20 November 2006

Kebanggaan Ibu Bapa


InsyaAllah, kalau tidak ada apa aral melintang, esok (Selasa, 21hb
November) saya akan pulang ke rumah. Ke pangkuan ibu, ayah, isteri dan anak
tercinta. Pada awalnya saya dijadualkan untuk menghadiri satu mesyarat
jawatankuasa kerja kesatuan sekerja pada hari esok dan Khamis ini. Tetapi,
atas sebab² pengurusan, mesyuarat untuk hari esok terpaksa ditiadakan.
Hanya pada hari Khamis.

Bagus juga, fikir hati saya. Sekurang²nya saya boleh pulang segera ke
rumah. Dapat berjumpa terus dengan keluarga. Terkenangkan kisah anak saya
yang menurut ibu saya dan ibunya sering mencari saya. Kata ibu saya, hampir
setiap malam mengigau menyebut² nama saya. Dan pada ketika saya baru
kembali bekerja, anak saya demam rindu. Alhamdulillah, setelah dibiarkan
tidur dengan bantal yang saya biasa guna, demamnya kebah.

Bukanlah saya jenis yang memanjakan anak. Saya seorang ayah yang cukup
garang. Hinggakan ibu saudara saya menjadi takut melihat ketegasan saya.
Hanya, mungkin kerana selama dua minggu saya di rumah, dia banyak bermain
dengan saya. Pada usianya, memang seronok diajak bergurau. Naqibah pula
jenis nakal dan 'suka menyakat dan mengenakan' orang. Ah... Rindunya...

Siapa yang tidak bangga dengan anaknya? Pada ketika saya masih bujang, saya
sebenarnya cukup menyampah mendengar orang bercerita tentang anak mereka.
Sikit², anak mereka begini. Sikit², anak mereka begitu. Kini, setelah
'menjadi Abu Naqibah', barulah saya mengerti betapa seronoknya menjadi
bapa. Memang keseronokan itu mengundang kita untuk bercerita tentang
'kelaku' anak kita kepada orang lain.

Namun sejenak saya terkenangkan. Jikalah pada ketika ini saya cukup seronok
dan berbangga dengan Naqibah, sudah tentu berpuluh tahun dahulu ayah dan
ibu saya juga cukup berbangga dan seronok dengan saya. Tentu suatu ketika
dahulu, ayah saya sering bercerita tentang saya kepada teman²nya. Tentu
suatu ketika dahulu, ayah selalu teringatkan saya apabila terpaksa tidak
pulang ke rumah ketika bekerja.

Ya. Saya masih ingat. Pernah suatu ketika seorang jiran yang bangga dengan
keputusan peperiksaan anaknya menunjukkan kad penyata anaknya kepada ayah.
Kemudian ayah pula menunjukkan kad penyata saya kepadanya. Dan saya juga
masih ingat bagaimana ayah dengan bangganya menjaja kisah saya belajar di
MRSM Jasin kepada semua orang. Hingga apabila bertemu kawannya, pasti
mereka berkata "Oh, ini yang belajar di Melaka tu eh?"

Patutkah saya salahkan ayah saya? Jujur, pada ketika itu saya sedikit
'bengang' dengan tindakan ayah saya. Kerana saya tahu betapa sukarnya untuk
mendapatkan kedudukan terbaik di kalangan orang yang terbaik dan saya juga
tahu bahawa sememangnya saya tidak termampu untuk menjadi yang terbaik.
Tetapi ibu sering menerangkan kepada saya betapa inilah harapan ayah agak
ada wakil anak yang memasuki sekolah berasrama penuh.

Penerangan ibu itu membuatkan saya agak faham. Tetapi hari ini, setelah
diri sendiri bergelar bapa, saya rasa saya sudah cukup faham dengan
perasaan ayah saya ketika itu. Saya yakin inilah perasaan normal. Seorang
ibu atau bapa tentu akan sentiasa berbangga dengan anaknya. Jika tidak
boleh dibanggakan dengan keputusan peperiksaannya, tentu mereka akan
mencari sebab lain yang boleh dibanggakan.

Saya pernah berkenalan dengan seorang kakak yang mempunyai anak spastik
(wana'uzubillahi minzalik). Tentu semua orang tahu betapa terhadnya
kebolehan anak spastik ini. Tetapi si ibu tidak pernah memandang rendah
terhadap anaknya. Bagaimana sekalipun keadaan anaknya, tetap dia akan
bercerita tentang kelebihannya. Kerana tidak boleh dibandingkan dengan
kanak² lain, dibandingkan pula dengan kanak² yang serupa.

Kerana itu saya katakan, seorang ibu atau bapa, sememangnya secara semula
jadi akan berbangga dengan anaknya. Tidak kira apa jua keadaannya anaknya
itu. Sama ada seorang tukang sapu mahupun seorang menteri. Si anak tetap
baik di hadapan mata mereka. Malah, jika si anak jahat bagaimana sekalipun,
tetap akan tersemat di hati mereka sedikit kebaikan yang pernah dilakukan
oleh si anak.

