27 January 2007

Rusa Dengan Anjing Pemburu

Tempohari, sewaktu pulang dari kampung isteri, saya dan isteri banyak berbual tentang kehidupan kami. Tentang apa-apa yang telah kami lalui selama ini. Tentang bagaimana kami boleh saling jatuh cinta. Tentang kelebihan dan kekurangan dalam diri masing-masing, tentang anak-anak sehinggalah tentang amal ibadat yang kami lakukan. Sesekali berbual begini, banyak juga hasil yang positif yang dibuahkan.

Tiba-tiba, ketika menyentuh tentang amalan yang kami lakukan, isteri saya bersuara. “Dulu sewaktu mengandungkan Naqibah, kita kuat buat amalan. Amalan sunat, mengaji, semuanya terjaga. Tapi bila tiba masa mengandungkan Nazhurah sampailah sekarang ni…” Saya tersenyum. Faham apa yang dimaksudkannya. Saya sendiri sering memikirkan hal ini dahulu. “Pernah dengar cerita tentang rusa dengan anjing pemburu?” tanya saya pula.

Isteri saya menggeleng. “Ceritalah” katanya. “Baiklah…,” kata saya lalu memulakan cerita. Ada sekumpulan rusa yang sedang mencari makanan bersama-sama. Mereka begitu asyik mencari makanan sehinggakan tidak perasan ada dua ekor anjing pemburu yang sedang memerhatikan mereka. Hingga pada satu ketika, kedua-dua ekor anjing itu menyerbu kawanan rusa tersebut. Maka bertempiaranlah rusa-rusa itu menyelamatkan diri.

Semua rusa sempat melarikan diri kecuali seekor. Rusa yang ini terlalu dekat dengan anjing-anjing pemburu tersebut. Semua rusa yang selamat berasa risau. Mereka yakin, teman mereka tadi sudahpun menjadi mangsa anjing-anjing tersebut. Kerana anjing-anjing pemburu ini memang terkenal dengan kepantasannya mengejar mangsa. Apatah lagi ada dua ekor anjing yang mengejar. Tentu agak mustahil untuk rusa itu melepaskan diri.

Selepas beberapa ketika, mereka begitu yakin rusa itu telah selamat menjadi santapan pemburu. Tiba-tiba muncul rusa tadi. Semua rusa yang ada terkejut. Mereka pun bertanya “macamana engkau boleh melepaskan diri?” Rusa yang selamat itu hanya tersenyum, “Oh… Senang saja” jawabnya. “Anjing-anjing pemburu itu berlari untuk tuannya. Tetapi aku berlari untuk diri aku sendiri…” sambungnya lagi…

Isteri saya tersenyum. Rasanya dia faham dengan isi yang ingin saya sampaikan. Sebenarnya, dalam kes kami yang saya sebutkan tadi, kami berada pada watak anjing pemburu. Berlari untuk tuannya, bukan untuk diri sendiri. Disebabkan anjing itu tahu ia tetap akan dapat makan sama ada dia berjaya mendapatkan rusa tersebut atau tidak, maka usaha anjing tersebut terhenti sebaik dia merasakan usahanya telah berjaya atau gagal sepenuhnya.

Berbeza dengan rusa yang akan terus berlari untuk menyelamatkan diri. Ia tahu, seandainya ia memikirkan kepenatan yang dialaminya, maka ia akan menjadi mangsa anjing-anjing tersebut. Maka ia teruskan berlari. Melainkan ia putus asa, tidak berkeyakinan akan selamat walau berlari sekuat manapun, barulah ia berhenti. Selagi tidak, selagi itulah ia akan terus berlari sehinggakan anjing-anjing itu yang berputus asa.

Segala amalan kami ketika Naqibah masih di dalam kandungan sebenarnya adalah bagi mendapatkan seorang anak yang cerdik, cantik dan baik. Kerana itu tujuan dan niat kami, maka kami tidak putus berusaha sehinggalah Naqibah selamat dilahirkan. Dan kini, rasanya kami telah perolehi apa yang kami idamkan. Apabila matlamat telah tercapai, apa lagi yang perlu kami usahakan.

Saya pasti, di situlah letaknya kesilapan kami. Beramalan bukan untuk diri sendiri sebaliknya untuk sesuatu yang lain. Maka di manakah letaknya istiqamah seandainya niat atau matlamat kami yang asal telah tercapai? Sepatutnya ketika berbuat sesuatu amalan, yang menjadi niat dan matlamat asala adalah untuk diri sendiri. Perkara yang selainnya, biarlah menjadi sampingan. Biarlah Allah yang kurniakan jika ada keizinanNya.

Maulana-maulana Jemaah Tabligh juga sering mengingatkan. Berdakwahlah untuk diri sendiri. Bukan untuk orang lain. Kerana, jika kita mengajak manusia ke arah kebaikan, ke arah kalimah ‘Laailaha Ilallah’, maka sebenarnya kita mengajak diri kita sendiri ke arah itu. Apabila kita mengingat manusia tentang kekuasaan Allah, maka sebenarnya kita mengingatkan diri kita sendiri tentang perkara itu.

Tentang orang yang kita dakwahkan, terserahlah kepada Allah. Kita hanya pembawa, tetapi Allah-lah yang memberi. Hidayah itu milik Allah abadi. Jika Allah mengizinkan, maka insyaAllah dia akan beroleh hidayah. Tetapi jika tidak mengizinkan, dia tetap akan berada dalam kemunafikan atau kekufuran. Perlu diingat, Nabi saw sendiri tidak termampu memberikan hidayah kepada bapa saudaranya yang amat dikasihi.

Tetapi, apa yang pasti, kita akan memperolehi sesuatu dari Allah, jika niat kita benar hanya kerana Allah. Apabila kita sentiasa mengingatkan manusia ke jalan Allah, dengan niat sebenarnya untuk mengingatkan diri sendiri, insyaAllah kita akan sentiasa ingat akan kebesaran Allah. Sama ada orang yang kita ingatkan itu akan ingat atau tidak, tidak ada apa daya pada diri kita.

Saya selalu berpegang kepada satu konsep. Manusia itu akan perolehi apa sahaja yang dia usahakan. Jika seseorang itu menginginkan dunia, maka dunialah yang akan diperolehinya. Tetapi dia akan kehilangan akhirat. Kerana kita tidak terdaya untuk berusaha terhadap dua perkara di dalam satu masa yang sama. Jika dia berusaha ke arah wang, maka itulah yang akan diperolehinya, insyaAllah…

Tetapi jika seseorang itu berusaha ke arah akhirat, maka itulah juga yang akan diperolehinya. Dan lebih dari itu, dia juga, insyaAllah, akan memperolehi dunia sebagai ‘bonus’ baginya. Seperti sebuah hadits di mana Nabi saw mengatakan, sesiapa yang meletakkan akhirat sebagai matlamat, maka Allah akan memudahkan usahanya. Manusia akan menyintainya dan yang penting, dunia akan datang dalam keadaan hina kepadanya.

Dalam konsep ‘cari dan selamatkan’ (search and rescue), yang paling asas ialah menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu. Dalam usaha untuk menyelamatkan orang lain, kita diingatkan agar tidak membahayakan diri sendiri. Dan sebenarnya, begitulah dalam hal berdakwah. Ia juga sebahagian dari search and rescue sebenarnya. Apa yang paling penting adalah menyelamatkan diri sendiri terlebih dahulu, barulah difikirkan tentang orang lain.

Semoga kita semua mampu berada di kedudukan rusa (bukan menjadi rusa) yang menyelamatkan diri daripada kehancuran. Saya juga tidak mahu lagi menjadi seperti anjing pemburu tersebut. Apabila apa yang saya usahakan menampakkan kegagalan, ataupun telah membuahkan kejayaan, maka terhentilah segala yang saya kerjakan. Dan sesungguhnya usaha menyelamatkan iman dan aqidah bukanlah usaha yang ada kesudahannya…

25 January 2007

Penipu!

