24 May 2007

Dari Kuantan Ke Johor Bahru

Hari ini sudah hampir dua minggu berlalunya 13 Mei, tarikh sambutan bagi
Hari Ibu. Seperti biasa, 13 Mei tidak mengundang apa-apa erti buat saya.
Ibu saya juga tidak suka Hari Ibu disambut pada hari-hari tertentu.
Sepatutnya, setiap hari adalah Hari Ibu, katanya suatu ketika dahulu. Dan
bagi saya pula, saya tidak perlukan 13 Mei untuk meraikan ibu saya. Saya
juga turut bersetuju hari ibu adalah 365 hari setahun.

Sepatutnya setiap hari ibu ibu dihormati. Setiap hari juga si ibu perlu
dijauhkan dari bebanan kerja yang berlebihan. Bagi diri saya, setiap bulan
saya akan bawa ibu dan ayah makan di luar. Jadi hari itu dapur kami tidak
perlu berasap. Begitu juga jika hendak membelikan mereka sesuatu. Tidak
perlu tunggu setahun sekali. Kalau bawa berbelanja, biarkan sahaja mereka
pilih apa yang mereka mahukan.

Saya juga beruntung kerana memiliki seorang isteri yang mampu menyayangi
ibu saya seperti ibu kandungnya sendiri. Adakalanya isteri saya yang
memberitahu apa-apa yang ibu inginkan yang disebutnya tanpa kehadiran saya.
Lebih beruntung lagi, syarikat tempat saya bekerja juga menyediakan
peruntukan untuk family dinner setahun sekali membolehkan saya membawa ibu
bapa saya makan di restoran yang lebih mewah.

Kelakar juga jika diingatkan. Ibu saya bukan main sakan membuat pesanan
manakala ayah dengan wajah bimbang kalau-kalau pesanan ibu melebihi bajet
yang ada. Tetapi bagi saya, berapapun yang dibelanjakan untuk mereka tidak
patut menjadi persoalan. Kerana pengorbanan yang terlalu hebat, yang tiada
tandingannya yang telah mereka berikan demi membesarkan kami adik beradik.

Dan berkata tentang pengorbanan ini, saya teringat ketika perjalanan pulang
saya dari Kuantan ke Johor Bahru lebih dua minggu yang lalu. Ketika itu,
saya menaiki sebuah bas buruk yang setiap barisannya terdapat empat orang
penumpang. Jadi suka atau tidak, ada orang lain yang akan duduk di sebelah
saya. Tiba-tiba naik seorang perempuan berusia lingkungan 40an terus menuju
ke tempat duduk saya.

Wajahnya sedikit berubah melihat saya. Mungkin dia juga tidak selesa duduk
bersebelahan seorang lelaki. "Nak duduk sini?" tanya saya kepadanya merujuk
kepada kerusi yang saya duduki iaitu bersebelahan dengan tingkap. Dia
tersenyum lalu menganggukkan kepalanya. Saya bingkas bangun dan
membenarkannya mengesot ke sebelah dalam. "Terima kasih" tuturnya ringkas.

Tidak banyak yang terjadi di awal perjalanan. Saya menghilangkan kebosanan
dengan mendail nombor kakak angkat saya yang tinggal di Kuala Lumpur.
Selesai berbual ditelefon, saya hidupkan pemain MP3 saya lalu memejamkan
mata. Alah bisa tegal biasa. Dek kerana terlalu biasa menaiki bas ekspress,
tidur di atas kerusi pun lenanya seperti tidur di atas katil. Saya hanya
terjaga ketika bas berhenti untuk minum.

Selesai berehat, bas memulakan perjalanannya semula. Ketika itu, barulah
wanita di sebelah saya tadi memulakan bicara. Pada awalnya, dia banyak
bertanya tentang diri saya. Tentang kerja dan sebagainya. Iyalah, baginya
sesuatu yang memelikkan apabila seorang yang tinggal di Johor Bahru bekerja
di Kerteh, Terengganu. Mulut saya pun becok menerangkan natur kerja saya
kepadanya.

