12 February 2006

Solat Sebagai Tanda Kasihnya Allah


Saya menerima beberapa emel yang bertanyakan bagaimanakah caranya untuk
kita menjaga solat kita. Atau maksudnya apakah yang boleh kita lakukan bagi
menjadikan diri kita rajin untuk solat. Setiap kali saya terbaca soalan
begitu, saya pasti akan tersenyum. Bukan tersenyum kerana menyindir.
Sebaliknya tersenyum kerana saya sendiri tidak melabelkan diri sebagai
orang yang rajin bersolat.

Abang saya pernah bercerita tentang seorang karkun (ahli Jemaah Tabligh)
yang dikenalinya. Sahabat itu, kata abang saya, akan melakukan solat 2
rakaat sebelum melakukan apa² perkara. Bahkan sebelum ke pasar untuk
membeli ikan sekalipun. Pada awalnya abang saya merasa pelik melihat
temannya itu. Tetapi kemudian, dia mula merasa kagum. Jika orang itu adalah
saya, maka barulah boleh dikatakan saya ini orang rajin bersolat.

Sesungguhnya solat itu adalah berat, bagi orang yang menganggapnya berat.
Namun bagi orang yang hatinya benar² meyakini Allah, dan percaya bahawa
Allah akan sentiasa bersamanya walau apapun yang dilakukannya, solat adalah
amalan yang bukan sahaja mudah tetapi seronok untuk dilakukan. Kerana solat
adalah anugerah Allah kepada makhluknya sebagai jalan untuk medekatkan diri
kepadaNya.

Allah menyebut di dalam al-Quran bahawa solat itu dapat mencegah diri dari
melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Akan tetapi ada juga kelihatan
orang yang tidak meninggalkan solat namun tetap melakukan maksiat. Ketika
mengajukan soalan ini kepada seorang yang saya kira alim, dia bertanya
kepada saya semula. Solat yang bagaimanakah yang sebenarnya dapat mencegah
diri kita dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar?

Adakah solat yang dilakukan sekadar 'asal buat' atau solat yang dilakukan
dengan sempurna, yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawadhuk? Tentu
sekali jawapannya ialah solat yang dilakukan dengan sempurna. Kerana solat
yang sebegitulah yang akan menarik perhatian Allah dan segala penghuni
langit. Sedang solat yang 'asal boleh' hanya setakat mampu mengelakkan dosa
kerana meninggalkan sahaja. Tiada imbuhan lain untuknya.

Maka kerana itulah sebaiknya jangan dijadikan persoalan fardhu itu alasan
untuk kita mengerjakan solat. Kerana solat itu bukan semata² sebuah fardhu.
Ia lebih dari itu. Seperti mana yang saya katakan di awal tadi, solat
adalah anugerah Allah kepada kita sebagai jalan untuk mendekatkan diri
kepadaNya. Maka jika kita mengasihiNya, tidakkah kita terasa sentiasa ingin
berdampingan, untuk dekat denganNya.

Agaknya siapakah di dunia ini yang bekerja semata² kerana minat, bukan
kerana wang? Mungkin ada tetapi rasanya bilangannya terlalu kecil. Hampir
semua orang bekerja kerana gaji. Kerana terpaksa. Begitulah juga solat yang
dilakukan hanya semata² kerana 'sifat fardhunya'. Ia dilakukan kerana
terpaksa dan siapakah yang mampu melakukan dengan sempurna sebarang kerja
yang dilakukan kerana terpaksa?

Solat adalah anugerah. Maka sewajarnyalah ia 'dilayan' sebagai satu
anugerah. Lihat saja bagaimana seorang Dato' menjaga pingat darjah
kebesarannya. Diletakkan di dalam kotak yang khas, digilap dan dipamerkan
dengan bangga setiap hari. Tidak bolehkah kita menjaga solat kita sebegitu?
Meletakkannya di dalam kotak khas supaya tidak diganggu perkara dunia dan
menggilapnya setiap hari agar tidak menjadi semakin pudar dimakan masa.

