22 February 2007

Due Date

Untuk kami yang bekerja di laut, hari balik (crew change) adalah hari yang paling menggembirakan. Yalah, dapat bertemu anak dan isteri serta keluarga tercinta, siapakah yang tidak akan gembira… Tetapi sebelum itu, hari terkahir bekerja (hari ke-14 di laut) adalah hari yang paling memenatkan. Terutamanya orang yang ‘jenis rajin’ seperti saya yang suka mengumpul kerja untuk dibereskan di saat-saat akhir.

Seperti keselaluan, jika saya bekerja pada shift siang, hari terkhir biasanya saya tidak akan tidur. Saya akan berjaga hingga ke pagi bagi menyiapkan laporan-laporan yang perlu saya serahkan kepada ketua saya sebelum meninggalkan pelantar. Sebenarnya, jika saya usahakan berdikit-dikit kerja ini dari awal, malam hendak balik saya sudah boleh berehat. Boleh duduk bersembang dengan teman-teman hingga larut malam…

Malam itu, seorang teman yang beru pertama kali menjejakkan kakinya ke pelantar tempat saya bekerja menegur saya. “Wah… Orang nak balik. Malam ni bolehlah tidur lewat…” sapanya. Saya hanya tersenyum sebelum menjawab “Mana boleh tidur bang… Saya ada banyak report yang nak disiapkan. Dah biasa macam ni. Memang tetiap trip saya biasa tidak tidur di malam crew change”. Dia kelihatan menggeleng-gelengkan kepala.

“Kalau saya siapkan awal-awal, takde la siksa macam ni” terang saya lagi kepadanya. Entah bagaimana terlintas pula di kepala saya untuk berkata, “Hm bang…, kalau mati pun ada due date macam buat kerja ni kan senang. Malam nak mati kita boleh all-out buat ibadah. Macam saya malam ni. Sebab nak hantar esok report tu, malam ni kena berhabis-habisan nak siapkan…” dan kami sama-sama tertawa…

Tetapi betul juga. Selain diri saya, saya percaya ada ramai lagi orang yang suka membuat kerja di saat-saat akhir. Kita cenderung berbuat begitu kerana hendak menikmati masa lapang di awalnya. Kemudian, berusaha bersungguh-sungguh di minit-minit terakhir. Jika sempat menyiapkannya seperti saya, Alhamdulillah. Tetapi tetap hasil kerjanya tidak sebaik orang yang mengusahakan dari awal. Tetapi bagaimana kalau tidak sempat dibereskan?

Begitu jugalah dalam perihal beribadah. Ramai dari kita, terutamanya diri saya sendiri, yang mengambil ringan kehidupan beragama. Banyak dari masa dihabiskan dengan berhibur, berbual-bualan dengan teman-teman, bercerita tentang perkara yang lagho dan bersantai sepanjang hidup dengan menganggap, apabila sudah dipanjat usia kelak, bolehlah menghabiskan masa di tikar sajadah.

Kalau betul berkesempatan, Alhamdulillah. Bolehlah kita menebus kembali segala dosa yang telah dilakukan dengan harapan Allah akan menerima taubat kita. Mana-mana ibadah wajib yang ditinggalkan seperti puasa dan solat, bolehlah diqadakan semula dengan harapan, Allah akan melepaskan kita dari azabnya. Tetapi bagaimana jika tidak berkesempatan? Bagaimana jika Izrael mengetuk pintu sebelum terbukanya hati untuk bertaubat?

Lebih memilukan lagi, tidak ada tarikh luput atau due date untuk kehidupan kita ini. Pada bila-bila masa, nyawa kita boleh dipisahkan dari badan. Yang diperlukan hanyalah keizinan dari Pemilik Yang Hakiki, Allah swt. Jadi, bilakah masanya untuk kita tetapkan waktu untuk mula beribadat habis-habisan sebagai ‘melengkapkan’ senarai panjang ibadah yang telah kita tinggalkan? Allahu Akbar…

Seperti kata teman saya yang menjadi mutakallim dalam satu gasyt, katanya kita biasa mendengar tentang datuk yang dilahirkan dahulu. Kemudian si bapa dan barulah si anak ataupun cucu. Allah telah menetapkan tidak ada anak yang dilahirkan sebelum bapa. Dan inilah resam yang kita turuti setelah sekian lamanya. Malang sekali kematian tidak sebegitu. Tidak ada resam yang mengatakan siapa akan mati lebih dahulu dari siapa.

Ada datuk yang hidupnya sehingga ratusan tahun dan berkesempatan melihat kesemua anaknya serta beberapa orang cucunya pergi meninggalkan dunia yang fana ini terlabih dahulu dari dirinya sendiri. Ada juga bayi kecil yang dilahirkan, belumpun sempat membuka matanya telah menyambut jemputan Izrael. Malah ada juga bayi yang masih belum sempat dilahirkan tetapi telah mati di dalam kandungan.

Di dalam keadaan begitu, bagaimanakah caranya untuk kita mempersiapkan diri menghadapi kemungkinan yang bakal tiba? Entah-entah, hari ini adalah hari terakhir kita dapat menghirup udara masuk ke paru-paru kita. Apakah kita telah bersedia untuk menghabiskan malam ini dengan beribadah? Terselesaikah kita ‘membayar kembali hutang’ yang telah kita buat? Atau malam ini kita masih bersantai kerana kita tidak tahu esok kita akan mati?

Laporan yang saya siapkan di minit-minit akhir pada malam itu rasanya penuh dengan kesilapan. Tetapi, kerana ianya sampai ke meja ketua saya beberapa minit sebelum helikopter yang akan mengambil saya mendarat di pelantar, maka tidak ada masa untuk kesilapan itu diperbetulkan. Jika sekiranya laporan itu telah dibuat lebih awal, tentunya ianya akan menjadi lebih baik dan lebih sempurna, insyaAllah.

Dan rasanya begitulah juga dengan amal ibadah kita. Kita berwenang di awal usia kerana yakin akan sempat bertaubat di hujungnya. Dan Alhamdulillah, Allah izinkan kita berbuat sebegitu. Tetapi rupanya, setelah tubuh terketar-ketar untuk berdiri, barulah kita ketahui bahawa solat yang kita dirikan tidak sempurna. Bacaan al-Fatihah kita di dalam solat lebih banyak silap dari betulnya. Bagaimana?

Mungkin, dalam keadaan sebegitu kita masih boleh memperbetulkannya. Tetapi bagaimana pula setelah kita dibangkitkan kelak, barulah kita ketahui amalan kita tertolak setelah melihat kita dibangkitkan dengan mereka yang tidak pernah berbuat amalan. Bagaimana? Apakah ketika itu kita mahu ‘menulis surat permohonan rasmi’ untuk dihantar semula ke dunia ini untuk memperbetulkan amalan dan melipat gandakan usaha? Sayang semua sudah terlambat…

Begitulah pentingnya menyegerakan segala amalan yang baik dan meninggalkan segala dosa. Saya tidak hanya mengingatkan orang lain bahkan yang lebih saya risaukan adalah diri saya sendiri. Rasanya, dalam kehidupan beribadah, tidak ada istilah last minute. Kerana setiap detik dan setiap ketika, apa sahaja yang kita amalkan dan perbuat akan termasuk di dalam akaun dosa dan pahala kita serta-merta.

Setelah beramal dengan perbuatan yang baik dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang dimurkaiNya, hendaklah kita bersangka baik Allah akan menerimanya. Sesungguhnya segala ilmu itu adalah milik Allah. Jika kita ikhlas, insyaAllah Dia akan memperbetulkan mana-mana amalan kita yang tersilap dengan berbagai-bagai asbab. Yang penting kita bermula dengan segera. Semoga dengan itu, kita punyai cukup masa untuk memperbetulkannya, insyaAllah…..

12 February 2007

Menzalimi Dan Dizalimi

Jika kita selak akhbar harian di ketika ini, kebanyakan masa yang akan kita
lihat adalah berita kemusnahan umat Islam. Hari ini, umat Islam dihina,
dicerca, dibunuh dengan kejam, dibom malah dituduh sebagai pengganas. Umat
Islam, yang suatu ketika dahulu umat yang paling kuat dan mengusai dua
pertiga bumi malah diiktiraf sebagai umat terbaik oleh Allah swt kini
seolah-olah kain buruk yang begitu hina kedudukannya.

