06 February 2007

Mengapa Jadi Begini?

Baru-baru ini seorang teman saya bertanya kepada saya tentang isu Rosnah
Mat Aris yang dikatakan menghina Saidatina Khadijah, isteri pertama
Rasulullah saw. Saya menggelengkan kepala tanda tidak tahu… "Huh! Kau tak
baca suratkhabar. Mana nak tahu…" Katanya agak hampa. Namun saya berjanji
sekiranya saya ada menerima email berkenaan itu, akan saya lanjutkan
kepadanya.

Dan tadi, ketika menelaah email-email yang saya terima, saya terpandangkan
tajuk yang tersebut. Dan fahamlah saya. Rupanya Rosnah telah dikritik
gara-gara 'lepas cakap'nya dalam rancangan hiburan Sensasi yang disiarkan
di TV3. Dalam rancangan itu, Rosnah ditanyakan tentang hubungannya dengan
lelaki muda. Lantas Rosnah bertanya tentang umur Nabi saw dan isterinya
ketika mereka berkahwin.

"Empat puluh" jawab hadirin. "Ha… Kan tua nak mampus tu!" kata Rosnah
diikuti tepukan dari penonton. Pelik juga saya, bagaimana penonton boleh
bertepuk atas perkataan yang seburuk itu. Tetapi, dalam akhbar Utusan
Malaysia semalam, Rosnah telah meminta maaf secara terbuka. Dia juga
menyatakan telah bertaubat dan meminta ampun dari Allah setiap kali
teringatkan perkara itu.

Alhamdulillah. Rosnah dapat menerima teguran dan mengakui kesilapannya.
Bagi saya, Rosnah lebih terbuka dari sesetengah artis kita yang apabila
ditegur mengenai kritikannya terhadap hukum Islam, bukan sekadar enggan
meminta maaf, bahkan memutar belitkan kata-kata. Dan pujian juga harus
diberikan kepada Jakim yang, sebagaimana dipetik oleh Rosnah, ada
menghubunginya secara peribadi dan mengingatkannya tentang perkara itu.

Belum pun reda persoalan ini dalam minda, saya sekali lagi terkejut apabila
membaca akhbar The New Straits Times. Pada bahagian tengahnya, terdapat
cerita 'pilu' mengenai keluarga Teo yang dikatakan telah bertukar anak
dengan orang lain ketika baru melahirkannya kira-kira 29 tahun lalu (kalau
tidak silap saya). Berita itu menggunakan tajuk yang menyebut keluarga Teo
mahu menyaman Hospital Batu Pahat atas kesilapannya.

Berita itu memang menyedihkan. Dan tindakan Hospital Batu Pahat juga memang
memalukan dan sukar untuk diterima. Tetapi yang lebih menyedihkan apabila
saya terbaca bahawa anak pasangan Teo itu, yang telah dipelihara oleh
pasangan Melayu, bertindak berpindah masuk ke rumah ibu kandungnya dan
telah membuat permohonan untuk keluar dari Islam dan menukar nama kepada
nama Cina.

Astaghfirullahal 'azim. Saya hanya mampu menggeleng kepala. Bagaimana
perkara ini boleh terjadi? Saya jadi tidak faham. Saya boleh faham
perasaannya setelah sekian lama berpisah dari ibu kandungnya. Saya juga
boleh terima jika dia mahu menukar namanya kepada nama Cina supaya dengan
itu mungkin membolehkannya mewarisi harta yang bakal ditinggalkan oleh ibu
bapa kandungnya.

Tetapi mengapa perlu menukar agama? Itu yang saya tidak faham. Dan
menambahkan kerisauan di hati saya ialah apabila terkenangkan bayi yang
pasangan Teo itu telah bawa kembali 29 tahun dahulu. Jika anak mereka
dipelihara oleh pasangan Melayu, tentunya anak yang dibawanya pulang adalah
anak pasangan yang membawa balik anaknya itu, iaitu orang Melayu dan
semestinya beragama Islam!

Bagaimana dengan keadaan anak ini? Apakah namanya sekarang ini? Dan apa
pula agama anutannya? Jika anak kandung ibu bapa angkatnya mahu keluar dari
Islam dan kembali kepada keluarga asalnya, apakah dia mahu kembali kepada
Islam dan meninggalkan keluarga angkatnya yang kafir itu? Bahkan, lebih
menghairankan saya, mengapakah boleh tergerak di hati pemuda tersebut untuk
meninggalkan Islam?

Jika betul ingatan saya peristiwa ini berlaku 29 tahun dahulu, bermakna
umur lelaki tersebut sudah mencecah 29 tahun sekarang ini. 29 tahun bukan
satu tempoh yang sekejap. 29 tahun tinggal bersama sebuah keluarga Islam.
29 tahun berkawan dengan orang-orang Islam di sekolah dan di kampung.
Setelah 29 tahun menganut Islam, sepatutnya sudah ada banyak pengetahuan
mengenai agama yang maha suci ini. Tetapi mengapa mesti terjadi sebegini?

