04 May 2007

Pemimpin Dan Yang Dipimpin

Entah bagaimana, saya kurang pasti. Tetapi perbualan dua orang sahabat saya
akhirnya bertukar menjadi pedebatan yang hangat. Masing-masing berdiri atas
hujjah masing-masing. Saya pula hanya duduk di tengah-tengah. Bukan tidak
punya idea tetapi kerana umur kedua-dua mereka yang melebihi sepuluh tahun
jaraknya dengan saya membuatkan saya terfikir saya terlalu mentah untuk
menjampuk dalam perbualan mereka.

Tetapi akhirnya apabila keadaan menjadi semakin hangat, saya mengajak salah
seorang dari mereka untuk pergi minum. Alhamdulillah, dia bersetuju. Jadi
topik itu saya matikan begitu sahaja. Tidak ada 'penggulungan hujjah'.
Sebenarnya, berbahas itu baik. Tetapi jika terlalu taksub kepada hujjah
yang kita pegang, akhirnya menjadikan hati kita buta untuk melihat kebaikan
yang ada dalam hujjah orang lain.

Sebenarnya kedua mereka berbincang tentang masalah sosial masyarakat.
Seorang dari teman saya meletakkan kesalahan pada diri kerajaan. Katanya,
kerajaan sebagai pemegang kuasa, gagal memanfaatkan kuasa yang ada pada
tangan mereka untuk menghalang mana-mana kegiatan yang tidak bermoral.
Bahkan mereka menutup pula sekolah-sekolah agama. Bagi saya, tiada salahnya
dalam hujjah yang diujarkan oleh teman saya yang ini.

Kemudian, yang seorang lagi pula berkata kita tidak boleh menyalahkan
kerajaan. Lahirnya seorang pemimpin yang cintakan dunia kerana sikap
keseluruhan masyarakat yang mencintai dunia. Kalau masyarakat itu cintakan
agama, insyaAllah pemimpin yang bakal lahir juga mereka yang percaya kepada
balasan akhirat. Jadi katanya, yang bersalah adalah pendakwah yang tidak
membimbing masyarakat. Ini juga saya rasakan betul.

Bukanlah saya bersifat lalang di sini. Tetapi hakikatnya memang sudah
sebegitu. Hujjah kedua-dua mereka memang benar. Tidak perlu dikatakan siapa
yang lebih benar. Yang penting, kerajaan salah, pendakwah juga salah.
Bercakap tentang pendakwah, siapakah sebenarnya pendakwah? Kerja
menyampaikan ini sebenarnya adalah tugas dan tanggungjawab setiap individu
muslim. Jadi, kesemua muslim itu dikira sebagai pendakwah.

Bermakna kesemua kita bersalah. Saya cuba merenungkan kata teman saya yang
kedua. Katanya, pemimpin yang cintakan dunia lahir daripada sikap
masyarakat yang cintakan dunia. Benar. Sangat benar. Cuba lihat sekeliling
kita hari ini. Bagaimana masyarakat kita menjalani kehidupan mereka.
Berlumba-lumba untuk mendapatkan kekayaan. Berlumba-lumba untuk mempamerkan
kemewahan.

Dek kerana tamakkan habuan dunia, sampai ada yang terlupa di mana letak
halal dan haramnya punca rezeki itu. Sehinggakan sanggup melabur dalam
sistem yang tersimpang dari syariah. Tidak cukup itu, apabila bijak pandai
kita, para ulama, mengeluarkan fatwa mengharamkan jenis-jenis pelaburan,
maka kita tentang fatwa dan pendapat mereka. Semata-mata kerana kita rasa
rugi jika tidak berlabur dalam skim yang haram itu.

Tidak cukup itu, kita gunakan hadits Nabi saw sewenang-wenangnya.
"Sesungguhnya meninggalkan keluarga kamu dalam keadaan berharta lebih baik
dari keadaan meminta-minta" tanpa kita selidiki apakah sebenarnya asbab
hadits tersebut dinyatakan. Sehingga kita menafikan hadits lain yang mana
Nabi saw mengangkat orang miskin ke darjat lebih tinggi dengan menyatakan
orang miskin akan masuk syurga setengah hari (500 tahun) lebih awal.

