31 March 2007

Kemuliaan

Petang tadi, sambil lalu di hdapan teman saya yang sedang duduk berbual,
saya menyanyikan sebuah lagu… "Tercipta satu lembaran sejarah… Di tanah
suci Kota Mekah… Hari yang mulia penuh syahadah… Bermulalah sebuah kisah…"
seorang dari teman saya tergelak mendengarnya. Manakala seorang lagi
berkata, esok (Sabtu) baru ada pertandingan Akademi Fantasia manakala
seorang lagi, menyatakan kesudian untuk 'mengafundi' saya.

Tanpa berbicara, saya sambung rangkap keduanya. "Malam Isnin Subuh yang
indah… 12 Rabiul Awwal yang ceria… 20 April Tahun Gajah… Lahirlah insan
yang mulia…" (sebenarnya saya sendiri tidak berapa ingat lirik lagu ini).
Teman saya yang menyatakan kesudian untuk mengafundi saya sebentar tadi
segera teringat. "Oh… Ni… Maulid Nabi" katanya manakala yang seorang lagi
bertanya, "Bila?"

"Esok kan...?" jawab teman saya yang mula-mula tadi. Saya menoleh kepada
teman saya yang bertanya tadi. "Maulid Nabi esok kau tak tahu?" dia
menggeleng. "Akademi Fantasia esok kau tahu?" tanya saya lagi. Kali ini dia
mengangguk sambil membahakkan ketawa yang besar. Saya menggelengkan kepala.
Bukan salah dia juga. Sudah memang sistem pemerintahan kita lebih
mengiktiraf kalendar Kristian berbanding kalendar Islam sendiri…

Bagi kita muslim, hari ini, 12 Rabiul Awwal 1428H bersamaan 31 Mac 2007
merupakan tarikh yang istimewa. Ini kerana pada tarikh ini, kira-kira 1481
tahun yang lalu lahirnya seorang insan yang cukup istimewa. Yang telah
menjadi asbab hidayah kepada kita semua. Seorang insan yang memiliki akhlaq
yang cukup terpuji dan telah diiktiraf sebagai 'sebaik-baik kejadian' iaitu
Nabi Muhammad shallahu 'alaihi wasallam…

Namun ada juga umat Islam yang biadab yang menganggap Nabi Muhammad saw ini
sebagai insan biasa yang sekadar menerima utusan Allah, seperti posmen yang
membawa surat. Astaghfirullah… Semoga Allah memberikan hidayah kepada
mereka yang beranggapan sebegitu kerana sesungguhnya, Nabi Muhammad jauh
lebih mulia dari itu. Bukannya posmen itu hina, tetapi kedudukan Nabi saw
yang teramat istimewa.

Allah tidak memilih Muhammad saw sebagai utusanNya dengan
sewenang-wenangnya sebagaimana sebahagian dari kita memilih pemimpin
mereka. Nampak sahaja lambang parti kegemaran mereka, terus pangkah
walaupun yang dicalonkan seorang penjenayah yang banyak melakukan kerosakan
ke atas diri mereka sendiri. Tidak! Allah tidak begitu. Bahkan Allah telah
menjaga diri Nabi Muhammad saw semenjak sebelum Baginda dilahirkan lagi.

Ayahanda Baginda, Adullah adalah anak kesayangan Abdul Muthalib, ketua Bani
Hasyim, kabilah bangsawan yang disegani di Kota Suci Makkah. Lebih dari
itu, Abdullah juga dikatakan memiliki wajah yang bercahaya yang mana,
sesiapa yang melihat parasnya akan terpegun dan hati mereka akan menjadi
sejuk. Begitulah bagaimana hebatnya Allah menjaga kemuliaan Nabi Muhammad
saw sehinggakan keturunan sebelum Baginda.

Bahkan, ada riwayat yang mengatakan bahawa tidak Allah ciptakan dunia ini
melainkan semata-mata kerana Nabi Muhammad saw. Dan kelak, di hari akhirat,
tidak akan ada manusia yang akan mencecahkan kakinya ke syurga sebelum
telapak suci milik Muhammad saw menjejakinya. Namun, selain dari segala
kelebihan yang Allah berikan kepada Baginda termasuklah mukjizat-mukjizat
sakti, Nabi saw tetap seorang manusia lelaki yang sejati.

Baginda dilahirkan berasbabkan seorang ibu dan seorang bapa. Selain itu,
Baginda juga makan, minum, berkahwin, tidur dan lain-lain perbuatan yang
berseuaian dengan fitrah manusia biasa. Jika mungkin penganut agama lain
menganggap kesamaan ini adalah satu kelemahan, tetapi bagi kita orang
Islam, inilah yang menyempurnakan sifat Nabi saw sebagai rasul pilihan.
Labih dari itu, inilah tanda belasnya Allah terhadap kita, hambaNya.

Kerana, jika sekiranya Allah mengutuskan para Malaikat sebagai rasulNya,
tentu sekali para malaikat tidak mampu memahami keadaan fitrah kita yang
berkehendak kepada perkara dunia. Alangkah siksanya sekiranya kita
dilarangkan berkahwin, makan, minum tidur dan lain-lain kerana para
malaikat tidak memerlukan semua ini. Lebih parah lagi, bagaimana kita
hendak mengikut sunnah mereka yang sujudnya sahaja sampai ribuan tahun.

Maka itu pengutusan Nabi Muhammad saw sebagai rasul adalah satu rahmat buat
kita semua. Dengan segala sifat terpuji yang wajar kita contohi, tidak ada
satupun sunnah Baginda saw yang menyalahi fitrah manusia. Hanya, dengan
pengutusannya, manusia dididik agar mampu memenuhi keinginan mereka secara
teratur, sambil menjaga hak-hak Allah dan hak-hak manusia sekelilingnya,
sesuai dengan perintah Allah.

Perihal menyambut ulang tahun kelahiran Baginda saw ini selalu mengundang
pelbagai 'versi hukum'. Ada yang mengharamkannya, ada yang menyatakan harus
dan ada juga yang mengatakan ianya satu ibadah sunat. Namun bagi saya, saya
setuju dengan pendapat as-Syaikh Yusuf Qardhawi yang mengatakan, di zaman
kita ini, zaman yang mana kemuliaan Rasulullah saw mula dilupakan, adalah
harus meraikan keputeraan Baginda saw.

Di zaman Rasulullah saw, sifat dan akhlak terpuji Baginda saw dapat dilihat
oleh para sahabat secara langsung. Mereka tidak perlu mengadakan hari untuk
memperingatinya. Tidak seperti kita, yang sifat-sifat mulia ini kini kian
menjadi 'bahan pameran' di muzeum. Bagi yang membidaahkan sambutan ini,
mengapa tidak membidaahkan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut lebih
meriah dan lama sebelum tarikh yang diraikan itu tiba?

Hanya yang menjadi persoalan, bagaimana sambutan itu diadakan. Tentulah, di
hari ini sepatutnya kita habiskan waktu dengan mengungkit sifat dan
kebaikan yang telah Baginda saw pamerkan. Elok rasanya sekiranya agenda
hari ini dipenuhi dengan ceramah dan penceritaan sirah Baginda saw. Yalah…
takkanlah hendak menyambutnya dengan diadakan konsert besar-besaran
sebagaimana lazim golongan bangsawan pula, bukan?

Namun, adakalanya sebak juga hati ini. Walaupun sambutan maulid ini
disambut dengan diadakan ceramah-ceramah agama, sedih rasanya melihat
keadaan penceramah kita. Bergaya dengan kemeja, tali leher, siap dengan
blazer dan dagu yang tercukur bersih, rasanya bagai ada yang tidak kena.
Bagaimana seorang yang begitu arif dan bangga tentang kehebatan Nabi saw,
dalam masa yang sama mengenepikan sunnahnya dan berbangga dengan pakaian
barat.

