31 May 2007

Islam Dan Perkataan Islam

Alhamdulillah... Akhirnya selesai juga kes tuntutan Azlina Jalani untuk
menggugurkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Akhirnya Mahkamah
Persekutuan telah membuat keputusan dengan 2 menolak dan 1 bersetuju bahawa
perkataan Islam pada kad pengenalan hanya boleh digugurkan setelah mendapat
keizinan daripada Mahkamah Syariah. Berakhir juga kemelut yang menggugat
kesabaran ramai umat Islam di negara kita ini.

Banyak pihak yang menyatakan kelegaan mereka dengan keputusan yang dicapai
oleh Mahkamah Persekutuan. Saya juga, secara peribadi amat gemabira dengan
keputusan ini. Ini sebagai satu tanda bahawa kredibiliti Mahkamah Syariah
di negara kita masih terpelihara. Walaupun kerap dikritik oleh akhbar
Inggeris berfahaman sekular dan beberapa akhbar berbahasa Melayu, nampaknya
kuasa Mahkamah Syariah masih diiktiraf di negara ini.

Kini, suka atau tidak, Azlina terpaksa menelan hakikat bahawa dirinya yang
dilahirkan Islam masih terikat dengan perundangan Islam walaupun realitinya
dia telah mengisytiharkan murtad dan menentang agama ini bahkan menghina
Allah dengan perbuatannya itu. Suka atau tidak, secara perlembagaannya,
seorang yang dilahirkan Islam akan kekal 'muslim' walaupun hati mereka
menolak hakikat itu.

Bagaimana dengan kita? Suka dengan keputusan itu? Secara peribadi saya suka
dengannya. Tetapi untuk berpuas hati atau merasa lega, saya rasa masih
tidak boleh lagi. Benar, perkataan 'Islam' akan terus terlekat pada kad
pengenalan Azlina atau nama Kristiannya Lina Joy. Jadi? Apa kesannya kepada
masyarakat? Apakah dengan ini kita dapat mengembalikan semula iman Lina Joy
yang telah dirampas oleh kafir laknatuLlah itu?

Memang, dengan terteranya nama Islam, sedikit sebanyak memberikan impak
kepada kehidupan Lina Joy. Dia tidak boleh berkahwin (atau lebih tepat,
mendaftarkan perkahwinannya) dengan lelaki bukan Islam. Dia juga masih
tertakluk kepada undang-undang Syariah di mana dia boleh ditangkap dan
didakwa sekiranya bersekedudukan, minum arak, tidak berpuasa di bulan
Ramadhan dan sebagainya. Seterusnya?

Hakikat sebenar Lina Joy masih murtad! Dia masih enggan mengakui semula
keesaan Allah dan masih enggan sujud menandakan pengabdian diri kepadaNya.
Kesan dari tekanan yang diterima, mungkin akan menyebabkan Lina Joy
berhijrah meninggalkan negara kita. Tetapi, apakah ini dapat menyelesaikan
masalah murtad di kalangan masyarakat kita? Apakah dengan penghijrahannya
akan terpelihara semula martabat Islam yang kian tercemar?

Lebih bahaya lagi, Lina Joy boleh menjadi duri dalam daging. Perkataan
Islam pada kad pengenalannya seolah menjadi lesen untuknya menyusup semula
ke dalam masyarakat Melayu dan menyebarkan fahaman songsang anutan barunya
kepada masyarakat kita. Jangan ingat semua orang tahu kes Lina Joy ini.
Ramai orang yang masih melopong mulutnya jika terdengar nama Lina Joy.
Apatah lagi Azlina Jalani.

Kerana itu saya katakan, ada perkara yang lebih penting yang sebenarnya
kita terlupa untuk mengambil kira. Itulah kerja dakwah dan tarbiyah.
Bukanlah saya katakan mengekalkan perkataan Islam pada kad pengenalan itu
tidak penting. Tetapi ianya tidak sepenting kegiatan dakwah dan tarbiyah
yang mana sebenarnya, mampu menyelesaikan masalah murtad dalam negara kita
secara total, dengan izin Allah tentunya.

Dan kerana itu juga saya katakan, saya (dan saya harap anda semua) tidak
boleh berpuas hati mahupun merasa lega dengan keputusan yang dicapai oleh
Mahkamah Persekutuan ini. Keputusan ini baik tetapi tidak cukup baik untuk
membendung apatah lagi membanteras gejala murtad di dalam negara kita.
Murtad akan terus berlaku dan akan terus berlaku walaupun perkataan 'Islam'
tidak boleh ditanggalkan dari kad pengenalan mereka.

Dan kita juga perlu pertimbangkan satu kemungkinan. Bagaimana jika suatu
hari nanti, kerajaan menetapkan bahawa agama seseorang tidak perlu
dipamerkan di kad pengenalan. Bagaimanakah ketika itu? Orang Islam bebas
meninggalkan agama suci ini sesuka hati mereka. Jangan tolak kemungkinan
ini. Dengan keadaan kerajaan yang tidak mementingkan pembangunan Islam
(melainkan Islam Hadhari), ianya berkemungkinan besar boleh terjadi.

Saya selalu terfikir. Apa lagi yang dicari oleh mereka yang murtad ini? Apa
yang ada pada agama lain sehinggakan mereka merasakan ianya lebih lengkap
dari Islam. Sedangkan Islam menyediakan segala-galanya. Ajaran Islam
merangkumi segalanya. Sedangkan cara duduk di tandas juga diajarkan. Hanya
satu sahaja yang tiada. Iaitu kebebasan untuk berbuat maksiat. Kebebasan
untuk berzina, minum arak, berjudi dan sebagainya.

Saya juga pernah terbaca pengakuan mereka yang pernah atau masih lagi
murtad. Antara punca terbesar adalah kerana mengikut kekasih hati. Ada juga
yang kononnya menemui kasih sayang dalam agama baru mereka. Jika
perkara-perkara inilah punca mereka ini menyekutukan Allah dengan berhala
buatan manusia, nyatalah sebab sebenar pemesongan mereka adalah kurangnya
pengetahuan agama serta lemahnya iman dalam diri mereka.

Kurang pengetahuan agama, lemah iman, kerana apa? Kerana tidak adanya usaha
di kalangan kita untuk menyebarkan pengetahuan agama dan usaha
memperkukuhkan pegangan iman di dalam ummah. Jika ada sekalipun, ianya
disertakan dengan yuran dan bayaran yang banyak. Lebih teruk lagi, apabila
ada jemaah yang berdakwah secara percuma, mereka ini difitnah, dilontarkan
dengan pelbagai tohmahan malah diharamkan dari memasuki sesebuah masjid.

Seperti mana yang berlaku kepada Jemaah Tabligh. Mereka difitnah, dikatakan
mengabaikan keluarga. Mereka ditohmah kononnya kurang ilmu tetapi hendak
mengajar orang. Bahkan ada imam surau-surau dan masjid-masjid yang
menghalang mereka menjalankan kegiatan dakwah di kejiranan mereka dengan
alasan meninggikan bil air dan elektrik. Jika ada yang membenarkan
sekalipun, jemaah ini dikenakan bayaran terlebih dahulu.

