Berani Mengambil Risiko
Petang tadi, saya berkesempatan berbicara melalui telefon dengan seorang teman saya. Menurutnya, dia sedang dalam dilema. Ditawarkan satu jawatan yang baik, dengan pendapatan yang lumayan, oleh sebuah syarikat IT yang terkemuka, yang memang menjadi idamannya selama ini. Sayangnya, dia terpaksa berhijrah ke Pulau Pinang dan berjauhan dari keluarganya. Bukan masalah anak emak tetapi dia adalah tempat keluarganya bergantung.
Saya memberikan beberapa cadangan. Antaranya, saya mencadangkan agar dia menerima tawaran tersebut dan, dalam tempoh setahun, cuba untuk mendapatkan rumah di sana. Kemudian bawa sekali ahli keluarganya berpindah bersamanya. Biar susah setahun asalkan senang untuk tempoh yang panjang. Namun berbagai alasan yang dikemukakan olehnya. Sesekali terkesan kehibaannya akibat dari dugaan yang menekan dia selama ini.
Sebagai kawan, tentu sahaja saya bersimpati. Tetapi apalagi yang dapat saya lakukan? Hanya satu perkara yang saya begitu pastinya tentangnya. Saya katakan kepadanya bahawa dia telah menjadi insan yang terlalu negatif. Tidak tahu mengapa. Mungkin kerana sejarah yang melatari hidupnya. Perbualan kami terhenti kerana dia menerima panggilan masuk (call waiting). Dia berjanji untuk telefon kembali tetapi sehingga pagi ini saya masih menunggu panggilannya.
Kemudian saya berbual pula dengan seorang gadis yang akan bertunang pada penghujung minggu ini. Dalam nadanya, terdengar bunyi keceriaan. Namun dia tidak dapat menafikan perasaan wasangka dalam hatinya. Katanya, dia begitu risau jika dia bukan pilihan terbaik buat bakal tunangnya. Sekali lagi, saya juga katakan kepadanya bahawa dia terlalu negatif. Setelah selesai saya 'berkhutbah', bertanya kepada saya bagaimana saya boleh jadi begitu positif.
Selepas itu saya menelefon isteri saya. Isteri saya baru sahaja lulus lesen memandu. Sekarang ini dalam tempoh memahirkan diri. Sementara saya di laut, ayah saya yang mengirinya ke sekolah sambil mengajar apa² yang tidak betul ketika dia memandu. Saya pun bertanya kepadanya bagaimana progress pembelajarannya. Dia katakan bahawa jika dia mampu memberikan tumpuan ketika memandu, semuanya akan baik.
Lalu saya tanyakan apakah yang mengganggu fikirannya hari ini. Rupanya dia risaukan tentang kereta kami yang calar digesel oleh seorang guru lain. Saya katakan kepadanya, dia telah berfikiran negatif. Kereta kami tak mungkin kekal dalam showroom condition sampai bila². Sepatutnya dia mengambil perkara itu secara positif. Lebih baik digesel dari menggesel. Sekurang², bukan kami yang perlu membayar ganti rugi.
Jadi hari ini saya katakan sebagai 'hari positif' saya. Kerana asyik sangat saya berbicara tentang positiviti dalam hidup. Entah mana datang ilham untuk berkata tentang positif, itu Allah lebih mengetahui. Cuma realitinya adalah begitu. Hidup ini akan jadi positif jika kita sendiri berfikiran positif dan sebaliknya. Maka menjadi positif adalah perkara yang penting. Seharusnya kita biasakan diri kita untuk sentiasa menjadi positif.
Seperti apabila teman saya yang kedua tadi tanyakan, bagaimana jika saya dihalau dari rumah saya (rujuk artikel 'Setinggan') sebelum rumah yang saya beli itu siap? Mudah, kata saya. Saya telah bersedia dengan membeli rumah terlebih dahulu. Namun jika Allah tentukan saya ‘dihalau’ sebelum rumah itu siap, maka saya serahkan segalanya kepada Allah. Apa lagi yang kami, manusia dengan kemampuan terhad ini, mampu lakukan? Hanyalah berserah kepadaNya. Bukan?
