31 December 2005

Muhasabah 2005

Posted by Picasa Malam nanti, tepat jam 12 malam, insyaAllah kita akan melangkah ke tahun baru 2006. Sebenarnya bukanlah menjadi kebiasaan saya untuk menyambut 1 Januari setiap tahun kerana saya lebih cenderung menyambut 1 Muharram. Namun, sebagai mengisi kebiasaan kebanyakan dari kita, terlahir pula dari hati saya untuk menulis sesuatu berkenaan tahun baru ini.

Kebanyakan dari kita mengaitkan tahun baru dengan azam. Berbagai azam direka sama ada sebagai cabaran atau matlamat. Pada kebiasaannya penghujung tahun akan dijadikan medan untuk mengira kembali pencapaian sepanjang tahun yang akan ditinggalkan. Belum pernah dalam hidup saya meletakkan apa2 azam kerana bagi saya, untuk melakukan sesuatu perkara, kita tidak perlukan tahun baru sebagai ‘garis mula’.

Hanya apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah pencapaian tahun 2005 ini. Di tahun ini, rasanya saya telah mencapai satu tahap yang jauh lebih tinggi dari tahun yang sudah2. Di tahun ini, pada bulan Februari saya telah bertukar status menjadi bapa. Kehadiran Nurul Naqibah Izzati dalam hidup tidak sedikit telah mengubah kehidupan saya. Menjadi bapa telah lebih mematangkan hidup saya.

Kemudian pada pertengahan tahun iaitu bulan Mei, saya telah berjaya melangsaikan hutang dengan kad kredit, memiliki kereta idaman dan sekaligus menghadiahkan kereta sedia ada buat ayah. Allah sahaja yang tahu betapa riangnya hati melihat ayah gembira memiliki kereta sendiri. Walaupun bukan kereta baru, kepuasan tetap terbit dari dalam diri .

Akhir sekali, di akhir tahun iaitu dalam bulan November, Allah dengan berkat dan rahmatNya telah mengizinkan saya membeli sebuah rumah yang telah lama menjadi idaman ibu saya. Alhamdulillah… Walaupun ini bermakna bebanan hutang saya kian bertambah namun melihatkan senyum yang terukir di bibir orang tua saya menyebabkan saya merasakan matlamat hidup kian tercapai.

Sebenarnya banyak lagi perkara2 lain yang saya capai tetapi cukuplah setakat ini yang saya utarakan. Pada usia sebegini, rasanya saya telah memiliki apa yang lelaki lain inginkan. Sebuah kerjaya yang kukuh, isteri yang penyayang, ibu bapa yang memahami, anak perempuan yang comel, kereta idaman, rumah impian dan apa saja yang saya miliki sekarang benar2 melahirkan rasa kepuasan yang cukup hebat.

Persoalannya sekaran ialah, bagaimanakah caranya saya bersyukur? Adakah dengan segala nikmat yang saya miliki ini telah berjaya menjadikan saya seorang hamba yang lebih baik? Tidak… Bahkan ia telah meragut sebahagian besar dari iman saya. Ketika ini, saat ini dan detik ini, saya sedang mengalami penjunaman iman yang sangat besar. Di kala ini, saya sedang tergelincir di atas tebing yang amat curam.

Suatu ketika dulu, di saat apa yang saya idamkan belum dapat dicapai, di saat apa yang saya impikan belum terlaksana, seringnya saya sujud merintih kepada Allah. Mengharapkan belas dan ehsanNya untuk membantu saya yang dalam kesempitan. Namun selepas apa yang saya doa termakbul, selepas apa yang saya impikan menjadi kenyataan, begitu mudah saya berpaling dariNya.

Sering saya bermenung. Memikirkan betapa saya rindu dengan dugaan dulu. Betapa saya rindu untuk merintih, meratap pilu mengharapkan simpatiNya. Betapa saya rasa kosong hidup tanpa dugaan begini. Namun sebenarnya, saya sedang diduga. Dan yang paling benar, saya sedang gagal dalam dugaanNya kali ini. Betapa pada kali ini saya tidak mempu menolak bahkan hanyut dalam gelombang dugaan yang diberikanNya.