Beginikah caranya kita hendak memperkembangkan agama kita dan mengatasi
gejala murtad? Anak muda yang keluar 40 hari mencari iman di dalam diri
kita herdik dan hina tetapi mereka yang sibuk berhibur di kelab malam,
bersorak sakan melihat Akademi Fantasia bahkan jalan berpegangan tangan
antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, kita biarkan tanda redha.
Jika beginilah caranya, lebih banyak Lina Joy akan dilahirkan.

Jika Jemaah Tabligh kurang ilmu, di manakah perginya orang yang banyak
ilmu? Sibuk mencukur janggut dan memakai sampin untuk masuk ke televisyen?
Atau sedang sibuk mengira 'wang upah' atas ceramah yang mereka adakan?
Tambah malang, jika ada orang berilmu yang hendak mengadakan ceramah secara
percuma, mereka juga dihalang. Permit tidak diberikan bahkan para hadirin
malah mereka sendiri ditahan di bawah akta ISA.

Kita sayangkan agama kita. Kita juga dakwa kita sayangkan Allah. Tetapi
kita benci usaha memartabatkan agama Allah yang kita cintai. Samalah
seperti seorang lelaki yang mendakwa mencintai isteri tetapi dibiarkan
tanpa nafkah dan layanan yang sepatutnya. Bukankah tindakan kita ini zalim?
Bukankah kita juga seakan-akan 'penyumbang kepada suburnya' gejala murtad
dalam masyarakat kita?

Maka kerana itu, jika tidak mahu lebih banyak Lina Joy wujud di negara ini,
dengan memulakannya pada diri sendiri, kita mesti berubah. Jika sayangkan
Islam, biarlah mereka yang memahami Islam yang mentadbir negara. Jika
sayangkan Allah, biarlah mengembangkan agamaNya menjadi agenda utama. Dan
jika sayangkan Rasulullah saw, biarlah sunnahnya menjadi cara hidup kita.
Semoga Allah menbantu usaha ikhlas kita.....

28 May 2007

Syurga Dan Neraka

Seorang guru pernah bercerita kepada saya. Katanya, diriwayatkan, tatkala
Allah selesai mencipta syurga, maka Allah memanggil malaikat untuk
menyaksikan kehebatannya. Malaikat yang melihatnya telah terpesona dengan
kecantikan syurga lalu berkata "Nescaya semua orang akan mahukannya". Lalu
Allah melindungkan syurga itu dengan kemiskinan, kepayahan dan ujian. Maka
berkata pula malaikat, "Nescaya, tiada yang akan berjaya".

Kemudian Allah menciptakan neraka dan sekali lagi memanggil melaikat untuk
melihat betapa azabnya siksaan yang ada di dalamnya. Malaikat yang
melihatnya berasa gerun dengan penderitaan yang terkandung di dalamnya
seraya berkata "Nescaya, tidak akan ada orang yang akan mahukannya". Tetapi
kemudian Allah lindungkan ianya dengan emas, kekayaan dan keseronokan,
berkatalah mereka "Nescaya tidak akan ada yang akan terlepas".

Saya sebenarnya amat terkesan dengan riwayat ini. Dan beberapa kali juga
saya ulanginya di hadapan beberapa orang teman (terutama yang lebih junior)
sebagai peringatan buat mereka dan diri saya sendiri terutamanya. Mengapa?
Kerana riwayat ini sudah menjelaskan sesuatu yang perlu kita fahami secara
asas. Iaitu jalan ke syurga itu sememangnya dilitupi duri dan onak manakala
jalan ke neraka sememangnya dipenuhi dengan kenikmatan.

Mungkin kerana itu, walaupun hakikat indahnya syurga telah diuar-uarkan
oleh Allah melalui lidah mulia rasulNya Muhammad saw, namun duri dan onak,
kemiskinan, kepayahan dan ribuan lagi keperitan yang menanti di pintunya
menjadikan kita seakan terlupa akan kehebatan nikmat di dalamnya. Deretan
kesusahan yang menanti sepanjang jalan ke syurga menjadikan syurga itu
hilang daya tarikannya di hadapan mata kita.

Begitu juga jalan ke neraka. Sememangnya mudah. Dan yang lebih pasti,
tampak indah. Seronoknya berada dalam jalan ke neraka ini sehingga kita
terlupa hakikat sebenar neraka itu yang dipenuhi dengan azab penderitaan,
nyalaan api hitam dan biru, lautan peluh, nanah dan darah dan pelbagai lagi
siksaan-siksaan yang menggerunkan bukan sahaja manusia, bahkan malaikat
yang melihatnya.

Dan kerana mudahnya ia kelihatan, ditambah lagi keseronokan yang ada
sepanjang jalan menujunya, ramai di antara kita yang sama ada secara
sengaja atau tidak telah memilih neraka menjadi tempat tujuan utama.
Wana'uzubillah… Sebenarnya, bukanlah kerana kita 'tertarik' kepada siksaan
yang ditawarkan di dalamnya. Tidak. Tetapi sebenarnya akibat terpedaya
semasa berada di atas jalannya.

Maksiat dan dosa itu memang menyeronokkan. Memang lazat. Katakan apa saja
bentuk maksiat. Riba? Rasuah? Zina? Mencuri? Minum arak? Apa lagi? Kesemua
memang seronok untuk dilakukan. Apatah lagi di zaman serba moden ini. Orang
serba berbangga dengan kemungkaran yang diperbuat. Seorang lelaki akan
begitu berbangga dengan keupayaannya meniduri seorang gadis dan lain-lain
lagi.

Sedangkan jalan ke syurga tampak kelam dan memeritkan. Siapa yang suka
berlapar? Siapa yang sanggup hidup dalam kemiskinan? Bangun malam untuk
bertahajud? Malah bagi orang yang mengejar keuntungan, meninggalkan
perniagaan dalam tempoh sepuluh minit untuk berjemaah di masjid juga suatu
kerugian. Dan mereka juga, orang-orang yang memilih hidup zuhud, sering
dipandang jijik di mata masyarakat. Siapa yang sanggup jadi sebegini?

Maka benarlah ungkapan malaikat tadi. Tiada siapa yang akan terlepas dari
siksa neraka dan tiada siapa yang akan berjaya untuk masuk ke syurga.
Kerana kebiasaan kita untuk melihat dan seterusnya mengutamakan luaran
terlebih dahulu dari hakikat yang terselindung. MasyaAllah… Tetapi dengan
sifat Rahim dan Ghafur Allah, insyaAllah kita akan mampu juga menjejakkan
kaki ke taman syurgaNya yang penuh keindahan selagi kita beriman.

Tetapi, apakah neraka akan menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita
akan ke syurga? Inilah yang sering menghantui pemikiran saya. Saya takut
untuk masuk ke nerakaNya. Saya gerun mendengar kisah-kisah siksaan yang
disaksikan oleh Nabi saw di neraka ketika peristiwa Israk & Mikraj. Tetapi
kaki ini selalu berat untuk berdiri menghadapNya. Mata ini terlalu sukar
untuk menahan mengantuk demi beribadah kepadaNya.

Tambah lagi dengan kehidupan hari ini. Saranan Nabi Muhammad saw, insan
yang selalu saya sebutkan sebagai kasih dan cinta kepadanya, yang saya akui
sebagai utusan Allah, yang saya iktiraf sebagai manusia terunggul untuk
dicontohi, saya ketepikan begitu sahaja. Saya tidak mahu hidup dalam
kekurangan seperti Baginda saw. Bahkan saya turut sama dalam perlumbaan
mengumpul harta dunia bersama orang-orang yang tidak beriman!

