23 January 2006

Asobiyah

Pada hari Jumaat yang baru lepas, saya dipanggil berkursus di ibu pejabat di Kuala Lumpur City Centre (KLCC). Pada hari yang sama juga dijangkakan akan diadakan perhimpunan atau demonstrasi di Masjid Negara selepas solat Jumaat. Perhimpunan secara aman ini adalah bagi menyatakan rasa hati umat Islam negara ini yang menyayangi agama mereka dan bimbang jika kesucian Islam dicemar oleh mereka yang buta hati.

Dari awal lagi, sebaik mendapat khabar tentang perhimpunan ini saya telah merancang untuk turut serta. Malangnya kursus saya berakhir lewat. Hampir jam 1 tengahari. Saya tidak mahu mengambil risiko mengabaikan solat Jumaat maka saya mengambil keputusan untuk solat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC. Sebaik selepas solat, saya bersegera ke Masjid Negara dengan menaiki teksi.

Memang sudah nasib, saya sampai di Masjid Negara lebih kurang jam 2.45 petang dan para peserta perhimpunan sudahpun meninggalkan Masjid Negara. Lalu dengan perasaan hampa, saya menahan sebuah teksi dengan tujuan untuk pulang ke hotel. Sebaik memasuki teksi tersebut, pemandunya ‘dengan ramahnya’ bertanya kepada saya, “Kau jual barang apa di Masjid Negara?” Terkejut saya mendengar soalannya sambil segera menafikan.

“Aku tengok kau dengan baju Melayu… Dengan beg… Biasanya orang menjual je macam ni. Ramai orang buat. Di Kuala Lumpur ni senang nak buat duit.” Sambungnya lagi tanpa diminta. Saya hanya tersengih. Tidak tahu apa yang patut saya jawab lagi. Kemudian pemandu itu dengan ramah bertanya saya berbagai² soalan. Termasuklah tentang kerjaya saya. Nampaknya pemandu itu seperti seorang ‘Professor Serba Tahu’.

“Kau orang mana? Johor?” tanyanya lagi. “Mana tahu?” balas saya. Dia hanya tertawa. Rupanya, apabila saya nyatakan saya bekerja di Terengganu, dia mula memerhatikan cara saya bercakap. “Orang pantai timur susah nak hilang loghatnya.” Tambahnya lagi. “Aku pun asal Johor. Lahir di Batu Pahat, besar di Muar, tua di KL”. Saya tertawa mendengar perkataan ‘tua di KL’. Pertama kali saya dengar orang berkata begitu.

“Orang Johor ni lebih open minded. Kan? Tak macam orang Kelantan. Mereka tu sifat kenegeriannya kuat. Kalau dia seorang, sembah kita pun sanggup. Tapi kalau dah jumpa kaum dia, tinggallah engkau. Kawan baik manapun…” Saya mula merasa tidak selesa apabila topik sebegini yang dibukanya. Lalu saya cuba mengalihkan topik ke perkara lain. Sambil dalam hati saya merasakan cukup kesal. Mengapa masih wujud manusia berfahaman asobiyah sebegini?

Terus terang, saya tidak sedikitpun bersetuju dengan apa yang dikatakannya. Sebaik mendengar katanya itu, memori saya mula mengimbas kenangan sewaktu saya masih menuntut di UTM dahulu. Pada ketika itu saya berkawan dengan sesiapa sahaja. Orang Johor, Kelantan, Terengganu hinggalah orang Sabah dan Sarawak. Malah saya juga berkawan rapat dengan orang India hingga menjadi satu²nya pelajar Melayu yang dibenarkan me-ragging junior mereka.

Tidak pernah saya rasakan mereka ini (pelajar² Kelantan) bersifat kedaerahan. Kalau hendak dikatakan orang Kelantan akan meninggalkan temannya dari negeri lain jika bertemu rakan senegerinya, memang saya susah hendak percaya sama sekali. Masakan tidak, saya masih teringat di suatu masa saya pernah datang kepada sekumpulan pelajar Kelantan yang sedang sibuk berbual sesama mereka.

