang diri saya sendiri.

Betapa rendah dan lemahnya iman saya dalam melihat maksiat yang berleluasa ini. Bukan setakat tidak menegur, bahkan turut sekali-sekala melakukan syubahah. Yang menjadi pegangan, hanyalah selemah² iman iaitu menentang dengan hati… Entah apa yang hendak saya katakan semasa bertemu Baginda Nabi saw ketika meminta syafaatnya nanti jika ditanya tentang tugas yang telah diamanahkan…

27 January 2006

Sedih Dan Gembira Hari Ini


Masuk hari ini, sudah hampir seminggu saya demam. Suhu badan yang turun naik, sakit² di seluruh sendi², selsema, batuk dan lemah² badan menyebabkan kebanyakan aktiviti yang saya rancangkan tergendala. Apa boleh saya buat? Kesihatan kita semuanya adalah atas ketentuan Yang Maha Esa. Ikutkan hati, terasa bagai hendak mengeluh sahaja.

Tetapi kemudian saya terasa malu sendiri. Sebenarnya, apabila dihitung semula. Rasanya sudah lebih 5 tahun saya tidak dilanda sakit yang sebegini kuat. Dalam 5 tahun sebelum ini, kesihatan saya cukup baik. Paling teruk pun, hanya batuk² beberapa hari. Tidak perlu ke klinik, esok lusa pasti sembuh sendiri. Jadi jika kerana sakit yang beberapa hari ini saya hendak sedihkan, tentu sahaja tidak wajar.

Kemudian saya teringat. Memang beginilah sifat manusia. Kesemua manusia sentiasa inginkan yang terbaik. Bukan untuk satu ketika, tetapi jika boleh hendak setiap masa. Selama²nya. Seperti seseorang yang dikurniakan kerjaya yang mantap, ekonomi yang kukuh dan pasangan yang baik. Tetapi jika tidak dikurniakan cahaya mata, maka satu kesedihan itu menutup segala kebaikan yang pernah dialaminya.

Kerana memang sudah menjadi kebiasaan kita untuk menumpukan perhatian kita kepada masalah. Jadi jika terjadi sesuatu masalah, kita lupakan segala yang ada. Sedang kita tidak sedar, disebabkan penumpuan yang melampau terhadap masalah itu akhirnya akan mengundang kerugian kepada perkara² yang lain. Hingga kita hilang nikmat yang sedia ada yang mungkin lebih besar.

Sepertinya contoh tadi, seorang yang mempunyai segalanya kecuali cahaya mata. Jika dia terlalu sibuk meratapi nasibnya yang tidak berpewaris, akhirnya dia mencari pasangan yang lain. Kononnya untuk mendapatkan anak. Tanpa dia menyedari bahawa perbuatannya itu akhirnya menyebabkan dia kehilangan seorang pasangan hidup yang selama ini jujur dan ikhlas berbakti kepadanya.

Begitu juga terdapat segelintir orang yang cuba lari dari masalah. Bukan cuba menyelesaikan sebaliknya meninggalkan bebanan fikirannya jauh² dengan mungkin, mencari hiburan di kelab² malam, minum arak atau mungkin dengan menagih dadah. Tanpa sebenarnya dia menyedari bahawa dia telah meninggalkan kebahagiaan yang lain. Paling penting, dia telah meninggalkan iman.

Maka kerana itu adalah penting untuk bersifat sabar dalam segala menhadapi segala bentuk masalah mahupun dugaan. Kerana tidak ada masalah yang tidak ada penyelesaiannya. Kerana setiap masalah itu datangnya dari Allah swt, maka apakah salahnya untuk kita bermohon kepadaNya untuk menyelesaikan masalah kita? Bukankah Allah yang berkuasa atas segala²nya?

Seperti saya yang sedang tidak sihat ini. Kerana ingin pulih, saya segera pergi ke Klinik A. Lalu saya diberikan ubat selsema, ubat bantuk, antibiotik dan berbagai² jenis pil lagi yang didatangkan dalam pelbagai saiz, bentuk dan warna. Kemudian setelah beberapa hari menelan ubat² tersebut, sakit saya masih tidak berkurangan malah makin bertambah.

Lalu saya pergi pula ke klinik yang lain, katakan Klinik B. Dan tiba², setelah dua kali makan ubat dari kilnik itu, penyakit saya mula menampakkan tanda² untuk sembuh. Lalu saya pun katakan bahawa di Klinik B, doktor dan ubatnya bagus manakala Klinik A ubatnya tidak bagus dan doktornya kerja main² sahaja. Bolehkah begitu? Sebenarnya, yang menyembuhkan penyakit ini doktor, ubat atau Allah swt semata²?

Teringat saya kepada seorang kenalan. Dia ini, apabila dilanda musibah, panyakit misalnya, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah bersolah 2 rakaat dan kemudian berdoa meminta Allah menyembuhkan penyakitnya, jika itu yang terbaik untuknya. Jika ditanya kenapa tidak ke klinik, katanya memang boleh baik makan ubat tetapi iman kita tidak dapat apa².

Maksudnya, apabila dia bersolah 2 rakaat, meminta Allah menyembuhkan penyakitnya dan kemudian ditaqdirkan penyakitnya benar² sembuh, maka pohon keimanan di dalam dadanya mula berbuah dengan lebat dan semua buahnya masak dengan ranum. Atau dengan ayat yang lebih mudah, dia dapat rasakan pertambahan iman yang besar di dalam jiwanya.

Tetapi bukanlah saya katakan jika anda sakit tidak perlu berjumpa dengan doktor. Tidak ada salahnya berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan dan ubat. Malah itu termasuk sebagai sebahagian dari usaha juga. Hanya, janganlah sampai beranggapan bahawa ubat dan doktor yang menyembuhkan sesuatu penyakit itu. Kerana semuanya adalah di bawah kawalan Allah swt, Tuhan Pentadbir Alam.

Dan apa yang lebih penting di sini, dengan sedikit kedukaan atau kehampaan, janganlah dijadikan alasan untuk menafikan kesemua nikmat yang pernah kita alami. Seperti orang yang kecewa di dalam perkahwinan, janganlah dikesalkan kerana dikurniakan dengan pasangan yang salah, sebaliknya bersyukurlah kerana dikurniakan dengan anak² yang soleh dan solehah.

Jelas, walaupun perkahwinan tadi dari satu segi memberikannya derita, tetapi dari satu segi yang lain ia menjadikannya seorang yang beruntung. Jadi sesuatu perkara yang Allah ciptakan biasanya mempunyai mudharat dan manfaatnya dalam satu masa. Jika kita hanya menumpukan fokus kita kepada mudharatnya semata², maka jadilah kita orang² yang kufur, iaitu orang² yang tidak mensyukuri nimat yang hadir bersamanya.

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudaratan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". (Quran Surah al-A’raaf 7:188)

Tidak ada sesiapa di dunia ini, meski Nabi Muhammad saw sendiripun yang mengetahui apa yang akan terjadi esok. Kesedihan hari ini bukan membayangkan kesedihan hari esok dan selama²nya. Siapa tahu air mata yang kita titiskan hari ini akan membuahkan senyuman manis sebaik bangkit pada pagi hari esok? Maka janganlah disedihkan apa saja yang berlaku pada hari ini. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani…

25 January 2006

Pertentangan 2 Generasi


Baru sebentar tadi saya dihubungi oleh seorang kenalan saya. Katanya ada pertentang atau pertengkaran yang terbaru antara dia dengan ayahnya. Antara kedua beranak ini, memang telah diketahui akan keadaan hubungan on & off mereka. Tetapi kali ini saya dimaklumkan ianya jauh lebih besar. Sebaik mendengar perkhabaran ini, saya menggeleng²kan kepala. Sedih sebenarnya kerana saya juga terlibat.

Sebenarnya, antara mereka memang sudah wujud riak² perbezaan jurang semenjak kebelakangan ini. Atau lebih tepat, semasa Hari Raya Eidul Adha tempoh hari. Sebaik saya pulang, saya dikhabarkan berita tidak gembira sebegini. Jadi, untuk menjernihkan suasana, saya jemputlah kedua² keluarga ini untuk pergi makan bersama. Moga² ketika makan nanti, keadaan kedua²nya boleh pulih seperti sediakala.

Yang menyedihkan, ketika ‘acara makan²’ itulah nanah yang terkumpul itu bertukar menjadi barah. Atas beberapa insiden, kedua²nya mula menyalahkan antara satu sama lain sebagai memulakan sengketa. Lebih perit lagi, apabila petang tadi kenalan saya mengirim saya sms menceritakan bagaimana  ayahnya menelefonnya dan ‘mencurahkan isi hati’ kepadanya. Paling sakit, apabila ayahnya berdoa agar Allah membalas apa yang dia lakukan kepada ayahnya.

“Aku tak kisah kalau dia nak doa macam tu. Yang penting aku tahu aku tak buat salah apa. Aku pun tau dosa juga.” Terang teman saya. Saya jadi terdiam. Merenung sejenak sambil melepaskan keluhan perlahan di dalam hati. Dalam diam terbit rasa menyesal kerana mempertemukan kedua mereka. “Sabarlah. Orang tua macam itulah…” Itu sahaja yang mampu saya katakan kepada kenalan saya itu sambil berjanji akan memujuk ayahnya secara perlahan² nanti.

Saya pernah menganjurkan kursus motivasi yang dihadiri oleh lebih 60 pelajar darjah 6 disebuah penempatan felda di Segamat selama 3 hari 2 malam. Selama tempoh tersebut, saya perlu menguruskan mereka termasuklah memberikan nasihat kepada pelajar yang dikenali sebagai bermasalah. Namun rasanya, menasihatkan 60 orang kanak² jauh lebih mudah dari menasihatkan seorang tua yang sudah melampaui 60 tahun umurnya.

Saya termenung panjang ketika berhadapan dengan ayah kenalan saya tadi. Di dalam hati telah saya susunkan ayat untuk berbicara tetapi entah mengapa lidah saya terlalu kelu. Saya cukup kenal dengan orang tua ini. Hatinya cukup sensitif walaupun perwatakannya ketika muda dahulu begitu kasar. Saya bimbang, jika salah nasihat saya pula yang akan dimusuhinya. Hendak dibiarkan, terasa kasihan pula terhadap kenalan saya tadi.

Rasanya pertentangan antara 2 generasi memang sentiasa berlaku di dalam dunia moden hari ini. Saya katakan kepada kenalan saya tadi bahawa dia bertemu hanya sekali dalam sebulan. Namun saya tinggal bersama ayah saya. Sepatutnya kedudukan saya lebih rumit. Tetapi Alhamdulillah, setakat ini perhubungan kami masih berjalan lancer. Entah esok lusa terjadi pertengkaran antara kami tidak tahulah pula. Namun moga² Alah menjauhkannya. Wana’uzubillah…

Bukan sebenarnya tidak pernah langsung wujud perbezaan pendapat antara saya dan ayah saya. Tentu sekali ada. Walaupun saya sering dijolok sebagai anak kesayangan ayah oleh adik-beradik yang lain, hakikatnya saya sering juga ditegur oleh ayah saya. Ada² sahaja perkara yang tidak elok pada pandangan matanya. Tetapi saya tetap sabarkan. Bukan apa… Pada pendapat saya, kadangkala orang² tua ini tidak perasan bahawa zaman sebenarnya sudah berubah.

Mereka tidak sedar sebenarnya bahawa budak² di zaman sekarang sudah pandai bermain komputer sebaik sahaja dilahirkan. Mereka juga tidak sedar bahawa kebanyakan kepercayaan dan petua² yang mereka percayai semenjak turun temurun sudah lapuk dan tidak lagi boleh diterima pakai di zaman IT sebegini. Dan oleh kerana kepercayaan mereka begitu kuat, apakah kita hendak mensia²kan waktu bertengkaran dengan mereka?

Lebih baik kita lakukan perkara lain yang lebih berfaedah. Walaupun kita sebenarnya berniat baik untuk memperbetulkan kesilapan orang tua kita, tetapi seandainya kita lakukan dengan kasar sehingga menyebabkan mereka terluka, kita tetap berdosa. Maka kerana itu, saya lebih suka mengambil sikap menuruti apa sahaja arahan atau permintaan mereka. Kecuali jika ada yang benar² jelas tersimpang dari jalan syariah yang haq.

Ayah seorang yang tegas. Tetapi ketegasan ayahlah yang telah membentuk diri saya hari ini. Saya masih ingat bagaimana kakak saya disambut dengan penampar apabila pulang lewat 15 minit dari waktu yang dia benarkan. Namun bagi saya ketegasan itu memang bertempat. Hasilnya, kakak tidak pernah pulang lewat lagi. Dan kini saya pula yang mengikut jejak ayah dalam mendidik anak.

Namun ayah tidak pula bersetuju dengan ketegasan saya. Kata ayah, anak saya masih kecil. Saya tidak berkeras untuk bertegas terhadap anak saya kepada ayah. Sebaliknya, di dalam ketawa saya ungkitkan kembali apa yang kami lalui ketika kecil. Ayah hanya tersenyum. Ayatnya termati di situ. Pun begitu saya tetap biarkan ayah memanjakan anak saya. Kerana ketika kami kecil, ayah terlalu sibuk mencari wang. Biarlah dia mengutip kembali apa² yang dia telah tercicir dahulu.