Kebanyakan dari kita mengakui keimanan kepada Allah dan NabiNya serta Hari
Akhirat. Tetapi berapa ramaikah antara kita yang benar-benar bersedia untuk
bertemuNya & merebut Syafaat NabiNya di Hari Akhirat kelak? Cuba lihat diri
kita hari ini. Dari pagi sampai ke pagi, yang selalu terkeluar dari bibir
kita adalah kata-kata bagaimana hendak menambahkan pendapatan. Entah berapa
kali sahaja kalimah zikir dan fikir ummah terkeluar dari situ.

Hari ini, ramai dari muslim yang sudah tidak hairan dengan syurga dan
neraka Allah. Sehinggakan ada yang sanggup mendakwa nikmat yang sedikit di
dunia ini bagaikan di syurga. Seperti contohnya, dapat berduaan dengan
kekasih itu bagaikan berada di syurga. Atau, kota maksiat seperti Haadyai
dan Las Vegas tanpa silu digelar sebagai syurga. Sedangkan syurga Allah itu
jauh lebih hebat dari itu.

Begitu juga dengan neraka. Sesetengah dari kita ada yang merasakan diri
mereka dapat menahan siksa dan nyalaan api di neraka kelak. Astaghfirullah.
Semuga Allah mengampunkan dan memberikan kepada mereka dan juga kita semua.
Tetapi sesungguhnya siksa neraka Allah itu begitu hebat azabnya. Tidak ada
satu jiwapun yang akan mampu menahannya walaupun Iblis, yang pernah menjadi
ketua para malaikat.

Menyamakan apa-apa kenikmatan dunia ini bagaikan syurga Allah dan apa-apa
kesusahan pula sebagai neraka Allah adalah perbuatan yang jahil dan kejam
terhadap Allah. Sesungguhnya, seandainya syurga dan neraka itu dizahirkan,
tidak akan ada orang di dunia ini yang akan melakukan pekerjaan lain selain
beribadat bagi mendapatkan tempat di syurgaNya dan mengelak dari terjerumus
ke dalam neraka.

Saya menulis bukan untuk sesiapa. Tetapi untuk diri saya sendiri. Semoga
selepas ini tubuh ini tidak lagi berat dari beribadah kepadanya. Supaya
lidah ini lebih asyik mengalunkan zikir dari berbual perkara yang lagho.
Supaya mata ini lebih seronok menatap naskhah al-Quran dari menonton
hiburan di televisyen. Supaya aqal ini lebih mencari redhaNya dari mencari
kekayaan duniawi. Supaya hati ini lebih mengingatiNya dari mengingati yang
lain. Amin…

Tuhanku… Aku tidak layak untuk syurgaMu. Tetapi aku tidak sanggup
menghadapi siksa nerakaMu. Terimalah taubatku, Kau ampunilah dosa-dosaku.
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar.....

26 May 2007

Tidak Puas Hati

Baru-baru ini dalam sebuah grup yang saya sertai, terdapat perbincangan
mengenai satu email yang dikirimkan ke dalam grup. Email yang menggunakan
tajuk 'Saya Tak puas Hati Dengan Suami Saya' itu menyenaraikan 40 perkara
yang menimbulkan ketidak puasan dalam hati beberapa orang isteri.
Sesungguhnya saya sememangnya suka membaca perkara sebegini.
Sekurang-kurangnya saya boleh juga mengambil pengajaran daripadanya.

Tetapi seketika kemudian saya terfikir. Patutkah kita berasa tidak puas
hati dengan pasangan kita? Sama ada kita sebagai suami atau isteri.
Patutkah sebenarnya kita senaraikan perkara-perkara atau kelakuan-kelakuan
pasangan kita yang mengguriskan hati kita? Bagaimana pula dengan diri kita?
Apakah kita sebenarnya yakin kelakuan atau sifat atau layanan kita terhadap
pasangan kita sudah memuaskan hati mereka?

Sebenarnya, kalau kekurangan yang kita cari, maka kekuranganlah yang akan
kita dapati pada diri pasangan kita. Bukan sahaja pasangan kita, bahkan
sesiapa sahaja yang kita kenali. Kerana sebagai manusia, kita sememangnya
sudah diciptakan dengan sifat kekurangan. Jadi mencari-cari apatah lagi
menghebahkan kekurangan yang ada pada diri pasangan kita bukanlah perkara
yang bijak yang boleh kita lakukan.

Sesungguhnya, bukan kekurangan pada pasangan kita yang menjadi persoalan.
Sebaliknya kebijaksanaan pada diri kita bagaimana hendak menerima dan akur
dengan kekurangan yang ada pada dirinya serta sebolehnya memadamkan ianya
dari penglihatan kita sekaligus menyerlahkan kelebihan yang ada pada
dirinya. Kerana dengan penerimaan yang betul, sebuah kekurangan itu bisa
menjadi satu kelebihan.

Namun bukan kisah itu yang saya ingin bicarakan di sini. Persoalan kurang
atau lebihnya seseorang itu terlalu subjektif untuk diuraikan. Terpulang
kepada individu yang terlibat. Sebaliknya apa yang ingin saya utarakan di
sini adalah berkenaan dengan perasaan tidak puas hati. Satu perasaan yang
biasanya terbit kerana kegagalan pihak satu lagi berbuat sebagaimana yang
kita ingin atau harapkan.

Sebagai contoh, seorang suami yang tidak puas hati terhadap isterinya yang
dikatakan sering bangun lambat. Sehinggakan sarapan pun terpaksa dibeli di
kedai. Persiapan anak-anak ke sekolah pun si suami yang terpaksa uruskan.
Ataupun rungutan seorang isteri kerana sifat malas suaminya untuk menolong
di dapur. Balik pejabat tahunya hanya makan dan kemudian tidur. Tidak
peduli penat lelah isterinya yang bertungkus lumus menguruskan rumah
tangga.

Saya percaya, sesetengah individu amat suka memperbesarkan isu sebegini.
Hinggakan ada yang bukan setakat bercerita kepada kawan sepejabat, bahkan
menulis artikel mengenainya bahkan adakalanya mengirimnya ke ruangan
keluhan hati di akhbar-akhbar. Perasaan tidak puas hati ini mungkin wujud
kerana kita yang menganggap pasangan kita sebagai milik kita gagal
memperolehi layanan sebagaimana yang sering kita impikan.

Tetapi sebenarnya, pernahkah kita terfikir bahawa kita tidak pernah
memiliki pasangan kita? Apa yang ada hanyalah ikatan sementara yang boleh
bertukar menjadi ikatan yang abadi hanya sekiranya iman dan taqwa dijadikan
nilai-nilai utama dalam perhubungan itu. Itupun, pasangan kita tetap bukan
hakmilik kita secara mutlak. Mungkin kita miliki kasih mereka tetapi bukan
fizikal mereka. Tidak seperti pemilikan seorang tuan terhadap hambanya.

