23 June 2007

Hanyut

Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Bukan setakat di blog ini sahaja
tetapi di mana-mana jua. Sememangnya tulisan saya sudah lama menyepi dari
ruang maya. Bukan ketandusan idea. Banyak perkara yang ingin saya tuliskan.
Dan bukan juga kekurangan masa. Banyak masa yang boleh digunakan. Hanya…
Keadaan diri saya yang tidak menentu menyebabkan saya berpendapat saya
tidak sesuai lagi menulis apa-apa artikel…

Saat ini saya merasakan saya amat jauh dari Tuhan. Tidak… Bukanlah sampai
ke tahap melupakanNya. InsyaAllah tidak. Hanya amalan-amalan saya kian
berkurangan. Yang masih kekal pula, kualitinya amat menyedihkan. Saya
menjadi terlalu lemah. Dalam keadaan sebegini, saya bimbang jikalau tulisan
saya menjadikan diri saya hanya seorang yang hipokrit atau dalam bahasa
sebenarnya, munafik.

Sebenarnya hampir semua tulisan saya lebih kepada penceritaan tentang diri
saya sendiri. Tentang perkara-perkara yang boleh saya kongsikan dengan
teman-teman. Kerana itu blog ini saya namakan sebagai 'dairi'. Saya sedia
berkongsi bukan sahaja cerita-cerita yang indah tetapi juga cerita tentang
keburukan saya dengan harapan, cerita-cerita itu boleh dijadikan 'panduan'
teman-teman sekalian mengharungi kehidupan sendiri.

Bukan bermaksud saya ini terlalu baik. Maksud saya, jika ada pengajaran
yang elok, bolehlah dijadikan contoh dan jika ada pengajaran yang buruk,
bolehlah dijadikan sempadan, agar teman-teman tidak mengulangi kesilapan
yang saya lakukan. Tidak pernah saya berniat -hendak menasihatkan
teman-teman sekalian apatah lagi hendak mengajar. Saya hanya seorang
manusia biasa yang diselubungi dengan seribu satu kekurangan dan kelemahan.

Sesungguhnya kejadian yang menimpa saya sekarang ini bukanlah bala bencana
atau apa. Hanya… Saya merasakan diri saya telah gagal menjadi manusia
sebagai mana sepatutnya. Kegagalan yang pernah saya alami suatu ketika
dahulu dan saya pernah bangkit mengatasinya. Kini saya gagal lagi.
AllahuAkbar… Sebab itu adakalanya saya berasa kecewa dengan sikap saya
sendiri…

Saya gagal menghadapi dugaan Allah. Lebih memilukan, ujian ini bukanlah
ujian kesusahan sebaliknya ujian kesenangan. Allah berikan saya sedikit
kelebihan dalam rezeki. Apa yang saya lakukan? Saya tidak jadikan rezeki
itu sebagai alasan untuk lebih bertaqwa kepadaNya sebaliknya ia menjadi
asbab saya menjauhi Dia. Kini saya jadi sibuk dengan dunia yang Dia
berikan, yang selalu saya sebut sebagai suatu yang nyata sementara.

Sayang… Sayang sekali. Suatu ketika dahulu, hidup saya pernah bergelumang
dengan dosa. Kemudian Allah selamatkan saya, dengan asbab doa ibu, isteri
dan adik beradik. Kemudian susah payah saya bangkit memperbetulkan diri.
Bersusah payah saya tanamkan sifat cintakan amalan. Bersusah payah saya
tanamkan sifat bencikan keduniaan. Tiba-tiba, dengan sedikit kesenangan,
mudah sekali saya musnahkan apa yang telah saya usahakan selama ini.

Lebihan rezeki tidak menjadikan saya seorang yang bersyukur. Sebaliknya
saya menjadi seorang yang tamakkan nikmat dunia sehinggakan lebihan rezeki
tadi menjadikan saya berasa tidak cukup. Saya mahukan lebih lagi sedangkan
saya sudahpun terima lebih dari yang sepatutnya saya terima. Ya Allah…
Sukarnya diri ini untuk mensyukuri nikmatMu. Mengapa aku begitu kejam
terhadapMu ya Allah???

