27 April 2007

Sakit

Saya sedang tidak berapa sihat sebenarnya. Batuk, selsema, sakit kepala dan
'panas dalam' sehinggakan mata saya sentiasa berair. Lemahnya. Ikut hati
hendak rasanya memohon pulang ke rumah dari ketua saya. Tetapi kasihan pula
dengan teman-teman. Sekarang inipun sudah kekurangan tenaga. Kalau saya
balik, tentu yang tinggal akan jadi lebih susah. Jadi saya kira, biarlah
saya terus di sini, sekurang-kurangnya untuk menyumbangkan teori dan idea.

Saya tidak ingat kali terakhir saya demam kuat. Jika tidak salah, lebih
kurang lapan tahun dahulu. Kalau tidak salah saya ketika itu saya disyaki
menghidapi denggi kerana suhu badan mencecah 42 darjah. Selepas pemeriksaan
lanjut, saya disahkan hanya demam panas biasa. Alhamdulillah. Selepas itu
saya dibenarkan cuti sakit selama beberapa hari. Selain dari itu, rasanya
saya tidak pernah lagi demam teruk.

Tetapi hari ini rasanya keadaan agak parah. Nafas pun terasa pendek-pendek.
Kadang-kadang terasa bagai sudah dekat ajal. Telinga pun sentiasa berdesing
dan bibir pecah dan merekah. Tetapi apa boleh buat, di pelantar ini,
kesemua tempat berhawa dingin. Biar sejuk bagaimana pun, saya terpaksa juga
menahannya. Ya Allah… Siksanya… Tetapi… Kadangkala terasa bagai seronok
pula demam sebegini.

Bercakap tentang sakit dan siksa, saya teringat tempohari ketika di
hospital. Ketika itu saya melawat abang saya yang baru menjalani pembedahan
bagi membuang ketumbuhan dalam kepalanya. Ketika tiba di hadapan lif, saya
terlihat seorang tua sedang berbaring di atas penyorong. Di mulutnya
terdengar rintihan kesakitan yang dialaminya. Saya tercengang dan terdiam
melihat tingkah orang tua tersebut.

"Kalau patah macam ni, pergi bomoh boleh baik tak?" tanyanya kepada
pembantu hospital di hujung kakinya. "Bomoh? Saya tak tahulah pakcik…"
jawab pembantu hospital tersebut. Jawapan yang tepat, kata hati saya.
Kemudian saya beranikan diri untuk menegur orang tua tersebut. "Kenapa
pakcik?" tanya saya. "Jatuh dalam bilik ayaq. Patah tulang pungkoq."
Jawabnya dengan ekspresi wajah yang muram.

"AllahuAkbar… Macam boleh jatuh?" tanya saya pula. "Tak taulah. Yang pakcik
kesal, awat patah tulang pungkoq pakcik ni. Sakit la… Baik mati teruih lagi
senang. Mati pun tak sakit lagu ni, betoi dak?" "Wallahua'lam… Saya tak
tahu pakcik. Saya belum pernah mati lagi" jawab saya perlahan. Kasihan
pakcik itu. Di sebelahnya ada perempuan muda yang saya kira anaknya. Riak
wajahnya kelihatan seperti menahan malu akibat kata-kata ayahnya.

Sebentar kemudian pintu lif terbuka. Kami masuk bersama dan orang tua tadi
keluar apabila tiba di wad Barat 2, wad untuk kecederaan patah. Dahulu,
semasa saya aktif berlumba, kami gelarkan wad ini sebagai Wad Mat Banting
kerana di Johor Bahru ketika itu, aktiviti lumba haram digelar sebagai
'banting'. Saya tidak tahulah sama ada gelaran itu masih kekal kerana saya
telah lama bersara dari kegiatan yang tidak berfaedah itu…

Seketika kemudian, saya asyik terkenangkan orang tua tadi. Kasihan. Memang
kasihan. Kasihan tentang kesakitan yang dialaminya. Malah lebih kasihan
apabila dia meminta untuk mati sambil mengagak, kematian itu sendiripun
tidak seperit kesakitan yang dialaminya. Saya teringat, Nabi Muhammad
shallallahu'alaihi wasallam sendiri pun berkerut keningnya ketika rohnya
dicabut walaupun Izrail mengambil dalam keadaan cukup berhati-hati.

Inikan lagi kita. Bukan? Tetapi ajal maut itu ketentuan Allah. Lebih kita
jangan persoal. Tidak perlulah diagak-agak sakit atau tidak kematian itu.
Bila, bagaimana, oleh apa, semuanya Allah yang tentukan. Sebaiknya, kita
persiapkan diri kita untuk menghadapi alam kubur. Kerana menurut Nabi saw,
kubur itu boleh jadi satu taman dari taman-taman syurga atau boleh jadi
satu lembah dari lembah-lembah neraka.

Lebih baik kita berdoa dan berharap semoga kita akan dikurniakan kemuliaan
ketika menghadapi sakaratul maut. Lebih penting, mendapat husnul khatomah,
pengakhiran yang baik. Kerana, apa yang pastinya, itu lebih penting sebagai
umat Islam. Mati dalam keadaan bersaksi bahawa kita hanya menyembah Allah
dan tidak menyekutukanNya serta kita mempercayai kerasulan Muhammad saw.

Sesungguhnya kesakitan itu memang amat perit. Sedangkan saya yang hanya
demam ini pun rasanya tidak larat untuk menghadapinya, apatah lagi pakcik
tadi yang patah tulang punggungnya. Tetapi sesakit mana sekalipun,
sebenarnya, inilah peluang untuk kita menambahkan pahala beribadah. Iya.
Ketika sakit. Kerana ketika inilah, kita bermujahadah menahan kesakitan
untuk beribadah kepadaNya.

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pemurah. Tentunya orang yang
sanggup bersusah payah beribadah itu lebih Dia sayangi. Kerana itulah bukti
cinta hambaNya kepadaNya. Sebagaimana kisah Nabi Aiyub 'alahissalam.
Seorang nabi yang dimuliakan dengan harta kekayaan, keluarga yang besar,
tubuh yang sihat, isteri yang solehah dan wajah yang menarik, pada awalnya.

Kemudian, atas permohonan Iblis, Allah lenyapkan hartanya, datangkan
penyakit kepadanya, matikan kesemua anak-anaknya bahkan hingga akhirnya,
Nabi Aiyub menghalau isterinya kerana keluhan yang keluar dari bibirnya
(atas kehendak Allah). Iblis sentiasa datang memujuk Nabi Aiyub as untuk
berpaling daripada Allah. Namun tidak pernah sekali beliau melepaskan
keluhan bahkan terus-terusan memuji Allah.

Di suatu ketika, atas permintaan Iblis, Allah gerakkan hati isterinya untuk
berkata kepada Nabi Aiyub supaya bermohon agar Allah kembalikan mereka
seperti keadaan dahulu. Nabi Aiyub as menjawab dengan bertanya, "berapa
lamakah kita telah hidup dalam kesenangan?" Lantas dijawab oleh isterinya
selama lapan puluh tahun. "Berapa lama pula kita telah menghadapi
kesusahan?" tanyanya lagi. "Tujuh tahun," jawab isterinya.

Lalu Nabi Aiyub menyatakan bahawa beliau malu untuk berdoa meminta Allah
tamatkan penderitaannya. Dan permintaan isterinya telah beliau anggap
sebagai keluhan lalu beliau menghalaunya pergi. Tetapi di akhirnya, berkat
kesabaran beliau, Allah telah mengambalikan kesemua yang dia telah
kehilangan termasuklah isterinya. Sesungguhnya Allah tidak pernah
menyesiakan orang-orang yang bersabar…

Inilah yang sering saya jadikan bahan membujuk hati saya tatkala dilanda
kesusahan. Dan seperti hari ini, saya juga malu hendak berdoa kepada Allah
agar segera menyembuhkan saya. Biarkanlah Dia yang Maha Bijaksana
menentukan selama mana saya akan sakit. Kerana setelah lapan tahun sihat,
penderitaan yang saya alami yang belum sampai 48 jam pun ini terlalu kecil
untuk dijadikan perbandingan.