Selepas saya tamat pengajian di UTM, saya begitu aktif dengan lumba haram. Setiap hari ada saja jiran yang akan mengadu terserempak dengan saya sedang berlumba di Lebuhraya Pasir Gudang. Lalu ayah ‘memaksa’ saya membeli sebuah kereta. Saya kirakan ayah ingin menggunakan kereta tersebut. Tetapi rupanya dia tetap tidak berpuas hati selagi saya tidak menjual motor saya. Begitulah kasihnya seorang ayah yang risau tentang keselamatan anaknya.

Malah ketika saya tamat pengajian, ia adalah zaman kejatuhan ekonomi yang teruk. Maka sijil yang saya miliki tidak mampu menjanjikan gaji yang lumayan. Ayahlah yang bersusah payah meminta jiran saya mengambilkan borang untuk bekerja di majikan lama saya. Pada awalnya saya menolak kerana gembira dengan teman² di tempat saya bekerja walaupun sering ‘kekeringan’. Tetapi ternyata, tidak sia² saya mematuhi permintaan ayah saya.

Pertelingkahan antara 2 generasi lelaki ini tidak akan berakhir. Setiap masa akan sentiasa ada perbezaan pendapat akibat jurang yang dibentuk oleh zaman. Maka kerana itu saya katakan kepada kenalan saya itu agar beralah kepada ayahnya. Biarlah kita meminta maaf walaupun secara terang kita di pihak yang benar. Kerana biar sejahat manapun ayah kita, di belakangnyalah kita akan beratur nanti selepas ‘dibangkitkan’, insyaAllah.

Tambah lagi apabila mengenangkan pengorbanan yang telah ayah lakukan. Saya percaya, 99% dari ayah² di seluruh dunia tidak mengharapkan balasan dalam bentuk material dari anak²nya. Apa yang mereka perlukan hanyalah balasan dalam bentuk kepatuhan. Seperti lirik sebuah lagu di dalam filem Panca Delima; “Kasihnya ayah… Berkorbankan nyawa…”, seorang ayah sanggup tergadai nyawanya demi membahagiakan keluarganya. Jelas, mematuhi mereka bukanlah perkara yang sia². Maka tidak ada salahnya jika kita beralah terhadap mereka…

Apo Nak Dikato

Apabila bercakap tentang toyol, tidak dapat tidak tentu saja akan mengundang senyum sinis dari kebanyakan teman² zaman moden ini. Maklumlah, makhluk jenis ini hanya kita dengar dari mulut ke mulut. Susah hendak dipercayai tanpa bukti yang kukuh. Lagipun, berapa ramai antara kita yang pernah terserempak dengan toyol sebelum ini? Tentu sahaja sukar untuk akal waras kita menerima cerita² mistik seperti ini.

Saya juga begitu. Saya merasakan toyol hanyalah rekaan kebanyakan orang. Kononnya kehadiran toyol tidak disedari dan hanya mengambil sebahagian kecil sahaja dari wang kita. Selalunya saya katakan mereka (mangsa toyol) sebagai tersilap kira jumlah duit mereka. Atau kesimpulannya, toyol memang tidak pernah wujud langsung. Itu hanya rekaan atau bayangan mereka yang lemah iman atau terlalu mempercayai dongengan orang tua.

Akan tetapi, petang tadi saya terasa bagaikan hendak percaya pula cerita tentang toyol ini. Setelah saya sendiri mengalami kehilangan wang secara misteri. Ceritanya begini. Setelah mengeluarkan duit yang diperlukan untuk menyelesaikan bil² utility saya, lalu saya asingkan mengikut bahagian² tertentu. Setelah diasingkan, lalu saya simpankan di dalam sebuah kotak khas di dalam laci almari solek di bilik saya.

Tetapi petang tadi, ketika hendak keluar berbelanja untuk barangan keperluan bulanan, saya dapati susunan wang di dalam kotak itu telah berubah. Bagai telah diusik oleh seseorang… Atau sesuatu. Mengesyaki ada yang tidak kena, lalu saya saya mengira setiap bahagian wang saya. Lalu saya dapati wang yang saya asingkan untuk ansuran bulanan kereta saya telah berkurangan sebanyak RM500.

Yang peliknya, wang yang saya asingkan untuk membeli makanan suplemen untuk ibu saya bertambah RM100 lagi. Apabila saya kira semula, ternyata duit saya hilang sebanyak RM400. Pada awalnya saya fikir mungkin saya telah tersalah kira ketika mengasingkan wang tersebut. Tetapi apabila saya senaraikan semula ke mana aliran wang saya, saya dapati memang jumlah itu kekurangan RM400 dari yang sepatutnya.

Puas saya renungkan hal ini. Siapa yang hendak saya tuduh? Yang ada di dalam rumah ini selain saya hanyalah isteri saya, ibu, bapa dan Naqibah, puteri saya yang baru berusia 11 bulan. Isteri saya hendak ambil duit saya? Hm… Mungkin juga tetapi tidak logik. Kerana jika saya kekeringan, dia juga yang akan menjadi ‘bank kewangan’ (finance) saya. Ibu bapa saya memang tidak masuk ke bilik saya. Takkanlah Naqibah sudah pandai mencuri?

Lalu saya teringat akan kisah toyol. Menurut cerita, toyol berasal dari mayat bayi yang meninggal ketika baru dilahirkan. Kemudian, melalui upacara syirik, bayi ini dipuja agar bangkit dan akan mematuhi perintah orang yang ‘menghidupkannya’ semula. Kerja² toyol adalah seperti mencuri atau mengganggu ketenteraman orang lain atau musuh² tuannya. Tetapi yang menjadi identitinya ialah, toyol tidak mencuri semua, akan tetapi hanya sebahagian dari wang yang ada.

Maka dengan ini, kononnya tuan punya wang tersebut tidak akan menyedari bahawa wangnya telah hilang dalam simpanannya. Jadi kiranya toyol adalah makhluk yang cerdik. Hm… namun ini semua adalah dari cerita mulut ke mulut orang. Sukar untuk saya mempercayainya pada awalnya. Walaupun saya pernah terlihat bayangan makhluk seperti toyol, saya lebih berminat untuk mengatakan itu hanyalah khayalan saya semata².

Akan tetapi, selepas kejadian petang tadi, saya mula berkira² untuk mula mempercayai kewujudan makhluk licik ini. Kerana begitu sukar untuk saya menerima hakikat kehilangan wang saya secara misteri. Mungkin kerana hendak memujuk hati saya sendiri, maka saya mula meletakkan tuduhan kepada makhluk yang belum tentu wujud atau tidak ini. Perasaan ini diperkuatkan lagi dengan cerita ibu dan isteri saya.

Mulanya isteri saya bertanya, mungkinkah anak saya boleh melihat makhluk² ghaib seperti toyol ini. Ibu saya (orang tua memang kuat kepercayaan mereka kepada benda² seperti ini) segera mengatakan iya kerana anak saya masih belum pandai bercakap. Lalu isteri saya pun bercerita kononnya malam tadi anak saya kerap terganggu ketika tidur. Walaupun baru lepas disusukan, dia kerap merengek. Keadaannya bagaikan diganggu sesuatu.

Tambah lagi, malam tadi saya masuk tidur awal. Dan tidur pula terlalu lena bagaikan orang mati (selalunya saya tidur bagaikan orang pengsan sahaja ;p). Dan kemudiannya pula, ibu dan ayah saya mula bercerita tentang kisah² kehilangan wang yang pernah kami sekeluarga alami sebelum ini. Hanya, kes² sebelum ini melibatkan wang yang kecil jumlahnya. Kisah² begini menguatkan lagi keyakinan saya bahawa ini angkara makhluk kepala botak ini.

Tambah ibu lagi, sebelum ini telah banyak kali cerita seperti ini diceritakan oleh jiran² kami. Tapi kami buat tak endah kerana bagi kami, mungkin mereka tersilap ketika mengira wang mereka atau apa saja. Akhirnya apabila terjadi kepada kami sendiri, barulah kami hendak menilai semula kisah² yang pernah diceritakan oleh jiran² kami. Tetapi bagi saya, saya memerlukan masa untuk mempercayai kisah sebegini.

Bukan apa, takut jika tersilap dan boleh membawa kepada kerosakan iman. Maklumlah. Garisan pemisah antara iman dan syirik itu terlalu nipis. Jika silap langkah, bila² masa kita boleh terjerumus. Walaupun sebahagian dari hati saya mulai mempercayai kisah si toyol ini, tetapi saya cukup tertarik dengan kata² ayah saya. Kata ayah, kalau kita ini jenis suka ambil harta orang, tak mengapalah jika kita diperlakukan begini…

Itulah yang saya renungkan. Benarkah segala apa yang saya miliki selama ini adalah benar² milik saya? Benarkah selama ini saya mencari rezeki pada jalan yang benar semata²? Saya mula berfikir. Memanglah, secara kasar saya memperolehinya dengan jalan yang halal. Dengan pekerjaan saya. Tetapi… Wujud juga kebimbangan di dalam hati kalau² saya secara tidak sedar telah menggunakan atau terguna jalan salah dalam mencari rezeki.

Namun apapun hakikatnya, saya anggap ini hanyalah cubaan daripadaNya. Dia hanya mahu menduga sejauh mana saya redha terhadap ketentuanNya dan sejauh mana saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakanNya. Saya yakin, inilah yang sebaik²nya saya tanamkan dalam hati saya saya. Daripada terus² meletakkan kepercayaan kepada makhluk ghaib ini. Mungkin benar ia wujud dan mungkin juga tidak. Segalanya terlalu samar untuk ditentukan.

Sama ada benar² toyol yang mengambil duit saya, atau mungkin sebenarnya toyol ‘berkepala hitam’, saya malas untuk fikirkannya. Wang tersebut sudah hilang. Itu hakikat. Tidak ada apa yang perlu diriuhkan lagi. Sepatutnya, saya biarkan wang tersebut di dalam bank. Itu tindakan yang paling tepat. Segala ini tidak akan terjadi, insyaAllah jika saya sanggup bersusah payah ke bank 2, 3 kali. Kini nasi sudah menjadi bubur. Apo nak dikato…

23 January 2006

Asobiyah

Pada hari Jumaat yang baru lepas, saya dipanggil berkursus di ibu pejabat di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Pada hari yang sama juga dijangkakan akan diadakan perhimpunan atau demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Perhimpunan secara aman ini adalah bagi menyatakan rasa hati umat Islam negara ini yang menyayangi agama mereka dan bimbang jika kesucian Islam dicemar oleh mereka yang buta hati.

Dari awal lagi, sebaik mendapat khabar tentang perhimpunan ini saya telah merancang untuk turut serta. Malangnya kursus saya berakhir lewat. Hampir jam 1 tengahari. Saya tidak mahu mengambil risiko mengabaikan solat Jumaat maka saya mengambil keputusan untuk solat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC. Sebaik selepas solat, saya bersegera ke Masjid Negara dengan menaiki teksi.

Memang sudah nasib, saya sampai di Masjid Negara lebih kurang jam 2.45 petang dan para peserta perhimpunan sudahpun meninggalkan Masjid Negara. Lalu dengan perasaan hampa, saya menahan sebuah teksi dengan tujuan untuk pulang ke hotel. Sebaik memasuki teksi tersebut, pemandunya ‘dengan ramahnya’ bertanya kepada saya, “Kau jual barang apa di Masjid Negara?” Terkejut saya mendengar soalannya sambil segera menafikan.

“Aku tengok kau dengan baju Melayu… Dengan beg… Biasanya orang menjual je macam ni. Ramai orang buat. Di Kuala Lumpur ni senang nak buat duit.” Sambungnya lagi tanpa diminta. Saya hanya tersengih. Tidak tahu apa yang patut saya jawab lagi. Kemudian pemandu itu dengan ramah bertanya saya berbagai² soalan. Termasuklah tentang kerjaya saya. Nampaknya pemandu itu seperti seorang ‘Professor Serba Tahu’.

“Kau orang mana? Johor?” tanyanya lagi. “Mana tahu?” balas saya. Dia hanya tertawa. Rupanya, apabila saya nyatakan saya bekerja di Terengganu, dia mula memerhatikan cara saya bercakap. “Orang pantai timur susah nak hilang loghatnya.” Tambahnya lagi. “Aku pun asal Johor. Lahir di Batu Pahat, besar di Muar, tua di KL”. Saya tertawa mendengar perkataan ‘tua di KL’. Pertama kali saya dengar orang berkata begitu.

“Orang Johor ni lebih open minded. Kan? Tak macam orang Kelantan. Mereka tu sifat kenegeriannya kuat. Kalau dia seorang, sembah kita pun sanggup. Tapi kalau dah jumpa kaum dia, tinggallah engkau. Kawan baik manapun…” Saya mula merasa tidak selesa apabila topik sebegini yang dibukanya. Lalu saya cuba mengalihkan topik ke perkara lain. Sambil dalam hati saya merasakan cukup kesal. Mengapa masih wujud manusia berfahaman asobiyah sebegini?

Terus terang, saya tidak sedikitpun bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Sebaik mendengar katanya itu, memori saya mula mengimbas kenangan sewaktu saya masih menuntut di UTM dahulu. Pada ketika itu saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Orang Johor, Kelantan, Terengganu hinggalah orang Sabah dan Sarawak. Malah saya juga berkawan rapat dengan orang India hingga menjadi satu²nya pelajar Melayu yang dibenarkan me-ragging junior mereka.