Setiap apa yang Nabi saw lakukan adalah perbuatan yang mulia dan, kecuali
apa yang kita telah ditegah untuk melakukannya, kesemuanya mesti menjadi
ikutan kita. Jadi, memakai jubah dan memelihara jambang bukanlah sesuatu
perkara yang boleh dianggap remeh. Begitu juga dengan sifat dakwah dan adil
Baginda saw dalam mentadbir negara. Alangkah baik, jika kesemua kita mampu
mengikuti sunnah Baginda saw dalam segala hal…

"Ya Allah… Kuriakanlah kebaikan kepada NabiMu, Muhammad shallahu 'alaihi
wasallam. Untukkanlah kepadanya maqam yang terpuji (washilah). Ya
Allah…Jadikanlah kami orang-orang yang mencintai RasulMu. Dan jadikanlah
kami orang-orang yang mencintai sunnah RasulMu. Jauhkanlah kami dari sifat
munafiq, dan bangkitkanlah kami di kalangan orang-orang yang beroleh
rahmahMu. Dan dudukkanlah kami nanti bersama kekasihMu itu…

Amin… Ya Rabbal 'Alamin…

30 March 2007

Menghargai Kasih

Adakalanya, apabila bertemu dengan teman atau saudara-mara, ramai yang
menegur wajah anak sulung saya mirip wajah ibunya. Dengan kulit cerahnya,
matanya dan segalanyalah, sering dikaitkan dengan ibunya. Terasa juga di
hati saya. "Macam mana dengan aku? Aku kan ayahnya?" gerutu saya di dalam
hati. Takkanlah tidak ada sedikitpun rupa fizikal Naqibah yang mirip kepada
saya?

Tetapi bila ada orang yang mengatakan Naqibah mirip ayahnya, hati saya
kembang bagaikan dipam-pam. Ah… Ini semua mainan perasaan. Sama ada mirip
ibunya atau mirip saya, ayahnya, itu tidak penting. Yang penting anak itu
anak kami dan amat manja dengan kami. Lagipun, bukankah anak sebagai
pengerat kasih sayang? Sememangnya terbukti, anak-anak kami menjadi lambang
keikhlasan kami mencintai antara satu sama lain.

Kadangkala saya terfikir, sedangkan apabila orang menyebut Naqibah hanya
mirip ibunya, tercetus satu perasaan kurang enak di benak saya. Bagaimana
pula agaknya keadaan orang yang ditakdirkan berpisah dengan pasangannya?
Yang anaknya dipelihara oleh bekas teman hidupnya yang lagi satu.
Contohnya, bagaimana perasaan seorang ibu apabila anaknya dipelihara oleh
bekas suaminya.

Manakala dia hanya berpeluang untuk menjenguk anaknya sebulan sekali. Tentu
mengecewakan. Apatah lagi apabila bekas pasangannya itu berkahwin lain dan
anak-anaknya pula semakin rapat dengan 'ayah atau ibu baru' mereka. Tentu
menyedihkan. Tentu wujud perasaan seakan-akan anak itu akan dirampas kasih
sayangnya dari mereka. Maka kerana itulah perceraian sesuatu yang perlu
dielakkan pada setiap masa.

Seperti kata khadi selepas upacara pernikahan dan pembacaan taklik, lebih
baik perkataan cerai itu dibuang terus dari otak seorang lelaki. Jangan
sekali-kali terfikir untuk melafazkannya. Begitu juga sang isteri. Jangan
sekali-sekali cuba ucapkan "Ceraikan saya". Kerana impaknya bukan kecil.
Banyak. Terlalu banyak. Bukan setakat kepada diri pasangan yang bercerai,
tetapi juga kepada anak-anak dan ibu bapa mereka.

Tetapi ada yang berkata, kalau sudah tidak sehaluan, bagaimana lagi hendak
hidup bersama? Ya… benar juga. Tetapi, saya juga sering bertanya kepada
diri saya sendiri, pernahkan saya sehaluan dengan pasangan saya? Saya tidak
pasti apakah yang orang lain maksudkan dengan sahaluan tetapi bagi saya,
sehaluan bererti kita bersedia untuk membuat keputusan yang sama dan
berpendirian yang sama pada hampir setiap masa.

Tetapi saya seorang lelaki dan isteri saya seorang wanita. Bagaimana
agaknya kami hendak sehaluan? Sememang dari azalinya kami berbeza. Bukan
setakat kami, bahkan boleh dikatakan semua orang. Pandangan seorang lelaki
berbeza dengan pandangan seorang perempuan. Jadi dari mana agaknya datang
perkataan sehaluan itu? Sedangkan hakikat menyatakan, corak pemikiran
lelaki dan wanita sentiasa berbeza.

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah sikap toleransi. Inilah sifap yang
cukup jelas kelihatan pada pasangan yang sedang asyik dilamun cinta.
Contohnya, seorang wanita sanggup berhabisan demi mendapatkan jersi
bolasepak pasukan kesayangan teman lelakinya. Atau sang lelaki yang sanggup
berjalan berjam-jam demi menemankan teman wanitanya yang hendak membeli
sehelai sapu tangan.

Sayangnya, sikap toleransi sebegini kian lama kian pupus sebaik mendirikan
rumah tangga. Ianya berpunca dari sikap kita sendiri yang sentiasa
mengharapkan pasangan kita memahami apa sebenarnya yang kita inginkan.
Tanpa sedikitpun kita peduli apa sebenarnya yang pasangan kita mahukan dari
kita. Kita sibuk mengubah pasangan kita mengikut acuan yang kita suka tanpa
mengubah diri kita untuk bersesuaian dengan acuannya.

Saya tidak mahu mengatakan diri saya baik. Sebagai lelaki, saya tidak
nafikan tebalnya sifat ego dalam diri saya. Melihat arahan dan permintaan
saya yang tidak dilaksanakan bukanlah perkara yang boleh menggembirakan
saya. Namun, apabila saya bawa bertenang, berfikir dengan akal yang waras
dan dengan iman, akhirnya saya akan dapati, saya sebagai suami yang
keterlaluan mengharapkan sesuatu dari isteri saya.

Sebenarnya, kita perlu tanamkan dalam diri kita perasaan untuk menghargai
pasangan kita. Harus sentiasa percaya, bahawa dialah pasangan kita yang
terbaik. Mungkin dia bukan yang terbaik tetapi dialah yang terbaik untuk
kita. Malah mungkin kita juga perlu yakinkan di dalam diri bahawa betapa
beruntungnya kita memiliki pasangan sepertinya dibandingkan dengan
kelemahan-kelemahan yang wujud pada diri kita.

Mungkin, pada satu ketika, kita akan melihat orang lain jauh lebih hebat
dari pasangan kita. Bagi lelaki, akan bertemu dengan perempuan yang lebih
jelita, yang bentuk tubuhnya lebih menggiurkan, lebih bersopan-santun,
lebih berbudi-bahasa, lebih beragama dan lebih dari segala segi. Tetapi,
satu perkara yang perlu kita ingati. Bersediakah wanita ini berkorban lebih
dari apa yang isteri kita pernah korbankan sehingga ke hari ini?

Saya sering katakan kepada anak saya. "Naqibah, jadilah seperti ibu. Ayah
bangga berkahwin dengan ibumu. Ibumulah yang terbaik untuk ayah." Anak saya
mungkin masih kecil dan masih belum faham apa yang saya katakan. Tapi
insyaAllah saya akan ulangkan berterusan. Supaya satu hari nanti, apabila
hati saya ini terniat untuk mengkhianati kasih sayang kami, anak itu akan
mengulangkan apa yang pernah saya lafazkan ini.

Kerukunan rumah tangga itu antaranya terletak kepada sifat saling
menghargai. Hargailah pasangan sendiri dan insyaAllah, pasangan kita juga
akan menghargai kita. Bukan saya hendak mengajar kerana saya sendiri masih
terlalu mentah di alam rumah tangga. Apa yang saya coretkan di sini adalah
sebagai peringatan buat diri saya sendiri. Supaya kita boleh saling
ingat-mengingati.

Mungkin ada yang berkata, aku telah banyak berkorban untuk pasangan aku
tetapi tidak ada yang pernah dihargainya. Saya tidak boleh komen tentang
itu. Manusia diciptakan dalam pelbagai bentuk dan sifat. Saya tidak kata
kesemua manusia itu pasti bersifat mulia. Tidak Allah ciptakan neraka itu
untuk dibiarkan kosong. Pasti ada penghuninya. Tetapi yang penting,
berusaha dan bertawakkal kepada Allah…

Sesungguhnya, Allah telah mencurahkan kasih sayangNya terhadap kita lebih
dari pasangan kita. Namun kita masih juga gagal menghargai kasih dariNya.
Masih ingkar terhadap suruhanNya. Maka apabila pasangan kita gagal
menghargai apa yang kita lakukan terhadapnya, wajarkah kita menyalahkan
dia? Sedangkan kita sendiri pada dasarnya, gagal menghargai kasih yang
lebih besar dan lebih hebat nilainya…..