Namun bukanlah saya katakan saya ini manusia yang sentiasa positif. Tidak lama dahulu, saya juga terlalu negatif. Betapa negatifnya saya, Allah saja yang mengetahui. Isteri saya banyak membantu, memujuk saya untuk menerima hakikat hidup. Namun apabila ujian demi ujian saya tempuhi, saya mulai yakin dengan kehidupan. Saya mula bersangka baik terhadap Allah. Dan saya percaya pasti ada kebaikan atas setiap kejadian.
Apa perlunya kita bersikap negatif? Mengapa kita melakukan ibadah? Kerana kita yakin ada syurga buat kita. Mengapa pula kita tidak bersikap negatif dalam hal ini? Mengapa tidak dengan mudahnya kita katakan bahawa kita bakal menghuni neraka? Maka tidak perlu beribadah dan mengharapkan syurga Allah? Pelik, bukan? Bersikap positif dalam hal ukhrawi tetapi menjadi negative pula dalam duniawi.
Sebenarnya sifat negatifnya ini ada juga baiknya. Jika kita sentiasa yakin bahawa kita akan menghuni syurga, maka kita akan menjadi lalai dengan ibadah kita. Sepatutnya memang ada sedikit sifat bimbang, takut kalau² tercampak ke dalam neraka jahanam. Dengan itu bolehlah menjadi pemangkin untuk kita lipat gandakan amalan kita. Tetapi sifat negatif yang keterlaluan akan menyusahkan diri kita sendiri akhirnya.
Cuba bayangkan, ibu anda bersifat negatif. Takut untuk melahirkan anda kerana peluang untuk mati akan wujud di situ. Apa akan terjadi kepada anda? Bayangkan pula, seorang yang terlalu negatif apabila tiba waktu makan. Lauk yang di hadapannya adalah seekor ikan. Tentu dia akan terfikir, jika dia makan ikan itu, mungkin dia akan tercekik. Akhirnya makanlah dia nasi kosong. Itupun jika dia tidak terfikir bahawa selepas makan perutnya akan memulas...
Orang yang positif, jangankan diberi ikan yang telah siap dimasak, dihulurkan dengan seekor kambing yang masih hidup pun dia akan tahu bagaimana hendak menjadikannya makanan. Walaupun dia tahu dia terpaksa ‘menumbangkan’ kambing tersebut, menyembelih, melapah kulitnya dan memasak hingga dagingnya empuk, dia sanggup lakukan kerana dia tahu enaknya daging kambing itu.
Sepertinya anda diberikan sebiji buah durian. Adakah adil untuk anda katakan bahawa isi durian itu masam sedangkan anda masih belum mengopek kulitnya? Teman saya yang kedua tadi bertanya mengapa saya mengambil contoh durian kerana dia tidak menggemari raja buah²an tersebut. Jawapan saya mudah. Kerana kehidupan ini umpama durian. Luarnya berduri tajam tetapi dalamnya lazat dan berkrim. Disukai ramai.
Cuba lihat orang yang mengopek buah durian. Ada yang tidak perlu bersusah payah telah dapat menikmati isinya. Ada juga yang hingga berdarah2 tangannya. Ini bergantung kepada bagaimana cara kita kopek buah durian tersebut. Begitulah kehidupan. Bergantung bagaimana cara kita 'mengopek' kehidupan itu. Teringat kepada satu dialog dalam filem Forest Gump. "Ibu selalu berkata hidup umpama sekotak cokelat. Kita tidak tahu apa isinya hinggalah kita membukanya."
Beberapa tahun dahulu, sebelum saya bekerja dengan syarikat sekarang, saya pernah merancang untuk bekerja di sebuah loji pembuatan alkohol (untuk kegunaan industri, bukan arak) di Gebeng, Kuantan. Tetapi jika saya diterima bekerja di sana, saya perlu berpindah rumah. Ayah dan ibu saya tidak menjadi masalah. Mereka telah ‘berjanji’ akan mengikuti saya walaupun ke mana juga saya pergi. Yang menjadi masalahnya adalah adik beradik saya.
Mereka 'bising' kerana nanti akan menjadi lebih sukar untuk mereka menziarahi ayah dan ibu saya (kesemua adik beradik saya tinggal di JB). Lalu saya batalkan niat saya dan teruskan bekerja di syarikat lama. Tetapi apa yang saya dapat? Ketika kawan² saya yang berjaya ke tempat baru itu berseronok dengan gaji lumayan, saya terus²an tertekan akibat tertindas di tempat lama. Berkali² dipanggil menghadap Vice President akibat terlalu suka menentang penindasan oleh syarikat.
