Laa Syarikalah
Rasanya hampir setiap dari kita pernah mengucapkan kalimah 'Asy haduallaa ilaha illAllah', iaini perakuan atau kesaksian kita akan hakikat bahawa hanya Allah yang layak disembah dan dituruti. Dan bagi saya pula, saya lebih gemar menyambung dengan kalimah 'wahdahu laasyarikalah' atau 'Yang Esa, tiada sekutu bagiNya', bagi melengkapkan keyakinan dan keimanan kepadaNya.
Laasyarikalah. Tiada sekutu bagiNya. Ini wajib diakui oleh setiap dari kita. Bukan setakat untuk diakui, bahkan untuk diamalkan dan dibuktikan. Kerana konsep pengesaan adalah dengan menafikan sekutunya. Akan tetapi, sayang sekali kerana kebanyakan dari kita termasuk saya sendiri lebih pandai melafazkan kalimah ini daripada mengamalkan dan membuktikan kesungguhan kita melafazkannya.
Mengakui keesaan Allah adalah perkara yang paling utama. Kerana itu, dalam rukun Islam, mengucap 2 kalimah syahadah ini menjadi perkara yang teratas. Seseorang itu mungkin beriman kepada Allah, beriman kepada para malaikat, kitab2, rasul2, hari qiamat dan qada & qadar tetapi dalam pada masa yang sama masih meletakkan harapan kepada selain dari Allah. Maka jadilah dia mukmin yang bukan muslim.
Kita diwajibkan mengucapkan kalimah 'Ash haduallaa ilaaha illAllah' sekurang2nya 9 kali sehari iaitu sekali ketika Subuh dan masing2 2 kali ketika Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya. Mengapa? Kerana lemahnya iman kita. Kerana seringnya kita lupa bahawa hanya Allah yang memiliki kelayakan untuk diesakan. Kerana mudahnya kita lupa hanya Allah yang mampu mengadakan dan meniadakan sesuatu.
Di awal tadi, saya katakan betapa kebanyakan dari kita (termasuk diri saya sendiri) hanya pandai mengucapkan tetapi gagal menterjemahkan dalam bentuk perbuatan akan kalimah tauhid tersebut. Percaya atau tidak? Saya ambil contoh yang mudah di sini. Berapa ramai antara kita yakin bahawa kebahagiaan dan kesempurnaan hidup terletak kepada wang? Berapa ramai antara kita yang risau kehidupan hari esok jika tiada duit pada hari ini?
Contohnya jika kita dibuang kerja, maka akan bersedihlah kita. Berbagai2 perkara kita fikirkan. Bagaimana handak bayar ansuran rumah, kereta, duit sekolah anak dan bermacam2 lagi. Sehinggakan kita lupa bahawa yang sebenarnya memberi rezeki adalah Allah, Tuhan yang Maha Memiliki. Tanpa kita sedar, kita telah mempertuhankan wang. Kita lebih risau akan hilangnya wang daripada kehilangan Allah dari hidup kita.
Sesungguhnya setiap manusia itu sama di sisi Allah. Yang membezakan hanyalah iman dan taqwa. Sebagaimana seorang yang saya kenal, pernah bercerita (bukan mengeluh) betapa insurans dan cukai jalan keretanya akan tamat beberapa hari lagi dan dia masih kesempitan untuk membayar. Tetapi, katanya dia tidak perlu risau kerana segala2nya adalah ketentuan Allah swt. Kalau Allah katakan jadi, maka akan jadilah semua perkara.
Beberapa hari kemudian, saya menghubunginya. Memandangkan dia memerlukan kenderaan untuk melawat anaknya di sekolah Tahfiz, maka saya rasakan perlu untuk meminjamkannya sedikit wang untuk memperbaharui cukai jalannya. Tapi katanya; "Allah dah hidupkan roadtax Abang. Alhamdulillah. Kalau Allah dah tentukan boleh hidup, hiduplah roadtax tu..."
Mungkin bagi kita pelik dengan ayat 'Allah dah hidupkan roadtax...'. Maka saya tanyakan kepadanya bagaimana. Katanya, beberapa hari lepas, syarikat secara tiba2 membayar bonus kepada kesemua kakitangan. Sebabnya bonus itu diberi tidak jelas tetapi apa yang pasti, Allah boleh membuka pintu rezeki kepada sesiapa dengan serta-merta dan tiba2 tanpa perlu izin dari sesiapa.