Tiba² hadir soalan di dalam hati saya. Bagaimanakah pada hari ini? Apakah
ayah dan ibu saya masih berbangga dengan saya (dan adik beradik yang lain)
sebagai anaknya? Atau soalan yang lebih tepat, masih adakah perkara baru
yang boleh mereka banggakan atas diri saya? Jawapan saya, saya tidak tahu!
Apakah diri saya ini masih boleh dibanggakan untuk mereka atau mungkin
mereka kini merindui 'saya yang dahulu'?

Jika hendak dikirakan, sudah tidak ada apa yang boleh dibanggakan pada diri
saya oleh mereka. Sudah tidak ada lagi peperiksaan yang akan saya duduki.
Sudah tidak ada lagi sekolah berasrama yang boleh saya masuk. Apa lagi yang
boleh dibanggakan? Mahu berbangga dengan kerja saya sekarang? Mahu
berbangga dengan gaji yang saya perolehi sekarang? Untuk apa?

Paling penting, apakah ayah dan ibu saya boleh berbangga dengan saya ketika
bangkit menghadap Allah yang memiliki segala sesuatu pada ketika Qiamah
nanti? Dengan keadaan saya yang begitu keduniaan sekarang ini, rasanya saya
bukanlah anak yang mereka boleh banggakan di hadapanNya nanti. Saya takut.
Takut... Saya takut kalau² saya menjadi anak yang mereka sesali pula pada
ketika dibangkitkan semula nanti.

Ada sebuah hadits meriwayatkan, ibu dan bapa kepada seorang yang hafaz
al-Quran akan dipakaikan dengan sebuah mahkota istimewa. Oh... Alangkah
indahnya. Tetapi saya bukan hafiz! Sudahlah bukan hafiz, membaca al-Quran
pun tidak sekerap membaca email. Kalau dibacapun, tidak beramal dengan apa
yang dibaca. Bagaimana boleh ayah dan ibu saya nanti dipakaikan mahkota
sebegitu?

Rasanya ada di kalangan kita yang pernah terbaca kisah mimpi seorang alim
tentang orang yang mengambil 'makanan' di alam barzakh pada setiap malam
Jumaat. Makanan ini datang daripada doa dan amalan anak² si mati. Kisah ini
menyebut tentang seorang lelaki yang tidak punyai apa² untuk diambil kerana
anak²nya tidak berdoa untuknya. Di sini saya tidak mahu mempersoalkan benar
atau tidaknya kisah yang disampaikan itu.

Tetapi yang saya fikirkan, sekiranya kisah ini benar, apakah yang akan
terjadi kepada ayah dan ibu saya nanti? Apakah mereka terdiri daripada
orang yang akan berbangga kerana mendapat 'makanan' yang banyak atau hanya
seperti si orang tua yang hanya menunggu dengan hampa? Ya Allah!
Perkuatkanlah iman kami. Dan jadikanlah kami anak² yang soleh dan berbakti
kepada kedua orang tua kami...

Tapi itu adalah setelah ketiadaan mereka. Pada hari ini, saya masih
berpeluang menjadi anak kebangga mereka lagi. Saya mahu tunaikan setiap
harapan mereka. Saya mahu belanjakan wang yang saya ada untuk mereka. Saya
mahu hiburkan hati mereka. Jika selama ini mereka bersusah payah menjaga
kami adik beradik, hari ini, biarlah kami semua menjadi kebanggaan mereka
apabila menjaga mereka dengan penuh keikhlasan, insyaAllah...

Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunilah kami dan ampunilah kedua ibu bapa kami.
Dan peliharalah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami
masih kecil. Sesungguhnya langit, bumi serta segala yang ada di antaranya
tidak mampu membayar jasa mereka kepada kami. Ya Tuhanku. Bangkitkanlah
kami bersama mereka dan orang² yang soleh di hari setiap manusia menerima
pembalasan nanti. Amin ya Rabbal 'alamin...

15 November 2006

Datuk Azhar, Fitnah Siber dan Wira Negara


Rasanya orang masih lagi ramai yang berbicara tentang kes murtad Datuk
Azhar Mansur, pelayar yang dianggap wira kerana merentasi dunia dengan
kapal layarnya secara solo. Sebenarnya, berita tentang kemurtadan ini telah
lama tersebar. Hampir dua tahun yang lampau. Dan tersebarnya berita itu
adalah melalui email² berantai. Berita penafiannya juga sudah lama
tersebar. Juga melalui email.

Tetapi, penafian yang dibuat itu adalah dari orang lain. Orang yang tidak
ada kena mengena dengan Datuk Azhar. Hanya, orang itu mengetahui keberadaan
Datuk Azhar. Hanya baru² ini sahaja Datuk Azhar menafikannya. Itupun dia
menafikan keterlibatannya dengan kejadian pembabtisan orang Melayu. Hal
agama yang dianutinya, masih kekal rahsia. Mengapa dan untuk apa, hanya
Datuk Azhar yang mengetahui.