Namun lebih dari itu, setiap dari kita sebenarnya dimiliki oleh satu Zat
yang jauh lebih hebat. Pemilikan yang bukan setakat kepercayaan dan kasih
sayang, bahkan hubungan yang wujud adalah hubungan antara hamba dan
Tuannya. Di mana kita adalah hamba manakala Zat itu bertindak sebagai Tuan
yang mempunyai kuasa secara total terhadap apa jua yang ada pada diri kita
waima atas setiap titis darah yang mengalir dalam tubuh.

Itulah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Maalikin Naas, Tuhan Pemilik Manusia.
Allah yang Maha Agunglah yang sebenarnya berhak menguasai diri pasangan
kita bahkan diri kita sendiri. Dan sebenarnya, Allah yang berhak untuk
berasa puas hati atau tidak dengan perbuatan dan kelakuan kita.
Persoalannya, berpuas hatikah Allah kepada kita? Apakah perbuatan kita
menyamai apa yang dikehendaki atau diperintahkan olehNya?

Tadi, kita merasa marah kerana isteri kita kerap bangun lewat sehingga
mengabaikan diri kita. Tetapi bagaimana dengan diri kita? Awalkah kita
bangun untuk menunaikan solat Subuh? Apakah kita solat di masjid sebaik
azan dilaungkan atau ditunggu sehingga akhir waktu barulah 'berlumba'
mengerjakannya? Bagaimana dengan bangun malam untuk tahajud? Kerapkah kita
menunaikannya atau sebenarnya kita lebih mencintai tilam kita?

Begitu juga dengan isteri yang berang dengan suami yang enggan membantu
mereka di dapur. Berangnya bukan main. Tetapi pernahkah kita bertanya,
tidakkah Allah berang dengan kita yang enggan beramal dengan ibadah sunat?
Cukupkah solat kita dengan 17 rakaat, 5 waktu sehari semalam tanpa 12
rakaat tambahan yang dituntut oleh Nabi Muhammad saw untuk kita
mengamalkannya? Tidak pemalaskah kita?

Kadangkala, kesal juga hati melihat segelintir insan yang telah berada di
dalam masjid, tetapi enggan bangun dan mengangkat takbir untuk mendirikan
solah qobliah waktu sementara menunggu iqamah dilaungkan bahkan lebih rela
menghabiskan masa dengan berbual sesama mereka. Bukankah sifat ini sama
sahaja dengan sifat malas yang dirungutkan oleh kita terhadap pasangan
kita?

Cuba bayangkan bagaimana reaksi seorang suami apabila isterinya membantah
cakapnya berulang kali. Si suami meminta isterinya memasak nasi tetapi si
isteri sibuk mengilatkan kukunya. Kemudian si suami ketika pulang ke rumah
melihat keadaan rumah yang tunggang langgang sedangkan si isteri sedang
sibuk berbual. Ataupun ketika suami mengajak isterinya bersama tetapi si
isteri sedang asyik menonton Akademi Fantasia.

Jika kita di kedudukan suami itu, dapatkah kita bertahan dengan kelakuan
isteri yang sebegitu? Jika kita katakan suami mana yang sanggup dibantah
isterinya secara berterusan, mengapa pula kita tergamak membantah perintah
Allah berulang-ulang kali secara berterusan? Dari hal menutup aurah
sehingga ke bab riba. Dari hal menunaikan solah sehingga menunaikan zakat.
Apakah kerana kita terlalu selesa selesa sifat Ghafur Allah?

Apakah kita tidak takut kehilangan Allah, atau ditinggalkanNya kerana
keburukan sifat kita? Apakah kita yakin dengan amalan kita hari ini mampu
merebut kasih Allah? Wallahu'alam. Saya tidak berani komen. Hanya yang
boleh saya katakan, saya tidak rasa kita layak untuk berasa tidak berpuas
hati terhadap pasangan kita atas kekurangan mereka sekiranya kita sendiri
jauh dari sifat sempurna untuk melengkapkan pengabdian diri kepada Allah
swt…..

24 May 2007

Dari Kuantan Ke Johor Bahru

Hari ini sudah hampir dua minggu berlalunya 13 Mei, tarikh sambutan bagi
Hari Ibu. Seperti biasa, 13 Mei tidak mengundang apa-apa erti buat saya.
Ibu saya juga tidak suka Hari Ibu disambut pada hari-hari tertentu.
Sepatutnya, setiap hari adalah Hari Ibu, katanya suatu ketika dahulu. Dan
bagi saya pula, saya tidak perlukan 13 Mei untuk meraikan ibu saya. Saya
juga turut bersetuju hari ibu adalah 365 hari setahun.

Sepatutnya setiap hari ibu ibu dihormati. Setiap hari juga si ibu perlu
dijauhkan dari bebanan kerja yang berlebihan. Bagi diri saya, setiap bulan
saya akan bawa ibu dan ayah makan di luar. Jadi hari itu dapur kami tidak
perlu berasap. Begitu juga jika hendak membelikan mereka sesuatu. Tidak
perlu tunggu setahun sekali. Kalau bawa berbelanja, biarkan sahaja mereka
pilih apa yang mereka mahukan.

Saya juga beruntung kerana memiliki seorang isteri yang mampu menyayangi
ibu saya seperti ibu kandungnya sendiri. Adakalanya isteri saya yang
memberitahu apa-apa yang ibu inginkan yang disebutnya tanpa kehadiran saya.
Lebih beruntung lagi, syarikat tempat saya bekerja juga menyediakan
peruntukan untuk family dinner setahun sekali membolehkan saya membawa ibu
bapa saya makan di restoran yang lebih mewah.

Kelakar juga jika diingatkan. Ibu saya bukan main sakan membuat pesanan
manakala ayah dengan wajah bimbang kalau-kalau pesanan ibu melebihi bajet
yang ada. Tetapi bagi saya, berapapun yang dibelanjakan untuk mereka tidak
patut menjadi persoalan. Kerana pengorbanan yang terlalu hebat, yang tiada
tandingannya yang telah mereka berikan demi membesarkan kami adik beradik.

Dan berkata tentang pengorbanan ini, saya teringat ketika perjalanan pulang
saya dari Kuantan ke Johor Bahru lebih dua minggu yang lalu. Ketika itu,
saya menaiki sebuah bas buruk yang setiap barisannya terdapat empat orang
penumpang. Jadi suka atau tidak, ada orang lain yang akan duduk di sebelah
saya. Tiba-tiba naik seorang perempuan berusia lingkungan 40an terus menuju
ke tempat duduk saya.

Wajahnya sedikit berubah melihat saya. Mungkin dia juga tidak selesa duduk
bersebelahan seorang lelaki. "Nak duduk sini?" tanya saya kepadanya merujuk
kepada kerusi yang saya duduki iaitu bersebelahan dengan tingkap. Dia
tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Saya bingkas bangun dan
membenarkannya mengesot ke sebelah dalam. "Terima kasih" tuturnya ringkas.

Tidak banyak yang terjadi di awal perjalanan. Saya menghilangkan kebosanan
dengan mendail nombor kakak angkat saya yang tinggal di Kuala Lumpur.
Selesai berbual ditelefon, saya hidupkan pemain MP3 saya lalu memejamkan
mata. Alah bisa tegal biasa. Dek kerana terlalu biasa menaiki bas ekspress,
tidur di atas kerusi pun lenanya seperti tidur di atas katil. Saya hanya
terjaga ketika bas berhenti untuk minum.