Maghrib tadi, badan saya masih terlalu lemah. Sebelum bersolat, saya mula
terfikir, hari ini saya enggan melakukan sunat ba'diah Maghrib kerana tidak
larat rasanya. Tetapi kemudian, setelah selesai bersolat, saya jadi
terfikir. Para sohabat, inilah masanya, ketika dalam keadaan tidak sihat
inilah, mereka gandakan solat mereka. Tatkala inilah mereka penuhkan hari
mereka dengan nafil kerana mereka tidak lagi terikat dengan keperluan dunia
ketika ini…

Saya tidak sesal jatuh sakit. Walaupun di tengah lautan tanpa keluarga yang
boleh memanjakan saya ketika ini. Bahkan saya bangga. Kerana inilah
buktinya saya masih di dalam pandangan Allah. Allah masih mahu menguji iman
saya. Sekiranya Allah sudah enggan memandang saya, tentunya saya hidup
dalam sejahtera sentiasa hinggakan saya lupa untuk bersyukur ke hadratNya…

Nikmatnya sihat ketika sakit. Begitu juga, nikmatnya hidup setelah mati.
Orang yang tidak pernah sakit, tidak akan mengerti apa yang hebatnya
menjadi sihat. Begitu juga orang yang sudah mati juga akan membuat
permohonan untuk kembali ke dunia bagi memperbanyakkan amalan. Syukur…
Allah masih sudi memberi saya peluang menghargai nikmat kesihatan. Semoga
dengan ini, akan bertambah teballah iman di hati saya... Amin…..

22 April 2007

PIlihan

Pada Rabu lepas, saya ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat ‘Perjanjian Bersama’ (collective agreement) antara pihak majikan dengan kesatuan sekerja kami. Saya tiba di Puduraya sekitar jam 8 malam. Sebaik tiba, saya segera ke Plaza Low Yat yang terletak di Bukit Bintang. Oleh kerana jarak antara Puduraya dengan Bukit Bintang tidaklah terlalu jauh, jadi saya hanya berjalan kaki ke sana.

Plaza Low Yat merupakan salah satu tempat kegemaran saya. Kunjungan saya ke Kuala Lumpur rasanya tidak lengkap jika tidak ke situ walaupun sekadar ‘makan angin’ (window shopping). Rasanya, ‘nafsu membeli-belah’ saya terpenuh jika dapat meronda di plaza ini. Seperkara yang saya tidak gemar di sini ialah, terlalu payah untuk mendapatkan teksi untuk pulang. Bukan tidak ada teksi tetapi mungkin agaknya mereka terlalu memilih penumpang.

Selepas saya mendapatkan barang yang saya idamkan, saya pun segera menuju ke tepi jalan dengan niat untuk mendapatkan teksi. Pada kebiasaannya, ia mengambil masa yang agak lama untuk membolehkan sebuah teksi berhenti di hadapan saya. Tetapi tempohari, cukup mudah. Sekali tahan saja teksi sudah berhenti di hadapan saya. “Hotel Nikko?” tanya saya. Si pemndu segera menganggukkan kepala dan menghidupkan meternya sejurus sebelum bergerak.

“Hari ni hari bertuah saya” tutur saya memulakan bicara dengan pemandu teksi berbangsa India itu. “Kenapa?” tanyanya kembali. “Biasa saya tahan teksi, semua tak mahu berhenti. Tapi hari ni sekali tahan awak sudah mahu ambil saya” jelas saya kepadanya. Dia tertawa. “Itu dia orang semua mahu angkat pelancong la. Terlalu memilih. Saya tada la. Ada orang tahan, saya kasi angkat” jelasnya peramah.

Seketika kemudian perbualan kami banyak berkitaran tentang pemandu teksi dan penumpang. “Saya pun bukan angkat semua orang. Tadi you pun nasib baik. Saya baru tutup pintu dari seorang penumpang” dia bercerita panjang lebar. Saya tertarik juga dengan cerita. Lalu saya pun bertanya mengapa dia berbuat begitu. “Itu orang la… Dia tanya saya mahu pegi Chow Kit berapa. Saya kasi tahulah RM2 ke RM3”.

“Lepas itu dia terus marah. Dia tanya apa fasal saya tak mahu pakai meter. Dia tanya saya berapa, saya kasi tahulah. Apa fasal dia mahu marah sama saya…” jelasnya sambil tergelak. Saya juga turut tergelak bersamanya. “Macam abang tadi, tada tanya berapa, terus masuk. Saya kasi hidup meterlah. Ini dia tanya. Saya kasi tahulah lebih kurang. Ini teksi bukan boleh cakap. Kena jalan jem ka... Nanti lebih dia kata saya tipu…” jelasnya lagi.

“Oh… Dia tak kenal teksi KL kot… Sebab kalau drebar nak ambil lebih, biasanya terus sebut harga. Kalau tak sebut, maknanya ikut meterlah tu…” jawab saya pula. Sempat juga saya bertanya penumpang itu orang Malaysia atau pelancong. “Tak tahulah. Nampak macam orang dari Timur Tengah” jawabnya pula. “Yalah tu. Dia tak biasa dengan teksi di KL ni…” jawab saya lagi untuk menyedapkan hati pemandu tersebut.

Tada bang… Itu orang, dia punya rezeki ini hari sudah mahu kena. Ini baik punya orang dia tak mahu naik, maknanya dia mahu kena dengan sembelih punya kaki. Saya apa ada hal. Lepas ini saya boleh pergi KLCC. Lagi ramai orang. Saya tak rugi juga…” Berulang kali dia mengulangkan ayat tersebut. Sehinggakan selepas turun dari teksi pun, kata-katanya terngiang di telinga saya.

Benar cakapnya. Apa yang pemandu itu katakan memang benar. Saya simpulkan apa yang berlaku terhadap pelancong yang enggan menaiki teksi pemandu itu sebagai, tersalah membuat pilihan. Si pelancong, sedang berusaha untuk membuat pilihan teksi yang terbaik untuk ke Chow Kit. Tetapi, dalam membuat pilihan, dia sudah tersilap kira dan akhirnya melepaskan peluang yang baik dan merisikokan diri untuk pilihan yang lebih buruk.

Setuju atau tidak, hidup kita sebenarnya dikelilingi dengan pelbagai pilihan. Dari semenjak dilahirkan sehinggalah meniti ke akhir usia, pilihan sentiasa ada dan berkeliling dalam hidup kita. Sedar atau tidak, pilihan ini adalah antara perkara yang mencorakkan kehidupan kita di masa hadapan. Maka kerana itu, tidak hairanlah adakalanya kita terlalu cerewet dalam membuat pilihan. Kerana kita sentiasa mahukan yang terbaik.

Sebenarnya, bersikap cerewet dalam membuat pilihan ini bukanlah satu kesalahan. Dan bukan juga satu kemestian. Benarlah. Sudah dikatakan pilihan itu bakal mencorakkan masa depan, takkanlah kita hendak memilih sesuatu yang boleh memusnahkan masa depan? Contohnya dalam memilih pasangan hidup. Takkanlah seorang perempuan sengaja memilih kaki botol sebagai suaminya atau lelaki memilih perempuan jalang sebagai isterinya.

Dan juga contohnya ketika memilih kerjaya. Tentunya setiap orang inginkan sebuah kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan, kerja yang mudah dan yang sebagainya terutamanya, kerjaya yang boleh berkekalan, bukan yang sementara. Tetapi, biarpun kita begitu cerewet dan ketat dalam membuat pilihan, adakalanya pilihan yang dibuat bukan pilihan yang bertepatan. Bagaimana pula boleh jadi begitu?