28 March 2007

Jihad Putera UMNO

Dalam Buletin Utama siaran Khamis 22hb Mac yang lalu, ada disiarkan berita
mengenai kumpulan penerjun payung Putera UMNO yang akan terjun di Kutub
Utara tidak berapa lama lagi. Dalam siaran tersebut, ada ulasan dari bekas
imam Masjid Negara, Mohd. Pirdaus yang menyatakan bahawa penerjunan
tersebut adalah satu jihad dengan alasan, semua perbuatan menaikkan nama
Islam adalah satu jihad.

Saya jadi tersentak. "Ugh… UMNO sudah terdesak hendak dapatkan sokongan
rakyat," bisik hati saya. Seperti biasa, saya suka mendapatkan pandangan
orang yang saya kira lebih arif sebelum menulis. Ini kerana, saya tidak
mahu tulisan saya nanti dipengaruhi oleh sentimen politik kepartian.
Biarpun sudah nyata saya di pihak mana, namun biarlah tulisan saya tidak
bias. Kerana itu, selalunya apa yang saya tulis ketika isunya sudah mulai
'sejuk'.

Cerita ini, cerita tentang 'keberanian' Putera UMNO ini memang sudah lama
tersebar. Dan seperti mana kebiasaan, apa sahaja yang dilakukan oleh pihak
parti pemerintah akan dilihat sebagai mulia dan bijak. Namun saya tidak
mahu komen tentang ini. Dan tentang penerjunan ini, walaupun disifatkan
sebagai membazir oleh sesetengah pihak, bagi saya tidak menjadi masalah
selagi ianya tidak menggunakan dana rakyat.

Tetapi tindakan melabelkan perbuatan ini sebagai satu jihad saya lihat
sebagai melampau. Mungkin tujuannya untuk menaikkan semangat peserta dan
'memuliakan' tindakan Putera UMNO tetapi sebenarnya ianya menjatuhkan
kemuliaan Jihad itu sendiri. Ia sebenarnya menghina Jihad. Menjadikan Jihad
itu sebagai satu aktiviti biasa, seperti Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) dan Kursus Biro Tatanegara (BTN).

Manakan tidak, cuba lihat para peserta yang bakal membuat penerjunan.
Dengan rambut yang berwarna, terutama di bahagian jambul yang termasuk
dalam anggota wajib wudhu, bolehkah orang seperti ini dilabelkan sebagai
mujahid? Mujahid UMNO, mungkin. Tetapi Mujahid Islam adalah jauh panggang
dari api. Takkanlah hanya kerana kuliah agama yang diadakan pada setiap
malam maka aktiviti ini sudah boleh dianggap Islamik?

Sekali lagi, saya tidak menentang program ini. Mungkin ada baiknya Putera
UMNO memancing mereka yang pernah terlibat dalam aktiviti sia-sia menyertai
program ini. Sekurang-kurangnya ada juga yang boleh mereka lakukan. Hanya
saya terkilan dengan kenyataan bekas Imam Masjid negara. Mengapa
memartabatkan mereka sehingga sebegitu rupa? Apa yang mulia sangat terjun
di kutub utara itu?

Jika penerjunan itu dianggap satu jihad, satu kerja mulia, bagaimana pula
dengan aktiviti keagamaan yang lain? Bagaimana dengan menuntu ilmu? Setahu
saya, inilah aktiviti yang disebut sebagai satu jihad. Malahan, jika
seorang penuntut meninggal dunia ketika sedang menuntut ilmu atau dalam
perjalanan ke arah itu, maka dia dikatakan mati syahid. Tetapi, apa yang
UMNO lakukan kepada mereka?

Sekolah Agama Rakyat dipaksa tutup. Bantuan dihentikan. Malah sekolah ini
dilabel sebagai sekolah pengganas. Apakah menuntut ilmu agama lebih hina
dari terjun payung di kutub utara? Baiklah, bagaimana dengan menuntut ilmu
di sekolah-sekolah kerajaan? Para pelajar dinafikan hak mendapat bantuan
dengan penamatan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Apakah menuntut ilmu ini
juga tidak semulia perbuatan penerjunan Putera UMNO?

Bagaimana pula dengan pergerakan yang lain yang sibuk berusaha
memartabatkan Islam dengan pelbagai cara dan bentuk? Bagaimana dengan
kumpulan dakwah Jemaah Tabligh yang sering dihalang dalam tugas menyampai
mereka? Bukan setakat dikenakan bayaran apabila iktiqaf di masjid-masjid,
bahkan di sesetengah surau milik UMNO, jemaah ini dilarang terus untuk
mengunjunginya.

Apakah tugas menyampaikan ini juga tidak cukup mulia untuk diisytiharkan
sebagai Jihad? Dan, bagaimana pula dengan kedudukan satu parti politik yang
cuba meletakkan Islam sebagai sistem pentadbiran di Malaysia, yang cuba
mengamalkan Hukum Hudud yang telah diwajibkan. Mereka ini dituduh dengan
pelbagai tuduhan palsu sedangkan, inila kerja memartabatkan Islam yang
sebenarnya.

Bukan membuat penerjunan di Kutub Utara. Baiklah, setelah terjunan dibuat,
apa kesannya kepada agama? Berapa ramai orang kafir yang dijangka akan
memeluk agama Islam? Berapa ramai perbuatan mungkar dapat dihalang dan
perbuatan ma'ruf dapat diamalkan? Berapa ramai orang yang akan menyertai
jemaah di masjid hanya kerana penerjunan ini? Lalu, dari segi apa hendak ia
dikatakan satu jihad?

Jihad mestilah mengundang kebaikan kepada umat Islam secara umumnya.
Seperti perperangan yang akan membuat orang kafir tunduk kepada Islam. Juga
seperti menuntut ilmu. Tidak kiralah ilmu dunia atau ilmu agama asalkan
dengan ilmu itu, kemaslahatan masyarakat sejagat terpelihara contohnya
seperti menjadi doktor atau mekanik. Di sini, barulah boleh dilihat
kemuliaan satu-satu perbuatan.

Saya betul-betul kecewa dengan kenyataan tersebut. Sesungguhnya Islam telah
direndahkan martabatnya oleh sesetengah orang yang berkepentingan duniawi
walaupun berpengetahuan mengenai Islam. Mujurlah saya kenal Pirdaus.
Seorang yang sanggup melepaskan jawatan imamnya kerana yakin dapat
menewaskan Datin Seri Dr. Wan Azizah di parlimen Permatang Pauh dengan
alasan kerja sebagai ahli parlimen lebih mulia dari kerja sebagai imam…

Hairan juga. Dahulu ada segerombolan anak muda dari negara kita yang
berusaha memasuki Iraq dan Palestin untuk menyertai mujahid di sana
menentang keganasan tentera Amerika dan Zionis tetapi telah dihalang oleh
parti pemerintah dengan alasan, ianya bukan satu jihad dan masuk ke negara
yang sedang kucar-kacir akibat perperangan adalah membunuh diri. Rupanya,
takrifan mereka mengenai jihad adalah berbeza.

Mereka juga mengatakan pengebom berani mati yang mengebom sebuah disko di
Bali sebagai pengganas kerana membunuh nyawa yang tidak berdosa (Hm… Minum
arak, bergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram masih tidak
berdosa rupanya) dan membunuh diri rupanya kerana mereka menganggap jihad
adalah membuat apa sahaja perkara yang telah dilakukan oleh orang kafir
sebelum ini. Patutlah…

Saya sendiri tidak menyokong tindakan pengebom berani mati kerana bagi saya
kudrat si pengebom masih boleh digunakan untuk tugas mulia yang lain.
Tetapi untuk mengatakan mereka sebagai pengganas dan membunuh diri, bukan
saya orangnya. Apatah lagi untuk mengangkat kerja yang tidak mendatangkan
faedah kepada masyarakat ini sebagai jihad… Er… Berapa ramai memeluk Islam
selepas pelayaran Datuk Azhar Mansur dahulu ya???

P/S: Maaf jika ada yang terasa. Saya kira Malaysia sebuah negara Demokrasi…
Bukan?

22 March 2007

Siapa Setinggan?

