12 December 2006

Susulan Kejadian 5 November

Tempohari, sebaik melangkahkan kaki ke Lapangan Terbang Kerteh, saya
terpandangkan wajah seorang yang telah lama tidak saya temui. Segera saya
menuju ke arahnya dan bersalam dengannya. Kemudian saya memeluknya sambil
menyatakan syukur kerana masih berpeluang untuk bertemu dengannya. Ya.
Memang saya sangat bersyukur masih dapat bertemu dengannya kerana ada suatu
kejadian yang menimpa dirinya baru-baru ini.

Saya telah dikhabarkan bahawa teman saya itu telah terkena serangan angin
ahmar. Dan saya dapat melihat kesan itu pada raut wajahnya. Namun, bukan
itu yang menyebabkan kegembiraan saya apabila bertemu dengannya.
Sebenarnya, teman saya itu adalah salah seorang mangsa yang terlibat dalam
kejadian helikopter terhempas berdekatan pelantar Tapis B pada 5 November
yang lepas.

“Abang dah Subuh bang?” Tanya saya. “Dah… Baru lepas.” “Kalau macam tu,
biar saya ke surau dulu eh?” saya meminta izin untuk berdar ke surau.
Sebenarnya, hari itu saya tiba lewat di lapangan terbang. Maka saya harus
bergegas agar tidak terlepas peluang untuk berjamaah. Harapan saya, selepas
solat nanti dapat saya duduk berbual dengannya dan bertanya tentang keadaan
sebenar pada tarikh kejadian tersebut.

Selesai solat, ketika melangkah menuju ke kantin, saya tersua teman saya
itu sekali lagi. “Jom sarapan bang,” pelawa saya. “Dah… baru lepas. Ni nak
ke tandas pula ni” jawabnya sambil tersenyum. Saya mengangguk sambil
berjalan menuju ke kantin. Harapan untuk berbual dengannya masih menebal.
Malang sekali, sebaik selesai bersarapan, kelibat teman saya tidak lagi
kelihatan. Maka hilanglah peluang untuk mendapatkan cerita yang sebenar…

Sudah lebih sebulan lamanya kemalangan itu berlaku. Sudah lebih sebulan
juga lamanya Allahyarham Capt. Salleh meninggalkan kami dan rakan-rakannya
di MHS (Malaysia Helicopter Services). Harimau mati meninggalkan belang.
Manusia mati meninggalkan nama. Begitulah Capt. Salleh. Allahyarham
meninggal dunia dengan meninggalkan kisah pengorbanannya bagi mengelak
kemalangan yang lebih besar.

Namun, sebelum laporan rasmi dikeluarkan, terdapat juga suara-suara sumbang
yang berkata perkara yang tidak elok berkenaan Allahyarham. Paling
menyedihkan, apabila ada yang mengatakan kemalangan tersebut berpunca dari
kesilapan juruterbang yang merujuk kepada Allahyarham. Saya sememangnya
sakit hati mendengarnya tetapi disebabkan saya juga tidak mengetahui kisah
sebenar, terpaksalah saya mendiamkan diri.

Mujur, pada 23 November lalu pihak pengurusan syarikat tempat saya bekerja
telah memanggil kami dari pihak kesatuan untuk mendengar hasil siasatan
yang mereka dan pihak MHS lakukan berserta dengan langkah yang mereka ambil
selepas kejadian (sebenarnya, kami dari pihak kesatuan yang meminta acara
penerangan itu diadakan). Sekurang-kurangnya, dapatlah juga kami dengar
berita yang lebih sohih.

Majlis diadakan serentak dengan makan tengahari. Ianya dibuat secara tidak
formal agar lebih santai dan lebih mudah untuk bertukar-tukar fikiran.
Ketika itu, hati saya tidak berapa tenteram. Saya risau jika siasatan juga
akan meletakkan kesalahan kepada Allahyarham Capt. Salleh. Al-maklumlah,
orang yang sudah tiada tentu tidak dapat membela diri. Dan ini sememangnya
biasa terjadi dalam kebanyakan syarikat…

“Apa yang juruterbang lakukan adalah bersesuaian dengan garis panduan yang
dikeluarkan oleh DCA (Jabatan Penerbangan Awam).” Tutur sang pengurus yang
membuatkan saya menarik nafas lega. Alhamdulillah… Menurutnya lagi, tidak
ada siapa yang boleh dipersalahkan. Bukan juruterbang, dan bukan juga
pesawat Super Puma itu sendiri. Jika ada yang hendak dipersalahkan,
hanyalah cuaca pada hari tersebut.

