06 February 2006

Cemburu Pada Rezeki Orang


Berdesing juga telinga saya apabila mendengar lagak teman sekerja saya pagi
tadi. Katanya, di kalangan kami, dialah yang gajinya paling besar. Dan dia
amat berbangga dengan kedudukan itu. Tidak pedulilah sama ada kami hendak
kecil hati atau tidak, dia tetap mahu bercerita. Saya dan 2 orang teman
saya yang lain hanya tersenyum. Dan 2 orang teman saya itu secara
berseloroh mengakui bahawa mereka cemburu dengan pengakuan teman saya tadi.

Saya pula, lebih berasa sakit hati dengan kebongkakannya. Apalah gunanya
dia hebohkan berapa gajinya sebulan. Saya tidak ingin tahu. Entahlah,
mungkin ini cara dia bersyukur. Atau mungkin sebenarnya dia bercerita bagi
membalas sindiran teman saya yang mengatakan dia sepatutnya bekerja lebih
kerana gajinya lebih besar. Memang benar gajinya cukup besar. Lebih sekali
ganda dari gaji saya. Namun untuk mengatakan saya cemburu..., mungkin
tidak.

Satunya, kerana saya tahu apa yang diperolehinya adalah atas usahanya
selama ini. Dan keduanya, saya percaya bahawa Allah memberikan rezeki itu
sama adil kepada semua insan. Ya, rezeki yang adil. Yang sama banyak.
Mungkin kadangkala kita tidak perasan bahawa rezeki kita sama banyaknya
dengan orang lain kerana, kita meletakkan atau mengira rezeki itu
berdasarkan digit² yang masuk ke dalam akaun kita pada setiap hujung bulan.

Apa yang hendak saya hairankan dengan lebihnya rezeki teman saya itu? Dia
sudah bekerja di syarikat ini selama 23 tahun. Sementara saya baru melepasi
tahun ke 3. Jadi, berapa banyak lebihnya gaji dia dari saya adalah hasil
kesabarannya selama 20 tahun. Bukankah itu adil? Dan jika saya mahukan gaji
sebanyaknya, saya juga sewajarnya menanti lagi 20 tahun. InsyaAllah saya
juga akan berada di tempatnya. Kerana itu, mengapa harus saya cemburu?

Sama seperti apabila seorang guru lepasan maktab merungut di hadapan saya.
Katanya, kementerian tidak adil kerana hanya memberikan banyak kelebihan
kepada guru² graduan. Gaji mereka lebih besar tetapi tanggungjawab mereka
kurang. Katanya lagi, mendidik pelajar sekolah rendah jauh lebih susah.
Tetapi pada keselaluannya, guru² sekolah rendah sering terabai di mata
kementerian.

Saya tertawa mendengar rungutannya. Apa yang hendak dikecohkan, kata saya.
Apa yang guru² graduan ini dapat hari ini adalah hasil kesabaran mereka
sendiri. Guru² maktab hanya belajar selama 3 tahun di maktab sebelum
dihantar bertugas di sekolah² tertentu. Manakala guru² graduan pula,
belajar dulu 5 atau 6 tahun di universiti, sebelum graduasi dan kemudian
terpaksa pula mengambil kursus kependidikan selama setahun di maktab.

Jadi, ketika guru² bukan graduan sudah seronok memegang duit gaji sendiri,
guru² graduan ini masih lagi sibuk ke hulu ke hilir mengepit buku untuk
menhadapi ujian. Maka bukankah mereka lebih layak untuk mendapat gaji yang
lebih kerana kesusahan yang lebih itu? Dan jika berbicara tentang susah
senangnya kerja, tentu sukar bertemu penghujungnya. Kerana perkara ini
adalah terlalu subjektif.

Semua orang akan mengatakan kerjanya susah. Memang benar mengajar budak²
yang belum pandai mengeja lebih sukar. Tetapi guru² di sekolah rendah hanya
dibebankan dengan satu peperiksaan besar iaitu UPSR. Manakala guru² sekolah
menengah pula terpaksa bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan anak
murid mereka dalam 2 peperiksaan penting iaitu PMR dan SPM? Jika dikaji
semula, bukankah keduanya sama berat bebannya?

