27 February 2006

Salah Guna Kelebihan


Kalau anda membaca Metro ahad hari ini (26 Feruari 2006), terlampir di muka hadapannya ialah kisah mengenai pelacur Uzbekistan yang mula membanjiri negara kita. Secara jujur, saya belum sempat membaca secara penuh artikel tersebut. Hanya sekadar mendengar apa yang ibu dan abang saya bacakan secara kuat. Antara yang menarik ialah mengenai caj yang dikenakan sebanyak RM400 satu jam.

RM400? MasyaAllah… Mahal tu! Lebih kurang sebulan gaji pokok permulaan untuk seorang operator pengeluaran di kilang elektronik. Tapi itu untuk bayaran bulanan. Yang ini bayaran perkhidmatan selama satu jam. Kalau saya, wang sebanyak itu cukup untuk membeli barang keperluan dapur kami satu keluarga (5 orang). Tetapi si lelaki sanggup membayar hanya untuk perkhidmatan satu jam?

Sudah tentulah pelanggan si pelacur² ini terdiri dari orang² kaya. Taukeh² besar atau mungkin dato’². Atau sekurang²nya anak² mereka. Takkanlah kita hendak mengjangka mat² lepak yang duduk di tepi² tembok, yang sering dikaitkan dengan masalah sosial pula yang hendak melanggan pelacur² kelas atasan ini. Bukan? Mereka jika dapat wang sebanyak itu, lebih dibuat beli ganja atau belanja ‘awek’ makan.

Itu yang peliknya. Orang² kaya, yang sudah diberikan Allah kelebihan dengan limpahan rezeki yang mencurah, telah menggunakan kelebihan yang diberi untuk memuaskan nafsu serakahnya. Tambah pelik, kebiasaannya pemilik² syarikat yang kaya raya ini, jika pekerja meminta tambahan gaji sebanyak RM100 sebulan, bukan main kedekutnya lagi. Tetapi untuk perempuan hina sebegini, sanggup pula mereka.

Nyatalah Malaysia umumnya dan Kuala Lumpur khasnya telah semakin popular sebagai destinasi pelacuran selain kempen destinasi pelancongan seperti yang ingin dilihat oleh kerajaan pentadbir. Jika Kelantar secara sinis digelar Serambi Maksiat oleh Buletin Utama TV3, bilakah agaknya TV3 akan menggelar Kuala Lumpur sebagai ‘Mekah bagi Pembuat Maksiat’.

Tetapi ini bukan artikel politik. Rasanya sudah banyak kali saya sentuh tentang peranan kerajaan yang diabaikan dalam menangani maksiat. Seperti email seorang pembaca saya, katanya saya tulis panjang² pun sia² kerana golongan pemimpin tidak membaca artikel saya. Tetapi bagi itu tidak mengapa. Yang penting bukan golongan pemimpin, sebaliknya orang yang memilih pemimpin tersebut yang membacanya.

Apa yang ingin saya garapkan di sini ialah mengenai kisah dan perihal akan segelintir dari kita (termasuk saya) yang dikurniakan Allah dengan berbagai² kelebihan, kelebihan dari segi rezeki, kelebihan dari segi kepakaran, kelebihan dari segi ilmu, tetapi telah menggunakan kelebihan² tersebut pada jalan lain, jalan yang tidak haq. Iaitu jalan yang selain dari fisabilillah.

Manusia² kaya, yang mampu membayar RM400 untuk satu jam perkhidmatan seks dari gadis² Uzbek tadi, telah menggunakan kelebihan rezeki yang Allah kurniakan kepada mereka untuk memuaskan nafsu mereka. Sedangkan RM400 itu mereka boleh gunakan untuk menyara seorang isteri untuk sekurang²nya 2 minggu. Jadi apalah salahnya jika mereka berkahwin lain?

Mungkin ini juga akibat daripada sifat perempuan moden, yang terlalu mementingkan feminisme yang memperjuangkan konsep ‘satu suami satu isteri’. Secara tiba² saya teringat kata² seorang teman saya, seorang lelaki Melayu yang mengaku Muslim. Ketika itu dia dan beberapa lagi teman sedang mengumpat seorang lelaki lain. Oleh kerana saya tidak mengenali yang diumpat, maka saya hanya mendengar.

Katanya, lelaki tadi sudah bermain kayu tiga dengan isterinya. Dia telah menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Seorang teman yang berbangsa Cina menyampuk dengan mengatakan bahawa mereka sudah berkahwin. Tetapi kemudiannya dinafikan oleh seorang teman yang lain, Yang memeranjatkan saya, teman saya yang Melayu tadi boleh berkata “Nasib baik tak kawin. Macam tu tidak apa lagi…”

Nasib baik tidak berkahwin? Apa ini? Apakah berzina itu lebih mulia dari berkahwin dua? Apakah hina seorang yang mengamalkan poligami berbanding lelaki yang mempunyai perempuan simpanan? Hinakah Nabi saw? Mungkin kerana itu wanita juga lebih cenderung memohon cerai dari hidup bermadu. Mengapa memilih neraka daripada payung emas di syurga?

Begitulah. Namun bukan setakat orang kaya ini yang menyalah gunakan kelebihan yang mereka ada. Sebenarnya ada ramai lagi. Bagaimana dengan orang yang dikurniakan kelebihan berkata² tetapi telah menggunakan kelebihan itu untuk menipu orang lain. Menggunakannya untuk mengaut keuntungan diri sendiri? Begitu juga dengan orang yang mempunyai kepakaran, membetulkan kereta misalnya.

Atas sedikit kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita, mudahnya kita tersalah arah dan menggunakan kelebihan itu untuk kepentingan diri. Sehingga kita terlupa tentang kemaslahatan masyarakat dan umat Islam khususnya. Bukan setakat mereka, malah ramai lagi. Itu tidak lagi diambil kira tentang mereka yang dikurniakan kuasa tetapi menggunakan kusa tersebut untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni.

Jika kita memandang orang² yang melanggan pelacur itu sebagai hina, apakah kurangnya diri kita? Selagi kita tidak menggunakan kelebihan yang kita ada untuk tujuan fisabilillah, selagi itulah kita juga tergolong dalam kelompok mereka. Bererti sama sahaja antara kita dan mereka. Cuma mungkin jijiknya mereka itu jelas kelihatan. Tetapi, di hadapan allah kita sama² berdosa.

Dan janganlah ada kepercayaan bahawa sekadar menetang dengan hati boleh menyelamatkan diri kita. Menentang dengan hati hanyalah diterima jika kesemua jalan lain (dengan tangan dan perkataan) telah digunakan. Bukankah kita telah diperingatkan dengan kisah seorang abid (ahli ibadah) yang turut sama ditimpa bencana tatkala Allah menurunkan balasan?

Lalu apa peranan kita? Bagaimana nanti jika mereka yang berdosa ini di hadapan Allah mempersaksikan bahawa kita melihat mereka melakukan maksiat tetapi tidak memaksa mereka untuk menghentikannya. Bagaimana jika mereka dakwa sekiranya kita menarik mereka, pastinya mereka berhenti dari berbuat dosa? Apakah yang hendak kita jawabkan nanti?

Selagi kita sekadar menentang di dalam hati tatkala melihat maksiat, selagi itulah kita masih menyalah gunakan kelebihan yang Allah berikan. Kerana Allah telah mengurniakan kita iman dan tugas para nabi, namun kita gunakan hanya untuk diri sendiri. Jika begitu keadaannya, nyatalah tidak ada bezanya antara kita berbanding dengan si kaya yang melanggan pelacur Uzbek itu tadi…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.