Sebenarnya, ketika pesawat itu meninggalkan landasan, cuaca agak buruk.
Juruterbang telah mengambil keputusan untuk menerbangkan pesawat secara
automatik dengan berpandukan bearing yang telah disetkan. DCA membenarkan
perbuatan ini di dalam garis panduannya. Dengan syarat, pada jarak yang
ditetapkan (maaf, saya terlupa berapa meter), juruterbang perlu mengambil
alih dan mengawalnya secara manual.

Dan inilah yang dilakukan oleh Allahyarham. Hanya, pada ketika dia
mengambil alih pemanduan secara manual, cuaca masih buruk dan kadar
penglihatan begitu rendah. Namun Allahyarham mengambil keputusan untuk
meneruskan penerbangan setelah bertanya kepada rakan juruterbang yang lain
yang telah mendarat di pelantar yang berdekatan berkenaan cuaca yang mereka
hadapi.

Malang sekali, saat Allahyarham mampu melihat sekitaran, pelantar Tapis B
sudah berada betul-betul di hadapan mata mereka. Dengan kecekapan dan
pengalaman, Allahyarham berkeupayaan mengelak dari melanggar pelantar
tersebut tetapi kemudiannya dipukul angin yang menyebabkan pesawat terjunam
ke dalam laut. Dan di situlah berakhirnya riwayat seorang juruterbang yang
profesional dan cekap bernama Capt. Salleh…

Di dalam majlis itu juga kami diterangkan bahawa khabar yang menyebut
kebanyakan penumpang menyelamatkan diri melalui ekor pesawat yang terputus
adalah salah sama sekali. Hanya seorang atau dua orang yang melalui jalan
itu. Kebanyakan yang lain telah keluar sama ada melalui tingkap atau
melalui pintu yang ada. Entahlah. Berita sekecil inipun ada orang yang mahu
menyelewengkannya…

Pihak pengurusan MHS dan juga ExxonMobil juga telah bertindak dengan segera
apabila telah mengupah pakar psikologi bagi memberikan kaunseling kepada
mangsa dan juga kepada pekerja yang lain yang bakal menaiki pesawat.
Alhamdulillah… Sebagai pekerja, saya amat menghargai usaha yang telah
mereka lakukan. Mungkin bukan yang terbaik tetapi sekurang-kurangnya telah
menunjukkan keprihatinan mereka.

Dan yang paling penting, mereka telah membuktikan tidak ada apa silapnya
kepada pesawat Super Puma AS332L yang biasa kami naiki. Maka para penumpang
dan keluarga mereka tidak perlu risau tentang keselamatan mereka.
Sungguhpun begitu, kemungkinan untuk kemalangan sentiasa ada. Apa yang
boleh kita lakukan hanya berusaha dan bertawakkal agar Allah memelihara
keselamatan kita.

Dan jika hendak dikira, jumlah mereka yang terbabit dalam kemalangan yang
membabitkan kereta dan motorsikal ketika hendak ke tempat kerja adalah jauh
lebih besar berbanding dengan kemalangan helikopter terhempas seperti ini.
Hanya mungkin kerana kemalangan sebegini jarang terjadi dan kedengarannya
pelik maka ia selalu dijadikan berita utama di dalam akhbar dan televisyen.

Kisah sebenar sudahpun kini diketahui (walaupun masih belum rasmi kerana
kotak hitam yang telah diambil dari pesawat oleh DCA dan telah dihantar ke
Australia untuk penterjemahan masih belum diumumkan penemuannya). Semoga
selepas ini suara-suara sumbang yang hanya tahu menyalahkan orang lain,
sama ada juruterbang, pesawat mahupun syarikat, akan faham mengenainya dan
berhenti bercerita tentang cerita yang paslu.

Semoga roh Allahyarham Capt. Salleh tenang dan sentosa di alam sana. Hanya
Allah yang mengetahui apa yang berlaku sebenarnya dan sebesar mana
pengorbanan Allahyarham. Kepada keluarga Allahyarham, semoga tabah selalu.
Allahyarham telah pergi dengan meninggalkan nama yang baik. InsyaAllah,
iktibar dari peristiwa ini akan kami ambil dan nama Allahyarham akan tetap
dikenang…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.