Seperti yang diagak, penafian sebegitu sememangnya akan mengundang lebih
banyak kontroversi. Dan akhir² ini juga, saya lihat kotak masuk saya
dipenuhi dengan email yang memusykili status agama Datuk Azhar. Hm…
Sebenarnya, saya tidak berminat untuk berbicara tentang agama Datuk Azhar.
Tetapi yang saya sangat berminat adalah, penyebaran cerita dan berita
melalui email ini.

Seperti yang saya tulis sebentar tadi, berita kemurtadan Datuk Azhar telah
saya terima hampir dua tahun yang lalu. Ketika itu, saya begitu ghairah dan
teruja dengan berita dari internet. Tambah lagi saya seorang yang kecewa
dengan ketelusan media arus perdana kita selepas pemecatan Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai Timbalan perdana Menteri. Internet telah menjadi sumber
berita saya yang utama.

Sebaik saya mendapat cerita itu, saya segera cuba melanjutkan ke sebuah
grup yang saya sertai. Nasib baik, pihak moderator menghubungi saya semula
dan mengatakan bahawa cerita itu tidak akan disiarkannya. Hujjahnya amat
logik. Katanya, jika berita ini benar, ia akan menyebabkan kita seolah²
berdakwah untuk agama Kritian (kerana menyebarkan dakwaan Datuk Azhar
terjumpa Jesus Christ).

Selepas dari cerita Datuk Azhar ini, saya menerima pelbagai rencam lagi
berita melalui saluran internet. Berita tentang artis, tentang ahli politik
dan bermacam lagi. Saya ingat lagi berita mengenai Tuan Haji Mahfuz yang
didakwa mendapat permit teksi terbanyak dan dikatakan telah mengkhianati
Pas. Juga tidak ketinggalan berita mengenai artis² yang popular ataupun
yang tidak popular.

Banyak lagi cerita yang saya terima dari internet yang kadang² boleh
diterima akal tetapi kebanyakan masanya, lebih seperti memperbodohkan kita.
Ia membuatkan saya terfikir. Jika berita ini palsu, apakah hukumnya kepada
saya yang menyebarkan berita tersebut? Ya, kadangkala, kerana benci dan
menyampahnya kita kepada seseorang, cukup mudah untuk kita mempercayai
cerita² buruk mengenainya.

Namun, ia bukanlah lesen untuk kita menyebarkan fitnah. Maka setelah
berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menyebarkan
apa² berita yang kurang sohih. Saya tidak mahu terlibat dalam apa² aktiviti
yang boleh menjerumuskan diri ke dalam lembah neraka. Seperti kes Datuk
Azhar ini. Jika benar Datuk Azhar masih Islam, entah apa hukumnya kepada
orang memfitnahnya.

Bahaya sungguh cerita dan berita dari internet. Saya berharap agar cerita²
sensasi yang penuh fitnah dapat dihentikan sebarannya dalam ruang siber
ini. Lebih baik untuk kita lanjutkan kisah² agama ataupun sighah (seperti
yang selalu dipos oleh Pak Ngah) dan berita politik yang sohih (seperti
yang selalu dipos oleh Syed Dahij) dari cerita yang tidak ada asal usul.
Sekurang²nya, kira mengurangkan risiko dosa yang bakal kita sandang.

Berkenaan Datuk Azhar, bukanlah saya tidak mahu komen. Tetapi rasanya, yang
layak menetukan status agama seseorang itu bukanlah saya orangnya. Walaupun
Datuk Azhar tidak membuat pengakuan masih Islam, namun keadaannya yang
tidak mengaku murtad sepatutnya membolehkan kita untuk bersangka baik
kepadanya. Namun, sekiranya benar dia murtad pun, kita tidak boleh melayan
kesnya dengan istimewa.

Kes murtad tidak boleh kita jadikan isu semata² kerana orang yang terlibat
adalah orang kenamaan. Sebaliknya, jika seorang pemungut botol sekalipun
yang murtad, ianya perlu kita pandang dengan serius dan perlu kita tangani
dengan segera. Menanganinya bukanlah dengan mencaci-maki individu terbabit
ataupun keluarganya. Sebaliknya kita perlu menanganinya dengan lebih
bijaksana, sistematik dan Islamik.

Memang ada hukum bunuh yang ditetapkan di dalam Islam buat mereka yang
murtad dan enggan kembali kepada Islam. Saya tidak mahu menyentuh tentang
isu itu. Hukum tetap hukum. Tetapi, sebagai muslim, cukupkah untuk kita
dengan membunuh si murtad itu sahaja? Tidak! Sama sekali tidak! Bahkan,
kita perlu berusaha dengan lebih gigih dan melakukan bedah siasat untuk
melihat apakah punca sebenarnya murtad berlaku.

