Kasihnya Allah
Biarlah saya mulakan bicara kali ini dengan sebuah kisah yang saya petik dari sesi Bayan di Markas Tabligh Kempas, Johor Bahru. Dalam satu peperangan, tatkala pembahagian rampasan harta dan hamba sedang dilakukan, kedengaran seorang perempuan yang menangis dalam keadaan yang amat kuat. Tangisan yang penuh syahdu itu menarik pandangan Rasulullah saw.
Maka Baginda saw pun bertanya mengapa dia menangis. Perempuan itu menyatakan bagaimanakah dia tidak menangis sedangkan dia dipisahkan dari bayinya. Maka Rasulullah memerintahkan bayi wanita itu dipulangkan seraya berkata bahawa kasih sayang itu terbahagi kepada 100 bahagian. Hanya 1 bahagian Allah sebarkan di dunia ini iaitu kasih ibu kepada anak. 99 bahagian lagi adalah kasih Allah kepada hambaNya.
Subhanallah… Begitu besar lagi kasih Allah terhadap kita. Malah jauh lebih besar dari kasih seorang ibu terhadap anaknya. Bukankah kita biasa melihat bagaimana seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja demi menjamin kebahagiaan anaknya yang dikasihi? Malah Nabi saw juga mengatakan doa wanita lebih makbul kerana sifat penyayangnya. Sungguh seorang ibu itu sangat2 penyayang.
Akan tetapi kasih Allah adalah jauh lebih besar. Sebesar mana? Hanya Dia yang mengetahui. Tapi dapatkah kita menilai kasih sayang Allah? Untuk apakah Allah menciptakan bumi, matahari, sungai, laut dan segala2nya? Untuk kita! Dan mengapa? Kerana kasihnya Dia kepada kita. Kerana Dia mengetahui kita memerlukan semua itu sedangkan Dia Maha Suci dari sifat memerlukan.
Sekarang, tanyalah diri sendiri. Sejauh manakah kasih kita kepada Allah? Kita tidak mungkin dapat mengatasi kasihnya Allah kepada kita tapi mampukah kita menyaingi atau setidak2nya menyayangiNya separuh dari kasih yang Dia limpahkan? Tidak! Bahkan kita telah menyintai nikmat yang Allah kurniakan lebih dari kasihnya kita terhadap Allah. Bukankah kita lebih menyayangi anak, keluarga, harta dan segalanya?
Astaghfirullah… Ya Allah! Ampunilah kami. Betapa kami gagal menghargai kasih sayang Mu. Di saat ini, dalam hati kami lebih banyak terukir nama ahli keluarga kami dari namaMu ya Allah! Di saat ini, kami lebih berhempas pulas mendapatkan harta dari mendapatkan keredhaanMu ya Allah. Dan di saat ini kami lebih sibuk bercerita tentang hidup kami dari berzikir mengingatiMu ya Allah! Ampunilah kami ya Allah!
Diriwayatkan, apabila seseorang menyatakan rasa cinta kepada Allah dengan sepenuh hati yang ikhlas, maka Allah akan memerintahkan Jibrail untuk menyeru sekalian penduduk langit dan bumi supaya menyayangi orang tersebut. Begitulah hebatnya. Hanya kerana kita menyayangi Allah dengan sepenuh hati maka seluruh isi dunia di langit dan di bumi akan turut menyayangi kita.
Sebelum kedatang Islam, bumi Mesir dipenuhi dengan perbuatan kurafat. Gadis2 sunti akan dikorbankan di Sungai Nile kononnya supaya sungai itu melimpahkan banjir yang akan menyuburkan tanah di tebingnya sekaligus menambah pendapatan mereka. Selepas kedatangan Islam, Gabenor yang memerintah Mesir mendapati perkara ini bertentangan dengan syariah dan telah mengutus surat kepada Khalifah Umar ra.
Apa tindakan Umar ra? Beliau hanya mengutuskan 2 pucuk surat sebagai balasan. Sepucuk kepada Gabenor dan sepucuk lagi untuk Sungai Nile. Dan antara kandungan surat untuk Sungai Nile ialah, ‘Wahai sungai, sekiranya dikau mengalir kerana kehendakmu, maka berhentilah dari mengalir. Sekiranya dikau mengalir atas perintah Allah, dengan perintah aku, Amirul Mukminin maka limpahkan air ke tebingmu’.