Mungkin secara kasar, kisah anak pasangan Teo ini dan isu Rosnah Mat Aris
tidak ada kaitannya. Tetapi bagi saya, kedua-dua isu ini mempunyai punca
yang serupa. Kedangkalan mengenai Islam. Rosnah dan anak pasangan Teo
sebenarnya sama-sama tidak mempunyai ilmu yang mencukupi mengenai Islam.
Dan apa yang lebih pentingnya sebenarnya, kurangnya dakwah dan pendidikan
daripada orang yang berilmu.

Selama ini, kita selalu menganggap tempat mengajar ilmu agama adalah di
masjid-masjid, surau-surau ataupun madrasah dan sekolah agama. Betul,
memang itulah tempat yang seeloknya. Tetapi bagaimana dengan orang yang
tidak pernah ke masjid ataupun ke sekolah agama? Apakah mereka ini perlu
dibiarkan terus dalam kegelapan? Apakah kerana mereka enggan ke masjid maka
kita boleh berlepas tengan terhadap mereka? Tentu sekali tidak!

Tetapi sayangnya, kebanyakan dari kita begitu benci dengan kegiatan dakwah.
Sudahlah kebanyakan ceramah agama diharamkan atas nama politik, bila wujud
kumpulan yang cuba ingat-mengingatkan sesama manusia, mereka ini dihalang
dengan pelbagai halangan. Mereka ini dicerca dengan pelbagai cercaan. Jika
mereka datang menghampiri dengan tujuan gasyt, ramai yang lari seolah-olah
mereka ternampak hantu. Hendak ajak ke syurga pun susah!

Selain itu, sistem pendidikan kita yang terlalu sekular juga banyak
'membantu'. Memang ada matapelajaran agama di sekolah tetapi setakat apalah
sangat yang dipelajari? Setakat ilmu fardhu ain. Dan kita juga begitu
berbangga dengan pencapaian anak-anak kita dalam bidang sains dan metematik
sehinggakan sekiranya mereka tidak cemerlang atau gagal dalam matapelajaran
agama tidak sedikitpun menggusarkan kita.

Dan hasilnya, hari ini kita boleh lihat kegiatan murtad semakin berleluasa.
Semakin ramai yang berani mengisytiharkan mereka keluar dari Islam. Itu
tidak termasuk dengan mereka yang enggankan 'publisiti murahan'. Sekiranya
mereka ini benar-benar mengenal Islam, insyaAllah tidak akan terbit walau
sebesar biji sawi pun di hati mereka niat untuk meninggalkan Islam. Maka
apakah tindakan kita sekarang?

Adakan undang-undang anti murtad? Buatlah. Tetapi setakat manakah akan
berjaya? Bukan saya menetang bahkan saya amat-amat menyokong jika
undang-undang ini mahu diwartakan. Tetapi persoalan kita sekarang, apakah
gunanya seorang yang atas kertasnya seorang Islam tetapi corak hidupnya
seperti orang kafir? Inilah sebenarnya yang kita perlukan. Bukan halang
mereka murtad tetapi hilangkan keinginan untuk murtad dalam diri mereka.

Hari ini, terdapat ramai orang yang mengaku Islam, malah marah apabila
orang menghina Islam tetapi pada hakikat hidup tidak seperti orang Islam.
Tidak solat, berzina, minum arak, ambil rasuah dan sebagainya. Apakah kita
boleh berasa kita selamat dari gejala murtad jika golongan ini tidak murtad
tetapi berkelakuan yang memalukan orang Islam keseluruhannya? Tentu sekali
tidak.

Maka kerana itu, tugas mengislahkan masyakat sepatutnya menjadi agenda
penting dalam pembangunan negara. Letakkan pembangunan fizikal sebagai
perkara kedua. Jadikan dakwah sebagai satu agenda penting dalam Rancangan
Malaysia ke-9 dan seterusnya. Tekankan pendidikan Islam sebagai satu subjek
yang utama dalam pendidikan di sekolah. Bukan setakat fardhu ain bahkan
melitupi ilmu hadits, tafsir, usuluddin dan sebagainya.

Saya percaya tidak ada orang yang mahu insiden seperti Rosnah Mat Aris ini
berulang lagi. Dan tidak ada orang juga yang mahu ada orang Islam lain
mengisytiharkan keluar dari Islam. Maka kerana itu dakwah mesti dijalankan
segera. Pemerintah mesti ditekan untuk mementingkan pendidikan agama.
Hentikan segera modifikasi terhadap agama Islam dan kembalikan Islam
sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw.

Tiba-tiba saya teringat… Cerita mengutuk Nabi Muhammad saw bukanlah kisah
yang baru. Jika Rosnah Mat Aris menghina Saidatina Khadijah, seorang mantan
pemimpin utama negara dahulu juga pernah menyamakan Nabi Muhammad saw
sebagai posmen. Tetapi… Apakah tindakan yang dikenakan ke atasnya? Agaknya,
jika menghina mahkamah, apakah dia akan dilepaskan? Manakah lebih mulia,
mahkamah atau Islam, Nabi Muhammad saw dan Allah?

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.