Mengapa boleh jadi begini? Mengapakah Allah menghukum umat Islam sehingga
sebegini rupa? Melihat keadaan yang menimpa sesama umat, ramai umat Islam
yang bangkit di tengah malam berdoa untuk keselamatan mereka. Berdoa
meminta supaya Islam kembali menjadi agama yang dihormati dan umat Islam
kembali digeruni. Tetapi seolahnya Allah tidak menunaikan permintaan itu.
Mengapa?

Kebetulan, beberapa minggu lepas saya ada mengikuti sebuah bayan. Dalam
bayan tersebut, inilah antara perkara yang diungkitkan. Menurutnya, kita
dilahirkan sebenarnya untuk menyampaikan dakwah. Untuk membawa kalimah
'Laailaha illallah' kepada orang-orang kafir dan mereka yang belum menemui
hidayah. Maka pada setiap masa, inilah fungsi dan peranan utama kita
sebagai umat Nabi Muhammad saw.

Tetapi hari ini, perkara terpenting ini, tugas terpenting kita ini, telah
ditinggalkan dek kerana kita sibuk mencari harta dunia. Menurutnya lagi,
disebabkan kita telah meninggalkan tugas ini, maka telah ramai antara
mereka mati dalam kekufuran sebelum mendengar kalimah 'Laailaha illallah'.
Sebagaimana kita bencikan sebuah pemerintahan yang mengabaikan
tanggungjawabnya, maka sebegitulah kita.

Oleh kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan
oleh Allah swt, maka kitalah sebenarnya golongan yang zalim. Kita menzalimi
Allah, kerana mensiakan amanahNya, kita menzalimi orang kafir kerana tidak
membawa cahaya hidayah kepada mereka dan kita menzalimi diri kita sendiri
kerana menafikan tugas kita. Dan doa orang zalim memang tidak akan
ditunaikan oleh Allah swt.

Perkataannya itulah membuatkan ramai hadirin yang mengeluh. Ada yang
menggeleng-gelengkan kepala sambil menyebut 'AllahuAkbar'. Katanya lagi,
berdoalah di hadapan Ka'bah sekalipun. Selagi kita tidak menjalankan dakwah
sebagaimana yang kita telah ditugaskan, maka selagi itulah kita ini
golongan manusia yang zalim dan sebagaimana firman Allah, tidak akan ada
bantuan untuk orang-orang yang zalim...

Bayan yang telah disampaikan betul-betul menyentuh hati dan perasaan saya.
Walaupun sudah lebih dua minggu mendengarnya, sehingga ke hari ini ianya
masih lagi terngiang-ngiang di telinga saya. Betul sangat apa yang
diungkapkan. Saya tidak tahu orang lain tetapi dengan menilai diri saya,
saya dapati sememangnya saya telah mengabaikan dakwah. Saya telah leka
dengan anugerahNya sehingga gagal menjalankan fungsi sendiri yang utama.

Janganlah menganggap setelah kita menunaikan kesemua ibadah fardhu ain maka
kita telahpun menjalankan tugas kita sebagai muslim. Sekali-kali tidak!
Solat, puasa, zakat , bersedakah dan sebagainya bukanlah tanggungjawab
sebaliknya ianya adalah rutin harian rohani kita. Sama seperti makan,
minum, qada hajat dan sebagainya. Tentunya kita tidak memanggil perbuatan
makan itu sebagai satu kerja untuk diri kita, bukan?

Orang yang menjaga ibadahnya tetapi meninggalkan dakwah samalah seperti
manusia yang tahunya hanya makan dan tidur. Kata orang Negeri Sembilan,
"buek mengabihkan boreh yo". Dengan solah dan ibadah hariannya, maka rohani
dan imannya tetap hidup. Tetapi seolahnya tidak ada fungsi dalam
masyarakat. Tidak membina bahkan tidak juga meruntuhkan apa-apa yang ada
disekitarnya.

Itu jika orang yang menjaga ibadahnya. Bagaimana dengan orang yang tidak
menjaga ibadahnya? Samalah seperti tunggul kayu. Tidak makan, tidak minum,
tidak tidur dan tidak ada fungsi langsung. Bahkan boleh jadi menyusahkan
orang yang lalu lalang. Dan boleh jadi juga mengganggu sesuatu kerja untuk
dilakukan di kawasan berhampirannya. Hendak dialihkan, sudah tertanam
begitu dalam pula.

Tugas menyampaikan bukanlah perkara enteng yang boleh dipandang sebelah
mata. Tidak. Dan bukan juga tugas yang boleh kita salahkan kepada pihak
berkuasa sekiranya ia tidak terlaksana. Juga tidak! Ia adalah tugas setiap
individu lelaki Islam yang mukallaf. Yang telah baligh dan berakal. Jadi,
sekiranya kita menolak kerja tabligh atau menyampaikan ini, maka kita
sebenarnya telah menggolongkan diri kita sama dengan orang yang tidak
berakal.

Ah! Sudah. Sekejap tadi zalim. Sekarang tidak berakal ataupun gila pula.
Jadi, siapakah kita? Seorang orang gila yang zalim? Atau seorang zalim yang
gila? Sama sahaja! Seandainya kita tidak menjalankan fungsi yang telah
diamanahkan, panggilan apa pun sesuai. Saya jadi takut. Bagaimana nanti
jika ada orang kafir yang mendakwa saya tidak menyampaikan kalimat
'Laailaha illallah' kepadanya di hadapan Hakim Segala Hakim nanti...

Apa yang hendak saya jawab? Sedangkan di hari itu, tidak ada penipuan.
Bahkan sehelai bulu matapun bisa berbicara menjadi saksi atas perbuatan
kita. Dan hari ini, sikap saya tidak jauh bezanya dengan mereka. Kecuali
ibadah harian yang saya lakukan, hari ini saya seorang yang mengejar
kekayaan. Seperti mereka, saya meletakkan dunia sebagai matlamat. Bagaimana
saya hendak menjawab pendakwaan itu nanti? Wana'uzubillahi minzalik...

Ketika berbual-bual dengan teman-teman seperjuangan, tersingkap kisah Nabi
Muhammad saw. Terungkit 'penderitaan' yang telah dilalui oleh Baginda saw
dalam memperkembangkan kalimah yang suci ini. Alangkah mulianya Baginda
saw. Begitu juga dengan para sohabat yang mulia ra. Sayangnya kita di hari
ini meletakkan dakwah di bawah telapak kaki kita. Tanpa membantu agama
Allah, apakah kita tidak malu mengharapkan bantuan dari Allah?

Kata orang, hendak berdakwah biarlah berilmu. Bagi saya, kita perlu berilmu
jika hendak berdebat. Tetapi untuk berdakwah, yang penting adalah iman.
Ilmu itu milik Allah. Apabila kita melakukan apa yang Dia perintahkan,
insyaAllah, akan dibukakan olehNya jalan buat kita untuk memperolehi ilmu.
Ilmu tidak datang dari seorang guru. Juga tidak datang dari sebuah buku.
Mereka hanya asbab. Tetapi ilmu datang dari Allah, yang Maha Mengetahui.

Seorang jemaah selalu mengingatkan. Jika kita berdakwah, hidayah itu
hanyalah milik Allah. Sama ada dia akan mengikut dakwah kita atau
sebaliknya, itu terpulang kepada Allah. Tetapi yang pasti, kita akan
memperolehi sesuatu, insyaAllah. Dan yang lebih penting, kita bukan lagi
seorang yang zalim. Semoga Allah tidak membenci kita sebagaimana kita
membenci seorang pekerja yang kerap 'mencuri tulang'...

08 February 2007

Iklan

Baru-baru ini saya ada terbaca di dalam akhbar berita berkenaan Menteri
Penerangan yang akan berbincang dengan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
Warisan (KeKKWa) berkenaan garis panduan iklan yang disiarkan di kaca
televisyen. Tertarik dengan tajuknya, saya teruskan membaca kerana di dalam
hati saya amat bersetuju jika garis panduan diwujudkan bagi membendung
sekian banyak iklan yang semakin merimaskan pandangan.

Tetapi, sebaik meneruskan pembacaan, saya tahu saya telah tersilap meletak
harapan. Pada awalnya harapan saya ialah, garis panduan itu akan
mengehadkan eksploitasi wanita dalam penyiaran iklan. Namun harapan saya
hanya tinggal harapan apabila mengetahui bahawa garis panduan itu hanyalah
bagi memastikan model yang dipergunakan dalam iklan adalah berwajah
Malaysia, bukan pan-Asia.