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang tindakan merobohkan rumah setinggan di Kampung Beremban, Selangor. Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang mengutuk tindakan yang dikatakan kejam itu, malah tidak kurang juga yang menyokong. Kesemuanya berdasarkan hujjah dan pandangan masing-masing. Juga berdasarkan sokongan terhadap parti pemerintah atau parti pembangkang.

Bagi sesetengah orang, mereka berkata tindakan penduduk setinggan yang enggan berpindah setelah diberikan notis dan rumah gantian sebagai melampau. Lagipun, tanah itu dikatakan tanah kerajaan dan mereka (para setinggan) adalah penceroboh. Manakala bagi mereka yang mungkin pernah tinggal di kawasan setinggan dan memahami permasalahan yang mereka alami pula berkata sebaliknya.

Saya sendiri di ketika ini tinggal di sebuah rumah setinggan. Pada asalnya keluarga kami hidup di dalam kemiskinan menyebabkan ayah bertindak membeli rumah ini dari rakannya memandangkan hanya rumah sebegini yang kami mampu. Kini sudah 26 tahun kami menetap di sini. Bukan tidak mahu berpindah. Malah saya sebenarnya sudahpun membeli sebuah rumah hanya ia masih belum siap sepenuhnya.

Tetapi ada yang lebih dari itu. Kejiranan yang kami miliki pada ketika ini. Tinggal di rumah setinggan, keadaannya sungguh berbeza dengan tinggal di taman perumahan. Walaupun kejiranan kami di tengah-tengah bandar, suasana kampung masih wujud di sini walaupun hanya saki baki. Namun hakikat tetap hakikat. Tanah ini bukan milik kami dan kami tetap akan terpaksa meninggalkannya apabila tiba masa diusir nanti.

Tetapi ada warga tua yang benci dengan perkataan ‘tanah milik kerajaan’ ini. Kata mereka, bumi ini milik Allah. Jika diikutkan, kerajaan sendiri tidak berhak apa-apa kerana ‘tidak pernah membayar apa-apa’ kepada Allah sebagai tanda memilikinya. Saya tidak mahu komen tentang ini. Bagi saya, kata-kata itu hanya dipengaruhi emosi. Namun, apa yang mereka dakwakan bukanlah silap sepenuhnya…

Apa sebenarnya yang dikatakan setinggan? Saya tidak punya masa untuk ke perpustakaan untuk merujuk maknanya di dalam Kamus Dewan kerana tidak memilikinya sendiri. Tetapi berdasarkan apa yang saya fahami, setinggan adalah mereka yang mendirikan rumah atau bangunan di kawasan milik kerajaan atau individu atau syarikat tertentu tanpa izin dan tanpa sebarang bayaran.

Kemudian kita kutip semula kata-kata warga tua di tempat saya. Bumi ini milik Allah dan kita semua tinggal di bumi ini atas belas dan ihsan dariNya. Sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui, Allah telah menetapkan garis panduan tertentu yang perlu kita ikuti ketika ‘mendirikan kehidupan’ di dunia ini. Dan garis panduan ini terdapat di dalam kitab suci al-Quran dan juga sunnah rasulNya, Muhammad saw.

Tetapi jika kita teliti kehidupan kita hari ini, apakah sebenarnya kita menjalankan kehidupan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan olehNya? Dari segi hukum privat seperti solat, puasa dan sebagainya sehinggalah kepada perihal pentadbiran sebuah kerajaan. Apakah yang kita amalkan ini berdasarkan apa yang telah diturunkan olehNya kepada kita ataupun sekadar sesuka hati kita sendiri?

Saya pasti ramai yang akan bersetuju jika saya katakan kita dirikan kehidupan di atas muka bumi ini adalah berdasarkan apa yang kita suka tanpa mengira atau mungkin sedikitpun tidak mengambil tahu apa sebenarnya yang Allah mahukan dari kita sebenarnya. Terlalu ramai yang ingkar terhadap arahanNya. Apatah lagi undang-undang Allah (Hudud). Telah kita letakkan di bawah telapak kaki kita.

Jika kita ambil kira perkara ini, maka sebenarnya kita tidak ada bezanya dengan setinggan yang dihina kerana dikatakan menceroboh hak orang lain. Kerana kita juga menceroboh hak Allah. Kita abaikan perintahNya dan buat apa yang dilarangNya. Dengan setiap kemungkaran yang telah dilakukan, apakah kita tidak rasa bahawa kita juga telah menceroboh bumi Allah ini dengan memperlakukannya sesuka hati kita?

Ada yang memberikan contoh. Katanya, bayangkan kita miliki sebuah tanah dan kemudian ada orang yang menceroboh dan mendirikan bangunan di atasnya. Sehingga suatu masa, apabila kita hendak mendirikan bangunan di atas tanah milik kita itu, si penceroboh enggan berpindah. Lalu jika kita robohkan bangunan milik si penceroboh, bolehkah kita didakwa sebagai zalim? Sebenarnya ini adalah satu contoh yang baik.

Saya applikasikan contoh ini kepada bumi Allah. Mungkin bezanya kita tinggal di bumi ini bukan sebagai penceroboh kerana Allah telahpun memberikan keizinan dengan menghantar Adam as, manusia pertama dan pasangannya Hawa diikuti beberapa ayat al-Quran yang menghalalkan ‘kependudukan’ kita. Namun dari satu segi, apabila Allah mahu mendirikan agamaNya di bumi ini dan kita enggan, apakah kita tidak kelihatan serupa?

Maka jika Allah turunkan bala bencana, musnahkan kehidupan dengan gempa bumi, ribut taufan malah tsunami dan pelbagai bencana alam yang lain, apakah tindakan Allah itu zalim? Tentu sekali tidak. Kerana tujuan dan maksud asal dunia dan seluruh kehidupan di dalamnya diciptakan sudah tidak dicapai. Tentulah, kerana hendak mendirikan ‘bangunan yang halal’, ‘bangunan yang haram’ perlulah dihancurkan terlebih dahulu.

Jadi sebenarnya, siapakah yang setinggan? Dengan suasana hari ini, salahkah kalau saya katakan kita semua adalah setinggan? Setinggan di bumi Allah. Setinggan bukan kerana menceroboh bumi Allah tetapi setinggan kerana dengan sifat dan sikap kita hari ini, kita telah menghalang Allah mentadbirkan bumi ini sebagai mana yang telah ditetapkan olehNya. Setinggan kerana menceroboh hak Allah di bumi milikNya.

Saya jadi tertawa. Manakan tidak, para pemerintah yang telah secara terang-terangan membenci dan menghina para setinggan rupanya juga sang setinggan. Mereka yang dengan jelas mengatakan setinggan memburukkan keindahan Malaysia juga sebenarnya telah secara terang dan nyata memburukkan nama Islam. Rupanya, tindakan mereka membenci setinggan seumpama membenci diri mereka sendiri.

Saya tidak kata para setinggan tidak boleh diusik. Segala perkara yang bukan hak perlu dikembalikan kepada haknya. Namun begitu juga Agama Allah. Sudah terang dan jelas bumi ini milik Allah dan Allah berhak ke atasnya. Maka mengembalikan hak Allah adalah satu kewajipan. Mendirikan Agama Allah di atas muka bumi adalah satu kemestian. Jika tidak, kitalah sebenarnya yang setinggan. Kitalah sebenarnya yang menceroboh…

20 March 2007

Teladan

Rindu rasanya hendak menulis di blog ini. Maklumlah, seminggu yang lepas saya menghabiskan masa di rumah mertua saya di Tanjung Karang kerana perkahwinan kakak ipar saya, pertunangan adik ipar berserta majlis aqiqah anak kedua saya, Nurul Nazhurah Izzati. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Sederhana tetapi meriah, di majlis itu dapat saya rasakan diterima oleh orang kampung. Perhubungan dengan warga emas di sana kian akrab.

Saya berangkat dari Johor Bahru pada hari Khamis. Di siang harinya, saya habiskan masa dengan mencuci kereta. Ketika sedang asyik menggilap kereta saya, tiba-tiba saya terdengar suara orang yang berbual dengan kuat. Oh… Abang Ramli, getus hati saya. Ketika itu, ada seorang jiran saya yang lain yang menegurnya, seorang yang cacat penglihatan, kerana memakai topi keledar walaupun hanya berjalan kaki. Memang agak kelakar juga sebenarnya.

