19 December 2006

Tangisan Di Rumah Nurhikmah


Pada 13 Disember baru-baru ini, saya ke Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri
mesyuarat kesatuan. Semasa dalam perjalanan, saya hubungi teman saya dan
memberitahunya bahawa saya akan ke sana. Dan kami merangka rancangan untuk
bertemu jika mesyuarat saya berjaya ditamatkan lebih awal. Dan itulah
sebenarnya yang terjadi. Kami korbankan makan tengahari dan dapat menutup
mesyuarat jauh lebih awal.

Sebaik tamat mesyuarat, saya menghubungi teman saya tadi menggunakan sistem
pesanan ringkas (SMS). Tidak lama kemudian, keretanya pun muncul di hadapan
bangunan pejabat syarikat tempat saya bekerja. “Ada apa-apa program tak
lepas ni?” tanyanya. Saya menggelengkan kepala. “Cuma malam nanti la nak
balik Terengganu.” “Ok… Ni nak ajak pergi Kajang ni…”

Kajang? Kalau sebut Kajang, yang terbayang di kepala saya hanyalah sate
Kajang. Tetapi kemudian teman saya menjelaskan bahawa kami akan menuju ke
Rumah Nurhikmah, yang menempatkan anak-anak yatim dan ibu tunggal. Oh…
Detik hati saya. OK juga. Sebenarnya saya pernah menulis tentang Rumah
Nurhikmah ini tetapi, saya masih belum pernah berpeluang melihat keadaan
sebenar mereka. Mungkin inilah peluang saya.

Perjalanan dirasakan terlalu jauh. Sebenarnya saya begitu ghairah untuk
melihat keadaan rumah tersebut. Kerana fikir saya, selepas artikel itu saya
poskan ke internet, ramai yang menghubungi dan menyatakan kesediaan untuk
membantu. Dan pula saya sering terbaca di sebuah grup tentang perkembangan
Rumah Nurhikmah ini. Saya terbayangkan suasananya tentu bukan lagi seperti
gambar yang pernah dikirimkan kepada saya dahulu.

Sampai ke Kajang, dan setelah membelok ke beberapa sekolah (yang
mengelirukan terutama bagi orang yang pertama kali seperti saya), kami
akhirnya tiba di hadapan Rumah Nurhikmah. Dari luaran ianya kelihatan
seperti rumah biasa. Hanya papan tanda yang bertulis nama rumah tersebut
menjadikan ianya berbeza dari yang lain. Lalu teman saya tadi mengajak saya
masuk ke rumah tersebut.

Sebaik melangkahkan kaki melepasi pagarnya, saya amat terkejut melihat
keadaan dalamannya. Allahu Akbar! Ramainya anak-anak! Rumah yang pada
asalnya saya lihat seperti besar tadi tiba-tiba saya rasakan terlalu kecil
dan tidak mencukup untuk mereka. Namun saya lihat di wajah anak-anak yang
berada di situ kesemuanya penuh dengan keceriaan. Ada yang tersenyum
melihat kami lalu segera bersalaman dengan kami.

Sopan sungguh, bisik hati saya. Jika melihat seorang kanak-kanak yang
bersopan, tentulah hati kita akan aktif memuji orang yang menjaganya.
Bukan? Kerana adab anak-anak banyak dipengaruhi oleh orang yang membesarkan
mereka. Iya… Bergantung kepada pendidikan yang mereka terima di rumah. Dan
melihat keadaan mereka, saya agak yakin bahawa penjaga mereka di rumah itu
telah menjalankan tugasnya dengan baik.

Saya diperkenalkan kepada Hj. Othman, orang yang bertanggung jawab ke atas
anak-anak ini. Tetapi kami hanya sempat berbual untuk satu tempoh yang
pendek kerana ada banyak perkara yang menuntut perhatian Hj. Othman. Tak
mengapalah. Kerana saya tidak ada urusan penting di situ. Hanya teman saya
yang mahu berbincang tentang projeknya untuk menyediakan sudut bacaan di
rumah tersebut.