Tidak pernah saya rasakan mereka ini (pelajar² Kelantan) bersifat kedaerahan. Kalau hendak dikatakan orang Kelantan akan meninggalkan temannya dari negeri lain jika bertemu rakan senegerinya, memang saya susah hendak percaya sama sekali. Masakan tidak, saya masih teringat di suatu masa saya pernah datang kepada sekumpulan pelajar Kelantan yang sedang sibuk berbual sesama mereka.

Sebaik sahaja saya menyertai mereka, kesemua mereka mula bercakap bahasa luar (Johor-Riau). Saya yang ternampak dengan perubahan ini, segera bertanya kepada mereka mengapa mengubah dialek. Mudah mereka menjawab. Kerana bimbang saya tidak faham apa yang mereka katakan. Mereka takut saya rasa bosan lalu tinggalkan mereka. Sedangkan ketika itu, hanya saya seorang bukan berasal dari Kelantan.

Lalu dari segi mana pendapat yang mengatakan orang Kelantan bersifat kenegerian atau kedaerahan? Atau sebenarnya mereka yang menuduh yang bersifat begitu? Sesungguhnya saya kecewa dengan apa yang terjadi tempohari. Dalam kita sibuk mengaku Islam, dalam sibuk membudayakan Hadhari (saya ternampak kad kecil menampilkan lambing ‘Dacing’ di atas dashboard-nya), mengapa mesti berfahaman asobiyah?

Ibu saya berketurunan Minangkabau, Negeri Sembilan. Saya sebenarnya cukup terkilan apabila mendengar orang berkata perempuan Minang jahat² belaka. Sedangkan pada mata saya, ibu saya sebaik² perempuan. Tidak mencampuri hal orang lain, tidak sosial dan paling penting, tidak manabur fitnah. Jadi mana datangnya tuduhan sehina itu? Apakah sebenarnya sifat dan perlakuan seseorang itu berdasarkan tempat asal mereka?

Bagaimana dengan Baginda Nabi saw? Baginda dilahirkan di kalangan orang² kafir Quraisy yang terkenal dengan jahatnya. Merompak, menindas yang miskin, diskriminasi terhadap wanita bahkan menanam anak perempuan sendiri hidup². Jika benar baik buruk seseorang itu berkaitan dengan tempat asalnya, Nabi saw tidak layak menjadi nabi. Akan tetapi, Nabi Muhammad saw muncul sebagai sebaik² manusia dan contoh untuk diikuti sehingga akhir zaman. Bagaimana ya?

Sebenarnya baik dan buruk kelakuan seseorang itu bergantung kepada iman di dalam hatinya. Bukan negeri kelahirannya. Bukan juga asal keturunannya. Tidak mustahil anak seorang perompak menjadi tokoh agama dan tidak juga mustahil cucu seorang ulama menjadi perompak harta anak bangsa. Seorang cucu ulama pun, jika di dalam hatinya penuh dengan perkara² dunia sifat haloba, tetap akan melakukan perkara yang salah juga.

Seperti patah lagu Iman Mutiara dendangan kumpulan nasyid Raihan. “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa…”. Maka jika anak seorang nabi sekalipun, tetap tidak terlepas dari dari melakukan dosa selagi tidak ada taqwa di hatinya. Sebagaimana anak² Nabi Nuh as. Bapa mereka seorang nabi yang termasuk dalam senarai ‘ulul azmi tetapi mereka tetap mati dalam keadaan kufur…

Dalam keadaan agama Islam mula berkembang semula, pendirian asobiyah ini dilihat sebagai berbahaya dan boleh menyekat pembangunan agama kita. Oleh itu, perlu bagi kita untuk meninggal fahaman sebegini seberapa segera yang mungkin. Allah juga menyebut di dalam al-Quran akan pentingnya menjaga perpaduan antara kita sesama muslim sebagaimana maksudnya;

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu, kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Quran surah Ali ‘Imran 3:103)

22 January 2006

Terima Kasih Pak Lah!

Syukur… Alhamdulillah… Rasanya tidak ada lafaz lain yang lebih sesuai disebut selain lafaz tersebut bersama ucapan ‘Terima kasih Pak Lah’ sebaik pengumuman berhubung dengan Perkara 121(1)(A) yang hangat diperkatakan baru² ini. Perdana Menteri semalam menyebut bahawa peruntukan ini tidak perlu diubah-suai. Lebih dari itu, tindakan ‘Menteri² Durhaka’ tersebut menarik balik memorandum mereka juga amat² dihargai.

Nampaknya agama Islam masih selamat sebagai agama rasmi, walaupun tidak diamalkan secara kaffah di bumi Malaysia ini. Sekurang²nya kita kurang sedikit kebimbangan dalam hati kita akan masa depan anak² kita nanti. Cuma apa yang dibimbangkan, perkara ini akan berbangkit semula. Seperti penyakit kudis. Mungkin boleh baik jika dibubuh ubat, tetapi silap sedikit, kemungkinan akan membiak semula.

Sebenarnya saya sedikit tertawa melihat latahan para menteri yang mengutuk perihal penghantaran memorandum ini. Jika sebelum ini mereka dilihat sebagai kaku beku, dan bisu ketika hal ini dibincangkan oleh pelbagai peringkat masyarakat, namun secara tiba² mereka cuba berlagak hero sebaik Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan beliau. Secara tiba² semuanya mengutuk tindakan 9 orang menteri kabinet bukan Islam.

Sama ada mereka benar² sensitif dengan isu ini atau sekadar ‘menyokong’ kenyataan Perdana Menteri, tidak dapat dipastikan. Biarkanlah mereka. Apa yang penting bagi kita adalah untuk mengelak insiden yang memalukan dan menyakitkan hati seperti ini berulang lagi. Bukan apa, saya bimbang jika ia ditolak oleh PM hari ini, apakah mungkin ia akan ditolak juga oleh PM yang akan datang?

Jika para jemaah menteri dan Ahli Parlimen Melayu kita yang sepatutnya Islam hanya bersikap menunggu keputusan PM terlebih dahulu sebelum memberi komen, rasanya kedudukan agama kesayangan kita ini masih belum selamat. Kemungkinan kesucian Islam untuk dirogol bergilir² sekali lagi masih ada. Untuk itu, satu (atau lebih) langkah yang lebih drastik dan efektif perlu diambil.

Sudah masanya untuk kita orang² Islam di negara ini bersatu. Pas, Umno, Abim dan badan² NGO Islam yang lain perlu menggembleng tenaga untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas lagi mengenai Islam kepada bukan Islam. Supaya selepas ini, tidak lagi muncul sebarang usaha dari mereka untuk membenamkan agama yang kita anuti, yang kita laungkan sebagai kita sayangi ini.

Orang² kafir di negara kita semakin lama semakin terkeliru dengan agama kita. Ditambah lagi dengan melihat perbuatan orang Islam sendiri yang melampaui kekufuran orang² kafir. Dalam keadaan kita yang semakin jauh dari pegangan Islam, bagaimana mungkin kita mampu membuat mereka hormat apatah lagi merasa kagum dengan agama kita. Perkara ini pernah Nabi saw sebutkan dalam sepotong hadits;

“Umat² yang lain akan beramai² berhimpun mengelilingi kamu laksana mereka mengelilingi hidangan (memakan / meratah).” Dan bertanyalah seorang yang ada: “Adakah kerana jumlah kita (umat Islam) pada masa itu sedikit?” Sabda Rasulullah saw: “Tidak! Sebenarnya kamu (umat Islam) ramai, tetapi laksana banyaknya buih dalam air banjir (sehingga dihanyutkan). Allah mencabut kehebatan kamu yang dirasa di dalam diri musuh kamu, dan Allah melontarkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan.” Dan bertanya pula seorang yang ada: “Apakah dia al-wahan itu wahai Rasulullah?” Sabda Rasulullah saw: “Kasihkan dunia dan bencikan mati”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Jelas, inilah yang telah menimpakan kita. Penyakit al-wahan. Kerana penyakit inilah, orang² kafir telah hilang rasa kagum terhadap kita. Dan kerana penyakit inilah mereka dengan beraninya telah meminta undang² berkaitan agama kita diubah, sesuai dengan pemahaman mereka. Maka jika diperhalusi, telah jelas dan nyata kejadian ini adalah kerana kita sendiri. Seolah² kita yang menjadi punca kebiadaban mereka itu.

Untuk membuang penyakit al-wahan ini bukanlah kerja sehari. Ia kerja yang memakan masa bertahun² lamanya. Namun, apakah kita benar² serius dalam hendak mengikis penyakit ini dari terus berkembang biak di dalam iman kita? Jika ya, kita perlu lakukan sesuatu. Dan satu²nya cara untuk menyekat pembiakan virus wahan ini hanyalah dengan kembali kepada ajaranNya.

Kita perlu memulakan kelas² bimbingan agama, bukan sahaja di surau², madrasah² atau masjid², sebaliknya kita perlu memasukkan di dalam silabus matapelajaran Pendidikan Islam di sekolah² dengan kadar segera. Dan ianya tidak boleh hanya menekankan kepada persoalan sekitar ibadah sahaja. Sebaliknya perlu ada penekanan dalam konsep syariah yang sebenarnya. Seperti mana yang diamalkan oleh Nabi saw dan para sahabat.

Semoga dengan ini, akan mampu mengislahkan umat Islam di negara kita, sekaligus mengundang semula rasa kagum kepada kehebatan kita kepada orang² yang kafir. Dengan lahirnya rasa kekaguman terhadap Islam, maka di ketika itu insyaAllah tidak akan wujud lagi kemungkinan jemaah menteri yang bukan Islam mengemukakan memorandum bantahan terhadap undang² syariah kita.

Tindakan para menteri menarik balik memorandum itu satu langkah yang dihargai. Akan tetapi, luka yang telah tercalar bukan mudah untuk dirawati. Lebih² lagi setelah mendengar tuduhan mereka bahawa undang² syariah kita memberi kesan kepada yang bukan Islam. Atau dalam bahasa lebih jelas, bersikap tidak adil kepada bukan Islam. Tentu saja kita tidak mampu memaafkan mereka begitu sahaja. Tetapi renungkanlah sebentar maksud ayat ini:

Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (Quran Surah al-Baqarah 2:109)

Jadi buat sementara ini, memadailah dengan memaafkan mereka. Dan sama²lah kita berdoa semoga perkara ini tidak berulang lagi. Namun, jika ditaqdirkan terjadi lagi perkara seperti ini, adakah masih wajar untuk kita berdiam diri? Fikirkanlah…

19 January 2006

Duit! Duit!

Rasanya duit adalah elemen terpenting bagi kebanyakan orang. Manakan tidak. Kalau tidak kerana duit, mana mungkin kita sanggup berjauhan dengan keluarga, kerja bersusah-payah dan ada yang sampai tidak tidur malam. Saya berani katakan hampir semua manusia berpendirian yang sama. Hanya yang membezakan ialah ke mana duit yang diperolehi itu dibelanjakan nanti. Ke jalan kebaikan atau ke jalan maksiat.

Dan jika bercakap tentang duit, kita tidak dapat lari dari membicarakan soal rezeki. Rezeki pula sering dikaitkan dengan taqdir. Maka tidak hairanlah jika wujud segelintir manusia yang tanpa segan silu menyalahkan taqdir atas kesusahan yang menimpanya. Akan tetapi pernahkah kita bertanya kepada diri kita, layakkah kita dengan apa yang kita perolehi hari ini? Walaupun mungkin rezeki kita sekadar cukup makan, layakkah untuk kita memperolehi lebih lagi?

Mengapa saya menulis tentang ini? Kerana inilah yang sedang saya fikirkan. Di saat ini, saya sebenarnya sedang dalam kesempitan. Rasanya sudah lama saya tidak merasa sesempit ini. Sudah lama saya menikmati hidup yang tenang tanpa masalah. Tetapi bulan ini saya benar² bercelaru memikirkan masalah ini. Entah mengapa, bulan ini bill telefon saya meningkat berkali ganda. Bulan ini juga saya dapat bill streamyx yang pertama.

Dan entah berbagai masalah lain lagi. Terkadang terasa ingin saja mengeluh. Namun kemudian teringat pula bahawa mengeluh bukan sifat orang yang beriman. Mudah saja untuk saya beralasan baru membeli rumah tetapi rasanya ia lebih dari itu. Ini mungkin ujian atau lebih tepat lagi, satu peringatan. Atau mungkin satu balasan. Lalu saya ambil kesempatan ini untuk memuhasabah kesilapan² diri ataupun kealpaan² yang telah saya lakukan.

“What you give, you get back”. Apa yang anda beri, anda terima semula. Memang benarlah kata² ini. Jadi, jika hendak menerima lebih, kita perlulah memberi lebih lagi. Saya mula teringat, sepanjang bulan² terakhir ini, tangan saya begitu ‘pendek’ sekali. Bukanlah maksud saya pendek dari segi fizikal, tetapi pendek dari segi beramal. Dalam bulan² terakhir ini, rasanya terlalu sedikit sedekah yang telah saya hulurkan.

Dahulu, walaupun dibebani dengan hutang bertimbun, saya tidak pernah lupa untuk mengasingkan sebahagian dari pendapatan saya untuk didermakan ke masjid. Meskipun begitu, saya masih mampu menyusun belanja. Ada² sahaja punci rezeki yang datang secara tiba² bagi menampung hidup saya hingga ke hujung bulan. Jika diikutkan memanglah pelik. Tetapi, jika difikirkan semula, tidak ada apa yang perlu dihairankan sebenarnya.

