03 February 2007

Elak Atau Tampal Lubang Di Jalanan?

Banyak email yang saya terima berkenaan iklan sebuah syarikat
telekomunikasi yang dikatakan menggunakan sebuah lagu gospel (nyanyian koir
di dalam gereja) sebagai muzik latarnya. Tindakan ini dikatakan keterlaluan
dan mengusik sensitiviti masyarakat muslim di negara ini. Seperti biasa,
perkara seperti ini akan mengundang pelbagai pendapat. Ada yang pro dan ada
juga yang kontra.

Manakala bagi saya, adalah tidak patut untuk terus menuduh syarikat
telekomunikasi terbabit berniat jahat. Mungkin si pengarah iklan tersebut
tidak tahu ianya sebuah lagu gospel dan menganggapnya hanya sebuah lagu
biasa. Bukankah kita dituntut berbaik sangka? Namun, saya amat bersetuju
iklan itu mesti dihentikan siarannya serta-merta kerana ianya melanggar
undang-undang dan mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Tetapi bukan itu yang ingin saya ungkapkan kali ini. Sebenarnya, dalam
memperkatakan tentang topik ini, saya amat tertarik dengan pandangan salah
seorang rakan netter. Dalam sebuah email, si penulis mengeluarkan satu
contoh cerita. Dia bercerita tentang lubang besar yang terdapat di
jalanraya. Kemudian, dia mencontohkan dirinya memandu sebuah kereta dan
melanggar lubang tersebut sehingga ada bahagian keretanya yang patah.

Selepas itu, dia menukar kereta lain dan terus melanggar lubang terbabit
dan mengakibatkan kerosakan pada keretanya lagi. Begitulah seterusnya
sehingga beberapa biji kereta. Akhirnya dia bertanya. Siapakah yang
bersalah dalam hal tersebut? Lubang di jalan atau kereta? Dan jawapannya,
seperti yang kebanyakan orang bersetuju, si pemandulah yang bersalah.
Begitulah, katanya, orang Melayu kita ini.

Ada orang Melayu akan melompat hanya apabila melihat kayu bersilang,
katanya. Saya faham. Dia menyindir orang yang beranggapan bahawa lagu yang
dimainkan di dalam iklan syarikat telekomunikasi terbabit sebagai satu
kesalahan adalah tidak rasional. Sesungguhnya saya menghormati buah
fikirannya. Dan saya juga menganggap ideanya menggunakan kisah kereta dan
lubang di jalan sebagai sesuatu yang kreatif.

Bagi saya, ideanya tidak salah. Hanya, perlu dilanjutkan dengan sedikit
penambahan. Dalam email balasan saya kepadanya, saya katakan adalah lebih
baik sekiranya lubang itu ditampal. Bukan dielak. Kita boleh mengelak hari
ini dan kita boleh mengelak esok. Bagaimana dengan hari seterusnya?
Bagaimana pula dengan hari-hari di mana kita keletihan dan kurang awas di
jalanan?

Mungkin di satu masa, dalam keadaan tergesa-gesa kerana satu kecemasan,
kita terlupa akan lubang tersebut lalu kita melanggarnya. Dan kesannya,
kereta kita akan rosak. Malah, lebih dari itu, mungkin kita juga akan
tercedera. Maka kerana itulah, saya simpulkan bahawa mengelak lubang di
jalanraya bukanlah penyelesaian yang terbaik. Adalah lebih utama untuk kita
menampal lubang tersebut.

Mungkin ada yang akan beranggapan, itu bukan kerja kita sebaliknya ada
jabatan yang telah ditugaskan untuk menampal jalan yang berlubang. Benar!
Tepat sekali! Tetapi bagaimana jika jabatan tersebut mempunyai kakitangan
yang pemalas? Atau mungkin jabatan tersebut kekurangan kakitangan? Atau
mungkin ianya telah dirasuah atau ditekan oleh bengkel yang berdekatan yang
mahu mengambil untung atas kereta yang 'terduduk' di tengah jalan?

Apakah kita rela meletakkan kereta kita dalam risiko? Tentu sekali tidak.
Jadi rasanya tidak salah jika berkorban sedikit masa dan tenaga demi
kebaikan semua masa hadapan. Selepas lubang ditampal, pemanduan juga akan
menjadi lebih lancar. Malah mungkin akan lebih cepat untuk kita sampai ke
destinasi. Keselamatan juga insyaAllah akan lebih terjamin. Walau
bagaimanapun, ini hanya sekadar satu perumpamaan.