Apakah kerana kurangnya didikan agama? Adakah kerana sistem pendidikan di
negara kita yang menolak fahaman Islam dan mengagungkan fahaman sekular?
Apakah kerana sikap ibu bapa yang terlalu materialistik sehingga
mengabaikan tanggungjawab? Dan sebab² lain… Inilah yang perlu kita
pertimbangkan. Bukan mempertikaikan kenyataan yang dibuat seseorang dan
cuba memanipulasi membuat interpretasi mengikut pemahaman sendiri.

Lagipun, pada saya, Datuk Azhar bukanlah siapa². Mungkin umum menganggapnya
wira negara. Mungkin ya. Tetapi bagi saya, secara peribadi, pengagungan
Datuk Azhar tidak perlu sehebat ini. Benar dia telah mengharumkan nama
negara dengan pelayaran bersejarahnya tetapi bagi saya, ianya lebih kepada
mengharumkan namanya sendiri. Apatah lagi, ia meningkatkan rasa kagum
terhadap bangsa sendiri. Asobiyah!

Sebenarnya ada terlalu ramai wira² tulen yang terpinggir. Mereka ini, orang
yang kebanyakannya nama mereka tidak kita kenali atau mungkin kita tidak
berminat untuk mengingatinya. Mereka adalah orang yang bersusah payah dalam
pergerakan NGO ataupun orang perseorangan yang berusaha dalam pembentukan
sebuah masyarakat yang lebih baik. Mereka adalah orang yang bersusah payah
membantu orang yang dalam kesusahan.

Ada beberapa individu siber (seperti Sdr. Rozamal Malakan) yang saya anggap
amat peka dan banyak memberikan peluang untuk kita beramal jariah. Dan
ramai lagi insan² lain yang berusaha bukan untuk nama mereka, bukan juga
untuk nama negara tetapi sebaliknya untuk kebaikan masyarakat secara
keseluruhannya. Sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha mereka
tidak mengenal erti penat dan lelah.

Inilah sebenarnya wira negara yang perlu kita sanjung. Inilah wira yang
sebenarnya yang boleh kita contohi. Tidak perlu kita membuang masa menambah
dosa dengan menyebarkan berita tidak pasti tentang seorang individu yang
kita anggap kononnya wira negara. Sebaliknya, adalah lebih baik kita ikut
mereka ini berusaha bersama untuk membentuk sebuah kehidupan yang lebih
bermakna…

12 November 2006

Budaya Rasuah


Beberapa hari ini, orang sibuk membicarakan tentang kedudukan Malaysia
dalam ‘Carta Rasuah’ yang dipanggil Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang
dikeluarkan oleh Transparency International di mana kedudukan negara
dikatakan merudum dari anak tangga ke 39 ke anak tangga 44. Pentingnya
kedudukan ini bukan untuk menilai popular atau tidaknya negara kita dalam
dunia tetapi ‘popular atau tidaknya rasuah’ dalam negara kita.

Kalau bercakap tentang rasuah, tentu banyak tempat yang jari ini boleh
ditudingkan. Sama ada kepada kerajaan, yang akan dikatakan lemah dalam
menangani gejala ini, mahupun BPR yang dikatakan gagal dalam menjalankan
tugas. Tudinglah jari ini ke mana sahaja dan kepada siapa juapun. Tanpa
melakukan apa², hakikatnya tetap sama. Sama ada suka atau tidak, rasuah
telah menjadi satu budaya dalam masyarakat kita.

Saya teringat semalam, ketika berbual dengan isteri saya di telefon, dia
ada menyebut tentang seorang ibu kepada anak muridnya yang menduduki tempat
tercorot di dalam kelas. Sebaik mengetahui bahawa anaknya akan diturunkan
ke kelas yang lebih bawah, maka si ibu beriya² memujuk supaya isteri saya
membantu untuk membolehkan anaknya kekal di dalam kelas sekarang. Biarpun
diberi seribu satu alasan, si ibu tetap memujuk dan merayu.

Akhirnya isteri saya yang ingin menamatkan perbualan telefon tersebut,
memberikan alasan bahawa dia terpaksa bersiap untuk acara ‘Malam Majlis
Amal’ anjuran sekolahnya. Mendengarkan itu, segera si ibu berkata bahawa
dia sebenarnya berniat untuuk membelikan tiket untuk kesemua ahli keluarga
kami (yang bernilai RM70 setiap satu). Tetapi kemudian isteri saya menjawab
bahawa mereka telahpun memperolehi tiket percuma.

“Rasuah!” ucap saya sebaik selesai mendengar cerita isteri saya. “Tak
sangka…,” sambut isteri saya, “kerja macam ni pun ada orang nak rasuah.”
sambungnya lagi membuatkan kami sama² tergelak. Mungkin bagi si ibu (tidak
silap saya, seorang doktor) pemberian sebegitu bukan sebuah rasuah. Mungkin
baginya sebuah pemberian ikhlas. Mengapa? Kerana rasuah telah menjadi satu
budaya dalam masyarakat kita!

