01 March 2006

30 Sen Lagi


Malam kelmarin (Isnin), ketika dalam bas ekspres menuju ke Kerteh, tiba²
saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari abang saya. "Dik, engkau
dekat mana?" "Dalam bas on the way ke kerteh. Ada apa?" Tanya saya. Bimbang
juga jika ada apa² berlaku. "Tak. Kawan aku dari Petronas beritahu aku.
Harga minyak akan naik lagi esok. 30 sen. Aku ingat kau di rumah. Bolehlah
isi minyak penuh² malam ini."

Saya tersenyum mendengar kata² abang saya. Bukan apa. Kadang kala abang
saya begitu mudah terpengaruh dengan khabar angin. Selalunya apabila harga
minyak hendak naik, kita akan dengar kekecohan di sana sini terlebih
dahulu. Ini tiba² pula. Tidak ada hujan, tidak ada angin, takkanlah tiba²
hendak ribut pula. Namun kemudian, saya tetap menelefon ayah saya meminta
dia mengisi minyak keretanya.

Keesokan paginya, saya tiba di lapangan terbang seperti biasa. Selesai
check in, saya pun menunaikan solat subuh di surau yang disediakan. Habis
solat, ketika sedang menyarung kasut, seorang teman duduk di sebelah saya.
"Harga minyak naik 30 sen lagi pagi ni." Bisiknya kepada saya. "Man engkau
tahu?" "Malam tadi. Ada keluar satu garis sahaja di TV3 pukul 11 tengah
malam."

Saya terdiam sambil menggeleng²kan kepala. Jadi benarlah apa yang abang
saya beritahu malam tadi. Jijik betul taktik kerajaan kali ini. Iyalah.
Mereka telah melihat bagaimana para pemandu beratur di stesen minyak untuk
mengisi minyak sebelum jam 12 malam jika diberitahu awal² tentang kenaikan
harga minyak. Maka dibuatnya pengumuman jam 11 malam. Persoalannya, mengapa
begitu?

Nampak sangat seolah² kerajaan mahu rakyat terus terkena beban kenaikan ini
serta merta. Apalah salahnya jika dibiarkan rakyat menikmati harga lama itu
untuk kurang 24 jam lagi? Kerana bimbang orang buat stockpiling? Entahlah.
Sudahlah kenaikan 30 sen, yang tertinggi dalam sejarah, ini mengecewakan.
Cara pengumuman dibuat lebih² lagi menyakitkan hati. Saya terasa ketika ini
para menteri sedang ketawa mengenangkan kelam kabut rakyat.

Kelam kabut ketika berebut² mengisi minyak di saat² akhir. Dan kelam kabut
menyusun belanjawan akibat kenaikan yang saya sebut sebagai melampau ini.
Tetapi apa boleh dibuat? Kita mentimun dan mereka durian. Dilenyek, kita
yang terluka. Melenyek mereka juga kita yang tetap akan terluka. Yang
peliknya, rakyat tidak pernah hendak menghukum kerajaan yang tidak habis²
menghukum kebodohan rakyat.

Dahulu, ketika kenaikan sebanyak 10 sen, ramai rakyat yang sokong. Apabila
kerajaan laungkan 'slogan' Bangsa Subsidi, yang saya sifatkan sebagai
menghina anak bangsa sendiri, ramai juga rakyat yang terlompat² kegembiraan
kerana bersetuju dengan apa yang telah kerajaan perkatakan. Yang bising²
pun, setakat cakap² di belakang. Perlahan-lahan, kita akhirnya dapat
menerima kenaikan itu.

Kemudian dinaikkan lagi. 20 sen pula. Sekali lagi, perkara yang sama
seperti ketika kenaikan sebanyak 10 sen berlaku lagi. Dan lagi, dan lagi,
dan lagi. Setiap kali ada kenaikan, keadaan tetap sama. Dan sehinggalah
semalam (28 Feb 2006) harga minyak naik buat julung kalinya sebanyak 30
sen. Dan saya jangkakan, rakyat tetap akan bising² setakat 'gitu-gitu'
sahaja. Kemudian diam seperti tidak ada apa yang berlaku.

Betullah cakap Mahathir. Melayu mudah lupa. Senang saja caranya. Selepas
ini akhbar² perdana boleh muatkan isu² yang hangat sedikit. Seperti cerita
kes rogol kanak², atau pelacur Uzbekistan dan sebagainya. Secara serta
merta pandangan dan komen rakyat akan teralih kepada isu baru ini. Maka
lupalah mereka tentang kenaikan 30 sen ini. Memanglah Melayu mudah lupa.

Banyak sangatkah kesan kenaikan 30 sen ini? Banyak. Terlalu banyak. Kalau
kenaikan setakat 3 atau 5 sen, mungkin tidak begitu terasa. Tetapi kenaikan
kali ini, para pemilik motorsikal juga akan terjejas. Bukan setakat
terjejas malah terjejas dengan begitu teruk. Bayangkan sebuah motorsikal
yang kapasiti tangki minyaknya sebesar 4 liter. Ketika harga lama, isian
penuh bernilai lebih kurang RM6.40.

Dengan harga baru, si pemilik motorsikal terpaksa mengisi membayar sebayak
RM7.60. Bayangkan. Kenaikan sebanyak RM1.20. Mungkin ada yang berpendapat
tidak sebanyak mana tetapi cuba bayangkan satu situasi seperti seorang
kenalan saya. Kenalan saya ini tinggal di Pasir Gudang tetapi bekerja di
Pusat Bandaraya. Setiap hari dia terpaksa menunggang motor (yang berusia
lebih 10 tahun) sejauh lebih kurang 80km pergi dan balik.