Selesai berehat, bas memulakan perjalanannya semula. Ketika itu, barulah
wanita di sebelah saya tadi memulakan bicara. Pada awalnya, dia banyak
bertanya tentang diri saya. Tentang kerja dan sebagainya. Iyalah, baginya
sesuatu yang memelikkan apabila seorang yang tinggal di Johor Bahru bekerja
di Kerteh, Terengganu. Mulut saya pun becok menerangkan natur kerja saya
kepadanya.

Kemudian tiba giliran saya menjadi pemberita. Menurutnya, dia bekerja di
Kota Tinggi, Johor tetapi keluarganya berada di Kuantan. Anak sulungnya
kini di UiTM manakala anak kedua dan ketiganya bersekolah asrama. Manakala
anak bungsunya kini bersekolah darjah lima (atau enam) dan tinggal buat
sementara dengan ibunya di Kuantan. Katanya, suaminya telah lama meninggal
dunia. Lebih kurang tujuh atau lapan tahun dahulu.

Sedih juga katanya terpaksa berjauhan dengan anaknya. Dalam sebulan hanya
empat hari sahaja dapat pulang ke kampung. Pada awal dia bekerja dahulu,
hari-hari menangis mengenangkan anak yang ditinggalkan. Tetapi terpaksalah,
katanya lagi. Dia mesti mencari rezeki demi menanggung perbelanjaan
anak-anak yang masih belajar. Ketika itu, saya dapat melihat genangan air
jernih di kelopak matanya.

"Dulu kak kerja jaga kaunter tiket di Terminal (Makmur). Tapi lepas
syarikat kak kerja tu tutup, pergi macam tu je dengan gaji pun tak bayar,
lama kak menganggur. Kerja ni pun kawan kak yang rekomen…" Ceritanya dengan
lebih lanjut. Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala. Dalam hati saya kagum
dengan ibu tunggal ini. Saya faham perasaan berjauhan dengan anak-anak.
Apatah lagi seorang perempuan yang jiwanya lebih halus.

"Dulu anak kak yang nombor dua tu duduk asrama penuh. Tapi dia tertekan.
Hari-hari dia dibuli." Sambungnya lagi. Menurutnya, anak keduanya itu
akhirnya jatuh sakit yang menyebabkan kulit mukanya mengalirkan darah.
Tubuhnya menjadi kurus kering. Banyak duit yang dihabiskan untuk mengubati
anaknya itu. Namun berkat usaha dan tawakkal kepada Yang Esa, dia berjaya
dipulihkan.

Ketika bercerita, dia meraba-raba di dalam begnya. Diambilnya sehelai tisu
dan disekanya air mata yang tergenang di pipinya. Saya juga turut bersedih.
Sesekali terbayang bagaimana jika anak saya sendiri mengalami apa yang
sedang dia alami. Tetapi seketika kemudian ibu tunggal itu tersenyum
apabila bercerita tentang anak sulungnya yang berjaya sampai ke universiti.
Dapat saya rasakan kembangnya hati seorang ibu dengan kejayaan anaknya.

Tetapi katanya, pada awal tawaran itu diperolehi, dia nekad meminta anaknya
menolak kerana tidak mampu untuk menyediakan wang perbelanjaan. Tetapi
disebabkan kasihan melihat anaknya bersungguh, dia usahakan perbelanjaan
itu dengan pelbagai cara. Alhamdulillah… Akhirnya anaknya selamat memasuki
menara gading dan insyaAllah akan tamat pengajian tidak berapa lama lagi.

Mungkin kisah ini tidak mengundang apa erti bagi sesetengah orang (kerana
lemahnya gaya saya bercerita). Tetapi saya yang mendengarnya keluar dari
mulut wanita itu, dengan emosi, dengan riak wajahnya dan titisan air mata
yang ditahan-tahan, cukup terkesan. Hati saya memuji-muji Allah kerana
menemukan saya dengan wanita ini. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari
cerita-ceritanya.

Wanita memang lemah. Tetapi pada keadaan yang memaksa, wanita akan lebih
hebat dari lelaki. Sebagai ibu tunggal, wanita ini berjaya melepasi
kebanyakan rintangan tanpa ditemani insan lelaki bergelar suami. Semuanya
kerana kasihnya buat anak yang menjulang tinggi. Seluruh hidupnya
dikorbankan untuk anak-anak. Kebahagiaan, kebebasan malah juga perasaannya
sendiri. Inilah perngorbanan seorang ibu. Cinta ibu itu lebih sejati dari
cinta seorang isteri. Cinta dari empat orang isteri yang dihimpunkan tidak
akan mampu menyamai cinta seorang ibu kandung. Semoga Allah merahmati
kesemua ibu di dalam dunia ini…..

04 May 2007

Pemimpin Dan Yang Dipimpin

Entah bagaimana, saya kurang pasti. Tetapi perbualan dua orang sahabat saya
akhirnya bertukar menjadi pedebatan yang hangat. Masing-masing berdiri atas
hujjah masing-masing. Saya pula hanya duduk di tengah-tengah. Bukan tidak
punya idea tetapi kerana umur kedua-dua mereka yang melebihi sepuluh tahun
jaraknya dengan saya membuatkan saya terfikir saya terlalu mentah untuk
menjampuk dalam perbualan mereka.

Tetapi akhirnya apabila keadaan menjadi semakin hangat, saya mengajak salah
seorang dari mereka untuk pergi minum. Alhamdulillah, dia bersetuju. Jadi
topik itu saya matikan begitu sahaja. Tidak ada 'penggulungan hujjah'.
Sebenarnya, berbahas itu baik. Tetapi jika terlalu taksub kepada hujjah
yang kita pegang, akhirnya menjadikan hati kita buta untuk melihat kebaikan
yang ada dalam hujjah orang lain.

Sebenarnya kedua mereka berbincang tentang masalah sosial masyarakat.
Seorang dari teman saya meletakkan kesalahan pada diri kerajaan. Katanya,
kerajaan sebagai pemegang kuasa, gagal memanfaatkan kuasa yang ada pada
tangan mereka untuk menghalang mana-mana kegiatan yang tidak bermoral.
Bahkan mereka menutup pula sekolah-sekolah agama. Bagi saya, tiada salahnya
dalam hujjah yang diujarkan oleh teman saya yang ini.

Kemudian, yang seorang lagi pula berkata kita tidak boleh menyalahkan
kerajaan. Lahirnya seorang pemimpin yang cintakan dunia kerana sikap
keseluruhan masyarakat yang mencintai dunia. Kalau masyarakat itu cintakan
agama, insyaAllah pemimpin yang bakal lahir juga mereka yang percaya kepada
balasan akhirat. Jadi katanya, yang bersalah adalah pendakwah yang tidak
membimbing masyarakat. Ini juga saya rasakan betul.

Bukanlah saya bersifat lalang di sini. Tetapi hakikatnya memang sudah
sebegitu. Hujjah kedua-dua mereka memang benar. Tidak perlu dikatakan siapa
yang lebih benar. Yang penting, kerajaan salah, pendakwah juga salah.
Bercakap tentang pendakwah, siapakah sebenarnya pendakwah? Kerja
menyampaikan ini sebenarnya adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu
muslim. Jadi, kesemua muslim itu dikira sebagai pendakwah.

