Muhasabah 2005
Malam nanti, tepat jam 12 malam, insyaAllah kita akan melangkah ke tahun baru 2006. Sebenarnya bukanlah menjadi kebiasaan saya untuk menyambut 1 Januari setiap tahun kerana saya lebih cenderung menyambut 1 Muharram. Namun, sebagai mengisi kebiasaan kebanyakan dari kita, terlahir pula dari hati saya untuk menulis sesuatu berkenaan tahun baru ini.
Kebanyakan dari kita mengaitkan tahun baru dengan azam. Berbagai azam direka sama ada sebagai cabaran atau matlamat. Pada kebiasaannya penghujung tahun akan dijadikan medan untuk mengira kembali pencapaian sepanjang tahun yang akan ditinggalkan. Belum pernah dalam hidup saya meletakkan apa2 azam kerana bagi saya, untuk melakukan sesuatu perkara, kita tidak perlukan tahun baru sebagai ‘garis mula’.
Hanya apa yang ingin saya kongsikan di sini adalah pencapaian tahun 2005 ini. Di tahun ini, rasanya saya telah mencapai satu tahap yang jauh lebih tinggi dari tahun yang sudah2. Di tahun ini, pada bulan Februari saya telah bertukar status menjadi bapa. Kehadiran Nurul Naqibah Izzati dalam hidup tidak sedikit telah mengubah kehidupan saya. Menjadi bapa telah lebih mematangkan hidup saya.
Kemudian pada pertengahan tahun iaitu bulan Mei, saya telah berjaya melangsaikan hutang dengan kad kredit, memiliki kereta idaman dan sekaligus menghadiahkan kereta sedia ada buat ayah. Allah sahaja yang tahu betapa riangnya hati melihat ayah gembira memiliki kereta sendiri. Walaupun bukan kereta baru, kepuasan tetap terbit dari dalam diri .
Akhir sekali, di akhir tahun iaitu dalam bulan November, Allah dengan berkat dan rahmatNya telah mengizinkan saya membeli sebuah rumah yang telah lama menjadi idaman ibu saya. Alhamdulillah… Walaupun ini bermakna bebanan hutang saya kian bertambah namun melihatkan senyum yang terukir di bibir orang tua saya menyebabkan saya merasakan matlamat hidup kian tercapai.
Sebenarnya banyak lagi perkara2 lain yang saya capai tetapi cukuplah setakat ini yang saya utarakan. Pada usia sebegini, rasanya saya telah memiliki apa yang lelaki lain inginkan. Sebuah kerjaya yang kukuh, isteri yang penyayang, ibu bapa yang memahami, anak perempuan yang comel, kereta idaman, rumah impian dan apa saja yang saya miliki sekarang benar2 melahirkan rasa kepuasan yang cukup hebat.
Persoalannya sekaran ialah, bagaimanakah caranya saya bersyukur? Adakah dengan segala nikmat yang saya miliki ini telah berjaya menjadikan saya seorang hamba yang lebih baik? Tidak… Bahkan ia telah meragut sebahagian besar dari iman saya. Ketika ini, saat ini dan detik ini, saya sedang mengalami penjunaman iman yang sangat besar. Di kala ini, saya sedang tergelincir di atas tebing yang amat curam.
Suatu ketika dulu, di saat apa yang saya idamkan belum dapat dicapai, di saat apa yang saya impikan belum terlaksana, seringnya saya sujud merintih kepada Allah. Mengharapkan belas dan ehsanNya untuk membantu saya yang dalam kesempitan. Namun selepas apa yang saya doa termakbul, selepas apa yang saya impikan menjadi kenyataan, begitu mudah saya berpaling dariNya.
Sering saya bermenung. Memikirkan betapa saya rindu dengan dugaan dulu. Betapa saya rindu untuk merintih, meratap pilu mengharapkan simpatiNya. Betapa saya rasa kosong hidup tanpa dugaan begini. Namun sebenarnya, saya sedang diduga. Dan yang paling benar, saya sedang gagal dalam dugaanNya kali ini. Betapa pada kali ini saya tidak mempu menolak bahkan hanyut dalam gelombang dugaan yang diberikanNya.
Keluarga, anak dan harta juga merupakan dugaan. Dan kerana perkara2 ini, saya mula menjauhkan diri dari Allah. Allah telah menduga saya dengan memberikan kesusahan dan Alhamdulillah, kesusahan itu berjaya membawa saya lebih dekat kepadaNya. Kemudian Allah berikan pula saya dugaan dengan kesenangan. Malang sekali, saya telah gagal dalam dugaan ini.
Jika dulu, begitu mudahnya untuk saya menitiskan airmata tatkala mengangkat doa ke hadratNya, tetapi kini doa yang saya panjatkan tidak ubah seperti lafaz yang kosong. Dek kerana terlalu seronoknya mencapai harapan, saya terus hanyut dalam arus duniawi. Betapa saya kini kian terjangkit oleh penyakit al-Ahwan yang dikatakan oleh Nabi saw. Penyakit cintakan dunia dan takutkan mati.
Maka, jika dihitung kembali, 2005 bukanlah tahun kejayaan buat saya. Inilah tahun kegagalan. Inilah tahunnya di mana saya hanyut dibawa arus kesesatan. Inilah tahunnya di mana saya mula lupa diri dan gagal bersyukur sebagaimana sepatutnya kepada Allah. Inilah tahunnya di mana semua ilmu saya bertukar menjadi maklumat kerana tidak diamalkan. Mengapakah saya begitu hina hingga gagal dalam ujian yang sedikit ini?
“Ya Allah! Ampunkan aku ya Allah. Betapa aku lemah dalam menghitung rahmahMu. Betapa aku lemah hingga tertunduk kepada nafsu yang lesu. Sesungguhnya aku mengharapkan ehsanMu untuk memimpin aku kembali ke jalanMu.”
Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan kita sepanjang tahun ini bergantung kepada definisi kita terhadap kejayaan tersebut. Dan menurut definisi saya, saya adalah tergolong dalam golongan orang2 yang gagal. Semua kejayaan dunia ini hanya akan lebih memimpin saya jauh dariNya. Lebih teruk lagi, ia akan memimpin saya terus ke neraka… Wana’uzubillahi minzalik.
Semoga Allah akan memberikan saya dan kita semua lebih kejayaan pada tahun hadapan. Bukan sekadar kejayaan duniawi bahkan kejayaan sebagai hamba yang bertaqwa. Semoga Dia tidak akan membiarkan kita terus hanyut dalam arus kuat gelombang dugaan sebegini. Semoga Allah mengampunkan sekalian dari kita…
1 comment:
Bagus teruskan menulis dengan keazaman di tahun baru.
Semoga ia menjadi satu amal ibadah kita dalam menyedarkan masyarakat.
Maju bersama Islam...
Post a Comment