Ini semua kuasa Allah semata². Sesungguhnya segala rezeki itu adalah pada tanganNya. Dan Dia berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Akan tetapi… Entahlah. Mengapa setelah Allah melepaskan saya dari bebanan² hutang tersebut, saya semacam lupa diri. Begitu asyik berbelanja sehinggakan bahagian yang biasakan saya asingkan untuk didermakan ke masjid pun habis tak berbaki.

Tiba² saya teringat kepada satu kisah. Kisah ini terjadi ketika bulan Ramadhan yang baru lepas. Ketika itu sepuluh malam yang terakhir. Saya keluar bersama teman² seperti yang kami janjikan kerana hendak mengumpulkan dana buat keluarga Allahyarham Dahlan Bin Nasir yang meninggal pada awal Ramadhan lalu (rujuk artikel ‘Perginya Seorang Sahabat’). Saya merancang untuk melakukan qiamul lail pada malam tersebut sebenarnya.

Jadi kononnya saya ingin pulang awal. Tetapi sebelum sempat saya bergerak, telefon bimbit teman saya berbunyi. “Kereta Wak Li (bukan nama sebenar) 'sangkut' di Causeway. Nak ikut aku tolong dia tak?” Saya mengangguk. Takkanlah saya hendak membiarkan sahaja kawan saya kesusahan begitu. Bukan? Lagipula, sudah lama saya tidak bertemu Wak Li. Semenjak dia tergesa² berpindah dari rumahnya dahulu.

Kami segera bergerak ke Tambak Johor. Lama juga kami menunggu barulah ternampak kelibat Range Rovernya. Stereng loose. Disebabkan waktu itu sudahpun jam 2 pagi, maka kami mengambil keputusan untuk meninggalkan keretanya di situ. Kemudian saya menghantar Wak Li pulang ke rumahnya. Sepanjang perjalanan, banyak juga yang kami bualkan. Maklumlah, sudah lama tak berjumpa. Saya juga ada bertanya mengapa dia berpindah secara tergesa² dulu.

Wak Li menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita. Menurutnya, rumah yang didiami semenjak sekian lama itu kini telah menjadi semakin ‘panas’. Saya mengerutkan kening tanda tidak memahami maksudnya. Seakan mengerti bahawa saya sedang terkeliru, Wak Li menyambung ceritanya semula. Menurutnya, beberapa bulan sebelum dia berpindah, dia hidup betul² dalam keadaan yang tertekan. Sering sahaja keputusan belanja.

Entah ke mana perginya segala wang yang dia ada. Keputusan yang dialaminya begitu kronik hinggakan hendak membeli telur pun tidak cukup duit. Sedangkan isterinya bekerja di Singapura. Dia pula memiliki beberapa buah rumah sewa. Tetapi keadaan mereka bagaikan orang yang tiada pendapatan tetap. Sehinggalah ada yang menasihatinya supaya berpindah. Kononnya rumahnya telah ‘diduduki makhluk asing’.

Pada mulanya dia tidak percaya. Namun setelah tidak tahan sering bertengkar dengan isteri, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah. Dan Alhamdulillah, setelah berpindah, keadaan segalanya kembali seperti normal. Paling menggembirakan, apabila dia berkata “Sekarang Wak Li dah sedar. Walaupun tidak sempurna, sekurang²nya sekarang dah cukup 5 kali sehari. Semua yang jahat² Wak Li dah tinggalkan…”

“Dan sekarang ini, Wak Li tak lupa untuk berderma setiap kali ke masjid. Wak Li dah nampak. Lebih banyak kita belanjakan untuk jalanNya, lebih banyak yang Dia berikan semula kepada kita”. Saya menganggukkan kepala mendengar kata²nya. Memang terlalu benar ayat itu. Saya sendiri pernah mengalaminya. Itukan adalah janji Allah? Janji yang telah Allah sebutkan di dalam kitab suci al-Quran.

Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.
(Quran surah al-Baqarah 2:261)

Sudah terang lagi nyata. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Namun, walaupun sudah tahu begitu, entah mengapa tangan ini terlalu berat untuk menghulurkan. Saya merasakan diri saya sebagai seorang yang tidak mengenang jasa atau berterima kasih. Sedangkan setiap harta yang kita miliki, ada bahagian orang lain di dalamnya. Maka tidak hairanlah Allah memberikan saya peringatan sebegini…

Kepada saudara² yang lain sekaliannya, walaupun pendapatan kita cukup makan, walaupun kita sering kesempitan pada setiap hujung bulan, ‘panjangkanlah’ tangan untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang lebih memerlukan. Janganlah dijadikan alasan kesempitan kita itu untuk tidak menafkahkan sebahagian apa yang kita ada pada jalan Allah. InsyaAllah, Allah akan membantu. Janganlah dituruti langkah seperti apa yang pernah terjadi pada diri saya.

Dan yang paling penting, biarlah apa yang kita perolehi itu sedikit. Asalkan ia pada jalan yang haq. Kerana Allah telah menjanjikan kebahagiaan buat orang² yang bersabar. Saiyidina Abu Bakar as-Shidq, Saiyina Umar al-Khattab dan ramai sahabat² Baginda Nabi saw merupakan orang² yang kaya sebelum beriman. Tetapi sesudah beriman, mereka hidup di dalam kemiskinan demi membantu perjuangan agama Allah. Tetapi hakikatnya, merekalah orang² yang kaya.

“Ya Allah! Kami berlindung kepadaMu daripada sifat bakhil dan bongkak. Janganlah Kau jadikan kami terdiri dari kalangan orang² yang lupa mensyukuri nikmatMu. Ya Allah! Kami terlalu kerdil dalam mengharungi dugaanMu. Makan jadikanlah kami orang² yang sabar”

Pemandu Teksi

Kelmarin, ketika membaca kisah pemandu teksi biadab di blog kakak kesayangan saya, Kak Za di http://duniahatiku.blogspot.com, serta-merta saya teringat beberapa peristiwa, juga tentang pemandu teksi, yang pernah saya alami. Hidup saya yang sering berkelana kerana menghadiri kursus di sana sini, menemukan saya dengan pelbagai ragam pemandu teksi. Pernah saya dihamun di Melaka hanya semata² kerana tidak menjawab soalan ‘nak ke mana’ yang ditanya oleh seorang pemandu teksi.

Namun bukanlah kisah pemandu teksi biadab yang ingin saya utarakan di sini. Sebaliknya kisah segelintir pemandu teksi yang suka mengambil kesempatan dari kesusahan orang lain. Kisah pemandu² teksi yang enggan menggunakan sistem meter di bandar² besar seperti KL dan JB. Rasanya ramai juga yang pernah terkena. Mereka (pemandu teksi) biasanya akan menyebut dulu bayaran yang akan mereka kenakan sebelum mula mengambil penumpang.

Namun satu kejadian yang paling terkesan dalam hati saya ialah ketika saya menghadiri kursus di Sunway Lagoon sekitar pertengahan tahun lepas. Memandangkan isteri saya tidak dapat turut sama kerana hari persekolahan, maka saya mengambil keputusan untuk pergi dengan menaiki bas ekspres sahaja. Saya tiba di Puduraya sekitar jam 12.30 tengahari. Oleh kerana saya belum pernah ke Sunway Lagoon sebelum ini, maka saya rasakan yang terbaik ialah dengan menaiki teksi.

Saya menghampiri seorang pemandu Melayu yang sedang asyik menelek telefonnya. “Sunway Lagoon bang.” Dia mengangguk. Kemudian dia berpaling kepada saya dan berkata “RM30. Boleh?” Oleh kerana saya sudah terlewat, saya bersetuju tanpa banyak bicara. Sepanjang perjalanan kami hanya mendiamkan diri. Dia lebih banyak menaip sms daripada menumpukan perhatian ke jalanraya. Terbit juga kerisauan kalau² saya sampai ke hospital dahulu sebelum tiba di Sunway Lagoon.

Tetapi Alhamdulillah segalanya selamat. Setelah menghulurkan tiga keping not RM10, saya pun berlalu. Terdetik juga di hati saya mengapa pemandu tersebut enggan menggunakan meter sedangkan meternya rasanya dalam keadaan baik. Tetapi apabila saya kenangkan keadaan jalan yang sesak dan perjalanan yang agak memakan masa, maka saya rasakan RM30 itu adalah memadai. Jadi saya malas hendak ambil kisah.

Kemudian pada hari pulang, saya memandangkan kebanyakan teman² menghala ke pantai timur, sekali lagi terpaksa menggunakan khidmat pemandu teksi. Saya segera mengangkat tangan apabila terlihat sebuah teksi bandaraya dari jauh. Teksi tersebut berhenti dan terlihat pemandunya, seorang India yang bercalit putih (kalau tidak salah) di dahinya. Saya mula merasakan tidak sedap hati kerana yakin kali ini akan lebih teruk ‘disembelih’.

Maka sebagai langkah keselamatan, saya bertanya terlebih dahulu berapa agaknya bayaran yang akan dikenakan. “Kita pakai meter la adek…” Jawabnya dengan penuh sopan. Saya tersenyum riang. Dalam hati mula mengejek diri sendiri kerana bersifat prejudis dan sedikit perkauman. Perjalanan ke Puduraya saya rasakan begitu sekejap walaupun sepanjang jalan dipenuhi dengan kereta. Mungkin kerana keramahan ‘ane’ tersebut menyebabkan saya tidak sedar masa yang berlalu.

‘Ane’ tadi meminta izin untuk menurunkan saya jauh sedikit dari Puduraya kerana kesesakan jalan. Saya memandang deretan bas yang beratur lalu mengangguk tanda setuju. “Berapa?” Tanya saya. “Enam belas ringgit adek…” Saya agak terkejut mendengarnya. Bermakna pemandu Melayu yang saya tumpang ketika pergi tempohari telah menaikkan sekali ganda dari harga yang sepatutnya. Saya hulurkan RM20 dan meminta dia menyimpan bakinya.

“Banyak sangat ni adek…” ‘Ane’ itu cuba menolak pada awalnya. Lalu saya katakan kepadanya ini sebagai hadiah kerana berlaku jujur. Entah berapa kali dia ucapkan terima kasih, tidak pula saya kira. Yang saya ingat, bagaimana seorang kafir boleh lebih jujur berbanding dengan orang Islam sendiri yang sepatutnya hidupnya dipandukan dengan iman. Saya menggeleng²kan kepala. Hairan mengapa dalam soal mencari rezeki pun kita masih terlupa untuk mengira halal dan haram.

Perbezaan sebanyak RM14 mungkin tidak begitu besar. Tetapi bayangkan jika yang penumpang adalah seorang yang hidupnya susah? Jangankan RM14, RM4 pun sudah begitu berat buat mereka. Tetapi pemandu² teksi ini tidak peduli semua itu. Kerana yang penting bagi mereka, dapat untung banyak, tak perlu cari ramai penumpang. Yang hairannya, bagaimana pula orang kafir boleh berdikap jujur?

Persoalannya, mengapa pemandu² teksi ini tidak mahu menggunakan meter? Adakah ianya tidak menguntungkan mereka? Pernah saya tanyakan teman saya yang bekerja sebagai pemandu teksi tentang soalan ini. Katanya, jika diikutkan memang untung. Hanya mereka perlu bekerja lebih sedikit. Apa yang lebih malang, menurut teman saya ini, mana² pemandu yang menggunakan meter, akan dipulaukan oleh pemandu yang lain. Sendiri sudah jahat, orang lain pula diseret sama.

Ketika saya ke pejabat MTUC di Subang Jaya, lain pula ceritanya. Turun dari komuter, beberapa teksi sudah sedia menunggu. Tetapi apabila saya sebut sahaja pejabat MTUC, semua menolak. Kata mereka, jalan sesak ketika hendak keluar. Rezeki pun dipilih². Kecuali seorang yang sedia membawa saya ke sana asalkan ada 3 orang lagi penumpang lain. Tunggu punya tunggu, akhirnya tiba lagi 3 orang. Namun jalan yang dibawanya berbelit². Dan sekali lagi, bayaran tidak mengikut meter.

Namun saya hanya rasa tertipu ketika pulang. Saya kira pejabat MTUC begitu jauh dari Subang Parade. Namun ketika pulang, tidak sampai 15 saya sudah tiba di hadapan bangunan itu. Saya bagaikan tidak percaya apabila diberitahu oleh pemandu teksi tersebut kami sudah sampai. Lalu saya tanyakan mengapa perjalanan pergi tadi rasanya terlalu jauh. Mudah saja jawapannya. “Biasalah dik… Cari makan…”

Dalam kepala saya penuh dengan tanda tanya. Apakah tidak timbul rasa syak dalam diri mereka bahawa rezeki yang mereka perolehi hasil dari menipu merupakan rezeki yang tidak diredhai? Itukah rezeki yang akan dijadikan nafkah buat anak² dan isteri? Na’uzubillah… Harap² saya tidak terikut² perangai sebegini. Jika ditanya tentang punca mengapa mereka jadi begitu, dengan mudah kita boleh katakan mereka ini tamak. Tetapi, tentu saja ada contributing factor yang lain.