Sebaik sahaja saya menyertai mereka, kesemua mereka mula bercakap bahasa luar (Johor-Riau). Saya yang ternampak dengan perubahan ini, segera bertanya kepada mereka mengapa mengubah dialek. Mudah mereka menjawab. Kerana bimbang saya tidak faham apa yang mereka katakan. Mereka takut saya rasa bosan lalu tinggalkan mereka. Sedangkan ketika itu, hanya saya seorang bukan berasal dari Kelantan.

Lalu dari segi mana pendapat yang mengatakan orang Kelantan bersifat kenegerian atau kedaerahan? Atau sebenarnya mereka yang menuduh yang bersifat begitu? Sesungguhnya saya kecewa dengan apa yang terjadi tempohari. Dalam kita sibuk mengaku Islam, dalam sibuk membudayakan Hadhari (saya ternampak kad kecil menampilkan lambing ‘Dacing’ di atas dashboard-nya), mengapa mesti berfahaman asobiyah?

Ibu saya berketurunan Minangkabau, Negeri Sembilan. Saya sebenarnya cukup terkilan apabila mendengar orang berkata perempuan Minang jahat² belaka. Sedangkan pada mata saya, ibu saya sebaik² perempuan. Tidak mencampuri hal orang lain, tidak sosial dan paling penting, tidak manabur fitnah. Jadi mana datangnya tuduhan sehina itu? Apakah sebenarnya sifat dan perlakuan seseorang itu berdasarkan tempat asal mereka?

Bagaimana dengan Baginda Nabi saw? Baginda dilahirkan di kalangan orang² kafir Quraisy yang terkenal dengan jahatnya. Merompak, menindas yang miskin, diskriminasi terhadap wanita bahkan menanam anak perempuan sendiri hidup². Jika benar baik buruk seseorang itu berkaitan dengan tempat asalnya, Nabi saw tidak layak menjadi nabi. Akan tetapi, Nabi Muhammad saw muncul sebagai sebaik² manusia dan contoh untuk diikuti sehingga akhir zaman. Bagaimana ya?

Sebenarnya baik dan buruk kelakuan seseorang itu bergantung kepada iman di dalam hatinya. Bukan negeri kelahirannya. Bukan juga asal keturunannya. Tidak mustahil anak seorang perompak menjadi tokoh agama dan tidak juga mustahil cucu seorang ulama menjadi perompak harta anak bangsa. Seorang cucu ulama pun, jika di dalam hatinya penuh dengan perkara² dunia sifat haloba, tetap akan melakukan perkara yang salah juga.

Seperti patah lagu Iman Mutiara dendangan kumpulan nasyid Raihan. “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa…”. Maka jika anak seorang nabi sekalipun, tetap tidak terlepas dari dari melakukan dosa selagi tidak ada taqwa di hatinya. Sebagaimana anak² Nabi Nuh as. Bapa mereka seorang nabi yang termasuk dalam senarai ‘ulul azmi tetapi mereka tetap mati dalam keadaan kufur…

Dalam keadaan agama Islam mula berkembang semula, pendirian asobiyah ini dilihat sebagai berbahaya dan boleh menyekat pembangunan agama kita. Oleh itu, perlu bagi kita untuk meninggal fahaman sebegini seberapa segera yang mungkin. Allah juga menyebut di dalam al-Quran akan pentingnya menjaga perpaduan antara kita sesama muslim sebagaimana maksudnya;

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa Jahiliah) bermusuh musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu, kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Quran surah Ali ‘Imran 3:103)

1 comment:

Anonymous said...

Asobiyyah yang tidak dibenarkan ialah kita menolong puak atau kumpulan kita dengan dasar kita menzalimi puak/ kumpulan lain.

Jika kita menolong bangsa kita tetapi tidak menzalimi/ tidak menutup peluang bangsa lain tak apa.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.