Kata menterinya, dia menerima banyak rungutan tentang wajah pan-Asia yang
digunakan dalam iklan-iklan terutamanya iklan produk kecantikan. Tambahnya
lagi, rungutan tersebut datang dari orang ramai dan juga syarikat
pengiklan. Dan yang paling menarik perhatian saya ialah apabila dia
mengatakan penggunaan model asing menunjukkan seolah-olah orang Malaysia
tidak cukup jelita untuk menjadi model jenama terbabit.

AllahuAkbar… Apa masalah dengan sang menteri ini, saya kurang pasti.
Tetapi, sebelum saya menulis lebih lanjut, rasanya baik kita lihat keadaan
sekitaran kita sekarang ini. Tentang iklan-iklan yang menguasai 50 peratus
dari helaian akhbar, yang tertampal di papan-papan iklan, yang tersiar di
radio dan pelbagai media lain, bukan terhad di kaca televisyen. Apa
perasaan kita dengan iklan yang kita lihat dan dengar?

Bangga? Gembira? Seronok? Bersyukur kerana dilahirkan dalam sebuah negara
Islam? Saya tidak tahu. Itu perasaan anda sendiri. Tetapi bagi diri saya,
ada sesetengah iklan yang saya seronok dengannya dan banyak pula iklan yang
saya jadi sakit hati, marah, benci, geram dan meluat dengannya. Saya akui,
adakalanya saya jadi ternanti-nanti siaran sesebuah iklan tetapi pada
kebanyakan masa, saya terasa seperti mahu mengalih siaran sebaik iklan itu
disiarkan.

Itu di televisyen. Bagaimana dengan iklan yang terpampang di cermin-cermin
kaca pasaraya? Terutamanya di butik-butik pakaian dan salon-salon rambut.
Astaghfirullah… Ada kalanya, ketika berjalan dengan isteri, saya jadi malu
pula. Gambar wanita dengan keadaan yang meransangkan tertepek di sana dan
sini. Nampak di sebelah kiri, paling muka di sebelah kanan, pun tetap ada
gambar wanita yang sebegini.

Kadangkala saya jadi hairan. Apa kaitan wanita seksi terbabit dengan
barangan yang diiklankan. Misalnya, iklan pisau cukur misai tetapi modelnya
seorang wanita. Sedangkan umum mengetahui jarang seorang wanita mempunyai
misai. Adakalanya, poster iklan juga melampau-lampau. Seperti iklan seluar
jeans. Mentang-mentanglah iklan seluar, maka model perempuannya tidak
perlulah berbaju. Begitu?

Saya juga jadi terfikir apa perasaan wanita ini diperlakukan sedemikian
rupa? Apakah mereka tidak kisah dianggap murahan kerana menayangkan hampir
seluruh badan dengan sedikit bayaran? Dan saya juga hairan dengan badan NGO
yang kononnya memperjuangkan hak wanita, menentang isu poligami tetapi
dalam masa yang sama rela, bahkan gembira melihat wanita dieksploitasikan
sebegini…

Hendak atau tidak, kita terpaksa akui bahawa iklan sedikit banyak memberi
kesan di dalam hati dan sanubari kita. Seperti contohnya, masih ingat iklan
hari raya oleh Petronas (kalau tak silap saya) di mana empat orang adik
beradik membawa balik seekor lembu selepas ibunya merungut kerana tidak
membeli bahagian pada lembu yang diinginkannya? Rasanya, iklan ini pernah
menjadi bualan orang di sana sini sedikit masa dahulu.

Anak saya yang belum berumur dua tahun itu pun terpengaruh dengan iklan.
Bila mana orang tanya anak siapa, pantas dia menjawab "anak papa" kerana
terikut iklan susu (di mana dua orang budak memasang satu tayar pada kereta
mainan dengan mengambil satu skru dari tiga tayar yang lain). Padahal saya
membiasakan dia memanggil saya ayah. Ini adalah contoh bagaimana sebuah
iklan boleh mempengaruhi budak kecil.

Sekarang ini, cuba bayangkan iklan-iklan tidak bermoral terpampang di kaca
televisyen dan anak kita sedang menontonnya. Seperti contohnya iklan produk
kecantikan yang memaparkan susuk tubuh yang menggiurkan. Apa yang hendak
kita katakan kepada anak perempuan kita jika mereka menganggap berpakaian
seksi itu biasa? Bagaimana dengan anak bujang kita yang menonton dengan
penuh selera?

Atau mungkin iklan juga perlu diklasifikasikan? Ada 18SX dan sebagainya...
Jadi di tengah malam, waktu anak-anak biasanya sudah tidur, bolehlah
disiarkan iklan yang mencolok mata. Begitu? AllahuAkbar... Saya tahu, ada
orang yang akan kata itu menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberitahu
anaknya mana yang baik dan mana yang tidak baik tetapi jika sudah terlalu
banyak, termampukah kita mengawalnya?

Kerana itu saya katakan, sebenarnya perkara inilah yang perlu dimasukkan
dalam garis panduan yang akan digariskan oleh Kempen dan KeKKWa. Bukan
setakat wajah Malaysia atau Pan-Asia. Bukan setakat mengambil kira
kepentingan syarikat dan agensi pengiklanan sahaja. Bahkan yang paling
penting mengambil kira kepentingan agama dan keselamatan iman rakyat
keseluruhannya.

Saya percaya, tanpa mengekploitasikan wanita pun sesetengah produk itu
boleh laris di pasaran sekiranya ianya memang terbukti berkesan. Dan saya
juga berharap agar NGO yang kononnya tegas dalam memperjuangkan hak wanita
itu dapat memberikan perhatian yang lebih terhadap perkara ini. Daripada
sibuk menghina hukum Allah, adalah lebih baik memuliakan semula wanita yang
diperdaya.

Bercakap tentang iklan, saya teringatkan anak saudara saya yang bersekolah
di sebuah sekolah tahfiz di Johor Bahru. Mereka tidak berpeluang menonton
televisyen di sekolah. Hanya sesekali apabila pulang sahaja baru menonton.
Ketika menonton iklan sebuah bank, anak saudara saya ini ketawa melihatnya.
Iklan itu memaparkan seorang pegawai bank yang boleh bertukar pakaian
mengikut pelanggan yang datang ke kaunternya.

Hingga akhirnya tiba seorang pelanggan wanita, juruwang tersebut terdiam.
Apabila ditanya mengapa mereka tertawa, jawab mereka mudah. Iklan itu
menunjukkan agama boleh ditukar mengikut keadaan tetapi jantina tidak.
Lelaki akan tetap jadi lelaki. Kami juga jadi tertawa. Betul juga. Kami
tidak pernah perasan. Mungkin pemikiran orang yang ada al-Quran di dalam
hatinya lebih tajam dari kami. Wallahu'alam...

06 February 2007

Mengapa Jadi Begini?

Baru-baru ini seorang teman saya bertanya kepada saya tentang isu Rosnah
Mat Aris yang dikatakan menghina Saidatina Khadijah, isteri pertama
Rasulullah saw. Saya menggelengkan kepala tanda tidak tahu… "Huh! Kau tak
baca suratkhabar. Mana nak tahu…" Katanya agak hampa. Namun saya berjanji
sekiranya saya ada menerima email berkenaan itu, akan saya lanjutkan
kepadanya.

Dan tadi, ketika menelaah email-email yang saya terima, saya terpandangkan
tajuk yang tersebut. Dan fahamlah saya. Rupanya Rosnah telah dikritik
gara-gara 'lepas cakap'nya dalam rancangan hiburan Sensasi yang disiarkan
di TV3. Dalam rancangan itu, Rosnah ditanyakan tentang hubungannya dengan
lelaki muda. Lantas Rosnah bertanya tentang umur Nabi saw dan isterinya
ketika mereka berkahwin.

"Empat puluh" jawab hadirin. "Ha… Kan tua nak mampus tu!" kata Rosnah
diikuti tepukan dari penonton. Pelik juga saya, bagaimana penonton boleh
bertepuk atas perkataan yang seburuk itu. Tetapi, dalam akhbar Utusan
Malaysia semalam, Rosnah telah meminta maaf secara terbuka. Dia juga
menyatakan telah bertaubat dan meminta ampun dari Allah setiap kali
teringatkan perkara itu.

Alhamdulillah. Rosnah dapat menerima teguran dan mengakui kesilapannya.
Bagi saya, Rosnah lebih terbuka dari sesetengah artis kita yang apabila
ditegur mengenai kritikannya terhadap hukum Islam, bukan sekadar enggan
meminta maaf, bahkan memutar belitkan kata-kata. Dan pujian juga harus
diberikan kepada Jakim yang, sebagaimana dipetik oleh Rosnah, ada
menghubunginya secara peribadi dan mengingatkannya tentang perkara itu.