Keluarga, anak dan harta juga merupakan dugaan. Dan kerana perkara2 ini, saya mula menjauhkan diri dari Allah. Allah telah menduga saya dengan memberikan kesusahan dan Alhamdulillah, kesusahan itu berjaya membawa saya lebih dekat kepadaNya. Kemudian Allah berikan pula saya dugaan dengan kesenangan. Malang sekali, saya telah gagal dalam dugaan ini.

Jika dulu, begitu mudahnya untuk saya menitiskan airmata tatkala mengangkat doa ke hadratNya, tetapi kini doa yang saya panjatkan tidak ubah seperti lafaz yang kosong. Dek kerana terlalu seronoknya mencapai harapan, saya terus hanyut dalam arus duniawi. Betapa saya kini kian terjangkit oleh penyakit al-Ahwan yang dikatakan oleh Nabi saw. Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.

Maka, jika dihitung kembali, 2005 bukanlah tahun kejayaan buat saya. Inilah tahun kegagalan. Inilah tahunnya di mana saya hanyut dibawa arus kesesatan. Inilah tahunnya di mana saya mula lupa diri dan gagal bersyukur sebagaimana sepatutnya kepada Allah. Inilah tahunnya di mana semua ilmu saya bertukar menjadi maklumat kerana tidak diamalkan. Mengapakah saya begitu hina hingga gagal dalam ujian yang sedikit ini?

“Ya Allah! Ampunkan aku ya Allah. Betapa aku lemah dalam menghitung rahmahMu. Betapa aku lemah hingga tertunduk kepada nafsu yang lesu. Sesungguhnya aku mengharapkan ehsanMu untuk memimpin aku kembali ke jalanMu.”

Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan kita sepanjang tahun ini bergantung kepada definisi kita terhadap kejayaan tersebut. Dan menurut definisi saya, saya adalah tergolong dalam golongan orang2 yang gagal. Semua kejayaan dunia ini hanya akan lebih memimpin saya jauh dariNya. Lebih teruk lagi, ia akan memimpin saya terus ke neraka… Wana’uzubillahi minzalik.

Semoga Allah akan memberikan saya dan kita semua lebih kejayaan pada tahun hadapan. Bukan sekadar kejayaan duniawi bahkan kejayaan sebagai hamba yang bertaqwa. Semoga Dia tidak akan membiarkan kita terus hanyut dalam arus kuat gelombang dugaan sebegini. Semoga Allah mengampunkan sekalian dari kita…

30 December 2005

Mualaf ingkar, salah siapa?

Alhamdulillah… Akhirnya selesai juga kes M. Moorthy atau Muhammad Abdullah. Akhirnya Mahkamah Tinggi Rayuan menerima pakai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung status agama Allahyarham ketika meninggal. Dalam akhbar semalam, dipaparkan gambar majlis pengebumian jenazah Allahyarham yang turut dihadhiri oleh abangnya yang juga telah memeluk Islam 25 tahun lalu.

Terdapat banyak cerita yang diperkatakan mengenai Allahyarham dalam memutuskan keputusan ini. Paling menarik perhatian adalah kisah Allahyarham yang dikatakan gagal memenuhi tuntutan sebagai muslim dan juga perbuatannya yang mengikuti beberapa upacara mengikut agama hindu yang jelas bertentangan dengan syarak. Inilah yang menjadi asas balu Allahyarham dalam tuntutan di mahkamah.

Tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan ini benar atau rekaan balu tersebut kerana di dalam akhbar Harian Metro semalam ada disebut tentang pengacara rancangan Panorama terbitan TV1 yang mengatakan Allahyarham pernah meminta beliau membelikannya buku tentang Islam dan telah biasa solat secara berbaring. Ini seolah2 menunjukkan Allahyarham adalah muslim yang sejati.

Tetapi bukan itu yang ingin saya sebutkan di sini. Sama ada beliau berjaya atau gagal sebagai muslim bukan kerja kita untuk menentukannya. Yang ingin saya tarik perhatian saudara2 sekalian ialah, bagaimana sekiranya perkara ini benar? Bagaimana jika benar2 wujud mualaf yang memeluk Islam tetapi terus2an mengamalkan perbuatan2 khurafat dan syirik mungkin akibat jahil atau sebab2 lain?

