25 January 2006

Pertentangan 2 Generasi


Baru sebentar tadi saya dihubungi oleh seorang kenalan saya. Katanya ada pertentang atau pertengkaran yang terbaru antara dia dengan ayahnya. Antara kedua beranak ini, memang telah diketahui akan keadaan hubungan on & off mereka. Tetapi kali ini saya dimaklumkan ianya jauh lebih besar. Sebaik mendengar perkhabaran ini, saya menggeleng²kan kepala. Sedih sebenarnya kerana saya juga terlibat.

Sebenarnya, antara mereka memang sudah wujud riak² perbezaan jurang semenjak kebelakangan ini. Atau lebih tepat, semasa Hari Raya Eidul Adha tempoh hari. Sebaik saya pulang, saya dikhabarkan berita tidak gembira sebegini. Jadi, untuk menjernihkan suasana, saya jemputlah kedua² keluarga ini untuk pergi makan bersama. Moga² ketika makan nanti, keadaan kedua²nya boleh pulih seperti sediakala.

Yang menyedihkan, ketika ‘acara makan²’ itulah nanah yang terkumpul itu bertukar menjadi barah. Atas beberapa insiden, kedua²nya mula menyalahkan antara satu sama lain sebagai memulakan sengketa. Lebih perit lagi, apabila petang tadi kenalan saya mengirim saya sms menceritakan bagaimana  ayahnya menelefonnya dan ‘mencurahkan isi hati’ kepadanya. Paling sakit, apabila ayahnya berdoa agar Allah membalas apa yang dia lakukan kepada ayahnya.

“Aku tak kisah kalau dia nak doa macam tu. Yang penting aku tahu aku tak buat salah apa. Aku pun tau dosa juga.” Terang teman saya. Saya jadi terdiam. Merenung sejenak sambil melepaskan keluhan perlahan di dalam hati. Dalam diam terbit rasa menyesal kerana mempertemukan kedua mereka. “Sabarlah. Orang tua macam itulah…” Itu sahaja yang mampu saya katakan kepada kenalan saya itu sambil berjanji akan memujuk ayahnya secara perlahan² nanti.

Saya pernah menganjurkan kursus motivasi yang dihadiri oleh lebih 60 pelajar darjah 6 disebuah penempatan felda di Segamat selama 3 hari 2 malam. Selama tempoh tersebut, saya perlu menguruskan mereka termasuklah memberikan nasihat kepada pelajar yang dikenali sebagai bermasalah. Namun rasanya, menasihatkan 60 orang kanak² jauh lebih mudah dari menasihatkan seorang tua yang sudah melampaui 60 tahun umurnya.

Saya termenung panjang ketika berhadapan dengan ayah kenalan saya tadi. Di dalam hati telah saya susunkan ayat untuk berbicara tetapi entah mengapa lidah saya terlalu kelu. Saya cukup kenal dengan orang tua ini. Hatinya cukup sensitif walaupun perwatakannya ketika muda dahulu begitu kasar. Saya bimbang, jika salah nasihat saya pula yang akan dimusuhinya. Hendak dibiarkan, terasa kasihan pula terhadap kenalan saya tadi.

Rasanya pertentangan antara 2 generasi memang sentiasa berlaku di dalam dunia moden hari ini. Saya katakan kepada kenalan saya tadi bahawa dia bertemu hanya sekali dalam sebulan. Namun saya tinggal bersama ayah saya. Sepatutnya kedudukan saya lebih rumit. Tetapi Alhamdulillah, setakat ini perhubungan kami masih berjalan lancer. Entah esok lusa terjadi pertengkaran antara kami tidak tahulah pula. Namun moga² Alah menjauhkannya. Wana’uzubillah…

Bukan sebenarnya tidak pernah langsung wujud perbezaan pendapat antara saya dan ayah saya. Tentu sekali ada. Walaupun saya sering dijolok sebagai anak kesayangan ayah oleh adik-beradik yang lain, hakikatnya saya sering juga ditegur oleh ayah saya. Ada² sahaja perkara yang tidak elok pada pandangan matanya. Tetapi saya tetap sabarkan. Bukan apa… Pada pendapat saya, kadangkala orang² tua ini tidak perasan bahawa zaman sebenarnya sudah berubah.

