25 January 2006

Apo Nak Dikato

Apabila bercakap tentang toyol, tidak dapat tidak tentu saja akan mengundang senyum sinis dari kebanyakan teman² zaman moden ini. Maklumlah, makhluk jenis ini hanya kita dengar dari mulut ke mulut. Susah hendak dipercayai tanpa bukti yang kukuh. Lagipun, berapa ramai antara kita yang pernah terserempak dengan toyol sebelum ini? Tentu sahaja sukar untuk akal waras kita menerima cerita² mistik seperti ini.

Saya juga begitu. Saya merasakan toyol hanyalah rekaan kebanyakan orang. Kononnya kehadiran toyol tidak disedari dan hanya mengambil sebahagian kecil sahaja dari wang kita. Selalunya saya katakan mereka (mangsa toyol) sebagai tersilap kira jumlah duit mereka. Atau kesimpulannya, toyol memang tidak pernah wujud langsung. Itu hanya rekaan atau bayangan mereka yang lemah iman atau terlalu mempercayai dongengan orang tua.

Akan tetapi, petang tadi saya terasa bagaikan hendak percaya pula cerita tentang toyol ini. Setelah saya sendiri mengalami kehilangan wang secara misteri. Ceritanya begini. Setelah mengeluarkan duit yang diperlukan untuk menyelesaikan bil² utility saya, lalu saya asingkan mengikut bahagian² tertentu. Setelah diasingkan, lalu saya simpankan di dalam sebuah kotak khas di dalam laci almari solek di bilik saya.

Tetapi petang tadi, ketika hendak keluar berbelanja untuk barangan keperluan bulanan, saya dapati susunan wang di dalam kotak itu telah berubah. Bagai telah diusik oleh seseorang… Atau sesuatu. Mengesyaki ada yang tidak kena, lalu saya saya mengira setiap bahagian wang saya. Lalu saya dapati wang yang saya asingkan untuk ansuran bulanan kereta saya telah berkurangan sebanyak RM500.

Yang peliknya, wang yang saya asingkan untuk membeli makanan suplemen untuk ibu saya bertambah RM100 lagi. Apabila saya kira semula, ternyata duit saya hilang sebanyak RM400. Pada awalnya saya fikir mungkin saya telah tersalah kira ketika mengasingkan wang tersebut. Tetapi apabila saya senaraikan semula ke mana aliran wang saya, saya dapati memang jumlah itu kekurangan RM400 dari yang sepatutnya.

Puas saya renungkan hal ini. Siapa yang hendak saya tuduh? Yang ada di dalam rumah ini selain saya hanyalah isteri saya, ibu, bapa dan Naqibah, puteri saya yang baru berusia 11 bulan. Isteri saya hendak ambil duit saya? Hm… Mungkin juga tetapi tidak logik. Kerana jika saya kekeringan, dia juga yang akan menjadi ‘bank kewangan’ (finance) saya. Ibu bapa saya memang tidak masuk ke bilik saya. Takkanlah Naqibah sudah pandai mencuri?

Lalu saya teringat akan kisah toyol. Menurut cerita, toyol berasal dari mayat bayi yang meninggal ketika baru dilahirkan. Kemudian, melalui upacara syirik, bayi ini dipuja agar bangkit dan akan mematuhi perintah orang yang ‘menghidupkannya’ semula. Kerja² toyol adalah seperti mencuri atau mengganggu ketenteraman orang lain atau musuh² tuannya. Tetapi yang menjadi identitinya ialah, toyol tidak mencuri semua, akan tetapi hanya sebahagian dari wang yang ada.

Maka dengan ini, kononnya tuan punya wang tersebut tidak akan menyedari bahawa wangnya telah hilang dalam simpanannya. Jadi kiranya toyol adalah makhluk yang cerdik. Hm… namun ini semua adalah dari cerita mulut ke mulut orang. Sukar untuk saya mempercayainya pada awalnya. Walaupun saya pernah terlihat bayangan makhluk seperti toyol, saya lebih berminat untuk mengatakan itu hanyalah khayalan saya semata².