Apakah kita mampu berlepas tangan sambil menudingkan jari kepada badan2 dakwah dengan mengatakan bahawa mereka adalah orang yang digaji. Apakah kita bebas untuk melupakan tanggungjawab kita untuk ‘menyampaikan walaupun sepotong ayat’? Apakah mungkin kita katakan kepada Allah di padang mahsyar nanti bahawa kita bebas dari sebarang tanggungjawab seperti itu?

Golongan mualaf terlalu ramai di sekitar kita. Toleh sahaja kanan dan kiri, insyaAllah kita boleh berjumpa mereka. Tetapi berapa ramaikah golongan mualaf memeluk Islam hanya semata2 kerana jatuh cinta kepada Allah, Nabi Muhammad saw dan Islam itu sendiri tidak dapat dipastikan. Yang saya nampak, pada pandangan mata saya yang lemah ini, kebanyakan memeluk Islam kerana jatuh cinta kepada wanita Muslim.

Perkara ini sebenarnya tidak digalakkan oleh Baginda saw. Muslimah tidak digalakkan walaupun bukan diharamkan mengahwini lelaki2 kafir atau ahli kitab kerana bimbang bukan dia yang membetulkan lelaki tersebut sebaliknya dia yang akan terikut dengan amalan2 dan kebiasaan2 suaminya. Ini bukan benda asing. Terdapat banyak kes2 yang berlaku di sekeliling kita.

Dua tahun lepas, ketika sedang beratur untuk membuat MyKad, saya kebetulan disapa oleh seorang wanita. Dari penampilannya seperti seorang Cina namun setelah lama berbual, baru saya tahu dia seorang Melayu. Wanita ini begitu peramah hingga satu masa menunjukkan saya kad nikah dia dengan suaminya, seorang warga Singapura, seorang mualaf.

Akibat terlalu seronok berbual, terkeluar banyak kisah peribadinya kepada saya. Antaranya ialah dia dengan bangganya bercerita bagaimana dia dan suaminya membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina (CNY). Menyambut perayaan CNY bukan satu masalah kerana ia adalah perayaan bangsa, bukan agama namun cara perayaan itu disambut yang menjadi masalah pada saya. Rasanya anda faham maksud saya.

Satu lagi kes ialah guru saya ketika bersekolah menengah yang akan memarahi anak muridnya yang memberi salam. Dia begitu benci kepada Islam dan memeluk Islam hanyalah semata2 atas nama perkahwinan. Dan banyak lagi kes2 lain yang akan membuat tulisan ini berjela2 panjangnya jika hendak disebut satu persatu. Persoalannya, apakah tanggungjawab kita menghadapi kes2 sebegini?

Benar, jika kita hendak menyalahkan pasangan mualaf terbabit memang patut pun. Saya sendiri merasa jijik melihat seorang artis yang berbangga akan berkahwin dengan pemuda Eropah dan mendakwa sedang mengajar tunangnya mengenai Islam sedangkan dia sendiri berpakaian seperti tidak cukup kain dan dengan bangganya menonjolkan buah dadanya yang mengkal.

Tetapi adakah dengan meletakkan kesalahan pada satu pihak saja sudah melunaskan tanggungjawab kita? Sama sekali tidak! Sebenarnya, apabila berlaku perkara sebegini, kesalahan terletak kepada semua pihak. Kepada seluruh ahli komuniti. Ini bukan kegagalan pasangan mualaf terbabit semata2. Bukan juga badan dakwah. Tetapi kesekalian kita. Kerana kita gagal menjadi muslim sejati.

Senario muslim minum arak, berzina, meninggalkan solat dan berbagai lagi perbuatan mungkar bukan perkara asing bagi kita bahkan telah menjadi benda biasa. Yang menjadi masalah ialah cara kita menangani perkara ini. Apabila kita menganggap perkara ini sebagai biasa, maka tidak ada langkah atau jalan penyelesaian yang kita ambil. Jika yang sedia muslim juga bermaksiat, bagaimanakah hendak membetulkan yang mualaf?