Belum pun reda persoalan ini dalam minda, saya sekali lagi terkejut apabila
membaca akhbar The New Straits Times. Pada bahagian tengahnya, terdapat
cerita 'pilu' mengenai keluarga Teo yang dikatakan telah bertukar anak
dengan orang lain ketika baru melahirkannya kira-kira 29 tahun lalu (kalau
tidak silap saya). Berita itu menggunakan tajuk yang menyebut keluarga Teo
mahu menyaman Hospital Batu Pahat atas kesilapannya.

Berita itu memang menyedihkan. Dan tindakan Hospital Batu Pahat juga memang
memalukan dan sukar untuk diterima. Tetapi yang lebih menyedihkan apabila
saya terbaca bahawa anak pasangan Teo itu, yang telah dipelihara oleh
pasangan Melayu, bertindak berpindah masuk ke rumah ibu kandungnya dan
telah membuat permohonan untuk keluar dari Islam dan menukar nama kepada
nama Cina.

Astaghfirullahal 'azim. Saya hanya mampu menggeleng kepala. Bagaimana
perkara ini boleh terjadi? Saya jadi tidak faham. Saya boleh faham
perasaannya setelah sekian lama berpisah dari ibu kandungnya. Saya juga
boleh terima jika dia mahu menukar namanya kepada nama Cina supaya dengan
itu mungkin membolehkannya mewarisi harta yang bakal ditinggalkan oleh ibu
bapa kandungnya.

Tetapi mengapa perlu menukar agama? Itu yang saya tidak faham. Dan
menambahkan kerisauan di hati saya ialah apabila terkenangkan bayi yang
pasangan Teo itu telah bawa kembali 29 tahun dahulu. Jika anak mereka
dipelihara oleh pasangan Melayu, tentunya anak yang dibawanya pulang adalah
anak pasangan yang membawa balik anaknya itu, iaitu orang Melayu dan
semestinya beragama Islam!

Bagaimana dengan keadaan anak ini? Apakah namanya sekarang ini? Dan apa
pula agama anutannya? Jika anak kandung ibu bapa angkatnya mahu keluar dari
Islam dan kembali kepada keluarga asalnya, apakah dia mahu kembali kepada
Islam dan meninggalkan keluarga angkatnya yang kafir itu? Bahkan, lebih
menghairankan saya, mengapakah boleh tergerak di hati pemuda tersebut untuk
meninggalkan Islam?

Jika betul ingatan saya peristiwa ini berlaku 29 tahun dahulu, bermakna
umur lelaki tersebut sudah mencecah 29 tahun sekarang ini. 29 tahun bukan
satu tempoh yang sekejap. 29 tahun tinggal bersama sebuah keluarga Islam.
29 tahun berkawan dengan orang-orang Islam di sekolah dan di kampung.
Setelah 29 tahun menganut Islam, sepatutnya sudah ada banyak pengetahuan
mengenai agama yang maha suci ini. Tetapi mengapa mesti terjadi sebegini?

Mungkin secara kasar, kisah anak pasangan Teo ini dan isu Rosnah Mat Aris
tidak ada kaitannya. Tetapi bagi saya, kedua-dua isu ini mempunyai punca
yang serupa. Kedangkalan mengenai Islam. Rosnah dan anak pasangan Teo
sebenarnya sama-sama tidak mempunyai ilmu yang mencukupi mengenai Islam.
Dan apa yang lebih pentingnya sebenarnya, kurangnya dakwah dan pendidikan
daripada orang yang berilmu.

Selama ini, kita selalu menganggap tempat mengajar ilmu agama adalah di
masjid-masjid, surau-surau ataupun madrasah dan sekolah agama. Betul,
memang itulah tempat yang seeloknya. Tetapi bagaimana dengan orang yang
tidak pernah ke masjid ataupun ke sekolah agama? Apakah mereka ini perlu
dibiarkan terus dalam kegelapan? Apakah kerana mereka enggan ke masjid maka
kita boleh berlepas tengan terhadap mereka? Tentu sekali tidak!

Tetapi sayangnya, kebanyakan dari kita begitu benci dengan kegiatan dakwah.
Sudahlah kebanyakan ceramah agama diharamkan atas nama politik, bila wujud
kumpulan yang cuba ingat-mengingatkan sesama manusia, mereka ini dihalang
dengan pelbagai halangan. Mereka ini dicerca dengan pelbagai cercaan. Jika
mereka datang menghampiri dengan tujuan gasyt, ramai yang lari seolah-olah
mereka ternampak hantu. Hendak ajak ke syurga pun susah!

Selain itu, sistem pendidikan kita yang terlalu sekular juga banyak
'membantu'. Memang ada matapelajaran agama di sekolah tetapi setakat apalah
sangat yang dipelajari? Setakat ilmu fardhu ain. Dan kita juga begitu
berbangga dengan pencapaian anak-anak kita dalam bidang sains dan metematik
sehinggakan sekiranya mereka tidak cemerlang atau gagal dalam matapelajaran
agama tidak sedikitpun menggusarkan kita.

Dan hasilnya, hari ini kita boleh lihat kegiatan murtad semakin berleluasa.
Semakin ramai yang berani mengisytiharkan mereka keluar dari Islam. Itu
tidak termasuk dengan mereka yang enggankan 'publisiti murahan'. Sekiranya
mereka ini benar-benar mengenal Islam, insyaAllah tidak akan terbit walau
sebesar biji sawi pun di hati mereka niat untuk meninggalkan Islam. Maka
apakah tindakan kita sekarang?

Adakan undang-undang anti murtad? Buatlah. Tetapi setakat manakah akan
berjaya? Bukan saya menetang bahkan saya amat-amat menyokong jika
undang-undang ini mahu diwartakan. Tetapi persoalan kita sekarang, apakah
gunanya seorang yang atas kertasnya seorang Islam tetapi corak hidupnya
seperti orang kafir? Inilah sebenarnya yang kita perlukan. Bukan halang
mereka murtad tetapi hilangkan keinginan untuk murtad dalam diri mereka.

Hari ini, terdapat ramai orang yang mengaku Islam, malah marah apabila
orang menghina Islam tetapi pada hakikat hidup tidak seperti orang Islam.
Tidak solat, berzina, minum arak, ambil rasuah dan sebagainya. Apakah kita
boleh berasa kita selamat dari gejala murtad jika golongan ini tidak murtad
tetapi berkelakuan yang memalukan orang Islam keseluruhannya? Tentu sekali
tidak.

Maka kerana itu, tugas mengislahkan masyakat sepatutnya menjadi agenda
penting dalam pembangunan negara. Letakkan pembangunan fizikal sebagai
perkara kedua. Jadikan dakwah sebagai satu agenda penting dalam Rancangan
Malaysia ke-9 dan seterusnya. Tekankan pendidikan Islam sebagai satu subjek
yang utama dalam pendidikan di sekolah. Bukan setakat fardhu ain bahkan
melitupi ilmu hadits, tafsir, usuluddin dan sebagainya.

Saya percaya tidak ada orang yang mahu insiden seperti Rosnah Mat Aris ini
berulang lagi. Dan tidak ada orang juga yang mahu ada orang Islam lain
mengisytiharkan keluar dari Islam. Maka kerana itu dakwah mesti dijalankan
segera. Pemerintah mesti ditekan untuk mementingkan pendidikan agama.
Hentikan segera modifikasi terhadap agama Islam dan kembalikan Islam
sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Tiba-tiba saya teringat… Cerita mengutuk Nabi Muhammad saw bukanlah kisah
yang baru. Jika Rosnah Mat Aris menghina Saidatina Khadijah, seorang mantan
pemimpin utama negara dahulu juga pernah menyamakan Nabi Muhammad saw
sebagai posmen. Tetapi… Apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Agaknya,
jika menghina mahkamah, apakah dia akan dilepaskan? Manakah lebih mulia,
mahkamah atau Islam, Nabi Muhammad saw dan Allah?

05 February 2007

Muda Sebelum Tua

Setiap pagi, sekiranya bekerja shif malam, saya akan menghadiri mesyuarat
bersama penyelia untuk memberikan laporan tentang kerja kami pada sebelah
malam kepadanya di samping berbincang tentang perkara-perkara berbangkit.
Jika dengan penyelia yang baik, mungkin perbualan kami tidak terhad tentang
perkara kerja sahaja. Mungkin akan berlarutan sehingga hal-hal politik,
dunia termasuklah bab agama.