Itulah bezanya muslim sebenar dengan kebanyakan mukmin. Bukankah muslim itu orang yang berserah diri? Bagaimana keadaan kita jika perkara ini berlaku kepada kita? Mulalah kita menggelalah (ke hulu ke hilir) mencari wang. Mengeluhnya tak perlu nak katalah. Dan jika tiba2 kita dapat duit, yang kita sering sebut, nasib baik dapat pinjam dengan si anu atau nasib baik syarikat bagi duit atau macam2 lagi.
Seolah2 kita lupa bahawa setiap apa yang berlaku adalah atas izin Allah. Ada juga berlaku bagaimana kita memiliki gaji besar hari ini, begitu yakin dengan kemampuan kita pada hari esok. Tanpa risau, kita berhutang membeli kereta besar, rumah besar dan semua yang besar2 kerana kita begitu pasti kita akan mampu bayar dengan gaji kita hari ini. Kerana kita yakin mampu atau tidaknya bergantung kepada gaji, bukan kepada Allah.
Saya sendiri pernah berharap kepada selain daripada Allah. Bekerja di tengah laut, pada malam hari kadang2 menimbulkan pelbagai perasaan kepada saya. Apa lagi mendengar cerita2 dari rakan2 yang lebih senior. Disebabkan beberapa kali saya 'diganggu' di tengah malam, akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli satu kitab kecil Yaa Sin dan membawanya setiap kali saya bekerja malam.
Dan kitab itu sentiasa di dalam poket saya kecuali apabila ke tandas. Biasanya saya akan tinggalkan di luar. Di suatu hari, saya tertinggal kitab tersebut di luar tandas dan apabila saya kembali ke tandas tersebut, kitab itu telah hilang. Risaunya bukan kepalang sehinggalah Allah mengurniakan hidayahNya kepada saya. Astaghfirullah... Kitab itu hanyalah lembaran kertas yang kebetulan tertulis ayat suci al-Quran di dalamnya.
Tetapi saya telah meletakkan kepercayaan bahawa saya akan selamat dengan adanya kitab itu. Bukankah segala apa yang terjadi hanyalah dengan izin Allah? Bukankah saya pernah mengaku bahawa tiada sekutu bagi Allah? Tetapi nyata Syaitan telah melalaikan saya dan akibatnya, akidah saya hampir terpesong. Maha Suci Allah yang telah menyedarkan saya dan menyelamatkan akidah saya.
Ada juga orang yang menyekutukan Allah dengan amalannya. Diriwayatkan, pada hari Qiamat kelak, seorang lelaki akan dipanggil menghadap Allah. Kemudian dikatakan kepadanya bahawa dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan ditanya pula kepadanya adakah dia tahu mengapa. Maka dengan bangganya dia menjawab kerana solah dan ibadahnya. Maka dengan perintah Allah, lelaki itu dicampakkan ke dalam neraka.
Lelaki berikutnya ditanyakan tentang hal yang sama. Maka dijawabnya "Hanya semata2 kerana rahmat Allah". Maka Alah memerintahkan dia dimasukkan ke dalam syurga. Lihatlah! Betapa amal ibadah kita tidak mampu mambawa kita ke syurga. Segalanya hanya atas rahmat Allah semata2. Jika kita yakin syurga milik kita kerana ibadah yang kita lakukan, maka kita sebenarnya telah menyekutukan Allah dengan amalan2 kita...
Sesungguhnya iman itu adalah selemah2 makhluk. Maka kerana itu Nabi saw memerintahkan kita untuk sentiasa memperbaharui iman. Sekurang2nya dengan solat fardhu, ditambah dengan muakkad qobliah dan ba'diah, kita akan memperbaharui iman sebanyak 15 kali sehari. Jumlah itu masih tidak mencukupi sebenarnya jika dibandingkan dengan nikmat yang telah Allah kurniakan dan dugaan2 yang kita hadapi kian hari.
Jadi bayangkanlah keadannya seorang yang tidak pernah menunaikan solat. Sedangkan kita yang memperbaharui iman 15 kali sehari masih lagi terdedah kepada pemesongan akidah, bagaimana pula dengan dengan orang yang bertahun2 tidak memperbaharui akidah mereka? Wallahu'alam. Semoga Allah memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada setiap dari kita dan semoga kita diselamatkan dari godaan syaitan.
Tiada niat untuk mengajar atau menunjuk pandai di sini. Dengan penulisan ini, saya hanya berharap dapat berkongsi sedikit pemikiran yang tidak sebernas mana ini. Dan semoga Allah memberikan rahmatNya serta ilmuNya kepada kita akibat perkongsian ini. Saudara2 sekalian, marilah kita sama2 berdoa semoga Allah menjaga iman kita dan menempatkan kita bersama2 orang2 yang Dia kasihi di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment