20 November 2006

Kebanggaan Ibu Bapa


InsyaAllah, kalau tidak ada apa aral melintang, esok (Selasa, 21hb
November) saya akan pulang ke rumah. Ke pangkuan ibu, ayah, isteri dan anak
tercinta. Pada awalnya saya dijadualkan untuk menghadiri satu mesyarat
jawatankuasa kerja kesatuan sekerja pada hari esok dan Khamis ini. Tetapi,
atas sebab² pengurusan, mesyuarat untuk hari esok terpaksa ditiadakan.
Hanya pada hari Khamis.

Bagus juga, fikir hati saya. Sekurang²nya saya boleh pulang segera ke
rumah. Dapat berjumpa terus dengan keluarga. Terkenangkan kisah anak saya
yang menurut ibu saya dan ibunya sering mencari saya. Kata ibu saya, hampir
setiap malam mengigau menyebut² nama saya. Dan pada ketika saya baru
kembali bekerja, anak saya demam rindu. Alhamdulillah, setelah dibiarkan
tidur dengan bantal yang saya biasa guna, demamnya kebah.

Bukanlah saya jenis yang memanjakan anak. Saya seorang ayah yang cukup
garang. Hinggakan ibu saudara saya menjadi takut melihat ketegasan saya.
Hanya, mungkin kerana selama dua minggu saya di rumah, dia banyak bermain
dengan saya. Pada usianya, memang seronok diajak bergurau. Naqibah pula
jenis nakal dan 'suka menyakat dan mengenakan' orang. Ah... Rindunya...

Siapa yang tidak bangga dengan anaknya? Pada ketika saya masih bujang, saya
sebenarnya cukup menyampah mendengar orang bercerita tentang anak mereka.
Sikit², anak mereka begini. Sikit², anak mereka begitu. Kini, setelah
'menjadi Abu Naqibah', barulah saya mengerti betapa seronoknya menjadi
bapa. Memang keseronokan itu mengundang kita untuk bercerita tentang
'kelaku' anak kita kepada orang lain.

Namun sejenak saya terkenangkan. Jikalah pada ketika ini saya cukup seronok
dan berbangga dengan Naqibah, sudah tentu berpuluh tahun dahulu ayah dan
ibu saya juga cukup berbangga dan seronok dengan saya. Tentu suatu ketika
dahulu, ayah saya sering bercerita tentang saya kepada teman²nya. Tentu
suatu ketika dahulu, ayah selalu teringatkan saya apabila terpaksa tidak
pulang ke rumah ketika bekerja.

Ya. Saya masih ingat. Pernah suatu ketika seorang jiran yang bangga dengan
keputusan peperiksaan anaknya menunjukkan kad penyata anaknya kepada ayah.
Kemudian ayah pula menunjukkan kad penyata saya kepadanya. Dan saya juga
masih ingat bagaimana ayah dengan bangganya menjaja kisah saya belajar di
MRSM Jasin kepada semua orang. Hingga apabila bertemu kawannya, pasti
mereka berkata "Oh, ini yang belajar di Melaka tu eh?"

Patutkah saya salahkan ayah saya? Jujur, pada ketika itu saya sedikit
'bengang' dengan tindakan ayah saya. Kerana saya tahu betapa sukarnya untuk
mendapatkan kedudukan terbaik di kalangan orang yang terbaik dan saya juga
tahu bahawa sememangnya saya tidak termampu untuk menjadi yang terbaik.
Tetapi ibu sering menerangkan kepada saya betapa inilah harapan ayah agak
ada wakil anak yang memasuki sekolah berasrama penuh.

Penerangan ibu itu membuatkan saya agak faham. Tetapi hari ini, setelah
diri sendiri bergelar bapa, saya rasa saya sudah cukup faham dengan
perasaan ayah saya ketika itu. Saya yakin inilah perasaan normal. Seorang
ibu atau bapa tentu akan sentiasa berbangga dengan anaknya. Jika tidak
boleh dibanggakan dengan keputusan peperiksaannya, tentu mereka akan
mencari sebab lain yang boleh dibanggakan.

Saya pernah berkenalan dengan seorang kakak yang mempunyai anak spastik
(wana'uzubillahi minzalik). Tentu semua orang tahu betapa terhadnya
kebolehan anak spastik ini. Tetapi si ibu tidak pernah memandang rendah
terhadap anaknya. Bagaimana sekalipun keadaan anaknya, tetap dia akan
bercerita tentang kelebihannya. Kerana tidak boleh dibandingkan dengan
kanak² lain, dibandingkan pula dengan kanak² yang serupa.

Kerana itu saya katakan, seorang ibu atau bapa, sememangnya secara semula
jadi akan berbangga dengan anaknya. Tidak kira apa jua keadaannya anaknya
itu. Sama ada seorang tukang sapu mahupun seorang menteri. Si anak tetap
baik di hadapan mata mereka. Malah, jika si anak jahat bagaimana sekalipun,
tetap akan tersemat di hati mereka sedikit kebaikan yang pernah dilakukan
oleh si anak.

Tiba² hadir soalan di dalam hati saya. Bagaimanakah pada hari ini? Apakah
ayah dan ibu saya masih berbangga dengan saya (dan adik beradik yang lain)
sebagai anaknya? Atau soalan yang lebih tepat, masih adakah perkara baru
yang boleh mereka banggakan atas diri saya? Jawapan saya, saya tidak tahu!
Apakah diri saya ini masih boleh dibanggakan untuk mereka atau mungkin
mereka kini merindui 'saya yang dahulu'?

Jika hendak dikirakan, sudah tidak ada apa yang boleh dibanggakan pada diri
saya oleh mereka. Sudah tidak ada lagi peperiksaan yang akan saya duduki.
Sudah tidak ada lagi sekolah berasrama yang boleh saya masuk. Apa lagi yang
boleh dibanggakan? Mahu berbangga dengan kerja saya sekarang? Mahu
berbangga dengan gaji yang saya perolehi sekarang? Untuk apa?

Paling penting, apakah ayah dan ibu saya boleh berbangga dengan saya ketika
bangkit menghadap Allah yang memiliki segala sesuatu pada ketika Qiamah
nanti? Dengan keadaan saya yang begitu keduniaan sekarang ini, rasanya saya
bukanlah anak yang mereka boleh banggakan di hadapanNya nanti. Saya takut.
Takut... Saya takut kalau² saya menjadi anak yang mereka sesali pula pada
ketika dibangkitkan semula nanti.

Ada sebuah hadits meriwayatkan, ibu dan bapa kepada seorang yang hafaz
al-Quran akan dipakaikan dengan sebuah mahkota istimewa. Oh... Alangkah
indahnya. Tetapi saya bukan hafiz! Sudahlah bukan hafiz, membaca al-Quran
pun tidak sekerap membaca email. Kalau dibacapun, tidak beramal dengan apa
yang dibaca. Bagaimana boleh ayah dan ibu saya nanti dipakaikan mahkota
sebegitu?

Rasanya ada di kalangan kita yang pernah terbaca kisah mimpi seorang alim
tentang orang yang mengambil 'makanan' di alam barzakh pada setiap malam
Jumaat. Makanan ini datang daripada doa dan amalan anak² si mati. Kisah ini
menyebut tentang seorang lelaki yang tidak punyai apa² untuk diambil kerana
anak²nya tidak berdoa untuknya. Di sini saya tidak mahu mempersoalkan benar
atau tidaknya kisah yang disampaikan itu.

Tetapi yang saya fikirkan, sekiranya kisah ini benar, apakah yang akan
terjadi kepada ayah dan ibu saya nanti? Apakah mereka terdiri daripada
orang yang akan berbangga kerana mendapat 'makanan' yang banyak atau hanya
seperti si orang tua yang hanya menunggu dengan hampa? Ya Allah!
Perkuatkanlah iman kami. Dan jadikanlah kami anak² yang soleh dan berbakti
kepada kedua orang tua kami...

Tapi itu adalah setelah ketiadaan mereka. Pada hari ini, saya masih
berpeluang menjadi anak kebangga mereka lagi. Saya mahu tunaikan setiap
harapan mereka. Saya mahu belanjakan wang yang saya ada untuk mereka. Saya
mahu hiburkan hati mereka. Jika selama ini mereka bersusah payah menjaga
kami adik beradik, hari ini, biarlah kami semua menjadi kebanggaan mereka
apabila menjaga mereka dengan penuh keikhlasan, insyaAllah...

Ya Allah ya Tuhan kami. Ampunilah kami dan ampunilah kedua ibu bapa kami.
Dan peliharalah mereka sebagaimana mereka memelihara kami sewaktu kami
masih kecil. Sesungguhnya langit, bumi serta segala yang ada di antaranya
tidak mampu membayar jasa mereka kepada kami. Ya Tuhanku. Bangkitkanlah
kami bersama mereka dan orang² yang soleh di hari setiap manusia menerima
pembalasan nanti. Amin ya Rabbal 'alamin...

1 comment:

Anonymous said...

bagaimana pula perasaan isteri yang ingin berbelanja untuk kedua ibubapanya tetapi selalu tersekat kerana suami. tersangat terkilan bila melihat adik beradik lain berkongsi untuk memberi sumbangan kepada kedua orang tua, sedangkan saya yang bekerja lebih daripada adik beradik lain tidak dapat berbuat demikian dek kerana takutkan suami...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.