Seperti pagi tadi, perbualan kami meleret sehingga ke ibadah solat. Pada
asalnya penyelia saya memperkatakan mengenai sesetengah orang yang suka
melebarkan kangkangannya ketika solat berjemaah kerana hendak mendapatkan
keselesaan ketika bertahiyat akhir. Kemudian diikuti pula dengan
kesilapan-kesilapan lain termasuklah kaedah turun bersujud yang
mandahulukan tangan, bukan lutut.

"Aku tahu sepatutnya turun lutut dulu baru tangan. Tapi lutut aku tak tahan
sakit…" katanya. Saya mengangguk sambil berkata, "Memang ada hadits Nabi
saw yang melarang kita bersujud seperti menangkap burung (turun dengan
mendahulukan tangan). Tapi itu bukan rukun. Cuma sunnah. Kalau dah sakit,
tak boleh tahan… Rasanya Allah tak menzalimi hambaNya." Penyelia saya
mengangguk-anggukkan kepalanya.

Teman saya bekerja pada shif malam adalah seorang pelatih yang masih muda
usianya. Dia kelihatan tertarik dengan perbincangan kami. Lalu saya menoleh
kepadanya dan berkata "Masa mudalah masa nak beribadah. Kalau dah tua, kau
tengok macam ni, banyak yang kita tak dapat nak buat." Kata-kata ini
sebenarnya lebih saya tujukan kepada diri saya sendiri. Dan ianya
membuatkan cerita lama saya kembali terimbas.

Saya bukanlah seorang insan yang mulia. Ketika muda banyak masa yang saya
luangkan kepada perkara-perkara yang lagho. Malah saya tergolong dalam
golongan remaja bermasalah. Bukan tidak ada yang cuba mentarbiah saya. Ada.
Tetapi kerana adanya sedikit ilmu agama dalam diri saya, seringkali hujjah
mereka saya patahkan. Lagipun, saya merasakan diri ini terlalu muda ketika
itu untuk 'melepak' di masjid.

Selalu kami (saya dan teman-teman 'seperjuangan') berkata masa muda inilah
untuk menikmati hidup. Buat apa yang kita hendak buat. Nanti sesudah tua,
sesudah merasa kesemua keseronokan, bolehlah bertaubat dan menghabiskan
masa dengan beribadah. "Kalau tak sempat taubat dah mati?" tanya seseorang.
"Hey… Only good men die young. And I'm not good enough!" jawab kami sambil
tertawa. Astaghfirullahal 'azim…..

Jahilnya kami ketika itu. Tetapi, katakanlah betul falsafah songsang kami
tadi. Hanya orang baik yang mati di usia muda. Dan kami semua 'berjaya'
sampai ke usia senja. Dan betul, di usia itu kamipun bertaubat. Apakah akan
diterima taubat kami kelak? Dan, yang juga perlu difikirkan, apakah di usia
itu kami dapat beribadah dengan kuat? Sedangkan usia tua sering dikaitkan
dengan kesakitan itu dan ini di seluruh badan.

Saya bersyukur yang amat apabila Allah melimpahkan cahaya hidayahNya kepada
saya ketika saya masih lagi muda. Pun begitu, ketika ini saya sudah mula
rasakan kudrat saya tidak seperti sepuluh tahun dahulu. Ketika ini,
Alhamdulillah saya masih boleh mengamalkan sunnah-sunnah di dalam solat
tetapi rasa sakit pada bahagian sendi sudah mula terasa. Tambah lagi dengan
kerja saya yang selalu terdedah kepada bahan kimia dan hidrokarbon.

Tetapi saya cuba membayangkan. Katakanlah saya bertaubat pada usia mencecah
50 tahun. Ketika itu, barulah saya hendak berjinak-jinak dengan tikar
sejadah. Dan pada usia itu, lutut saya sudah mulai longgar dan tidak lagi
mampu bersujud. Agaknya saya akan menangis kerana tidak mampu meletakkan
dahi di atas tempat sujud. Alangkah malangnya jika ketika itu baru saya
hendak menyesali masa yang berlalu.

Di masjid tempat saya sering bersolat, terdapat beberapa jemaah yang sudah
berusia yang bersolat secara duduk di atas kerusi. Mereka ini tidak lagi
mampu bersujud kerana masalah pada lutut dan kaki mereka. Kasihan mereka.
Saya berharap Allah menjauhkan saya dari penyakit yang sebegitu. Kerana
sesungguhnya, pada saya, nikmat di dalam solat itu adalah ketika bersujud
kepadaNya.

Malah ada juga riwayat yang mengatakan saat paling hampir kita kepada Allah
ialah tatkala kita bersujud. Syukurlah, kita masih mampu berada pada
kedudukan itu. Tetapi pernahkah kita terfikir tentang sahabat-sahabat kita
yang enggan merapatkan diri kepada Pencipta mereka sementara masih muda?
Selalu juga timbul rasa risau di hati saya kalau-kalau kita terlambat
mengingatkan mereka, mereka juga akan kehilangan peluang untuk bersujud…

Pandangan bahawa masa tua adalah masa paling sesuai untuk beribadah adalah
pandangan yang cukup tidak benar. Sesungguhnya masa muda inilah masa untuk
kita beribadah sepenuhnya. Inilah masanya untuk bersujud sepuas-puasnya.
Jika ramai yang beranggapan bahawa masa muda adalah masa untuk mengumpul
harta dunia, maka inilah juga masanya untuk menimba harta akhirat.

Siapa tahu, di hari tua nanti kita hanya mampu merenung tikar sejadah hanya
dari kerusi. Malah, mungkin juga kita hanya mampu bersolat menggunakan mata
kerana tidak lagi mampu begerak. Jika di usia muda ini kita sudah puas
beribadah, mungkin ketika itu tidak terasa sangat kehilangannya. Tetapi
jika tidak, seratus ribu tahun dipenuhi dengan penyesalan pun tidak akan
mampu memulangkan apa yang kita telah kehilangan.

Saya selalu merasa simpati terhadap ibu saya. Beliau menghidap penyakit
lutut yang agak teruk. Puas berubat ke sana ke mari namun masih belum
diizinkan untuk sembuh. Apa yang selalu ibu kata, beliau hanya mahu kakinya
pulih seperti sedia kala kerana mahu bersujud ketika menunaikan solat.
Katanya, lain benar rasanya tidak dapat bersujud ketika bersolat. Rindu
sangat hatinya untuk 'mencium' tikar sejadahnya.

Inilah yang membuatkan saya tertanya kepada diri saya sendiri. Apa yang
perlu saya tunggu lagi? Apakah sesudah kaki ini terketar-ketar baru hendak
memperbanyakkan solat? Apakah ketika tubuh ini sudah begitu lemah barulah
hendak memperbanyakkan puasa? Apakah setelah lidah semakin kelu barulah
hendak memperhebatkan zikrullah? Apakah sesudah nyanyuk nanti baru hendak
menghafal isi al-Quran?

Tidak. Saya tidak mahu begitu. Tetapi sebenarnya tidak mudah untuk menolak
godaan dunia. Rasanya terlalu sukar untuk duduk di tikar sejadah dari duduk
di hadapan komputer ketika ini. Begitu juga, lebih mudah lidah ini untuk
mengalunkan lagu berbanding zikrullah. Namun saya akan berusaha,
insyaAllah. Semoga Allah membuka hati saya untuk memperbanyakkan ibadah
ketika masih mampu melakukannya. Semoga saya tidak menyesal di belakang
hari….

04 February 2007

Penjelasan Isu Penipu Di Batu Talam

Ketika artikel 'Penipu!' ditulis, pihak Pas belum mengeluarkan apa-apa
kenyataan pun berkenaan 'surat layang' yang dibacakan oleh Timbalan
Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak. Artikel itu ditulis sebaik
saya selesai menonton cerekarama berjudul Buletin Utama di TV3. Hanya
selepas itu barulah kenyataan sebenar dikeluarkan. Maka saya berasa
perlu untuk saya paparkan di sini penerangan dari Saudara Ahmad Lutfi
ini walaupun mungkin ada yang pernah terbaca mengenainya.

Oleh Ahmad Lutfi Othman

SELEPAS berkunjung ke Batu Talam semalam, banyak juga isu-isu berkaitan
pilihan raya kecil itu yang perlu disinggung, tetapi saya kira dakwaan
Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak bahawa PAS mewajibkan
ahli-ahlinya 'menyokong calon Bebas agar dia tidak hilang wang
pertaruhan' perlu dijelaskan dahulu.