Ada orang mengaitkan ‘budaya’ memberikan anak upah jika membantu kita ke
kedai sebagai satu ‘usaha menyemai benih menerima rasuah’. Manakala bagi
saya pula tidak sebegitu. Ianya sebuah insentif. Ianya lebih kepada satu
usaha menggalakkan. Sama seperti majikan yang memberikan bonus kepada
pekerjanya jika mereka bekerja bersungguh² sehingga membuahkan keuntung
kepada pihak syarikat.

Lagipun, ianya tidak berkaitan dengan hak orang lain. Lainlah jika, kerana
kita memberikan anak kita upah, maka ada orang lain yang akan kehilangan
haknya. Itu barulah boleh dikatakan rasuah. Seperti dalam kes isteri saya.
Jika kerana hendakkan tiket percuma, maka isteri saya membenarkan anak si
ibu kekal di dalam kelasnya sehingga ada pelajar yang layak kekal
diturunkan kelas, maka jelaslah ianya satu jenis rasuah yang nyata.

Kemudian saya teringat lagi. Satu kejadian yang berlaku kepada anak saudara
saya. Ketika itu, anak saudara saya berada di dalam darjah 5 atau 6.
Seorang dari gurunya ada mengadakan kelas tuisyen pada sebelah malam. Yuran
bagi kelas tersebut adalah sebanyak RM8 bagi setiap malam dan diadakan 3
kali setiap minggu. Oleh kerana ibu bapanya kurang berkemampuan, maka anak
saudara saya tidak dapat mengikuti kelas tersebut.

Apa yang berlaku memang di luar dugaan. Menurut anak saudara saya, gurunya
‘mengugut’ akan memberi tips & hints kepada mereka yang mengikuti kelas
tuisyennya sahaja. Jadi, orang seperti anak saudara saya, tidak akan
mendapatnya dan perlu berusaha lebih untuk lulus dalam matapelajaran yang
diajar oleh guru tersebut. Dalam erti kata lain, si guru hanya akan
memberikannya kepada anak muridnya yang ‘merasuahnya’ sahaja.

Tetapi, saya katakan kepada anak saudara saya, pedulikan saja ‘ugutan’ guru
tersebut. Kerana, ketika UPSR nanti, bukan guru itu yang membuat soalan.
Lagipun, tidak rugi berusaha lebih kerana hasilnya dia juga yang perolehi.
Dan keputusannya, anak saudara saya lulus UPSR dengan mendapat 5A dan kini
sedang menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah sains di Kota
Tinggi.

Apa yang paling menarik adalah, komentar dari kakak saya yang terluka
dengan tindakan guru tersebut. Kata kakak saya, sepatutnya seorang guru
ikhlas mengajar. Tidak perlu meemikirkan duit. Walaupun saya tidak
bersetuju dengan tindakan guru terbabit, tetapi saya tidak boleh menerima
ungkapan kakak saya sebulat²nya. Bukan kerana isteri saya seorang guru
tetapi kerana mengenangkan guru juga seorang manusia.

Bukankah sifat manusia normal hari ini suka kepada kemewahan? Apakah
seorang guru perlu menjadi ‘luar biasa’ dengan mengunci semua pintu
nafsunya kepada kemewahan dunia? Jawapannya memang ya, tetapi adalah tidak
adil kepada mereka untuk mengharapkan mereka bersikap sedemikian. Sedangkan
kita sibuk berbangga dengan kemewahan kita, apakah kita mahu manusia
berjasa ini hanya melihat sambil menelan air liur sahaja?

Maka itu saya katakan, gejala rasuah ini sebenarnya berpunca dari sikap
diri kita sendiri juga sebenarnya. Kerana kita telah menetapkan ciri²
manusia yang berjaya itu pada kemewahan dan kebendaan. Hari ini, berapa
ramai orang yang berminat bersuamikan atau beristerikan atau bermenantukan
orang yang banyak berjasa berbanding dengan orang yang banyak berharta?
Saya rasa, semua orang tahu jawapannya.

Kita menetapkan bahawa, individu yang dikatakan berjaya adalah mereka yang
mempunyai satu kerjaya yang memberikan pulangan yang besar. Tidak kiralah
bekerja sendiri atau makan gaji. Juga mereka yang memiliki rumah bak istana
atau kereta yang penjang menjalar. Maka atas sebab ini, masyarakat kita
hari ini hidup dengan bermatlamatkan harta kebendaan untuk menggolongkan
diri sebagai orang yang berjaya.

Apabila konsep begini diterima pakai oleh segenap lapisan masyarakat, maka
terjadilah perbuatan ‘matlamat menghalalkan cara’. Gara² mahukan hasil yang
cepat, ada yang sanggup mengggadaikan maruah diri dan iman dengan
mengamalkan rasuah dan penyalah gunaan kuasa. Cuba lihat. Mereka yang
melakukannya memanglah bersalah. Tetapi kita yang terlibat dalam membentuk
konsep masyarakat yang sebegini, tidak merasa bersalah jugakah?