Maka kerana itu apabila saya ditawarkan kerja sekarang, saya terus terima. Namun sesekali datang juga fikiran negatif dalam minda saya. Bagaimana jika ada sesuatu yang buruk berlaku pada keluarga saya ketika saya di laut? Sempatkah untuk saya pulang? Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang ibu yang sangat² memahami. Kata ibu, jika sesuatu telah ditaqdirkan berlaku, saya ada atau tidak, tidak akan mengubah ketentuanNya.
Ambil contoh seorang yang hidupnya di sekitar rumahnya sahaja. Mencari nafkah pun dengan berniaga di hadapan rumahnya. Secara logik akal dia tentu boleh melindungi keluarganya jika ada apa² yang berlaku. Tetapi, tiba² anaknya mati 'di tangannya' sendiri. Ketika sedang mengundurkan kereta, dia tidak menyedari anaknya ada di belakang keretanya dan secara tidak sengaja telah menyebabkan kematian anaknya itu.
Sedang dia yang sepatutnya menjadi pelindung, sebaliknya dia pula yang menjadi 'pembunuh'. Bagaimana pula dengan kes nenek saudara saya. Setelah sekian lama nazak, tidak juga sampai² ajalnya. Apabila ayah pulang dari kerja di Singapura, mereka (ayah dan ibu) bergegas pulang ke kampung. Kerana bimbang tidak sempat berjumpa dengan Wan Long. Tetapi Alhamdulillah, ayah dan ibu sempat bertemu dan sempat juga meminta ampun darinya.
Setelah ayah dan ibu pulang, belum pun sempat sampai ke rumah, telefon di rumah kami berdering menyatakan Wan Long telah meninggal. Lihat? Seolah²nya Allah 'menahan' ajal Wan Long semata² agar dia dapat berjumpa dengan ayah dan ibu saya. Kedua² contoh ini adalah bukti bahawa kita tidak punyai kuasa terhadap apa² pun. Segalanya atas ketentuan Allah. Jika Allah izinkan, tentu sahaja akan terjadi. Apa sekalipun. Kun faa yakun...
Manusia mempunyai akal yang terhad. Jikalau sekalipun Allah mengurniakannya bakat yang hebat sehingga mampu melihat jauh, sejauh tahun 2020, itupun hanya setakat itu sahaja. Tetapi Allah mengetahui dari saat dunia belum diciptakan hinggalah ke akhir masa dan seterusnya. Oleh kerana melihat masa hadapan tidak terkandung dalam kebolehan kita, maka itu perlunya kita bersikap positif.
Harus berani mengambil cabaran dan RISIKO. Sengaja saya gunakan huruf besar kerana perkataan risiko ini selalunya menjadi igauan terhadap kebanyakan dari kita. Hendak atau tidak, risiko adalah teman akrab kita dalam menghadapi hakikat kehidupan. Percayalah, jika kita rugi pada satu bahagian, kita sebenarnya sedang untung pada bahagian yang lain. Allah Maha Adil dan Dia tidak akan memberikan kita kesusahan tanpa balasan kesenangan walaupun sedikit.
Kesimpulannya di sini, kita mesti berani menjalani perubahan. Mesti berani mengambil risiko. Dan satu cara untuk menjadi berani mengambil risiko adalah dengan berfikiran positif. Tetapi, janganlah terlalu positif hingga terlupa mengambil kira sebarang kemungkinan tidak baik. Seperti contohnya seorang yang hendak mengambil cincin yang terjatuh di dalam kolam dipenuhi buaya yang kelaparan.
Jika dia terlalu negatif, dia akan biarkan cincinnya di dalam kolam itu. Orang yang terlalu positif pula akan terus terjun ke dalam kolam tanpa berfikir panjang. Akan tetapi yang sebaiknya, cubalah dikait cincin itu dengan galah atau apa juga yang boleh. Jika perlu masuk, pastikan dulu buaya itu tidak akan menyerang. Mungkin dengan memberi mereka makan sehingga kenyang sekenyang²nya. Setelah pasti semuanya selamat, barulah boleh mula terjun.
Tetapi, jika semua langkah berjaga² telah diambil, namun tetap diserang dengan buaya tersebut, makan serahkanlah segalanya kepada Allah. Cukuplah Allah sebagai pelindung kita.....
No comments:
Post a Comment