19 December 2006

Tangisan Di Rumah Nurhikmah


Pada 13 Disember baru-baru ini, saya ke Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri
mesyuarat kesatuan. Semasa dalam perjalanan, saya hubungi teman saya dan
memberitahunya bahawa saya akan ke sana. Dan kami merangka rancangan untuk
bertemu jika mesyuarat saya berjaya ditamatkan lebih awal. Dan itulah
sebenarnya yang terjadi. Kami korbankan makan tengahari dan dapat menutup
mesyuarat jauh lebih awal.

Sebaik tamat mesyuarat, saya menghubungi teman saya tadi menggunakan sistem
pesanan ringkas (SMS). Tidak lama kemudian, keretanya pun muncul di hadapan
bangunan pejabat syarikat tempat saya bekerja. “Ada apa-apa program tak
lepas ni?” tanyanya. Saya menggelengkan kepala. “Cuma malam nanti la nak
balik Terengganu.” “Ok… Ni nak ajak pergi Kajang ni…”

Kajang? Kalau sebut Kajang, yang terbayang di kepala saya hanyalah sate
Kajang. Tetapi kemudian teman saya menjelaskan bahawa kami akan menuju ke
Rumah Nurhikmah, yang menempatkan anak-anak yatim dan ibu tunggal. Oh…
Detik hati saya. OK juga. Sebenarnya saya pernah menulis tentang Rumah
Nurhikmah ini tetapi, saya masih belum pernah berpeluang melihat keadaan
sebenar mereka. Mungkin inilah peluang saya.

Perjalanan dirasakan terlalu jauh. Sebenarnya saya begitu ghairah untuk
melihat keadaan rumah tersebut. Kerana fikir saya, selepas artikel itu saya
poskan ke internet, ramai yang menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk
membantu. Dan pula saya sering terbaca di sebuah grup tentang perkembangan
Rumah Nurhikmah ini. Saya terbayangkan suasananya tentu bukan lagi seperti
gambar yang pernah dikirimkan kepada saya dahulu.

Sampai ke Kajang, dan setelah membelok ke beberapa sekolah (yang
mengelirukan terutama bagi orang yang pertama kali seperti saya), kami
akhirnya tiba di hadapan Rumah Nurhikmah. Dari luaran ianya kelihatan
seperti rumah biasa. Hanya papan tanda yang bertulis nama rumah tersebut
menjadikan ianya berbeza dari yang lain. Lalu teman saya tadi mengajak saya
masuk ke rumah tersebut.

Sebaik melangkahkan kaki melepasi pagarnya, saya amat terkejut melihat
keadaan dalamannya. Allahu Akbar! Ramainya anak-anak! Rumah yang pada
asalnya saya lihat seperti besar tadi tiba-tiba saya rasakan terlalu kecil
dan tidak mencukup untuk mereka. Namun saya lihat di wajah anak-anak yang
berada di situ kesemuanya penuh dengan keceriaan. Ada yang tersenyum
melihat kami lalu segera bersalaman dengan kami.

Sopan sungguh, bisik hati saya. Jika melihat seorang kanak-kanak yang
bersopan, tentulah hati kita akan aktif memuji orang yang menjaganya.
Bukan? Kerana adab anak-anak banyak dipengaruhi oleh orang yang membesarkan
mereka. Iya… Bergantung kepada pendidikan yang mereka terima di rumah. Dan
melihat keadaan mereka, saya agak yakin bahawa penjaga mereka di rumah itu
telah menjalankan tugasnya dengan baik.

Saya diperkenalkan kepada Hj. Othman, orang yang bertanggung jawab ke atas
anak-anak ini. Tetapi kami hanya sempat berbual untuk satu tempoh yang
pendek kerana ada banyak perkara yang menuntut perhatian Hj. Othman. Tak
mengapalah. Kerana saya tidak ada urusan penting di situ. Hanya teman saya
yang mahu berbincang tentang projeknya untuk menyediakan sudut bacaan di
rumah tersebut.

Jadi saya mundar-mandir di hadapan rumah tersebut sambil menunggu Hj.
Othman punyai masa untuk bercakap dengan teman saya. Tiba-tiba saya ditegur
oleh seorang dari anak-anak yang duduk di kerusi panjang berhampiran.
“Pakcik! Pakcik duduk mana?” tanyanya kepada saya. Saya kira anak ini mahu
beramah mesra dengan saya. “Johor.” Jawab saya lalu segera duduk di sebelah
mereka.

“Pakcik… Boleh pinjam telefon tak?” tanyanya. Telefon? Pelik juga saya. Apa
yang anak di sini hendak buat dengan telefon? Hendak bermain permainan java
kah? Tanya hati saya sendirian. “Nak buat apa?” saya cuba mendapatkan
kepastian. “Nak telefon mak. Mak janji nak datang hari ni. Tapi tak sampai
lagi…” jawabnya sambil titisan air jernih mula bergenang di kelopak
matanya.

Saya mengangguk sambil segera mengeluarkan telefon bimbit saya. Anak tadi
menyebut nombor ibunya dan saya serahkan telefon itu kepadanya selepas
mendail nombor yang disebutnya. “Tak ada orang angkat…” katanya sedih
sambil menyerahkan semula telefon itu kepada saya. “Tapi mak saya pakai 2
nombor” sambungnya lagi membayangkan kemungkinnan untuk mencuba nombor yang
kedua pula.

Sekali lagi saya serahkan telefon kepadanya selesai mendail nombor yang
disebutkan. “Off la…” jawabnya. Kali ini genangan airmata terus meleleh di
pipinya. Saya menyambut telefon yang dihulurkannya kepada saya. Saya semak
senarai nombor yang dipanggil dan kemudian cuba menelefon sekali lagi.
Tiba-tiba saya dengar suara perempuan menjawab. Lalu segera saya serahkan
kepada anak tadi.

“Mak… kenapa tinggalkan kami kat sini? Kami nak balik…” tutur anak itu
dikuti esakan yang memilukan. Seketika kemudian talian diputuskan.
“Kenapa?” tanya saya. “Nanti mak telefon balik” jawabnya dan seketika
kemudian telefon saya berdering semula. Si anak segera menjawab dan dengan
nada penuh syahdu, saya mendengar si anak merayu kepada ibunya untuk
mengambil mereka kembali.

Saya tidak dapat menahan sebak. Tetapi sebolehnya saya tidak mahu
melelehkan air mata di hadapan orang. Seketika kemudian telefon itu
diserahkan kepada abangnya yang berada di sebelah saya. Sama juga. Abangnya
juga merayu untuk pulang. Kemudian si abang menyerahkan semula kepada
adiknya. Rasa bersalah mula menyelubungi hati saya kerana membenarkan
mereka menggunakan telefon saya…

“Bila datang sini?” saya tanya kepada si abang. “Isnin.” Jawabnya pendek.
Oh… patutlah. Baru dua hari… Fikir saya. “Kami tak nak duduk sini. Kami nak
balik rumah nenek kami…” rintih si abang dengan nada pilu. Lalu saya
memeluknya. Untuk seketika tangisannya berkurangan tetapi gerak pada
tubuhnya menunjukkan sedan yang dirasakannya. Seketika kemudian terasa
titisan hangat air mata menitis di atas paha saya.

Saya bercadang untuk memberikan mereka sedikit nasihat tetapi sebelum
sempat saya berbuat demikian, datang seorang anak lain yang memanggil
mereka masuk. Entah. Mungkin mereka ada mesyuarat petang. Saya hanya
biarkan mereka berlalu pergi. “Budak macam ni jangan halang dia. Kalau dia
nak keluar, biar dia keluar. Nak simpan buat apa?” ujar seorang lelaki yang
entah dari mana datangnya saya sendiri tidak pasti.

Saya hanya tersenyum. Malas untuk memberika apa-apa komen. Tetapi apabila
dia kerap mengulangi perkataan yang sama, saya segera berkata “Masalahnya,
mak dia yang tinggalkan dia di sini. Bukan orang rumah ni yang datang
ambil” membuatkan dia terdiam. Kemudian teman saya bertanya tujuannya di
situ. “Adik saya ada dalam ni.” Jawabnya sambil menyebut satu persatu nama
4 orang adik-adiknya yang tinggal di rumah itu.

Ah… Biarlah lelaki itu dengan mulutnya yang becok itu. Hati saya begitu
tensentuh dengan tangisan dua beradik yang meminjam telefon bimbit saya
sebentar tadi. Sedihnya… Yalah… Siapa yang tidak sedih terpaksa berjauhan
dengan ibu dan keluarga sendiri. Terpaksa pula tinggal di rumah yang
dikongsi dengan puluhan yang lain. Tetapi… Mesti ada sebab mengapa mereka
ditinggalkan di situ oleh ibu mereka…

Saya mengirim SMS kepada isteri saya. Bercerita tentang apa yang sedang
saya lalui dan lihat ketika itu. Ah… Beruntungnya anak kami. Walaupun kami
bukan orang kaya, tetapi sekurang-kurangnya anak kami tidak perlu berpisah
dengan kami. Anak kami tidak perlu melalui perasaan yang dilalui oleh
anak-anak di rumah Nurhikmah ini. Betapa beruntungnya mereka berbanding
anak-anak ini…

Saya terfikir, mungkin patut saya bawa anak-anak saya ke tempat seperti
rumah Nurhikmah ini agar mereka mengerti, betapa wajibnya bersyukur dengan
apa yang kita ada kerana sentiasa ada orang yang hidupnya kurang daripada
apa yang kita miliki. Kalau boleh saya mahu anak saya berkawan dengan
mereka. Tetapi… Rumah kami jauh nun di Johor Bahru. Mungkin saya patut
mencari rumah seperti ini di tempat saya sendiri…

Sebenarnya ini pengalaman pertama saya melawat rumah perlindungan seperti
ini. Sebelum ini, ketika menuntut dulu pernah juga saya ke rumah anak-anak
yatim. Tetapi ketika itu perasaan saya tidak sama seperti keadaan saya
ketika di Rumah Nurhikmah. Entahlah. Mungkin kerana sekarang saya sendiri
sudah bergelar ayah maka saya sudah punyai naluri kebapaan yang menerbitkan
emosi saya ketika itu.

Apapun, saya merasakan pengalaman di Rumah Nurhikmah sesuatu yang cukup
bernilai. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman saya (sengaja tidak
saya sebut namanya di sini kerana bimbang dia tidak selesa) yang membawa
saya ke sana… Sesungguhnya hidup ini adalah sebuah keindahan hanya apabila
hati kita diindahkan dengan cahaya kesyukuran. Dan hidup ini asalah
kesuraman jika kita semai ianya dengan benih kekufuran…

17 December 2006

Selamat Hari Jadi Ayah.....


Hari ini 17 Disember. Genap 66 tahun yang lalu, pada hari inilah lahirnya
seorang lelaki yang menjadi asbab saya dilahirkan. Dan lelaki itu, pada
hari ini saya panggil sebagai ayah. Alhamdulillah, ayah masih mampu melalui
hari ulangtahun kelahirannya yang ke 66 dan kami 6 adik beradik berserta
ibu dan juga 18 orang cucunya sempat meraikan bersamanya. Meskipun kini
saya berada ratusan kilometer dari daratan...

Pagi tadi, seawal jam 9 pagi saya telah menelefonnya untuk mengucapkan
selamat hari lahir. "Tapi sorry lah ayah sebab tak ada hadiah. Nanti balik
darat baru beli eh?" ujar saya cuba menutup kesilapan. "Tak payahlah. Nak
buat apa?" tanya ayah. "Dah tua ganyut dah. Tak payahlah hadiah-hadiah
ni..." sambung ayah lagi. Saya hanya tersenyum. Katanya tidak mahu, tetapi
kalau saya beri juga, pasti dia gembira.

Ayah memang tidak pernah meminta hadiah. Bukan setakat hadiah, 10 sen pun
ayah tidak pernah meminta daripada anak-anaknya. Apa yang ayah mahukan dari
kami hanyalah hidup dengan bahagia bersama keluarga kami tanpa melupakan
dia dan ibu kami. Yang ayah mahukan hanyalah anak-anaknya sering pulang ke
rumah untuk menjengah keadaan mereka berdua. Itu sahaja.

Jika hendak dikira, rasanya seluruh dunia dan isinya pun tidak akan mampu
membalas segala kebaikan dan jasa ayah membesarkan kami adik beradik. Kami
bukan orang senang. Ayah juga bukan orang terpelajar. Ayah tersingkir dari
sekolah akibat keluarga yang kucar-kacir. Ayah juga tidak punya tanah untuk
diusahakan. Tanpa pelajaran dan tanah, apa yang ayah mampu lakukan hanyalah
dengan menjadi buruh kasar.

Bermacam kerja yang ayah lakukan. Menjadi nelayan, menjual aiskerim,
menoreh getah melombong timah dan berbagai lagi. Hinggakan terpaksa tingga
di dalam estet yang lebih mirip kepada hutan. Makan hanya makanan dalam tin
seperti sardin dan sotong kering kerana sukarnya hendak ke pekan membeli
barang keperluan. Bahkan ayah pernah tertimbus di dalam lombong yang runtuh
tebing tanahnya.

Namun itu semua tidak pernah melunturkan semangat ayah untuk terus mencari
nafkah untuk kami anak-beranak. Setiap detik dan ketika, kami sekeluargalah
yang menjadi keutamaan dalam hidupnya. Ayah bekerja siang dan malam bukan
untuk hidup mewah, tetapi sekadar bagi memastikan tidak ada dari
anak-anaknya yang nanti kebuluran. Malah ayah sanggup memakai baju buruk
asalkan wajah anak-anaknya berseri dengan baju yang baru.

Ketika saya mendaftar di UTM, umur ayah sudah menjangkau 54 tahun. Pada
usia begitu, ayah sepatutnya sudah mula kurangkan bekerja. Tetapi usahanya
terpaksa dilipat-gandakan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan saya di
universiti. Mujurlah pada ketika itu ada abang saya yang sudah bekerja dan
membantunya untuk meringankan beban keluarga. Jika tidak, tentu ayah perlu
berusaha dengan lebih teruk lagi.

Kini, pada usia 66 tahun, ayah sudah tidak saya benarkan bekerja. Saya mahu
ayah berehat dan menghabiskan masanya bermanja dengan cucu-cucunya
(anak-anak saya kerana mereka tinggal bersama saya). Kerana saya tahu, ayah
tidak dapat bermanja dengan kami ketika kami masih kecil. Ketika itu ayah
begitu sibuk mencari rezeki. Seronok melihat anak saya begitu manja kepada
datuknya. Biarlah ayah mengisi semula kekosongan yang dia tinggalkan dulu.