Sebenarnya, kebanyakan kesilapan berlaku bukan ketika pilihan dibuat. Sebaliknya kesilapan lebih banyak berlaku ketika menetapkan ciri-ciri untuk sesuatu pilihan dibuat. Disebabkan terlalu inginkan yang terbaik, kita jarang bertoleransi dengan mana-mana ciri yang tidak menepati citarasa kita. Baik ketika menentukan jodoh, mahupun dalam membuat pilihan-pilihan lain dalam hidup.

Contohnya dalam memilih kerjaya sendiri. Ramai yang memilih untuk bekerja dalam bidang yang menjanjikan pulangan yang lumayan. Sudah semestinya kita mahukan sebuah syarikat yang besar, multinasional kerana kita jangkakan bekerja di syarikat ini punyai masa depan yang cerah. Sekurang-kurangnya, ketika hendak menulis pengalaman di dalam resume kelak, ada seuatu yang boleh dibanggakan.

Dan kerana ciri yang ditetapkan ini, kita lupa mengambil kira risiko lain yang ada. Persaingan, beban, tekanan dan ekspektasi yang disandarkan oleh syarikat tersebut terhadap kita sesuai dengan status mereka sebagai syarikat antarabangsa. Akhirnya, kita menyesal dengan pilihan yang kita sendiri buat. Akhirnya, kita katakan bahawa syarikat itu ‘indah khabar dari rupa’. Sedangkan sebenarnya, yang memilih bekerja di situ adalah diri kita sendiri.

Saya ada ramai teman yang bekerja dalam syarikat yang tidak dikenali tetapi jika ditanya, mereka berkata bahawa mereka cukup gembira bekerja di sana. Walaupun mungkin gaji tidak sebesar mana, tetapi tiada tekanan yang cukup hebat untuk menyelesaikan kerja. Cukup pukul 5 petang, boleh pulang ke rumah dengan senang hati. Mungkin pada awalnya pilihan mereka ini kelihatan kurang baik, tetapi ternyata, pilihan merekalah yang tepat sebenarnya.

Kita tidak akan mampu lari dari membuat pilihan. Dan risiko untuk membuat pilihan yang kurang tepat tidak pernah padam. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan sedikit bertoleransi dengan ciri yang kita tetapkan. Mungkin kita boleh kekalkan perkara-perkara yang penting. Tetapi untuk perkara-perkara yang kecil mungkin boleh kita pejamkan mata dan terima dengan hati yang terbuka.

Seperti dalam memilih jodoh. Yang terpenting adalah iman bakal pasangan kita. Itulah sepatutnya yang teratas dalam senarai ciri yang kita mahukan. Jika dikatakan mendapat yang cantik, tampan, kaya dan sebagainya, anggaplah ianya sebagai bonus. Bukan apa. Kerana inginkan jaminan kebahagiaan masa depan, tak fasal-fasal kita terpilih bapa ayam. Kaya memang kaya tapi… Kitalah yang menjadi sumber kekayaannya. Wana’uzubillah…

Yin

Alhamdulillah… Akhirnya selesai juga kes ‘penculikan’ adik Yin yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini. Dan akhirnya, keluarga yang menyelamatkan adik Yin dibebaskan oleh pihak polis setelah siasatan mendapati mereka tidak bersalah dan tujuan mereka ‘menyimpan’ Yin adalah sebagai langkah menyelamatkan kanak-kanak itu, bukan menculiknya dan menjadikannya seorang pengemis seperti mana tanggapan umum selepas penahanan mereka.

Ada banyak reaksi masyarakat yang menyentuh hati saya yang terbangkit berikut kes ini. Antaranya adalah reaksi mereka yang menyalahkan ibu bapa Yin yang dikatakan terlalu asyik membeli-belah sehingga terlepas pandang anak mereka dan mengakibatkan kanak-kanak itu bertindak keluar dari pusat membeli-belah itu bersendirian. Sebagai seorang bapa, tentunya kata-kata sebegini mengusik perasaan saya.

Sebenarnya, ketika menumpang kereta teman saya dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Kerteh kira-kira dua minggu yang lalu, perkara ini telah dibangkitkan oleh teman saya terlebih dahulu. “Bagi aku, kalau jadi hal macam ni, memang salah ibu bapa dia,” katanya. “Kadang-kadang orang ni, tengah asyik sangat shopping, anak sendiri pun tak sedar dah pergi mana…” bebelnya lagi.

Saya pada awalnya ingin menentang kata-katanya. Tetapi apabila teringatkan teman saya ini memang telah ditakdirkan tidak memiliki anak, saya diamkan. Mungkin dia tidak memahami situasi sebenar menjaga anak. Terutamanya ‘anak tahun 2000’. Saya sendiri memiliki anak yang kini berusia dua tahun. Tidak dapat tidak, saya mesti mengakui menjaga anak saya terutamanya ketika membeli belah bukanlah semudah ABC.

Bukan setakat saya, malahan ibu saya, yang telah melahirkan dan menjaga enam orang anak juga mengakui hakikat yang sama. Begitu juga kakak saya yang mana anak-anaknya kini sudah mencecah usia remaja. Katanya, cabaran menjaga ‘anak-anak milineum’ ini memang berbeza. Bukan setakat anak saya, bahkan boleh dikatakan anak-anak saudara saya yang lain. Mereka lebih bijak berbanding kita ketika seusia mereka dahulu.

Mungkin kerana faktor pemakanan atau mungkin juga suasana yang berbeza menyebabkan ini terjadi. Saya percaya, mereka yang punyai anak sebaya saya ataupun Yin, akan mengakui hakikat yang sama. Tambahan kanak-kanak seperti Yin yang dikatakan hiperaktif, tentunya masalah ini berganda. Jadinya untuk meletakkan kesalahan ke bahu ibu bapanya semata-mata saya rasakan cukup tidak adil buat mereka.

Tetapi yang lebih mengharukan ialah, peristiwa yang berlaku selepas penemuan Yin. Pasangan dari Myanmar yang memelihara Yin telah ditahan polis untuk siasatan atas tuduhan culik dan berniat menjadikan Yin sebagai pengemis. Terus-terang, saya pada awal mendengar berita ini serta-merta menjadi marah. Geram kepada pasukan polis dan ibu bapa Yin kerana tidak berterima kasih kepada pasangan yang menyelamatkan anak mereka.

Tetapi kemudian, selepas memerhatikan fakta yang dikemukakan, saya jadi terdiam. Rasanya, pihak polis berhak melakukan siasatan. Ada rasionalnya juga jika difikirkan tentang tempoh 15 hari Yin dalam simpanan mereka, tentang kudis pada kaki Yin, kepala yang dibotakkan atas alasan demam campak yang kemudiannya dinafikan oleh doktor dan juga dakwaan orang yang pernah melihat Yin mengemis sebelum ini.

Bersalahkah pihak polis? Pada pendapat saya tidak. Penyiasatan perlu dijalankan. Ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang lagi. Kita tidak mahu selepas ini muncul lagi orang yang menjadikan ini seperti satu ‘industri’. Menculik anak orang lain dan apabila ada tawaran wang ringgit dikeluarkan, maka dipulangkan dan dapatlah menangguk di air keruh dengan penuh suka ria.

Begitu juag dengan ibu bapa Yin. Sebenarnya tidak timbul soal melepaskan anjing tersepit di sini. Mereka berhak merasa khuatir tentang keselamatan dan kebaikan anak mereka. Jadi, jika ada perkara yang mendatangkan syak pada mereka, tidak salahlah untuk mereka laporkan kepada pihak polis. Melainkan jika cerita itu sengaja diada-adakan. Dan seperti yang saya katakan tadi, pihak polis hanya menahan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Mereka belum didakwa di mahkamah lagi. Jadi yang bersalah di sini sebenarnya adalah masyarakat umum yang secara sengaja telah menuduh pasangan Myanmar itu besalah sebaik sahaja mereka ditahan untuk siasatan. Mereka inilah yang bersalah yang menjatuhkan hukuman sebelum pertuduhan dapat dibuktikan. Jika diteliti, pihak polis sendiri belum mensabitkan pasangan itu dengan apa-apa kesalahan.