Saya teringat pula kepada seorang teman lama. Sudah terlalu lama saya tidak
berjumpanya. Yang saya tahu dia sudah berhenti dari tempat lama dan
memasuki sebuah badan kerajaan. Asalnya saya begitu terkejut mengapa
memilih sebuah kerjaya yang lebih kecil pendapatannya. Tetapi setelah
diberitahu, rupanya teman saya ini berniat hendak mengambil rasuah apabila
menjawat jawatan tersebut.

Dan yang terakhir saya dengar tentangnya, dia sudah menjawat jawatan itu
dan memang betul² mengamalkan rasuah. Kini sudah memiliki kereta mewah dan
sudahpun membeli sebuah rumah yang harganya ratusan ribu ringgit. Tidak
tahulah betul atau tidak cerita yang disampaikan ini tetapi jika benar,
alangkah malunya! Bukan sahaja teman saya tetapi seluruh masyarakat dan
stuktur pentadbiran negara sendiri.

Lebih 1400 tahun dahulu, tatkala Nabi saw dan para sahabatnya yang mulis
masih belum wafat, tidak ada kejadian rasuah sebegini di kalangan umat
Islam. Mengapa? Kerana ketika itu, masyarakat yang wujud hidup di dalam
suasana yang zuhud. Masing² membesarkan akhirat lebih dari dunia. Masing²
memandang syurga itu lebih tinggi dari mahligai di puncak gunung emas.

Oleh kerana itu, tidak ada apa yang perlu dikejarkan di dunia ini oleh
mereka. Mereka tidak terkejar² longgokan harta. Jika sudah begitu, untuk
apakah mereka memberi dan mengambil rasuah? Di sinilah contohnya bagaimana
fahaman sebuah masyarakat mampu membentuk suasana yang lebih baik. Jika
iman masyarakat itu sendiri sudah korup, maka sudah tentu tidak ada
kebaikan buat mereka secara keseluruhannya.

Maka sebenarnya, untuk menangani gejala rasuah ini, pengamalan Islam secara
kaffah itu penting. Islam mesti diamalkan seperti mana yang diajar oleh
Allah swt di dalam al-Quran dan diteladankan oleh Nabi Muhammad saw melalui
sunnahnya. Bukan dengan menambahkan nama baru pada penghujung Islam itu.
Baru dengan ini sebuah masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang
boleh dibentuk.

Penekanan pendidikan terhadap aspek teknologi tidak akan membawa apa²
kebaikan jika tidak disertakan dengan pendidikan Islam dan pembentukan iman
yang sempurna. Jika kesemua kita mampu berhenti bermegah dengan kejayaan
dunia dan menjadikan ianya matlamat kehidupan sebaliknya meletakkan akhirat
mengatasi segalanya, insyaAllah apa jua jenis gejala bukan setakat
dibendung, malah dihapuskan buat selamanya. InsyaAllah…

10 November 2006

Kejadian 5 November 2006


Hari Ahad, 5 November 2006 tempohari, ketika menghadiri majlis rumah
terbuka di rumah ibu saudara saya, tiba² saya dikejutkan oleh panggilan
dari telefon bimbit saya oleh salah seorang penyelia saya. Beliau
bertanyakan berita tentang helikopter terhempas di Laut China Selatan. Dia
menjangkakan saya lebih mengetahui kalau² berita ini telah tersebar lebih
dahulu di dalam email² seperti berita² lain.

Malangnya saya sudah agak lama tidak menjengah dunia siber tambahan pula
komputer saya ada sedikit masalah. Menjadi begitu lembab apabila
dihubungkan ke internet. Jadi saya tidak dapat memberikannya lebih
maklumat. Saya katakan akan menghubunginya selepas memeriksa kotak masuk
akaun email saya tetapi sebaik pulang, berita itu hilang dari ingatan dan
keletihan memaksa saya untuk tidak menyentuh komputer saya.

Malam itu saya ponteng ke masjid akibat keletihan dan tambah lagi dengan
rasa tidak sedap badan (sebenarnya ini petanda lemahnya iman dalam diri).
Jadi malam itu saya menonton Buletin Utama di TV3. Pada awalnya kami
dikejutkan dengan berita hukuman bunuh ke atas Saddam Hussein. Sungguhpun
terkejut, tetapi saya tidak mahu banyak komen. Alasan saya mudah, kerana
saya tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi di Iraq.

Bagaimana jika Tun Dr. Mahathir dihukum bunuh? Saya percaya, ramai yang
akan bersorak memandangkan kezalimannya menggunakan akta ISA ketika
berkuasa dahulu dan banyak kesongsangan lain. Tetapi, saya ada ramai
saudara mara di Singapura yang menyanjungi Tun kerana katanya, Tun banyak
membangunkan orang Melayu di Malaysia. Tidak seperti kezaliman diktator Lee
Kuan Yew di Singapura.