Tetapi ayah tidak betah duduk berehat di rumah. Jika ada keluangan, ayah
pasti akan ke kampung kami bagi mengerjakan sebidang tanah yang kami
miliki. Di tanah itu, ayah tanamkan durian, cempedak, jambu batu dan
berbagai tanaman lain. Pulang dari kebun pasti ayah seronok bercerita
tentang kebunnya. Yang menyedihkan, ayah pernah berkata "Aku tak taulah
sempat ke tak makan buahnya. Kau orang aje la yang rasa hasilnya nanti..."

Saya yakin, bahawa kebanyakan ayah di dalam dunia ini menyayangi anaknya
seperti mana ayah saya menyayangi kami adik-beradik. Mungkin di dalam
drama-drama Melayu banyak ditunjukkan sifat ayah yang mata duitan, yang
mengongkong hidup anak dan sebagainya tetapi saya percaya, bilangan ayah
yang sebegitu mungkin terlalu kecil jumlahnya. Malah, jika ayah mengongkong
hidup kita pun, ianya hanyalah untuk kebaikan kita juga.

Seperti mana suatu ketika dulu ayah 'bising' mendesak saya membeli kereta.
Sangka saya, sebenarnya ayah yang teringin memakai kereta. Saya belikan
juga kerana ingin menjaga hatinya. Rupanya ayah tidak berpuas hati
hinggalah saya menjual motor saya. Sebenarnya ayah tidak pernah inginkan
kereta saya sebaliknya ayah hanya mahu keselamatan saya lebih terjamin
kerana risaukan bahaya menunggang motorsikal.

Ayah kita hanyalah manusia biasa. Sebagai manusia biasa, pastinya akan ada
sifat yang negatif di dalam dirinya. Namun itu bukan alasan untuk kita
menjauhkan diri daripadanya. Saya percaya, dalam diri kita juga terdapat
sedikit sebanyak sifat negatif yang tidak mereka senangi tetapi kerana
berpegang kepada hakikat bahawa kita anaknya dan mereka ayah kita, maka
dengan rela mereka menelan semua keburukan itu.

Hari ini saya juga ayah kepada dua orang anak. Saya juga terpaksa berjauhan
dengan anak-anak seperti mana yang dialami oleh ayah suatu ketika dulu atas
nama kerja. Rasanya, hari ini saya semakin faham perasaan ayah ketika
meninggalkan kami. Namun anak-anak saya masih kecil. Mungkin saya masih
belum memahami bagaimana peritnya perasaan apabila seorang anak
mengenepikan atau meninggikan suara terhadap saya...

Tidak ada jaminan kami akan menyambut hari lahirnya yang ke 67 bersama
lagi. Namun kesempatan masih belum tertutup buat saya untuk mencurahkan
lebih kasih sayang dan, jika boleh, kemewahan buatnya dalam saki baki hari
yang ada. 3/4 dari hidupnya sudah dihabiskan untuk membahagiakan sebuah
keluarga. Tetapi saya tidak pasti dapatkan saya luangkan 1/10 dari hidup
saya untuk membahagiakan dia dan ibu saya?

Ya Allah! Ampunilah kami. Dan ampunilah kedua ibu-bapa kami. Dan
kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami masih
kecil. Kurniakanlah kepada mereka kesihatan. Dan limpahkanlah hidup mereka
dengan kesejahteraan dan rahmatMu ya Allah! Jika mereka jauh dari
hidayahMu, maka dekatkanlah. Sesungguhnya, tidak ada pemberi kebaikan
melainkan Engkau ya Allah... Amin... Ya Robbal 'Alami.....

12 December 2006

Susulan Kejadian 5 November

Tempohari, sebaik melangkahkan kaki ke Lapangan Terbang Kerteh, saya
terpandangkan wajah seorang yang telah lama tidak saya temui. Segera saya
menuju ke arahnya dan bersalam dengannya. Kemudian saya memeluknya sambil
menyatakan syukur kerana masih berpeluang untuk bertemu dengannya. Ya.
Memang saya sangat bersyukur masih dapat bertemu dengannya kerana ada suatu
kejadian yang menimpa dirinya baru-baru ini.

Saya telah dikhabarkan bahawa teman saya itu telah terkena serangan angin
ahmar. Dan saya dapat melihat kesan itu pada raut wajahnya. Namun, bukan
itu yang menyebabkan kegembiraan saya apabila bertemu dengannya.
Sebenarnya, teman saya itu adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam
kejadian helikopter terhempas berdekatan pelantar Tapis B pada 5 November
yang lepas.

“Abang dah Subuh bang?” Tanya saya. “Dah… Baru lepas.” “Kalau macam tu,
biar saya ke surau dulu eh?” saya meminta izin untuk berdar ke surau.
Sebenarnya, hari itu saya tiba lewat di lapangan terbang. Maka saya harus
bergegas agar tidak terlepas peluang untuk berjamaah. Harapan saya, selepas
solat nanti dapat saya duduk berbual dengannya dan bertanya tentang keadaan
sebenar pada tarikh kejadian tersebut.

Selesai solat, ketika melangkah menuju ke kantin, saya tersua teman saya
itu sekali lagi. “Jom sarapan bang,” pelawa saya. “Dah… baru lepas. Ni nak
ke tandas pula ni” jawabnya sambil tersenyum. Saya mengangguk sambil
berjalan menuju ke kantin. Harapan untuk berbual dengannya masih menebal.
Malang sekali, sebaik selesai bersarapan, kelibat teman saya tidak lagi
kelihatan. Maka hilanglah peluang untuk mendapatkan cerita yang sebenar…

Sudah lebih sebulan lamanya kemalangan itu berlaku. Sudah lebih sebulan
juga lamanya Allahyarham Capt. Salleh meninggalkan kami dan rakan-rakannya
di MHS (Malaysia Helicopter Services). Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama. Begitulah Capt. Salleh. Allahyarham
meninggal dunia dengan meninggalkan kisah pengorbanannya bagi mengelak
kemalangan yang lebih besar.

Namun, sebelum laporan rasmi dikeluarkan, terdapat juga suara-suara sumbang
yang berkata perkara yang tidak elok berkenaan Allahyarham. Paling
menyedihkan, apabila ada yang mengatakan kemalangan tersebut berpunca dari
kesilapan juruterbang yang merujuk kepada Allahyarham. Saya sememangnya
sakit hati mendengarnya tetapi disebabkan saya juga tidak mengetahui kisah
sebenar, terpaksalah saya mendiamkan diri.

Mujur, pada 23 November lalu pihak pengurusan syarikat tempat saya bekerja
telah memanggil kami dari pihak kesatuan untuk mendengar hasil siasatan
yang mereka dan pihak MHS lakukan berserta dengan langkah yang mereka ambil
selepas kejadian (sebenarnya, kami dari pihak kesatuan yang meminta acara
penerangan itu diadakan). Sekurang-kurangnya, dapatlah juga kami dengar
berita yang lebih sohih.

Majlis diadakan serentak dengan makan tengahari. Ianya dibuat secara tidak
formal agar lebih santai dan lebih mudah untuk bertukar-tukar fikiran.
Ketika itu, hati saya tidak berapa tenteram. Saya risau jika siasatan juga
akan meletakkan kesalahan kepada Allahyarham Capt. Salleh. Al-maklumlah,
orang yang sudah tiada tentu tidak dapat membela diri. Dan ini sememangnya
biasa terjadi dalam kebanyakan syarikat…

“Apa yang juruterbang lakukan adalah bersesuaian dengan garis panduan yang
dikeluarkan oleh DCA (Jabatan Penerbangan Awam).” Tutur sang pengurus yang
membuatkan saya menarik nafas lega. Alhamdulillah… Menurutnya lagi, tidak
ada siapa yang boleh dipersalahkan. Bukan juruterbang, dan bukan juga
pesawat Super Puma itu sendiri. Jika ada yang hendak dipersalahkan,
hanyalah cuaca pada hari tersebut.

Sebenarnya, ketika pesawat itu meninggalkan landasan, cuaca agak buruk.
Juruterbang telah mengambil keputusan untuk menerbangkan pesawat secara
automatik dengan berpandukan bearing yang telah disetkan. DCA membenarkan
perbuatan ini di dalam garis panduannya. Dengan syarat, pada jarak yang
ditetapkan (maaf, saya terlupa berapa meter), juruterbang perlu mengambil
alih dan mengawalnya secara manual.

Dan inilah yang dilakukan oleh Allahyarham. Hanya, pada ketika dia
mengambil alih pemanduan secara manual, cuaca masih buruk dan kadar
penglihatan begitu rendah. Namun Allahyarham mengambil keputusan untuk
meneruskan penerbangan setelah bertanya kepada rakan juruterbang yang lain
yang telah mendarat di pelantar yang berdekatan berkenaan cuaca yang mereka
hadapi.

Malang sekali, saat Allahyarham mampu melihat sekitaran, pelantar Tapis B
sudah berada betul-betul di hadapan mata mereka. Dengan kecekapan dan
pengalaman, Allahyarham berkeupayaan mengelak dari melanggar pelantar
tersebut tetapi kemudiannya dipukul angin yang menyebabkan pesawat terjunam
ke dalam laut. Dan di situlah berakhirnya riwayat seorang juruterbang yang
profesional dan cekap bernama Capt. Salleh…

Di dalam majlis itu juga kami diterangkan bahawa khabar yang menyebut
kebanyakan penumpang menyelamatkan diri melalui ekor pesawat yang terputus
adalah salah sama sekali. Hanya seorang atau dua orang yang melalui jalan
itu. Kebanyakan yang lain telah keluar sama ada melalui tingkap atau
melalui pintu yang ada. Entahlah. Berita sekecil inipun ada orang yang mahu
menyelewengkannya…

Pihak pengurusan MHS dan juga ExxonMobil juga telah bertindak dengan segera
apabila telah mengupah pakar psikologi bagi memberikan kaunseling kepada
mangsa dan juga kepada pekerja yang lain yang bakal menaiki pesawat.
Alhamdulillah… Sebagai pekerja, saya amat menghargai usaha yang telah
mereka lakukan. Mungkin bukan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya telah
menunjukkan keprihatinan mereka.

Dan yang paling penting, mereka telah membuktikan tidak ada apa silapnya
kepada pesawat Super Puma AS332L yang biasa kami naiki. Maka para penumpang
dan keluarga mereka tidak perlu risau tentang keselamatan mereka.
Sungguhpun begitu, kemungkinan untuk kemalangan sentiasa ada. Apa yang
boleh kita lakukan hanya berusaha dan bertawakkal agar Allah memelihara
keselamatan kita.

Dan jika hendak dikira, jumlah mereka yang terbabit dalam kemalangan yang
membabitkan kereta dan motorsikal ketika hendak ke tempat kerja adalah jauh
lebih besar berbanding dengan kemalangan helikopter terhempas seperti ini.
Hanya mungkin kerana kemalangan sebegini jarang terjadi dan kedengarannya
pelik maka ia selalu dijadikan berita utama di dalam akhbar dan televisyen.

Kisah sebenar sudahpun kini diketahui (walaupun masih belum rasmi kerana
kotak hitam yang telah diambil dari pesawat oleh DCA dan telah dihantar ke
Australia untuk penterjemahan masih belum diumumkan penemuannya). Semoga
selepas ini suara-suara sumbang yang hanya tahu menyalahkan orang lain,
sama ada juruterbang, pesawat mahupun syarikat, akan faham mengenainya dan
berhenti bercerita tentang cerita yang paslu.

Semoga roh Allahyarham Capt. Salleh tenang dan sentosa di alam sana. Hanya
Allah yang mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dan sebesar mana
pengorbanan Allahyarham. Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah selalu.
Allahyarham telah pergi dengan meninggalkan nama yang baik. InsyaAllah,
iktibar dari peristiwa ini akan kami ambil dan nama Allahyarham akan tetap
dikenang…

11 December 2006

Oh! Rufaqa


Baru-baru ini negara kita dihebohkan oleh berita kegiatan Rufaqa, sebuah
kumpulan bimbingan Ashaari Muhammad yang juga digelar Abuya oleh
pengikutnya. Rufaqa, yang dikatakan membawa konsep pegangan aqidah
al-Arqam, didedahkan kepada media oleh bekas pemimpin tinggi pergerakan itu
yang telah diharamkan sekitar tahun 1993 atau 1994 dahulu kerana
kesongsangan dalam aqidah yang mereka amalkan.

Berbagai keserongan dalam ajaran yang dibawa oleh Ashaari didedahkan kepada
media dengan harapan, pihak berkuasa akan segera bertindak bagi mengekang
kesesatan ini. Malang sekali pihak berkuasa telah ‘memandai-mandai’ berkata
bahawa pengaruh Rufaqa adalah kecil dan hanya di sekitar Selangor sedangkan
pada hakikat, banyak tempat di Asia Tenggara telah tertanam ajaran aurad
Muhammadiah pegangan mereka.

Apabila menyebut tentang al-Arqam, memori saya akan mengimbas kembali
kenangan zaman persekolah ketika saya di sekolah beasrama penuh di Jasin,
Melaka dahulu. Saya ingat lagi, ketika itu, sebelum saya mendaftar di
sekolah berkenaan, saya adalah seorang pelajar yang liar. Apabila saya
diterima masuk ke sekolah tersebut, ibu saya menyatakan harapan untuk
melihat saya berubah menjadi baik.

Tersentuh dengan harapan ibu, saya mula merapatkan diri dengan surau dan
rakan-rakan ‘kem anak soleh’. Keaktifan saya di sekolah rupanya mengundang
perhatian dari seorang senior. Dan jujurnya, saya juga memerhatikan senior
ini yang pada saya agak pelik dari senior yang lain. Dia sentiasa bergamis
(jubah yang labuh ke buku lali) hijau dan berserban besar juga berwarna
hijau jika tidak berpakaian sekolah.

Sebagai seorang yang hendak berubah, tentulah saya tertarik dengan orang
yang ‘tampak alim’ seperti senior saya tadi. Tambahan pula dia juga
memberikan perhatian kepada saya. Maka persahabatan kami menjadi akrab.
Dari perbualan, tahulah saya bahawa senior ini yang akan saya namakan
sebagai Abang N adalah pengikut kumpulan al-Arqam. Pada ketika itu, saya
tidak benar-benar mengerti motif dan perjuangan al-Arqam.