Pernah tonton filem Do Re Mi? Pada satu babak pengenalan kepada Re, ada satu adegan di mana rumah Re dimasuki pencuri. Si pencuri pasti diingati dengan aksinya yang memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Apa yang menarik perhatian saya ialah, ketika berada di dalam rumah Re tersebut, si pencuri terkejut dengan bayangnya sendiri yang kelihatan pada cermin. Begitulah jika orang sudah berbuat salah.

Apa yang menyebabkan saya menyorot filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini ialah, ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Buletin Utama jam 8 malam tadi (25 Januari 2007). “Umno sudah takut kepada bayangan sendiri” getus hati saya. Ucapan Najib tadi yang menyelar Pas dan mengatakan mereka penipu, jelas menunjukkan sifat takut Umno kepada Pas.

Umno tahu kelemahan mereka. Umno tahu banyak isu semasa yang tidak memihak kepada mereka. Maka kerana itulah, dalam pilihanraya kecil Batu Talam yang menyaksikan Umno bertembung dengan hanya calon Bebas dengan pakatan pembangkang memboikot pilihanraya tersebut, Pas tetap menjadi kritikan dan tohmahan Umno. Walaupun tidak ada calon Pas atau KeADILan atau DAP yang sudi bertanding dengan Umno.

“Pas penipu!” seru Najib dengan diikuti tepukan kaki-kaki bodek yang tidak putus bersorak walaupun sang pemimpin sedang mencarut. Ini kerana Pas yang mendakwa memboikot pilihanraya tersebut telah mengeluarkan kenyataan meminta penyokong mereka yang mahu mengundi supaya membantu calon Bebas. Ini supaya calon bebas tersebut tidak kehilangan wang pertaruhannya.

Apa yang pelik sangat? Apakah Najib menjangka penyokong Pas akan menyokong BN hanya semata-mata kerana Pas tidak bertanding? Ataupun dia menjangka pimpinan Pas Pusat akan merayu pengundi supaya memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon Umno serta mengundinya dalam pilihanraya kecil itu? Harap Najib dapat menjadi lebih realistik. Janganlah kerana terlalu ketakutan sehingga melihat apa yang logik sebagai suatu kesalahan.

Memang saya pernah berkata bahawa saya tidak lagi mahu menulis perkara-perkara yang berkaitan politik. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, di mana pihak Parti Pemerintah bebas menyatakan tohmahan mereka di media arus perdana tanpa pembangkang diberi ruang untuk membela diri walau seinci pun, rasanya saya tidak sanggup hendak berdiam diri. Rasanya, saya tidak mampu menahan aliran lava di dalam hati saya yang kian berkelodak.

Pas penipu? Mungkin, jika apa yang mereka lakukan dalam pilihanraya ini mahu dianggap sebagai satu penipuan. Tetapi bagaimana pula dengan Umno? Suci sangatkah Umno? Celaan yang Najib berikan seolah-olah menunjukkan bahawa manusia yang paling suci adalah mereka yang bernaung di bawah payung Umno dan BN. Walhal, telah diketahui seantero dunia bahawa Umno dan BNlah bapa kepada segala penipu!

Masih ingat kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ini adalah satu contoh yang terbaik tentang penipuan yang dilakukan oleh Umno dan BN. Saya masih ingat ketika perhimpunan Black 14 yang diadakan sempena mengingati ulangtahun penangkapan Anwar secara tidak sah. Berita di TV3 dan RTM menunjukkan bahawa pehimpunan itu tidak mendapat sambutan sedang di TV Singapura, ribuan orang kelihatan memenuhi jalan.

Tambah lagi dengan perhimpunan menbantah kenaikan harga minyak. Apa yang dilaporkan oleh media arus perdana? Sedangkan mereka yang ‘aktif’ bermain email pastinya ada menerima lampiran gambar yang menunjukkan betapa hebatnya perhimpunan tersebut. Ini tidak termasuk tohmahan serta fitnah yang disebarkan secara terang-terangan terhadap Yang Mulia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Tidak ketinggalan cerita bagaimana Haji Muhammad Sabu diperangkap dan dibicarakan atas kes khalwat sewaktu era Umno memerintah Kelantan. Alhamdulillah, Muhammad Sabu menang dalam kes tersebut. Tetapi arang telah terconteng di muka. Dan Umno telah terbukti sebagai parti yang paling banyak menipu dan paling banyak memperdaya. Jadi, betapa beraninya Najib menghamburkan kata-kata bahawa Pas adalah penipu?

Kami sekeluarga juga pernah menjadi mangsa penipuan mereka. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kami tinggal di rumah ‘separa setinggan’. Separa kerana kami dibenarkan tinggal di sini dengan membayar sejumlah wang kepada Majlid Bandaraya. Kami bahagia tinggal di sini tetapi pemimpin-pemimpin Umno tempatan begitu gatal memohon agar kami dipindahkan ke penempatan yang lebih sempurna.

Kerana yakin ianya lebih sempurna, maka kami menyetujuinya. Tetapi apa yang kami dapat? Sebuah rumah pangsa yang besarnya lebih sedikit dari rumah kotai buruh pembinaan Indonesia. Tidak cukup dengan itu, rumah ini dibina tingginya sekadar lima tingkat. Agar pemaju tidak diwajibkan menyediakan lif. Gila! Cuba suruh Datuk Abdul Ghani Othman atau Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tinggal di rumah sebegini pada usia mereka.

Sewaktu mengisi borang, kami diberitahu bahawa satu keluarga hanya layak untuk satu rumah. Jadi abang saya yang tinggal bersama saya ketika itu terpaksa mencari rumah lain yang sebenarnya di luar kemampuannya. Tetapi setelah projek dirasmikan, barulah saya ketahui bahawa ramai orang yang rapat dengan pimpinan Umno tempatan memperolehi rumah lebih dari satu bagi satu keluarga.

Kami juga diberitahu bahawa hanya penama pada surat kebenaran menduduki rumah kami sekarang ini yang dibenarkan mengisi borang. Jadi kami letakkan nama ibu saya yang telah berusia 63 tahun. Tetapi, ketika menguruskan pinjaman, nama ibu saya ditolak kerana sudah terlalu tua. Jadi perlu pula tukar kepada nama saya. Dan proses semudah itu memakan masa sehingga hampir setengah tahun.

Kemudian, kami diberikan rumah di tingkat 4. Ya Allah… Ibu dan ayah saya sudah terlalu tua dan sakit kaki. Lagipun kami sudah memberi tahu tentang keadaan ibu dan ayah kepada mereka. Tahu apa mereka jawab? “Betul ke diorang tu sakit kaki?” Huh! Orang yang tidak bercampur dengan masyarakat, sememangnya begitu! Rupanya, rumah ditingkat bawah telah diberikan kepada kroni mereka, walaupun mereka masih muda.

Disebabkan terlalu banyak masalah dan terlalu menyakitkan hati, maka saya mengambil keputusan untuk membeli sebuah rumah lain dan menolak tawaran rumah tersebut. Berikanlah sahaja kepada mereka yang tidak berkemampuan, kata saya. Tahu apa yang terjadi? Pihak pemaju menghubungi ibu saya dan mengugut akan mengambil tindakan sekiranya kami tidak membeli rumah tersebut.

Apa? Macam senario di Jalan Petaling pula. “Silakan,” kata saya. Saya hendak lihat apa yang mereka boleh lakukan kepada kami. Jika tidak kerana saya, ibu dan bapa saya tentu sahaja akan membeli rumah tersebut kerana takut diambil tindakan. Lihatlah. Bagaimana Umno bukan saha penipu tetapi juga kaki peras. Mengugut orang yang tidak membantu mereka. Beginikah tingkahnya sebuah parti yang suci?