Bermakna kesemua kita bersalah. Saya cuba merenungkan kata teman saya yang
kedua. Katanya, pemimpin yang cintakan dunia lahir daripada sikap
masyarakat yang cintakan dunia. Benar. Sangat benar. Cuba lihat sekeliling
kita hari ini. Bagaimana masyarakat kita menjalani kehidupan mereka.
Berlumba-lumba untuk mendapatkan kekayaan. Berlumba-lumba untuk mempamerkan
kemewahan.

Dek kerana tamakkan habuan dunia, sampai ada yang terlupa di mana letak
halal dan haramnya punca rezeki itu. Sehinggakan sanggup melabur dalam
sistem yang tersimpang dari syariah. Tidak cukup itu, apabila bijak pandai
kita, para ulama, mengeluarkan fatwa mengharamkan jenis-jenis pelaburan,
maka kita tentang fatwa dan pendapat mereka. Semata-mata kerana kita rasa
rugi jika tidak berlabur dalam skim yang haram itu.

Tidak cukup itu, kita gunakan hadits Nabi saw sewenang-wenangnya.
"Sesungguhnya meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan berharta lebih baik
dari keadaan meminta-minta" tanpa kita selidiki apakah sebenarnya asbab
hadits tersebut dinyatakan. Sehingga kita menafikan hadits lain yang mana
Nabi saw mengangkat orang miskin ke darjat lebih tinggi dengan menyatakan
orang miskin akan masuk syurga setengah hari (500 tahun) lebih awal.

Atas sifat ini, sifat tamakkan harta dunia, maka kita alihkan qiblat kita
kepada kebendaan. Kita ubah matlamat hidup sebagai untuk mencari kekayaan
dan kemewahan, bukan untuk mencari keredhaan Allah. Maka kriteria pemimpin
yang akan kita pilih juga semestinya berubah. Kita katakan, pemimpin yang
mampu membawa kemajuan itulah pemimpin yang layak untuk memerintah negara.

Jadi bagaimana hendak membawa kemajuan? Banyak. Tetapi cara yang paling
mudah adalah dengan berkompromi dengan hukum Islam. Kemajuan itu kelihatan
agak lambat tanpa pengambilan riba. Industri pelancongan tampak lesu tanpa
penjualan arak dan penganjuran pesta besar-besaran. Kita mahukan
pembangunan. Dan inilah pembangunan yang dibawa oleh pemimpin yang kita
pilih, yang kita yakini mampu membawa kekayaan kepada negara.

Salahkah sang pemimpin? Sedangkan mereka hanya menghulurkan kepada rakyat
apa yang rakyat itu sendiri mahukan. Bukankah rakyat ingin kemajuan? Rakyat
sebelum ini tidak pernah bercerita mahu dipimpin untuk ke syurga. Rakyat
tidak pernah bercerita mahu undang-undang hudud ditegakkan. Yang rakyat
mahukan hanya pembangunan. Mahu mudah dapat kerja. Mahu mudah kumpul harta.
Salahkah mereka?

Untuk ini, saya bersetuju pula dengan pendapat teman saya yang pertama.
Kerajaan tetap bersalah. Biarpun mereka dilantik kerana rakyat mahukan
pembangunan, tidak bererti mereka perlu mengenepikan hukum yang telah Allah
tetapkan. Pembangunan bukan sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Nabi
memuliakan orang miskin tetapi Nabi saw tidak pernah menghina orang kaya.

Jadi tepatlah perbuatan mereka untuk membawa kemasyhuran kepada negara.
Hanya, mengapa perlu jalan yang songsang yang dipilih? Mengapa mesti
memilih untuk melaburkan wang amanah rakyat ke tempat-tempat yang haram di
sisi syarak? Mengapa sanggup bertoleransi dengan kemunafikan dan
kemungkaran atas nama kemajuan? Mengapa sanggup menggadai maruah dan masa
depan bangsa atas dasar menarik pelabur asing?

Kerana ingin memperlakukan barangan buatan tempatan, dianjurkan pesta
seperti karnival JomHeboh. Memanglah di temasya ini banyak syarikat yang
dapat membuat promosi dan meraih keuntungan tetapi janganlah sampai menutup
mata apabila melihat kejelikan di dalamnya. Mufti juga sudah
mengisytiharkannya sebagai haram, tetapi tidak pernah dihentikan. Mengapa?
Atas alasan ekonomilah!

Malah, lebih memilukan lagi, stesen radio dan televisyen milik kerajaan,
RTM turut sama menganjurkan acara yang serupa. Karnival Gempar kini pula
diadakan kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007. Apakah
kerana terlalu ingin menyuburkan industri pelancongan maka kita sanggup
butakan mata melihat kebejatan yang berlaku dalam setiap acara seperti
Karnival Gempar dan JomHeboh diadakan?

Saya yakin hujjah kedua-dua teman saya benar. Hanya keengganan menerima
hujjah orang lain yang menjadikan perdebatan mereka tegang. Benar, kerajaan
bersalah kerana terlalu berkompromi dengan kemaksiatan. Tetapi rakyat juga
tidak kurang salahnya kerana memilih orang seperti mereka menjadi pemimpin.
Maka kesedaran perlu dipupuk dari bawah. Semua rakyat mesti sedar
tanggungjawab mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara. Boleh pilih
yang membawa kemajuan, boleh pilih yang membawa kemasyhuran tetapi yang
penting, pilihlah mereka yang sentiasa membawa kalimah Allah di dalam hati
mereka…..

03 May 2007

Selamat Hari Pekerja

Tanggal 1 May setiap tahun, seperti kebiasaan, seluruh golongan pekerja
menyambut Hari Pekerja atau dahulunya, ketika saya masih di zaman
kanak-kanak, dipanggil sebagai Hari Buruh. Mungkin perkataan 'buruh'
memperlihatkan kerendahan martabat, atau kebiasaannya 'buruh' dikaitkan
dengan pekerja kontrak pembinaan, maka ianya ditukarkan menjadi Hari
Pekerja. Namun Hari Pekerja mahupun Hari Buruh, konsep perayaannya tetap
sama.

Hari Pekerja diwujudkan mungkin sebagai menghargai pengorbanan golongan ini
yang banyak membantu dalam mempertingkatkan keuntungan syarikat dan
menaikkan ekonomi sesebuah negara. Sebagai orang yang tergolong dalam
kelompok yang diraikan, tentu sahaja Hari Pekerja memberikan suatu jenis
perasaan dalam diri saya. Tentu sahaja saya berasa gembira ada hari yang
dikhususkan khas untuk meraikan kita semua.

Tetapi mungkin juga bagi sesetengah orang Hari Pekerja hanyalah sebuah hari
cuti umum. Di hari ini, yang mana telah digazetkan sebagai hari cuti umum
di hampir setiap negara di dunia, mereka gunakan untuk menghabiskan masa
bersama keluarga. Inilah harinya untuk keluar membeli-belah, atau mungkin
berkelah atau mungkin bermalas-malasan sahaja di rumah bersama anak dan
juga isteri dan keluarga.