Kemudian tiba giliran saya menjadi pemberita. Menurutnya, dia bekerja di
Kota Tinggi, Johor tetapi keluarganya berada di Kuantan. Anak sulungnya
kini di UiTM manakala anak kedua dan ketiganya bersekolah asrama. Manakala
anak bungsunya kini bersekolah darjah lima (atau enam) dan tinggal buat
sementara dengan ibunya di Kuantan. Katanya, suaminya telah lama meninggal
dunia. Lebih kurang tujuh atau lapan tahun dahulu.

Sedih juga katanya terpaksa berjauhan dengan anaknya. Dalam sebulan hanya
empat hari sahaja dapat pulang ke kampung. Pada awal dia bekerja dahulu,
hari-hari menangis mengenangkan anak yang ditinggalkan. Tetapi terpaksalah,
katanya lagi. Dia mesti mencari rezeki demi menanggung perbelanjaan
anak-anak yang masih belajar. Ketika itu, saya dapat melihat genangan air
jernih di kelopak matanya.

"Dulu kak kerja jaga kaunter tiket di Terminal (Makmur). Tapi lepas
syarikat kak kerja tu tutup, pergi macam tu je dengan gaji pun tak bayar,
lama kak menganggur. Kerja ni pun kawan kak yang rekomen…" Ceritanya dengan
lebih lanjut. Saya cuma mengangguk-anggukkan kepala. Dalam hati saya kagum
dengan ibu tunggal ini. Saya faham perasaan berjauhan dengan anak-anak.
Apatah lagi seorang perempuan yang jiwanya lebih halus.

"Dulu anak kak yang nombor dua tu duduk asrama penuh. Tapi dia tertekan.
Hari-hari dia dibuli." Sambungnya lagi. Menurutnya, anak keduanya itu
akhirnya jatuh sakit yang menyebabkan kulit mukanya mengalirkan darah.
Tubuhnya menjadi kurus kering. Banyak duit yang dihabiskan untuk mengubati
anaknya itu. Namun berkat usaha dan tawakkal kepada Yang Esa, dia berjaya
dipulihkan.

Ketika bercerita, dia meraba-raba di dalam begnya. Diambilnya sehelai tisu
dan disekanya air mata yang tergenang di pipinya. Saya juga turut bersedih.
Sesekali terbayang bagaimana jika anak saya sendiri mengalami apa yang
sedang dia alami. Tetapi seketika kemudian ibu tunggal itu tersenyum
apabila bercerita tentang anak sulungnya yang berjaya sampai ke universiti.
Dapat saya rasakan kembangnya hati seorang ibu dengan kejayaan anaknya.

Tetapi katanya, pada awal tawaran itu diperolehi, dia nekad meminta anaknya
menolak kerana tidak mampu untuk menyediakan wang perbelanjaan. Tetapi
disebabkan kasihan melihat anaknya bersungguh, dia usahakan perbelanjaan
itu dengan pelbagai cara. Alhamdulillah… Akhirnya anaknya selamat memasuki
menara gading dan insyaAllah akan tamat pengajian tidak berapa lama lagi.

Mungkin kisah ini tidak mengundang apa erti bagi sesetengah orang (kerana
lemahnya gaya saya bercerita). Tetapi saya yang mendengarnya keluar dari
mulut wanita itu, dengan emosi, dengan riak wajahnya dan titisan air mata
yang ditahan-tahan, cukup terkesan. Hati saya memuji-muji Allah kerana
menemukan saya dengan wanita ini. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari
cerita-ceritanya.

Wanita memang lemah. Tetapi pada keadaan yang memaksa, wanita akan lebih
hebat dari lelaki. Sebagai ibu tunggal, wanita ini berjaya melepasi
kebanyakan rintangan tanpa ditemani insan lelaki bergelar suami. Semuanya
kerana kasihnya buat anak yang menjulang tinggi. Seluruh hidupnya
dikorbankan untuk anak-anak. Kebahagiaan, kebebasan malah juga perasaannya
sendiri. Inilah perngorbanan seorang ibu. Cinta ibu itu lebih sejati dari
cinta seorang isteri. Cinta dari empat orang isteri yang dihimpunkan tidak
akan mampu menyamai cinta seorang ibu kandung. Semoga Allah merahmati
kesemua ibu di dalam dunia ini…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.