Yang saya tahu, masyarakat ketika itu menyebut al-Arqam sebagai kumpulan
yang sesat. Disebabkan sifat ingin tahu, akhirnya saya bersetuju untuk ke
markas mereka di Kandang dan bermalam di sana. Saya tidak boleh menganggap
mereka sesat sehinggalah saya lihat sendiri kesesatan mereka. Tambahan
pula, saya lihat Abang N beribadah sama seperti kami, malah berjemaah
bersama.

Sampai hari yang dijanjikan, saya bersama Abang N menuju ke Kandang (nama
tempat di Melaka). Di sana, kami masuk ke sebuah rumah dua tingkat (saya
tidak ingat sama ada rumah teres atau banglo) yang cantik dan tersusun di
dalamnya. Tidak ada perabut mewah malah tidak ada kerusi untuk
bermalas-malasan. Hanya hamparan permaidani yang sering saya panggil
sebagai ‘karpet surau’.

Tidak lama setelah saya tiba, datang seorang lelaki masuk ke dalam rumah
itu. Lelaki itu memberi salam kemudian menuju ke seseorang yang saya
jangkakan sebagai ketua di situ. Setelah berbual beberapa ketika (tentang
subjek yang tidak saya fahami), saya mendengar lelaki tadi berkata “Ana
kurang lima ribu la Syeikh” kepada si ketua. Dengan tenang si ketua
menyeluk saku dan mengeluarkan segulung duit yang saya agak bejumlah
RM5000.

Wow! Jerit hati saya. “Nampak kampungan tapi duit banyak!” hati saya mula
jadi teruja. Seketika kemudian seseorang mula melaungkan azan di dalam
rumah tersebut. Dan kami bersolah berjemaah bersama. Selesai solah, saya
mendengar mereka melafazkan zikir yang tidak pernah saya dengari sebelum
ini. Kerana bimbangkan aqidah saya, maka saya memilih untuk berzikir cara
sebagaimana yang saya belajar di sekolah agama dahulu.

Selesai solah, makan tengahari pun dihidangkan. “Dalam dulang?” tanya hati
saya. Ya… kami makan bersama di atas sebuah talam. “Untuk merapatkan
silaturrahim sesama kita…” tutur Abang N bagaikan mengerti persoalan yang
bermain di kotak fikira saya. Hendak atau tidak saya terpaksa menyertai
mereka. Pada awalnya saya juga merasakan jijik tetapi lama kelamaan, saya
akui ianya menyeronokkan.

Selepas makan, kami bersantai menonton rakaman konsert. Bukan konsert Amy
Search atau Inul Daratista tetapi konsert kumpulan Nada Murni yang diketuai
oleh Asri Ibrahim (kini Rabbani). Lama sebelum ke markas, sememangnya saya
sudah tertarik dengan nasyid-nasyid dendangan Nada Murni. Jadi menonton
rakaman konsert mereka tentu saja mampu menghiburkan hati saya ketika itu.

Suasana konsert juga bukan calang-calang. Siap dengan sinaran laser sebagai
latar belakang mereka. Seperti konsert artis dari Hollywood pula rasanya,
getus hati saya. Sambil-sambil itu, sempat saya menjengah ke sekeliling
rumah. Ternyata dinding rumah mereka dipenuhi dengan gambar-gambar Ashaari.
Malah gambar abuya mereka jauh lebih banyak dari khat ayat yang dipetik
dari al-Quran.

Dalam perjalanan pulang, Abang N bertanyakan pendapat saya tentang
al-Arqam. “Hebat!” kata saya. Sesungguhnya saya teruja. Dan dari cerita
mereka, saya yakin Ashaari bukanlah calang-calang orangnya. Tentu sahaja
dia orang yang cukup hebat. “Nak ikut tak?” tanya Abang N pula. Saya hanya
mendiamkan diri. “Ada apa-apa soalan nak tanya?” tanyanya lagi melihat saya
terus mendiamkan diri.

“Kenapa mereka bersolat berjemaah dalam rumah bang?” tanya saya. “Oh… Untuk
merapatkan silaturrahim sesama ahli.” Saya mengangguk-anggukkan kepala.
“Oh… Sesama ahli je? Dengan penduduk kampung?” tanya saya pula. Abang N
memalingkan mukanya yang masam ke luar tingkap bas yang terbuka. Soalan
saya tidak bejawab. Malah beberapa hari kemudian pun dia masih enggan
bertegur sapa dengan saya.

Setahun kemudian, ketika saya tahun pertama di UTM, saya dapat berita
gerakan al-Arqam diharamkan. Saya agak terkejut. Ramai di kalangan kami
yang berpendapat pergerakan al-Arqam diharamkan kerana kelancangan Ashaari
yang berkata mahu bertanding di dalam pilihanraya menentang Perdana Menteri
ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammed. Kesesatan al-Arqam hanyalah
sebagai satu alasan untuk memusnahkan mereka.

Ashaari didakwa membuat pengakuan mampu bertemu Nabi saw secara sedar.
Ashaari juga didakwa membuat pengakuan bahawa malaikat akan datang bertemu
dengannya untuk bercerita tentang ajal maut pengikutnya. Saya yakin Ashaari
tidak pernah berkata begitu, Saya yakin itu semua hanyalah fitnah
terhadapnya. Saya harap, di lintas langsung di tv nanti Ashaari akan
membuat penafian.

Sayang sekali apa yang berlaku adalah di sebaliknya. Bagaikan orang bodoh,
Ashaari telah mengaku kesemua tuduhan yang dilemparkan. Hati saya remuk.
Mengapa boleh seorang yang saya lihat sebagai hebat boleh membuat
dakwaan-dakwaan yang bodoh dan songsang seperti itu? Mulai hari itu, saya
meletakkan Ashaari sebagai seorang manusia yang langsung tidak boleh
dipercayai…

Apabila saya menyertai sebuah grup beberapa tahun dahulu, ada beberapa
manusia cuba menanamkan Ashaarisme dalam grup tersebut. Tetapi kali ini,
mereka tampil dengan nama Rufaqa. Setiap posting yang mereka hantar selalu
saya jawab dengan komentar yang sinis dan menyakitkan hati mereka. Hingga
satu peringkat saya telah menerima satu emel penuh dengan caci dan maki
dari anggota mereka.

Benar. Ahli Rufaqa telah memuliakan Ashaari lebih dari Nabi saw sendiri.
Bahkan ketika media Denmark menghina Nabi saw, mereka duduk diam. Tidak
seperti ketika Ashaari dihina. Bagi mereka, Ashaari adalah orang yang
menolong mereka di akhirat kelak. Bukan amalan yang mereka amalkan. Bagi
mereka, Ashaari mempunyai keupayaan untuk memberikan syafaat sama seperti
keupayaan Baginda Nabi Muhammad saw.

Di tempat saya bekerja hari ini juga terdapat dua orang pengamal
Ashaarisme. Kedua-dua manusia ini, sanggup memutuskan persahabatan jika ada
yang berani mengutuk abuya mereka. Malah mereka sanggup berhabis ratusan
malah ribuan ringgit semata-mata untuk bertemu Ashaari (Ashaari tidak mahu
berjumpa dengan semua orang. Hanya orang tertentu sahaja, termasuk mereka
yang telah membayar sekian banyak yuran pernyertaan).

Ashaari telah terbukti seorang penipu. Dia telah secara terang mengaku
menipu orang ramai apabila mendakwa mampu bertemu Baginda Rasulullah saw
secara sedar. Tetapi ada yang mengatakan bahawa dia telah dipaksa. Baiklah,
tetapi dia tetap menipu apabila mengaku mengucapkan sesuatu yang tidak dia
ucapkan. Apakah layak seorang lelaki yang tewas kepada paksaan untuk
menjadi pemimpin.

Yang memelikkan saya, mengapakah setelah jelas status penipuannya, dia
masih mampu menarik kepercayaan umum? Soalan yang mudah. Semuanya kerana
lemahnya sistem pendidikan kita yang secara terang, jelas dan nyata menolak
pendidikan agama dan aqidah sebagai teras pendidikan asas. Dalam sibuk
mengajar anak-anak kita ilmu sains dan Bahasa Inggeris, sang pemerintah
terlupa untuk memberikan penekanan terhadap pendidikan agama.

Dan inilah natijahnya. Sehinggakan seorang yang melafazkan sesuatu yang
mustahil pun dipercayai bulat-bulat. Lebih menyedihkan lagi, golongan ini
telah bertaqlid buta. Berikanlah penerangan sehebat mana sekalipun, mereka
tidak akan celik dan tidak akan berpaling dari ajaran Ashaarisme. Mungkin
selepas ini jika Ashaari mengaku sebagai anak Tuhan pun mereka akan percaya
dengan sepenuhnya.

Saya tahu, jika ada pengikut Rufaqa yang terbaca artikel ini pasti akan
melenting. Tetapi lihatlah. Saya memang bukan seorang yang alim tetapi
apabila mufti dan ulama telah mengharamkan pergerakan ini, apakah jalan
sebenar yang sepatutnya anda semua pilih? Sesungguhnya, tidak ada pemimpin
lebih agung melebihi Nabi Muhammad saw. Apa sahaja yang melebihi Baginda,
maka terang dan nyata ianya suatu dusta.

Al-Arqam, Rufaqa dan Ashaari adalah satu dari permainan syaitan untuk
menarik manusia jauh dari kebenaran Illahi. Dengan dakwaan yang dibuat,
tidak banyak bezanya antara Ashaari dan Ayah Pin.

Wahai pengikut Rufaqa sekalian. Ayuhlah! Kembali ke jalan kebenran…..

10 December 2006

Kisah Sepuluh Ringgit


Sebelum saya memulakan tulisan saya untuk kali ini, ingin saya mengucapkan
terima kasih kepada mereka yang mengucapkan tahniah kepada saya atas
kelahiran anak kedua saya. Apa yang saya bakal ceritakan juga sebenarnya
berlaku 2 hari sebelum kelahiran Nazhurah. Satu kejadian yang mengundang
air mata saya dititiskan. Ianya berlaku di pekan Kuala Selangor sewaktu
perjalanan pulang ke Tanjung Karang.

Disebabkan saya tiba lewat di rumah kakak ipar saya di Teluk Panglima
Garang, maka kami menukar rancangan untuk pulang ke Tanjung Karang keesokan
harinya. Apabila bangun pagi keesokan harinya, isteri saya mendapati badan
Naqibah mulai panas. Tetapi kami merancang untuk meneruskan rancangan kami
dan akan singgah ke klinik apabila tiba di pekan Kuala Selangor nanti.

Di dalam teksi, Naqibah hanya tidur di pangkuan saya sepanjang perjalanan.
Dia hanya terjaga sebaik teksi berhenti di sebuah klinik di deretan sebuah
rumah kedai berhampiran stesen minyak Shell di Kuala Selangor. Kami segera
masuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan untuk Naqibah. Doktor mengesahkan
Naqibah hanya demam biasa. Alhamdulillah. Mungkin kerana telalu kepenatan
semalam.

Setelah mengambil ubat dan membayar kos rawatan, kami keluar dari klinik
dan singgah di butik Anakku yang terletak di sebelahnya. Tiba-tiba isteri
saya dihampiri oleh seorang perempuan dengan anak kecilnya. Dari segi
rupanya kelihatan seperti seorang berbangsa India tetapi dia mengenakan
tudung di kepalanya. Mulutnya pula berkata sesuatu yang sukar untuk kami
fahami sambil menunjukkan duit seringgit di tangan kanannya.

Saya berfikir mungkin perempuan ini seorang peminta sedekah. Saya segera
mengeluarkan duit seringgit dari beg duit saya dan menghulurkan kepadanya.
Dia mengucapkan terima kasih sambil mulutnya masih terus membebel yang saya
tidak faham biji butirnya. Hanya yang saya faham, dia berkata bahawa dia
dan anaknya masih belum makan. Timbul rasa simpati di hati saya
mendengarnya.

Sebelum menaiki teksi di Kelang, sempat saya singgah di mesin ATM untuk
melihat gaji. Jumlah yang tertera mengundang senyuman di bibir. Maklumlah,
bulan ini bonus kami dikreditkan ke dalam akaun kami. Mengenangkan gaji
saya yang agak lebih di bulan ini, saya kira tidak ada salahnya jika saya
hulurkan kepada perempuan itu lebih sedikit juga. Bukan banyak pun. Hanya
RM10 sahaja.

Sebaik melihat kertas merah di tangan saya, wanita itu melonjak
kegembiraan. Lantas dia segera merentap tangan isteri saya dan menciumnya.
Isteri saya kebingungan dengan reaksinya. Saya juga terkedu melihatnya. Dan
yang paling menyedihkan, apabila wanita itu meneriak anaknya sambil berkata
dengan riang “Adik! Kita makan dik!” dan kemudian menarik anaknya ke kedai
makan yang terdekat.

Saya tidak dapat menahan sebak di dada. Saya dapat rasakan ada titisan air
mata di kelopak mata saya. Apabila isteri saya memandang kepada saya, saya
segera menoleh ke arah lain. Malu pula rasanya hendak menangis di hadapan
isteri. Tetapi apa yang berlaku cukup-cukup menyentap emosi saya. Malah
hingga ke hari ini, rasa sebak masih melanda apabila melihat riangnya
wanita itu beroleh duit sebanyak RM10…

“Sedih abang Yang…” kata saya kepada isteri saya sebaik wanita itu jauh
dari kami. “Dia dapat sepuluh ringgit je tapi seronoknya melampau. Abang…
Gaji abang lebih bulan ni. Tapi abang tak ingat pun abang cakap
Alhamdulillah ke tak masa tengok gaji tadi…” Insaf saya. Selama ini saya
menganggap RM10 itu bagaikan kertas yang hampir pupus nilainya tetapi ada
orang lain yang gembira bukan kepalang apabila beroleh wang sebanyak itu.

“Kita ingat Achik dengan Ateh dan cukup susah. Tapi ada orang lain yang
lebih susah, kan?” tambah isteri saya pula yang mengundang lebih keinsafan
dalam diri saya. Betapa saya selama ini kufur dengan nikmat yang Allah
beri. Betapa saya tidak pernah merasa cukup dengan limpahan rezeki yang
dikurniakan. Sedangkan ada orang yang mendapatkan sebahagian kecil dari apa
yang saya perolehi begitu pandai menghargainya.