Najib menuduh Pas sebagai penipu di Batu Talam. Sungguhpun saya tahu tuduhan tersebut kerana takutnya mereka kepada Pas, tetapi saya tetap beranggapan Najib telah berlaku biadab dan menghina sistem demokrasi yang mereka sendiri muliakan. Padahal Najib, Abdullah dan seluruh parti itu adalah penipu-penipu yang agung. Mereka menipu dan memperbodohkan rakyat sesuka hati mereka.

Timbul sebuah persoalan di hati saya. Pas menipu kerana menyatakan tidak mahu bertanding dan memboikot pilihanraya tetapi tetap mengadakan kempen dan ceramah. Bagaimana pula dengan kehadiran bas-bas hantu yang membawa pengundi-pengundi hantu setiap kali sebuah pilihanraya diadakan? Apakah ini tidak dianggap sebagai menipu? Ataupun kerana sudah biasa sangat menipu, maka sebuah penipuan juga dianggap sebagai satu kemuliaan?

Bersolek

Beberapa hari lepas saya pulang ke kampung isteri saya di Tanjung Karang. Pada hari Ahad, saya berkesempatan ke pasar minggu. Kebetulan ibu mertua saya juga teringinkan sate. Sambil itu, saya iringkan adik dan kakak ipar saya ke sebuah kedai menjual barangan elektrik. Mereka ingin membeli sebuah peti sejuk bagi menggantikan unit lama di rumah kami yang sudah uzur benar. Ketika pembayaran dibuat, ia diuruskan oleh seorang perempuan berbangsa Cina.

Seperti biasa, Naqibah akan melilau ke sana ke sini walau ke mana pun kami pergi. Dan ini menarik perhatian perempuan tadi. Akhirnya, kerana tidak larat mengejarnya selalu, saya mendukung Naqibah. Ketika itu, perempuan Cina tadi terlihatkan anting-anting yang tergantung di telinga Naqibah. “Aik? Kecik lagi pun you sudah tebuk dia punya telinga ka?” tanyanya merujuk kepada tindik di telinga anak saya.

“Yalah. Masa kecillah senang. Kalau dah besar nanti dia takut pula.” Jawab saya. “You orang Melayu pakai tudung tak payah tebuk la. Nanti you pakai anting-anting cantik punya, bila pakai tudung sudah tak nampak” ujarnya. “Wah… You sudah salah konsep. Orang lain tak nampak tapi dekat suami nampak. Orang Melayu bersolek bukan untuk orang lain tapi untuk suami dia…” balas saya. “O… Ya ka?” jawabnya sambil ketawa.

Saya tidak pasti sama ada perempuan itu memang benar-benar tidak tahu atau sebenarnya hanya berniat hendak mempermainkan dan menyindir orang Melayu khasnya dan orang Islam amnya. Tetapi saya cukup tertarik dengan topik yang diutarakan. Memang benar. Pada pandangan orang bukan Islam, jika sudah pakai anting-anting yang mahal, bukankah satu kerugian jika disembunyikan?

Begitu juga jika sudah memiliki rupa paras yang cantik. Bukankah sayang jika disembunyikan di sebalik purdah. Dan juga jika memiliki bentuk badan yang menawan, bukankah rugi jika situtupi oleh jubah yang labuh? Mungkin kerana itu mereka suka mempamerkan bentuk tubuh mereka untuk tatapan umum. Seperti yang baca mengenai sesetengah artis barat, mereka menganggap rupa cantik dan tubuh menarik sebagai anugerah yang mesti dipergunakan.

Tetapi Islam tidak begitu. Islam tidak menjadikan perempuan atau wanita sebagai objek seks untuk memuaskan nafsu pandangan orang lelaki. Islam juga tidak menyusahkan perempuan sehingga terpaksa bersusah-payah menghias tubuh badan agar kelihatan menarik. Sebaliknya Islam menghargai perempuan dengan mengambil kira kebolehan dan kepandaian mereka sahaja. Rupa dan tubuh tidak dijadikan persoalan.

Seperti duit. Ya, seperti duit. Cuba kita lihat, boleh dikatakan hampir semua manusia akan menyembunyikan duit mereka. Sama ada di bank, bawah bantal mahupun sekadar di dalam dompet. Mengapa? Kerana duit amat berharga dan mereka tidak mahu duit itu dirampas oleh orang lain. Dan sebegitulah wanita dilayan di dalam Islam. Jubah, jilbab dan tudung bukanlah untuk menyiksa sebaliknya untuk melindungi mereka yang dianggapkan amat berharga.

Lihat keadaan kita hari ini. Tanpa perlaksanaan sistem Islam yang syumul ini, boleh kita lihat berapa banyak kesongsangan yang terjadi. Saya yakin kita biasa melihat bagaimana seorang perempuan yang tidak berkelayakan tetapi disebabkan rupa paras yang menarik, ditambah lagi dengan bentuk tubuh yang menawan dan sering berpakaian seksi, mereka dapat menjawat jawatan yang boleh dikatakan penting.

Bagaimana pula dengan perempuan yang kurang cantik, bertubuh gempal dan sebagainya? Mereka ini, walaupun berkelayakan, selalunya terpinggir. Malah adakalanya menjadi mangsa kepada wanita-wanita yang berwajah jelita tetapi tidak pandai bekerja itu. Di sinilah letaknya salah satu kecantikan Islam. Islam menolak deskriminasi sebegitu. Bukankah ini satu lagi bukti mengapa sistem Islam wajib dijalankan di negara ini?

Tetapi hari ini, bukan sahaja orang kafir bahkan orang Islam sendiri menolak konsep yang sebegini. Bukan sedikit perempuan yang mengaku Islam tetapi berpakaian mengalahkan orang kafir. Dan bukan juga sedikit wanita Islam yang sanggup berhabis gaji sebulan semata-mata untuk mendapatkan kosmetik yang terkini dan kononnya terbaik. Itu tidak dikira kos untuk spa, ubat menguruskan badan dan mengempiskan perut serta rawatan botox.

Apakah Islam melarang wanitanya berusaha untuk kecantikan? Tidak. Bahkan ianya digalakkan. Tetapi biarlah kena pada tempatnya. Sayangnya wanita Islam hari ini lebih suka bersolek untuk konsep yang tidak betul. Jika keluar rumah bukan main cantik jelitanya. Mengalahkan ratu. Wanginya, mengalah Pontianak Harum. Tetapi, jika di rumah, huduhnya mengalahkan hantu. Baunya pula… Mana ada bau peluh yang sedap?

Inilah kesilapan dalam memahami konsep yang Islam terapkan. Allah telah menjadikan perempuan itu sebagai daya penarik. Sememangnya kebanyakan lelaki akan tumbang dengan kecantikan wanita. Maka kerana itu Allah membenarkan wanita untuk bersolek. Tetapi bukan untuk orang lain. Sebaliknya hanya untuk suami. Supaya hati suami senang. Supaya suami terhibur dan hilang keletihan akibat bekerja sebaik melihat wajah isteri di rumah.

Bukan sahaja perempuan. Bahkan lelaki juga perlu begitu. Jika ke pejabat, bukan main lagi kacaknya, dengan tali leher sebesar ketupat, dengan blazer dan rambut tersisir rapi, mengapa ketika di rumah cukup hanya berkain pelikat dan bersinglet yang menampakkan ketiak. Sudahlah begitu, bulu ketiaknya pula berselirat. Hinggakan jika kutu melihatpun pasti berkenan. Sesuai dijadikan tempat pembiakan, katanya.

Allah menyintai kecantikan. Allah menghargai kebersihan. Maka itulah yang perlu dilakukan. Mungkin tidak perlu sehingga si isteri bersolek seperti wayang pek-ji atau si suami memakai tali leher ketika di rumah. Tetapi sekurang-kurangnya, janganlah terlalu selekeh dan pengotor. Biarlah kemas dan bersih. Barulah menepati konsep isteri sebagai penghibur suami dan suami sebagai penghibur isteri…

Saya amat berharap suatu hari nanti, saya tidak lagi perlu menahan mata ini dari melihat keliling. Sebagai lelaki muda yang sihat, tentu sahaja saya tidak dapat menahan mata saya dari melihat ‘kecantikan’ di luar sana. Ditambah pula dengan iman yang tipis, ianya kelihatan seakan mustahil. Tetapi sekiranya nanti wanita benar-benar hanya bersolek untuk suami mereka, tentu sekali tugas saya menjaga iman sendiri menjadi lebih mudah.

