10 December 2006

Kisah Sepuluh Ringgit


Sebelum saya memulakan tulisan saya untuk kali ini, ingin saya mengucapkan
terima kasih kepada mereka yang mengucapkan tahniah kepada saya atas
kelahiran anak kedua saya. Apa yang saya bakal ceritakan juga sebenarnya
berlaku 2 hari sebelum kelahiran Nazhurah. Satu kejadian yang mengundang
air mata saya dititiskan. Ianya berlaku di pekan Kuala Selangor sewaktu
perjalanan pulang ke Tanjung Karang.

Disebabkan saya tiba lewat di rumah kakak ipar saya di Teluk Panglima
Garang, maka kami menukar rancangan untuk pulang ke Tanjung Karang keesokan
harinya. Apabila bangun pagi keesokan harinya, isteri saya mendapati badan
Naqibah mulai panas. Tetapi kami merancang untuk meneruskan rancangan kami
dan akan singgah ke klinik apabila tiba di pekan Kuala Selangor nanti.

Di dalam teksi, Naqibah hanya tidur di pangkuan saya sepanjang perjalanan.
Dia hanya terjaga sebaik teksi berhenti di sebuah klinik di deretan sebuah
rumah kedai berhampiran stesen minyak Shell di Kuala Selangor. Kami segera
masuk ke klinik bagi mendapatkan rawatan untuk Naqibah. Doktor mengesahkan
Naqibah hanya demam biasa. Alhamdulillah. Mungkin kerana telalu kepenatan
semalam.

Setelah mengambil ubat dan membayar kos rawatan, kami keluar dari klinik
dan singgah di butik Anakku yang terletak di sebelahnya. Tiba-tiba isteri
saya dihampiri oleh seorang perempuan dengan anak kecilnya. Dari segi
rupanya kelihatan seperti seorang berbangsa India tetapi dia mengenakan
tudung di kepalanya. Mulutnya pula berkata sesuatu yang sukar untuk kami
fahami sambil menunjukkan duit seringgit di tangan kanannya.

Saya berfikir mungkin perempuan ini seorang peminta sedekah. Saya segera
mengeluarkan duit seringgit dari beg duit saya dan menghulurkan kepadanya.
Dia mengucapkan terima kasih sambil mulutnya masih terus membebel yang saya
tidak faham biji butirnya. Hanya yang saya faham, dia berkata bahawa dia
dan anaknya masih belum makan. Timbul rasa simpati di hati saya
mendengarnya.

Sebelum menaiki teksi di Kelang, sempat saya singgah di mesin ATM untuk
melihat gaji. Jumlah yang tertera mengundang senyuman di bibir. Maklumlah,
bulan ini bonus kami dikreditkan ke dalam akaun kami. Mengenangkan gaji
saya yang agak lebih di bulan ini, saya kira tidak ada salahnya jika saya
hulurkan kepada perempuan itu lebih sedikit juga. Bukan banyak pun. Hanya
RM10 sahaja.

Sebaik melihat kertas merah di tangan saya, wanita itu melonjak
kegembiraan. Lantas dia segera merentap tangan isteri saya dan menciumnya.
Isteri saya kebingungan dengan reaksinya. Saya juga terkedu melihatnya. Dan
yang paling menyedihkan, apabila wanita itu meneriak anaknya sambil berkata
dengan riang “Adik! Kita makan dik!” dan kemudian menarik anaknya ke kedai
makan yang terdekat.

Saya tidak dapat menahan sebak di dada. Saya dapat rasakan ada titisan air
mata di kelopak mata saya. Apabila isteri saya memandang kepada saya, saya
segera menoleh ke arah lain. Malu pula rasanya hendak menangis di hadapan
isteri. Tetapi apa yang berlaku cukup-cukup menyentap emosi saya. Malah
hingga ke hari ini, rasa sebak masih melanda apabila melihat riangnya
wanita itu beroleh duit sebanyak RM10…

“Sedih abang Yang…” kata saya kepada isteri saya sebaik wanita itu jauh
dari kami. “Dia dapat sepuluh ringgit je tapi seronoknya melampau. Abang…
Gaji abang lebih bulan ni. Tapi abang tak ingat pun abang cakap
Alhamdulillah ke tak masa tengok gaji tadi…” Insaf saya. Selama ini saya
menganggap RM10 itu bagaikan kertas yang hampir pupus nilainya tetapi ada
orang lain yang gembira bukan kepalang apabila beroleh wang sebanyak itu.