Saya cuba bayangkan diri saya dalam keadaannya. Tanpa kereta dan tanpa
telefon bimbit, aksesori yang bagi saya sengaja dijadikan keperluan. Bukan
setakat itu, makan juga terpaksa mengharap simpati orang. Bagaimanakan
keadaan saya ketika itu? Akan berimankan saya dengan iman seperti hari ini
ataukah saya menjadi orang yang menyalahkan takdir? Wana’uzubillahi
minzalik. Semoga Allah melindungi kita dari keburukan.

Pulang ke rumah di Johor Bahru, saya bercerita kepada abang saya tentang
apa yang berlaku. “Eh eh dik…” Kata abang saya terharu. “Kalau kita macam
tu entah macamana agaknya” katanya lagi seolah-oleh menyetujui pemikiran
saya. Sebentar kemudian dia menambah… “Tapi… Ada sesetengah tu tipu je. Ada
sindiket. Kadang-kadang tu pengemis ni hidup lagi mewah dari kita. Banyak
berlakon je…” katanya.

Saya terdiam sebentar. Sebenarnya perkara ini pernah ditimbulkan dalam satu
forum di ruang siber. Tetapi bagi saya, ianya sesuatu yang mudah. Setiap
kali tangan ini menghulurkan, saya tidak pernah memikirkan kejujuran orang
yang menadah. Bagi saya, apa yang terlihat di hadapan mata saya ketika itu
adalah kebenaran. Jika dia tiba di hadapan saya sebagai orang miskin, maka
betullah dia seorang yang miskin.

Bagaimana jika dia menipu? Itu urusan dia dengan Allah. Saya tidak risaukan
jika dia seorang kaya yang berlagak miskin. Yang saya risaukan jika dia
benar seorang yang miskin dan memerlukan bantuan tetapi tidak saya bantu
kerana sifat prejudis saya terhadap golongan peminta sedekah. Maka
berdosalah saya sebagai seorang muslim yang tidak menghiraukan saudara
muslimnya yang kelihatan dalam kesusahan.

Lebih dari itu, Allah melalui lidah mulia Nabi Muhammad saw menjanjikan
balasan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersedekah. Tidak pula Allah
meletakkan syarat, jika orang yang kita berikan sedekah itu sebenarnya
adalah seorang yang kaya, maka pahala yang telah dikurniakan kepada kita
akan ditarik balik. Tidak! Allah tidak pernah berjanji begitu. Jadi mengapa
harus saya membebankan fikiran saya dengan perkara yang tidak sewajarnya?

Abang saya mengangguk-anggukkan kepada tanda bersetuju. Begitulah. Jika
hendak melakukan kebaikan, tidak perlu meletakkan syak dan wasangka. Hanya
letakkan harapan dan doa agar wang yang kita dermakan tidak nanti disalah
gunakan. Kedudukan kita sebagai jutawan hari ini tidak mampu menjanjikan
bahawa kita tidak mungkin akan menjadi peminta sedekah pada esok hari. Jika
mahukan bantuan Allah, maka bantulah sesama manusia…

09 December 2006

Kelahiran Anak Kedua


21 November yang lepas saya kembali ke darat selepas bertugas selama 14
hari di tengah lautan. Saya tiba di Johor Bahru kira-kira jam 8 malam.
Dijadualkan untuk menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa kerja kesatuan
pada hari Khamis, maka pada malam keesokan harinya saya berangkat pula ke
Kuala Lumpur. Pada rancangannya, saya akan ke Tanjung Karang selesai
mesyuarat untuk mengambil kereta saya yang baru siap selepas kemalangan.

Disebabkan saya mahu ke Tanjung Karang, maka isteri saya mahu menyertai
saya kerana baginya inilah peluang untuk dia pulang ke kampung sempena cuti
sekolah. Lagipun, isteri saya sedang sarat dan dijangka melahirkan anak
kedua kami pada 20 Disember nanti. Saya hanya bersetuju kerana pada fikiran
saya tidak ada bahaya yang boleh berlaku walaupun tidak digalakkan oleh
doktor untuk berjalan jauh dalam keadaan sarat sebegitu.

Keesokan paginya (Khamis, 23 November), kami tiba di Kelang dengan menaiki
bas ekspress. Mengikut rancangan kami, isteri dan anak saya akan ke rumah
kakak ipar saya di Teluk Panglima Garang dan menunggu saya di sana sebelum
kami bersama bergerak ke kampung di Tanjung Karang. Selepas mendapatkan
teksi untuk membawa anak dan isteri saya ke Tanjung Karang, saya bergegas
mendapatkan bas ke Kuala Lumpur.

Mesyuarat pada hari itu agak panas kerana membabitkan pelan yang memberi
kesan kepada keseluruhan golongan pekerja selain sedikit briefing berkenaan
kejadian helikopter terhempas tempohari (insyaAllah akan saya ceritakan
dalam artikel berasingan). Oleh kerana panasnya isu dan banyaknya perkara
yang diperbincangkan, mesyuarat gagal ditamatkan sebelum jam 5 petang.

Melihat waktu sudah hampir pukul 6, saya meninggalkan mesyuarat sebelum
ianya tamat kerana tidak mahu sampai ke rumah kakak ipar saya terlalu
lewat. Dan malam itu saya tiba di rumah kakak ipar saya sekitar jam 9
malam. Naqibah masih belum tidur. Kami menukar rancangan untuk pulang ke
kampung pada keesokan harinya memandangkan hari telah larut malam dan
kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk ke rumah mertua saya.

Pada pagi Jumaat (24 November), kami bergerak ke kampung dengan menaiki
teksi. Waktu kami tiba, imam masih belum memulakan khutbahnya. Lalu saya
bergegas ke masjid dan Alhamdulillah, sempat menunaikan solat Jumaat tanpa
meninggalkan khutbah. Pulang dari masjid, isteri saya mengadu kesakitan
pada tempat peranakannya dan ada kesan darah. “Mungkin sebab letih jalan
jauh agaknya” tutur isteri saya cuba menenangkan saya.

Kebetulan, kereta saya pula tidak dapat dikeluarkan dengan segera.
Kerja-kerja baik pulih telah beres hanya kelulusan dari pihak insurans yang
belum selesai. Akhirnya, pada petang itu pihak bengkel membenarkan saya
mengambil kereta dan memberitahu bahawa saya perlu datang lagi ke bengkel
itu untuk menandatangani dokumen pelepasan dari insurans. Jadi pada malam
itu juga kami berangkat ke Johor Bahru.

Dalam pada itu, keadaan isteri saya tetap dipantau. Katanya, kesan darah
sudah mula berkurangan tetapi pergerakan bayi di dalam perut juga menjadi
semakin perlahan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk berjumpa dengan
doktor pada pagi keesokan harinya (Ahad, 26 November) bagi mendapatkan
pengesahan dan mendapatkan nasihat apa yang terbaik harus kami lakukan.

Setelah menceritakan apa yang berlaku kepada Dr. Noraini, beliau segera
melakukan imbasan pada perut isteri saya. “Bayi normal. Berat dan besarnya
juga normal.” kata doktor membuatkan saya sedikit lega. Kemudian saya
katakan kepada doktor bahawa semenjak pagi bayi kami sudah tidak bergerak
lagi. Dr. Noraini berfikir sekejap sebelum berkata “Masuk wadlah. Nampak
normal tapi kita tak tahu keadaan dia di dalam tu”.

Waktu itu baru jam 1 tengahari. Isteri saya dimasukkan ke dalam satu bilik
yang saya tidak tahu apa namanya. Di situ, perut isteri saya dililit dengan
sejenis tali yang lebar yang kemudiannya dihubungkan kepada satu mesin yang
mencetak graf yang juga saya tidak tahu apa maknanya. Jururawat yang
bertugas memerhatikan graf tersebut kemudian berkata “Eh! Ada sakit ni…”
membuatkan saya bertambah keliru.

Ketika itu Naqibah ada bersama saya. Saya bertanya kepada jururawat yang
bertugas tentang keadaan isteri saya dan dia menasihatkan saya untuk pulang
dahulu untuk menghantar Naqibah dan berjanji akan menelefon saya jika
ada-apa berlaku. Saya pulang dengan keadaan yang bercampur. Gembira kerana
jika isteri saya bersalin hari itu, saya ada bersamanya. Tetapi juga risau
kerana anak saya masih belum cukup bulan dalam kandungan.

Sebelum pulang isteri saya sempat bersalam dan memohon ampun terhadap
apa-apa kesalahan yang pernah dilakukannya. Saya tersenyum sambil mengecup
dahinya. Bagi saya, tidak ada dosa pada diri isteri saya yang perlu saya
maafkan. Tetapi sebagai suami, adalah penting untuk kita menyatakan redho
terhadap isteri terutamanya dalam waktu kritikal sebegini kerana
macam-macam yang boleh terjadi.

Petang itu, selepas Asar saya segera ke hospital semula. Isteri saya telah
ditempatkan ke bilik bersalin. Sewaktu saya menjengah, saya lihat isteri
saya sudah ditukarkan pakaiannya. Saya melihat dahi isteri saya berkerut
manahan sakit. Sesekali dia menekup mulut dan hidungnya dengan alat bantuan
pernafasan yang saya tidak tahu apa namanya tetapi dikatakan boleh
mengurangkan kesakitan yang dialami.

Pada tangan isteri saya tercucuk satu tiub yang terdapat air mengalir di
dalamnya. “Oh… Inilah yang dinamakan induce” bisik hati saya. Sebelum ini,
saya agak induce itu memasukkan air ke dalam kemaluan. Rupanya pada tangan.
Saya ketawakan diri sendiri. Sesekali saya lihat jururawat bertugas
melaraskan kadar titisan seminit apabila melihat erangan isteri saya. Untuk
mengurangkan sakit, jelasnya tanpa dipinta.

Baru saya teringat. Rupanya isteri saya masih belum menjamah makan
tengahari. Allah… Kasihannya. Macam mana ni? Takkanlah saya boleh
suapkannya makanan dalam waktu begini? Risau saya. Sebentar lagi isteri
saya perlu menggunakan sekuat tenaganya untuk menolak bayi yang di dalam
perutnya keluar. Dengan tidak makan, saya risau sekiranya ianya bakal
menjejaskan keselamatan isteri saya.

Sebentar kemudian Dr. Noraini datang melawat. “Lagi lebih kurang 3 jam”
katanya kepada saya selepas memeriksa keadaan isteri saya. Waktu itu hampir
jam 5 petang. Dr. Noraini kemudiannya bercakap-cakap sebentar dengan
jururawat sebelum meninggalkan bilik tersebut. Saya masih di sisi isteri
saya membelai rambutnya sambil menyebut-nyebut kalimah Allah untuk dia
menyebutnya bersama.

Jururawat sekali lagi mengurangkan kadar titisan air yang masuk ke tangan
isteri saya apabila melihat keadaan isteri saya yang bertambah sakitnya.
Seketika kemudian telefon berbunyi. Apa yang saya dengar, saya agak, Dr.
Noraini yang menelefon dan bertanya tentang keadaan isteri saya. Sebentar
kemudian saya dengar jururawat berkata, “Doktor baliklah dulu. Nanti
apa-apa saya call doktor.”

Lebih kurang jam 5.40 petang, kesakitan yang isteri saya alami menjadi
semakin kuat. Jururawat bertugas segera mamanggil Dr. Noraini setelah
memeriksa keadaan isteri saya. Kurang 5 minit kemudian doktor pun tiba.
“Saya ada kat klinik. Tak sedap hati nak balik” terang Dr. Noraini apabila
jururawat tersebut terkejut melihat kehadiran doktor dalam masa yang begitu
singkat.

Dalam hati saya begitu memuji komitmen yang ditunjukkan oleh Dr. Noraini.
Iyalah, beliau boleh terus pulang jika mahu. Tetapi, mungkin naluri
kewanitaan yang ada padanya, beliau sanggup menunggu sekejap kerana ‘tidak
sedap hati’. Dan Alhamdulillah, nalurinya tepat kerana tidak lama kemudian,
tanda-tanda untuk isteri saya melahirkan semakin kuat. “Ayah, cepat
sediakan kamera ayah” ucap Dr. Noraini kepada saya.

Saya memang tidak memiliki kamera video. Apa yang ada hanyalah telefon
bimbit dengan kemampuan perakam video yang baru dibeli pada malam
sebelumnya. Itu sajalah yang saya keluarkan bagi merakam detik-detik
bersejarah itu. Doktor dan jururawat mula sibuk dengan tugas mereka. Saya
juga turut sibuk. Sebelah tangan memang kamera (telefon) manakala sebelah
lagi terus mengusap-usap kepala isteri saya.

Sebentar kemudian, saya melihat kepala anak saya mulai keluar. Perlahan,
perlahan dan kemudiannya, tepat jam 5.52 petang, seluruh badannya
‘terpancut’ keluar. “Allahu Akbar! Ucap Dr. Noraini menyambut anak saya
(inilah perkara yang amat-amat saya suka tentang Dr. Noraini. Ketika
kelahiran Naqibah dahulu, inilah juga ucapan yang difazkannya menjadikan
anak saya mendengar ayat Allahu Akbar sebelum sebarang perkataan lain
menjamah telinganya).

Anak saya tidak menangis. Saya jadi kaget. Jururawat yang ada segera
mengambilnya dari tangan doktor dan kemudian memasukkan satu tiub halus
pada hidung dan mulutnya. Setelah beberapa ketika barulah tangisan anak
saya kedengaran. Saya menarik nafas lega. Isteri saya juga kelegaan. Saya
mengiqamahkan anak saya sebelum jururawat meletakkan tanda pada tangannya
dan kemudian disuakan kepada ibunya.

Alhamdulillah si ibu dan anak selamat. Hanya, seperti kata doktor, ada
sedikit kerosakan pada uri (ada bahagian yang mengeras) yang menyebabkan
anak saya tidak bergerak. Lain-lain perkara adalah normal. Luka pada isteri
saya juga kecil. Saya benar-benar bersyukur ke hadhrat Ilahi yang
mengizinkan saya melihat anak kedua saya ini. Kemudian saya ke kereta untuk
mengambil kelengkapan isteri dan anak saya yang baru melihat dunia.

