29 January 2006

Hijrah Dan Da'wah


InsyaAllah, Maghrib esok (30 Januari 2006) kita akan menyambut kedatangan 1 Muharram yang menandakan bermulanya satu tahun lagi kiraan hijriah. Seperti yang telah diketahui umum, tahun hijriah ini mula digunapakai dalam zaman pemerintahan Saiyidina Umar al-Khattab ra dengan mengambil kira tahun penghijrahan Baginda Nabi Muhammad saw sebagai tahun bermulanya kiraan.

Penghijrahan Nabi saw dari kota Makkah ke kota Madinah adalah kerana penentangan oleh penduduk kota Makkah, yang ketika itu majoritinya penyembah berhala, terhadap ajaran yang Baginda saw bawa. Namun begitu, bukanlah bererti Baginda saw melarikan diri atau berputus asa terhadap da’wah ke atas musyrikin Makkah. Sebaliknya penghijrahan itu sebagai salah satu usaha da’wah yang lebih besar.

Namun penghijrahan ke Madinah bukanlah perkara yang tidak dirancang. Sebelum Baginda saw merancang untuk meninggalkan Makkah, Baginda saw telah terlebih pergi ke Thaif, atas usaha iman dengan harapan penerimaan penduduk Thaif terhadap Baginda adalah lebih baik. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Baginda bukan setakat dihalau, malah telah dihina, dicaci bahkan dicederakan oleh orang di sana.

Ini adalah kerana penduduk Makkah telah terlebih dahulu mengetahui mengenai rancangan Baginda saw dan telah menyebarkan fitnah agar penduduk Thaif turut membenci Baginda Nabi saw. Baginda saw telah dibaling dengan batu sehinggakan darah bertakung di dalam kasut Baginda. Sehinggakan Jibrail yang sepatutnya tidak berperasaan turut bersimpati melihat kesusahan Baginda saw.

Menurut riwayat, Jibrail telah turun menghadap Nabi saw meminta Baginda saw berdoa agar diturunkan bala terhadap kaum Thaif yang kufur itu. Namun Baginda saw merupakan seorang yang cukup positif. Baginda saw menolak dengan alasan, biarpun penduduk Thaif hari ini menolak Baginda, apa yang Baginda harapkan adalah anak² mereka nanti akan beriman pada hari esok.

Ini adalah sebuah contoh perjuangan yang diperjuangkan atas nama iman yang tulen, yang kental dan disertai dengan keyakinan yang tebal. Baginda relakan tubuh Baginda yang suci lagi mulia bermandikan darah dalam menegakkan kalimah ‘Laailaha illAllah’. Jangankan hendak berputus asa, bahkan menaruh dendam juga tidak. Inilah sifat terpuji yang membawa kepada iman di dalam jiwa kita hari ini.

Ini kerana, sifat ini turut diwarisi oleh orang² yang mempercayai Baginda dan diteruskan zaman berzaman. Maka jadilah agama Islam sebagai agama yang terbesar dan paling ramai penganutnya di dunia hari ini. Sekarang, sebagai orang yang hanya perlu meneruskan sisa² perjuangan Nabi saw dan para sohabat serta pengikut² sohabat, apakah kita telah benar² menjalankan tugas kita?

Hari ini, kerana kesusahan yang sedikit, kita telah menolak tugas da’wah. Atas alasan yang berbentuk duniawi, kita memperlekehkan tugas² da’wah. Lebih dari itu, kita mengutuk, menghina bahkan menghalang mereka yang berjalan atas nama da’wah. Maka apakah masih wajar kita berbangga sebagai orang yang mengaku Islam? Sedangkan iman tidak akan tertegak di dalam hati kita tanpa usaha yang sebegitu.

Cuba bayangkan, setelah kewafatan Nabi saw, para sohabat dan para pengikut mereka telah mengabaikan tugas sebagai penyampai ini. Maka apakah agama kita pada hari ini? Dapatkah kita bayangkan hari ini kita masih menari mengelilingi pokok meminta semangat pokok itu menyelamatkan kita? Atau menyanyi di hadapan patung yang mempunyai banyak tangan atau berteleku di hadapan patung lelaki yang disalib?

Namun syukur Allah telah menyelamatkan kita dengan mengirimkan mubaligh² yang ikhlas untuk membentuk kepercayaan kita terhadap rukun iman yang enam dan beramal dengan rukun Islam yang lima. Akan tetapi, tidakkah kita merasa simpati pula terhadap mereka yang hari ini masih memuja patung berwajah gajah atau percaya bahawa Allah itu mempunyai anak?

Peristiwa hijrah membawa pelbagai makna. Ia bukan setakat kisah Nabi saw dilantik sebagai ketua negara, bahkan ia menjadi medan yang menyaksikan dua pihak yang sentiasa bertelagah iaitu puak Aus dan Khawarij bersatu menjadi kaum yang lebih besar iaitu kaum Ansar. Ia juga memperlihatkan sifat dan semangat perpaduan di kalangan muslim apabila kaum Ansar dengan rela hati membantu kaum Muhajirin.

Lebih dari itu, penghijrahan Baginda merupakan titik tolak pembentukan sebuah negara Islam sepenuhnya yang ditadbir berlandaskan hukum² syariah yang diturunkan Allah, yang melaksanakan hukum hudud sepenuhnya. Ia menjadi bukti bahawa pentadbiran Islam bukan setakat mampu mewujudkan suasana harmoni di kalangan warganya, bahkan mampu turut berlaku adil terhadap yang bukan Islam.

Pentadbiran Baginda Nabi saw dan Piagam Madinah menjadi bahan bukti kukuh bahawa modul pemerintahan yang terbaik sebenarnya adalah dari langit, bukan dari akal singkat manusia. Dan mengatasi segalanya, penghijrahan Nabi saw ke Madinah telah menjadi asas kepada pembukaan Kota Makkah dan penawanan Ka’abah dengan tidak menitiskan walau setitis darah sekalipun.

Hari ini, di kebanyakan negeri di Malaysia menyambut ketibaan Maal Hijrah dengan cuti umum. Seperti amalan biasa, cuti umum menjadi hari kita bersenang lenang dengan keluarga. Di hari inilah kita keluar membeli-belah, berkelah malah lebih dahsyat lagi, keluar berdating dengan pasangan kita. Hari yang sepatutnya menimbulkan keinsafan, telah menjadi hari memuaskan nafsu dan menghasilkan dosa.

Jika dilihat sekeliling kita, perjuangan yang Baginda Nabi saw perjuangkan lebih kurang 1440 tahun dahulu kian menjadi sia² pada hari ini. Bukan setakat maksiat kian berleluasa, bahkan usaha² untuk menghapuskannya juga kian tidak mendapat tempat di hati kita. Bukan bermaksudkan tuan² yang mulia sekalian, sebaliknya saya berbicara tentang diri saya sendiri.

Betapa rendah dan lemahnya iman saya dalam melihat maksiat yang berleluasa ini. Bukan setakat tidak menegur, bahkan turut sekali-sekala melakukan syubahah. Yang menjadi pegangan, hanyalah selemah² iman iaitu menentang dengan hati… Entah apa yang hendak saya katakan semasa bertemu Baginda Nabi saw ketika meminta syafaatnya nanti jika ditanya tentang tugas yang telah diamanahkan…

1 comment:

Sharifah Natasha said...

salam alayk.

Alhamdulillah. Bagus artikel ni. ana pernah terbaca kisah rasulullah di thaif ni melalui buku fadhail amal. hmmm bila ana baca artikel ana, refresh sekejap apa yang ana baca dulu. apa2pun, syukran jazilan.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.