Maka kerana itu, untuk mengatakan Saddam seorang yang zalim atau tidak,
biarlah rakyat Iraq yang menentukannya. Mereka lebih tahu apakah yang telah
dia lakukan terhadap mereka… Namun berita yang berikutnya pula lebih
mengejutkan lagi. Sebuah helikopter Super Puma milik Malaysia Helicopter
Service (MHS) diberitakan telah terhempas di Laut China Selatan berhampiran
pelantar Tapis ‘B’.

Saya mendengar berita itu dengan teliti. Bagaikan sukar untuk dipercayai.
Sebenarnya, helikopter Super Puma adalah ‘kenderaan rasmi’ saya untuk ke
tempat kerja. Bagaimana saya tidak terperanjat? Tambah lagi, selama ini
yang saya ketahui, MHS mempunyai reputasi yang baik. Sungguhpun ada
beberapa insiden yang berlaku ke belankangan ini, tetapi ianya tidaklah
seserius mana seperti yang satu ini.

Keesokan harinya, telefon saya dihujani panggilan telefon dan sms yang
bertanyakan khabar. Kebetulan, saya sedang demam, maka kebanyakan panggilan
tidak dijawab dan sms pula tidak dibalas. Alhamdulillah… Rupanya ramai juga
sahabat yang begitu mengambil berat tentang diri saya. Perbuatan saya
menyepikan diri telah membuatkan kebanyakan mereka kerisauan. Minta maaf
kepada mereka semua (jika ada terbaca artikel ini).

Pada Rabunya, saya mendaftar diri di Lapangan Terbang Kerteh untuk ke
pelantar. Seperti yang saya agak, topik yang hangat diperbualkan adalah
mengenai helikopter yang terhempas tersebut. Saya cuba bertanya kepada
mereka yang saya temui terutama mereka yang bekerja di pelantar Tapis B
untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Malangnya, cerita yang saya
perolehi adalah dalam berbagai versi.

Versi yang ‘paling popular’ ialah, ketika helikopter hendak mendarat di
atas pelantar, satu tiupan angin kencang telah menolak helikopter tersebut
keluar dari helipad. Helikopter tersebut dikatakan nyaris melanggar
pelantar tetapi kecekapan juruterbangnya, Capt. Salleh telah berjaya
mengelakkan ianya dari terjadi tetapi, ia telah mengakibatkan pesawat
tersebut berpusing dan bahagian ekornya terpatah lalu tenggelam ke dalam
laut.

Lebih malang lagi, kepala Capt. Salleh dikatakan telah terhantuk
menyebabkan beliau pengsan. Juruterbang bersama (co-pilot), Capt. Ismail
dikatakan telah mencuba untuk menarik Allahyarham tetapi kaki Allahyarham
dikatakan tersangkut. Akhirnya Capt. Ismail terpaksa juga naik ke permukaan
untuk bernafas dan membiarkan sahabatnya tenggelam bersama pesawat yang
rosak itu.

Akhirnya, kesemua penumpang terselamat kecuali Capt. Salleh, juruterbang
yang mengorbankan nyawanya demi mengelak kemalangan jiwa yang lebih besar.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah…

Beberapa kali saya cuba membayangkan. Bagaimana agaknya jika saya yang
berada di dalam pesawat tersebut? Apa agaknya yang akan terjadi? Apakah
saya dapat melepaskan diri? Bagaimana pula jika saya yang menerbangkan
pesawat tersebut? Paling sedih, bagaimana jika saya berada di kedudukan
Capt. Ismail? Terpaksa melihat teman sendiri tenggelam tanpa mampu
memberikan apa² pertolongan?

Jujur, kejadian ini sedikit sebanyak menjejaskan moral saya untuk pergi
bekerja. Jika ada pilihan, memang saya mahu mengelak. Tetapi jika
difikirkan semula, terasa bodoh pula. Bukankah kematian itu sesuatu yang
pasti? Setelah beribu kali berulang alik dengan selamat, hanya kerana satu
kejadian ini saya mahu jadi penakut? Kerana itu, saya kuatkan semangat
disertai dengan doa kepada Allah agar memberikan perlindunganNya.

Hari itu (Rabu), saya tiba di pelantar begitu lewat. Semuanya kerana
kekurangan helikopter. Kesemua helikopter jenis Super Puma dibekukan (
grounded) bagi membolehkan penyiasatan dilakukan. Begitulah komitmen MHS.
Mereka tidak mahu, jika ada apa² kesilapan teknikal berulang lagi kepada
pesawat yang lain. Memanglah ianya menyulitkan kami tetapi demi kebaikan
masa hadapan, terpaksa juga kami terima keadaan itu.