Jadi saya mundar-mandir di hadapan rumah tersebut sambil menunggu Hj.
Othman punyai masa untuk bercakap dengan teman saya. Tiba-tiba saya ditegur
oleh seorang dari anak-anak yang duduk di kerusi panjang berhampiran.
“Pakcik! Pakcik duduk mana?” tanyanya kepada saya. Saya kira anak ini mahu
beramah mesra dengan saya. “Johor.” Jawab saya lalu segera duduk di sebelah
mereka.

“Pakcik… Boleh pinjam telefon tak?” tanyanya. Telefon? Pelik juga saya. Apa
yang anak di sini hendak buat dengan telefon? Hendak bermain permainan java
kah? Tanya hati saya sendirian. “Nak buat apa?” saya cuba mendapatkan
kepastian. “Nak telefon mak. Mak janji nak datang hari ni. Tapi tak sampai
lagi…” jawabnya sambil titisan air jernih mula bergenang di kelopak
matanya.

Saya mengangguk sambil segera mengeluarkan telefon bimbit saya. Anak tadi
menyebut nombor ibunya dan saya serahkan telefon itu kepadanya selepas
mendail nombor yang disebutnya. “Tak ada orang angkat…” katanya sedih
sambil menyerahkan semula telefon itu kepada saya. “Tapi mak saya pakai 2
nombor” sambungnya lagi membayangkan kemungkinnan untuk mencuba nombor yang
kedua pula.

Sekali lagi saya serahkan telefon kepadanya selesai mendail nombor yang
disebutkan. “Off la…” jawabnya. Kali ini genangan airmata terus meleleh di
pipinya. Saya menyambut telefon yang dihulurkannya kepada saya. Saya semak
senarai nombor yang dipanggil dan kemudian cuba menelefon sekali lagi.
Tiba-tiba saya dengar suara perempuan menjawab. Lalu segera saya serahkan
kepada anak tadi.

“Mak… kenapa tinggalkan kami kat sini? Kami nak balik…” tutur anak itu
dikuti esakan yang memilukan. Seketika kemudian talian diputuskan.
“Kenapa?” tanya saya. “Nanti mak telefon balik” jawabnya dan seketika
kemudian telefon saya berdering semula. Si anak segera menjawab dan dengan
nada penuh syahdu, saya mendengar si anak merayu kepada ibunya untuk
mengambil mereka kembali.

Saya tidak dapat menahan sebak. Tetapi sebolehnya saya tidak mahu
melelehkan air mata di hadapan orang. Seketika kemudian telefon itu
diserahkan kepada abangnya yang berada di sebelah saya. Sama juga. Abangnya
juga merayu untuk pulang. Kemudian si abang menyerahkan semula kepada
adiknya. Rasa bersalah mula menyelubungi hati saya kerana membenarkan
mereka menggunakan telefon saya…

“Bila datang sini?” saya tanya kepada si abang. “Isnin.” Jawabnya pendek.
Oh… patutlah. Baru dua hari… Fikir saya. “Kami tak nak duduk sini. Kami nak
balik rumah nenek kami…” rintih si abang dengan nada pilu. Lalu saya
memeluknya. Untuk seketika tangisannya berkurangan tetapi gerak pada
tubuhnya menunjukkan sedan yang dirasakannya. Seketika kemudian terasa
titisan hangat air mata menitis di atas paha saya.

Saya bercadang untuk memberikan mereka sedikit nasihat tetapi sebelum
sempat saya berbuat demikian, datang seorang anak lain yang memanggil
mereka masuk. Entah. Mungkin mereka ada mesyuarat petang. Saya hanya
biarkan mereka berlalu pergi. “Budak macam ni jangan halang dia. Kalau dia
nak keluar, biar dia keluar. Nak simpan buat apa?” ujar seorang lelaki yang
entah dari mana datangnya saya sendiri tidak pasti.

Saya hanya tersenyum. Malas untuk memberika apa-apa komen. Tetapi apabila
dia kerap mengulangi perkataan yang sama, saya segera berkata “Masalahnya,
mak dia yang tinggalkan dia di sini. Bukan orang rumah ni yang datang
ambil” membuatkan dia terdiam. Kemudian teman saya bertanya tujuannya di
situ. “Adik saya ada dalam ni.” Jawabnya sambil menyebut satu persatu nama
4 orang adik-adiknya yang tinggal di rumah itu.