Akan tetapi, selepas kejadian petang tadi, saya mula berkira² untuk mula mempercayai kewujudan makhluk licik ini. Kerana begitu sukar untuk saya menerima hakikat kehilangan wang saya secara misteri. Mungkin kerana hendak memujuk hati saya sendiri, maka saya mula meletakkan tuduhan kepada makhluk yang belum tentu wujud atau tidak ini. Perasaan ini diperkuatkan lagi dengan cerita ibu dan isteri saya.

Mulanya isteri saya bertanya, mungkinkah anak saya boleh melihat makhluk² ghaib seperti toyol ini. Ibu saya (orang tua memang kuat kepercayaan mereka kepada benda² seperti ini) segera mengatakan iya kerana anak saya masih belum pandai bercakap. Lalu isteri saya pun bercerita kononnya malam tadi anak saya kerap terganggu ketika tidur. Walaupun baru lepas disusukan, dia kerap merengek. Keadaannya bagaikan diganggu sesuatu.

Tambah lagi, malam tadi saya masuk tidur awal. Dan tidur pula terlalu lena bagaikan orang mati (selalunya saya tidur bagaikan orang pengsan sahaja ;p). Dan kemudiannya pula, ibu dan ayah saya mula bercerita tentang kisah² kehilangan wang yang pernah kami sekeluarga alami sebelum ini. Hanya, kes² sebelum ini melibatkan wang yang kecil jumlahnya. Kisah² begini menguatkan lagi keyakinan saya bahawa ini angkara makhluk kepala botak ini.

Tambah ibu lagi, sebelum ini telah banyak kali cerita seperti ini diceritakan oleh jiran² kami. Tapi kami buat tak endah kerana bagi kami, mungkin mereka tersilap ketika mengira wang mereka atau apa saja. Akhirnya apabila terjadi kepada kami sendiri, barulah kami hendak menilai semula kisah² yang pernah diceritakan oleh jiran² kami. Tetapi bagi saya, saya memerlukan masa untuk mempercayai kisah sebegini.

Bukan apa, takut jika tersilap dan boleh membawa kepada kerosakan iman. Maklumlah. Garisan pemisah antara iman dan syirik itu terlalu nipis. Jika silap langkah, bila² masa kita boleh terjerumus. Walaupun sebahagian dari hati saya mulai mempercayai kisah si toyol ini, tetapi saya cukup tertarik dengan kata² ayah saya. Kata ayah, kalau kita ini jenis suka ambil harta orang, tak mengapalah jika kita diperlakukan begini…

Itulah yang saya renungkan. Benarkah segala apa yang saya miliki selama ini adalah benar² milik saya? Benarkah selama ini saya mencari rezeki pada jalan yang benar semata²? Saya mula berfikir. Memanglah, secara kasar saya memperolehinya dengan jalan yang halal. Dengan pekerjaan saya. Tetapi… Wujud juga kebimbangan di dalam hati kalau² saya secara tidak sedar telah menggunakan atau terguna jalan salah dalam mencari rezeki.

Namun apapun hakikatnya, saya anggap ini hanyalah cubaan daripadaNya. Dia hanya mahu menduga sejauh mana saya redha terhadap ketentuanNya dan sejauh mana saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakanNya. Saya yakin, inilah yang sebaik²nya saya tanamkan dalam hati saya saya. Daripada terus² meletakkan kepercayaan kepada makhluk ghaib ini. Mungkin benar ia wujud dan mungkin juga tidak. Segalanya terlalu samar untuk ditentukan.

Sama ada benar² toyol yang mengambil duit saya, atau mungkin sebenarnya toyol ‘berkepala hitam’, saya malas untuk fikirkannya. Wang tersebut sudah hilang. Itu hakikat. Tidak ada apa yang perlu diriuhkan lagi. Sepatutnya, saya biarkan wang tersebut di dalam bank. Itu tindakan yang paling tepat. Segala ini tidak akan terjadi, insyaAllah jika saya sanggup bersusah payah ke bank 2, 3 kali. Kini nasi sudah menjadi bubur. Apo nak dikato…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.