Seketika kemudian, ketika Abang Ramli melewati perkarangan rumah saya, saya menegurnya. “Brother Ramli…!” dan disambut dengan mesra olehnya. “Han. Orang tegur saya sebab pakai helmet walaupun berjalan kaki. Saya peduli apa. Bukan kita buat benda salah pun, kan?” ceritanya dengan ramah. Memang Abang Ramli cukup cam suara orang di sekelilingnya walaupun dia tidak dapat melihat wajah mereka.

Saya meneliti topi keledar yang terikat di kepalanya. Terdapat satu lampu keselamatan berwarna merah di atasnya. “Kalau kita dah tak boleh nampak orang, biarlah orang nampak kita, kan? Kalau macam ni pun orang tak nampak juga, langgar juga, tak tahulah nak cakap apa” sambungnya lagi sambil ketawa. Saya juga turut tertawa mendengar jawapannya kerana faham benar, Abang Ramli memang orang yang sangat mementingkan keselamatan dirinya.

“Kalau orang naik motor tak nak pakai, biar orang jalan kaki je yang pakai. Itu hari lagi sedap, ada sarjan polis tu bagi saya RM10. Kata polis tu, ‘Saya tabik awak. Ini satu tamparan buat mat-mat motor…’” ceritanya lagi. Saya terus tersenyum. Terasa juga di hati saya. Maklumlah, ada masanya saya jarang menggunakan topi keledar jika menunggang motor untuk ke tempat yang dekat seperti ke masjid, misalnya.

Selesai perbualan kami, Abang Ramli meminta diri lalu pulang ke rumahnya yang terletak selang beberapa buah rumah dengan saya. Saya harus segera menyiapkan kerja saya. Kerana saya akan mengambil isteri saya pula dari sekolah sebentar lagi. Tambahan hari pula sudah mula kelihatan ‘murung’. Alhamdulillah, segalanya selesai sebagaimana yang saya rancang dan harapkan. Petang itu, selepas Zuhur saya menuju ke sekolah tempat isteri saya mengajar.

Ketika saya hendak keluar rumah, Naqibah sudah bangkit dari tidur. Dan sudah memang menjadi ‘tabiatnya’ merengek untuk ikut setiap kali melihat saya memegang kunci kereta. Kerana hanya sekadar untuk menjemput isteri saya, rasanya tidak menjadi masalah untuk membawanya bersama. Jadi Naqibah saya dudukkan di kerusi penumpang di bahagian hadapan. Gembiranya bukan kepalang kerana dapat berjalan.

Walaupun saya cukup jarang mengenakan topi keledar, tetapi memakai tali pinggang keledar ketika memandu memang jarang saya abaikan. Sebaik enjin dihidupkan, saya segera melilitkan tali pinggang keledar di tubuh saya. Dan seketika selepas memulakan perjalanan Naqibah mula merengek meminta sesuatu. “Ayah… nak akai. Nak akai…” katanya berulang kali. Rupanya dia sedang memegang tali pinggang keledar di tempat duduk sebelah.

“Nak pakai?” tanya saya. Naqibah menganggukkan kepalanya. Lalu segera menyarungkan tali pinggang keledar di tubuhnya. Dia tersenyum puas. “Ayah… akai. Qibah… akai…” ulangnya beberapa kali. Saya tersenyum. Telatah anak kecil. Mungkin Naqibah tidak pasti apa tujuan tali pinggang keledar tetapi oleh kerana dia sering melihat kami memakainya, menjadikan dia juga turut ingin ‘mencuba’ ketika menaiki kereta.

Semua ini membuatkan saya terfikir. Tentang apa yang Abang Ramli dan Naqibah lakukan. Perbuatan Abang Ramli yang memakai topi keledar walaupun berjalan kaki dikatakan tamparan buat penunggang motor oleh seorang pegawai polis. Dan perbuatan Naqibah merengek meminta dipakaikan tali pinggang keledar ketika menaiki kereta menunjukkan bahawa mendidik melalui teladan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Tetapi sebenarnya ini bukan berkaitan soal keselamatan di jalan raya semata-mata. Ianya lebih dari itu. Perihal mendidik masyarakat melalui teladan sememangnya sesuatu yang diiktirafnya kejayaannya di dalam Islam. Malah, jika kita selusuri hadits-hadits Nabi saw, banyak yang menunjukkan bahawa kaedah inilah yang berkesan dalam menjalankan dakwah. Sama ada untuk mengIslamkan orang kafir atau mengislahkan orang Islam.

Nabi Muhammad saw diiktiraf sebagai makhluk yang paling baik akhlaqnya. Malahan, Baginda digelar sebagai al-Amin, iaitu seorang yang amat dipercayai. Sifat Baginda yang sentiasa jujur, ikhlas, bersopan dan pelbagai akhlaq mulia yang lain telah berjaya menarik bukan sedikit orang kafir untuk mempercayai apa yang telah didakwahkan oleh Baginda saw. Malah, sifat inilah yang menjadi ikutan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Ada banyak peristiwa menyentuh hati yang telah Baginda saw lakukan. Antara yang paling saya ingat ialah peristiwa Baginda yang menyuapkan makanan ke mulut seorang tua yang tidak henti-henti mencelanya. Baginda tidak sedikitpun marah, bahkan teruskan menyuapnya sehinggalah suatu ketika si tua bertanya siapakah Baginda. Sebaik memperkenalkan diri, menangislah orang tua tersebut lantas menyatakan persaksiannya ke atas kenabian Baginda.

Juga peristiwa di mana Baginda saw diludah setiap kali melalui perkarang rumah seorang musyrik. Sehinggalah suatu hari, apabila Baginda melalui perkarangan rumah tersebut dan tidak diludah, maka Beginda berasa hairan lalu menziarah orang yang meludah Baginda saw di rumahnya. Sifat Baginda yang mengambil berat tentangnya melebihi kaum musyrikin lainlah yang mendorong dia untuk memeluk agama Islam.

Sayang sekali, dengan sebegitu banyak contoh dan teladan yang telah ditunjukkan oleh Baginda saw ketika hayatnya, tidak ramai di kalangan kita yang mampu mengambil pengajaran daripadanya. Bahkan apa yang kita lakukan hari ini menjadi bertentangan dengan apa yang diajar dan ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah saw satu ketika dahulu. Dengan kesemua keburukan yang ada, bagaimanakah dakwah kita akan meninggalkan kesan agaknya?

Bukan setakat terhadap orang kafir, bukan setakat kepada masyarakat, tetapi terhadap keluarga kita sendiri. Jika diri kita sendiri gagal memberatkan solat, bagaimanakah kita hendak melarang anak-anak kita meringankan solah mereka? Jika kita sendiri tidak mementingkan soal halal dan haram rezeki, anak-anak kita bagaimana pula agaknya nanti? Oleh kerana dakwah itu adalah melalui teladan, maka begitulah pentingnya kita mengIslahkan diri sendiri.

08 March 2007

Hari Wanita

Pagi tadi, sewaktu pulang dari menghantar isteri saya ke sekolah, saya hidupkan radio kereta yang dibiarkan mati dalam perjalanan pergi. Pada awalnya saya bercadang untuk mendengar IKIM.fm kerana sukakan ‘Santapan Rohani’nya. Tetapi sebaik dihidupkan, sudah terdengar bacaan Doa Pagi oleh Munif Ahmad menandakan segmen tersebut sudah berlalu. Namun saya masih terus mendengar dan bersangka baik ianya masih belum tamat.

Tetapi seketika kemudian, yang kedengaran hanyalah iklan-iklan. Bosan, lalu saya menukar siaran ke radion Era. Pagi-pagi buta begini, dengar orang mengarut seronok juga agaknya. Maklumlah, ketika di laut saya jarang dengar radio. Begitu juga jika di rumah. Hanya kerana pagi ini saya menghantar isteri ke sekolah dan membawa pulang kereta, kononnya hendak dicuci kerana malam ini kami akan pulang ke kampung, barulah saya dengar radio.

Topik yang diutarakan pagi ini agak menarik juga. Kerja lelaki yang dilakukan oleh wanita. Ini bersempena dengan sambutan Hari Wanita. Sempat juga saya dengar cerita dua orang pemanggil. Seorang wanita yang dia sendiri bekerja sebagai pemandu lori. Manakala seorang lagi lelaki yang ‘kagum’ dengan seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar surat atau despatch. Menarik juga.

