17 December 2006

Selamat Hari Jadi Ayah.....


Hari ini 17 Disember. Genap 66 tahun yang lalu, pada hari inilah lahirnya
seorang lelaki yang menjadi asbab saya dilahirkan. Dan lelaki itu, pada
hari ini saya panggil sebagai ayah. Alhamdulillah, ayah masih mampu melalui
hari ulangtahun kelahirannya yang ke 66 dan kami 6 adik beradik berserta
ibu dan juga 18 orang cucunya sempat meraikan bersamanya. Meskipun kini
saya berada ratusan kilometer dari daratan...

Pagi tadi, seawal jam 9 pagi saya telah menelefonnya untuk mengucapkan
selamat hari lahir. "Tapi sorry lah ayah sebab tak ada hadiah. Nanti balik
darat baru beli eh?" ujar saya cuba menutup kesilapan. "Tak payahlah. Nak
buat apa?" tanya ayah. "Dah tua ganyut dah. Tak payahlah hadiah-hadiah
ni..." sambung ayah lagi. Saya hanya tersenyum. Katanya tidak mahu, tetapi
kalau saya beri juga, pasti dia gembira.

Ayah memang tidak pernah meminta hadiah. Bukan setakat hadiah, 10 sen pun
ayah tidak pernah meminta daripada anak-anaknya. Apa yang ayah mahukan dari
kami hanyalah hidup dengan bahagia bersama keluarga kami tanpa melupakan
dia dan ibu kami. Yang ayah mahukan hanyalah anak-anaknya sering pulang ke
rumah untuk menjengah keadaan mereka berdua. Itu sahaja.

Jika hendak dikira, rasanya seluruh dunia dan isinya pun tidak akan mampu
membalas segala kebaikan dan jasa ayah membesarkan kami adik beradik. Kami
bukan orang senang. Ayah juga bukan orang terpelajar. Ayah tersingkir dari
sekolah akibat keluarga yang kucar-kacir. Ayah juga tidak punya tanah untuk
diusahakan. Tanpa pelajaran dan tanah, apa yang ayah mampu lakukan hanyalah
dengan menjadi buruh kasar.

Bermacam kerja yang ayah lakukan. Menjadi nelayan, menjual aiskerim,
menoreh getah melombong timah dan berbagai lagi. Hinggakan terpaksa tingga
di dalam estet yang lebih mirip kepada hutan. Makan hanya makanan dalam tin
seperti sardin dan sotong kering kerana sukarnya hendak ke pekan membeli
barang keperluan. Bahkan ayah pernah tertimbus di dalam lombong yang runtuh
tebing tanahnya.

Namun itu semua tidak pernah melunturkan semangat ayah untuk terus mencari
nafkah untuk kami anak-beranak. Setiap detik dan ketika, kami sekeluargalah
yang menjadi keutamaan dalam hidupnya. Ayah bekerja siang dan malam bukan
untuk hidup mewah, tetapi sekadar bagi memastikan tidak ada dari
anak-anaknya yang nanti kebuluran. Malah ayah sanggup memakai baju buruk
asalkan wajah anak-anaknya berseri dengan baju yang baru.

Ketika saya mendaftar di UTM, umur ayah sudah menjangkau 54 tahun. Pada
usia begitu, ayah sepatutnya sudah mula kurangkan bekerja. Tetapi usahanya
terpaksa dilipat-gandakan kerana terpaksa menanggung perbelanjaan saya di
universiti. Mujurlah pada ketika itu ada abang saya yang sudah bekerja dan
membantunya untuk meringankan beban keluarga. Jika tidak, tentu ayah perlu
berusaha dengan lebih teruk lagi.