Seperti biasa, tulisan saya tidak sah jika tidak ada ‘sesi menyalahkan diri’. Tetapi itu adalah hakikatnya. Cuba lihat sikap saya. Apa yang saya lakukan? Hanya mendiamkan diri dan redha walaupun menyedari diri ditipu. Memanglah rasanya macam ‘baik sangat’ tetapi, jika difikirkan dengan labih mendalam, tentu anda bersetuju jika saya katakan kejadian ini mungkin akan berlarutan akibat sifat saya tadi. Sepatutnya, saya perlu laporkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

JPJ dan LPKP memerlukan kerjasama dari kita untuk membanteras kegiatan seperti ini. Jangan kita harapkan perkara ini boleh terhapus begitu sahaja. Membanteras sebarang bentuk jenayah bukan tanggungjawab pihak berkuasa semata². Akan tetapi setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan. Setiap masa, apabila kita melihat sebarang kejadian seperti ini, adalah menjadi kewajipan kita untuk membuat laporan. Sama ada mereka bertindak atau tidak, itu antara mereka dengan Allah.

Memang bukan semua pemandu teksi bersikap demikian. Kepada mereka yang jujur, syabas saya ucapkan. Semoga Allah membalas kebaikan mereka dengan melipatgandakan keuntungan yang mereka perolehi. Buat mereka yang terus² memeras orang lain yang dalam keterdesakan ini, ketahuilah bahawa sesungguhnya neraka Allah itu sangat panas…

17 January 2006

Berani Mengambil Risiko

Petang tadi, saya berkesempatan berbicara melalui telefon dengan seorang teman saya. Menurutnya, dia sedang dalam dilema. Ditawarkan satu jawatan yang baik, dengan pendapatan yang lumayan, oleh sebuah syarikat IT yang terkemuka, yang memang menjadi idamannya selama ini. Sayangnya, dia terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang dan berjauhan dari keluarganya. Bukan masalah anak emak tetapi dia adalah tempat keluarganya bergantung.

Saya memberikan beberapa cadangan. Antaranya, saya mencadangkan agar dia menerima tawaran tersebut dan, dalam tempoh setahun, cuba untuk mendapatkan rumah di sana. Kemudian bawa sekali ahli keluarganya berpindah bersamanya. Biar susah setahun asalkan senang untuk tempoh yang panjang. Namun berbagai alasan yang dikemukakan olehnya. Sesekali terkesan kehibaannya akibat dari dugaan yang menekan dia selama ini.

Sebagai kawan, tentu sahaja saya bersimpati. Tetapi apalagi yang dapat saya lakukan? Hanya satu perkara yang saya begitu pastinya tentangnya. Saya katakan kepadanya bahawa dia telah menjadi insan yang terlalu negatif. Tidak tahu mengapa. Mungkin kerana sejarah yang melatari hidupnya. Perbualan kami terhenti kerana dia menerima panggilan masuk (call waiting). Dia berjanji untuk telefon kembali tetapi sehingga pagi ini saya masih menunggu panggilannya.

Kemudian saya berbual pula dengan seorang gadis yang akan bertunang pada penghujung minggu ini. Dalam nadanya, terdengar bunyi keceriaan. Namun dia tidak dapat menafikan perasaan wasangka dalam hatinya. Katanya, dia begitu risau jika dia bukan pilihan terbaik buat bakal tunangnya. Sekali lagi, saya juga katakan kepadanya bahawa dia terlalu negatif. Setelah selesai saya 'berkhutbah', bertanya kepada saya bagaimana saya boleh jadi begitu positif.

Selepas itu saya menelefon isteri saya. Isteri saya baru sahaja lulus lesen memandu. Sekarang ini dalam tempoh memahirkan diri. Sementara saya di laut, ayah saya yang mengirinya ke sekolah sambil mengajar apa² yang tidak betul ketika dia memandu. Saya pun bertanya kepadanya bagaimana progress pembelajarannya. Dia katakan bahawa jika dia mampu memberikan tumpuan ketika memandu, semuanya akan baik.

Lalu saya tanyakan apakah yang mengganggu fikirannya hari ini. Rupanya dia risaukan tentang kereta kami yang calar digesel oleh seorang guru lain. Saya katakan kepadanya, dia telah berfikiran negatif. Kereta kami tak mungkin kekal dalam showroom condition sampai bila². Sepatutnya dia mengambil perkara itu secara positif. Lebih baik digesel dari menggesel. Sekurang², bukan kami yang perlu membayar ganti rugi.

Jadi hari ini saya katakan sebagai 'hari positif' saya. Kerana asyik sangat saya berbicara tentang positiviti dalam hidup. Entah mana datang ilham untuk berkata tentang positif, itu Allah lebih mengetahui. Cuma realitinya adalah begitu. Hidup ini akan jadi positif jika kita sendiri berfikiran positif dan sebaliknya. Maka menjadi positif adalah perkara yang penting. Seharusnya kita biasakan diri kita untuk sentiasa menjadi positif.

Seperti apabila teman saya yang kedua tadi tanyakan, bagaimana jika saya dihalau dari rumah saya (rujuk artikel 'Setinggan') sebelum rumah yang saya beli itu siap? Mudah, kata saya. Saya telah bersedia dengan membeli rumah terlebih dahulu. Namun jika Allah tentukan saya ‘dihalau’ sebelum rumah itu siap, maka saya serahkan segalanya kepada Allah. Apa lagi yang kami, manusia dengan kemampuan terhad ini, mampu lakukan? Hanyalah berserah kepadaNya. Bukan?

Namun bukanlah saya katakan saya ini manusia yang sentiasa positif. Tidak lama dahulu, saya juga terlalu negatif. Betapa negatifnya saya, Allah saja yang mengetahui. Isteri saya banyak membantu, memujuk saya untuk menerima hakikat hidup. Namun apabila ujian demi ujian saya tempuhi, saya mulai yakin dengan kehidupan. Saya mula bersangka baik terhadap Allah. Dan saya percaya pasti ada kebaikan atas setiap kejadian.

Apa perlunya kita bersikap negatif? Mengapa kita melakukan ibadah? Kerana kita yakin ada syurga buat kita. Mengapa pula kita tidak bersikap negatif dalam hal ini? Mengapa tidak dengan mudahnya kita katakan bahawa kita bakal menghuni neraka? Maka tidak perlu beribadah dan mengharapkan syurga Allah? Pelik, bukan? Bersikap positif dalam hal ukhrawi tetapi menjadi negative pula dalam duniawi.

Sebenarnya sifat negatifnya ini ada juga baiknya. Jika kita sentiasa yakin bahawa kita akan menghuni syurga, maka kita akan menjadi lalai dengan ibadah kita. Sepatutnya memang ada sedikit sifat bimbang, takut kalau² tercampak ke dalam neraka jahanam. Dengan itu bolehlah menjadi pemangkin untuk kita lipat gandakan amalan kita. Tetapi sifat negatif yang keterlaluan akan menyusahkan diri kita sendiri akhirnya.

Cuba bayangkan, ibu anda bersifat negatif. Takut untuk melahirkan anda kerana peluang untuk mati akan wujud di situ. Apa akan terjadi kepada anda? Bayangkan pula, seorang yang terlalu negatif apabila tiba waktu makan. Lauk yang di hadapannya adalah seekor ikan. Tentu dia akan terfikir, jika dia makan ikan itu, mungkin dia akan tercekik. Akhirnya makanlah dia nasi kosong. Itupun jika dia tidak terfikir bahawa selepas makan perutnya akan memulas...

Orang yang positif, jangankan diberi ikan yang telah siap dimasak, dihulurkan dengan seekor kambing yang masih hidup pun dia akan tahu bagaimana hendak menjadikannya makanan. Walaupun dia tahu dia terpaksa ‘menumbangkan’ kambing tersebut, menyembelih, melapah kulitnya dan memasak hingga dagingnya empuk, dia sanggup lakukan kerana dia tahu enaknya daging kambing itu.

Sepertinya anda diberikan sebiji buah durian. Adakah adil untuk anda katakan bahawa isi durian itu masam sedangkan anda masih belum mengopek kulitnya? Teman saya yang kedua tadi bertanya mengapa saya mengambil contoh durian kerana dia tidak menggemari raja buah²an tersebut. Jawapan saya mudah. Kerana kehidupan ini umpama durian. Luarnya berduri tajam tetapi dalamnya lazat dan berkrim. Disukai ramai.

Cuba lihat orang yang mengopek buah durian. Ada yang tidak perlu bersusah payah telah dapat menikmati isinya. Ada juga yang hingga berdarah2 tangannya. Ini bergantung kepada bagaimana cara kita kopek buah durian tersebut. Begitulah kehidupan. Bergantung bagaimana cara kita 'mengopek' kehidupan itu. Teringat kepada satu dialog dalam filem Forest Gump. "Ibu selalu berkata hidup umpama sekotak cokelat. Kita tidak tahu apa isinya hinggalah kita membukanya."

Beberapa tahun dahulu, sebelum saya bekerja dengan syarikat sekarang, saya pernah merancang untuk bekerja di sebuah loji pembuatan alkohol (untuk kegunaan industri, bukan arak) di Gebeng, Kuantan. Tetapi jika saya diterima bekerja di sana, saya perlu berpindah rumah. Ayah dan ibu saya tidak menjadi masalah. Mereka telah ‘berjanji’ akan mengikuti saya walaupun ke mana juga saya pergi. Yang menjadi masalahnya adalah adik beradik saya.

Mereka 'bising' kerana nanti akan menjadi lebih sukar untuk mereka menziarahi ayah dan ibu saya (kesemua adik beradik saya tinggal di JB). Lalu saya batalkan niat saya dan teruskan bekerja di syarikat lama. Tetapi apa yang saya dapat? Ketika kawan² saya yang berjaya ke tempat baru itu berseronok dengan gaji lumayan, saya terus²an tertekan akibat tertindas di tempat lama. Berkali² dipanggil menghadap Vice President akibat terlalu suka menentang penindasan oleh syarikat.

Maka kerana itu apabila saya ditawarkan kerja sekarang, saya terus terima. Namun sesekali datang juga fikiran negatif dalam minda saya. Bagaimana jika ada sesuatu yang buruk berlaku pada keluarga saya ketika saya di laut? Sempatkah untuk saya pulang? Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang ibu yang sangat² memahami. Kata ibu, jika sesuatu telah ditaqdirkan berlaku, saya ada atau tidak, tidak akan mengubah ketentuanNya.

Ambil contoh seorang yang hidupnya di sekitar rumahnya sahaja. Mencari nafkah pun dengan berniaga di hadapan rumahnya. Secara logik akal dia tentu boleh melindungi keluarganya jika ada apa² yang berlaku. Tetapi, tiba² anaknya mati 'di tangannya' sendiri. Ketika sedang mengundurkan kereta, dia tidak menyedari anaknya ada di belakang keretanya dan secara tidak sengaja telah menyebabkan kematian anaknya itu.

Sedang dia yang sepatutnya menjadi pelindung, sebaliknya dia pula yang menjadi 'pembunuh'. Bagaimana pula dengan kes nenek saudara saya. Setelah sekian lama nazak, tidak juga sampai² ajalnya. Apabila ayah pulang dari kerja di Singapura, mereka (ayah dan ibu) bergegas pulang ke kampung. Kerana bimbang tidak sempat berjumpa dengan Wan Long. Tetapi Alhamdulillah, ayah dan ibu sempat bertemu dan sempat juga meminta ampun darinya.

Setelah ayah dan ibu pulang, belum pun sempat sampai ke rumah, telefon di rumah kami berdering menyatakan Wan Long telah meninggal. Lihat? Seolah²nya Allah 'menahan' ajal Wan Long semata² agar dia dapat berjumpa dengan ayah dan ibu saya. Kedua² contoh ini adalah bukti bahawa kita tidak punyai kuasa terhadap apa² pun. Segalanya atas ketentuan Allah. Jika Allah izinkan, tentu sahaja akan terjadi. Apa sekalipun. Kun faa yakun...

Manusia mempunyai akal yang terhad. Jikalau sekalipun Allah mengurniakannya bakat yang hebat sehingga mampu melihat jauh, sejauh tahun 2020, itupun hanya setakat itu sahaja. Tetapi Allah mengetahui dari saat dunia belum diciptakan hinggalah ke akhir masa dan seterusnya. Oleh kerana melihat masa hadapan tidak terkandung dalam kebolehan kita, maka itu perlunya kita bersikap positif.

Harus berani mengambil cabaran dan RISIKO. Sengaja saya gunakan huruf besar kerana perkataan risiko ini selalunya menjadi igauan terhadap kebanyakan dari kita. Hendak atau tidak, risiko adalah teman akrab kita dalam menghadapi hakikat kehidupan. Percayalah, jika kita rugi pada satu bahagian, kita sebenarnya sedang untung pada bahagian yang lain. Allah Maha Adil dan Dia tidak akan memberikan kita kesusahan tanpa balasan kesenangan walaupun sedikit.

Kesimpulannya di sini, kita mesti berani menjalani perubahan. Mesti berani mengambil risiko. Dan satu cara untuk menjadi berani mengambil risiko adalah dengan berfikiran positif. Tetapi, janganlah terlalu positif hingga terlupa mengambil kira sebarang kemungkinan tidak baik. Seperti contohnya seorang yang hendak mengambil cincin yang terjatuh di dalam kolam dipenuhi buaya yang kelaparan.

Jika dia terlalu negatif, dia akan biarkan cincinnya di dalam kolam itu. Orang yang terlalu positif pula akan terus terjun ke dalam kolam tanpa berfikir panjang. Akan tetapi yang sebaiknya, cubalah dikait cincin itu dengan galah atau apa juga yang boleh. Jika perlu masuk, pastikan dulu buaya itu tidak akan menyerang. Mungkin dengan memberi mereka makan sehingga kenyang sekenyang²nya. Setelah pasti semuanya selamat, barulah boleh mula terjun.