Ketika berbual dengan teman², sempat saya berjenaka. Saya katakan, jangan²
ada selepas ini ibu bapa yang tidak mengizinkan anaknya untuk bekerja di
pelantar lagi kerana bimbang helikopter terhempas. Seperti mana bimbangnya
ibu bapa akan anak mereka dibunuh pengganas komunis jika menyertai pasukan
tentera. Jenaka saya disambut dengan gelak ketawa oleh rakan². Ada yang
berkata ianya mungkin juga terjadi.

Sebenarnya, sebelum dibenarkan bekerja di pelantar, pihak majikan telah
memastikan kami diberikan latihan secukupnya di Pusat Latihan Keselamatan
Terengganu (TSTC). Latihan yang dikenali sebagai HUET (Helicopter
Underwater Escape Training) diwajibkan ke atas semua mereka yang mahu
bekerja di luar pesisir. Di dalam latihan ini, kami di berikan situasi
bagaimana jika helikopter terhempas dan tenggelam di dalam laut.

Kami akan diletakkan di dalam sebuat replika helikoter. Kemudian, dengan
tali pinggang yang terikat, helikopter dipusingkan hinggakan kaki di atas
kepada di bawah dan ditenggelamkan di dalam air. Dalam keadaan begini, kami
dikehendaki melepaskan diri dari ikatan tali pinggang dan keluar melalui
tingkap atau pintu. Memang kelam kabut. Hinggakan ada yang merah mata
akibat tersedut air melalui hidung.

Jika diikutkan, memang kami benci dengan latihan ini. Tetapi apa boleh
buat. Latihan ini memang diwajibkan bagi membolehkan pasport kami dicop dan
dibenarkan terus bekerja. Lagipun, dengan pengetahuan asas sebegini,
sekurang²nya kami tahu apa yang perlu dilakukan jika pesawat kami benar²
terhempas. Seperti apa yang dialami oleh rakan² kami dalam kejadian 5
November tempohari.

Namun, untuk mengatakan pengetahuan itu yang menyelamatkan mereka adalah
salah sama sekali. Segalanya hanyalah ketentuan Allah jua. Latihan ini
hanyalah ‘syarat dunia’. Jika seorang yang tidak pernah menghadiri HUET
sekalipun, tetapi Allah telah menetapkan dia akan selamat, maka selamatlah
dia. Begitu jugalah sebaliknya. Kerana ajal, maut maut, jodoh pertemuan
kesemuanya Dia yang menentukan.

Bercakap mengenai maut, jika dilihat sekali imbas, kelihatannya pekerjaan
kami begitu dekat dengan kematian. Seperti diri saya sendiri. Pada awalnya,
saya menaiki bas ekspress dari JB ke Kerteh. Ada kemungkinan bas yang saya
naiki terlibat dalam kemalangan. Kemudian saya menaiki helikopter untuk ke
pelantar. Ada kemungkinan helikopter yang saya naiki terhempas. Dan di
pelantar, ada kemungkinan ianya boleh meletup.

Namun itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk saya lari dari tugas
ini. Sebenarnya, bukan setakat kerja seperti kami, bahkan kerja apa
sekalipun akan ada risikonya tersendiri. Lagipun perkara maut bukanlah
perkara yang boleh kita tentukan. Sedangkan seorang doktor pakar juga akan
mati. Sedangkan malaikat maut dan malaikat peniup sengkakala juga akan
musnah. Apatah lagi kita yang tidak punya apa² ‘kekebalan atau kelebihan’.

Tidak semestinya orang yang pekerjaannya berisiko tinggi seperti kami akan
mati terlebih dahulu berbanding dengan mereka yang bekerja di pejabat²
besar dan kerjanya hanya mengetuk papan kekunci komputer. Tidak. Maut boleh
menjemput sesiapa sahaja, di mana jua anda berada. Seperti kata ustaz saya,
kita sebenarnya telah bertunang dengan kematian. Bersedialah untuk
‘dikahwinkan’ pada bila² masa yang ditentukanNya.

Pengajaran yang paling berharga di sini ialah, betapa kita perlu sentiasa
bersedia untuk menghadapi maut. Bukan setakat bersedia dengan mengambil
insurans nyawa atau khairat kematian tetapi juga bersedia dengan amalan
yang memungkinkan kita mendapat husnul khatomah. Juga dengan amalan agar
kita tidak dicampakkan ke neraka jahannam apabila tiba di hari kebangkitan
kelak.

Betapa mulianya Capt. Salleh terkorban ketika cuba menyelamatkan lebih
banyak nyawa daripada terkorban. Ia membuatkan saya terfikir. Saya mahu
sebuah kesudahan yang baik. Sekurang²nya saya boleh berbangga ketika
menghadapNya dengan tubuh yang penuh dengan tanda pernah berbuat jasa.
Tetapi, saya takut jika yang berlaku sebaliknya. Saya takut jika saya mati
tatkala begitu banyak hati yang membenci diri ini. Wana’uzubillahi
minzalik…..

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.