Hari Wanita? Bila ya? Saya tidak perasanlah. Siapalah agaknya yang punya idea sebegini. Hm… agaknya ada berapa banyak jenis hari di dalam dunia ini selain hari Isnin hingga Ahad ya? Hari Ibu, Hari Buruh, Hari Kanak-kanak, Hari AIDS dan macam-macam hari lagi. Mengapa agaknya tidak ada Hari Lelaki? Fikir-fikir sebentar, saya tersenyum. Mungkin kerana lelaki begitu perasan bahawa merekalah kaum yang dominan…

Jujur, saya tidak pernah menyambut hari-hari yang disebutkan tadi. Baik Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan berbagai hari lain yang wujud, saya tidak rasakan ianya penting untuk saya. Mengapa? Bukan kerana insan-insan yang diraikan ini tidak penting, tetapi bagi saya, menghargai mereka untuk satu hari dalam setahun tetapi kemudian mensia-siakan mereka untuk 364 hari yang berikutnya, bukanlah sesuatu yang boleh dipanggil mulia.

Hidup saya dikelilingi oleh wanita-wanita yang cukup istimewa. Ibu yang sedia berkorban apa saja demi saya semenjak dalam kandungan, isteri yang tidak pernah henti bersabar menghadapi kerenah lelaki bergelar suaminya ini, kakak-kakak yang pernah menjadikan hidup ini dipenuhi makna dan ramai lagi termasuklah dua orang anak saya yang kedua-duanya perempuan. Maka sebenarnya, saya punyai banyak sebab untuk menyambut Hari Wanita ini.

Tetapi saya enggan menyambutnya. Bukan kerana enggan mengiktiraf wanita dan sumbangan mereka, tetapi saya menganggap pengorbanan wanita, bukan sahaja terhadap keluarganya bahkan terhadap dunia secara amnya, terlalu besar sehinggakan tidak berbaloi untuk disambut dalam sehari sahaja. Sebenarnya, hari wanita adalah setiap hari. Kerana pada setiap harilah, dari mula bangkir dari tidur lagi, wanita memulakan pengorbanan mereka untuk yang dikasihi.

Tentu kita masih ingat seorang wanita yang sangat Nabi Muhammad saw kasihi iaitu Saidatina Khadijah, isteri pertama Baginda saw. Tentu kita juga masih ingat bagaimana beliau telah menenangkan Nabi saw yang ketakutan setelah turun wahyu yang pertama yang dibawa oleh Jibrail? Bukan itu sahaja, Khadijah, wanita kaya di Mekah telah mengorbankan kekayaan demi menyokong tugas kerasulan suaminya.

Kita juga biasa dikisahkan dengan isteri-isteri para sohabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi agama yang kita anut ini. Mereka bukan sahaja sanggup ditinggalkan, bahkan dengan rela hidup dalam kemiskinan, mengorbankan harta yang mereka miliki dan dengan rela membiarkan anak mereka syahid dalam menegakkan agama Allah. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga adalah asbab hidayah bagi kita semua.

Itu isteri-isteri di kalangan sohabat. Bagaimana dengan sekeliling kita? Pengorbanan seorang ibu yang sanggup menggadaikan nyawa demi membolehkan kita menghirup udara dunia? Padahal mereka tahu, melahirkan anak itu sakit dan membahayakan nyawa mereka. Bagaimana dengan isteri kita yang mengorbankan kebahagiaan dan kebebasan mereka semata-mata untuk membuat kita bahagia?

Maka kerana itulah Allah telah memuliakan wanita. Kerana wanitalah yang melahirkan penyembah-penyambah Allah. Wanita juga;ah yang menyuapkan makanan ke mulut-mulut pejuang agama Allah. Dalam kata yang lebih mudah, wanita adalah sumber kekuatan dunia. Maka kerana itulah Nabi saw mengatakan bahawa wanitalah yang paling mudah untuk masuk ke syurga. Malah mereka akan masuk 500 tahun lebih awal dari lelaki.

Baru-baru ini seorang teman saya berkata (dalam nada mengejek) bahawa perempuan mempunyai satu aqal dan sembilan nafsu berbanding lelaki yang berakal sembilan manakala nafsunya hanya satu. Lalu saya menjawab, sembilan aqal membuktikan bahawa lelaki tidak sempurna. Kerana kesempurnaan adalah sepuluh (perfect ten). Maka keranalah itulah lelaki memerlukan satu aqal dari wanita untuk membolehkan mereka berfikir dengan sempurna…

Pepatah Arab ada menyebut, wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kaki untuk diinjak dan bukan dari kepala untuk memijak. Dekat dengan lengan untuk dilindungi dan dekat dengan hati untuk dicintai. Dan begitulah selayaknya. Seorang lelaki yang gagal menghormati wanita adalah seorang lelaki yang paling lemah. Kerana lelaki yang gagal mentadbir egonya tidak akan mungkin dapat mentadbir dunia.

Dengan segala pengorbanan telah mereka lakukan, saya tidak percaya perlu wujud satu hari khusus untuk meraikan insan-insan mulia yang terlalu banyak pengorbanannya untuk dunia. Setiap hari adalah Hari Wanita. Setiap harilah wanita mesti diraikan. Setiap harilah sepatutnya ibu-ibu dimuliakan. Dan setiap hari jugalah isteri-isteri sepatutnya dibelai. Hargai cinta dan kasih sayang mereka nescaya mereka akan menyerahkan dunia mereka kepada kita.

Baru-baru ini, seorang jiran saya (selang sebuah rumah) telah kehilangan seorang dari ahli keluarga mereka. Allahyarhamah Kak Bedah telah meninggal dunia Rabu lepas, 28 Februari 2007 bersamaan 10 Safar 1428H (ketika saya masih di laut). Sewaktu sampai tempoh hari saya terus ke rumah teman saya dan bertanya tentang kakaknya. Menurutnya Kak Bedah telah meninggal dunia selepas melahirkan anak ketiganya melalui pembedahan.

“Senang sangat”, katanya. “Sebaik selepas pembedahan, Allahyrahamah enggan menaiki kerusi roda yang disediakan. Sebaik berjalan lebih kurang dua tapak, Allahyarhamah terus rebah dan menghembuskan nafas terakhirnya seketika kemudian”. Begitulah pengorbanan seorang isteri untuk melahirkan anak suaminya. Pengorbanan seorang wanita. Semoga Allah mencucuri rahmah ke atas roh Allahyarhamah dan meletakkannya di tempat orang-orang yang solehah. Al-Fathihah…

05 March 2007

Kekuasaan Allah Dan Hakikat Sains

Semalam saya mengirimkan posting saya yang berjudul 'Manusia Dan Kulit
Buku' di grups yang saya sertai. Seperti biasa, saya tidak begitu kisah
dengan sambutan orang terhadap penulisan saya. Kerana bagi saya, setiap
yang saya tulis adalah nasihat untuk diri saya sendiri. Terpulanglah kepada
orang lain untuk mengambil apa yang mereka rasakan baik dan menolak apa
yang mereka rasakan buruk.

Adalah tidak menjadi kebiasaan saya untuk membalas kritikan yang
dilemparkan terhadap saya. Kerana bagi saya, saya perlu bersikap terbuka.
Membalas setiap kritikan yang diterima, terutamanya yang negatif, bererti
saya menutup ruang untuk memperbaiki diri. Ia juga bakal menyerlahkan
betapa tidak rasionalnya saya dalam menghadapi corak permikiran manusia
yang sentiasa berbeza-beza.

Dan kebetulan, posting saya semalam tidak mendapat apa-apa respon kecuali
satu, dari seseorang yang sebelum ini pernah saya ulas penulisannya di
dalam grup. Saya tidak menyalahkan dia kerana mengkritik, bahkan tidak juga
terasa dengan kritikannya. Namun tujuan saya menulis artikel ini hanya
untuk bercerita sedikit apa yang saya rasakan, perasaan yang timbul setelah
membaca apa ulasannya, bukan untuk membela diri.

Semenjak kecil, sememangnya saya amat menggemari bidang ilmu Sejarah. Malah
ketika di sekolah, buku teks matapelajaran Sejarah habis saya baca beberapa
kali seperti membaca novel. Namun dalam kesemua yang pernah saya baca
(sedikit sahaja jumlahnya sebenarnya), yang paling menarik dan melekat di
hati saya adalah sejarah berkenaan Rasulullah saw dan para sohabatnya,
sebelum dan selepas Hijrah.