Surat edaran yang dikatakan ditandatangani Naib Presiden PAS, Dato'
Husam Musa itu penuh dengan kejanggalan, sekali gus menunjukkan penipuan
itu dilakukan secara amatur dan cukup memalukan, apatah lagi
akhbar-akhbar utama dan siaran berita tv, menunjukkan gambar Najib
sendiri yang membuat pendedahan eksklusif itu! "Kalau nak tipu pun
biarlah orang percaya."

Najib, dan juga Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, boleh menuduh PAS apa
saja, sama ada "penipu" mahupun "bacul". Tetapi apabila ia disandarkan
kepada satu bukti palsu, maka siapa sebenarnya yang menipu, dan siapa
pula yang ditipu?

Pencacai Umno-BN boleh mengedarkan apa jua risalah kepada pengundi,
termasuk untuk memburuk-burukkan PAS, tapi usahlah menipu. Macam juga
media yang dikawal mutlak pemerintah, kritik dan hentamlah PAS, tapi
janganlah memutarbelitkan cerita.

Sekilas pandang "surat Husam" kepada Yang Dipertua PAS Raub, banyak
lucunya. Petang semalam saya sempat mengunjungi Ustaz Abdullah Suhaimi
Saat di Felda Tersang 3, Batu Talam. Beliau membuat laporan polis minta
disiasat siapa yang bertanggungjawab menerbitkan dan mengedarkan surat
palsu berkenaan.

Pertama, dalam PAS, tiada istilah "bahagian" sepertimana Umno, yang ada
"kawasan". Sedangkan "surat Husam" itu ditujukan kepada "Yang Dipertua
PAS Bahagian Raub". Kedua, kepala surat selalunya hanya memaparkan
bendera parti bukan lambang bulan purnama bersama, dan tiada pula dalam
surat itu tertera "Pejabat Agung PAS" di bawah "Parti Islam SeMalaysia
(PAS)", manakala No Pendaftaran merujuk Selangor, sedangkan yang
sebenarnya "Penang".

Kesalahan membezakan antara "bahagian" dan "kawasan" itu saja sudah
cukup untuk memutuskan surat ini dibuat oleh pencacai Umno yang jahil
terhadap "seterunya" sendiri. Dan mentang-mentanglah PAS itu parti
Islam, maka penerbit surat palsu ini langsung tidak meletakkan tarikh
masihi seperti yang lazim diamalkan kerana yang tertera hanya 2 Muharam
1428!

Cuba teliti perenggan pertama: "Sesungguhnya jihad kita untuk menegakkan
syiar Islam di Malaysia kali ini secara tersirat dan halus. Walaupun
kita secara terang-terangan berkata boikot, tetapi kita mesti turun
menunaikan undi secara senyap. Persepakatan ini telah dicapai pada
Pelancaran Suruhanjaya Untuk Pilihanraya Adil dan Bersih (BERSIH) pada
20 Januari 2007 di Markas PAS Taman Melewar, Gombak."

Apa yang peliknya? Apakah ia gaya bahasa yang selalu dipakai Husam, atau
lebih tepat lagi apakah Husam pernah mengeluarkan surat atas nama Naib
Presiden PAS? Dan apa kena-mengena Husam dengan hal-hal berkaitan
pilihan raya?

Apakah surat ini mahu ditujukan kepada YDP PAS Raub atau pengundi Batu
Talam ataupun ahli-ahli PAS yang menjadi pengundi Batu Talam kerana ia
ditujukan kepada YDP PAS Raub tetapi mukadimahnya, "Muslimin dan
muslimat yang dirahmati Allah SWT".

Lebih melucukan apabila nombor "Rujukan Kami: PAS/BERSIH.11/3.09(20/7)".
Macam mana pula "Bersih" boleh muncul dalam rujukan itu sedangkan ia
bukannya badan di bawah PAS? Lagi pun Bersih merupakan singkatan kepada
"Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil" yang dianggotai 25 NGO dan lima
parti politik. Bersih bukannya "Suruhanjaya Untuk Pilihanraya Adil dan
Bersih" seperti dalam surat itu.

Tunggu, ada lagi penipuan dalam perenggan pertama ini. Yang dilancarkan
pada 20 Januari 2007 bukanlah "suruhanjaya" yang tidak wujud itu tetapi
program Jelajah Perdana, bermula di Taman Melewar dan diikuti di
peringkat negeri.

Untuk perenggan kedua dan ketiga saya tidak mahu mengulas panjang, cukup
sekadar respons ringkas dan rasanya pembaca, khususnya ahli-ahli PAS
yang biasa dengan budaya dan kebiasaan parti: "Mengundi itu adalah
sesuatu yang wajib dalam Islam. Ianya adalah sebahagian daripada
ibadah dan rukun kita sebagai seorang yang beriman. Seluruh jentera PAS
Raub adalah diwajibkan membantu pakatan Barisan Alternatif di Batu
Talam. Pemimpin utama PAS akan turun padang mengadakan ceramah dan
program bersama dengan pengundi di Batu Talam.

"Untuk mendirikan sebuah kerajaan yang bersih dan adil, pucuk pimpinan
parti menyeru pengundi turun beramai-ramai pada 28hb ini bagi menafikan
kemenangan calon BN di Batu Talam. Wajib kita membantu calon Bebas agar
dia tidak hilang wang pertaruhan."

Memang amat janggal sekali ayat dan kalimah yang dipilih. Penegasan
"mengundi itu wajib" pun mengelirukan apatah lagi "ia sebahagian
daripada ... rukun kita sebagai seorang yang beriman", cukup pelik. Dan
apa maksud "membantu pakatan BA di Batu Talam", siapa pakatan itu?

Tak pernah pula saya dengar tujuan perjuangan PAS "untuk mendirikan
sebuah kerajaan yang bersih dan adil", dan kalaupun ada, apa perlunya
hendak ditegaskan semasa pilihan raya kecil ini, kerana ia lebih sesuai
semasa berdepan pilihan raya umum, barulah logik untuk "mendirikan
kerajaan".

Bukankah "bersih dan adil" itu dirujuk kepada perjalanan sistem pilihan
raya yang dituntut parti-parti pembangkang? Apa halnya sampai istilah
"wajib" diulang-ulang (mungkin penulis surat ini membayangkan disebabkan
PAS parti Islam maka istilah yang dipakai pun mestilah islamik, termasuk
hanya tarikh kalender hijrah yang digunakan!), dan atas pertimbangan apa
pula Husam begitu prihatin dengan nasib calon Bebas itu?

Mungkin ada yang hairan mengapa saya nampaknya begitu serius dengan
surat palsu itu? Sebenarnya saya pun tidaklah serius sangat dengan surat
ini, apatah lagi, pengedarannya pun mencarik adat. Menurut Ustaz
Suhaimi, surat untuk ahli-ahli parti tidak akan dibiarkan bertimbun di
luar markas PAS dan disebarkan di penjuru-penjuru jalan seperti yang
berlaku kepada surat palsu itu. Ia akan dihantar ke rumah ahli-ahli atau
semasa program parti.

Saya terdorong untuk mengulas hal ini kerana akhbar dan tv
membesar-besarkannya, apa lagi ia "didedahkan" Najib sehingga timbul
istilah "PAS penipu" dari mulutnya. Seperti saya kata di awal tulisan,
tuduhlah apa saja kepada PAS tapi biarlah berasaskan fakta yang jelas.
Buatlah apa saja rumusan terhadap keputusan PAS boikot pilihan raya
kecil itu tapi janganlah mengada-adakan cerita yang tidak ada.

Jentera kempen Umno di Batu Talam memang banyak menabur fitnah termasuk
merosakkan (dan mencuri) kain rentang boikot, tetapi apabila mereka rela
memperbodohkan Najib (yang semakin kelemasan dengan isu-isu Altantuya),
dan TPM pula langsung tidak menyemak surat palsu itu sebelum
mengumumkannya kepada media, maka apa sudah jadi?

Najib menuduh PAS menipu, walhal Najib yang ditipu bulat-bulat oleh
juak-juaknya sehingga sanggup ke depan mengusung bahan fitnah sedangkan
yang ditentang BN bukannya PAS, tapi calon Bebas yang poster kempennya
langsung tidak ada di Batu Talam.

Seperti kata seorang teman yang mengiringi saya sepanjang kunjungan
sehari itu, "memang gila pilihan raya kali ini dan Umno terpaksa
berhabisan bukan saja untuk menang tetapi untuk pastikan orang keluar
mengundi." Hal ini akan saya ulas kemudian, mungkin lebih baik selepass
keputusan kita perolehi.