Di sinilah masalahnya. Masyarakat kita yang begitu cepat ‘menjatukan hukum’ bersalah atau tidak hanya dengan mendengar berita mereka ditahan tanpa mempedulikan apakah hasil siasatan yang bakal diperolehi nanti. Kononnya, ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’. Tetapi oleh kerana pasangan ini berasal dari Myanmar, tambahan pula mereka orang miskin, maka mereka didapati bersalah walaupun belum dibuktikan begitu.

Dalam hal ini, kita perlu berfikiran terbuka sebenarnya. Menuduh ibu bapa Yin sebagai tidak mengenang jasa dan menyalahkan pihak polis yang menjalankan siasatan bukanlah perbuatan yang bijak. Begitu juga menuduh pasangan itu sengaja menculik Yin untuk mendapatkan wang saguhati juga sebagai tindakan yang zalim. Pihak polis dan keluarga Yin hanya melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Kini pasangan tersebut sudah disahkan tidak bersalah. Tentu semua orang boleh berpuas hati kini. Maruah mereka juga mungkin sudah dibaikpulih selepas tersiarnya berita yang sebenar. Dan langkah selanjutnya dari pihak keluarga Yin, menyerahkan wang RM25 ribu yang dijanjikan kepada pasangan ini secepat mungkin. Wang itu milik mereka dan telah menjadi haram ibu bapa Yin menyimpan wang itu tanpa izin pasangan Myanmar tersebut.

Satu perkara positif yang saya lihat tentang kisah kehilangan Yin ini adalah, betapa bersatunya seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang ‘bergelumang’ dengan alam siber ini. Mungkin ada yang pelik mengapa kes ini kelihatan seperti istimewa sehingga mendapat perhatian Ketua Polis Negara sendiri. Bagi saya mudah. Kerana ‘promosi’ dan hebahan yang dilakukan yang begitu besar-besaran oleh rakyat negara ini.

Akhbar (terutamanya Harian Metro), sahabat handai keluarga itu dan rakan-rakan di alam siber yang begitu cepat menyebarkan berita ini menjadikan ianya perhatian umum dalam masa yang sekejap. Dengan perhatian dari pihak umum yang begitu meluas, tidak hairanlah pihak polis terpaksa memberikan tumpuan yang lebih terhadap kehilangan Yin. Kerana umum sedang menilai kredibiliti mereka berdasarkan kes ini.

Penyatuan dan kerjasama sebegini diharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang. Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat itu tanggungjawab sesebuah masyarakat itu sendiri. Pihak berkuasa seperti polis hanya membantu mempermudahkan tugas ini. Dengan kerjasama erat pihak berkuasa dan rakyat keseluruhannya, insyaAllah, banyak lagi kes boleh diselesaikan. Asalkan pihak polis tegas dan jujur kepada amanah yang mereka galas.

Dan kita juga perlu mengambil perhatian yang serius terhadap sau perkara. Baik buruk seseorang itu tidak ditentukan oleh negara kelahiran mereka. Begitu juga, tidak semua orang miskin sanggup melakukan kerja kotor dan hina untuk mendapatkan wang. Malahan, ada kalanya orang kaya lebih jahat kerana mereka sanggup ‘menyembelih’ kaum mereka sendiri demi untuk survival mereka…..

18 April 2007

Bahasa

Baru-baru ini, saya ada membantu isteri saya menanda kertas peperiksaan bagi matapelajaran matematik tahun satu. Seronok juga melihat jawapan mereka. Adakalanya, lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. Iyalah… Pelajar tahun satu. Kena pula mereka yang dari kelas pemulihan… “Kelas pemulihan tu apa?” tanya saya kepada isteri. “Untuk murid-murid yang langsung tidak tahu asas membaca dan mengira…” katanya.

Dalam pada menanda, saya perhatikan juga pencapaian murid-murid Melayu. Benar. Tidak seperti yang sering diperkatakan, bukanlah semua pelajar Melayu itu lemah Matematik. Ramai juga yang memperolehi markah melebihi 90 peratus. Sama sahaja ramainya dengan murid bangsa asing. Cuma mungkin yang tertinggi hanya seorang murid Cina. Itupun hanya seorang. Yang lain, sama sahaja. Ada juga murid Cina yang mendapat markah rendah.

Lagipula murid bukan Melayu ada kelebihan lain. Matapelajaran ini diajar dalam Bahasa Inggeris. Sekarang Bahasa Inggeris sudah tidak ubah seperti bahasa ibunda mereka. Tetapi kasihan murid Melayu. Yang saya perhatikan, yang mendapat markah rendah kebanyakannya bukanlah kerana mereka tidak tahu mengira sebaliknya kerana mereka gagal memahami soalan. Inilah yang menjadi punca mengapa ramai yang gagal.

Contohnya, ada soalan yang berbunyi begini; “5 is ­­­_____ than 3" di mana ruang kosong sepatutnya diisi dengan perkataan ‘larger’. Tetapi ada juga murid Melayu yang meletakkan nombor ‘8’ di ruangan kosong kerana mereka tidak faham soalan apakah itu. Mereka sekadar mencampurkan jumlahnya. Bayangkan, jika ada soalan untuk nombor yang lebih besar seperti ‘8 + 7’ pun mereka masih boleh menjawab. Itu bukti bukan mereka tidak pandai mereka.

Tetapi tetap salah kerana tidak mengikut arahan. Kasihan murid-murid ini. Inilah yang membuatkan saya terfikir. Mengapakah sukar sangat mempelajari matematik di negara sendiri. Sepertinya belajar di luar negeri. Jika belajar di United Kingdom dan terpaksa mejawab kertas peperiksaan dalam Bahasa Inggeris, tidak mengapalah. Sudah memang itu negara Inggeris. Tetapi ini Tanah Melayu!

Jika bukan di Tanah Melayu sendiri Bahasa Melayu hendak di daulatkan, apakah kita fikir ia akan didaulatkan di Amerika Syarikat? Jangan harap! “Abang tak nak jadikan bahan penulisan di blog abang ke?” tanya isteri saya. “Kasihan murid kita bang…” sambungnya lagi. Ya, saya boleh menulis tentang ini. Tetapi setakat manakah hasilnya? Siapa sangat yang membacanya? Hishamuddin Hussein kenalkah blog “Diari Abu Naqibah’ ini?

Tetapi tidak mengapa. Mereka membacanya atau tidak, biarlah perkara ini ternukil di ruangan ini. Sekurang-kurangnya, apabila anak-anak saya membesar dan berkesempatan membaca tulisan ini, mereka tidak akan menyalahkan saya apabila menyedari bahawa di zaman mereka Bahasa Melayu hanya sekadar bahan pameran di muzium. Biarlah mereka tahu ayah mereka ada lakukan sesuatu walaupun usaha itu lebih kecil dari kuman.

Saya tidak sedikitpun menafikan kepentingan bertutur dalam Bahasa Inggeris ini. Malah sebagai seorang yang bekerja di syarikat multinasional, saya cukup arif pentingnya bahasa ini untuk masa depan kerjaya saya. Tetapi saya tidak pula terfikir bahasa ini perlu diutamakan sehingga tahap menghina perlembagaan sendiri dengan mengiktirafnya sebagai bahasa pendidikan dan meletakkan Bahasa Melayu di bawah telapak kaki! Tidak!

Bahasa Inggeris tidak sesukar mana. Saya lahir dalam sebuah keluarga yang langsung tidak pandai bertutur dalam bahasa penjajah ini. Malah saya ingat lagi pernah ditertawakan di sekolah kerana bahasa broken yang saya gunakan. Tetapi hasilnya, hari ini saya boleh menyiapkan laporan yang panjangnya bermuka-muka surat dalam Bahasa Inggeris. Malah boleh juga menulis surat permohonan perkerjaan dan resume dalam bahasa yang sama.