Di sebelah kanan, tidak ada lagi perempuan yang rambutnya ala-ala teknik rebonding. Di sebelah kiri, tidak ada lagi wanita yang ‘berbogel’ di tengah bandar. Begitu juga di hadapan, belakang, atas dan bawah. Yang ada, hanya wanita-wanita muslim yang pakaiannya terjaga. Mereka mungkin cantik, mereka mungkin menarik, tetapi yang tahu hanya suami dan juga mahram mereka. Semoga Allah menjadikan ianya sekali lagi suatu kenyataan…

14 January 2007

Dosa Dan Bencana

Johor dilanda banjir sekali lagi. Aduhai... Sedihnya hati. Entah apa nasib teman saya. Baru saja pulang ke rumah asal mereka. Aduhai... Kalaulah bencana sebegini menimpa diri sendiri, entah bagaimana reaksi nanti. Entah bagaimana rudumnya iman. Wana'uzubillah. Saya tanyakan juga khabar di rumah. Alhamdulillah... Memang rumah kami dimasuki air tetapi hanya lebih kurang 10 baldi sahaja.

Sesetengah teman saya mengaitkan bencana ini dengan 'dosa warga Johor'. Sudah sering sangat saya disindir (secara bergurau). Malah ada juga ahli jemaah masjid di tempat saya yang berkata sebegitu. "Banyak sangat maksiat kat Johor ni" katanya ketika bercerita tentang banjir yang melanda sebelum ini. "Tengok artis kita. Pakai seksi. Jual suara, jual bentuk tubuh tapi lepas tu cakap, saya bersyukur atas rezeki yang Allah beri..."

Lelaki itu mencebik bibirnya. Saya hanya tersenyum. Persoalannya, banyak sangatkah maksiat di negeri Johor sehinggakan dilanda banjir sehebat ini? 3 kali tenggelam dalam masa kurang sebulan. Apakah negeri-negeri lain tidak pernah melakukan dosa? Bagaimana dengan Kelantan dan Terengganu yang saban tahun dilanda banjir? Apakah tahun lepas kadar maksiat di negeri mereka sudah turun kerana itu mereka tidak ditimpa banjir pada tahun ini?

Sebenarnya, untuk kedua-dua kenyataan yang dikeluarkan oleh lelaki tadi, telah saya balas. Pertama, saya katakan bahawa maksiat ada di mana-mana. Masalahnya, sama ada ada atau tidak orang yang hendak mencegah, menentang dan menghapuskan maksiat. Dan kedua, saya katakan kepadanya bahawa para artis itu menganggap bahawa rezeki mereka Allah yang beri. Maka kerana itu mereka mensyukurinya.

"Memanglah!" tempiknya. "Orang kafir pun Allah yang beri rezeki" sambungnya lagi. Saya hanya mendiamkan diri sambil tersenyum. Rupanya jawapan saya membuatkan dia naik angin. Sedangkan pada asalnya, saya bukanlah tidak bersetuju dengan jawapannya. Bahkan sebenarnya saya juga merasa loya dengan sifat sesetengah artis kita yang mencari makan dengan maksiat tetapi sibuk berlagak baik dengan menyebut-nyebut kesyukuran mereka.

Tetapi itu hal dunia artis. Bukan itu yang ingin saya nukilkan di sini. Apa yang menarik perhatian saya ialah, sikap kita (terutama diri saya sendiri) yang terlalu kerap mengaitkan apa-apa bencana dengan dosa penduduk di sekitarannya. Atau dalam bahasa mudah, kita selalu anggap bencana itu sebagai kafarah untuk mereka. Masih ingat tragedi di Acheh tidak berapa
lama dahulu?

Ketika orang lain sedang sibuk membantu mangsa, sesetengah dari kita sedang sibuk mengkaji dosa mereka. Oh... Mereka buat ini. Sebab itulah jadi begini. Oh... Mereka buat itu. Sebab itu jadi begitu. Agaknya, jika si mangsa mendengar, semakin hancur luluhlah hati mereka. Sudahlah kehilangan harta benda dan segala, dituduh pula sebagai pembuat dosa. Beginikah cara
saudara mereka membantu mereka...

Jika dilihat pada bangsa-bangsa yang terdahulu, kita dapat melihat betapa Allah pernah menghancurkan mereka dengan pelbagai cara. Dengan diterbalikkan bumi, dengan dihempap dengan batu, dengan banjir besar dan berbagai cara yang lain. Kaum Luth dan kaum Nuh adalah cerita yang paling popular. Maka seiring itu, bencana hari ini juga dibayangkan dengan kejadian masa silam tersebut.

Tetapi seperkara yang selalu melintas di fikiran saya. Mengapakah kaum-kaum itu dimusnahkan? Kerana dosa merekakah? Tidak. Bukan kerana dosa mereka semata-mata. Tetapi kerana keengganan mereka untuk menerima teguran dan peringatan yang diturunkan oleh Tuhan kepada mereka melalui para anbiyaNya. Mereka dihukum akibat sifat degil mereka menolak utusan Allah.

Maka hari ini, jika kita mahu mengaitkan sesuatu bencana itu dengan maksiat yang dilakukan oleh penduduknya, mari kita tanyakan kepada diri kita semula. Apakah kita telah memberikan peringatan kepada mereka? Apakah sudah cukup peringatan yang kita berikan itu? Jika kita masih belum memberikan mereka peringatan, ataupun masih belum mencukupi, maka bolehkah kita mengaitkan bencana itu dengan dosa mereka?

Bermakna, bencana yang melanda ini bukan kafarah buat mereka sahaja. Tetapi juga termasuk kita. Kita yang mengabaikan sifat tabligh Nabi Muhammad saw. Yang bermaksud menyampaikan. Kita tidak sibuk menyampaikan agama dan peringatan Allah kepada mereka sebaliknya kita lebih sibuk dengan urusan memperbincangan perkara remeh dan furu'. Lebih suka berdebat atas sebab yang kecil dari bersatu untuk usaha yang lebih besar.

Jadi adalah tidak adil untuk kita menyalahkan mereka semata-mata. Seharusnya, jika mahu menuduh penduduk sesuatu tempat itu berdosa sehingga ditimpa bencana, silalah salahkan diri sendiri dahulu yang gagal menjalankan peranan sebagai muslim untuk menentang kebathilan dan menegakkan kebenaran. Salahkan diri sendiri dahulu kerana tidak mengikut
sunnah Nabi saw yang menyampaikan keagungan Tuhan.

Tentu kita tidak mahu menjadi seperti Nabi Yunus as yang ditelan ikan. Nabi Yunus bukan tidak menyampaikan. Hanya beliau meninggalkan kaum mereka setelah kaumnya enggan menerima amarannya. Hanya setelah beliau bertaubat, dan dengan rahmat Allah, barulah beliau dikeluarkan semula. Sementara bencana yang dijanjikan terhadap kaumnya ditarik balik setelah mereka menyatakan keimanan mereka.

Sesungguhnya kisah Nabi Yunus ini adalah sebagai peringatan buat kita. Seorang nabi mempunyai sifat maksum. Dan sememangnya Allah merencanakan sedemikian agar kita dapat pelajari, bahawa seorang nabi lagikan dihukum kerana meninggalkan da'wah. Apatah lagi seorang hamba biasa. Begitulah pentingnya tugas 'menyampaikan' ini di sisi agama Allah. Begitulah pentingnya kita untuk menjalankan tugas kita.

Maka pada fikiran saya, untuk mengelak sesuatu bencana lagi, bukanlah dengan jalan berdebat perkara yang furu'. Bukan juga dengan cara meneliti dosa-dosa saudara-saudara kita. Tetapi yang paling utama, menyampaikan dan berpesan-pesan di antara satu sama lain. Sejarah membuktikan bencana diturunkan kerana keingkaran terhadap seruan kepada Allah. Maka jika tidak mahukan bencana, marilah kita menyeru ke jalanNya.....

12 January 2007

Rayuan Seorang Pelajar

Semalam saya terima ‘sepucuk’ email dari seorang teman saya. Email yang ringkas. Nak minta tolong, katanya. Yang paling menarik, dia menyebut ‘saham akhirat’. Lalu segera saya meneliti isi kandungan emailnya. Oh… Rupanya bukan dia yang memerlukan pertolongan. Sebaliknya seorang kenalannya, seorang pelajar jurusan Undang-undang Keluarga Islam di Universiti Islamik Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta.

Dilampirkan sekali adalah surat dari pelajar tersebut bersama dan salinan beberapa dokumen penting yang dikeluarkan oleh pihak universiti. Secara asasnya, saya fahami pelajar ini mengalami kesulitan kewangan bagi menjelaskan yuran pengajiannya di universiti tersebut. Jika dilihat nilainya memang memeningkan kepala. Mencecah juta! Mujurlah jutaan rupiah. Jika di dalam ringgit Malaysia, hanya RM5916.80.

Hanya? Hm… Mungkin bagi sesetengah orang jumlah RM5916.80 itu cukup kecil. Tidak sampai setengah bulan gaji. Tetapi untuk orang seperti saya, ianya satu jumlah yang cukup besar. Apatah lagi seorang pelajar yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti saudara kita ini. Pening juga kepala dibuatnya. Terbayang saya jika saya berada di tempatnya, entah bagaimana
ikhtiar saya untuk melunaskan jumlah tersebut.

Teringat saya di zaman kolej dahulu. Saya tidak memperolehi sebarang pinjaman apatah lagi biasiswa atas beberapa sebab. Maka yuran pendidikan saya dilunaskan dengan susah payah oleh ayah saya sendiri. Kami dahulu sering menggunakan istilah BBMB Scholarship yang bermaksud ‘Bapak Bayar, Mak Bayar’. Segala-galanya atas tanggungan ibu bapa sendiri. Sememangnya kehidupan ketika itu cukup perit.

Saya ingat lagi. Waktu sarapan saya ialah jam 11 pagi. Ketika itu kantin sudah mula hendak menyajikan lauk pauk untuk hidangan tengahari. Jadi saya ambil nasi lemak dan letakkan di atas pinggan sepenuh-penuhnya. Kemudian ditaburkan kuah dal di atasnya dan dimakan dengan penuh selera (disebabkan menanggung kelaparan dari sebelah malamnya). Minum hanya air kosong dan harga kesemuanya hanya 80 sen.

Sesekali saya makan di Pasar Keramat. Di sana ada sebuah ‘kedai kari’ yang makanannya murah. Nasi kosong, ayam goreng dengan kuah kari hanya RM2. Atau jika sudah bosan, ketika saya tinggal di rumah sewa, selalunya saya akan beli nasi kosong dan buat nasi goreng. Rencahnya? Minyak masak, lada ‘Boh’ dan garam. Sedapnya sehingga menjilat pinggan. Kalau ada rezeki lebih, dapatlah saya goreng telur untuk menambah selera.

Namun Alhamdulillah, walaupun saya hanya makan makanan seperti itu, saya masih hidup sihat sehingga ke hari ini. Mampu meneruskan pengajian sehingga tamat dan mampu menjana pendapatan melalui kerja yang saya lakukan sekarang. Dan Alhamdulillah, dengan asbab kerja saya inilah saya perolehi rezeki bagi menyara isteri, dua orang anak dan ibu serta ayah saya.

Kenangan itu kini saya rasakan cukup manis sekali. Tetapi sungguhpun manis, rasanya saya tidak sanggup untuk berdepan lagi dengan situasi begitu. Biarlah kenangan itu kekal sebagai kenangan. Namun jika ditakdirkan oleh Allah saya perlu melaluinya sekali lagi, saya mohon kekuatan dariNya agar iman saya tidak dibalikkan. Agar saya kekal beriman dan berserah diri
kepadaNya nanti.

Lalu saya bertanya kepada diri saya sendiri. Saya telah melalui kepayahan
begitu. Dan kini saya sendiri mengakui bahawa saya tidak lagi mahu menghadapi kesusahan seperti dulu. Apakah saya sanggup melihat orang lain mengalami kepayahan seperti itu juga? Rasanya tidak. Dan saya percaya ramai orang yang pernah mengalami kepayahan seperti saya atau mungkin lebih susah lagi, akan memberi jawapan yang sama.

Maka kerana itulah saya menulis artikel ini. Sebagai mewakili saudara kita ini yang membuat rayuan bagi melunaskan yuran pengajiannya. Mungkin ramai yang tidak mengenalinya. Tetapi kenal-mengenali tidak pernah dijadikan syarat untuk bantu-membantu. Bahkan membantu orang yang tidak dikenali adakalanya elok juga kerana maksud dan tujuan kita membantu adalah lebih jelas. Ikhlas dan semata-mata kerana Allah.

Saya tidak tahu berapa ramai yang membaca artikel-artikel atau yang melawat ke blog saya. Tetapi sekiranya setiap orang yang membaca artikel saya (sama ada di group atau di blog) memberikan sumbangan seberapa yang mampu, rasanya InsyaAllah beban yang ditanggung oleh saudar kita ini dapat diringankan, jika sekalipun tidak dapat diselesaikan terus. Sekurang-kurangnya, dapat juga mengurangkan pening kepalanya.

Saudara kita ini tidak mampu menjanjikan apa-apa kepada yang membantunya. Saya dan rakan saya tadi juga tidak akan menjanjikan apa-apa buat anda yang membantu. Tetapi Allah telah berjanji akan membalas setiap orang yang melakukan kebaikan dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Sesungguhnya balasan dari Allah itu lebih sempurna dan sesungguhnya, Allah adalah sebaik-baik pemberi balasan.

Menuntut ilmu adalah kerja atau usaha pada jalan Allah. Dan Allah amat menyintai mereka yang membantu orang yang keluar pada jalan Allah. Jadi marilah kita bantu pelajar ini dengan seberapa yang kita boleh dan seikhlas yang kita mampu. Semoga selepas tamat pengajiannya, saudara kita ini akan menggunakan ilmu yang diperolehi untuk tujuan kebaikan dan kemaslahatan sekalian ummah.

Berikut saya tuliskan beberapa maklumat yang saya kira dapat memberikan gambaran lebih jelas untuk pelajar ini.

Nama : Mohd.Serajudin Bin Mokhtar.
Nama Universiti : State Islamic University (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta.
Anggaran Perbelanjaan Pengajian 2007 : Rp12,102,240 (RM5916.80)
Akaun Bank : Bank Simpanan Nasional (BSN) # 08220-29-0000730-9
No Telefon : : +608174979270 (Indonesia) / 04-4646799 (Malaysia)

Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan lampiran yang saya terima (mengandungi surat dari penama di atas, senarai lengkap yuran yang perlu dibayar dan surat dari dekan), sila kirimkan email kepada saya di ruzaihan.junit@exxonmobil.com (sebelum 16hb Januari 2007) atau abunaqibah@gmail.com (selepas 16hb Januari 2007). Segala bantuan didahulukan dengan ucapan terima kasih. Hanya Allah yang mampu membalas segala jasa baik anda…

11 January 2007

Malang...

Sedang saya membelek satu persatu email yang berada di kotak masuk saya, tiba-tiba saya terpandang satu email yang bertajuk ‘Mengatasi Nasib Malang’. Lekas-lekas saya klik email tersebut dan membaca isinya. Rupanya, si pengirim bertanyakan untuk rakannya yang dikatakan mengalami nasib malang. Berniaga tidak menjadi, rumahtangga porak-peranda dan pelbagai masalah lain. Si pengirim bertanya kepada sesiapa yang boleh mengubatinya…

Ubat? Saya terdiam sebentar. Nasib malang boleh diubati? Kena mandi bungalah agaknya. Tapi… Saya sendiri tidak tahu apa kaitan bunga dengan nasib malang. Yang saya tahu, memang malanglah bunga yang terpilih kena belumpun sempat menghamburnya benihnya untuk meneruskan generasi berikutnya, telah dipetik dan dijadikan bahan mandian untuk membuang nasib malang manusia…

Saya tidak mengenal pengirim apatah lagi rakannya yang disebut di dalam email tersebut. Tetapi saya kenal dengan nasib malang. Malah dahulu, saya pernah menganggap nasib malang adalah sahabat baik saya kerana di mana sahaja saya berada, rasanya seperti dia ada bersama. Dalam lain erti kata, suatu ketika dahulu, saya selalu menganggap diri saya ini bernasib malang.
Atas sebab-sebab tertentu, dahulu saya percaya ianya begitu.

Sebenarnya, apa yang kita panggilkan sebagai nasib malang? Bagi diri saya, definisinya adalah, apa sahaja yang berlaku bukan seperti yang kita rancang atau mahukan. Contohnya jika kita berniaga, kita tentu sahaja mahukan keuntungan. Tetapi kemudiannya perniagaan kita lingkup. Maka tentunya kita akan menganggap ianya sesuatu yang malang. Atau mungkin juga kemalangan kereta. Namanya juga sudah keMALANGan…

Masih ingat dengan satu babak dalam filem P. Ramlee berjudul Ali Baba Bujang Lapok? Dalam babak tersebut, seorang fakir yang dilakonkan oleh Sarip Dol hendak meletakkan taruhan pada papan nombor yang dibentangkan oleh Sarjan (lakonan Ibrahim Pendek). Si fakir meletakkan wang kutipan sedekahnya selama seminggu dan akhirnya, kehabisan kesemua wang itu kerana
ditipu oleh sang Sarjan.

Apakah ini juga kita katakan malang? Oh tidak! Ini bukan malang. Ini bodoh! Orang yang percaya bahawa dengan berjudi boleh menukar nasib mereka adalah orang yang bodoh. Sememangnya ada kejadian orang yang jadi kaya hanya dengan berjudi tetapi, ianya terlalu sukar di dapati. Dan sungguhpun kaya di dunia ini, di akhirat kelak merekalah orang yang fakir kerana hidup dalam timbunan harta yang bersumberkan haram.

Jika kita hendak mengira nasib malang yang menimpa diri kita, nescaya tidak akan terkira banyaknya. Jika betullah definisi saya di atas, sudah tentu kita ini sentiasa diselubungi dengan nasib malang kerana pada kebanyakan masa, banyak yang kita inginkan berlaku sebaliknya. Dari kita mula boleh mengingat sehingga sekarang, berapa banyak kejadian yang tidak kita ingini. Cuba kira. Tentu tidak terkira bukan?

Tetapi jika segala nasib malang itu diletak pada sebelah neraca, kemudian segala kebaikan yang kita terima dalam hidup ini diletakkan pada sebelah yang lainnya, saya percaya neraca itu akan jadi berat sebelah dengan segala kebaikan itu akan lebih berat. Tetapi, disebabkan pada kebanyakan masa kita lebih menumpukan pemikiran terhadap kehampaan lebih daripada kebaikan, maka itulah kita sering mengatakan kita bernasib malang.

Jika hendak berbicara tentang nasib malang, tidak ada orang yang lebih malang berbanding dengan Nabi saw. Ayahandanya meninggalkan ketika Baginda masih dalam kandungan. Apabila usia meningkat enam tahun, bondanya pula meninggal dunia. Baginda saw dibesarkan tanpa kasih saya dari ayah dan ibu. Hanya mengikut datuknya berniaga ke sana dan ke mari sampailah ke negeri Syam.

Malah bertambah malang setelah dilantik sebagai Rasul Allah. Baginda yang sebelum itu digelar sebagai al-Amin, dipercayai dan disayangi penduduk Makkah telah dituduh sebagai pendusta, gila dan ahli sihir. Bahkan Baginda saw pernah dilontar dengan najis. Malah, ketika berdakwah di Thoif, Baginda saw telah dilontar dengan batu sehinggakan sepatu yang dipakaiNya bertakung dengan darah Baginda.

Namun dalam lipatan sejarah Islam, tidak pernah sekalipun Baginda saw menyifatkan dirinya bernasib malang. Bahkan Nabi saw begitu bersyukur dengan anugerah yang telah Allah berikan kepadanya. Tidak ada makhluk Allah yang bersyukur lebih dari Nabi Muhammad saw. Baginda saw bukan bersyukur hanya setelah terbentuknya kerajaan Islam Madinah tetapi pada setiap masa. Bahkan ketika dilempar dengan najis.

Kerana Baginda begitu yakin dengan setiap janji Allah. Dan Allah telah berjanji bahawa ‘Setiap kesusahan itu akan ada kesenangannya’. Maka itulah yang dipegang Baginda. Dan antara buktinya, walaupun Nabi saw dibesarkan tanpa kasih sayang ayah bondanya, tetapi sehingga hari ini Baginda dikasihi dan disayangi oleh jutaan malah bilionan umat yang mempercayai Baginda ada Rasul Allah yang benar.

Saya teringat kepada filem Bruce Almighty lakonan Jim Carey. Filem ini memang filem mengarut apabila Jim memegang watak Bruce yang percaya dirinya bernasib malang dan selalu mencabar tuhannya. Sehingga pada satu ketika ‘tuhannya’ (lakonan Samuel L. Jackson) muncul dan memberikan kuasa kepadanya. Baiklah, saya bukan mahu membuat promo filem ini. Tidak perlu saya kisahkan sinopsis cerita itu.

Yang menarik perhatian saya ialah pada satu babak apabila Bruce bertemu dengan ‘The God’ dan bertanya mengapakah tuhannya itu tidak menunaikan permintaan manusia. Maka si tuhan bertanya mengapakah dia mesti menunaikan setiap yang manusia pinta. “Kerana manusia lebih tahu apa yang terbaik buat mereka” jawab Bruce. “Semenjak bila?” tanya tuhannya semula membuatkan Bruce terdiam.

Filem ini sememangnya melampau. Memang mengarut. Tetapi dialog yang dituturkan oleh Samuel itu adalah cukup benar. Semenjak bila manusia lebih tahu apakah yang terbaik untuk mereka? Tidak! Manusia tidak pernah tahu. Maka kerana itu, adalah tidak adil terhadap Allah untuk kita mendakwa diri kita ini bernasib malang kerana Allah telah memberikan yang terbaik untuk kita dan hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Seperti contohnya ayah saya. Ketika wang simpanan EPF (atau KWSP di Malaysai) dikeluarkan apabila cukup usianya 55 tahun, ayah melaburkannya dengan mengusahakan kolam ikan keli. Sayang sekali, modal ayah yang bernilai puluhan ribu ringgit hanyut begitu sahaja kerana perancangan yang lemah. Lebih sedih lagi apabila saudara sendiri mengambil kesempatan terhadapnya yang mengharapkan bantuannya untuk menjayakan kolam tersebut.

Secara logiknya, tentulah ayah saya boleh dikatakan bernasib malang. Perancangan ayah untuk memperolehi keuntungan hasil dari kolam tersebut gagal sama sekali. Apatah lagi ketika itu saya masih menuntut di universiti. Akhirnya ayah terpaksa bekerja semula bagi mendapatkan wang untuk menyara pembelajaran saya. Tetapi siapa tahu, rupanya lebih baik bisnis kolam itu tidak menjadi.