Dengan izin Allah melimpahlah air Sungai Nile selepas itu. Serentak itu, terhapuslah budaya mengorbankan gadis2 untuk memperolehi hasil yang lumayan. Begitulah Islam telah menyelamatkan manusia dan begitulah juga bagaimana sungai mematuhi orang yang dalam hatinya ada Allah. Saiyidina Umar ra menyintai Allah sepenuh hatinya dan dengan itu, sungai2 juga menyintai beliau.
Dapatkah kita menyatakan cinta kepada Allah dengan setakat melafazkannya di bibir? Tentu sekali tidak. Tentunya cinta yang sejati ialah dengan sentiasa mengingati, menyebut dan mematuhi semua permintaan yang dicintai. Kalaupun tidak mampu untuk kesemuanya, memadainya dengan berusaha untuk membuat sebanyak yang mungkin. Itulah baru dinamakan cinta.
Allah telah banyak bertolak ansur dengan kita. Ketika bangkit tidur, yang pertama terlintas dalam fikiran kita bukanlah rasa syukur kerana masih dihidupkan sebaliknya perkara yang ingin kita lakukan di hari tersebut. Allah sudi memaafkan kita. Ketika makan, kita sering memuji kelazatan makan yang kita makan. Padahal sepatutnya kita memuji kemurahan Allah mengurniakan rezeki untuk kita. Masih Allah memaafkan.
Bahkan ketika berjimak, yang kita ingat adalah untuk memuaskan nafsu serakah hingga terlupa bertapa Allah dengan RahmahNya telah mengurniakan kita seorang pasangan yang baik. Malah tidak pernah terlintas di hati agar dengan jimak tersebut lahirnya anak yang akan taat kepada perintah Allah dan RasulNya. Juga Allah masih memaafkan dan tetap melimpahkan rezeki dan rahmat yang tak terhingga buat kita.
Seringkali saya malu pada diri sendiri. Entah mengapa susah sangat hati ini untuk berkata ‘cukup’. Sudahlah tak berterima kasih dengan kurniaanNya, malah seringkali meminta untuk lebih lagi. Kalau berjaga malam untuk kerja atau World Cup seringkali tiada masalah. Tapi untuk tahajjud…? Ya Allah! Ampunkahlah hambaMu yang hina ini. Sebenarnya kita yang mengina diri kita sendiri.
Sekiranya Allah ingin memusnahkan dunia ini, pada bila2 masa sekalipun, adalah tidak mustahil bagiNya. Tetapi Allah telah berjanji. Selagi ada manusia yang bangun malam untuk munajat, berzikir mengingatiNya, maka Allah akan simpan dunia ini kerana orang tersebut. Tapi kita sering memandang serong kepada mereka yang ‘iktiqaf di dalam masjid untuk menghidupkan malam. Sedangkan kita masih ada kerana zikir mereka.
Antara nikmat pertama yang akan Allah tarik balik ialah khusyuk dalam solat. Dan solat kita di akhir zaman ini terlalulah hinanya. Diriwayatkan Allah akan memerintahkan Jibrail untuk memeriksa barisan saf kita. Maka kembalilah Jibrail dengan mengatakan saf kita yang bengkang bengkok. Kemudian Allah perintahkan untuk memeriksa bacaan pula. Juga gagal. Sedang bacaan imam sendiri huru-hara.
Kemudian Allah memerintahkan untuk memeriksa kekhusyukan kita. Juga gagal. Tapi Allah tetap terima solat kita kerana kita bersolat sepertimana Nabi saw bersolat. Bukankah itu bukti kasihnya Allah kepada kita? Allah menerima solat kita hanya untuk satu alasan yang kecil. Pun begitu, kita masih lagi malas untuk ke masjid berjemaah dengan mereka2 berbagai2 alasan yang remeh temeh.
Malah ada segolongan manusia yang menggalakkan solat bersama suami isteri kononnya untuk merapatkan kasih sayang. Mana belajar? Kalau solat sunat, ok tapi kalau solat fardhu, salah tu! 300% salah! Kalau nak eratkan kasih sayang, bukankah lebih utama untuk kita merapatkan diri dengan Allah? Dan bukankah masjid sebaik2 tempat untuk kita merapatkan diri kepadaNya? Bukankah masjid itu rumahNya?
Untuk memperoleh pertolonganNya hendaklah kita membantu agamaNya terlebih dahulu. Bukan sebaliknya. Bukan setelah kita dipuaskan dengan segala yang kita impikan, barulah nak balik ke jalan Allah. Itu salah. Maka dengan itu marilah kita bersama2 menyeru manusia ke jalan Allah. Marilah kita tingkatkan dakwah. Semoga dengan itu Allah akan lebih menyayangi kita dan sudi membantu kita.
No comments:
Post a Comment