Sesungguhnya ada hikmahnya apabila Allah memfardhukan ke atas kita solat
sebanyak lima waktu sehari semalam. Bukankah jika Allah ingin mewajibkan
solat hanya sekadar seminggu sekali, Dia mampu melakukannya? Tetapi, demi
kebaikan kita, Allah telah memfardhukannya sebanyak lima kali sehari
semalam. Inilah buktinya Allah mengasihi kita. Dia mahu kita sentiasa
hampir kepadanya pada setiap masa.

Bagaimana agaknya jika anda didatangi oleh dua orang yang mahu meminta
pertolongan. Kepada siapakah petolongan itu akan anda berikan? Kepada orang
yang datang kepada anda hanya di ketika dia susah, atau kepada seorang lagi
yang sentiasa dekat dengan anda. Yang sentiasa memuji dan pandai berterima
kasih atas segala pemberian anda? Sudah tentulah orang yang kedua tadi.
Betul tidak?

Bagaimanakah pula jika anda didatangi oleh dua orang yang berlainan. Kedua²
mereka kali ini sama² hampir kepada anda. Tetapi yang seorang sering sahaja
membelakangkan anda. Jika ada kepentingan peribadi, dia akan memilih untuk
berjumpa anda kemudian, setelah dia menguruskan hal peribadinya. Sedangkan
seorang lagi pula sentiasa mendahulukan anda. Sekali lagi, bukankah anda
akan lebih rela untuk membantu orang yang kedua?

Begitulah halnya dengan kita. Jika kita setakat solat sekali sekala, tidak
pernah cukup lima waktu sehari, atau solat kita cukup tetapi seringnya di
hujung² waktu, akibat sifat kita yang lebih mementingkan perihal keduniaan,
apakah kita rasa kita masih layak untuk mendapat pertolongan Allah?
Tidakkah kita merasa ini sudah cukup kukuh untuk kita jadikan alasan
mengapa kita perlu mengutamakan & menjaga solat kita?

Namun jika hati kita masih malas juga untuk bersolat, cuba²lah tanyakan
kepada diri kita sendiri. Mengapakah hidung kita tidak malas untuk
bernafas? Mengapakah perut kita tidak malas untuk merasa lapar? Mengapakah
anggota badan kita tidak pernah malas untuk menjalankan tugas yang telah
diamanahkan untuk mereka? Sedangkan kita pada hakikatnya begitu malas untuk
menjalankan tugas kita untuk beribadah terhadapNya.

Solat adalah teras kepercayaan kita kepada Allah. Jika kalimah 'Laailaha
illaLlah' kita sebut di lidah dan kita akui di hati, maka solat adalah
persaksian kalimah di atas dalam bentuk fizikal. Maka kerana itu imam semua
mazhab kecuali Syafie mengatakan orang yang meninggalkan solat secara
sengaja itu kafir. Hanya Mazhab Syafie yang mengatakan hanya mereka yang
menolak kefardhuan solat itu kafir, bukan yang sengaja meninggalkannya.

Sesungguhnya solat yang sempurna mampu mambawa kita hampir kepada Allah.
Seperti karkun teman abang saya tadi. Beliau begitu yakin Allah akan
sentiasa bersamanya. Kerana itu dia akan pasti bersolat dua rakaat sebelum
melakukan apa². Kerana apa yang diinginkannya, kehadiran Allah dalam setiap
perbuatannya. Begitulah sifat orang yang bersolat kerana yakin, bukan
kerana terpaksa semata².

Perlu bagi kita untuk menanamkan dalam hati keyakinan akan kemurahan Allah
terhadap kita dengan pemfardhuan ibadah solat ini. Allah telah menyatakan
bahawa Islam bukanlah agama yang menyusahkan sebaliknya ia adalah agama
yang memudahkan. Baginda Rasulullah saw sendiri mengakui pengutusan Baginda
adalah untuk memudahkan manusia, bukan sebaliknya. Jika perkara yang mudah
inipun kita anggapkan susah, di manakah taraf kita?

Maksud firman Allah di dalam al-Quran:
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan)
solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi
orang-orang yang khusyuk; (iaitu) orang-orang yang meyakini bahawa mereka
akan menemui Tuhannya, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.(Quran
Surah al-Baqarah 2:45-46)

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.