Kerana jika perniagaan itu berjaya, sekarang ini ayah tentu sedang sibuk berusaha keras untuk memastikan ianya terus berjaya. Tetapi pada ketika ini, ayah sedang sibuk di rumah melayan cucunya. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana anaknya telah mengambil alih segala bil perbelanjaan di rumah. Hanya sesekali ke kebun melihat tanamannya. Itupun sekadar memenuhi minatnya terhadap kerja-kerja bercucuk tanam.

Maka sebenarnya tidak ada istilah nasib malang di dalam dunia ini. Allah telah menjanjikan peluang kejayaan yang sama rata terhadap semua hambaNya. Jika ada kegagalan, itu hanyalah sekadar ujian. Bahkan kejayaan juga sebuah ujian. Ujian, apakah kita masih mahu meratap merintih kepadaNya setelah diberikan kejayaan ataupun kita jadi alpa dan lalai dengan kesenangan dunia yang kita miliki.

Sesungguhnya kejayaan yang kekal abadi adalah di negeri akhirat. Mungkin setiap kegagalan yang Allah ‘kurniakan’ kepada kita adalah sebagai satu asbab untuk Allah meninggikan darjat kita. Supaya kelak di hari Akhirat kita akan dilimpahi dengan rahmahNya sehingga dimasukkan ke dalam syurga berkat dari kesabaran kita atas ujianNya. Allah Maha Kuasa. Sebaiknya kita
terima sahaja ketentuanNya dengan iman yang terbuka.

Mandi bunga atau apa jenis jampi serapah sekalipun tidak akan mampu mengubah ketentuan Allah. Tetapi Allah mampu mengubah apa yang telah ditetapkanNya untuk kita. Maka berdoalah kepadaNya disamping berusaha. Kerana Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah nasib mereka sendiri. Berdoa, berusaha dan berserah. Percayalah, Allah itu Maha Adil dan tidak mungkin menganiaya mana-mana hambaNya…

07 January 2007

Hujan, Banjir Dan Rezeki

Tempohari, ketika negeri Johor masih sedang hebat dilanda banjir lagi, hujan turun dengan agak lebat sebaik selesai kami tunaikan solat Zuhur. Maka saya dan beberapa orang jemaah hanya duduk di tangga masjid menanti hujan teduh. Disebabkan ketika itu kisah banjir masih lagi menjadi isu hangat, maka perbualan kami lebih banyak tertumpu kepada kisah bencana itu. Maka keluarlah bermacam-macam cerita.

Tetapi saya paling tertarik dengan kata-kata seorang dari jemaah tersebut. Katanya, hujan yang turun mencurah itu sebenarnya adalah permintaan manusia sendiri. Selama ini apabila hari panas, manusia sering mengeluh dan berdoa memohon Allah turunkan hujan. Sekarang, apabila Allah turunkan hujan dengan lebatnya, bumi pula tidak tertampung. Kebanyakan kami menggelengkan kepala tanda bersetuju dengan pendapatnya.

Kemudian saya mencelah. "Haji... Hujan ni rahmat. Macam rezeki. Bila Allah turunkan hujan sikit, kita kata tak cukup. Kita nak lagi. Hujan satu jam, kita nak satu hari. Bila dah terlebih hujan, akhirnya banjir dan yang hanyut kita sendiri juga. Begitu juga dengan rezeki. Bila Allah beri kita rezeki, kita kata tak cukup. Kita nak lagi. Sampai akhirnya dah terlalu
melimpah, kita hanyut dalam kemewahan..."

"Saya dah terkena Haji. Bila duit ada di tangan, memang hanyut. Sebab nak habiskan duit, saya tinggalkan jemaah. Sebab nak habiskan duit, bukan nak cari duit tu..." sambung saya lagi. Haji tersebut hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Iya la eh?" jawabnya pula menzahirkan persetujuannya. Seketika kemudian hujan mulai reda dan kami semua beredar
pulang ke rumah masing-masing.

Dalam fikiran saya masih lagi terngiang-ngiang kata-kata yang saya sebutkan sebentar tadi. Sungguh, ianya bukan apa yang telah lama bermain di fikiran saya. Ianya lahir secara spontan. Ilham kurniaan Allah. Dan Alhamdulillah, saya jadi tersedar. Betul. Saya sendiri bersetuju dengan apa yang saya sebutkan tadi. Dan saya yakin, ini adalah satu cara Allah hendak
menyelamatkan saya. Segala puji bagi Allah...

Dahulu memang saya susah. Kehidupan sempit. Terutama ketika baru bertukar tempat kerja. Ketika itu sedang sibuk mengumpul duit untuk berkahwin pula. Kemudian, pada bulan-bulan awal perkahwinan, hidup saya masih di takat yang lama. Masih terasa kesempitannya. Lalu yang saya pohon setiap hari dariNya hanyalah limpahan rezeki. Saya mahukan rezeki yang lebih. Dan Alhamdulillah, itulah yang Allah berikan.

Tetapi itupun masih belum mencukupi. Walaupun sudah mulai lapang, perasaan untuk lebih selesa mula menguasai akal dan nafsu (iman lemah). Lalu dipohon lagi rezeki dan Allah kurniakan lagi. Dan akhirnya ketika diri ini dilimpahi dengan rezeki, saya terlupa untuk memohon diteguhkan iman. Saya jadi hanyut. Seronok dengan limpahan wang. Mula berbelanja boros dan sesuka hati.

Paling menyedihkan, disebabkan sibuk berbelanja, sering kali Asar dilakukan dengan bersendirian. Manakan tidak, sedang suara bilal berkumandang melaungkan azan Asar, saya sedang sibuk beratur di kaunter pembayaran untuk melunaskan harga barang yang saya beli. Malah kadangkala, bukan setakat Asar, bahkan Maghrib dan Isyak juga tidak dilakukan secara berjemaah kerana sibuk sangat berbelanja.

Hebat, bukan? Allah mengurniakan saya limpahan rezeki. Dan saya menyatakan kesyukuran ke hadhratNya dengan, bukan setakat meninggalkan jemaah, bahkan melewatkan solat. Kadangkala saya jadi malu hendak ke masjid. Kerana wajah saya terlalu sering tenggelam dan timbul. Malah lebih memalukan lagi, lebih banyak masa tenggelam dari masa timbulnya. Inikah caranya saya menghargai perintah Allah?

Maka sebenarnya rezeki itu tidak boleh berlebihan. Dan inilah sebabnya Baginda Nabi saw memohon agar Baginda dijadikan lapar sehari dan kenyang pada keesokan harinya kerana Baginda Nabi saw mahu meratap merintih pada satu hari dan kemudiannya bersyukur atas nikmatNya pada keesokan harinya. Supaya dengan cara itu, Baginda akan lebih menghargai rezeki yang dikurniakan kepadanya.

Hujan adalah rezeki. Dan lihatlah apa yang terjadi apabila hujan yang berlebihan. Bumi ini dinaiki air dan akhirnya memusnahkan apa yang telah kita bina selama ini. Rumah yang disiapkan dengan hasil titik peluh dan susah payah akhirnya rebah. Terasa sia-sia usaha kita selama ini. Dan begitulah yang berlaku kepada iman kita. Dengan limpahan rezeki yang
mencurah-curah, akhirnya tembok iman yang kita bina mungkin akan musnah.

Saya tidak mengatakan tidak boleh mencari rezeki yang lebih. Tidak. Carilah dunia seperti mana kita akan hidup seribu tahun lagi. Akan tetapi setiap perbuatan yang tidak disertakan dengan iman yang utuh dan mendalam, akhirnya akan memudaratkan iman kita sendiri. Limpahan rezeki yang mencurah mungkin akan disalurkan ke jalan yang bathil jika tidak dikawal selia dengan iman yang kukuh.

Jikalaulah rumah-rumah mangsa banjir dibina pada tempat yang tinggi, mungkin (diulang, mungkin) mereka akan selamat. Tetapi siapa yang akan menjangka banjir jika selama ini bumi mereka sering kekeringan. Jika naik pun air hanya setakat separas buku lali. Tentulah tidak ada antara mereka yang bersedia? Dan begitulah kita. Jika hari ini secara tiba-tiba kita
dicurahkan dengan rezeki yang banyak, bagaimana?