Alhamdulillah, tidak ada masalah. Jadi siapa kata kita perlu mengenepikan Bahasa Melayu untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris? Tidak! Sama sekali tidak! Dan menguasai Bahasa Inggeris tidak sekali-kali menjadi jaminan kita boleh menjadi negara yang maju. Tidak. Berapa banyak negara di Eropah yang rakyatnya tidak memahami Bahasa Inggeris dengan baik? Mundur sangatkah Perancis, Jerman dan yang lainnya itu?

Lebih membanggakan, negara seperti Jepun. Mereka bukan sahaja bangga dengan bahasa mereka bahkan mereka berusaha mengeksportnya sebagai bahan pendidikan di luar negara mereka. Di Universiti Teknologi Malaysia, ada kursus persediaan ke Jepun di mana para pelajar diajar Bahasa Jepun dari asas seperti di sekolah tadika. Dan syarikat-syarikat negara matahari terbit itu sanggup membiayai pelajar ini demi memperkembangkan bahasa mereka.

Jangan katakan pelabur tidak akan masuk ke negara kita jika kita tidak pandai berbahasa Inggeris. Cuba lihat di China. Berapa ramai sangat rakyat mereka yang mahir bertutur bahasa Inggeris berbanding negara kita? Dan setelah China membuka pasaran mereka, tahukah anda berapa banyak syarikat yang telah lari ke sana dari negara kita? Malah ada syarikat yang menghentikan plan pembangunan mereka di sini kerana hendak ke sana.

Yang penting bagi pelabur adalah keuntungan. Jika negara itu boleh memberikan keuntungan, mereka akan melabur. Meskipun itu bermakna mereka terpaksa belajar bahasa rasmi negara tersebut. Tetapi, jika negara itu dipenuhi dengan rasuah, jenayah yang tidak bersempadan dan sistem pentadbiran yang tidak teratur, biarpun Bahasa Inggeris adalah bahasa rasmi negara itu sekalipun, pelabur tetap tidak akan masuk. Percayalah.

Lihatlah di Filipina yang meletakkan Bahasa Inggeris sebagai yang tertinggi dalam hirarki bahasa mereka. Maju sangatkah negara ini? Begitu juga dengan India. Walaupun tidak diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, bertutur dalam bahasa Inggeris adalah normal untuk mereka. Tetapi negara ini tetap gagal menarik pelabur asing kerana rasuah dan gejala politik yang berleluasa di sana. Apakah buktinya Bahasa Inggeris begitu penting di sini?

Pernah saya melawati lawan web syarikat tempat saya bekerja di Indonesia. Bukan laman web sebenarnya tetapi suatu perisian (software). Saya tukarkan pilihan negara dari Malaysia ke Indonesia. Dan saya dapati, perisian tersebut dalam Bahasa Indonesia. Kagum! Lihatlah jika kita bertegas mahu mendarjatkan bahasa kita. Perisianpun mereka sanggup tukarkan bahasanya. Apatah lagi perkara-perkara lain yang lebih mudah?

Pengajaran matapelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris sebenarnya adalah sebuah kegagalan yang nyata buat Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Pelajaran khasnya. Ini diperkuatkan lagi dengan ujian Bahasa Inggeris yang diadakan baru-baru ini juga ke atas guru-guru matapelajaran terbabit di mana majoriti guru gagal dalam ujian tersebut. Lantas apakah tindakan kementerian?

Setelah dibuktikan gagal, kementerian sepatutnya menarik balik arahan ini tetapi sayang, kini guru Bahasa Inggeris pula yang dipaksa mengadakan ‘kelas tambahan’ untuk guru-guru Matematik dan Sains bagi menambahkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Kalau dibayar elaun lebih masa tidak mengapalah juga. Ini… Hm…. Entah mengapa mereka sanggup berusaha keras untuk melangkah ke belakang, saya tidak tahu.

Seorang yang berjaya adalah seorang yang berani mengaku kesilapan mereka. Dan jika Perdana Menteri dan para menteri kabinetnya mahu menjadi orang yang berjaya, hendaklah mereka berani mengaku kesilapan mereka menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaran terbabit. Tidak perlu diberi tempoh lagi dan tidak perlu dipelbagaikan usaha yang lain lagi.

Selain menutup kesilapan, ianya juga dapat ‘menghapuskan dosa mereka kepada orang Melayu’ merana menghina bahasa mereka. Saya tidak menganggap Bahasa Inggeris sebagai kelemahan orang Melayu sebaliknya hanya kelebihan bangsa asing. Ramai sebenarnya orang bukan Melayu yang gagal bertutur dalam bahasa ibunda mereka sendiri sebaliknya lebih mahir untuk berbahasa Inggeris.

Apakah kita hendak menjadi begitu? Hm… Tidak dinafikan ramai juga orang Melayu yang sudah bertutur Bahasa Inggeris dengan anak-anak mereka. Mungkin bagi mereka, ini untuk kebaikan masa depan anak-anak mereka. Supaya anak-anak mereka boleh mengambil peluang dalam pembangunan Malaysia akan datang. Tetapi, orang Melayu yang berdarah Melayu tidak akan rela kemuliaan bahasanya dihina sebegitu rupa…

Kemajuan? Ya… Kemajuan. Saya teringat satu tutur kata yang dikatakan oleh teman saya pernah dituturkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Kata beliau, “Biarlah bangunan setingkat tetapi kita punya dari bangunan 10 tingkat tetapi ‘mereka’ punya”. Sama ada benar atau tidak kata ini dituturkan oleh beliau, wallahu’alam. Tetapi kebenarannya memang jelas nyata. Untuk apa kemajuan jika bangsa kita tetap merempat dan kepentingan bangsa kita tetap tersingkir?

13 April 2007

Warga Emas

Secara tiba-tiba, isu ‘anak derhaka’ menjadi topik utama di Dewan Rakyat. Ini sebenarnya raksi ahli-ahli parlimen lanjutan daripada pendedahan yang dibuat oleh akhbar Harian Metro pada 7 April lalu mengenai Pakcik Bakhtiar Ramli dan pasangannya yang dikatakan melarikan diri dan mendapatkan perlindungan di Pusat Jagaan Warga Emas akibat menerima layanan buruk oleh 7 (TUJUH) orang anak mereka.

Sesungguhnya berita mengenai warga emas yang dipersiakan oleh anak-anak mereka memang menyayat hati. Dan ini bukanlah kisah yang petama kali terjadi. Tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya sebenarnya adalah reaksi orang kenamaan kita berkenaan kejadian ini. Mungkin sengaja ataupun secara kebetulan, Dewan Rakyat juga sedang membincangkan Rang Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006.

Saya tidak pasti apa yang dibincangkan tetapi, yang menarik pada pandangan saya adalah beberapa pandangan yang dikeluarkan ahli-ahli parlimen. Paling menarik adalah pandangan dari ahli parlimen Setiu, Mohd Yusof Majid. (Ini berdasarkan pembacaan saya di Harian Metro. Jika sekiranya memang ada pandangan dari pihak pembangkang yang lebih menarik tetapi tidak disiarkan, maaf, saya tidak tahu).

Menurut Mohd Yusof, anak-anak berkemampuan yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan agar dikenakan potongan gaji ke atas mereka manakala anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka diberikan insentif seperti potongan cukai dan sebagainya. Tidak dapat tidak, saya amat bersetuju dengan pendapat itu. Terutama bahagian potongan gaji. Hanya, pemberian insentif perlu dinilai dengan lebih mendalam.

Sebenarnya, ketika pertama kali mendengar perkara ini dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Buletin Utama siaran TV3 pada Rabu, 11 April tempohari sudah cukup mengundangkan perbahasan di kalangan ahli keluarga saya sendiri. Tambah lagi, dalam siaran tersebut, TV3 menjalankan bancian SMS membincangkan wajarkah anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan dikenakan tindakan.

Sebagai warga emas, ibu saya dengan segera mengatakan persetujuannya. Tetapi tidak, bagi saya. Kerana, sekiranya mereka ini dihukum, maka akan terjadi peristiwa ibu bapa terbiar sehingga akhirnya ‘mati beragan’, sebagaimana gambar yang pernah tersebar di dalam internet tidak berapa lama dahulu. Jika tidak dihukum, sekurang-kurangnya, anak-anak mereka berani menghantar mereka ke pusat jagaan dan warga emas itu nanti tidaklah tersia.