“Kita ingat Achik dengan Ateh dan cukup susah. Tapi ada orang lain yang
lebih susah, kan?” tambah isteri saya pula yang mengundang lebih keinsafan
dalam diri saya. Betapa saya selama ini kufur dengan nikmat yang Allah
beri. Betapa saya tidak pernah merasa cukup dengan limpahan rezeki yang
dikurniakan. Sedangkan ada orang yang mendapatkan sebahagian kecil dari apa
yang saya perolehi begitu pandai menghargainya.

Saya cuba bayangkan diri saya dalam keadaannya. Tanpa kereta dan tanpa
telefon bimbit, aksesori yang bagi saya sengaja dijadikan keperluan. Bukan
setakat itu, makan juga terpaksa mengharap simpati orang. Bagaimanakan
keadaan saya ketika itu? Akan berimankan saya dengan iman seperti hari ini
ataukah saya menjadi orang yang menyalahkan takdir? Wana’uzubillahi
minzalik. Semoga Allah melindungi kita dari keburukan.

Pulang ke rumah di Johor Bahru, saya bercerita kepada abang saya tentang
apa yang berlaku. “Eh eh dik…” Kata abang saya terharu. “Kalau kita macam
tu entah macamana agaknya” katanya lagi seolah-oleh menyetujui pemikiran
saya. Sebentar kemudian dia menambah… “Tapi… Ada sesetengah tu tipu je. Ada
sindiket. Kadang-kadang tu pengemis ni hidup lagi mewah dari kita. Banyak
berlakon je…” katanya.

Saya terdiam sebentar. Sebenarnya perkara ini pernah ditimbulkan dalam satu
forum di ruang siber. Tetapi bagi saya, ianya sesuatu yang mudah. Setiap
kali tangan ini menghulurkan, saya tidak pernah memikirkan kejujuran orang
yang menadah. Bagi saya, apa yang terlihat di hadapan mata saya ketika itu
adalah kebenaran. Jika dia tiba di hadapan saya sebagai orang miskin, maka
betullah dia seorang yang miskin.

Bagaimana jika dia menipu? Itu urusan dia dengan Allah. Saya tidak risaukan
jika dia seorang kaya yang berlagak miskin. Yang saya risaukan jika dia
benar seorang yang miskin dan memerlukan bantuan tetapi tidak saya bantu
kerana sifat prejudis saya terhadap golongan peminta sedekah. Maka
berdosalah saya sebagai seorang muslim yang tidak menghiraukan saudara
muslimnya yang kelihatan dalam kesusahan.

Lebih dari itu, Allah melalui lidah mulia Nabi Muhammad saw menjanjikan
balasan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang bersedekah. Tidak pula Allah
meletakkan syarat, jika orang yang kita berikan sedekah itu sebenarnya
adalah seorang yang kaya, maka pahala yang telah dikurniakan kepada kita
akan ditarik balik. Tidak! Allah tidak pernah berjanji begitu. Jadi mengapa
harus saya membebankan fikiran saya dengan perkara yang tidak sewajarnya?

Abang saya mengangguk-anggukkan kepada tanda bersetuju. Begitulah. Jika
hendak melakukan kebaikan, tidak perlu meletakkan syak dan wasangka. Hanya
letakkan harapan dan doa agar wang yang kita dermakan tidak nanti disalah
gunakan. Kedudukan kita sebagai jutawan hari ini tidak mampu menjanjikan
bahawa kita tidak mungkin akan menjadi peminta sedekah pada esok hari. Jika
mahukan bantuan Allah, maka bantulah sesama manusia…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.