Inilah yang perlu kita beri perhatian. Seharusnya memperbetulkan diri sendiri menjadi agenda utama dalam hidup kita. Seharusnya kita berusaha keras untuk menjadi muslim sejati. Apabila kita mengutamakan amalan2 kebaikan, insyaAllah dengan sendirinya kita akan mengundang rasa kagum di dalam hati bukan sahaja mualaf, bahkan orang kafir terhadap muslim. Dengan izin Allah, mungkin mereka tertarik untuk mendalami Islam.

Jadi selapas ini, apa kata kita tudingkan jari kepada diri kita sendiri apabila terjadi perkara songsang sebegini. Tidak Allah menjadikan sesuatu perkara melainkan untuk kita berfikir. Kajadian kes Moorthy @ Muhammad ini adalah tanda Allah menyayangi kita dan memberi peluang untuk kita muhasabah diri kita sendiri. Jadi marilah kita gunakan peluang yang diberikan ini.

28 December 2005

Perjuangan Hidup

Hidup ini adalah sebuah perjuangan. Tidak lain tidak bukan hanyalah semata2 perjuangan. Maka kita ini, dibangkitkan olehNya adalah sebagai khalifah. Dan sebagai khalifah, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk berjuang. Apakah layak seseorang yang hanya menghabiskan masa di dalam istana menikmati hasil cukai dipanggil sebagai khalifah? Tentu sekali tidak.

Perjuangan khalifah atau pemimpin adalah untuk pimpinannya. Memperjuangkan nasib mereka. Mempastikan kesejahteraan mereka. Seperti mana kita sebagai khalifah bumi, memperjuangkan nasib bumi dan terus2an mesti memastikan bumi ini sejahtera. Sayang sekali, kita lebih acap memporak-perandakan bumi dari mensejahterakannya. Maka sesungguhnya kita telah khianat kepada amanah Allah.

Terdapat berbagai jenis perjuangan. Ada yang menganggap perjuangan adalah dengan mengangkat senjata untuk memerangi orang kafir. Ada juga yang menganggap perjuangan adalah meletupkan diri di pusat2 membeli belah atau mana2 tempat tumpuan warga2 kafir. Saya tidak mahu mempersoalkan adakah itu perjuangan yang haq atau batil. Bagi saya itu semua adalah perjuangan.

Kerana perjuangan adalah memperjuangkan atau menegakkan apa yang kita rasakan, kita percaya dan kita yakin benar. Seorang pejuang Islam berjuang menegakkan Islam kerana yakin Islam adalah semata2 agama yang diiktiraf Allah. Begitu juga pejuang bangsa. Mereka adalah manusia yang yakin bangsa mereka berhak mendapat apa yang mereka perjuangan. Dan lagi sekali, bukan itu isu saya di sini.

Apa yang ingin saya kisahkan adalah perjuangan kita sebagai manusia. Perjuangan sebagai hambaNya dan perjuangan sebagai mukmin yang muslim. Sama ada sedar atau tidak, setiap masa kita hidup dalam sebuah perjuangan. Bangkit dari tidur juga merupakan suatu perjuangan. Manakan tidak, bukannya semudah ABC untuk menghadap sejuk pagi bersuci semata2 kerana hendak sujud kepadaNya.

Kemudian ketika makan, berjuang makan sekadar yang mencukupi. Di tempat kerja, berjuang untuk kerja dan jujur dan di mana2 sahaja. Ada sahaja perjuangan yang kita lakukan. Dalam perjuangan tersebut, kita akan berdiri sebagai tentera manakala musuh kita adalah nafsu kita sendiri. Sesuatu yang wujud dalam diri kita. Sesungguhnya inilah sebuah perjuangan yang begitu rumit sekali.

Allah telah menciptakan nafsu sekali dengan manusia. Nafsu jugalah sebenarnya yang mengangkat darjat manusia lebih tinggi dari para malaikat. Di malam israk mikraj, Jibrail tidak mampu terus mengikuti Nabi saw bertemu Allah hanya semata2 kerana dia diciptakan tanpa nafsu. Akan tetapi, nafsu juga adalah yang menjerumuskan ke lembah jahim. Dengan sokongan syaitan yang direjam, nafsu bukanlah mudah untuk ditundukkan.