Saya tahu, ramai yang sering menyebut kegemilangan Islam di zaman Umar
Abdul Aziz, atau zaman Salahuddin al-Ayyubi, atau ketika pemerintahan
empayar Uthmaniah (yang dipanggil Ottoman oleh 'orang putih'). Atau
setidak-tidaknya, kita cukup berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai
oleh Ibn Sinna, Ibn Bathutta, al-Khawarizmi dan lain-lain. Dan kita selalu
mengulang ayat bahawa merekalah pelopor sains yang sebenarnya.

Saya sedikitpun tidak menafikan hakikat itu. Bahkan saya juga amat-amat
mengkagumi mereka. Namun jauh di sudut hati saya, saya percaya tidak ada
sejarah pun di dalam dunia ini yang mampu menyaingi kehebatan zaman
kenabian Muhammad saw. Kisah Baginda saw sedari kecil, sehingga menerima
wahyu yang pertama, ketika penghijrahan, pembentukan Piagam Madinah,
pembukaan Kota Makkah sehinggalah kewafatan Baginda saw.

Diiringi oleh para sohabat yang mulia, yang redha Allah ke atas mereka dan
mereka juga meredhai Allah, juga penentangan oleh kaum musyrikin, ahlil
kitab serta munafiqin, menjadikan sejarah yang dicorak begitu berharga dan
istimewa. Tambah pula, inilah zamannya manusia begitu hampir kepada
Penciptanya. Dan inilah juga zamannya manusia dikhabar tentang kedudukan
mereka di dalam syurga ketika masih lagi bernyawa.

Walaupun hampir keseluruhan sohabat ini orang yang miskin, yang pada mata
kita hari ini sebagai 'orang-orang yang gagal dalam hidup', namun terdapat
banyak kelebihan pada diri mereka, melebihi kelebihan pelopor-pelopor ilmu
sains dan matematik yang disebutkan sebentar tadi. Manakan tidak,
sebahagian besar nash yang kita gunapakai hari ini dipetik dari perbualan
mereka dengan Nabi saw dan juga perbuatan yang mereka lakukan.

Dan di zaman inilah, banyak nushrah (pertolongan) Allah yang turun. Nushrah
yang kadangkala kita sukar percaya menggunakan aqal waras kita. Contohnya,
mukjizat Nabi saw di mana air telah keluar dari celahan jari Baginda ketika
musim kemarau. Dan ketika satu ghizwah di mana mereka menyaksikan bagaimana
anggota badan tentera kafirun bercerai dari tubuh sebelum pedang mereka
(tentera Islam) dihayunkan.

Banyak lagi sebenarnya keistimewaan sohabat Rasulullah saw yang cukup
menyayat hati dan perasaan apabila membaca. Dibandingkan dengan perpecahan
yang berlaku selepas zaman ini, tuduh menuduh dan kafir mengkafir serta
permusuhan antara mazhab (sedangkan pengasas mazhab-mazhab ini tidak
bermusuhan antara satu sama lain) menyebabkan saya kurang memberi perhatian
terhadap mereka (namun tidak pernah membenci mereka).

Saya tidak memerlukan hakikat sains untuk mempercayai kenabian Rasulullah
saw dan kekuasaan Allah swt. Kerana bagi saya, apa sahaja yang termaktub di
dalam al-Quran dan yang Nabi saw sabdakan adalah benar. Sama ada
dipersetujui oleh sains atau tidak, tidak menjadi hal. Bimbang keliru jika
Allah memesongkan hati orang yang mengkaji sehingga mendapati ianya
bertentangan dengan apa yang dipercayai, mana yang akan saya ikuti.

Seperti contohnya mencolek gigi selepas makan. Telah Nabi saw tegaskan
bahawa ianya perbuatan yang baik kerana mencegah mulut dari berbau. Tetapi
kemudian ada saintis Islam yang mengatakan mencolek atau mencungkil gigi
salah dan menyebabkan gigi renggang dan rosak. Sebaiknya digunakan benang.
Maka terjadilah peristiwa kita 'mengubah sunnah' sesuka hati dan mendakwa
'zaman Nabi saw mana ada Dental Floss'...

Saya tidak pedulikan logik aqal. Jika hendak diturut, apakah yang logik di
dalam dunia ini? Apakah yang logiknya di dalam teori persenyawaan sel
sperma dan ovum dalam menghasilkan seorang manusia sebesar saya pada hari
ini? Sukar untuk mencari kenyataannya. Namun Nabi saw telah menyatakan
ianya sebegitu, apakah hanya setelah dibuktikan secara saintifik barulah
kita hendak percaya kebenaran sabdaan Baginda saw?

Allah mentadbir alam ini dengan berbagai-bagai cara. Allah boleh menjadikan
sesuatu itu dengan asbab (bersebab), tanpa asbab atau bertentangan dengan
asbab. Allah telah menciptakan kesemua manusia dengan asbab 'penyatuan' ibu
dan bapa mereka. Tetapi Allah telah mencipta Isa as tanpa bapa, tanpa asbab
yang kita percaya sebagai puncanya. Malah Adam as dicipta tanpa siapa-siapa
sebelumnya.

Begitu juga duit. Boleh dikatakan kesemua manusia hari ini percaya duit
adalah asbab kebahagiaan. Tetapi Allah telah membuktikan, duit telah
menjadikan manusia menderita. Duitlah juga menjadi punca ramai orang kaya
tidak tidur lena. Ini telah bertentangan dengan apa yang kita percaya.
Tetapi Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tidak ada kuasa. Jadi untuk apa
kita sibuk mempertikaikannya.

Namun saya tidak melarang orang yang berminat mahu mengkaji bidang ilmu
sains. Saya bukan anti ilmu sains. Bahkan saya sendiri bekas penuntut
maktab rendah sains dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.
Namun untuk menggunakan sains untuk menjadikan saya beriman kepada Allah
adalah perkara yang amat memalukan. Dan, orang yang meminati sains pasti
mengetahui, tidak ada yang muktamad dalam bidang ini.

Mengapa? Kerana semuanya terjadi atas taqdir Illahi. Allah tidak memerlukan
teori yang kita kaji untuk menciptakan satu-satu kejadian. Allah hanya
perlu katakan jadi, maka jadilah. Begitulah kuasa Allah. Maka kerana itu
saya katakan, hakikat sains tidak akan cukup untuk membuktikan kuasa Allah.
Sains memang baik dan berguna untuk kebaikan masyarakat. Tetapi mempercayai
kuasa Allah adalah lebih utama dari yang lainnya...

04 March 2007

Manusia Dan Kulit Buku

Antara kedai kegemaran yang saya akan singgah apabila berkunjung ke pusat
membeli belah adalah kedai buku. Entah mengapa, semenjak di bangku sekolah
rendah lagi memang itulah tempat kegemaran saya. Jika tidak melihat buku
pun, saya akan menelek alat-alat tulis yang banyak terjual di situ. Bukan
setiap kali saya berkunjung saya pasti akan membeli buku. Ia bergantung
juga kepada keadaan. Keadaan buku dan keadaan poket saya sendiri :)

Biasanya buku yang menjadi pilihan saya adalah buku-buku agama terutama
kisah-kisah sighah para anbiyak dan para sohabat. Rasanya, membaca kisah
dan pengorbanan mereka lebih menarik dari novel cinta yang banyak terdapat
di pasaran. Tetapi adakalanya, saya beli juga buku ilmiah lain. Bergantung
kepada siapa penulisnya. Pada kebiasaan, saya akan membaca sinopsisnya
dahulu, kemudian biodata penulisnya (jika tidak saya kenali).

Jika sinopsis dan biodata penulisnya memuaskan hati, barulah saya akan
selak secara rawak bagi memerhatikan gaya bahasa yang digunakan. Jika buku
itu hasil terjemahan, akan saya periksa dahulu corak penterjemahannya. Ada
juga terdapat terjemahan yang menyakitkan kepala dan hati apabila
membacanya. Kemudian, jika puas hati segalanya, barulah saya membayar, jika
harganya berpatutan.

Langsung saya tidak peduli dengan corak kulit bukunya. Tidak penting sama
sekali. Kerana bukan semua orang mempunyai keupayaan untuk mencorak kulit
buku. Adakalanya corak buku yang 'memberahikan' sebenarnya diisi dengan
kisah cinta yang kosong. Dan adakalanya juga, kulit bukunya hanya gambar
kartun atau gambar-gambar yang lesu tetapi isi kandungannya cukup menyentuh
perasaan.