Belajarlah untuk berkata cukup. Ya, saya sudah belajar. Dan saya pernah
pandai berkata cukup. MasyaAllah… Indahnya hidup ketika itu. Tidak pernah
wujud kebimbangan dalam diri tentang rezeki. Saya begitu yakin dengan
pengurusan rezeki olehNya. Sayangnya saya gagal mempertahankan sifat
sebegitu. Hari ni, saya berasa perkataan cukup itu begitu pahit untuk
dizahirkan. Terlalu perit untuk dinyatakan.

Saya lupa kepada hadits Nabi saw yang dahulu selalu saya sebut-sebut. Nabi
saw pernah mengingatkan supaya janganlah kita sibuk mengira rezeki hari
esok kerana sesungguhnya Allah menurunkan rezeki pada setiap hari. Hadits
yang cukup saya yakini ini akhirnya saya tinggalkan sepi. Saya sibuk
mengirakan rezeki yang bakal saya perolehi dalam beberapa bulan mendatang.
Mengapa? Tidak yakinkah saya kepada sifat Maha Pemurah Allah?

Astaghfirullah… Sebab itu saya katakan saya telah bersifat kejam kepada
Allah. Saya seolahnya menganggap Allah akan terlupa menentukan nasib
saya.bersifat kejam kepada Allah. Saya seolahnya menganggap Allah akan
terlupa menentukan nasib saya.Kerana itu saya sibuk mengaturkan rezeki saya
sendiri. Sedangkan Allah telah menetapkan rezeki bagi setiap hambaNya.
Bahkan rezeki seekor semutpun Allah yang menetapkannya…

Baru-baru ini saya dipanggil untuk ke satu temuduga. Temuduga di sebuah
syarikat yang saya sendiri tidak pernah memohonnya. Tetapi saya hadiri juga
kerana menghargai susah payah syarikat tersebut mengaturkan sesi temuduga
mengikut keselesaan saya. Dan saya hadir ke temuduga di syarikat tersebut
tanpa sebarang persediaan dan tanpa sebarang harapan untuk diterima bekerja
di sana.

Tetapi Allah telah menjadikan segalanya lebih rumit untuk saya bagi menguji
diri saya. Dalam pada tiada persediaan, rupanya saya berjaya menambat hati
panel penemuduga saya. Lalu saya diterima bekerja. Lebih mengejutkan, saya
bukan sahaja diterima bahkan syarikat tersebut telah menawarkan gaji yang
lebih tinggi dari yang saya nyatakan ketika menulis borang ketika baru tiba
di pejabat syarikat tersebut.

Saya jadi keliru. Saya sayangkan pekerjaan saya sekarang. Ketua yang baik,
teman-teman yang memahami dan lebih penting, saya ada perjuangan dalam
kesatuan sekerja. Tetapi… Tawaran ini terlalu hebat. Tetapi… Jika saya
terima tawaran ini, bererti saya mengecewakan orang yang meletakkan harapan
kepada saya di dalam kesatuan. Sesuatu yang pernah saya lakukan di tempat
kerja saya terdahulu…

Keputusan belum saya bulatkan. Separuh dari diri saya mahukan jawatan baru
ini. Manakala sebahagian yang lain menentangnya. Apatah lagi rezeki yang
mendatang ini tatkala iman saya berada lebih rendah dari telapak kaki saya.
Saya bimbang jika ini menjadikan keadaan saya lebih buruk dari keadaan yang
sedia ada. Saya bimbang jikalau selepas ini, saya lebih hanyut dibawa oleh
arus dunia yang kejam ini…

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui… Maka biarlah Engkau yang
menentukan nasibku kelak. Tetapi ku pohon kepadaMu… Dekatkanlah aku kepada
pintu rahmatMu dan jaukanlah aku dari siksa nerakaMu. Ya Allah, aku
perlukan bantuan maka berikanlah aku nusrahMu. Aku perlukan petunjuk maka
berikanlah hidayahMu. Ya Allah… Sesunggunya siapalah aku melainkan seorang
hina bergelar hambaMu…..

