Hari Raya Di Tengah Lautan....
Hari ini 10 Januari 2006 bersamaan 10 Zulhijjah 1426H. Ketika ini umat Islam di seluruh dunia sedang bergembira menyambut kedatangan AildilAdha. Tetapi saya masih di sini. Di tengah lautan sepi. Hidup terapung di atas pelantar gas. Jauh dari anak, isteri, ayah, ibu dan kesekalian kaum keluarga. Tidak ada ketupat dan tidak ada lemang yang menghiasi meja makan. Pakaian pun hanya berpakaian seragam yang dibekalkan oleh syarikat.
Ramai juga kenalan saya yang menghantar email bertanyakan suasana beraya di tengah lautan. Jenuh jugalah kiranya tangan ini menaip email menjelaskan. Tiba2 malam tadi saya terfikir. Jika saya buat sebuah posting khusus menceritakan bagaimana keadaan kami beraya di tengah lautan, mungkin elok juga. Sekurang2nya bolehlah saya kongsikan pengalaman pahit manis beraya tanpa keluarga tercinta di sisi kepada saudara2 semua.
Selama ini pun, kami pekerja2 luar pesisir (offshore) jarang mendapat liputan dari media. Selalunya, apabila tiba hari raya, petugas media akan lebih tertumpu untuk menemubual para tentera yang terpaksa bertugas di perbatasan. Hanya sekali, menurut senior saya, tim TV3 pernah datang membuat liputan. Itupun lama dahulu. Mungkin kerana kerjaya kami tidak begitu glamour seperti abang2 askar kita. Tidak mengapa. Itu tidak penting.
Hakikatnya, kerjaya kami juga menuntut kami berjauhan dengan keluarga. Terpisah oleh lautan nan luas terbentang. Hanya panggilan telefon di malam hari selama 5 minit setiap seorang yang menjadi pelepas rindu kami terhadap kaum keluarga. Hakikatnya juga, kami juga bertugas untuk negara. Kerana jika pelantar ini terpaksa ditutup untuk hari raya, alamat separuh dari negara akan bergelap. Alamat banyak syarikat2 pengangkutan yang mengeluh lepas raya nanti :)
Kebiasaanya, di pagi raya begini, kami akan bersolat Subuh seperti biasa. Hanya zikir selepas solat kami gantikan dengan takbir raya sepertimana yang diamalkan oleh surau2 dan masjid2 di darat. Kemudian kami akan turun bersarapan. Sama seperti hari2 yang lain. Dalam jam 8 pagi, kami akan mula bertakbir. Jika ramai muslim di atas pelantar, kami akan gunakan dewan mesyuarat untuk bersolat. Jika tidak, memadai dengan menggunakan surau kami sahaja.
Kebiasaannya, pasti akan ada sahaja orang yang dengan rela menjadi imam. Kerana biasanya, setiap platform pasti ada orang yang 'alim' yang berkelayakan untuk berbuat begitu. Teks khutbah pula yang kami perolehi dari khutbah di darat pada hari raya tahun yang lepas. Itupun jika ada yang membawanya. Jika tidak, kami gunakanlah teks yang telah bertahun2 lamanya. Tidak mengapa kerana tidak ada orang yang menghafal teks tersebut.... :)
Selepas solat sunat AidilAdha, kami akan segera turun ke kantin yang kami panggil galley untuk menjamu selera. Kebiasaannya akan ada lemang, ketupat, rendang dan bermacam2 lagi 'juadah wajib' hari raya. Jadi, walaupun berjauhan dari keluarga yang tercinta, kami tetap dapat meraikan suasana hari raya bersama teman2 senasib. Masih boleh bergelak ketawa, usik mengusik. Belum pernah pula saya lihat mana2 teman saya yang menangis teringatkan keluarga di pagi2 raya.
Seronok, bukan? Seolah2nya tidak ada sedikitpun perasaan sedih di hati kami mengenangkan keluarga yang jauh di kampung. Akan tetapi, jelaslah kami berbohong jika kami katakan tidak sedikit pun berasa sedih. Sekurang2nya, keinginan untuk meraikan hari besar ini bersama keluarga tetap terbit. Hanya kami tidak malayan perasan kami. Kerana kami telah dewasa dan sedar bahawa ini adalah kerjaya yang kami pilih sendiri.