Tetapi, jika semua langkah berjaga² telah diambil, namun tetap diserang dengan buaya tersebut, makan serahkanlah segalanya kepada Allah. Cukuplah Allah sebagai pelindung kita.....

16 January 2006

Maruah Undang-Undang Syariah.

Dalam akhbar Malay Mail hari ini, ada memaparkan temubual dengan beberapa perempuan dan aktivis perempuan (kedua² subjek ini amat bebeza) mengenai Undang² Keluarga Islam yang tidak jadi diwartakan di parlimen baru² ini. Menarik juga. Berbagai² ulasan yang saya baca. Dan, sudah semestinya kesemua mereka tidak bersetuju. Iyalah. Yang ditanya kesemuanya perempuan. Atau lebih tepat lagi, perempuan korporat.

Terus terang, saya tidak ambil peduli sangat dengan undang² yang baru ini. Alasan saya mudah. Kerana biar bagaimanapun digubal undang² syariah, ianya tetap tidak syarie. Kerana dengan akal yang terhad, kita cuba menjadikan syariat Allah sama seperti sebuah undang² sivil. Sebenarnya, undang² tentang perkahwinan ini telah jelas dan telah diperincikan oleh para fuqaha ratusan tahun dahulu. Mengapa pula perlu ada yang baru? Ada nabi yang baru diutuskankah?

Tetapi ada sesuatu yang membuatkan saya akhirnya membaca 'kisah' ini. Kerana teguran teman saya, seorang India yang beragama Kristian. Katanya, kami (lelaki muslim) perlu berwasapada kerana Sisters In Islam (SII) sedang cuba menghalang undang² baru ini. Akan jadi lebih susah nanti untuk berpoligami, katanya sambil tertawa. Saya hanya menggelengkan kepala. "Sisters In Islam tak Islam..." Saya katakan kepadanya berulang kali. Mendengar itu, dia hanya terdiam.

Dalam hati saya berkata, celaka si kafir ini. Mentertawakan undang²Islam. Tapi sebenarnya ini salah kita juga. Kerana hal ini dengaja diperbesar²kan. Entahlah. Mungkin tuntutan SII itu benar. Mungkin undang² itu berat kepada lelaki. Tetapi saya hairan. Mengapa tidak diikut sahaja sebagaimana penjelasan Nabi saw, para sohabat dan para ahli² fiqh terdahulu? Apakah pemikiran mereka ini sudah lapuk hingga kita perlu perbaharui mengikut kesesuaian zaman?

Sudahlah. Saya bukan pakar undang². Dulu², teringin juga saya mengikuti kursus undang² tetapi ibu menghalang kerana bimbang saya 'makan duit haram'. Dia takut saya selamatkan yang salah dan penjarakan yang tidak berdosa. Puas diterangkan tetapi ibu tetap dengan keputusannya, maka akhirnya saya ambil keputusan untuk mengikuti jurusan kejuruteraan petroleum di UTM. Kerana saya percaya, keredhaan ibu melebihi segala²nya. Minat jatuh perkara nombor 2.

Berbalik kepada kisah undang² ini, saya sebenarnya sedikit tergelak melihat orang yang mempersoalkan tentang hukum² Islam ini adalah orang² yang berbogel. Maksud saya, berpakaian tetapi berbogel. Hm... Entahlah. Hukum yang begitu mudah (menutup aurat) pun mereka lalaikan, hendak bercerita tentang hukum yang lebih besar? Layakkah? Tetapi hairan. Walaupun dengan jelas mereka ini golongan yang ingkar, tetap masih ada yang ingin mengikuti.

Saya teringat, ketika menghadiri kursus pra-perkahwinan di JB. Ustaz yang berceramah di hadapan ada menyebut tentang wakil SII yang datang berjumpa dengan beliau meminta dimasukkan dalam taklik sekiranya seorang suami berkahwin lagi, akan gugur talak terhadap isteri pertamanya. Kata ustaz itu, "Datang dengan rambut terurai... Malas saya nak layan. Mana boleh! Kalau benda dah tak ada, mana boleh dijadikan ada!"

Allahu Akbar! Sampai begitu sekali hendak menentang hukum Allah? Dan yang terbaru, saya terbaca, mereka mempertikaikan hukum pembahagian harta. Mereka katakan undang² Islam tidak adil apabila perempuan memperolehi bahagian yang kurang dari lelaki. Astaghfirullah... Dia ingat undang² syariah ini dibuat oleh Suruhanjaya Reid? Boleh bantah² sesuka hati. Begitulah bercakap jika menggunakan akal tanpa panduan iman.

Kebetulan, saya sedang menghabiskan pembacaan buku bertajuk Panduan Memahami Syariah Islam atau tajuk asalnya dalam Bahasa Arab Madkhal Li Daraasaat Asy-Syariah Al-Islamiyah karangan Dr. Yusof al-Qardhawi, diterjemahkan oleh Sdr. Abu Azzam dan diterbitkan oleh Pustaka Ilmi. Ini adalah sebuah buku lama kerana mengikut catatan, cetakan pertama edisi Melayu buku ini ialah pada tahun 1998.

Di dalam buku ini ada penguraian perbezaan antara syariah Allah dan qanun wad'iy (undang² ciptaan) dengan agak terperinci. Paling menarik, buku ini juga ada memetik sebaris firman Allah yang maksudnya:

Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (Quran Surah an-Nisa, 4:65).

Sebenarnya dalam ayat ini, telah menjawab semua pertikaian yang dibangkitkan aktivis² perempuan tadi. Mudah sahaja. Barangsiapa beriman kepada Nabi Muhammad saw, maka perlu menerima Nabi saw sebagai hakim. Contohnya, jika Nabi saw menghukum sebat bagi penzina yang belum berkahwin, maka itulah hukuman yang wajib kita jatuhkan. Jika tidak, bererti kita menolak Nabi saw sebagai hakim. Bererti...

Jadi sebenarnya kita tidak perlu berbantah² dalam memutuskan undang² ini. Hanya perlu rujuk kepada hukum² yang telah sedia ada. Tidak ada yang perlu diubahsuaikan kerana Nabi Muhammad saw diutuskan untuk seluruh bangsa dan zaman. Bukan untuk bangsa Quraish di zaman 13 tahun sebelum Hijrah semata². Bukan setakat kes ini sahaja, bahkan kes² lain seperti kes Moorthy @ Muhammad Abdullah, kes Natrah, dan juga kes² jenayah yang umum.

Jadi sebenarnya tidak timbul sama ada perintah Allah agar kita mendirikan negara Islam terkandung atau tidak di dalam al-Quran. Ayat ini telah menjelaskan segalanya. Keputusan kita mesti selari dengan keputusan yang Nabi saw pernah putuskan. Jikalau kita beriman. Jika dahulu, Nabi saw putuskan perempuan mendapat satu perlapan dari harta peninggalan, wajib kita terima dengan hati yang redha. Sekali lagi, jikalau kita berimanlah.

Sebenarnya, saya berasa sedih juga membaca komen² mereka. Paling sedih, bila terbaca komen seorang 'puan sri' yang mengatakan (lebih kurang), sudah masanya Mahkamah Sivil dibenarkan masuk campur jika Mahkamah Syariah gagal menjatuhkan hukuman. Allahu Akbar. Beginikah orang yang mengaku Islam? Beginikah cara memuliakan Islam hingga membenarkan qanun wad'iy mengatasi syariat Allah...

Sudahlah undang² syariah yang sedia ada cukup lemah dan cukup tersimpang dari hukum yang sebenarnya, mereka hendak izinkan pula undang² yang dicipta oleh akal terhad manusia merendah²kannya? Tidak rasa berdosakah mereka? Dan tidak rasa berdosakah kita membiarkan mereka terus berleluasa? Ya. Kita (termasuk diri saya sendiri) turut bersalah. Kerana kita salah satu punca kemunafiqan sebegini berlarutan. Kerana kita lari dari medan dakwah...

Rasanya tidak mustahil jika pemerintah menurut sahaja tuntutan kumpulan ini. Maka patutkah kita terus menunggu lagi? Mungkin keadaan akan berlarutan. Mungkin satu hari nanti, kita terpaksa relakan anak kita berzina dalam rumah kita sendiri atas nama hak kesamaan dan kebebasan, hasil tuntutan kumpulan ini. Sesungguhnya kaum Yahudi tidak akan bersenang hati sehinggalah kita menurut apa yang mereka mahukan.

Negara yang lebih Islam perlu ditegakkan. Undang² Allah wajib dilaksanakan. Dan golongan munafiqin mesti kita singkirkan. Semoga Allah berkenan memberikan kita bantuan....

12 January 2006

Akibat Kelalaian Kita Sendiri

Tak habis² negara kita dilanda masalah atau gejala sosial. Belum pun reda satu cerita, muncul pula cerita² yang baru. Dan yang terbaru dan dianggap serius adalah gejala Black Metal yang digemparkan oleh media terutama selepas penangkapan yang dilakukan oleh pasukan polis pada malam tahun baru yang lepas. Tidak dinafikan, sedikit sebanyak berita penangkapan begini mengundang resah di hati kita, yang telah mempunyai anak khususnya.

Namun sebenarnya isu ini bukanlah isu yang baru. Ianya bagi saya satu isu yang lapuk. Hanya apabila media membuat pendedahan pada tahun lepas, barulah pihak berkuasa mengambil tindakan dan mengadakan pemantauan. Tetapi sebenarnya Black Metal telah wujud berpuluh tahun dahulu. Malah ketika saya masih bersekolah pun, kebanyakan dari kawan saya adalah dari golongan penggemar irama sebegini.

Saya sebenarnya teringat akan kata² seorang kawan saya. Ketika itu, masyarakat sedang sibuk memperkatakan tentang kes rogol kanak². Kata teman saya, jika sesuatu itu jarang² berlaku, ia mungkin gejala. Tetapi jika ia berlaku berturutan, itu bukan lagi gejala sebaliknya telah menjadi bencana. Itu yang menariknya. Bencana. Jika kita selusuri sejarah pra-pengutusan Nabi Muhammad saw, kita akan dapati banyak kaum yang telah ditimpakan bencana.

Kaum Nabi Luth dihukum dengan diterbalikkan bumi. Kaum Nabi Nuh dengan banjir yang besar manakala kaum Nabi Yunus ditakutkan dengan awan hitam. Tetapi kaum Nabi Yunus diselamatkan dari bencana kerana mereka segera bertaubat. Dan banyak lagi bencana² lain yang menimpa kaum nabi² terdahulu. Lazimnya semua bencana² ini diturunkan atas sebab yang sama. Mengingkari perintah Allah dan rasulNya dan menolak peringatan yang Allah berikan.

Hendak mengatakan gejala Black Metal sebagai bencana (pada pandapat saya) mungkin keterlaluan. Jika tsunami yang dikatakan bencana, mungkin boleh diterima akal. Tetapi, untuk menolak sama sekali pendapat teman saya itu rasanya tidak patut. Mungkin Black Metal bukan bencana tetapi mungkin Allah izinkan kejadiannya sebagai peringatan buat kita. Peringatan atas perbuatan kita yang kian hari kian melampau sebelum satu bencana yang lebih besar diturunkan.

Atau dalam bahasa yang lebih mudah, kejadian Black Metal ini sebenarnya adalah akibat dari perbuatan kita sendiri yang mencuaikan, kalau pun tidak menolak sama sekali, perintah² Allah seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan al-Hadits. Ini juga sebagai peringatan buat kita yang kian hari kian melalaikan tugas sebagai khalifah dan sebagai penyampai agama Allah. Mudah bicara, kerana kita tidak melakukan da'wah.

Sekali lagi, jika berbicara tentang da'wah, maka semua jari akan ditudingkan ke badan² da'wah dan Jabatan Agama Negeri. Memang betullah, jika tidak ada da'wah bermakna mereka tidak menjalankan tugas. Lalu kita bagaimana? Apakah kita tidak perlu berda'wah? Di kalangan umat Nabi Musa as, memang hanya ada satu bahagian dari kaumnya yang dibenarkan melihat Taurat. Tetapi kita lain. Al-Quran diturunkan buat sekalian dari kita!

Sudahlah kita melalaikan da'wah, kita juga kian lupuskan pendidikan agama. Lihat saja apa nasibnya dengan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Pelbagai ugutan dikeluarkan bagi menakutkan guru² yang mengajar dan ibu bapa yang menghantar anak² ke SAR. Sedangkan mereka ini menuntut ilmu yang haq, bahkan mereka dituduh bakal menjadi pengganas. Walaupun tidak ditutup sepenuhnya, sekurang²nya ugutan² itu memberi jejasan yang teruk buat SAR.

Jikalau di sekolah kebangsaan diberikan pendidikan agama yang mencukupi, tidak mengapa juga. Tetapi apa yang terkandung di dalam silabus matapelajaran Pendidikan Islam hanya dikhususkan kepada bidang ibadah sahaja. Seolah² Islam ini seperti agama² ciptaan yang lain. Hendak beribadah ikut Islam. Tetapi dalam urusan lain, ikut barat. Inikan salah? Bukankah perbuatan ini menyamai perbuatan kaum² terdahulu yang menolak utusan² Allah?