Sewaktu menyerahkan baju untuk anak saya, saya melihat dia diletakkan di
bawah lampu yang dipanggil warmer. “Anak encik normal cuma kami takut dia
kesejukan sebab tak cukup bulan” kata jururawat di dalam bilik itu. Saya
sempat melihat seorang bayi di dalam cermin kata. “Kenapa tu?” tanya saya
mengkepohkan diri saya. “Tak cukup bulan juga tu tapi tujuh bulan. Anak
encik bulan cukup tapi tak cukup minggu (36 minggu)” ujarnya. Ooo…

Dari bilik itu saya ke bilik bersalin melihat isteri saya. Setelah
dibersihkan, isteri saya diusung di atas sebuah katil ke wad. Saya mengekor
dari belakang. Dalam perjalanan, saya memuji isteri saya di hadapan
jururawat yang bertugas. Kata saya, isteri saya tidak makan tetapi cukup
kuat untuk meneran anak kami keluar. Kedua-dua jururawat yang mengusung
isteri saya tertawa mendengar kata-kata saya.

Tetapi sungguh. Jika tugas melahirkan anak ini diberikan kepada lelaki,
mungkin ramai yang tidak sanggup. Mungkin manusia sudah pupus kerana ramai
yang cuba melarikan diri dari tugas mulia ini. Tetapi apabila tugas ini
diberikan kepada perempuan yang selalu dianggap sebagai lemah, mereka mampu
melakukannya. Bukan sekali, bukan 2 kali bahkan ada yang hingga belasan
kali. Begitulah ‘lemahnya’ mereka.

Di wad, saya menyuapkan isteri saya makan. Saya agak tentunya dia kelaparan
tetapi kasihan kerana masih belum ada selera. Akhirnya saya tontonkan
kepada video yang saya rakam sebentar tadi. Sebenarnya, tujuan saya rakam
pun adalah untuk tontonannya. Bukan untuk orang lain. Di bibirnya terukir
senyuman. Saya tahu, di sebalik kesakitan dan kepayahan, wujud perasaan
kepuasan dan keseronokan melahirkan anak, pengikat kasih kami berdua.

Bayi comel seberat 2.7kg itu saya namakan Nurul Nazhurah Izzati yang
bermaksud, Cahaya Pemimpin Agung Kebanggaanku. Semoga Nazhurah akan menjadi
pemimpin agung yang akan memimpin umat di zamannya memperjuangkan agama
Allah pada jalan yang hakiki dan menentang segala kebatilan. Semoga nama
ini memberi kesan kepada keperibadiannya kelak. Amin ya Robbal ‘Alamin…

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih
buat warga kerja Hospital Pakar Puteri yang memberikan komitmen terbaik
mereka dalam memastikan anak dan isteri saya selamat. Juga buat Dr. Noraini
yang begitu profesional tetapi amat peramah. Semoga kemuliaan hati dan
keikhlasan tugas anda sekalian dibalas oleh Allah dengan sebaik-baik
balasan di dunia dan si akhirah.

Saya tahu, kemungkinan besar mereka tidak membaca artikel ini mahupun
menjengah ke blog saya. Tidak mengapa. Yang penting Allah mengetahui betapa
ikhlasnya hati ini berterima kasih kepada mereka. Dan buat mereka yang
belum berkahwin atau masih merancang keluarga, jangan tunggu lagi.
Percayalah Allah datangkan setiap anak itu dengan rezeki masing-masing,
insyaAllah…..

20 November 2006

Kebanggaan Ibu Bapa


InsyaAllah, kalau tidak ada apa aral melintang, esok (Selasa, 21hb
November) saya akan pulang ke rumah. Ke pangkuan ibu, ayah, isteri dan anak
tercinta. Pada awalnya saya dijadualkan untuk menghadiri satu mesyarat
jawatankuasa kerja kesatuan sekerja pada hari esok dan Khamis ini. Tetapi,
atas sebab² pengurusan, mesyuarat untuk hari esok terpaksa ditiadakan.
Hanya pada hari Khamis.

Bagus juga, fikir hati saya. Sekurang²nya saya boleh pulang segera ke
rumah. Dapat berjumpa terus dengan keluarga. Terkenangkan kisah anak saya
yang menurut ibu saya dan ibunya sering mencari saya. Kata ibu saya, hampir
setiap malam mengigau menyebut² nama saya. Dan pada ketika saya baru
kembali bekerja, anak saya demam rindu. Alhamdulillah, setelah dibiarkan
tidur dengan bantal yang saya biasa guna, demamnya kebah.

Bukanlah saya jenis yang memanjakan anak. Saya seorang ayah yang cukup
garang. Hinggakan ibu saudara saya menjadi takut melihat ketegasan saya.
Hanya, mungkin kerana selama dua minggu saya di rumah, dia banyak bermain
dengan saya. Pada usianya, memang seronok diajak bergurau. Naqibah pula
jenis nakal dan 'suka menyakat dan mengenakan' orang. Ah... Rindunya...

Siapa yang tidak bangga dengan anaknya? Pada ketika saya masih bujang, saya
sebenarnya cukup menyampah mendengar orang bercerita tentang anak mereka.
Sikit², anak mereka begini. Sikit², anak mereka begitu. Kini, setelah
'menjadi Abu Naqibah', barulah saya mengerti betapa seronoknya menjadi
bapa. Memang keseronokan itu mengundang kita untuk bercerita tentang
'kelaku' anak kita kepada orang lain.

Namun sejenak saya terkenangkan. Jikalah pada ketika ini saya cukup seronok
dan berbangga dengan Naqibah, sudah tentu berpuluh tahun dahulu ayah dan
ibu saya juga cukup berbangga dan seronok dengan saya. Tentu suatu ketika
dahulu, ayah saya sering bercerita tentang saya kepada teman²nya. Tentu
suatu ketika dahulu, ayah selalu teringatkan saya apabila terpaksa tidak
pulang ke rumah ketika bekerja.

Ya. Saya masih ingat. Pernah suatu ketika seorang jiran yang bangga dengan
keputusan peperiksaan anaknya menunjukkan kad penyata anaknya kepada ayah.
Kemudian ayah pula menunjukkan kad penyata saya kepadanya. Dan saya juga
masih ingat bagaimana ayah dengan bangganya menjaja kisah saya belajar di
MRSM Jasin kepada semua orang. Hingga apabila bertemu kawannya, pasti
mereka berkata "Oh, ini yang belajar di Melaka tu eh?"

Patutkah saya salahkan ayah saya? Jujur, pada ketika itu saya sedikit
'bengang' dengan tindakan ayah saya. Kerana saya tahu betapa sukarnya untuk
mendapatkan kedudukan terbaik di kalangan orang yang terbaik dan saya juga
tahu bahawa sememangnya saya tidak termampu untuk menjadi yang terbaik.
Tetapi ibu sering menerangkan kepada saya betapa inilah harapan ayah agak
ada wakil anak yang memasuki sekolah berasrama penuh.

Penerangan ibu itu membuatkan saya agak faham. Tetapi hari ini, setelah
diri sendiri bergelar bapa, saya rasa saya sudah cukup faham dengan
perasaan ayah saya ketika itu. Saya yakin inilah perasaan normal. Seorang
ibu atau bapa tentu akan sentiasa berbangga dengan anaknya. Jika tidak
boleh dibanggakan dengan keputusan peperiksaannya, tentu mereka akan
mencari sebab lain yang boleh dibanggakan.

Saya pernah berkenalan dengan seorang kakak yang mempunyai anak spastik
(wana'uzubillahi minzalik). Tentu semua orang tahu betapa terhadnya
kebolehan anak spastik ini. Tetapi si ibu tidak pernah memandang rendah
terhadap anaknya. Bagaimana sekalipun keadaan anaknya, tetap dia akan
bercerita tentang kelebihannya. Kerana tidak boleh dibandingkan dengan
kanak² lain, dibandingkan pula dengan kanak² yang serupa.

Kerana itu saya katakan, seorang ibu atau bapa, sememangnya secara semula
jadi akan berbangga dengan anaknya. Tidak kira apa jua keadaannya anaknya
itu. Sama ada seorang tukang sapu mahupun seorang menteri. Si anak tetap
baik di hadapan mata mereka. Malah, jika si anak jahat bagaimana sekalipun,
tetap akan tersemat di hati mereka sedikit kebaikan yang pernah dilakukan
oleh si anak.

Tiba² hadir soalan di dalam hati saya. Bagaimanakah pada hari ini? Apakah
ayah dan ibu saya masih berbangga dengan saya (dan adik beradik yang lain)
sebagai anaknya? Atau soalan yang lebih tepat, masih adakah perkara baru
yang boleh mereka banggakan atas diri saya? Jawapan saya, saya tidak tahu!
Apakah diri saya ini masih boleh dibanggakan untuk mereka atau mungkin
mereka kini merindui 'saya yang dahulu'?

Jika hendak dikirakan, sudah tidak ada apa yang boleh dibanggakan pada diri
saya oleh mereka. Sudah tidak ada lagi peperiksaan yang akan saya duduki.
Sudah tidak ada lagi sekolah berasrama yang boleh saya masuk. Apa lagi yang
boleh dibanggakan? Mahu berbangga dengan kerja saya sekarang? Mahu
berbangga dengan gaji yang saya perolehi sekarang? Untuk apa?

Paling penting, apakah ayah dan ibu saya boleh berbangga dengan saya ketika
bangkit menghadap Allah yang memiliki segala sesuatu pada ketika Qiamah
nanti? Dengan keadaan saya yang begitu keduniaan sekarang ini, rasanya saya
bukanlah anak yang mereka boleh banggakan di hadapanNya nanti. Saya takut.
Takut... Saya takut kalau² saya menjadi anak yang mereka sesali pula pada
ketika dibangkitkan semula nanti.

Ada sebuah hadits meriwayatkan, ibu dan bapa kepada seorang yang hafaz
al-Quran akan dipakaikan dengan sebuah mahkota istimewa. Oh... Alangkah
indahnya. Tetapi saya bukan hafiz! Sudahlah bukan hafiz, membaca al-Quran
pun tidak sekerap membaca email. Kalau dibacapun, tidak beramal dengan apa
yang dibaca. Bagaimana boleh ayah dan ibu saya nanti dipakaikan mahkota
sebegitu?

Rasanya ada di kalangan kita yang pernah terbaca kisah mimpi seorang alim
tentang orang yang mengambil 'makanan' di alam barzakh pada setiap malam
Jumaat. Makanan ini datang daripada doa dan amalan anak² si mati. Kisah ini
menyebut tentang seorang lelaki yang tidak punyai apa² untuk diambil kerana
anak²nya tidak berdoa untuknya. Di sini saya tidak mahu mempersoalkan benar
atau tidaknya kisah yang disampaikan itu.

Tetapi yang saya fikirkan, sekiranya kisah ini benar, apakah yang akan
terjadi kepada ayah dan ibu saya nanti? Apakah mereka terdiri daripada
orang yang akan berbangga kerana mendapat 'makanan' yang banyak atau hanya
seperti si orang tua yang hanya menunggu dengan hampa? Ya Allah!
Perkuatkanlah iman kami. Dan jadikanlah kami anak² yang soleh dan berbakti
kepada kedua orang tua kami...

Tapi itu adalah setelah ketiadaan mereka. Pada hari ini, saya masih
berpeluang menjadi anak kebangga mereka lagi. Saya mahu tunaikan setiap
harapan mereka. Saya mahu belanjakan wang yang saya ada untuk mereka. Saya
mahu hiburkan hati mereka. Jika selama ini mereka bersusah payah menjaga
kami adik beradik, hari ini, biarlah kami semua menjadi kebanggaan mereka
apabila menjaga mereka dengan penuh keikhlasan, insyaAllah...

Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunilah kami dan ampunilah kedua ibu bapa kami.
Dan peliharalah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami
masih kecil. Sesungguhnya langit, bumi serta segala yang ada di antaranya
tidak mampu membayar jasa mereka kepada kami. Ya Tuhanku. Bangkitkanlah
kami bersama mereka dan orang² yang soleh di hari setiap manusia menerima
pembalasan nanti. Amin ya Rabbal 'alamin...

15 November 2006

Datuk Azhar, Fitnah Siber dan Wira Negara


Rasanya orang masih lagi ramai yang berbicara tentang kes murtad Datuk
Azhar Mansur, pelayar yang dianggap wira kerana merentasi dunia dengan
kapal layarnya secara solo. Sebenarnya, berita tentang kemurtadan ini telah
lama tersebar. Hampir dua tahun yang lampau. Dan tersebarnya berita itu
adalah melalui email² berantai. Berita penafiannya juga sudah lama
tersebar. Juga melalui email.

Tetapi, penafian yang dibuat itu adalah dari orang lain. Orang yang tidak
ada kena mengena dengan Datuk Azhar. Hanya, orang itu mengetahui keberadaan
Datuk Azhar. Hanya baru² ini sahaja Datuk Azhar menafikannya. Itupun dia
menafikan keterlibatannya dengan kejadian pembabtisan orang Melayu. Hal
agama yang dianutinya, masih kekal rahsia. Mengapa dan untuk apa, hanya
Datuk Azhar yang mengetahui.

Seperti yang diagak, penafian sebegitu sememangnya akan mengundang lebih
banyak kontroversi. Dan akhir² ini juga, saya lihat kotak masuk saya
dipenuhi dengan email yang memusykili status agama Datuk Azhar. Hm…
Sebenarnya, saya tidak berminat untuk berbicara tentang agama Datuk Azhar.
Tetapi yang saya sangat berminat adalah, penyebaran cerita dan berita
melalui email ini.

Seperti yang saya tulis sebentar tadi, berita kemurtadan Datuk Azhar telah
saya terima hampir dua tahun yang lalu. Ketika itu, saya begitu ghairah dan
teruja dengan berita dari internet. Tambah lagi saya seorang yang kecewa
dengan ketelusan media arus perdana kita selepas pemecatan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai Timbalan perdana Menteri. Internet telah menjadi sumber
berita saya yang utama.

Sebaik saya mendapat cerita itu, saya segera cuba melanjutkan ke sebuah
grup yang saya sertai. Nasib baik, pihak moderator menghubungi saya semula
dan mengatakan bahawa cerita itu tidak akan disiarkannya. Hujjahnya amat
logik. Katanya, jika berita ini benar, ia akan menyebabkan kita seolah²
berdakwah untuk agama Kritian (kerana menyebarkan dakwaan Datuk Azhar
terjumpa Jesus Christ).