Kini, pada usia 66 tahun, ayah sudah tidak saya benarkan bekerja. Saya mahu
ayah berehat dan menghabiskan masanya bermanja dengan cucu-cucunya
(anak-anak saya kerana mereka tinggal bersama saya). Kerana saya tahu, ayah
tidak dapat bermanja dengan kami ketika kami masih kecil. Ketika itu ayah
begitu sibuk mencari rezeki. Seronok melihat anak saya begitu manja kepada
datuknya. Biarlah ayah mengisi semula kekosongan yang dia tinggalkan dulu.

Tetapi ayah tidak betah duduk berehat di rumah. Jika ada keluangan, ayah
pasti akan ke kampung kami bagi mengerjakan sebidang tanah yang kami
miliki. Di tanah itu, ayah tanamkan durian, cempedak, jambu batu dan
berbagai tanaman lain. Pulang dari kebun pasti ayah seronok bercerita
tentang kebunnya. Yang menyedihkan, ayah pernah berkata "Aku tak taulah
sempat ke tak makan buahnya. Kau orang aje la yang rasa hasilnya nanti..."

Saya yakin, bahawa kebanyakan ayah di dalam dunia ini menyayangi anaknya
seperti mana ayah saya menyayangi kami adik-beradik. Mungkin di dalam
drama-drama Melayu banyak ditunjukkan sifat ayah yang mata duitan, yang
mengongkong hidup anak dan sebagainya tetapi saya percaya, bilangan ayah
yang sebegitu mungkin terlalu kecil jumlahnya. Malah, jika ayah mengongkong
hidup kita pun, ianya hanyalah untuk kebaikan kita juga.

Seperti mana suatu ketika dulu ayah 'bising' mendesak saya membeli kereta.
Sangka saya, sebenarnya ayah yang teringin memakai kereta. Saya belikan
juga kerana ingin menjaga hatinya. Rupanya ayah tidak berpuas hati
hinggalah saya menjual motor saya. Sebenarnya ayah tidak pernah inginkan
kereta saya sebaliknya ayah hanya mahu keselamatan saya lebih terjamin
kerana risaukan bahaya menunggang motorsikal.

Ayah kita hanyalah manusia biasa. Sebagai manusia biasa, pastinya akan ada
sifat yang negatif di dalam dirinya. Namun itu bukan alasan untuk kita
menjauhkan diri daripadanya. Saya percaya, dalam diri kita juga terdapat
sedikit sebanyak sifat negatif yang tidak mereka senangi tetapi kerana
berpegang kepada hakikat bahawa kita anaknya dan mereka ayah kita, maka
dengan rela mereka menelan semua keburukan itu.

Hari ini saya juga ayah kepada dua orang anak. Saya juga terpaksa berjauhan
dengan anak-anak seperti mana yang dialami oleh ayah suatu ketika dulu atas
nama kerja. Rasanya, hari ini saya semakin faham perasaan ayah ketika
meninggalkan kami. Namun anak-anak saya masih kecil. Mungkin saya masih
belum memahami bagaimana peritnya perasaan apabila seorang anak
mengenepikan atau meninggikan suara terhadap saya...

Tidak ada jaminan kami akan menyambut hari lahirnya yang ke 67 bersama
lagi. Namun kesempatan masih belum tertutup buat saya untuk mencurahkan
lebih kasih sayang dan, jika boleh, kemewahan buatnya dalam saki baki hari
yang ada. 3/4 dari hidupnya sudah dihabiskan untuk membahagiakan sebuah
keluarga. Tetapi saya tidak pasti dapatkan saya luangkan 1/10 dari hidup
saya untuk membahagiakan dia dan ibu saya?

Ya Allah! Ampunilah kami. Dan ampunilah kedua ibu-bapa kami. Dan
kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami masih
kecil. Kurniakanlah kepada mereka kesihatan. Dan limpahkanlah hidup mereka
dengan kesejahteraan dan rahmatMu ya Allah! Jika mereka jauh dari
hidayahMu, maka dekatkanlah. Sesungguhnya, tidak ada pemberi kebaikan
melainkan Engkau ya Allah... Amin... Ya Robbal 'Alami.....

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.