Saya sebenarnya teringat akan satu perbualan antara saya dengan seorang
teman tidak sampai dua minggu yang lalu. Kami sebenarnya sedang berbicara
tentang seorang lagi teman kami yang telahpun sampai ke usia persaraan.
Teman saya itu kemudiannya telah memohon untuk kembali bekerja dengan
syarikat lamanya melalui syarikat pembekal tenaga kerja yang membekalkan
pekerja secara kontrak.

Tetapi kemudian permohonan teman saya telah ditolak. Sebabnya mudah. Kerana
teman saya itu mempunyai kes mahkamah dengan pihak syarikat yang masih
belum selesai. Saya cukup kecewa dengan tindakan syarikatnya dan
berpendapat, pihak pengurusan sedang cuba menunjuk samseng dengan perbuatan
berupa 'ugutan kepada yang lain' bahawa mereka yang mempunyai kes mahkamah
dengan syarikat akan mengalami kesusahan.

Tetapi teman saya tadi tidak bersetuju dengan saya. Katanya, bagaimana
mungkin kita yang makan gaji dengan syarikat boleh membawa kes ke mahkamah.
Kita sepatutnya berterima kasih dengan syarikat yang memberikan kita kerja.
Saya cukup-cukup tersentak dan berasa amat marah. Bagaimana boleh ada
pemikiran yang ketinggalan zaman seperti ini pada seseorang yang hidup di
zaman moden?

"Kita pekerja, bukan hamba. Sebagai pekerja kita punyai hak tertentu, bukan
seperti hamba yang bebas diperlakukan apa sahaja. Dan jika pihak syarikat
gagal mematuhi hak kita yang ditetapkan, kita berhak membawanya ke
mahkamah!" jelas saya kepada teman saya. Mungkin tidak mahukan perdebatan,
maka teman saya tadi telah mengundur diri. Tetapi, apa yang dituturkannya
benar-benar mewujudkan kebimbangan dalam diri saya.

Berapa ramai sebenarnya orang yang berpendirian begini? Ini pendirian yang
berbahaya. Saya tidak terfikir masih ada manusia yang tidak dapat
membezakan antara penghambaan dan pekerjaan. Saya fikir golongan ini sudah
pupus ditelan zaman. Tetapi masih ada lagi rupanya. Sebenarnya, minda
begini cukup bahaya. Kerana ianya boleh menggelapkan lagi harapan
perjuangan membela golongan pekerja yang belum pernah cerah di Malaysia
ini.

Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan pekerja saya. Jangan sekali-kali
berfikir bahawa kita terhutang budi kepada syarikat. Jangan fikir syarikat
atau ketua kita yang 'memberi kita makan'. Tidak! Sebaliknya, kitalah yang
memajukan syarikat. Kita jugalah yang membolehkan ketua kita duduk di
kerusi empuknya. Kitalah yang menyuapkan mereka nasi. Mereka berjaya kerana
peluh yang kita titiskan, bukan titisan tinta dari pena mereka semata.

Hubungan antara pekerja dengan majikan adalah sebuah hubungan simbiosis.
Masing-masing akan beroleh faedah antara satu sama lain. Kita bekerja untuk
syarikat, membolehkan syarikat membuat keuntungan, lalu syarikat membayar
kita gaji dan lain-lain insentif termasuk bonus dan elaun. Inilah yang
dinamakan simbiosis. Bukannya keuntungan terletak pada satu pihak sahaja.

Jika keuntungan hanya pada syarikat, sementara pekerja terus hidup dalam
tekanan, maka ini bukan simbiosis. Ini parasitisme. Satu pihak menyedut
segala kebaikan manakala pihak satu lagi terus membiarkan hak-haknya
'dihisap' hingga akhirnya kering dan layu. Sayang sekali, inilah yang
sering dan sedang berlaku kepada kebanyakan rakyat negara kita. Lebih
menyedihkan lagi, pihak berkuasa seakan-akan merestui perbuatan parasit
ini.

Kerana itu kerajaan enggan menetapkan had gaji minimum. Kerana itu juga,
kerajaan tidak memperketatkan undang-undang buruh bagi mengelakkan
rakyatnya terus diperdaya. Semuanya dengan alasan hendak menarik pelabur
asing. Tetapi, pelabur asing untuk siapa? Ekonomi negara untuk siapa? Jika
pelabur asing ramai, ekonomi negara subur tetapi rakyat terbanyak tetap
terus disembelih, apa maknanya kesuburan ekonomi tersebut?

Menurut seorang teman saya di Jabatan Buruh, majoriti golongan pekerja di
Malaysia tidak tahu hak-hak mereka yang dilindungi oleh perlembagaan.
Mungkin sekarang sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan matapelajaran
akta-akta pekerjaan sebagai salah satu silabus di sekolah menengah.
Sekurang-kurangnya untuk mereka yang bakal menduduki SPM. Ini sebagai satu
cara melindungi golongan ini dari terus ditindas dari mula lagi.

Selain itu, Jabatan Buruh juga seharusnya mempunyai kuasa untuk
menghentikan operasi mana-mana syarikat yang gagal mematuhi
peraturan-peraturan yang termaktub dalam akta pekerjaan seperti mana kuasa
oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (DOSH) miliki terhadap
syarikat yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub dalam Akta
Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (OSHA).

Bercakap tentang bekerja dan menjadi hamba, ada sesuatu yang sering bermain
di fikiran saya. Kebanyakan dari kita takut untuk mempersoalkan apatah lagi
menentang perintah dari ketua mereka. Tetapi dalam masa yang sama, mereka
sanggup mempertikai bahkan melanggar secara terang-terangan arahan-arahan
Allah swt. Sedangkan hakikat, kita adalah hamba kepadaNya, bukan pekerja.
Bayangkanlah peliknya umat hari ini. Takut untuk menegakkan hak sebagai
pekerja tetapi berani melawan walaupun tanpa hak sebagai hamba. Begitulah
songsangnya hidup kita pada hari ini.

Mengapa? Mungkin kerana ketua kita mampu menjanjikan kenaikan gaji dan
pangkat untuk yang patuh dan diberhentikan kerja untuk yang menentang.
Sayang sekali jika ini yang kita fikirkan kerana sebenarnya, Allah
menjanjikan kebaikan yang beribu kali ganda kepada mereka yang patuh kepada
arahanNya dan azab yang beribu kali lebih siksa kepada yang ingkar. Hanya
yang membezakan, janji Allah sesuatu yang tidak nampak di mata…

02 May 2007

Alhamdulillah...

Alhamdulillah... Akhirnya saya bebas dari belenggu kesakitan. Setelah 2
hari terlantar di atas katil platform, kemudian dihantar pulang untuk
mendapatkan rawatan di Klinik Rantau Petronas, Kerteh, akhirnya saya pulih
seperti sediakala secara rasminya, semalam. Alhamdulillah... Tubuh saya
berasa sangat bertenaga. Malah rasanya lebih bertenaga dari sebelumnya.
Hanya suara yang masih lagi serak-serak berkahak.

Tetapi sebelum itu, ketika terlantar, saya benar-benar tidak berdaya.
Hendak makan pun tidak larat rasanya. Tidur pun tidak mampu lena. Rasanya
sudah terlalu lama saya tidur. Entah berapa kali bertukar mimpi. Namun
ketika tersedar dan melihat jam, tidak sampai dua jam sebenarnya saya
terlelap. Makanan juga menjadi begitu pahit. Tekak terasa begitu payah
hendak menelan. Semangkuk bubur nasi rasanya bagaikan selautan hempedu.