04 June 2007

Afiat Di Dunia, Afiat Di Akhirat

Saya sebenarnya sedang menghabiskan pembacaan sebuah buku berjudul 'Jangan
Melampaui Batas' tulisan Dr. 'Aidh Abdullah al-Qarni. Setelah helai demi
helai diselak, saya mula rasakan keseronokan membacanya. Gaya penulisan
yang bersahaja disertakan dengan perikan ayat dari al-Quran dan hadits
menjadikan ianya sebuah buku yang saya terfikirkan tentang isi kandungannya
setiap kali berseorangan.

Sebenarnya buku ini berbicara secara kasarnya tentang dosa dan taubat. Amat
sesuai untuk orang yang mahu atau sedang bertaubat terutamanya seperti saya
yang sedang hampir gagal di pertengahan taubat yang saya ucapkan.
Sekurang-kurangnya buku ini mengingatkan saya banyak perkara dan
memotivasikan saya untuk memperkuatkan semangat dan memperhebatkan
penentangan terhadap permintaan nafsu.

Paling menarik, di dalam buku ini diselitkan sebuah hadits. Hadits itu di
antara lainnya mengisahkan tentang seorang sahabat Nabi saw yang datang
berjumpa Baginda saw dan meminta sebuah doa yang terbaik untuk di doakan.
"Afiat di dunia, afiat di akhirat" jawab Nabi saw. Dan setelah soalan yang
sama diulang sebanyak tiga kali, itulah juga jawapan yang keluar dari mulut
Baginda saw.

Manurut Dr. 'Aidh, afiat di dunia adalah kesihatan manakala afiat di
akhirat pula adalah pengampunan dari Allah swt. Manurutnya lagi,
sebagaimana pentingnya kesihatan di dunia ini, maka sebegitu jugalah
pentingnya pengampunan olehNya di akhirat kelak. Dan setelah
difikir-fikirkan, tidak dapat tidak, saya amat bersetuju dengan apa yang
dinyatakannya. Roh yang tidak diampunkan samalah seperti jasad yang tidak
berkeupayaan…

Apa yang kita cari dalam hidup kita di dunia ini? Harta dan kekayaan?
Kebahagiaan rumah tangga? Ketenteraman hidup? Kereta besar, rumah besar dan
segala-galanya yang besar? Apa lagi? Jika mampu, tentu kepala keretapi pun
kita mahu beli. Begitulah hebatnya dunia ini menarik perhatian kita. Maka
kita pun berusaha pagi, petang, siang dan malam untuk mencapai apa yang
kita idamkan selama ini.

Akhirnya, Allah tunaikan impian dan harapan kita. Maka jadilah kita seorang
yang kaya yang memiliki hampir segala-galanya. Apa sahaja yang terlintas di
hadapan mata, mampu kita dapatkan. Tetapi, dalam masa yang sama, Allah
menarik balik nikmat yang telah diberikanNya kepada kita sebelum ini. Tanpa
sedar, ketika kita memperolehi segala nikmat yang kita idamkan itu ketika
kita di hujung usia.

Ketika itu, seluruh badan sudah terketar. Hendak ke tandas pun perlu
dipapah. Hendak makan pun perlu disuapkan. Itupun makanan yang telah
dikisar. Kita miliki kereta yang termahal di dunia tetapi setakat mampu
'menumpang' di belakang kerana tiada upaya memandunya. Pegang sterengnya
pun setahun tidak sekali. Kita punyai mahligai indah umpama Taj Mahal
tetapi ruang kita hanya di atas katil dalam sebuah bilik…

Bahagiakan kita ketika itu? Sempurnakah kehidupan kita sebegitu? Demi Allah
tidak. Mengapa? Kerana kita tidak sedikitpun dapat menikmati segala nikmat
dunia yang kita perolehi tanpa satu nikmat penting iaitu kesihatan. Kesemua
benda, rumah, kereta, wang, harta dan sebagainya tidak membawa makna kepada
kita. Sebaliknya, kaum kerabat kita yang dapat bergembira dengannya.
Begitulah pentingnya kesihatan.