Itulah hakikat. Sebenarnya apa yang kita perolehi sama banyak dengan orang
lain. Tetapi mungkin disebabkan sifat tamak, atau mungkin kerana nafsu yang
dibangkitkan oleh godaan syaitan, maka seringnya kita nampak orang lain
sentiasa lebih dari kita. Seperti kata bidalan Inggeris, the grass is
always greener on the other side. Rumput itu selalunya lebih hijau di
seberang atau di tempat orang.

Berbalik dengan kisah teman saya tadi, walaupun dia diberi rezeki dengan
gaji yang besar, namun rezekinya untuk memiliki anak tidak ada. Maka dari
segi itu, saya merasakan bahawa rezeki saya lebih darinya. Tidak mengapalah
jika bergaji kecil, sekurang²nya saya mempunyai sebuah keluarga yang
bahagia. Dan jika dikira² semula, rezeki saya dan rezeki teman saya tadi
sama saja banyaknya.

Inilah mesej yang ingin saya sampaikan. Rezeki itu bukanlah harta dan wang
ringgit semata². Sebenarnya, jika diperhatikan betul² terlalu banyak yang
boleh kita istilahkan sebagai rezeki kurniaan Allah di sekeliling kita.
Anak juga merupakan rezeki. Malah lebih jauh mewahnya dari harta dunia.
Merekalah yang bakal membantu kita dia alam baqa nanti. Malah iman juga
suatu rezeki. Bayangkanlah hambarnya hidup yang tidak dipayungi iman.

Lagi pula, buat apalah harta yang melimpah ruah jika kita bukanlah dari
kalangan orang yang bersyukur? Bagi saya, adalah jauh lebih mulia seorang
yang makanannya hanyalah nasi yang digaul dengan garam seandainya sebelum
menyuap dia mengangkatkan tangannya sambil berdoa meminta Allah
memberkatilah apa yang Allah telah rezekikan kepada mereka dan meminta agar
mereka dijauhkan dari azab api neraka.

Berbanding orang yang lauknya penuh semeja tetapi sekadar membaca Bismillah
sebelum mula menyuap, kalau pun tidak ditinggalkan terus. Dan kemudian
selesai makan, duduk bersandar sambil memuji² keenakan makanan tersebut
sehingga terlupa untuk memuji Yang Memberikan Rezeki. Lebih menyedihkan
jika makanan yang selambak itu, akhirnya terbazir dan dihumban ke longkang
kerana tidak mampu untuk dihabiskan.

Maka kerana itu, tidak perlulah kita mencemburui dengan apa yang orang lain
miliki. Apatah lagi bersifat bongkak dan ego apabila melihat kesusahan
orang lain. Kerana sebenarnya, orang yang kita lihat serba kekurangan,
mungkin memiliki apa yang kita tidak ada. Kerana ini saya seringkan
ingatkan diri saya. Apabila Allah ciptakan syurga, Dia juga ciptakan
neraka. Dan apabila Allah berikan kita kekurangan, pasti Dia juga ada
memberi kita kelebihan.

Dan dalam hal mencemburui orang lain, Nabi saw hanya membenarkan kita untuk
iri hati dalam hal berbuat kebajikan. Seperti mana cemburunya Saiyidina
Umar ra melihat Saiyidina Abu Bakar ra yang sentiasa berlebihan dalam
mengorbankan harta pada jalan Allah. Sehingga Umar ra dalam satu ghizwah,
telah membawa separuh dari hartanya dengan niat hendak menyaingi Abu Bakar
ra.. Akan tetapi Abu Bakar ra pula membawa seluruh hartanya.

Firman Allah yang maksudnya,
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang
diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis
emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang.
Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang
baik (syurga). (Quran Surah Ali Imran; 3:14)

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Tidak ada kesusahan tanpa kesenangan. Dan
tidak ada kekurangan tanpa kelebihan... Apa juga kelebihan yang orang lain
miliki, biarkanlah. Yang penting bagi kita ialah, mencari kelebihan kita di
akhirat sana. Sepatutnya bukan apa yang kita miliki yang menjadi keutamaan.
Sebaliknya bagaimana kita menghargai apa saja kita perolehi. Semoga menjadi
ingatan bersama.....

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah, saya dpt ilmu yg cuba disampaikan. Dan semoga kita sama2 dapat mendidik hati supaya sentiasa bersyukur dgn kurniaanNya. Semoga sentiasa menjadi ingatan sebagaimana berbekasnya dihati saya tentang 'belajar utk berkata cukup!'

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.