Apa pun, lazimnya pemimpin Umno tak ambil peduli soal maruah. Jadi,
pastinya Najib langsung tidak tertekan walaupun menyedari beliau
diperbodohkan pengikutnya sendiri. Dan jangan harap Najib akan mohon
maaf kerana melemparkan tuduhan berasaskan surat palsu itu.

Lagi pun rakyat Malaysia boleh saja menerima peristiwa ini sebagai satu
kelaziman. Soal Perdana Menteri atau TPM berbohong menjadi lumrah, bagai
minum air sejuk, sedangkan soal bohong kepada pemimpin berprinsip
khususnya di Barat umpama menelan bara api. Kerap kali pemimpin yang
berbohong kepada rakyat terpaksa melepaskan jawatan selepas pembohongan
mereka terdedah.

Kalau tidak silap saya, Dato' Seri Rais Yatim semasa memimpin Team B dan
seterusnya Semangat 46 dulu pernah mempopularkan rangkap pantun Melayu
yang diubah Sasterawan Negara Usman Awang, "Siakap senohong gelama ikan
duri; bercakap bohong, lama-lama jadi menteri!".

http://www.detikdaily.net/m3/modules.php?name=News&file=article&sid=178

03 February 2007

Elak Atau Tampal Lubang Di Jalanan?

Banyak email yang saya terima berkenaan iklan sebuah syarikat
telekomunikasi yang dikatakan menggunakan sebuah lagu gospel (nyanyian koir
di dalam gereja) sebagai muzik latarnya. Tindakan ini dikatakan keterlaluan
dan mengusik sensitiviti masyarakat muslim di negara ini. Seperti biasa,
perkara seperti ini akan mengundang pelbagai pendapat. Ada yang pro dan ada
juga yang kontra.

Manakala bagi saya, adalah tidak patut untuk terus menuduh syarikat
telekomunikasi terbabit berniat jahat. Mungkin si pengarah iklan tersebut
tidak tahu ianya sebuah lagu gospel dan menganggapnya hanya sebuah lagu
biasa. Bukankah kita dituntut berbaik sangka? Namun, saya amat bersetuju
iklan itu mesti dihentikan siarannya serta-merta kerana ianya melanggar
undang-undang dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Tetapi bukan itu yang ingin saya ungkapkan kali ini. Sebenarnya, dalam
memperkatakan tentang topik ini, saya amat tertarik dengan pandangan salah
seorang rakan netter. Dalam sebuah email, si penulis mengeluarkan satu
contoh cerita. Dia bercerita tentang lubang besar yang terdapat di
jalanraya. Kemudian, dia mencontohkan dirinya memandu sebuah kereta dan
melanggar lubang tersebut sehingga ada bahagian keretanya yang patah.

Selepas itu, dia menukar kereta lain dan terus melanggar lubang terbabit
dan mengakibatkan kerosakan pada keretanya lagi. Begitulah seterusnya
sehingga beberapa biji kereta. Akhirnya dia bertanya. Siapakah yang
bersalah dalam hal tersebut? Lubang di jalan atau kereta? Dan jawapannya,
seperti yang kebanyakan orang bersetuju, si pemandulah yang bersalah.
Begitulah, katanya, orang Melayu kita ini.

Ada orang Melayu akan melompat hanya apabila melihat kayu bersilang,
katanya. Saya faham. Dia menyindir orang yang beranggapan bahawa lagu yang
dimainkan di dalam iklan syarikat telekomunikasi terbabit sebagai satu
kesalahan adalah tidak rasional. Sesungguhnya saya menghormati buah
fikirannya. Dan saya juga menganggap ideanya menggunakan kisah kereta dan
lubang di jalan sebagai sesuatu yang kreatif.

Bagi saya, ideanya tidak salah. Hanya, perlu dilanjutkan dengan sedikit
penambahan. Dalam email balasan saya kepadanya, saya katakan adalah lebih
baik sekiranya lubang itu ditampal. Bukan dielak. Kita boleh mengelak hari
ini dan kita boleh mengelak esok. Bagaimana dengan hari seterusnya?
Bagaimana pula dengan hari-hari di mana kita keletihan dan kurang awas di
jalanan?

Mungkin di satu masa, dalam keadaan tergesa-gesa kerana satu kecemasan,
kita terlupa akan lubang tersebut lalu kita melanggarnya. Dan kesannya,
kereta kita akan rosak. Malah, lebih dari itu, mungkin kita juga akan
tercedera. Maka kerana itulah, saya simpulkan bahawa mengelak lubang di
jalanraya bukanlah penyelesaian yang terbaik. Adalah lebih utama untuk kita
menampal lubang tersebut.

Mungkin ada yang akan beranggapan, itu bukan kerja kita sebaliknya ada
jabatan yang telah ditugaskan untuk menampal jalan yang berlubang. Benar!
Tepat sekali! Tetapi bagaimana jika jabatan tersebut mempunyai kakitangan
yang pemalas? Atau mungkin jabatan tersebut kekurangan kakitangan? Atau
mungkin ianya telah dirasuah atau ditekan oleh bengkel yang berdekatan yang
mahu mengambil untung atas kereta yang 'terduduk' di tengah jalan?

Apakah kita rela meletakkan kereta kita dalam risiko? Tentu sekali tidak.
Jadi rasanya tidak salah jika berkorban sedikit masa dan tenaga demi
kebaikan semua masa hadapan. Selepas lubang ditampal, pemanduan juga akan
menjadi lebih lancar. Malah mungkin akan lebih cepat untuk kita sampai ke
destinasi. Keselamatan juga insyaAllah akan lebih terjamin. Walau
bagaimanapun, ini hanya sekadar satu perumpamaan.

Dalam realiti, jika betul jalan berlubang, rasanya peratusan untuk saya
menampal sendiri lubang tersebut agak kecil. Paling mudah, saya ambil jalan
alternatif. Tetapi, untuk bercerita tentang konsep dakwah, sambil
menyambung idea yang digunakan oleh rakan netter tersebut, biarlah cerita
ini dijadikan sebuah perumpamaan atau contoh. Di mana jalanraya tersebut
adalah kehidupan, lubang sebagai dakyah kafirun dan kereta pula sebagai
iman kita.

Dakyah puak al-kafirun lebih-kurang sama banyaknya dengan lubang-lubang
yang terdapat di jalan-jalan raya kita pada hari ini. Ke sana dan ke mari,
ada saya yang mereka usahakan untuk membawa kita kepada kesesatan. Jadi,
apakah yang harus kita lakukan? Elak dari bertembung dengan mereka? Betul…
Tetapi berapa lama? Sampai bilakah kita mampu 'bermain sembunyi ibu' dengan
mereka?

Maka kerana itulah wajib bagi kita membanteras usaha mereka. Dakwah yang
mereka jalankan mesti kita patahkan dengan kadar paling segera. Kerana,
walaupun mungkin kita mampu menangkis segala dakyah yang mereka taburkan,
tidak semestinya orang lain mempunyai kemampuan yang sama. Di dalam Islam,
pencegahan itu lebih utama dari membaik-pulih.

Tetapi ramai di antara kita sebenarnya yang terperangkap dengan ideologi
'setiap orang ada tugas masing-masing' di mana kita menganggap kerja dakwah
dan membanteras pemesongan aqidah adalah 'hakmilik kekal' jabatan-jabatan
agama sahaja. Seperti mana kita sentiasa menjangka bahawa pihak Jabatan
Kerja Raya (JKR) akan segera datang dan mengkambus lubang yang terdapat di
jalanan.

Tetapi dengan krisis kakitangan yang dihadapi oleh jabatan-jabatan agama,
disertai pula dengan sekatan-sekatan oleh pihak yang mempunyai 'kuasa
dunia' (kuasa akhirat hanya Allah swt yang memilikinya), maka mengharapkan
kepada usaha daripada jabatan ini sahaja sebenarnya cukup mengundang
risiko. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok. Dan kita tidak akan
tahu siapa mangsa 'lubang-lubang' puak al-kafirun ini seterusnya.

Justeru itulah usaha dakwah ini perlu dijadikan usaha individu. Bukan
meletakkan ia di bawah tanggungjawab pihak jabatan semata-mata. Dan usaha
itu perlu berterusan. Bukan setakat menampal satu, dua lubang kemudian
berpuas hati dan berkata orang lain pula yang perlu melakukannya.
Sesungguhnya tidak. Kita tidak tahu dalam sesaat dakwah dihentikan, entah
berapa ramai yang telah mati di dalam kekufuran.