Kemudian abang sulung saya pula bersuara. “Sepatutnya, anak yang hantar ibu bapanya ke pusat, kemudian tidak datang menziarah dan tidak menghantar belanja (sedangkan mereka mampu) yang perlu dihukum” katanya. Samalah seperti pendapat Ahli Parlimen Setiu itu tadi. Adakalanya, menghantar warga emas ini ke pusat jagaan lebih baik. Sekurang-kurangnya mereka boleh berkawan sesama mereka dan penjagaan juga akan lebih rapi.

Bukan apa, kerana saya pernah melihat di hadapan mata saya sendiri bagaimana seorang warga emas yang diherdik oleh cucunya. Manakala menantunya pula sering merungut itu dan ini. “Orang tua ni ada ‘bela’. Malam-malam memekak je terjerit-jerit. Bila nak mampus entah!” gerutu cucunya. “Orang tua, biasalah. Kita tua nanti tak tau lagi macam mana” jawab saya cuba mengingatkannya. “Tak. Orang tua ni lain. Dia ada belaan!”

Tetapi rungutan sebegini tidak kedengaran ketika ayahnya (anak kepada warga emas itu) ada di rumah. Malah ketika itu si warga emas dijaga dengan baik. Kalaulah dia cuba mengadu kepada anaknya, maka akan segera disangkal oleh menantu dan cucunya dengan mengatakan dia sudah nyanyuk. Keadaan ini benar-benar berlaku di hadapan mata saya. Setuju atau tidak, warga emas tadi lebih wajar tinggal di pusat jagaan dari rumah anaknya?

Maka kerana itu saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat ahli parlimen Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin yang mencadangkan Pusat Jagaan Warga Emas ini ditutup sahaja. “Biar anak-anak lebih bertanggung jawab”, katanya. Benar, kita boleh paksa anak-anak untuk menjaga orang tua mereka tetapi, dapatkah sesuatu kerja yang dilakukan dalam keterpaksaan diselesaikan dengan baik? Saya rasa anda tahu jawapannya.

Maka di sini, perkara yang menjadi pokoknya adalah pendidikan agama. Manusia yang berdiri atas pegangan aqidah yang sempurna akan menjadi manusia yang cukup berguna. Sama ada kepada orang tuanya, mahupun kepada negara. Dan manusia begini tidak mungkin akan mensia-siakan orang tua mereka. Jadi, mungkin sudah tiba masanya kerajaan merobah dasar pendidikan agar lebih menerapkan pendidikan Islam yang tulen, bukan Hadhari.

Dan bercakap tentang insentif, sebenarnya, sebagai seorang yang menjaga kedua ibu bapanya, perkara ini sepatutnya mendatangkan kegembiraan buat saya. Malah, suatu ketika dulu saya berasa sepatutnya di dalam Borang BE cukai pendapatan, ada rebet untuk orang yang menjaga ibu bapanya seperti mana rebet untuk orang yang menjaga anak mereka. Malah ayah saya juga bertanya mengapa kerajaan tidak mengadakan perkara seperti itu.

Memanglah nampaknya seperti elok. Tetapi saya rasa akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan nanti. Kerana inginkan rebet tersebut, maka si anak akan bawa ibu bapa mereka tinggal bersama. Tetapi kemudian, dihambakan seperti seorang pembantu rumah bahkan lebih teruk lagi kerana tidak dibayar gaji. Jadi si anak dua kali untung. Pertama dikenakan rebet, dan yang keduanya, tidak perlu mengupah pembantu rumah.

Adakalanya juga, ada orang tua yang lebih menyayangi seorang anak berbanding anak yang lain. Kadangkalanya, anak yang paling disayang yang enggan menjaga mereka hinggakan mereka terpaksa tinggal dengan anak yang dibenci. Tetapi ‘anak derhaka’ itu tetap menjadi anak kesayangan mereka. Ini juga biasa terjadi. Bimbang nanti, di hadapan penguasa, mereka mendakwa anak kesayangan mereka yang menjaga mereka. Maka yang mendapat potongan dalam cukai adalah si anak kesayangan walaupun ia mengabaikan mereka.

Soal menjaga ibu dan bapa ini adalah soal iman dan aqidah. Menghukum, mengutuk atau memberi malu kepada mereka yang mengabaikan orang tua mereka tidak akan membawa apa. Nabi Muhammad saw malah Allah swt sendiri mengutuk, menghina bahkan menjanjikan azab yang pedih untuk anak derhaka tetapi manusia tidak sedikitpun takut. Inikan pula hukuman dunia yang boleh dielak dengan ‘lidah yang lembut’?

Tingkatkan didikan agama di sekolah-sekolah kerajaan. InsyaAllah, bukan setakat masalah penjagaan warga emas, bahkan kebanyakan kebejatan sosial yang melanda negara kita ini juga akan dapat diselesaikan. Asalkan kerajaan sedia untuk tidak lagi mempolitikkan isu pendidikan agama seperti mengatakan sekolah agama tempat merikrut pengganas atau tempat penyebaran ideologi pembangkang. Kita sebenarnya mampu membentuk masyarakat yang lebih cemerlang jika kembali kepada Islam yang lebih tulen…

07 April 2007

Melayu Bodoh

Mungkin ada yang marah-marah sebaik terbaca tajuk posting saya kali ini.
Mana tidaknya, ianya kelihatan celupar dan pasti menyakitkan hati mereka
yang merasakan diri mereka berketurunan Melayu. Tetapi, harap bersabar dan
teruskan membaca. Sebenarnya sengaja saya pilih tajuk sebegini. Bukan
sekadar gimik, tetapi juga sebagai mengikut apa yang telah sering disebut
oleh ramai orang Melayu sendiri bahkan juga para pemimpin kita.

Melayu bodoh! Memang agak kasar tetapi percaya atau tidak, inilah yang
selalu disemat dalam pemikiran orang Melayu oleh orang Melayu sendiri.
Sebenarnya sudah lama saya melihat trend sebegini. Hanya, baru-baru ini
apabila saya membaca email demi email bekaitan penentangan terhadap
'Akademi Fantasia' (AF) yang mengaitkan kebodohan Melayu, maka saya
mengambil keputusan untuk menulis sesuatu mengenainya.

Bodoh sangatkah orang Melayu? Seolah-olahnya hanya orang Melayu sahaja di
dalam dunia ini yang bisa ditipu. Hanya orang Melayu sahaja yang gilakan
hiburan dan hanya orang Melayu sahaja yang pernah dijajah? Dan bercakap
tentang AF, benarkah jumlah orang Melayu yang begitu ramai mengundi calon
kegemaran mereka melalui SMS membuktikan orang Melayu ini bodoh-bodoh
belaka? Jika Melayu bodoh, siapakah yang pandai? Inggeris?

Sebelum berbicara lebih lanjut, suka saya sebutkan di sini. AF dan
rancangan yang sama format dengannya, adalah berasal dari rancangan di
Britain berjudul Pop Star. Rancangan inilah yang (setahu saya) pertama
sekali menggunakan format undian SMS sebagai penentu pemenang mingguan. Dan
rancangan ini telah mendapat sambutan di luar jangkaan dengan jumlah
penonton yang tinggi setiap minggu.

Kemudian rancangan ini diimport ke Amerika Syarikat dengan menggunakan nama
American Idol di mana ianya mencatat kejayaan yang lebih hebat hinggakan
dieksport pula ke serata dunia hingga akhirnya sampai ke Malaysia dengan
nama Malaysian Idol. Sementara itu, di Mexico (tak silap saya), format
rancangan telah diubah dan kemudian diberikan nama La Academia.