Dalam realiti, jika betul jalan berlubang, rasanya peratusan untuk saya
menampal sendiri lubang tersebut agak kecil. Paling mudah, saya ambil jalan
alternatif. Tetapi, untuk bercerita tentang konsep dakwah, sambil
menyambung idea yang digunakan oleh rakan netter tersebut, biarlah cerita
ini dijadikan sebuah perumpamaan atau contoh. Di mana jalanraya tersebut
adalah kehidupan, lubang sebagai dakyah kafirun dan kereta pula sebagai
iman kita.

Dakyah puak al-kafirun lebih-kurang sama banyaknya dengan lubang-lubang
yang terdapat di jalan-jalan raya kita pada hari ini. Ke sana dan ke mari,
ada saya yang mereka usahakan untuk membawa kita kepada kesesatan. Jadi,
apakah yang harus kita lakukan? Elak dari bertembung dengan mereka? Betul…
Tetapi berapa lama? Sampai bilakah kita mampu 'bermain sembunyi ibu' dengan
mereka?

Maka kerana itulah wajib bagi kita membanteras usaha mereka. Dakwah yang
mereka jalankan mesti kita patahkan dengan kadar paling segera. Kerana,
walaupun mungkin kita mampu menangkis segala dakyah yang mereka taburkan,
tidak semestinya orang lain mempunyai kemampuan yang sama. Di dalam Islam,
pencegahan itu lebih utama dari membaik-pulih.

Tetapi ramai di antara kita sebenarnya yang terperangkap dengan ideologi
'setiap orang ada tugas masing-masing' di mana kita menganggap kerja dakwah
dan membanteras pemesongan aqidah adalah 'hakmilik kekal' jabatan-jabatan
agama sahaja. Seperti mana kita sentiasa menjangka bahawa pihak Jabatan
Kerja Raya (JKR) akan segera datang dan mengkambus lubang yang terdapat di
jalanan.

Tetapi dengan krisis kakitangan yang dihadapi oleh jabatan-jabatan agama,
disertai pula dengan sekatan-sekatan oleh pihak yang mempunyai 'kuasa
dunia' (kuasa akhirat hanya Allah swt yang memilikinya), maka mengharapkan
kepada usaha daripada jabatan ini sahaja sebenarnya cukup mengundang
risiko. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok. Dan kita tidak akan
tahu siapa mangsa 'lubang-lubang' puak al-kafirun ini seterusnya.

Justeru itulah usaha dakwah ini perlu dijadikan usaha individu. Bukan
meletakkan ia di bawah tanggungjawab pihak jabatan semata-mata. Dan usaha
itu perlu berterusan. Bukan setakat menampal satu, dua lubang kemudian
berpuas hati dan berkata orang lain pula yang perlu melakukannya.
Sesungguhnya tidak. Kita tidak tahu dalam sesaat dakwah dihentikan, entah
berapa ramai yang telah mati di dalam kekufuran.

Iklan syarikat telekomunikasi tersebut mungkin hanya sebuah lubang yang
kecil. Tetapi semua lubang yang besar sebenarnya berasal dari lubang yang
kecil juga. Sekiranya lubang sekecil ini dikambus dari awal, insyaAllah
tidak ada lubang besar yang akan terbentuk. Pilihan ada pada diri kita.
Sama ada untuk terus mengelak, menunggu pihak berwajib menutupnya atau
berusaha sendiri demi kebaikan semua. Allah jua lebih mengetahuinya…

1 comment:

Anonymous said...

oohhh! pasal iklan digi ek? lagu tuh lagu gospel ker? tak lah! cuma lagu tuh dihidupkan semula dalam cerita 'Sister's Act' starring Whoopi Goldberg, dalam citer tu, Whoppi Goldberd was a pop singer who witnessed a crime and was given a protective plan by the police at the church. While at the church, she gave some 'fresh breather' to the songs they played during the sermons. Tuh yang pakai lagu tuh sebab lagu tuh kan happening sket... but the original song was not meant to be gospel kalau tak silap. I would think lagu Josh Groban yang 'you raised me up' tuh...haa...yang tuh memang gospel nyer lagu but ramai orang kita suka sangat dengar lagu tuh. That my christian frens citer, selalu dinyanyikan kat church especially masa christmas...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.