Ah… Biarlah lelaki itu dengan mulutnya yang becok itu. Hati saya begitu
tensentuh dengan tangisan dua beradik yang meminjam telefon bimbit saya
sebentar tadi. Sedihnya… Yalah… Siapa yang tidak sedih terpaksa berjauhan
dengan ibu dan keluarga sendiri. Terpaksa pula tinggal di rumah yang
dikongsi dengan puluhan yang lain. Tetapi… Mesti ada sebab mengapa mereka
ditinggalkan di situ oleh ibu mereka…

Saya mengirim SMS kepada isteri saya. Bercerita tentang apa yang sedang
saya lalui dan lihat ketika itu. Ah… Beruntungnya anak kami. Walaupun kami
bukan orang kaya, tetapi sekurang-kurangnya anak kami tidak perlu berpisah
dengan kami. Anak kami tidak perlu melalui perasaan yang dilalui oleh
anak-anak di rumah Nurhikmah ini. Betapa beruntungnya mereka berbanding
anak-anak ini…

Saya terfikir, mungkin patut saya bawa anak-anak saya ke tempat seperti
rumah Nurhikmah ini agar mereka mengerti, betapa wajibnya bersyukur dengan
apa yang kita ada kerana sentiasa ada orang yang hidupnya kurang daripada
apa yang kita miliki. Kalau boleh saya mahu anak saya berkawan dengan
mereka. Tetapi… Rumah kami jauh nun di Johor Bahru. Mungkin saya patut
mencari rumah seperti ini di tempat saya sendiri…

Sebenarnya ini pengalaman pertama saya melawat rumah perlindungan seperti
ini. Sebelum ini, ketika menuntut dulu pernah juga saya ke rumah anak-anak
yatim. Tetapi ketika itu perasaan saya tidak sama seperti keadaan saya
ketika di Rumah Nurhikmah. Entahlah. Mungkin kerana sekarang saya sendiri
sudah bergelar ayah maka saya sudah punyai naluri kebapaan yang menerbitkan
emosi saya ketika itu.

Apapun, saya merasakan pengalaman di Rumah Nurhikmah sesuatu yang cukup
bernilai. Terima kasih yang tidak terhingga buat teman saya (sengaja tidak
saya sebut namanya di sini kerana bimbang dia tidak selesa) yang membawa
saya ke sana… Sesungguhnya hidup ini adalah sebuah keindahan hanya apabila
hati kita diindahkan dengan cahaya kesyukuran. Dan hidup ini asalah
kesuraman jika kita semai ianya dengan benih kekufuran…

2 comments:

Anonymous said...

May God grant us the serenity to accept the things we could not change, and the courage to change the things we can.
http://findingbarkat.blogspot.com/

Anonymous said...

assalamulaikum...
sekadar berkongsi cerita..sms menuntut di matrik perlis,sy pernah melawat ke rumah anak yatim di sik kedah...first time tu menjejakkan kaki di sana,hati sy x sabar2 nak tgk mcm mana keadaan anak2 yatim yg tlh tiada ibu dan bapa ni..sampai jer kami disambut dgn senyum anak2 yatim disana..ya allah,comelnya dia org..slps itu kami di bawa ke kantin untuk menjamu selera bersama anak2 yatim..kami dibahagi mengikut kumpulan kecil...sy makan bersama 3 org anak yatim..wpun br sampai kami sudah mesra mcm dah kenal lama..seronok sgt...wpun hanya berlaukkan ikan dan kuah,namun sy lihat anak2 yatim disn khusyuk je makan..tiba2 salah seorang dr anak yatim menyapa saya:kenapa akak makan sikit je nasi? akak x lalu ye makan nasi dgn ikan goreng jer..ya allah hatiku begitu tersentuh dgn teguran tersebut.. sememangnye sy x berselara bkn krn hanya mkn dgn ikan goreng tetapi sedih krn hanya menu tersebut dia org makan ari2..sy hanya membalas dgn menyatakan bahawa sy sudah makan sblm dtg sini td..anak itu mengangguk dan meneruskan makan..
selepas itu kami solat maghrib dan isyak bersama2..yg sedihnya salah seorg dr anak2 yatim dirumah tersebut demam..dia x nak dgn kami semua,dia hanya nak kakak dia jer yg jaga dan tdokan dia..kesian sgt2 kat anak comel tu..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.