Dan dari rancangan inilah yang dibawa masuk ke Malaysia dengan nama Akademi
Fantasia. Bukan saya bercerita panjang lebar tentang sejarah AF untuk
mempromosikannya. Tetapi saya mahu semua orang, terutama orang Melayu yang
menuduh orang Melayu lain sebagai bodoh renungkan. Apakah betul orang
Melayu sahaja yang bodoh atau sebenarnya kesemua bangsa di dalam dunia ini
juga bodoh?

Jika kerana menonton AF orang Melayu secara kolektif boleh direndahkan
martabat dan kepandaiannya, boleh dihina dengan dikatakan terlalu gilakan
hiburan, bagaimana pula dengan orang British yang menonton Pop Star?
Bagaimana dengan orang Amerika yang berhabisan mengundi American Idol?
Bagaimana dengan orang Jepun yang beriya-iya menghantar undian SMS untuk
Japanese Idol?

Dan, jika anda ambil tahu perkembangan dunia, anda akan dapat Astro juga
ada mengendalikan rancangan mirip AF untuk kaum Cina dan India di saluran
masing-masing (saya tak berapa ingat namanya). Apakah orang Cina dan India
juga bodoh? Jika Melayu, Cina, India bahkan Jepun, Amerika dan Inggeris itu
bodoh kerana sukakan hiburan, maka siapa sebenarnya yang pandai?

Saya tidak menyokong AF. Sebenarnya, tahun ini saya langsung tidak menonton
AF. Jika dulu ada juga sambil minum-minum di galley (kebetulan televisyen
yang terpasang menayangkannya), tahun ini langsung seminitpun tidak. Malah
saya juga gembira jika Astro menamatkan siarannya. Tetapi untuk mengaitkan
AF dengan kebodohan orang Melayu, saya rasa ianya melampau.

Bukan juga saya ingin mengatakan orang Melayu ini pandai-pandai belaka.
Tidak. Bagi saya, bodoh atau pandainya seseorang itu bukan terletak kepada
bangsa keturunannya walaupun saintis barat cuba membuktikannya sebegitu.
Kerana bagi saya, orang yang pandai adalah orang yang beriman. Sepandai
manapun seseorang itu diperkatakan, namun jika tidak mampu menilai
kekuasaan Allah, maka bodohlah dia.

Sebenarnya, memang ada kelemahan dalam diri orang Melayu itu sendiri. Dan
kelemahan itu, yang paling ketara, hanyalah sifat setia yang membuta-tuli
kepada pemerintah walaupun zalim. Dan inilah sifat yang menjadikan orang
Melayu terjajah. Kerana lemahnya pemikiran raja Melayu ketika itu, yang
berdiri secara individu, hinggakan menerima 'madah berhelah' penjajah
Inggeris. Ianya bukan kerana kebodohan orang Melayu secara kolektif.

Dan jika kita lihat, kelemahan orang Melayu iaitu tunduk taat kepada
pemerintah secara membuta tuli masih kekal hingga ke hari ini. Dan
sebenarnya inilah faktor kejatuhan orang Melayu di atas tanah air sendiri.
Kerana enggan menjatuhkan pemerintah yang menzalimi mereka. Bukan kerana
bodoh tetapi kerana terlalu setia! Seperti Hang Tuah, panglima bijak yang
kerana setia tidak bertempatnya, rela dihukum bunuh atas kesalahan yang
tidak dibuat.

Di seluruh dunia, anak bangsa kita telah puas menunjukkan kebolehan mereka.
Tidak terhad kepada dalam negeri, bahkan di mana sahaja mereka dicampakkan.
Malah telah beberapa kali anak Melayu kita diiktiraf sebagai pelajar
terbaik di universiti luar negara. Maka apa lagi yang kita perlukan untuk
membuktikan bahawa orang Melayu tidak sebodoh yang dilaungkan. Bukankah
tuduhan ini sesuatu yang cukup zalim?

Benar, hiburan seperti AF perlu dihapuskan sahaja. Dan oleh kerana syarikat
yang menyiarkannya enggan menamatkannya kerana ia memberikan mereka
pulangan yang lumayan, dan kerajaan pula tidak ambil peduli tentang hal
sebegini kerana tidak memenuhkan kantung mereka bahkan mungkin mengurangkan
'populariti' mereka di kalangan orang muda, maka satu langkah yang berkesan
perlu kita jalankan sendiri.

Itulah langkah memantapkan iman di dalam jiwa orang kita, orang Islam. Dan
disebabkan seorang Melayu mesti beragama Islam, maka tidak salah penumpuan
diberikan kepada orang Melayu asalkan kaum lain tidak dibiarkan tanpa
perhatian langsung. Melayu sebagai kelompok majoriti, mampu mengubah
suasana sekiranya dakwah ini berkesan dan dengan suasana iman, tugas dakwah
akan menjadi lebih mudah, insyaAllah.

Itulah langkah yang sepatutnya. Bukan dengan mengatakan mereka orang yang
bodoh dan gilakan hiburan. Pelik. Hanya kelemahan orang Melayu sahaja yang
dilihat. Sedangkan banyak lagi kegiatan tidak berfaedah yang dilakukan oleh
bangsa lain di dunia ini tidak pula dikatakan sedemikian. Bahkan
bangsa-bangsa ini, seperti Jepun dan Amerika, dipuja dan digelar pula
sebagai bangsa bertamaddun.

Jika mahu kritik, biarlah adil. Janganlah terlalu menghina bangsa sendiri
hinggakan satu masa nanti, anak-anak kita akan berkata, "Biarlah tanah kita
diduduki orang. Kita orang Melayu dan akan kekal begitu. Dan telah terbukti
Melayu takkan maju…" kerana kesilapan kita hari ini yang terlalu asyik
merendahkan martabat kaum sendiri. Sebenarnya, jika ada kebodohan individu
Melayu adalah, gemar mengatakan kaum sendiri bodoh…

01 April 2007

Rindu

"Naqibah demam…" beritahu isteri saya sewaktu saya menelefonnya semalam.
"Dah bawa ke klinik?" tanya saya pula. "Sudah… Tapi dia tak nak makan ubat.
Dimuntahkannya semula" terang isteri saya pula. Sewaktu sedang saya berbual
dengan isteri saya, Naqibah terjaga dari tidur. "Ibu tengah cakap dengan
ayah ni. Naqibah nak cakap?" saya terdengar suara isteri saya bertanya
kepada anak sulung kami itu.

"Dia mengangguk, bang…" jelas isteri saya. Lalu saya meminta isteri saya
hidupkan fungsi speaker pada telefon bimbitnya. "Hello sayang… Anak ayah
demam eh?" tanya saya sebaik saya rasakan fungsi speaker telah dihidupkan
oleh isteri saya. Tiba-tiba Naqibah mengangis. "Tak nak… Tak nak…" katanya
berulang kali. Saya jadi terkejut pula. "Ah… Kenapa pula ni. Tadi kata nak
cakap dengan abang?" tanya saya kepada isteri saya.

"Dia demam rindu agaknya. Dia nak cakap tapi sayu bila dengar suara abang.
Ayang selimutkan dia dengan kain abang" pinta saya kepada isteri saya.
Memang kain yang saya gunakan untuk bersolat pada hari terakhir sebelum ke
laut sengaja tidak dibasuh kerana bersedia untuk situasi sebegini. Iyalah…
Mungkin kepada pakar perubatan ianya tiada kena mengena tetapi, saya
mengikut petua orang tua. Dengan kuasa Allah, ianya tidak mustahil.

Sebentar tadi, ibu saya menerangkan keadaan anak saya sudah kembali normal.
Katanya, mungkin kerana setelah diselimutkan dengan kain saya, rindunya
sudah terubat. Alhamdulillah… Allah yang menyembuhkan. Kain itu hanya
sebagai asbab. Tetapi kasihan Naqibah. Memang kami rapat. Dan memang dia
begitu manja kepada saya. Tetapi apakan daya, rutin kerja saya tidak
memungkinkan kami sentiasa bersama.