Dan begitu jugalah pentingnya pengampunan Allah di akhirat kelak.
Bayangkan, ketika dibangkitkan kita sarat dengan senarai amal kebajikan
yang kita perbuat di dunia. Dalam masa yang sama, sebagai manusia yang
bukan maksum, kita turut membawa beban-beban dosa yang sama beratnya atau
mungkin lebih berat lagi dari pahala-pahala yang kita perolehi hasil amalan
kita ketika di dunia dahulu.

Pada ketika itu, apakah yang paling perlu kita harapkan? Tentu saja
pengampunan dariNya. Bayangkanlah, walaupun senarai amalan kita panjang
berjela, namun setiap titik dosa yang kita perbuat kesemua diperhitungkan
satu persatu. Tidak ada satupun yang Allah perkenan untuk diampunkan.
Apakah ketika itu kita jangka kita dapat memasuki syurga Allah? Janganlah
diharapkan. Tidak mungkin kita akan ke sana.

Janganlah menyangka kita akan masuk ke syurga dengan amalan yang kita
perbuat. Solah, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lainnya hanyalah
bekalan buat kita menghadap Allah di hari kemudian. Bukan sebuah jaminan
yang kita akan terselamat dari nyalaan api dan siksaan yang tidak terperi
sakitnya di neraka al-jahim. Tidak. Syurga atau neraka, semuanya bergantung
kepada rahmah dan pengampunan dariNya.

Jadi apa gunanya senarai amalan yang bergulung-gulung panjangnya jika tiada
pengampunan Allah di hari hisab kelak? Sebagaimana tubuh si kaya yang hanya
mampu berbaring di atas tilam emas, begitulah kita kelak jika tiada
pengampunan dariNya. Kesemuanya sia-sia. Kesemua amalan kita tidak akan
membawa apa-apa maknanya lagi. Dan akhirnya, tiada tempat untuk kita di
syurgaNya.

Namun Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan maha
dalam segala sifat kebaikan dan maha suci dari segala sifat buruk dan
kekurangan. Sungguhpun kita hadir di hadapanNya kelak dalam keadaan miskin
amalan, tetapi jika Dia sudi memaafkan kita dan sudi menerima kita
melangkah masuk ke dalam syurgaNya, nescaya di situlah tempat kita. Nescaya
kitalah orang-orang yang bergembira.

Tetapi ini bukanlah alasan untuk kita mengabaikan ibadah di dunia ini.
Setiap ibadah yang diperintahkan sama ada yang wajib mahupun yang sunat,
adalah sebagai bekalan untuk kita mendapat belas dan kasihan dariNya.
Sungguhpun kesemua kita adalah sama, tetapi di sisi Allah, amalan dan taqwa
membezakan antara kita. Dan syurga itu bertingkat-tingkat, dengan kedudukan
kita di tingkat mana bergantung kepada amalan dan ketaqwaan kita kepadaNya.

Lagipula, apakah kita tidak malu hendak memohon pengampunan dariNya
sedangkan tangan kita bersih dari sebarang amalan tambahan? Apakah kita
menjangka kita akan diampunkan olehNya setelah kita menyesiakan setiap
perintah dan laranganNya di dunia ini? Apakah kita fikir, dengan meletakkan
arahan manusia lebih utama dari arahanNya menjadikan kita layak untuk
memperolehi maghfirahNya?

Mungkin. Tetapi, secara peribadi saya berasa amat malu jika situasi itu
berlaku terhadap diri saya. Rasanya saya malu hendak berhadapan dengan
Allah dengan buku amalan yang kosong tetapi buku dosa yang berkeping-keping
banyaknya. Apatah lagi hendak memohon rahmah dan pengampunanNya demi
memasuki syurgaNya. Maka kerana itu, kita perlu kuatkan azam dan semangat
untuk terus beramal kepadaNya walaupun sekecil-kecil amalan sunat. Mesti
teguhkan hari meninggalkan setiap laranganNya walaupun sekecil-kecil
perkara yang makruh. Semoga dengan itu, Allah sudi mengampunkan kita.
InsyaAllah….

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.