Mereka tidak sedar sebenarnya bahawa budak² di zaman sekarang sudah pandai bermain komputer sebaik sahaja dilahirkan. Mereka juga tidak sedar bahawa kebanyakan kepercayaan dan petua² yang mereka percayai semenjak turun temurun sudah lapuk dan tidak lagi boleh diterima pakai di zaman IT sebegini. Dan oleh kerana kepercayaan mereka begitu kuat, apakah kita hendak mensia²kan waktu bertengkaran dengan mereka?

Lebih baik kita lakukan perkara lain yang lebih berfaedah. Walaupun kita sebenarnya berniat baik untuk memperbetulkan kesilapan orang tua kita, tetapi seandainya kita lakukan dengan kasar sehingga menyebabkan mereka terluka, kita tetap berdosa. Maka kerana itu, saya lebih suka mengambil sikap menuruti apa sahaja arahan atau permintaan mereka. Kecuali jika ada yang benar² jelas tersimpang dari jalan syariah yang haq.

Ayah seorang yang tegas. Tetapi ketegasan ayahlah yang telah membentuk diri saya hari ini. Saya masih ingat bagaimana kakak saya disambut dengan penampar apabila pulang lewat 15 minit dari waktu yang dia benarkan. Namun bagi saya ketegasan itu memang bertempat. Hasilnya, kakak tidak pernah pulang lewat lagi. Dan kini saya pula yang mengikut jejak ayah dalam mendidik anak.

Namun ayah tidak pula bersetuju dengan ketegasan saya. Kata ayah, anak saya masih kecil. Saya tidak berkeras untuk bertegas terhadap anak saya kepada ayah. Sebaliknya, di dalam ketawa saya ungkitkan kembali apa yang kami lalui ketika kecil. Ayah hanya tersenyum. Ayatnya termati di situ. Pun begitu saya tetap biarkan ayah memanjakan anak saya. Kerana ketika kami kecil, ayah terlalu sibuk mencari wang. Biarlah dia mengutip kembali apa² yang dia telah tercicir dahulu.

Selepas saya tamat pengajian di UTM, saya begitu aktif dengan lumba haram. Setiap hari ada saja jiran yang akan mengadu terserempak dengan saya sedang berlumba di Lebuhraya Pasir Gudang. Lalu ayah ‘memaksa’ saya membeli sebuah kereta. Saya kirakan ayah ingin menggunakan kereta tersebut. Tetapi rupanya dia tetap tidak berpuas hati selagi saya tidak menjual motor saya. Begitulah kasihnya seorang ayah yang risau tentang keselamatan anaknya.

Malah ketika saya tamat pengajian, ia adalah zaman kejatuhan ekonomi yang teruk. Maka sijil yang saya miliki tidak mampu menjanjikan gaji yang lumayan. Ayahlah yang bersusah payah meminta jiran saya mengambilkan borang untuk bekerja di majikan lama saya. Pada awalnya saya menolak kerana gembira dengan teman² di tempat saya bekerja walaupun sering ‘kekeringan’. Tetapi ternyata, tidak sia² saya mematuhi permintaan ayah saya.

Pertelingkahan antara 2 generasi lelaki ini tidak akan berakhir. Setiap masa akan sentiasa ada perbezaan pendapat akibat jurang yang dibentuk oleh zaman. Maka kerana itu saya katakan kepada kenalan saya itu agar beralah kepada ayahnya. Biarlah kita meminta maaf walaupun secara terang kita di pihak yang benar. Kerana biar sejahat manapun ayah kita, di belakangnyalah kita akan beratur nanti selepas ‘dibangkitkan’, insyaAllah.

Tambah lagi apabila mengenangkan pengorbanan yang telah ayah lakukan. Saya percaya, 99% dari ayah² di seluruh dunia tidak mengharapkan balasan dalam bentuk material dari anak²nya. Apa yang mereka perlukan hanyalah balasan dalam bentuk kepatuhan. Seperti lirik sebuah lagu di dalam filem Panca Delima; “Kasihnya ayah… Berkorbankan nyawa…”, seorang ayah sanggup tergadai nyawanya demi membahagiakan keluarganya. Jelas, mematuhi mereka bukanlah perkara yang sia². Maka tidak ada salahnya jika kita beralah terhadap mereka…

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.