Selepas dari cerita Datuk Azhar ini, saya menerima pelbagai rencam lagi
berita melalui saluran internet. Berita tentang artis, tentang ahli politik
dan bermacam lagi. Saya ingat lagi berita mengenai Tuan Haji Mahfuz yang
didakwa mendapat permit teksi terbanyak dan dikatakan telah mengkhianati
Pas. Juga tidak ketinggalan berita mengenai artis² yang popular ataupun
yang tidak popular.

Banyak lagi cerita yang saya terima dari internet yang kadang² boleh
diterima akal tetapi kebanyakan masanya, lebih seperti memperbodohkan kita.
Ia membuatkan saya terfikir. Jika berita ini palsu, apakah hukumnya kepada
saya yang menyebarkan berita tersebut? Ya, kadangkala, kerana benci dan
menyampahnya kita kepada seseorang, cukup mudah untuk kita mempercayai
cerita² buruk mengenainya.

Namun, ia bukanlah lesen untuk kita menyebarkan fitnah. Maka setelah
berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menyebarkan
apa² berita yang kurang sohih. Saya tidak mahu terlibat dalam apa² aktiviti
yang boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah neraka. Seperti kes Datuk
Azhar ini. Jika benar Datuk Azhar masih Islam, entah apa hukumnya kepada
orang memfitnahnya.

Bahaya sungguh cerita dan berita dari internet. Saya berharap agar cerita²
sensasi yang penuh fitnah dapat dihentikan sebarannya dalam ruang siber
ini. Lebih baik untuk kita lanjutkan kisah² agama ataupun sighah (seperti
yang selalu dipos oleh Pak Ngah) dan berita politik yang sohih (seperti
yang selalu dipos oleh Syed Dahij) dari cerita yang tidak ada asal usul.
Sekurang²nya, kira mengurangkan risiko dosa yang bakal kita sandang.

Berkenaan Datuk Azhar, bukanlah saya tidak mahu komen. Tetapi rasanya, yang
layak menetukan status agama seseorang itu bukanlah saya orangnya. Walaupun
Datuk Azhar tidak membuat pengakuan masih Islam, namun keadaannya yang
tidak mengaku murtad sepatutnya membolehkan kita untuk bersangka baik
kepadanya. Namun, sekiranya benar dia murtad pun, kita tidak boleh melayan
kesnya dengan istimewa.

Kes murtad tidak boleh kita jadikan isu semata² kerana orang yang terlibat
adalah orang kenamaan. Sebaliknya, jika seorang pemungut botol sekalipun
yang murtad, ianya perlu kita pandang dengan serius dan perlu kita tangani
dengan segera. Menanganinya bukanlah dengan mencaci-maki individu terbabit
ataupun keluarganya. Sebaliknya kita perlu menanganinya dengan lebih
bijaksana, sistematik dan Islamik.

Memang ada hukum bunuh yang ditetapkan di dalam Islam buat mereka yang
murtad dan enggan kembali kepada Islam. Saya tidak mahu menyentuh tentang
isu itu. Hukum tetap hukum. Tetapi, sebagai muslim, cukupkah untuk kita
dengan membunuh si murtad itu sahaja? Tidak! Sama sekali tidak! Bahkan,
kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan melakukan bedah siasat untuk
melihat apakah punca sebenarnya murtad berlaku.

Apakah kerana kurangnya didikan agama? Adakah kerana sistem pendidikan di
negara kita yang menolak fahaman Islam dan mengagungkan fahaman sekular?
Apakah kerana sikap ibu bapa yang terlalu materialistik sehingga
mengabaikan tanggungjawab? Dan sebab² lain… Inilah yang perlu kita
pertimbangkan. Bukan mempertikaikan kenyataan yang dibuat seseorang dan
cuba memanipulasi membuat interpretasi mengikut pemahaman sendiri.

Lagipun, pada saya, Datuk Azhar bukanlah siapa². Mungkin umum menganggapnya
wira negara. Mungkin ya. Tetapi bagi saya, secara peribadi, pengagungan
Datuk Azhar tidak perlu sehebat ini. Benar dia telah mengharumkan nama
negara dengan pelayaran bersejarahnya tetapi bagi saya, ianya lebih kepada
mengharumkan namanya sendiri. Apatah lagi, ia meningkatkan rasa kagum
terhadap bangsa sendiri. Asobiyah!

Sebenarnya ada terlalu ramai wira² tulen yang terpinggir. Mereka ini, orang
yang kebanyakannya nama mereka tidak kita kenali atau mungkin kita tidak
berminat untuk mengingatinya. Mereka adalah orang yang bersusah payah dalam
pergerakan NGO ataupun orang perseorangan yang berusaha dalam pembentukan
sebuah masyarakat yang lebih baik. Mereka adalah orang yang bersusah payah
membantu orang yang dalam kesusahan.

Ada beberapa individu siber (seperti Sdr. Rozamal Malakan) yang saya anggap
amat peka dan banyak memberikan peluang untuk kita beramal jariah. Dan
ramai lagi insan² lain yang berusaha bukan untuk nama mereka, bukan juga
untuk nama negara tetapi sebaliknya untuk kebaikan masyarakat secara
keseluruhannya. Sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha mereka
tidak mengenal erti penat dan lelah.

Inilah sebenarnya wira negara yang perlu kita sanjung. Inilah wira yang
sebenarnya yang boleh kita contohi. Tidak perlu kita membuang masa menambah
dosa dengan menyebarkan berita tidak pasti tentang seorang individu yang
kita anggap kononnya wira negara. Sebaliknya, adalah lebih baik kita ikut
mereka ini berusaha bersama untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih
bermakna…

12 November 2006

Budaya Rasuah


Beberapa hari ini, orang sibuk membicarakan tentang kedudukan Malaysia
dalam ‘Carta Rasuah’ yang dipanggil Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang
dikeluarkan oleh Transparency International di mana kedudukan negara
dikatakan merudum dari anak tangga ke 39 ke anak tangga 44. Pentingnya
kedudukan ini bukan untuk menilai popular atau tidaknya negara kita dalam
dunia tetapi ‘popular atau tidaknya rasuah’ dalam negara kita.

Kalau bercakap tentang rasuah, tentu banyak tempat yang jari ini boleh
ditudingkan. Sama ada kepada kerajaan, yang akan dikatakan lemah dalam
menangani gejala ini, mahupun BPR yang dikatakan gagal dalam menjalankan
tugas. Tudinglah jari ini ke mana sahaja dan kepada siapa juapun. Tanpa
melakukan apa², hakikatnya tetap sama. Sama ada suka atau tidak, rasuah
telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita.

Saya teringat semalam, ketika berbual dengan isteri saya di telefon, dia
ada menyebut tentang seorang ibu kepada anak muridnya yang menduduki tempat
tercorot di dalam kelas. Sebaik mengetahui bahawa anaknya akan diturunkan
ke kelas yang lebih bawah, maka si ibu beriya² memujuk supaya isteri saya
membantu untuk membolehkan anaknya kekal di dalam kelas sekarang. Biarpun
diberi seribu satu alasan, si ibu tetap memujuk dan merayu.

Akhirnya isteri saya yang ingin menamatkan perbualan telefon tersebut,
memberikan alasan bahawa dia terpaksa bersiap untuk acara ‘Malam Majlis
Amal’ anjuran sekolahnya. Mendengarkan itu, segera si ibu berkata bahawa
dia sebenarnya berniat untuuk membelikan tiket untuk kesemua ahli keluarga
kami (yang bernilai RM70 setiap satu). Tetapi kemudian isteri saya menjawab
bahawa mereka telahpun memperolehi tiket percuma.

“Rasuah!” ucap saya sebaik selesai mendengar cerita isteri saya. “Tak
sangka…,” sambut isteri saya, “kerja macam ni pun ada orang nak rasuah.”
sambungnya lagi membuatkan kami sama² tergelak. Mungkin bagi si ibu (tidak
silap saya, seorang doktor) pemberian sebegitu bukan sebuah rasuah. Mungkin
baginya sebuah pemberian ikhlas. Mengapa? Kerana rasuah telah menjadi satu
budaya dalam masyarakat kita!

Ada orang mengaitkan ‘budaya’ memberikan anak upah jika membantu kita ke
kedai sebagai satu ‘usaha menyemai benih menerima rasuah’. Manakala bagi
saya pula tidak sebegitu. Ianya sebuah insentif. Ianya lebih kepada satu
usaha menggalakkan. Sama seperti majikan yang memberikan bonus kepada
pekerjanya jika mereka bekerja bersungguh² sehingga membuahkan keuntung
kepada pihak syarikat.

Lagipun, ianya tidak berkaitan dengan hak orang lain. Lainlah jika, kerana
kita memberikan anak kita upah, maka ada orang lain yang akan kehilangan
haknya. Itu barulah boleh dikatakan rasuah. Seperti dalam kes isteri saya.
Jika kerana hendakkan tiket percuma, maka isteri saya membenarkan anak si
ibu kekal di dalam kelasnya sehingga ada pelajar yang layak kekal
diturunkan kelas, maka jelaslah ianya satu jenis rasuah yang nyata.

Kemudian saya teringat lagi. Satu kejadian yang berlaku kepada anak saudara
saya. Ketika itu, anak saudara saya berada di dalam darjah 5 atau 6.
Seorang dari gurunya ada mengadakan kelas tuisyen pada sebelah malam. Yuran
bagi kelas tersebut adalah sebanyak RM8 bagi setiap malam dan diadakan 3
kali setiap minggu. Oleh kerana ibu bapanya kurang berkemampuan, maka anak
saudara saya tidak dapat mengikuti kelas tersebut.

Apa yang berlaku memang di luar dugaan. Menurut anak saudara saya, gurunya
‘mengugut’ akan memberi tips & hints kepada mereka yang mengikuti kelas
tuisyennya sahaja. Jadi, orang seperti anak saudara saya, tidak akan
mendapatnya dan perlu berusaha lebih untuk lulus dalam matapelajaran yang
diajar oleh guru tersebut. Dalam erti kata lain, si guru hanya akan
memberikannya kepada anak muridnya yang ‘merasuahnya’ sahaja.

Tetapi, saya katakan kepada anak saudara saya, pedulikan saja ‘ugutan’ guru
tersebut. Kerana, ketika UPSR nanti, bukan guru itu yang membuat soalan.
Lagipun, tidak rugi berusaha lebih kerana hasilnya dia juga yang perolehi.
Dan keputusannya, anak saudara saya lulus UPSR dengan mendapat 5A dan kini
sedang menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah sains di Kota
Tinggi.

Apa yang paling menarik adalah, komentar dari kakak saya yang terluka
dengan tindakan guru tersebut. Kata kakak saya, sepatutnya seorang guru
ikhlas mengajar. Tidak perlu meemikirkan duit. Walaupun saya tidak
bersetuju dengan tindakan guru terbabit, tetapi saya tidak boleh menerima
ungkapan kakak saya sebulat²nya. Bukan kerana isteri saya seorang guru
tetapi kerana mengenangkan guru juga seorang manusia.

Bukankah sifat manusia normal hari ini suka kepada kemewahan? Apakah
seorang guru perlu menjadi ‘luar biasa’ dengan mengunci semua pintu
nafsunya kepada kemewahan dunia? Jawapannya memang ya, tetapi adalah tidak
adil kepada mereka untuk mengharapkan mereka bersikap sedemikian. Sedangkan
kita sibuk berbangga dengan kemewahan kita, apakah kita mahu manusia
berjasa ini hanya melihat sambil menelan air liur sahaja?

Maka itu saya katakan, gejala rasuah ini sebenarnya berpunca dari sikap
diri kita sendiri juga sebenarnya. Kerana kita telah menetapkan ciri²
manusia yang berjaya itu pada kemewahan dan kebendaan. Hari ini, berapa
ramai orang yang berminat bersuamikan atau beristerikan atau bermenantukan
orang yang banyak berjasa berbanding dengan orang yang banyak berharta?
Saya rasa, semua orang tahu jawapannya.

Kita menetapkan bahawa, individu yang dikatakan berjaya adalah mereka yang
mempunyai satu kerjaya yang memberikan pulangan yang besar. Tidak kiralah
bekerja sendiri atau makan gaji. Juga mereka yang memiliki rumah bak istana
atau kereta yang penjang menjalar. Maka atas sebab ini, masyarakat kita
hari ini hidup dengan bermatlamatkan harta kebendaan untuk menggolongkan
diri sebagai orang yang berjaya.

Apabila konsep begini diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat, maka
terjadilah perbuatan ‘matlamat menghalalkan cara’. Gara² mahukan hasil yang
cepat, ada yang sanggup mengggadaikan maruah diri dan iman dengan
mengamalkan rasuah dan penyalah gunaan kuasa. Cuba lihat. Mereka yang
melakukannya memanglah bersalah. Tetapi kita yang terlibat dalam membentuk
konsep masyarakat yang sebegini, tidak merasa bersalah jugakah?

Saya teringat pula kepada seorang teman lama. Sudah terlalu lama saya tidak
berjumpanya. Yang saya tahu dia sudah berhenti dari tempat lama dan
memasuki sebuah badan kerajaan. Asalnya saya begitu terkejut mengapa
memilih sebuah kerjaya yang lebih kecil pendapatannya. Tetapi setelah
diberitahu, rupanya teman saya ini berniat hendak mengambil rasuah apabila
menjawat jawatan tersebut.

Dan yang terakhir saya dengar tentangnya, dia sudah menjawat jawatan itu
dan memang betul² mengamalkan rasuah. Kini sudah memiliki kereta mewah dan
sudahpun membeli sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Tidak
tahulah betul atau tidak cerita yang disampaikan ini tetapi jika benar,
alangkah malunya! Bukan sahaja teman saya tetapi seluruh masyarakat dan
stuktur pentadbiran negara sendiri.

Lebih 1400 tahun dahulu, tatkala Nabi saw dan para sahabatnya yang mulis
masih belum wafat, tidak ada kejadian rasuah sebegini di kalangan umat
Islam. Mengapa? Kerana ketika itu, masyarakat yang wujud hidup di dalam
suasana yang zuhud. Masing² membesarkan akhirat lebih dari dunia. Masing²
memandang syurga itu lebih tinggi dari mahligai di puncak gunung emas.