Begitu hebatnya kuasa Allah. Makanan yang selama ini saya anggap telah
mengenyangkan saya, lauk-pauk yang selama ini saya rasakan yang 'menggamit'
nafsu makan saya, akhirnya menjadi sebaliknya. Tekak saya menjadi mual
apabila disuapkan dengan lauk-pauk yang kononnya menyelerakan itu. Begitu
juga perut, menendang-nendang makanan yang jatuh ke dalamnya. Pendek kata,
serba tidak kena.

Ternyata, bukan makanan yang menaikkan selera, dan bukan juga makanan yang
mengenyangkan kita. Semuanya atas izin Allah. Lihatlah pada diri saya,
Allah hanya mengubah sedikit situasi. Kerosakan sistem rasa pada lidah dan
ketidak stabilan dalam otak yang mengganggu proses penghadaman saya. Terus
segala-galanya menjadi huru-hara dan tunggang-langgang. Sesungguhnya Allah
Maha Hebat...

Setelah demam saya kebah, timbul pula masalah yang baru. Ada kesan merah
pada mata putih sebelah kanan saya. Yang peliknya, hanya separuh ke bawah.
Bukan keseluruhan mata. Sehinggakan doktor juga menjadi pelik kerana
menurutnya, jika sakit mata, keseluruhan mata sepatutnya menjadi merah.
Akhirnya saya dirujuk ke pakar dan Alhamdulillah, saya disahkan sihat. Itu
hanyalah kesan akibat serangan virus ketika saya demam panas tempohari.

Ugh... Teringat lagi ketika demam. Pada pagi 27hb, saya dapatkan
pemeriksaan dari medik di pelantar. 39 darjah, katanya. Bagi saya, 39
darjah masih tahap yang rendah. Walaupun menurut medik ia sudah cukup
tinggi. Setelah mengambil segala ubat yang perlu, saya beredar ke bilik
tidur. Petang itu, saya bangun untuk bekerja seperti biasa tetapi tubuh
saya terhuyung-hayang. Lalu sekali lagi saya pergi berjumpa medik untuk
pemeriksaan.

Kali ini agak terkejut melihat bacaan pada termometernya. "41.7 degree ka?
Ini macam banyak tinggi. Tomorrow I'll send you to town!" katanya. Saya
hanya diam. Tidak banyak reaksi yang boleh saya berikan dalam keadaan
seperti itu. Kemudian saya cuba turun ke galley untuk mengalas perut tetapi
tetap terhuyung-hayang. Segera dua orang teman saya datang membantu dan
memapah saya tanpa perlu saya suruh atau minta. Alhamdulillah...

Tetapi saya berasakan cukup seronok dengan demam panas yang saya alami kali
ini. Entah mengapa, saya rasa ianya bagaikan satu kehidupan yang baru.
Selama terlantar, saya terasa diri saya seperti mati. Tidak tahu apa yang
berlaku di luar bilik. Bahkan setelah sampai ke darat pun, saya hanya
berkurung di dalam Guest House (rumah ala hotel lima bintang milik syarikat
yang disediakan secara percuma untuk pekerja yang memerlukan).

Tiba-tiba apabila saya sihat semalam, dapat pula ke Kuantan untuk
mendapatkan pemeriksaan pakar mata di Alor Akar, saya jadi seperti Sleeping
Beauty yang baru terjaga sesudah tidur beberapa tahun. Perjalanan pula
ditemani seorang pemandu teksi yang saya sudah biasa dengannya. Tambahan
pula si pemandu seorang yang cukup peramah, saya rasakan perjalanan ke
Kuantan kelmarin seperti sedang makan angin.

Ketika ini juga saya dapat melihat nilai kasih sayang teman-teman
sekeliling. Alhamdulillah... Ramai yang membantu ketika saya dalam keadaan
tidak larat. Ada yang memimpin dan memapah saya, ada yang membawa saya ke
bilik, ada yang menjengah setiap beberapa jam memastikan saya selesa, ada
yang tukang selimutkan, ada yang siap hantarkan makanan dan pelbagai
pertolongan yang saya terima. Alhamdulillah...

Jadi, walaupun saya jauh dari rumah, saya tidak berasa 'terkapai-kapai'
keseorang di sini. Mungkin jika di rumah keadaan lebih sempurna dengan ada
yang tukang 'tuam' (lapkan tubuh dengan air sejuk), picit kepala dan
sebagainya, tetapi dengan apa yang saya terima di sini, saya rasakan sudah
cukup bertuah. Jadi saya begitu gembira walaupun sakit. Ternyata, orang
Melayu kita masih tinggi nilai kasih sayang sesama mereka.

Keluarga saya tidak usah ceritalah. Jika saya sihatpun, sudah dapat saya
cinta ikhlas mereka, apatah lagi ketika saya sakit. Ayah segera telefon
saya sebaik terlihat gambar mata saya yang saya kirimkan kepada isteri saya
melalui telefon bimbit. Risau dia kalau-kalau ada yang tidak elok terjadi
kepada anaknya ini. Siapa kata lelaki (ayah) tidak pandai tunjukkan kasih
sayang? Cuma kita sahaja yang pendai tafsirkan kasih yang mereka pamerkan.

Namun, sebesar-besar nikmat yang saya perolehi selepas demam ini adalah
nilai kasih sayang Allah. Alhamdulillah, semasa demam ini saya berasa cukup
selesa di bawah payung kasihNya. Manakan tidak, di saat diri ini tidak
mampu melangkah mencari kedai makan, tidak sesaatpun perut ini berkeroncong
minta diisi. Hanya selepas tubuh kembali gagah, barulah kelaparan mula
menggigit dinding perut. Alhamdulillah...

Dan nikmat yang paling besar ialah apabila saya mula terasa keseronokan
yang tidak terkata ketika menunaikan solah. Entah, sukar untuk saya
gambarkan. Tetapi ianya suatu yang cukup menenangkan hati dan perasaan.
Alhamdulillah... Sebenarnya, ketika tubuh masih tidak larat, saya bersolat
dan kemudian berdoa, meminta Allah menebalkan lagi iman saya dan
membuangkan sifat malas beribadah dalam diri saya.

Mungkin doa orang sakit lebih mustajab, maka mungkin juga kerana itu doa
saya telah dimakbulkan. Kini rasanya saya tidak sabar menunggu waktu solat
yang mendatang. Apabila saya ceritakan kepada isteri saya, jawabnya,
"Mungkin ada sebab Allah jadikan abang sakit kuat,". Betul. Allah tak
pernah jadikan sesuatu itu sia-sia. Semuanya bersebab. Dan saya cukup
gembira, jika inilah sebabnya saya jatuh sakit. Alhamdulillah...

Akhirulqalam, saya tidak lupa ucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi
menghantar email dan mendoakan saya agar segera pulih. Keprihatinan kalian
menyentuh hati ini. Semoga Allah membalas kebaikan anda dengan seribu kali
kabaikan. Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Segala puji
bagiMu Allah. Syukur, aku masih mampu mengucapkan segala puji buatMu.
Alhamdulillah...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.