Apabila kerajaan mengumumkan hari Sabtu sebagai hari cuti buat guru², memang saya gembira. Kerana isteri saya seorang guru. Tetapi saya tertanya pula. Kelas ko-kurikulum bagaimana pula? Kata isteri saya, kemungkinan akan diadakan pada petang hari persekolahan. Sekolah agama? Tanya saya lagi. Isteri saya hanya mengangkatkan bahu. Hm... Saya mendengus panjang. Pelik. Penting sangatkah ko-kurikulum hingga murid² terpaksa abaikan sekolah agama kerananya?

Jika benar ko-kurikulum itu terlalu penting, apa salahnya jika diadakan pada pagi hari persekolahan? Ini tidak... Inilah yang saya maksudkan. Kita mengabaikan pendidikan agama demi untuk perkara yang sia². Kita letakkan pengetahuan atau pendidikan agama sebagai kelas kedua. Ada masa boleh pergi. Jika ada perkara yang ‘lebih penting’, boleh diabaikan. Apakah Menteri Pelajaran negara Islam Malaysia tidak peka tentang perkara ini?

Dan, jika beginilah caranya kita letakkan agama kita, janganlah kita harapkan dapat membanteras gejala sosial. Terutama fahaman Black Metal ini. Kerana hanya iman dan ketaqwaan kepada Allah dengan sebenar² taqwa yang mampu menjaga diri dan hati kita dari terjerumus ke lembah kesesatan. Ingat, syaitan itu makhluk yang penyabar. Ia senantiasa mencari ruang untuk merosakkan iman dan hati kita.

Jika agama telah diabaikan, maka dengan cara apakah mampu kita selamatkan remaja kita? Dengan penguatkuasaan? Haramkan semua konsert² underground atau yang dipanggil gig ini? Boleh, tetapi... Cuba ambil contoh dengan najis dadah. Benda haram ini telah sekian lama kita haramkan. Siap ditambah dengan perkataan najis di hadapannya lagi. Tetapi, sejauh manakah keberkesanannya tindakan pengharaman itu dalam mengurangkan bilangan penagih?

Dan jika diikutkan, sebenarnya album² 'hantu' dan ganas sebegini sememangnya diharamkan penjualannya di negara kita. Tetapi hakikatnya album² ini begitu hangat di pasaran. Pihak berkuasa tidak cukup kakitangan untuk mengatasi ini. Manakala pihak syarikat rakaman pula hanya pentingkan keuntungan. Jika begini keadaannya, dari segi apakah kita katakan penguatkuasaan mampu membendung gejala ini?

Maka dengan itu saya begitu yakin. Satu²nya cara untuk membetulkan semula kepincangan yang berlaku ini hanyalah kembali kepada al-Quran dan al-Hadits. Kita mesti meletakkan agama kita pada kedudukan yang teratas. Bukan hanya sebagai panduan untuk beribadah tetapi sebagai panduan hidup. Sebagai ad-Deen. Way of life. Meletakkan hukum² Allah mengatasi hukum² ciptaan manusia yang cetek pengetahuannya ini.

Pendidikan agama mesti dijadikan teras. Bukan pendidikan kelas kedua sebagaimana yang berlaku sekarang ini. Semua mereka yang menuju ke jalan Allah mesti dibantu. Hanya dengan cara itulah kita akan selamat. Bukan setakat selamat dari segala kesongsangan yang menimpa sekarang ini, malah juga selamat dari bencana yang Allah pernah turunkan kepada kaum² yang terdahulu. Apakah kita tidak takut?

Tamadun Islam telah terbukti mekar di seluruh dunia. Kita pernah menguasai dua pertiga daripada peta dunia. Kita juga pernah menjadi juara ilmu moden. Tetapi akhirnya merudum dan tersungkur hingga diinjak al-kafirun. Jika kita dasari, bukanlah kekurangan sains dan teknologi yang menjunamkan kerajaan² yang agung itu. Tetapi sifat tamak dan mabuk kuasa oleh amir² yang memerintah. Dengan erti kata lain, kerana tidak mentaati perintah Allah. Fikirkanlah...

10 January 2006

Hari Raya Di Tengah Lautan....

Hari ini 10 Januari 2006 bersamaan 10 Zulhijjah 1426H. Ketika ini umat Islam di seluruh dunia sedang bergembira menyambut kedatangan AildilAdha. Tetapi saya masih di sini. Di tengah lautan sepi. Hidup terapung di atas pelantar gas. Jauh dari anak, isteri, ayah, ibu dan kesekalian kaum keluarga. Tidak ada ketupat dan tidak ada lemang yang menghiasi meja makan. Pakaian pun hanya berpakaian seragam yang dibekalkan oleh syarikat.

Ramai juga kenalan saya yang menghantar email bertanyakan suasana beraya di tengah lautan. Jenuh jugalah kiranya tangan ini menaip email menjelaskan. Tiba2 malam tadi saya terfikir. Jika saya buat sebuah posting khusus menceritakan bagaimana keadaan kami beraya di tengah lautan, mungkin elok juga. Sekurang2nya bolehlah saya kongsikan pengalaman pahit manis beraya tanpa keluarga tercinta di sisi kepada saudara2 semua.

Selama ini pun, kami pekerja2 luar pesisir (offshore) jarang mendapat liputan dari media. Selalunya, apabila tiba hari raya, petugas media akan lebih tertumpu untuk menemubual para tentera yang terpaksa bertugas di perbatasan. Hanya sekali, menurut senior saya, tim TV3 pernah datang membuat liputan. Itupun lama dahulu. Mungkin kerana kerjaya kami tidak begitu glamour seperti abang2 askar kita. Tidak mengapa. Itu tidak penting.

Hakikatnya, kerjaya kami juga menuntut kami berjauhan dengan keluarga. Terpisah oleh lautan nan luas terbentang. Hanya panggilan telefon di malam hari selama 5 minit setiap seorang yang menjadi pelepas rindu kami terhadap kaum keluarga. Hakikatnya juga, kami juga bertugas untuk negara. Kerana jika pelantar ini terpaksa ditutup untuk hari raya, alamat separuh dari negara akan bergelap. Alamat banyak syarikat2 pengangkutan yang mengeluh lepas raya nanti :)

Kebiasaanya, di pagi raya begini, kami akan bersolat Subuh seperti biasa. Hanya zikir selepas solat kami gantikan dengan takbir raya sepertimana yang diamalkan oleh surau2 dan masjid2 di darat. Kemudian kami akan turun bersarapan. Sama seperti hari2 yang lain. Dalam jam 8 pagi, kami akan mula bertakbir. Jika ramai muslim di atas pelantar, kami akan gunakan dewan mesyuarat untuk bersolat. Jika tidak, memadai dengan menggunakan surau kami sahaja.

Kebiasaannya, pasti akan ada sahaja orang yang dengan rela menjadi imam. Kerana biasanya, setiap platform pasti ada orang yang 'alim' yang berkelayakan untuk berbuat begitu. Teks khutbah pula yang kami perolehi dari khutbah di darat pada hari raya tahun yang lepas. Itupun jika ada yang membawanya. Jika tidak, kami gunakanlah teks yang telah bertahun2 lamanya. Tidak mengapa kerana tidak ada orang yang menghafal teks tersebut.... :)

Selepas solat sunat AidilAdha, kami akan segera turun ke kantin yang kami panggil galley­ untuk menjamu selera. Kebiasaannya akan ada lemang, ketupat, rendang dan bermacam2 lagi 'juadah wajib' hari raya. Jadi, walaupun berjauhan dari keluarga yang tercinta, kami tetap dapat meraikan suasana hari raya bersama teman2 senasib. Masih boleh bergelak ketawa, usik mengusik. Belum pernah pula saya lihat mana2 teman saya yang menangis teringatkan keluarga di pagi2 raya.

Seronok, bukan? Seolah2nya tidak ada sedikitpun perasaan sedih di hati kami mengenangkan keluarga yang jauh di kampung. Akan tetapi, jelaslah kami berbohong jika kami katakan tidak sedikit pun berasa sedih. Sekurang2nya, keinginan untuk meraikan hari besar ini bersama keluarga tetap terbit. Hanya kami tidak malayan perasan kami. Kerana kami telah dewasa dan sedar bahawa ini adalah kerjaya yang kami pilih sendiri.

Tetapi segala yang saya cerita itu adalah dari pengalaman tahun yang lepas2. Itupun jika segalanya berjalan lancar. Sayangnya tahun ini bukan seperti tahun2 yang lepas. Tahun ini kami mengalami angin monsun yang kuat. Cukup kuat sehingga menolak kemungkinan bot bekalan (supply boat) menghampiri kami dan mengeluarkan bekalan raya yang dikirimkan kepada kami. Cukup kuat sehingga hos air juga tidak dapat disambungkan dari pelantar ke bot tersebut.

Kesimpulannya, raya tahun ini kami raikan tanpa lemang dan ketupat. Talian telefon juga rosak malam tadi akibat dari cuaca yang buruk ini. Tidak dapatlah kami ucapkan 'Selamat Hari Raya" kepada ahli keluarga kami. Dan, untuk 'menceriakan' lagi sambutan AidilAdha kami, bekalan air juga tinggal sedikit. Akibatnya, berhari2 kami tidak dapat membasuh baju. Dan jika cuaca tidak bertambah elok, besar kemungkinan sehari dua lagi kami tidak boleh mandi...

Bagaimana? Seronok bukan jika dapat beraya seperti kami? Hm... Tapi jangan tersalah faham. Saya tidak kesal mahupun menyalahkan sesiapa. Siapa yang hendak disalahkan? Pihak syarikat telah menyediakan peruntukan untuk sambutan AidilAdha ini. Penyelia Katering (Catering Supervisor) yang kami panggil Campboss juga telah pun membuat tempahan. Malah bekalan telahpun dimuatkan di dalam bot dan bot juga sudah berada di sekitar kami.

Hanya yang tidak ada di ketika ini adalah keizinan dari Allah, Tuhan Pentadbir Alam. Dengan izinNya angin telah bertiup kencang. Maka terhasillah ombak yang menjulang sehingga 4 meter. Dengan ombak sekuat itu, agak mustahil untuk loading & backloading barangan dari bot ke pelantar. Cukup berbahaya. Jadinya, hari ini kami perlu redha beraya dengan sekadarnya. Kerana hari raya bukanlah hari untuk 'makan sekenyang2nya' sebenarnya.

Di hari raya kita memang dituntut bergembira. Kerana itu diharamkan berpuasa pada hari2 tersebut. Akan tetapi kegembiraan bukan datang dari makanan yang sedap2 sahaja. Banyak lagi punca kegembiraan. Melupakan kesedihan yang ada juga merupakan suatu punca kegembiraan. Malah kegembiraan yang baling haq dan paling berkat adalah dengan menghargai nikmat yang Allah berikan.

Memang kami tidak ada ketupat dan lemang. Juga tidak ada daging qurban dan rendang. akan tetapi sekurang2nya kami tidak perlu makan rendang siput babi. Sekurang2nya kami tidak tidur malam dengan mengira bintang di langit kerana tidak ada bumbung yang melindungi tubuh kami. Sekurang2nya kami masih boleh menelefon keluarga kami (harap2 malam ini line ok) walaupun tidak dapat bersama berbanding orang yang kehilangan ahli keluarganya selamanya.

Kami masih jauh lebih bertuah sebenarnya. Setelah cukup bilangan hari, kami tetap akan pulang ke rumah, insyaAllah. Ketika itu, bolehlah kami lepaskan rindu dendam kepada kaum keluarga kami. Bolehlah kami makan lemang dan ketupat sepuas2nya. Bukankah lemang dan ketupat sekarang ini dijual tanpa mengira musim? Jadi sebenarnya tidak ada sebab untuk kami bersedih. Kerana Allah telahpun memberikan yang terbaik untuk kami di sini...

Hari Raya sepatutnya menjadikan kita orang yang bersyukur. Bukan mengeluh dengan kekurangan yang ada. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan serba kekurangan begini, saya masih dapat rasakan kegembiraan AidilAdha. Saya tetap bersyukur kerana Allah memberikan saya sekali lagi peluang untuk menikmati satu lagi nikmat yang diberikanNya semata2 atas dasar ehsan, bukan kerana paksaan siapa2.

Bagaimana? Sudah dapat gambaran jelas dengan cara kami menyambut hari raya? Menarik atau tidak? Sebenarnya beraya di manapun tetap sama. Yang berbeza hanyalah cara kita merayakannya. Juga bagaimana kita mensyukuri nikmat kurniaNya...

09 January 2006

10 Zulhijjah dan Harapan Ibu.

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Laailaaha ilallahu wAllahu Akbar. Allahu Akbar Walillahilhamd. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Allah Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar. Allah Maha Besar dan segala puji bagiNya…

10 Zulhijjah. AidilAdha. Inilah hari kebesaran bagi umat Islam seluruh dunia. Mungkin pada pandangan sesetengah orang tidak sebesar AidilFitri yang disambut pada tiap² 1 Syawal, tetapi AidilAdha tetap membawa makna yang tersendiri. Namun pada saya, AidilAdha jauh lebih besar dari AidilFitri kena kita diharamkan berpuasa bukan hanya pada 10 Zulhijjah tetapi hingga ke 13 Zulhijjah. Manakala di AidilFitri, diharamkan berpuasa hanya pada 1 Syawal sahaja.

Dalam Buletin Utama tadi, ada ditunjukkan rakaman hamba² Allah yang bertuah sedang mengerjakan wukuf. Ada juga ditunjukkan jemaah haji sedang mengerjakan solat di sekeliling Ka’bah. Subhanallah… Cantik sungguh pemandangannya. Bayangkanlah, 2.5 juta manusia bergerak hanya dengan laungan takbir dari seorang imam. Begitulah hebatnya agama yang Allah hadiahkan buat kita ini.