Oleh kerana itu, tidak ada apa yang perlu dikejarkan di dunia ini oleh
mereka. Mereka tidak terkejar² longgokan harta. Jika sudah begitu, untuk
apakah mereka memberi dan mengambil rasuah? Di sinilah contohnya bagaimana
fahaman sebuah masyarakat mampu membentuk suasana yang lebih baik. Jika
iman masyarakat itu sendiri sudah korup, maka sudah tentu tidak ada
kebaikan buat mereka secara keseluruhannya.

Maka sebenarnya, untuk menangani gejala rasuah ini, pengamalan Islam secara
kaffah itu penting. Islam mesti diamalkan seperti mana yang diajar oleh
Allah swt di dalam al-Quran dan diteladankan oleh Nabi Muhammad saw melalui
sunnahnya. Bukan dengan menambahkan nama baru pada penghujung Islam itu.
Baru dengan ini sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang
boleh dibentuk.

Penekanan pendidikan terhadap aspek teknologi tidak akan membawa apa²
kebaikan jika tidak disertakan dengan pendidikan Islam dan pembentukan iman
yang sempurna. Jika kesemua kita mampu berhenti bermegah dengan kejayaan
dunia dan menjadikan ianya matlamat kehidupan sebaliknya meletakkan akhirat
mengatasi segalanya, insyaAllah apa jua jenis gejala bukan setakat
dibendung, malah dihapuskan buat selamanya. InsyaAllah…

10 November 2006

Kejadian 5 November 2006


Hari Ahad, 5 November 2006 tempohari, ketika menghadiri majlis rumah
terbuka di rumah ibu saudara saya, tiba² saya dikejutkan oleh panggilan
dari telefon bimbit saya oleh salah seorang penyelia saya. Beliau
bertanyakan berita tentang helikopter terhempas di Laut China Selatan. Dia
menjangkakan saya lebih mengetahui kalau² berita ini telah tersebar lebih
dahulu di dalam email² seperti berita² lain.

Malangnya saya sudah agak lama tidak menjengah dunia siber tambahan pula
komputer saya ada sedikit masalah. Menjadi begitu lembab apabila
dihubungkan ke internet. Jadi saya tidak dapat memberikannya lebih
maklumat. Saya katakan akan menghubunginya selepas memeriksa kotak masuk
akaun email saya tetapi sebaik pulang, berita itu hilang dari ingatan dan
keletihan memaksa saya untuk tidak menyentuh komputer saya.

Malam itu saya ponteng ke masjid akibat keletihan dan tambah lagi dengan
rasa tidak sedap badan (sebenarnya ini petanda lemahnya iman dalam diri).
Jadi malam itu saya menonton Buletin Utama di TV3. Pada awalnya kami
dikejutkan dengan berita hukuman bunuh ke atas Saddam Hussein. Sungguhpun
terkejut, tetapi saya tidak mahu banyak komen. Alasan saya mudah, kerana
saya tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi di Iraq.

Bagaimana jika Tun Dr. Mahathir dihukum bunuh? Saya percaya, ramai yang
akan bersorak memandangkan kezalimannya menggunakan akta ISA ketika
berkuasa dahulu dan banyak kesongsangan lain. Tetapi, saya ada ramai
saudara mara di Singapura yang menyanjungi Tun kerana katanya, Tun banyak
membangunkan orang Melayu di Malaysia. Tidak seperti kezaliman diktator Lee
Kuan Yew di Singapura.

Maka kerana itu, untuk mengatakan Saddam seorang yang zalim atau tidak,
biarlah rakyat Iraq yang menentukannya. Mereka lebih tahu apakah yang telah
dia lakukan terhadap mereka… Namun berita yang berikutnya pula lebih
mengejutkan lagi. Sebuah helikopter Super Puma milik Malaysia Helicopter
Service (MHS) diberitakan telah terhempas di Laut China Selatan berhampiran
pelantar Tapis ‘B’.

Saya mendengar berita itu dengan teliti. Bagaikan sukar untuk dipercayai.
Sebenarnya, helikopter Super Puma adalah ‘kenderaan rasmi’ saya untuk ke
tempat kerja. Bagaimana saya tidak terperanjat? Tambah lagi, selama ini
yang saya ketahui, MHS mempunyai reputasi yang baik. Sungguhpun ada
beberapa insiden yang berlaku ke belankangan ini, tetapi ianya tidaklah
seserius mana seperti yang satu ini.

Keesokan harinya, telefon saya dihujani panggilan telefon dan sms yang
bertanyakan khabar. Kebetulan, saya sedang demam, maka kebanyakan panggilan
tidak dijawab dan sms pula tidak dibalas. Alhamdulillah… Rupanya ramai juga
sahabat yang begitu mengambil berat tentang diri saya. Perbuatan saya
menyepikan diri telah membuatkan kebanyakan mereka kerisauan. Minta maaf
kepada mereka semua (jika ada terbaca artikel ini).

Pada Rabunya, saya mendaftar diri di Lapangan Terbang Kerteh untuk ke
pelantar. Seperti yang saya agak, topik yang hangat diperbualkan adalah
mengenai helikopter yang terhempas tersebut. Saya cuba bertanya kepada
mereka yang saya temui terutama mereka yang bekerja di pelantar Tapis B
untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Malangnya, cerita yang saya
perolehi adalah dalam berbagai versi.

Versi yang ‘paling popular’ ialah, ketika helikopter hendak mendarat di
atas pelantar, satu tiupan angin kencang telah menolak helikopter tersebut
keluar dari helipad. Helikopter tersebut dikatakan nyaris melanggar
pelantar tetapi kecekapan juruterbangnya, Capt. Salleh telah berjaya
mengelakkan ianya dari terjadi tetapi, ia telah mengakibatkan pesawat
tersebut berpusing dan bahagian ekornya terpatah lalu tenggelam ke dalam
laut.

Lebih malang lagi, kepala Capt. Salleh dikatakan telah terhantuk
menyebabkan beliau pengsan. Juruterbang bersama (co-pilot), Capt. Ismail
dikatakan telah mencuba untuk menarik Allahyarham tetapi kaki Allahyarham
dikatakan tersangkut. Akhirnya Capt. Ismail terpaksa juga naik ke permukaan
untuk bernafas dan membiarkan sahabatnya tenggelam bersama pesawat yang
rosak itu.

Akhirnya, kesemua penumpang terselamat kecuali Capt. Salleh, juruterbang
yang mengorbankan nyawanya demi mengelak kemalangan jiwa yang lebih besar.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah…

Beberapa kali saya cuba membayangkan. Bagaimana agaknya jika saya yang
berada di dalam pesawat tersebut? Apa agaknya yang akan terjadi? Apakah
saya dapat melepaskan diri? Bagaimana pula jika saya yang menerbangkan
pesawat tersebut? Paling sedih, bagaimana jika saya berada di kedudukan
Capt. Ismail? Terpaksa melihat teman sendiri tenggelam tanpa mampu
memberikan apa² pertolongan?

Jujur, kejadian ini sedikit sebanyak menjejaskan moral saya untuk pergi
bekerja. Jika ada pilihan, memang saya mahu mengelak. Tetapi jika
difikirkan semula, terasa bodoh pula. Bukankah kematian itu sesuatu yang
pasti? Setelah beribu kali berulang alik dengan selamat, hanya kerana satu
kejadian ini saya mahu jadi penakut? Kerana itu, saya kuatkan semangat
disertai dengan doa kepada Allah agar memberikan perlindunganNya.

Hari itu (Rabu), saya tiba di pelantar begitu lewat. Semuanya kerana
kekurangan helikopter. Kesemua helikopter jenis Super Puma dibekukan (
grounded) bagi membolehkan penyiasatan dilakukan. Begitulah komitmen MHS.
Mereka tidak mahu, jika ada apa² kesilapan teknikal berulang lagi kepada
pesawat yang lain. Memanglah ianya menyulitkan kami tetapi demi kebaikan
masa hadapan, terpaksa juga kami terima keadaan itu.

Ketika berbual dengan teman², sempat saya berjenaka. Saya katakan, jangan²
ada selepas ini ibu bapa yang tidak mengizinkan anaknya untuk bekerja di
pelantar lagi kerana bimbang helikopter terhempas. Seperti mana bimbangnya
ibu bapa akan anak mereka dibunuh pengganas komunis jika menyertai pasukan
tentera. Jenaka saya disambut dengan gelak ketawa oleh rakan². Ada yang
berkata ianya mungkin juga terjadi.

Sebenarnya, sebelum dibenarkan bekerja di pelantar, pihak majikan telah
memastikan kami diberikan latihan secukupnya di Pusat Latihan Keselamatan
Terengganu (TSTC). Latihan yang dikenali sebagai HUET (Helicopter
Underwater Escape Training) diwajibkan ke atas semua mereka yang mahu
bekerja di luar pesisir. Di dalam latihan ini, kami di berikan situasi
bagaimana jika helikopter terhempas dan tenggelam di dalam laut.

Kami akan diletakkan di dalam sebuat replika helikoter. Kemudian, dengan
tali pinggang yang terikat, helikopter dipusingkan hinggakan kaki di atas
kepada di bawah dan ditenggelamkan di dalam air. Dalam keadaan begini, kami
dikehendaki melepaskan diri dari ikatan tali pinggang dan keluar melalui
tingkap atau pintu. Memang kelam kabut. Hinggakan ada yang merah mata
akibat tersedut air melalui hidung.

Jika diikutkan, memang kami benci dengan latihan ini. Tetapi apa boleh
buat. Latihan ini memang diwajibkan bagi membolehkan pasport kami dicop dan
dibenarkan terus bekerja. Lagipun, dengan pengetahuan asas sebegini,
sekurang²nya kami tahu apa yang perlu dilakukan jika pesawat kami benar²
terhempas. Seperti apa yang dialami oleh rakan² kami dalam kejadian 5
November tempohari.

Namun, untuk mengatakan pengetahuan itu yang menyelamatkan mereka adalah
salah sama sekali. Segalanya hanyalah ketentuan Allah jua. Latihan ini
hanyalah ‘syarat dunia’. Jika seorang yang tidak pernah menghadiri HUET
sekalipun, tetapi Allah telah menetapkan dia akan selamat, maka selamatlah
dia. Begitu jugalah sebaliknya. Kerana ajal, maut maut, jodoh pertemuan
kesemuanya Dia yang menentukan.

Bercakap mengenai maut, jika dilihat sekali imbas, kelihatannya pekerjaan
kami begitu dekat dengan kematian. Seperti diri saya sendiri. Pada awalnya,
saya menaiki bas ekspress dari JB ke Kerteh. Ada kemungkinan bas yang saya
naiki terlibat dalam kemalangan. Kemudian saya menaiki helikopter untuk ke
pelantar. Ada kemungkinan helikopter yang saya naiki terhempas. Dan di
pelantar, ada kemungkinan ianya boleh meletup.

Namun itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk saya lari dari tugas
ini. Sebenarnya, bukan setakat kerja seperti kami, bahkan kerja apa
sekalipun akan ada risikonya tersendiri. Lagipun perkara maut bukanlah
perkara yang boleh kita tentukan. Sedangkan seorang doktor pakar juga akan
mati. Sedangkan malaikat maut dan malaikat peniup sengkakala juga akan
musnah. Apatah lagi kita yang tidak punya apa² ‘kekebalan atau kelebihan’.

Tidak semestinya orang yang pekerjaannya berisiko tinggi seperti kami akan
mati terlebih dahulu berbanding dengan mereka yang bekerja di pejabat²
besar dan kerjanya hanya mengetuk papan kekunci komputer. Tidak. Maut boleh
menjemput sesiapa sahaja, di mana jua anda berada. Seperti kata ustaz saya,
kita sebenarnya telah bertunang dengan kematian. Bersedialah untuk
‘dikahwinkan’ pada bila² masa yang ditentukanNya.

Pengajaran yang paling berharga di sini ialah, betapa kita perlu sentiasa
bersedia untuk menghadapi maut. Bukan setakat bersedia dengan mengambil
insurans nyawa atau khairat kematian tetapi juga bersedia dengan amalan
yang memungkinkan kita mendapat husnul khatomah. Juga dengan amalan agar
kita tidak dicampakkan ke neraka jahannam apabila tiba di hari kebangkitan
kelak.

Betapa mulianya Capt. Salleh terkorban ketika cuba menyelamatkan lebih
banyak nyawa daripada terkorban. Ia membuatkan saya terfikir. Saya mahu
sebuah kesudahan yang baik. Sekurang²nya saya boleh berbangga ketika
menghadapNya dengan tubuh yang penuh dengan tanda pernah berbuat jasa.
Tetapi, saya takut jika yang berlaku sebaliknya. Saya takut jika saya mati
tatkala begitu banyak hati yang membenci diri ini. Wana’uzubillahi
minzalik…..

31 October 2006

Eidulfitri 1427H


Agak lama saya tidak menulis. Bukan apa. Di musim² raya begini, ada banyak rumah yang perlu dikunjungi selain beberapa perkara lain yang perlu dibereskan. Maaf kepada sesiapa yang mencari updates di blog ini. Juga, rasanya masih sempat untuk mengucapkan Selamat Hari raya Eidulfitri kepada semua pengunjung blog yang sentiasa memberikan sokongan. Dipohon ampun dan maaf sekiranya ada tulisan saya yang melukakan hati anda semua.

Pada hari kedua atau ketiga raya, ada tersiar di akhbar Berita Harian mengenai pengalaman beraya di pelantar minyak milik ExxonMobil iaitu Seligi ‘A’. Untuk makluman, pelantar Seligi ‘A’ adalah pengeluar minyak terbesar dalam milikan ExxonMobil. Manakala pelantar tempat saya bekerja, Jerneh ‘A’ adalah pengeluar gas yang terbesar. Cemburu juga mengenangkan mengapa Seligi yang dipilih, bukan Jerneh.

Dalam pada itu, ada juga yang mengemel saya meminta saya menulis tentang pengalaman beraya di pelantar. Sebenarnya, pada Eiduladha tahun lepas, saya telahpun menulis artikel berjudul ‘Hari Raya di Tengah Lautan’. Tetapi, disebabkan pengalaman beraya di pelantar tidak sentiasa sama pada setiap tahun, saya kira bukanlah sesuatu yang sia² jika saya menulis tentang sambutan Eidulfitri di tahun ini pula.