Diriwayatkan, selepas Allah menciptakan nafsu, maka Allah telah memanggilnya. Dalam pertemuan itu, nafsu telah menafikan sifat ketuhanan Allah walaupun disiksakan dengan berbagai siksaan yang keras. Hanya setelah disiksakan dengan kelaparan, barulah nafsu mengalah. Maka itu dikatakan cara terbaik mengekang nafsu adalah dengan berpuasa. Kerana kelaparan mampu meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Teringat saya kepada seorang teman saya. Menurut teman saya yang lain, teman saya ini secara terang2an telah mengaku bahawa dia adalah seorang ‘gay’. Astaghfirullah… Terkedu saya mendengarkannya. Patutlah belum kahwin2 lagi. Akan tetapi, seketika kemudian rasa kagum mula menebal dalam hati saya. Rupanya teman saya ini sedang bermujahadah dengan menentang nafsu songsangnya itu.

Dia sentiasa mendekatkan diri kepada Allah bagi mengelak nafsunya bergelora. Setiap malam dia bangkit mengerjakan solat tahajjud. Setiap hari membaca al-Quran hingga akhirnya menjadi seorang hafiz dan bermacam2 lagi. SubhanAllah. Begitu hebatnya dia menghadapi dugaan Allah. Bukan sahaja dia beroleh kemenangan menewaskan nafsunya, bahkan dia menggunakan ia untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sedang diri kita lebih ‘akrab’ dengan nafsu kita. Lihatlah bagaimana kita berbangga mengumpul harta dunia hingga terlupa istana kita di syurga masih kontang dari hiasan yang sepatutnya. Akan tetapi, dalam masa yang sama kita mengutuk kaum gay ini dengan mengatakan mereka hanya mengikut nafsu. Apakah kita berbeza dari mereka? Bahkan kita adalah segolongan dari mereka.

Kita lupa tujuan asal kita ‘dikirimkan’ ke bumi. Bukan lupa tetapi buat2 lupa. Kita asyik memenuhi permintaan nafsu kita sedang Allah telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa tidak Dia menciptakan manusia melainkan semata2 untuk beribadah kepadaNya. Kita sibuk mengejar dunia seolah2 kita akan hidup seribu tahun lagi sambil menafikan kemungkinan kita mungkin mati pada esok hari. Astaghfirullah…

Saya tidak mengatakan tentang orang lain sebaliknya tentang diri saya sendiri. Tentang kesemua kita. Tentang sesiapa sahaja yang bersikap sedemikian. Kita lupakan hakikat perjuangan kita. Kita bukan setakat melakukan ‘gencatan senjata’ dengan nafsu bahkan kita dengan redha membiarkan nafsu memimpin kita. Apakah jawapan yang akan kita berikan kepadaNya nanti ketika dibangkaitkan pada hari kebangkitan nanti?

Di dalam surah ar-Rahman, terdapat banyak ayat yang bermaksud “Dan nikmat aku yang manakah kamu dustakan?”. Memang benar sangatlah ayat ini. Allah telah memberikan kita berbagai2 nikmat termasuklah bijian emas dalam perut bumi. Sayangnya, kerana bijian emas ini kita nafikan haq Allah untuk disembah dan dimuliakan. Beginikah cara kita bersyukur? Inilah yang dikatakan menafikan nikmat Allah…

Astaghfirullahal Azim… Begitu jauh kita tersasar dari matlamat pengutusan kita. Begitu jauh kita terkeluar dari garisan perjuangan kita. Alangkah malunya kita apabila berhadapan dengan Nabi saw di sana nanti… Nabi saw dihina, dikeji, dicederakan semata2 kerana hendak menyampaikan utusan buat kita. Agar kita keluar dari kegelapan, agar kita tidak songsang dalam perjuang tetapi kita dengan rela memadamkan api perjuangan tersebut.

Semoga Allah memberikan keampunanNya buat kesekalian kita. Semoga Allah menjadikan kita orang2 yang menang dalam perjuangan menentang nafsu kita. Hidup ini sebuah perjuang. Dan ia akan berterusn begitu, insyaAllah. Sama ada kita mahu capai kemenangan walaupun syahid atau kita sanggup lari dari medan pertempuran dan kekal menjadi hamba yang hina. Buatlah pilihan sendiri.

Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk adalah akibat kejahilan saya sendiri.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.