Apakah nanti hati dan iman kita akan karam? Wallahu'alam. Semoga Allah menjauhkan kita dari sebarang sifat yang tidak elok. Dan kini saya kian sedar. Sepatutnya sebelum meminta untuk dilimpahi rezeki yang banyak, sebaiknya saya memohon agar dikukuhkan dulu tembok iman di hati ini. Supaya nanti tidak hanyut dibawa arus kemewahan. Semoga nanti mampu menjadi
hambaNya yang tahu bersyukur atas kurniaNya dengan sewajarnya...

05 January 2007

Banjir...


Rasanya hampir semua orang tahu tentang berita negeri Johor yang dilanda banjir hebat baru-baru ini. Ada juga beberapa orang yang menelefon dan mengirimkan email bertanyakan adakah tempat saya dilanda banjir. Alhamdulillah... Setakat ini rumah saya masih selamat. Memang dimasuk air tetapi sekadar lebih kurang 10 baldi sahaja. Kepada mereka, terima kasih kerana mengambil berat. InsyaAllah, email anda akan saya balas bila kelapangan nanti.

Beberapa hari selepas banjir, iaitu hari ketiga saya pulang dari laut, saya menghubungi teman-teman dari tempat kerja lama kami untuk minum bersama. Kami berlima sebenarnya telah lama meninggalkan syarikat yang beroperasi di Pasir Gudang itu dan semenjak berhenti, itulah kali pertama kami bertemu kerana masing-masing berkhidmat dalam syarikat yang berlainan. Dua dari kami kini bertugas di Sudan.

Sudah lama tidak bertemu, tentu sahaja banyak yang diceritakan. Antaranya ialah tentang rakan-rakan yang sedang bertungkus-lumus mencari kerja lain. Kami bertanya-tanya sama sendiri tentang kekosongan jawatan di tempat masing-masing. Tiba-tiba seorang dari teman saya bercerita... "Wei... Korang tau pasal Bob? Kesian la dia... Rumah dia habis kena banjir. Motor pun hanyut. Sekarang ni mula dari kosong la..."

Saya jadi terkejut mendengar berita yang disampaikan. MasyaAllah... Begitu terukkah banjir yang melanda Kota Tinggi? Sungguh, saya bukan orang yang suka menonton dan membaca berita oleh media Malaysia kerana sudah sering sangat tertipu ketika era pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu. Dan kerana itu saya sering ketinggalan dengan berita nasional yang terkini. Hanya bergantung kepada berita yang teman-teman kirimkan sahaja.

"Kalau tempat korang ada kosong, tolong la rekomenkan si Bob tu. Kesian dia. Tinggal sehelai sepinggang je." Sambung teman saya lagi. Kami kemudian sama-sama berjanji untuk membantu apa-apa yang patut. Beberapa hari kemudian, saya menghubungi teman saya yang terlibat dalam banjir tersebut. Untuk mendapatkan berita yang lebih jelas tentang musibah yang melanda kejiranannya.

"Habis dah..." jawab teman saya dengan tenang sambil tertawa. "Kau bayangkan, rumah aku yang dua tingkat tu tinggal bumbung je." Jelasnya lagi membuatkan saya melopong. MasyaAllah... Begitu dalam? "Motor?" tanya saya pula. "Alhamdulillah. Memang hanyut tapi dapat diselamatkan sebab tersangkut. Ada la 100 meter kena hanyut. Lepas aku hantar servis tuari Allhamdulillah boleh pakai balik..." jawabnya lagi.

Selepas dari itu, saya telefon pula pak cik saya di kampung. Alhamdulillah... Rumah mereka terselamat. Tetapi, katanya, bandar Kota Tinggi sudah berubah menjadi lautan. Bangunan Mara sudah menjadi pulau. Lampu isyarat trafik juga tenggelam. Dan Jambatan Kota yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kota Tinggi menyeberangi Sungai Kota juga tenggelam.
Hanya tinggal besinya di tepinya sahaja yang kelihatan.

Saya membayangkan keadaannya. Sungguh mengerikan. Kemudian terbayang pula seperti keadaan rumah teman saya. Rumahnya sudah tidak boleh diduduki lagi. Dinding roboh. Baju-baju juga hanyut. Yang ada pun dipenuhi lumpur. Perabot dan barangan elektrik pula rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi. Mujurlah ayahnya pekerja Kementerian Kesihatan maka dapatlah mereka sebuah rumah di Kuarters Hospital.

Seperkara yang menarik tentang sahabat saya ini, beliau, dari riak suaranya, seperti begitu tenang menghadapi musibah ini. Dalam kebanyakan masa dia ketawa ketika berbual dengan saya. Tidak sekalipun dia mencela cuaca. Malah mengeluh sesal pun tidak. Tenang dan bersahaja. Sungguh saya mengkagumi ketabahan hatinya. Hebat. Saya cuba bayangkan bagaimana keadaannya jika saya yang ditimpa musibah sebegitu.

Ah... Tidak dapat saya hendak membayangkannya. Tempohari, ketika pulang dari masjid hujan agak lebat. Maka saya dan beberapa orang jemaah yang lain duduk berbual di kaki tangga sambil menunggu hujan teduh. Topik perbualan ketika banyak berkisar tentang banjir. Ketika semua sedang sibuk berbual, saya bertanya, bagaimanakah iman kita jika kita yang ditimpa musibah sebegitu? Masing-masing menggelangkan kepala tanda tidak tahu...

Ketika itu, apa yang bermain difikiran saya ialah kata-kata dari abang saya. Ketika bencana tsunami baru melanda Acheh, abang saya berkata, dalam bencana sebegitu, orang yang paling beruntung adalah orang yang tidak punya harta. Mereka tidak ada apa-apa yang boleh dikesalkan akibat rosak atau hilang atau hanyut dibawa arus deras. Kerana harta mereka adalah apa yang ada pada badan mereka.

Mereka tak punya TV plasma yang harga ribuan ringgit. Mereka tak punya kereta yang hutangnya masih panjang berjela. Malahan rumah mereka juga sekadar yang ada. Boleh dibina semula pada bila-bila masa. Malah untuk sesetengah dari mereka yang sebelum ini makan pun tidak mencukupi, dengan adanya bencana seperti ini, mereka mendapat makanan yang lebih sempurna dari hari kebiasaannya.

Sebaliknya, orang seperti kitalah yang akan risau jika musibah ini melanda diri kita. Bagaimana dengan set televisyen kita? Bagaimana katil tidur buatan dari kayu mahal kita? Apa pula jadinya kepada baju mahal yang dibeli dari butik terkemuka? Itu belum lagi soal kereta yang 'hilang keupayaannya' sedangkan bulanan masih perlu dibayar kerana insurans tidak melindungi kejadian malapetaka dan bencana. Bagaimana ya?

Maka kerana itulah saya amat bersetuju dengan tutur kata abang saya. Iya, memang benar. Mungkin ketika ini kita kasihan melihat mereka yang berpayahan berpanas dan berhujan menunggu bas sedang kita sedap dalam kereta berpendingin hawa. Tetapi pada suatu ketika, mungkin kita akan merasakan betapa bertuahnya tidak memiliki harta kerana kita tidak akan
kehilangan sesuatu yang tidak kita miliki.

Di sebalik musibah banjir besar di Johor ini, ada banyak pengajaran yang boleh kita perolehi sama ada kita sebagai mangsa atau sebagai orang yang memerhati. Pengajaran yang paling penting adalah, tidak ada hak milik kekal di dalam dunia ini. Segalanya milik Allah. Dia yang memberikan pinjaman. Dan jika Dia berkehendak untuk menariknya semula, tidak ada sesiapa yang mampu mengahalangNya. Semoga Allah mengukuhkan iman kita. Amin.....

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.