Yang kelakarnya, kata isteri saya, sekarang ini kalau dia nampak datuknya
hendak keluar rumah, mesti dia bertanya "Nak ambik ayah?". Kalau ditanya
hendak berjalan ke mana, akan dijawabnya pula "Nak ke laut". Mungkin dia
tidak tahu apa itu laut. Tetapi yang dia tahu, saya selalu memberitahunya
saya bekerja di laut. Agaknya, kerana itu dia sering menyebut mahu
'berjalan' ke laut.

Saya juga sebenarnya merindui Naqibah. Senyumannya, tawanya, tangisannya…
Ah… Setiap ibu bapa yang berjauhan dengan anak mereka, pasti faham perasaan
saya. Tetapi sebenarnya, saya hanya mengenali erti rindu hanya selepas
kelahiran Naqibah. Bukan bererti saya tidak merindui isteri dan ibu bapa
saya. Hanya saya seupayanya cuba bersikap profesional dengan tidak
mencampurkan perasaan peribadi ketika menjalankan tugas.

Tetapi dengan Naqibah situasi agak berbeza. Tidak kira apa saya lakukan,
gelagatnya sering bermain di mata. Mulut saya juga banyak bercerita
tentangnya kepada kawan-kawan. Agaknya teman-teman saya juga sudah jelak
mendengar cerita saya. Adakalanya saya tertawa denga keadaan saya sendiri.
Rasanya merindukan anak lebih teruk dari pasangan kekasih yang sedang
menanggung rindu…

Dan bila berbicara tentang rindu, saya tidak dapat tidak, akan teringat
kepada seorang teman saya, bekas rakan sekelas saya yang terkenal dengan
imej muslimahnya. Pada suatu ketika, di zaman remaja dahulu, saya pernah
menghubunginya melalui telefon. Banyak cerita yang kami bualkan. Maklumlah
sudah lama tidak berjumpa. Hinggalah akhirnya termasuk ke bab percintaan.
Nama sahaja remaja, bukan?

Setelah puas dikorek, akhirnya teman saya mengaku sudah memiliki seorang
teman lelaki. Namun, menurutnya, teman lelakinya itu sedang menuntut di
Jordan (ketika itu). "Tak rindu ke?" tanya saya cuba mengusik. "Taklah…
Kami memang jarang jumpa pun dulu. Cuma telefon je… "jawabnya pula. "Hm…
Kalau macam tu, mesti tinggi bil telefon. Berapa ringgit seminit telefon ke
sana?" tanya saya lagi mengkepohkan diri.

"Sebenarnya… Tak pernah telefon pun sekarang ni. Dia kata tak nak diganggu
masa belajar…" terangnya dengan nada perlahan. Sekali lagi saya bertanya
tidakkah dia merindui teman lelakinya itu. "Rindu juga. Tapi setiap kali
aku teringatkan dia, aku akan berkata 'Ya Allah… Alangkah baiknya kalau aku
mampu merinduiMu sebagaimana aku merindui dia. Ya Allah… Bantulah aku
lupakan dia dan mengingatiMu…"

Saya jadi terdiam. Terpegun. Satu ayat yang tak pernah dan tak terfikir
akan terdengar dari mana-mana teman saya. Allahu Akbar! Hebat betul gadis
ini, bisik hati saya. Hanya ketika itu, sinar hidayah belum menerangi hidup
saya. Jadi kata-kata itu hilang pada esok harinya. Hanya pada akhir-akhir
ini, setelah 'teruk dilanda rindu kepada anak', barulah saya teringat
semula kepada kata teman saya dalam perbualan itu…

Benar. Sememangnya yang paling layak memiliki rindu kita adalah Allah
subhanahu wa ta'ala. Kerana Dialah yang menciptakan kita. Dialah yang
paling mengasihi kita dan Dialah yang mencukupkan segala keperluan kita.
Tetapi apa yang berlaku hari ini? Saya tidak mahu berbicara tentang orang
lain. Tetapi diri saya sendiri. Setakat manakah perasaan rindu saya kepada
Allah swt? Setakat manakah cinta saya kepadaNya sebenarnya?

Kalau saya rindukan Naqibah, seperti yang saya sebutkan tadi, apa jua yang
saya lakukan, bayangan anak saya itu akan bermain di hadapan mata saya.
Dengan kata lain, saya sentiasa teringat akannya. Tetapi bagaimana pula
dengan Allah. Apakah saya mampu mengingatiNya pada setiap masa? Rasanya
tidak. Jangankan setiap masa, ketika bersolatpun, selalunya ingatan saya
akan teralih kepada yang lain.

Mengapa begitu? Bukankah kita telah akui bahawa, 'sesungguhnya, solahku,
ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah'. Tetapi mengapa begitu
sukar untuk hati ini dekat dan ingat kepadaNya? Saya tidak pasti, pernahkah
seumur hidup saya merasa rindu kepada Allah. Saya tidak pasti. Kerana jika
saya hendak katakan pernah, perbuatan saya tidak pernah menunjukkannya
sebegitu.

Masih lagi lalai di dalam solah, masih lagi berbicara tentang perkara yang
lagho dan masih lagi sibuk mengutamakan dunia sehinggakan solatpun
didirikan pada penghujung waktunya. Apakah ini ciri-ciri orang yang
rindukan Allah? Jika kita sayangkan seseorang, apa sahaja yang dimahukan
oleh orang yang kita sayangi, tentu sedaya upayanya akan cuba kita penuhi.
Tetapi, berapa banyakkah yang telah saya penuhi permintaan Allah terhadap
saya.

Dan Allah swt tidak meminta lebihpun dari kita kerana Allah swt telah
memiliki segalanya. Yang Dia mahukan hanyalah kita taat dan tunduk serta
sujud kepadaNya. Susah sangatkah perkara sebegini hendak dilakukan? Allahu
Akbar… Jika kita tidak sujud kepadaNya pun, tidak sedikitpun luak
perbendaharaan Allah. Tetapi itu hanyalah sebagai tanda terima kasih atas
kasih dan sayang yang Dia curahkan kepada kita.

Namun, hati yang tidak kasih tidak akan setia. Kerana tiadanya rasa kasih
kita kepada Allah, maka tanpa segan silu kita menduakan Allah dengan wang!
Tanpa segan silu kita menduakan Allah dengan sesama makhluk. Dan tanpa
segan silu kita sedia menyalahkan taqdir atas malang yang datang tanpa
sedikitpun teringat, bahawa selama ini, dengan limpahan kasih sayng
dariNya, kita tidak pernah sedikitpun rindu kepadaNya.

Jika kita menyayangi seseorang, merindui seseorang, tentu sahaja kita akan
takut kehilangannya. Tetapi pernahkah kita takut kehilangan Allah?
Pernahkah kita takut Allah mengalihkan pandanganNya dari kita? Pernahkah
kita risau Allah berhenti dari menyayangi kita? Rasanya tidak. Kerana kita
begitu yakin Allah Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Tetapi air yang
dicurahkan di daun keladi tidak akan membasahkan daun tersebut.

Jika Allah menyayangi kita, jika Allah merindui kita sehingga Dia
menyediakan tempat terindah untuk menyambut 'kepulangan' kita kepadaNya
(syurga), tetapi dibalas dengan sifat sombong dan bongkak, bahkan menafikan
hak Allah untuk diutamakan, maka tidak mustahil Allah akan berhenti dari
memandang kita dengan pandangan kasih dan rahmat sebaliknya memandang
dengan pandangan murka dan azab… Wana'uzubillah…

Saya tidak mampu berhenti dari merindui anak saya berserta isteri dan ahli
keluarga saya yang lain. Tetapi mungkin saya perlu mengurangkannya agar
dapat memberikan lebih ruang kepada hati ini untuk menyayangi, mencintai
dan merindui Allah, Tuhan Pemilik Manusia. Saya mahu merinduiNya sepenuh
hati saya. Supaya di hari 'pertemuan denganNya' nanti, sayalah orang yang
paling gembira. Semoga kita semua beroleh rahmat dariNya…

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.