Atas sifat ini, sifat tamakkan harta dunia, maka kita alihkan qiblat kita
kepada kebendaan. Kita ubah matlamat hidup sebagai untuk mencari kekayaan
dan kemewahan, bukan untuk mencari keredhaan Allah. Maka kriteria pemimpin
yang akan kita pilih juga semestinya berubah. Kita katakan, pemimpin yang
mampu membawa kemajuan itulah pemimpin yang layak untuk memerintah negara.

Jadi bagaimana hendak membawa kemajuan? Banyak. Tetapi cara yang paling
mudah adalah dengan berkompromi dengan hukum Islam. Kemajuan itu kelihatan
agak lambat tanpa pengambilan riba. Industri pelancongan tampak lesu tanpa
penjualan arak dan penganjuran pesta besar-besaran. Kita mahukan
pembangunan. Dan inilah pembangunan yang dibawa oleh pemimpin yang kita
pilih, yang kita yakini mampu membawa kekayaan kepada negara.

Salahkah sang pemimpin? Sedangkan mereka hanya menghulurkan kepada rakyat
apa yang rakyat itu sendiri mahukan. Bukankah rakyat ingin kemajuan? Rakyat
sebelum ini tidak pernah bercerita mahu dipimpin untuk ke syurga. Rakyat
tidak pernah bercerita mahu undang-undang hudud ditegakkan. Yang rakyat
mahukan hanya pembangunan. Mahu mudah dapat kerja. Mahu mudah kumpul harta.
Salahkah mereka?

Untuk ini, saya bersetuju pula dengan pendapat teman saya yang pertama.
Kerajaan tetap bersalah. Biarpun mereka dilantik kerana rakyat mahukan
pembangunan, tidak bererti mereka perlu mengenepikan hukum yang telah Allah
tetapkan. Pembangunan bukan sesuatu yang diharamkan dalam Islam. Nabi
memuliakan orang miskin tetapi Nabi saw tidak pernah menghina orang kaya.

Jadi tepatlah perbuatan mereka untuk membawa kemasyhuran kepada negara.
Hanya, mengapa perlu jalan yang songsang yang dipilih? Mengapa mesti
memilih untuk melaburkan wang amanah rakyat ke tempat-tempat yang haram di
sisi syarak? Mengapa sanggup bertoleransi dengan kemunafikan dan
kemungkaran atas nama kemajuan? Mengapa sanggup menggadai maruah dan masa
depan bangsa atas dasar menarik pelabur asing?

Kerana ingin memperlakukan barangan buatan tempatan, dianjurkan pesta
seperti karnival JomHeboh. Memanglah di temasya ini banyak syarikat yang
dapat membuat promosi dan meraih keuntungan tetapi janganlah sampai menutup
mata apabila melihat kejelikan di dalamnya. Mufti juga sudah
mengisytiharkannya sebagai haram, tetapi tidak pernah dihentikan. Mengapa?
Atas alasan ekonomilah!

Malah, lebih memilukan lagi, stesen radio dan televisyen milik kerajaan,
RTM turut sama menganjurkan acara yang serupa. Karnival Gempar kini pula
diadakan kononnya untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007. Apakah
kerana terlalu ingin menyuburkan industri pelancongan maka kita sanggup
butakan mata melihat kebejatan yang berlaku dalam setiap acara seperti
Karnival Gempar dan JomHeboh diadakan?

Saya yakin hujjah kedua-dua teman saya benar. Hanya keengganan menerima
hujjah orang lain yang menjadikan perdebatan mereka tegang. Benar, kerajaan
bersalah kerana terlalu berkompromi dengan kemaksiatan. Tetapi rakyat juga
tidak kurang salahnya kerana memilih orang seperti mereka menjadi pemimpin.
Maka kesedaran perlu dipupuk dari bawah. Semua rakyat mesti sedar
tanggungjawab mereka dalam menentukan pucuk pimpinan negara. Boleh pilih
yang membawa kemajuan, boleh pilih yang membawa kemasyhuran tetapi yang
penting, pilihlah mereka yang sentiasa membawa kalimah Allah di dalam hati
mereka…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.