Dengan anggapan setiap liter minyaknya boleh bertahan untuk perjalanan
sejauh 20km, dia terpaksa mengisi minyak secara penuh hampir setiap hari.
Bermakna perbelanjaannya meningkat sebanyak RM1.20 setiap hari. Ataupun
RM31.20 sebulan. Masih tidak banyak? Jika anda beranggapan begitu, nyatalah
anda seorang yang penting diri dan lemah dalam matematik. Sekaligus
melayakkan anda menjadi seorang menteri kabinet.

Kenaikan minyak akan mendorong kenaikan harga² barang yang lain. Mana
tidaknya, setiap barangan dihantar dengan menggunakan lori. Apakah kerajaan
fikir para peniaga ini begitu bodoh dan bebal untuk menanggung kerugian
akibat kenaikan harga minyak semata² untuk survival rakyat terbanyak? Tidak
mungkin terjadi. Jadi, secara kasarnya, kenalan saya tadi akan menanggung
tambahan kos lebih RM100 sebulan akibat kenaikan harga minyak.

Dengan gajinya yang sudah 5 tahun tidak naik, dengan syarikat yang
memberikan lebih kerja tetapi tidak dibernarkan overtime claim,
bagaimanakah agaknya dia menghadapi hari esok? Mengapa dia tinggal jauh
dari tempat kerja? Kerana kerajaan juga! Membuat pembangunan yang tidak
terancang. Rumah murah hanya dibina nun di ceruk² rantau. Yang terdiri di
kawasan bandar hanyalah yang harganya lebih RM120k.

Anda menjangka seorang lelaki yang bergaji RM1000 sebulan sepertinya hendak
membayar harga rumah sebegitu? Huh! Kerajaan... Konon simpati tengok orang
Melayu duduk rumah setinggan. Maka dirobohnya rumah yang kononnya
menjijikkan mata ini. Tetapi lihatlah bagaimana siksanya orang Melayu,
pemilik negara ini yang asalnya bernama Tanah Melayu tersiksa atas nama
pembangunan!

Dan kenalan saya juga sudah jenuh mencari kerja di sekitar Pasir Gudang
tetapi tetap gagal. Mengapa? Kerana dia seorang Melayu. Dan layaknya
jawatan yang disandangnya sekarang (berkaitan dengan purchasing) dipegang
oleh bangsa satu lagi di syarikat² lain. Jika dia hendak berkerja juga,
jadi operator pengeluaran bolehlah. Hm... Agaknya beginilah cara kerajaan
membalas jasa rakyat yang memilih mereka.

Saya benar² kecewa. Sedih, marah dan berbagai lagi ada di dalam hati saya
sekarang ini. Kenaikan harga minyak sehingga RM3 seliter pun tidak akan
begitu mengganggu saya. Tetapi saya sedih melihat teman² dan orang
sekeliling saya yang terpaksa bersusah payah semata² untuk menampung
kekurangan hidup akibat sifat pentadbir negara yang cuba bersikap lepas
tangan dari kegagalan pentadbiran mereka.

Teringat saya ketika mereka berkunjung ke kediaman kami baru² ini. Petang
itu secara kebetulan lalu sebuah motorsikal menjual aiskerim. Si anak yang
baru berusia 2 tahun terjerit² kepada ibunya "Bu! Aiskerim bu. Ibu...
Aiskerim" Berulang kali anak kecil itu menyebut. Namun di ibu dan bapanya
hanya mendiamkan diri. Harga aiskrim yang mencecah RM2 semangkuk kecil
sudah cukup mahal buat mereka.

Simpati melihat keadaan itu, lalu isteri saya menahan si penjual dan
membelikan untuk mereka aiskerim tersebut. Sebak saya melihat kegembiraan
anaknya mendapat aiskerim. Kanak²... Apalah yang mereka tahu tentang
kesusahan ibu bapa mereka. Hm... Seeloknya kerajaan melihat situasi begini.
Biar mereka benar² arif kesusahn rakyat di bawah pentadbiran mereka.
Alah... Entah² Bersamamu pun mereka tidak tonton.

Inilah akibatnya jika pemimpin jauh dari rakyat. Seorang pemimpin sebaik
Saiyidina Umar ra sentiasa berkeliling kota mencari orang yang susah.
Bukannya berjalan di atas karpet merah dan berucap di atas pentas yang
mewah. Bukan setakat melaungkan 'Hidup Melayu' tetapi dalam masa yang sama
terus 'membunuh' Melayu. Sebaliknya berusaha agar kekayaan dinikmati oleh
segenap lapisan masyarakat. Bukan orang² yang rapat sahaja.

Saya minta maaf jika tulisan ini menyinggung hati mana² penyokong kerajaan.
Saya tidak membenci kerajaan tetapi saya sedih melihatkan kelemahan mereka
yang memegang tampuk pentadbiran negara ini. Jika tidak mampu menangani
masalah ekonomi negara, lebih baik turun takhta. Jangan terus² bebankan
rakyat dengan keputusan² yang merugikan seperti ini. Dan akhir kata, saya
hanya mempraktikkan kebebasan bersuara. Jika benar ia dipraktikkan di
Malaysia...

1 comment:

Anonymous said...

tahap 'apati' iaitu tahap rakyat yang tak kisah dan biarkan terlalu tinggi menyebabkan pihak atasan mengambil tindakan sesuka hati. Mereka tahu rakyat tak kisah. marah2 sikit, next election tetap undi.Golongan elit politik memang suka ambil tindakan begini tanpa persetujuan rakyat(majoriti)- kita derita di bumi sendiri.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.