Iklan syarikat telekomunikasi tersebut mungkin hanya sebuah lubang yang
kecil. Tetapi semua lubang yang besar sebenarnya berasal dari lubang yang
kecil juga. Sekiranya lubang sekecil ini dikambus dari awal, insyaAllah
tidak ada lubang besar yang akan terbentuk. Pilihan ada pada diri kita.
Sama ada untuk terus mengelak, menunggu pihak berwajib menutupnya atau
berusaha sendiri demi kebaikan semua. Allah jua lebih mengetahuinya…

01 February 2007

Perarakan Sempena Pesta Flora 2007

Tahun 2007 menyaksikan Malaysia sekali lagi menyambut Tahun Melawat
Malaysia (TMM). Adalah menjadi harapan kerajaan dan segelintir rakyat tahun
ini jumlah bilangan pelancong yang melawat negara kita bertambah. Terutama
selepas banyak dana rakyat yang dibelanjakan demi mempromosikan Malaysia
sebagai sebuah destinasi pelancongan walaupun bagi diri saya, tidak ada apa
yang menarik untuk dipamerkan di sini.

Apa yang ada? Kesan tinggalan sejarah yang membuktikan betapa lemahnya
orang kita hingga dengan mudah diperdayakan oleh bangsa kulit putih dan
mengangkat mereka sebagai penasihat yang wajib didengari kata-katanya? Atau
menyaksikan bagaimana akibat kerasukan segelintir pemimpin merebut takhta
pemerintahan sehingga sanggup membiarkan pulau-pulau penting diserahkan
sebagai bayaran pertolongan bangsa penjajah?

Atau mungkin pelancong boleh melawat Menara Berkembar Petronas yang pernah
ditabalkan sebagai menara berkembar tertinggi di dunia? Atau bergembira
dengan taman-taman tema yang rakyat tempatan hanya mampu melihat dari luar
kerana tidak mampu membayar harga tiket yang terlalu mahal? Bukanlah kerana
rakyat kita bergaji kecil tetapi kerana duit telah habis digunakan untuk
membayar yuran pelajaran anak, petrol, tol dan sebagainya

Atau terus menonton anak-anak gadis kita tergadai maruahnya menggoyangkan
punggung bagi menghiburkan pelancong atas nama tarian tradisional? Atau apa
lagi? Saya akui industri pelancongan mempunyai kesan yang baik terhadap
ekonomi negara kita tetapi keterlaluan menggamit pelancong akan menyebabkan
lebih banyak kesan negatif dari positif. Terutama untuk kita yang berbangga
sebagai sebuah negara Islam. Walaupun sekadar Islam Hadhari.

Termasuk di dalam jadual perayaan di TMM 2007 ini adalah Perarakan Kereta
Berhias bersempena dengan Pesta Flora 2007 yang berlangsung baru-baru ini.
Saya tidak sempat dan berminat untuk menyertainya tambah lagi ianya
diadakan di Putrajaya. Jauh dari kediaman saya. Cuma saya berkesempatan
menonton sedutan persiapan yang diadakan sebelum perarakan bermula melalui
klip yang dimainkan di akhir Buletin Utama siaran TV3.

Memang gah. Tidak mustahillah jika ada yang mengatakan sebuah kereta
memakan belanja sehingga ratusan ribu ringgit. Ah… Alangkah bagusnya jika
wang itu disalurkan kepada anak-anak miskin yang tidak dapat melanjutkan
pelajaran akibat kesempitan hidup. Atau untuk mereka yang terpaksa merayu
sumbangan orang awam demi menjalani suatu pembedahan bagi menyelamatkan
nyawa. Atau disalurkan kepada mangsa banjir. Bukan?

Dalam melihat betapa gahnya kereta-kerata berhias yang dipamerkan, saya
terpandang kepada satu lembaga yang besar. "Gajah? Patung gajah?" saya
bertanya sendirian. Rupanya ahli keluarga saya yang lain juga turut
terpandang. "Buat apa patung gajah itu di situ? Akan turut diarakkah
nanti?" bisik hati saya lagi. Hairan… Apa kena mengena patung gajah dengan
bunga-bungaan? Gajah berasal dari bungakah? Atau bunga berasal dari gajah?

Dan pada malam minggunya, Buletin Utama menyiarkan pula klip sambutan
tersebut. Ternyata patung gajah itu benar-benar ada. Kebetulan abang saya
juga ada di rumah kami ketika itu. Kami saling berpandangan. "Eh! Ini dah
macam perarakan berhala ni!" kata saya kepada abang saya yang membuatkan
dia menganggukkan kepalanya tanda bersetuju. Hati saya jadi tidak tenteram.
Bagaimana perkara sebegini boleh terjadi?

Ke mana agaknya pergi mufti yang sebelum ini sibuk memperkatakan tentang
bidaah, yang sibuk mengutuk kerja-kerja amr-bil-ma'ruf, nahi-'anil-mungkar
yang dijalankan oleh jabatan-jabatan agama? Ke mana agaknya menghilang
ustazah yang dilantik menjadi ahli parlimen yang kononnya sangat alim?
Apakah mereka tidak tahu, perbuatan mengarakkan patung sama seperti
perbuatan masyarakat jahiliyah dahulu?

Apa? Adakah atas nama ekonomi dan penyuburan industri pelancongan, maka
kegiatan haram sebegini terpaksa dihalalkan? Tidak ada pengecualian di
sini. Tidak cukupkah kita melakukan modifikasi terhadap Islam dengan
menggugurkan hukum hudud sehinggakan kini kita mula membenarkan berhala
diarak oleh orang yang mengaku Islam? Di manakah sebenarnya kelebihan Islam
Hadhari berbanding Islam yang dibawa Nabi saw sebenarnya?

Perperangan Islam terhadap berhala bukan bermula selepas pengutusan
Muhammad saw sebagai rasul Allah lagi. Malah ratusan tahun sebelum itu.
Tentu kita masih ingat kisah di zaman Nabi Ibrahim as di mana kaum beliau
begitu taksub dengan patung-patung yang mereka bina sendiri. Patung-patung
itu diarak dan diraikan lebih dari seorang raja lagi. Dan usaha menentang
ini diteruskan dengan pengutusan Nabi saw sehinggalah ke hari ini.

Kita sudah ditimpa dengan berbagai bala bencana sebagai peringatan dari
Allah. Tetapi mengapakah kita masih enggan mengambil pelajaran? Bukan
sahaja golongan pejuang agama terus ditindas, bahkan upacara maksiat terus
diberi tempat dan diagung-agungkan. Program televisyen pula dipenuhi dengan
acara menanam propaganda. Hinggakan artis diberi peluang mencela hukum
Allah secara 'live' asalkan tidak mencela kerajaan.

Dan kini, berhala gajah pula diarak. Walaupun bukan untuk disembah,
perbuatan ini sebenarnya memalukan kita, sebagai umat Islam. Bukan setakat
itu, bahkan ia juga memalukan agama Islam keseluruhannya malah lebih utama,
turut memalukan Allah. Apabila orang Islam turut berkelakuan seperti orang
kafir, maka dari segi manakah orang Islam ini dapat dimuliakan? Sila
beritahu…

Seorang teman saya selalu berkata. Kita terlalu sibuk dengan
perkara-perkara cabang (furu') sehinggakan terlupa perkara-perkara yang
utama. Kita sibuk dengan kekhilafan antara mazhab hingga lupa perkara yang
dipersetujui oleh keempat-empat mereka. Kita sibuk bicarakan bidaah atau
tidak menyapu muka selepas solat sehingga lupa berbicara tentang orang yang
enggan bersolat dan seperti yang ini, mengarakkan berhala gajah.

Mungkin ada yang berkata, "Apa la… ini hanya untuk mempercantikkan lagi
perarakan. Patung gajah itu bukan untuk sembahan…". Sama ada untuk disembah
atau tidak, patung yang punyai sifat fizikal yang sempurna dengan benda
yang hidup adalah berhala. Dan tidak ada berhala yang halal disimpan atas
alasan apa sekalipun. Apatah lagi jika dibawa berarak. Dan lebih-lebih
lagi, ada agama yang menyembah patung yang hampir serupa.

Kita sudah punyai berhala besar Tugu Negara yang diagungkan apabila Perdana
Menteri meletakkan kalungan bunga pada hari kemerdekaan. Berhala besar ini
terus dibela oleh rakyat dan para pemimpin atas nama memperingati
pengorbanan pejuang silam. Kini giliran berhala kecil pula menguasai
masyarakat muslim kita. Agaknya, ditimpa bencana sebesar manakah baru kita
akan sedar dan insaf? Semoga Allah memelihara kita dari kemusnahan…

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.