Tanpa sedar, tergenang air di kelopak mata saya melihat visual itu tadi. Lekas2 saya kelipkan mata saya beberapa kali agar genangan itu tidak gugur menjadi titisan airmata. Bukan apa. Risau jika kawan² terlihat. Bimbang mereka akan tersalah anggap menyangka saya menangis kerana tidak dapat beraya di kampung bersama keluarga. Sebenarnya beraya di tengah lautan bukanlah perkara baru bagi saya. Ini kali keempat saya menyambut AidilAdha dengan terapung…

Hakikatnya saya sebak kerana teringatkan ibu saya. Hm… Saya dibesarkan di dalam suasana kemiskinan. Ketika kecil dahulu, saya rajin berbual² dengan ibu saya ketika beliau memasak di dapur. Topik perbualan kami adalah kisah² pahit dan manis serta semua kesusahan yang pernah dialami oleh ibu ketika saya belum dilahirkan. Ada juga ibu menyebut akan harapan² yang terkandung di dalam hatinya. Harapannya terhadap kehidupan.

Alhamdulillah, semua kesusahan itu telah kami atasi. Dan Alhamdulillah, Allah tidak menjadikan saya anak yang lupa diri. Setiap harapan yang ibu saya kisahkan, saya simpan rapat² dalam kotak memori saya dan mencuba untuk menjadikannya kenyataan. Harapannya menjadi harapan saya. Alhamdulillah, sehingga kini, banyak juga harapannya yang telah dicapai. Dan saya bersyukur kerana telah dikurniakan saya seorang isteri yang sangat² memahami.

Tetapi ada dua perkara yang masih belum beliau miliki. Satunya adalah kesihatan. Ibu saya sudah berumur 62 tahun. Tubuhnya sihat hanya kakinya yang tidak dapat dibengkokkan. Apa yang ibu inginkan hanyalah keupayaan untuk meletakkan dahi ke tempat sujud. Bersolat secara duduk tidak mendatangkan kepuasan kepadanya. Tapi tak mengapalah. Kesihatan bukanlah perkara yang mampu kita beli atau aturkan.

Satu lagi harapan beliau yang belum tercapai adalah untuk pergi menunaikan haji ke Makkah al-Mukarramah. Dan inilah sebenarnya yang mengundang airmata saya. Saya sedih. Mengenangkan ibu yang semakin dihambat usia. Entah sempat atau tidak saya membawanya ke sana. Dengan perbelanjaan haji yang kian meningkat, rasanya harapan beliau untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu akan tinggal harapan.

Memanglah luput hukum wajib atas ibu kerana tidak ada kemampuan kepadanya. Tetapi cintanya kepada Allah membuatkan dia lupa hakikat itu. Ibu tidak pernah mendesak. Tidak. Hanya ibu sering bercerita betapa seronoknya jika dapat beribadah di hadapan Ka’bah. Merasa kembali perjalanan para anbiyak. Anak mana yang tidak tersentuh mendengar ibu bercerita begitu? Sedikit sebanyak tentu ada juga cuitannya dalam hati.

Jika hendak dikira dari sudut kemampuan, sepatutnya lama dahulu kami telah menunaikan haji. Tapi malangnya saya lebih mengutamakan perkara² dunia. Saya lebih sibuk memenuhkan rumah kami dengan aksesori yang tidak perlu. Leka membawa mereka (ayah dan ibu) jalan2 cari makan sehingga terlupa menabung untuk ke Makkah. Sehingga kini, aapabila telah terikat dengan hutang kereta dan rumah, kemungkinan menyimpan itu kian menipis…

Ya… Mungkin sebenarnya kami belum lagi mendapat ‘undangan’ dari Allah. Ada juga orang yang terlampau mampu tetapi meninggal sebelum sempat menunaikan haji. Bukanlah saya ingin salahkan taqdir atau Allah kerana ‘masih enggan menjemput kami’. Yang saya kesalkan adalah kerana tiadanya usaha dari saya selama ini untuk menyampaikan harapan ibu yang satu ini. Mengapa sampai begini sekali saya terlalai?

Tak dapat saya bayangkan betapa seronoknya ibu ketika bertawaf mengelilingi Ka’bah. Atau ketika berlari anak atau berjalan menunaikan sa’ie. Juga ketika berebut² dengan jemaah lain untuk melontar jamrah. Allah… Masih sempatkah? Akan termampukah kami nanti? Biarlah Allah tentukan. Semoga Allah akan menunaikan harapan ibu yang satu ini. Semoga Allah sudi menjemput ibu menjadi tetamuNya di Baitul Haram suatu hari nanti…

Ketika ini, bayangan para jemaah sedang solat di sekeliling Ka’bah berterusan bermain di mata saya. Indah sungguh jika dapat sujud di hadapan Ka’bah seperti mereka itu. Beruntunglah mereka yang mendapat jemputan dari Allah ini. Namun saya juga tidak dapat melupuskan bayangan ibu dengan telekongnya sedang khusyuk beribadah di sana. Hanya Allah yang tahu bagaimana merontanya hati saya untuk melihat ibu menjadi tetamu Allah…

Namun harapan ibu tetap harapan saya. Mungkin satu hari nanti akan tercapai juga impian ibu untuk ke sana. Siapa tahu? Jika Allah mahukan itu berlaku, ia pasti akan berlaku. Saya tetap tidak akan berputus harap kepada Allah. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menggandakan usaha dan meperbanyakkan doa. Allah Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui… Untuk tahun ini, terpaksalah ibu menahan gelojak hatinya untuk setahun lagi…

08 January 2006

Hakikat Sebuah Pengorbanan

InsyaAllah beberapa hari lagi kita akan menyambut hari raya AidilAdha atau juga lebih dikenali dengan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban. Seperti namanya, Hari Raya Qurban memang seringkali dikaitkan dengan ibadah qurban di mana orang² yang layak akan mengorbankan seekor unta, qibas, lembu, kambing atau kerbau mengikut kemampuan masing². Ibadah ini pula tidak hanya tertakluk kepada para jemaah haji semata².

Jika dituruti sejarah, ibadah haji boleh dikatakan sebagai pengulanganan peristiwa yang berlaku kepada keluarga Nabi Ibrahim as dengan anaknya, Ismail as. Kedua² nabi yang mulia ini adalah pembuka kota Makkah. Pemakmuran kota Makkah dan pembinaan Kaabah adalah sebagai cara Allah menepati janjiNya terhadap Nabi Allah Ibrahim ketika beliau meninggalkan Hajar dan Ismail di tanah yang gersang lagi tandus.

Kebanyakan perbuatan ibadah haji adalah berdasarkan perlakuan ahli² keluarga ini. Misalnya perbuatan jamrah yang diambil dari perbuatan Nabi Ismail merejam syaitan yang cuba menggodanya agar melarikan diri dari ayahnya yang sedang membawanya ke suatu bukit untuk diqurbankan atas perintah Allah. Begitu juga dengan perbuatan sa'ie dan penyembelihan haiwan ternakan. Semuanya adalah simbolik kepada sejarah keluarga Nabi Allah Ibrahim as.

Jika kita benar² menghayati sejarah ibadah haji ini, pastinya jiwa kita akan tersentuh. Bagaimana seorang Nabi yang begitu mengharapkan kehadiran seorang cahaya mata, kemudiannya dikurniakan seorang anak ketika usianya sudah lanjut, diminta untuk meninggalkan anaknya dan ibu bayi tersebut di lembah yang kontang. Kemudian setelah kanak² itu remaja, dia diminta pula menyembelih anak itu. Bukankah ini ujian cukup berat?

Namun, demi kerana Allah swt, tidak sedikit pun terpancar rasa kesal dan keraguan pada hati Nabi Allah Ibrahim as apabila menerima arahan sebegitu. Bahkan anak beliau sendiri, Nabi Ismail as tidak pernah cuba melarikan diri ketika dikhabarkan perintah ini. Sebaliknya beliau sendiri yang berjalan dengan rela ke tempat penyembelihan, meminta diikatkan kaki dan tangan agar tidak meronta dan diminta ditutupkan wajah agar ayahnya tidak bersimpati.

Pun begitu, ibadah qurban ini bukanlah semata² meniru perbuatan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail as. Ibadah qurban adalah lebih besar dari itu. Sebagaimana Allah memerintahkan Nabi Ibrahim as menyembelih anaknya Ismail, bukanlah kerana Allah inginkan daging atau darah Nabi Ismail as itu akan tetapi hanyalah untuk menguji ketaatan dan kepatuhan serta ketaqwaan Nabi Ibrahim as tehadapNya.

Begitulah juga ibadah qurban yang disyariatkan kepada kita, umat Nabi Muhammad saw. Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa tidak sampai kepadaNya daging dan darah haiwan sembelihan kita melainkan hanya ketaqwaan kita yang Allah perhatikan. Tidak sepertimana dakwaan kaum Yahudi bahawa asap dari haiwan qurbanan yang dibakar itu yang akan membuat Allah gembira.

Maha Suci Allah dari sifat kekurangan. Bukanlah Allah tidak mengetahui akan takat ketaqwaan dan kepatuhan para nabi terhadapNya. Bahkan tidak wujud satu perkara walau sebesar zarah sekalipun melainkan tidak lepas dari pengetahuan Allah, Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semua ini (arahan kepada Nabi Ibrahim as untuk menyembelih anaknya) bukanlah untuk Allah sebaliknya hanya untuk kebaikan hambaNya itu semata².

Dengan pengujian yang sebegitu, bagi orang² yang tebal imannya, akan bertambah suburlah ketaqwaan mereka kepada Allah. Apatah lagi sepertimana Nabi Ibrahim as yang mendapat simpati Allah apabila tatkala pedangnya mencecah leher Ismail as, maka Jibrail as telah turun dan meletakkan qibas di tempat Ismail as. Tentu sahaja akan lahir rasa terharu dalam jiwa kedua insan mulia itu melihatkan sifat Maha Pengasih Allah.

Relatifnya dengan kehidupan kita pada hari ini, kita juga dituntut untuk melakukan pengorbanan. Namun pengorbanan yang bagaimana? Adakah cukup setakat dengan menghulurkan leher haiwan ternakan kita? Atau adakah kita juga perlu menyembelih anak kita sebagai bukti ketaqwaan kita? Atau mungkin kita perlu melekapkan bom di sekeliling pinggang sebelum meletupkannya di tempat tumpuan orang kafir bagi mencapai tahap pengorbanan itu?

Sesungguhnya tidak! Kerana terdapat banyak perkara yang boleh kita qurbankan di sekeliling kita. Untungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad saw adalah kerana kita dikurniakan tanggungjawab untuk menggalas kerja² para nabi. Itulah tugas menyampaikan. Berda’wah. Dan di dalam mencapai maksud tujuan da’wah ini, tentu sahaja terlalu banyak pengorbanan yang perlu kita lakukan.

Dengan tugasan da’wah, tentu saja kita akan kehilangan masa² emas kita bersama keluarga. Selain itu, harta dan tenaga juga terpaksa digunakan dengan banyaknya dalam mencapai matlamat. Ini juga dipanggil pengorbanan. Kerana hakikatnya, walaupun tidak ada daging atau darah haiwan yang dialirkan, kesemua perkara di atas menuntut kita untuk mempamerkan ketaqwaan yang bukan kepalang banyaknya.

Adakah Allah akan mensia²kan segala pengorbanan yang kita lakukan? Demi Allah tidak! Kerana Allah telah menjanjikan pengakhiran yang baik bagi orang² yang memperjuangkan agamaNya dan Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya. Sayang sekali terlalu sedikit di kalangan kita yang sudi melakukan pengorbanan demi kerana Allah. Bukan tidak ada tetapi bilangannya terlalu sedikit.

Dan bilangan yang sedikit ini pula dicaci dan dihina dengan pelbagai cacian dan penghinaan. Mungkin orang jijik melihat kedhaifan mereka sedangkan pada sisi Allah kedudukan mereka adalah tinggi dan mulia. Sebaliknya kita lebih cenderung untuk menyanjungi mereka yang bukan sahaja tidak melakukan pengorbanan atas nama da’wah, sebaliknya menggunakan agama sebagai platform untuk mengumpul harta. Astaghfirullahal ‘azim…

Selain itu, banyak juga terdapat antara kita yang melakukan pengorbanan yang tidak kena pada tempatnya. Mengorbankan masa semata² untuk kerjaya, mengorbankan harta semata² untuk mencapai kedudukan, mengorbankan tenaga untuk keseronokan dan entah apa² lagi bentuk pengorbanan yang akhirnya membawa kepada pengharapan kepada makhluk dan kemurkaan Allah. Sedangkan hakikat yang sebenar, segala²nya hanyalah semata2 atas ketentuan Allah.

Marilah kita berdoa semoga kita tidak tergolong dalam golongan manusia yang sia² pengorbanannya. Dan marilah juga kita berdoa semoga Allah membukakan pintu hati kita agar lebih mudah untuk berkorban kerana Allah. Sesungguhnya pengorbanan adalah pengujian terhadap takat ketaqwaan. Alangkah baiknya jika dapat kita mencapai ketaqwaan yang tinggi takatnya. Alangkah baiknya jika kita menjadi penghuni syurga yang abadi. AllahuAkbar…

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.