Tetapi segala yang saya cerita itu adalah dari pengalaman tahun yang lepas2. Itupun jika segalanya berjalan lancar. Sayangnya tahun ini bukan seperti tahun2 yang lepas. Tahun ini kami mengalami angin monsun yang kuat. Cukup kuat sehingga menolak kemungkinan bot bekalan (supply boat) menghampiri kami dan mengeluarkan bekalan raya yang dikirimkan kepada kami. Cukup kuat sehingga hos air juga tidak dapat disambungkan dari pelantar ke bot tersebut.
Kesimpulannya, raya tahun ini kami raikan tanpa lemang dan ketupat. Talian telefon juga rosak malam tadi akibat dari cuaca yang buruk ini. Tidak dapatlah kami ucapkan 'Selamat Hari Raya" kepada ahli keluarga kami. Dan, untuk 'menceriakan' lagi sambutan AidilAdha kami, bekalan air juga tinggal sedikit. Akibatnya, berhari2 kami tidak dapat membasuh baju. Dan jika cuaca tidak bertambah elok, besar kemungkinan sehari dua lagi kami tidak boleh mandi...
Bagaimana? Seronok bukan jika dapat beraya seperti kami? Hm... Tapi jangan tersalah faham. Saya tidak kesal mahupun menyalahkan sesiapa. Siapa yang hendak disalahkan? Pihak syarikat telah menyediakan peruntukan untuk sambutan AidilAdha ini. Penyelia Katering (Catering Supervisor) yang kami panggil Campboss juga telah pun membuat tempahan. Malah bekalan telahpun dimuatkan di dalam bot dan bot juga sudah berada di sekitar kami.
Hanya yang tidak ada di ketika ini adalah keizinan dari Allah, Tuhan Pentadbir Alam. Dengan izinNya angin telah bertiup kencang. Maka terhasillah ombak yang menjulang sehingga 4 meter. Dengan ombak sekuat itu, agak mustahil untuk loading & backloading barangan dari bot ke pelantar. Cukup berbahaya. Jadinya, hari ini kami perlu redha beraya dengan sekadarnya. Kerana hari raya bukanlah hari untuk 'makan sekenyang2nya' sebenarnya.
Di hari raya kita memang dituntut bergembira. Kerana itu diharamkan berpuasa pada hari2 tersebut. Akan tetapi kegembiraan bukan datang dari makanan yang sedap2 sahaja. Banyak lagi punca kegembiraan. Melupakan kesedihan yang ada juga merupakan suatu punca kegembiraan. Malah kegembiraan yang baling haq dan paling berkat adalah dengan menghargai nikmat yang Allah berikan.
Memang kami tidak ada ketupat dan lemang. Juga tidak ada daging qurban dan rendang. akan tetapi sekurang2nya kami tidak perlu makan rendang siput babi. Sekurang2nya kami tidak tidur malam dengan mengira bintang di langit kerana tidak ada bumbung yang melindungi tubuh kami. Sekurang2nya kami masih boleh menelefon keluarga kami (harap2 malam ini line ok) walaupun tidak dapat bersama berbanding orang yang kehilangan ahli keluarganya selamanya.
Kami masih jauh lebih bertuah sebenarnya. Setelah cukup bilangan hari, kami tetap akan pulang ke rumah, insyaAllah. Ketika itu, bolehlah kami lepaskan rindu dendam kepada kaum keluarga kami. Bolehlah kami makan lemang dan ketupat sepuas2nya. Bukankah lemang dan ketupat sekarang ini dijual tanpa mengira musim? Jadi sebenarnya tidak ada sebab untuk kami bersedih. Kerana Allah telahpun memberikan yang terbaik untuk kami di sini...
Hari Raya sepatutnya menjadikan kita orang yang bersyukur. Bukan mengeluh dengan kekurangan yang ada. Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan serba kekurangan begini, saya masih dapat rasakan kegembiraan AidilAdha. Saya tetap bersyukur kerana Allah memberikan saya sekali lagi peluang untuk menikmati satu lagi nikmat yang diberikanNya semata2 atas dasar ehsan, bukan kerana paksaan siapa2.
Bagaimana? Sudah dapat gambaran jelas dengan cara kami menyambut hari raya? Menarik atau tidak? Sebenarnya beraya di manapun tetap sama. Yang berbeza hanyalah cara kita merayakannya. Juga bagaimana kita mensyukuri nikmat kurniaNya...
No comments:
Post a Comment