Biarlah saya menulis bermula dari hari sebelum raya hinggalah pengalaman saya pulang ke kampung menyambut ‘saki-baki’ raya yang masih ada. Sebenarnya, pada Ramadhan tempohari, kami di Jerneh mempunyai projek shutdown bersempena dengan rig gerudi yang telah siap kerjanya dan ingin meninggalkan pelantar kami. Demi keselamatan, jika ada heavy lifting, maka produksi akan dihentikan. Maka dikesempatan inilah projek shutdown diadakan.

Maka dalam pada berpuasa, kami dibebankan dengan kerja² yang berat. Bayangkanlah, dalam keadaan tidak boleh minum di siang hari, kami terpaksa bekerja lebih dari kerja di hari² biasa. Nafsu di dalam meronta² meminta ditinggalkan puasa untuk barang sehari dua. Tetapi, bila dikenang² kembali, terasa rugi pula. Lagipun, puasa tidak sepatutnya dijadikan alasan. Umat Islam harus terus produktif meskipun dalam keadaan ‘kekeringan’ seperti itu.

Tambah pula, saya ada berbual dengan seorang pembantu mekanik. Jika hendak dikira, kerjanya jauh lebih berat dari kerja saya. Satu hari, saya bertanya kepadanya adakah dia masih berpuasa. Jawabnya, “Takkan nak buka. Kalau setakat macam ni dah tahan, macam mana nak berjuang?” yang dimaksudkan berjuang itu sebagai jihad fisabilillah. Insaf saya. Jika orang tua yang kerjanya lebih berat boleh bertahan, apakan lagi saya yang masih muda ini. Bukan?

Disebabkan shutdown, maka pelantar kami dipenuhi orang. Jika biasanya TOB (Total On-Board – Jumlah orang di atas pelantar) sekitar 30 hingga 40 orang, pada bulan Ramadhan ini ianya meningkat sehingga lebih 150 orang. Sehingga bilik saya, yang biasanya khusus untuk saya, juga terpaksa dikongsi. Sudah bertahun lamanya saya tidur sendiri. Terasa kekok pula apabila ada orang lain yang turut di bersama di dalam bilik tersebut (katil berasingan…).

Tiba waktu berbuka, lebih rumit. Dewan makan atau galley yang boleh menampung biasanya hingga ke 100 orang menjadi penuh sesak. Hinggakan meja ping-pong pun terpaksa dijadikan meja makan. Itupun mujur ada yang bersolat Maghrib dahulu sebelum makan. Untuk mengelakkan tiada tempat duduk, terpaksalah menempah awal meja dengan meletakkan sepinggan makanan di tempat yang menjadi pilihan.

Tentang hidangan berbuka, memang hebat. Murtabak, karipap, mi goreng, bubur lambuk dan bermacam lagi juadah yang terdapat di darat juga dapat kami nikmati di tengah laut. Sekurang²nya, tidaklah terkilan sangat. Suasana makan juga secara berkelompok atau beramai², jadi suasana kekeluargaan itu timbul. Memang kami di tengah lautan amat rapat antara satu sama lain. Sudah seakan² satu keluarga yang besar.

Pada malamnya, terdapat upacara solat terawih berjamaah. Alhamdulillah, setiap tahun pasti ada saja sukarelawan untuk menjadi imam dan bilal. Suasananya sama seperti masjid² dan surau² biasa. Ada bilal yang melaungkan selawat kemudian disambut oleh makmum dengan meriah. Tetapi pada kebiasaannya, hanya lapan rakaat yang ditunaikan. Ini mengambil kira kebanyakan mereka letih bekerja di siang hari dan ingin berehat segera.

Keadaan di surau juga seperti di galley. Perlu datang awal untuk menempah tempat. Jika tidak, terpaksalah bersolat bersendirian. Atau jika bernasib baik, mungkin dapat berjemaah dalam kelompok yang lebih kecil dengan mereka yang bersolat lewat kerana terpaksa turun bekerja selepas Maghrib. Alhamdulillah, walaupun di tengah lautan, ramai yang tidak mengabaikan ibadah yang istimewa ini. Hanya keadaan surau yang sempit sahaja menjadi masalah.

Tetapi itu semua keadaan di pertengahan puasa. Projek shutdown kami hanya memakan masa kurang dari seminggu. Jadi, menjelang hari raya, suasana mula berubah. Sehari demi sehari, ramai orang yang meninggalkan pelantar. Hingga akhirnya TOB kami hanya 29 orang ketika menyambut Syawal. Ditolak bukan muslim, jumlah kami hanya lebih kurang 20 orang. Ketika inilah suasana menjadi sayu.

Ketika berbuka, tidak perlu lagi berebut tempat duduk. Malah banyak meja yang kosong. Malah ketika bertarawih, hanya beberapa saf sahaja yang dipenuhi orang. Saya kembali berseorangan di dalam bilik. Paling sayu, di malam raya hanya beberapa orang sahaja yang bertakbir. Tidak ada lagi gegak gempita seperti orang menyambut selawat ketika pertengahan Ramadhan tempohari.

Sebenarnya, mengikut jadual, saya sepatutnya pulang pada pagi hari raya, 24 Oktober tempohari. Tetapi setelah diambil kira banyak perkara, maka saya ambil keputusan untuk bertukar dengan teman saya. Bermakna, saya pulang pada keesokan harinya, hari Rabu manakala relief saya yang sepatutnya datang bekerja pada hari Selasa, berpeluang untuk menyambutnya bersama keluarga untuk satu hari.

Bayangkanlah, bagaimana perasaan apabila ketika orang sedang sibuk bertakbir di masjid selepas solat subuh, kita sedang mengusung beg ke lapangan terbang untuk menunggu helikopter yang akan membawa kita ke tengah lautan. Tentu sayu. Maka atas alasan itulah, saya berkorban untuk satu hari. Sekurang²nya, dapat juga saya menunaikan solat sunat Eidulfitri. Jika tidak, saya hanya akan bertakbir di dalam helikopterlah nampaknya.

Hari itu, ada juga seorang teman saya yang terpaksa datang pada pagi raya disebabkan seorang rakan kami, India Kristian, enggan bertukar jadual dengannya. Mujurlah helikopter pada pagi itu tiba agak awal. Jadi, ketika bertakbir kami sudah mendengar bunyi helikopter mendarat. Kami teruskan bertakbir sehingga teman saya tadi sempat bersiap dan menyertai kami untuk menunaikan solat sunat Eidulfitri bersama.

Seperti juga solat tarawih, solat sunat Eidulfitri juga pada kebiasaannya akan sentiasa ada orang yang secara sukarela menjadi imam dan bilal. Jadi solat kami tunaikan seperti biasa. Lengkap dengan takbir dan khutbahnya. Teks khutbah pula biasanya kami perolehi dari khutbah di darat untuk tahun lepas. Hanya tahun ini agak istimewa. Khutbah disampaikan oleh seorang peserta Jemaah Tabligh dengan gaya bayan tanpa mengikut teks.

Selepas bersolat, kami turun ke galley makan beramai². Hidangan pada pagi itu hanyalah nasi dagang. Sungguhpun hanya nasi dagang, ianya kegemaran saya. Bagi saya, saya lebih suka makan nasi dagang dari ketupat dan lemang. Namun begitu, untuk hidangan jam 10 pagi, diadakan acara buffet. Hidangan rasmi raya seperti ketupat nasi, ketupat palas, lemang, rendang dan lain² hidangan istimewa pagi raya ada disajikan.

Suasanyanya tidak jauh berbeza dengan sambutan di darat, bukan? Ya, jika dikira dari sudut makanan dan ibadahnya. Tetapi satu perkara yang amat kami ridukan adalah bersalaman dan bermohon maaf sesama keluarga. Inilah perkara yang tidak ada harga dapat membelinya. Tetapi apakan daya. Ini adalah kerjaya yang kami pilih sendiri. Lagipun, pengorbanan kami ini untuk kebaikan semua juga kerana tenaga letrik bergantung kepada sumber gas.

Untuk sesetengah penyelia pelantar yang memahami, kami akan diberikan peluang untuk telefon keluarga pada pagi hari raya itu. Dan Alhamdulillah, meskipun penyelia pelantar saya bukan muslim (Cina Buddhist) tetapi beliau ‘membuka’ talian telefon untuk awam. Bayangkanlah kesayuan hati apabila memohon keampunan dari ibu bapa dan menerima maaf dari anak isteri hanya melalui lubang speaker gagang telefon yang kecil itu.

Selepas dari itu, kerja akan dijalankan seperti biasa. Tetapi tidak ada tekanan untuk menyiapkan kerja seperti hari² lain. Untuk yang bekerja shift malam, harinya dihabiskan dengan berbual atau bermain dengan konsol permainan PS2. Hidangan kuih raya dan makanan pagi raya termasuklah sate hanya terbiar di atas meja. Bukanlah tidak menyelerakan tetapi… Itu semua tidak begitu membawa erti.

Keesokan harinya giliran untuk saya pulang. Pada kebiasaannya saya telahpun menempah tiket balik seminggu sebelum pulang. Tetapi kali ini, saya dimaklumkan bahawa tiket bas sudah habis di awal Ramadhan lagi. Pada awalnya saya begitu sakit kepala memikirkan bagaimana hendak pulang ke kampung. Mujurlah Allah selamatkan saya apabila seorang dari teman yang juga penyelia saya turut balik sama hari dengan saya.

Jadi saya menumpangnya untuk ke Kuantan pada awalnya. Tetapi sebelum itu, saya mengikutnya beraya di rumah kawannya dan juga seorang dari pelatih saya. Dalam perjalanan ke Kuantan, saya sibuk memikirkan bagaimana agaknya jiwa tiket bas di Kuantan juga kehabisan. Akhirnya saya minta teman saya tadi hantarkan saya ke Lapangan Terbang Kuantan kerana saya ingin mengambil penerbangan ke KLIA.

Tetapi teman saya datang dengan idea yang kelihatan lebih menarik. Dia mencadangkan saya untuk terus ke Seremban dan mengambil komuter dari sana terus ke KL Sentral. Dari KL Sentral, saya boleh menaiki komuter untuk ke Kelang. Perancangannya nampak logik dan berkesan jadi saya pun bersetuju. Namun sebenarnya kami terlupa untuk mengambil kira satu perkara. Kesesakan lalulintas!

Jalan ketika itu telah mula dipenuhi kereta yang mahu pulang ke Kuala Lumpur untuk mula bekerja keesokan harinya. Jadi waktu perjalanan kami menjadi lebih perlahan. Tambah parah apabila perjalanan dari Kuala Pilah sesak dengan lebih teruk lagi. Kasihan saya melihat teman saya kerana rumahnya berada di Kuala Pilah tetapi disebabkan saya, dia jadi pulang lewat ke rumah kerana terpaksa menghadap trafik ke Seremban.

Kami tiba di Seremban agak lewat. Ketika saya membeli tiket di kaunter, sempat saya bertanya kepada kerani kaunter pukul berapakah tren terakhir di KLSentral. “Nak ke mana bang?” tanyanya mesra. “Oh… Tren ke Kelang dah habis…” jawabnya sebaik saya nyatakan arah tujuan saya. Saya menjadi begitu hampa. Nampaknya saya terpaksa bermalam di Kuala Lumpur untuk satu malam.

Kemudian saya terfikir mungkin saya boleh mengambil teksi dari KL Sentral ke Kelang. Tetapi idea teman saya jauh lebih baik. Kami bertanyakan kepada pemandu teksi di situ berapakah tambangnya untuk ke Kelang. Mulanya saya bertanyakan kepada pemandu Melayu tetapi tidak seorangpun yang sanggup ke sana. Almaklumlah, jalan sesak. Tentu sahaja mereka mahukan perjalanan yang lebih selesa.

Akhirnya saya bertanya kepada seorang pemandu teksi berbangsa Cina. “RM110” katanya apabila saya bertanyakan tambangnya. Setelah berfikir beberapa minit, akhirnya saya bersetuju. Kerana jika saya bermalam di Kuala Lumpur, saya terpaksa membelanjakan beberapa ratus juga untuk bilik hotel. Setelah mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan teman saya, kami memulakan perjalanan.

Jalan memang begitu sesak hinggakan saya tiba begitu lewat di Kelang. Hampir pukul 12 tengah malam. Selepas menurunkan saya di hentian bas ekspress, pemandu teksi itu segera meninggalkan saya termangu sendirian kerana mencari teksi yang boleh menghantar saya ke Kuala Selangor pula. Setelah mundar-mandir beberapa ketika, akhirnya saya ditegur oleh seorang pemandu berbangsa India. “RM50. Boleh?” Saya segera menaiki teksinya.

Saya tiba di Kuala Selangor agak lewat. Ketika itu sudah lebih dari jam 1 pagi. Tetapi saya bersyukur kerana masih sempat sampai ke kampung. Sekejap di Kuala Selangor, kereta biras saya datang untuk menjemput saya ke Tanjung Karang. Alhamdulillah, dengan izin Allah malam itu saya dapat bermalam di rumah mertua saya. Dapat berjumpa dengan isteri dan anak saya. Walaupun terpaksa berbelanja lebih.

Hari raya tahun ini memang istimewa. Selain dari pengalaman pertama menyambut Eidulfitri di tengah lautan (saya sudah banyak kali menyambut Eiduladha di pelantar), pengalaman ketika pulang juga memberikan pengajaran. Perjalanan bersama dua orang pemandu teksi itu juga banyak memberikan saya pengajaran yang, isyaAllah akan saya kongsikan dalam penulisan yang akan datang.

Sungguhpun saya terpaksa menyambut 1 Syawal di tengah lautan tanpa keluarga tercinta, namun rasanya keadaan saya masih tidak seteruk mana jika dibandingkan dengan abang saya yang sehingga hari ini masih belum mampu bertemu dengan isteri dan anak² termasuk yang baru dilahirkan pada 12 Ramadhan yang kini berada di Kelantan akibat perbelanjaan (terutama harga minyak) yang mahal melampau.

Hari raya, walaupun di manapun kita menyambutnya, tetap akan meriah dan bermakna jika kita mahu jadikan ianya bermakna. Sesusah manapun kita, percayalah ada orang yang lebih susah lagi hidupnya. Bersyukurlah. Walaupun kita menyambut hari raya jauh dari keluarga, sekurang²nya keluarga kita masih ada. Bagaimana dengan mereka yang kini hanya tinggal sebatang kara? Terutama saudara kita yang berada di Afghan, Iraq, Lubnan dan Palestin…..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.