Mungkin benar juga pendapat orang bahawa sebuah buku itu tidak patut
dinilai berdasarkan kulitnya. Buku berkulit cantik tidak menjanjikan bahan
yang menarik dan begitulah sebaliknya. Rasanya saya amat bersetuju dengan
pendapat sebegitu. Tetapi... Apabila ada orang yang cuba mengaitkan pepatah
itu dengan manusia, dengan mengatakan bahawa orang yang berperwatakan baik
belum tentu baik, rasanya susah untuk saya mengiyakannya.

Pertamanya, manusia bukan seperti buku. Jikalau manusia itu seperti buku,
alangkah mudahnya. Mana-mana bahagian yang tidak kita gemari, tentu sahaja
boleh kita langkaukan kalau pun tidak disiatkan terus. Dan keduanya,
sebagai individu muslim, bukankah kita diajarkan betapa pentingnya
penampilan kita sebagai muslim. Kita diajarkan untuk menutup aurah, yang
mampu membezakan mukmin dengan yang kufur.

Selain itu sebagai lelaki, kita juga dididik oleh Rasulullah untuk
mengikuti sunnahnya. Bukan setakat bergamis dan berserban, yang selalu kita
tolak atas alasan budaya dan pekerjaan, bahkan kita ditekankan untuk
memelihara janggut dan menipiskan misai. Pentingnya perkara yang sering
dianggap remeh ini sehinggakan Nabi saw membuat perbandingan dengan kaum
kafirun iaitu Yahudi dan Nasrani.

Namun benar, sedikitpun saya tidak dapat menafikan betapa ada juga antara
individu yang menutup aurah (terutamanya perempuan yang jelas kelihatan
dengan tudungnya) yang bersifat lebih buruk dari individu yang tidak
menutup aurah. Dan ada juga saya terbaca kisah perempuan yang ternoda
akibat terpedaya dengan perwatakan teman lelakinya yang dipercayai seorang
yang menjaga solahnya.

Mungkin kisah ini disanjung sebagai kisah benar. Tetapi sebaliknya, inilah
kempen untuk memburukkan Islam. Inilah kempen untuk menafikan firman Allah
yang antara maksudnya sesungguhnya solah itu mampu menghindarkan kita dari
melakukan perbuatan yang keji dan mungkar. Dan kisah yang terpencil ini
akan digunakan dan diperbesarkan oleh mereka yang sentiasa mencari sebab
untuk menyokong perbuatan mereka menentang hukum Allah.

Sebenarnya, jika membicarakan tentang mereka yang zahirnya tampak baik,
tetapi dalamannya lebih busuk dari bangkai, banyak faktor lain yang perlu
kita perhatikan. Antara faktor yang terpenting adalah niat individu
terbabit. Kerana Nabi saw pernah berkata, setiap amalan itu akan dikira
berdasarkan niatnya. Jadi, sebelum menghukum secara umum, lebih baik kita
tanyakan individu terbabit perihal niat mereka berbuat amalan itu.

Contohnya memakai tudung. Dewasa ini, memakai tudung sudah tidak ubah
sebagai fesyen semata-mata. Ada yang memakai tudung tetapi mempamerkan
lengan, telinga dan leher mereka. Jadi untuk menghukum orang yang memakai
tudung itu 'mempunyai kulit buku yang baik' tetap salah kerana mereka
sebenarnya hanya bertudung tetapi masih mendedahkan aurah. Dari segi
manakah boleh mereka ini dikatakan berperwatakan baik?

Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang menunaikan solah tetapi tetap
terjerumus ke dalam lembah kehinaan? Mengapakah solah yang didirikan itu
tidak mampu menghindarkan diri mereka dari melakukan dosa? Untuk menjawab
soalan sebegini, kita tanyakan semula, solah yang bagaimanakah yang
dikatakan boleh menghindarkan di pelakukan dari melakukan perbuatan yang
keji dan mungkar?

Jawabnya, solah yang sempurna. Yang khusuk dan khuduk. Yang didirikan pada
awal waktu secara berjemaah di masjid disertai dengan wudhu yang sempurna.
Jika seseorang itu tidak pernah meninggalkan solah tetapi sentiasa
dilakukan pada waktu-waktu kecemasan sahaja, apakah itu boleh dikatakan
solah yang sempurna? Jika solah itu dilakukan bagai melepas batuk di
tangga, apakah yang boleh diharapkan daripada solahnya?

Dan lagi, syaitan amat suka menggoda mereka yang cuba mendekatkan diri
kepada Penciptanya. Lebih suka daripada menggoda mereka yang jauh dariNya.
Maka tidak hairanlah jika individu-individu sebegini, yang cuba menjadi
baik tetapi masih kurang iman dan ilmu, lebih mudah terjerumus ke lembah
maksiat. Dan sebenarnya, yang paling bersalah adalah syaitan atau individu
lain yang menggodanya bermaksiat.

Contohnya, kisah perempuan yang mendakwa 'terpedaya' dengan watak baik
teman lelakinya. Ataupun kisah perempuan bertudung labuh yang ditangkap
melakukan seks oral. Orang mencemuh mereka sedangkan, pasangannya
dikasihani kononnya terpedaya. Manakala di lelaki yang dapat menggoda si
gadis bertudung labuh pula disanjung sebagai gentleman dan macho. Dapatkah
kita mengislahkan masyarakat dengan pandangan sebegini?

Tidak dinafikan ada yang berperwatakan baik tetap melakukan dosa. Kita
semua manusia dan bukan maksum. Tetapi ini bukan alasan untuk memasang syak
wasangka kepada mereka dan menyanjung mereka yang lebih 'terbuka'.
Hakikatnya, menentang hukum Allah tetap satu dosa. Mendedahkan aurah itu
satu dosa yang nyata. Ada terlalu banyak hadits yang menceritakan siksaan
untuk mereka yang mendedahkan aurah di neraka kelak.

Begitu juga untuk mereka yang meninggalkan solah. Sebaik mana sekalipun,
meninggalkan solah tetap satu dosa yang besar. Bahkan, lebih malang lagi,
kesemua amalan baik mereka tidak dikira kerana tidak menunaikan solah. Maka
di hari akhirat kelak, sia-sialah kebaikan yang mereka lakukan kerana tidak
tercatat dalam buku amalan mereka. Dan di pandangan Allah, merekalah
orang-orang yang ingkar...

Perempuan bertudung belum tentu lebih baik dari yang tidak bertudung.
Tetapi perempuan yang tidak menutup aurahnya sudah jelas keburukannya
kerana secara terang dan nyata menentang hukum yang ditetapkan oleh Yang
Maha Kuasa. Benar Allah melihat hati kita, bukan penampilan kita. Akan
tetapi, mahukah kita menyayangi seseorang yang secara terang dan nyata
tidak menghormati bahkan menentang segala keputusan kita?

03 March 2007

Difahami Dan Memahami

Adat bekerja... Kadangkala memang terjadi pertelingkahan antara pekerja
dengan ketua. Saya juga tidak berkecuali. Tetapi, ianya tidaklah seserius
mana. Hanya perbezaan pendapat berkenaan kerja dan suasana kerja. Dan ini
bukan pertama kali. Sudah berkali-kali. Selalunya apabila terdapat
perbezaan antara kami, saya akan memberitahunya secara jujur apa yang saya
rasakan dengan keputusan yang dibuatnya.

Namun, sebagai pekerja, tidak banyak yang boleh diharapkan. Dan juga tidak
punyai kuasa untuk memaksa ketua kita mengikut kehendak kita. Berilah
seberapa banyak alasan yang kita mahukan, bagi seorang ketua yang tegas,
bulat katanya, maka bulatlah ia. Paling tidak, dia akan berkata dengan nada
separuh mengeluh betapa sukarnya orang hendak memahami rasional atas setiap
keputusannya.

Ya, mungkin benar. Mungkin kami 'golongan bawahan' ini tidak memahami
rasional yang dia miliki. Tetapi bagaimana pula dengan kami? Apakah dia
pernah berusaha untuk memahami rasional penentangan kami? Semua ini bermain
di benak saya semenjak pagi tadi. Lalu atas asbab ini, Allah kurniakan saya
ilham untuk menulis lagi. Posting yang separuh jalan saya tulis pagi tadi
saya biarkan dahulu di sisi...

Perkara ini sebenarnya bukanlah perkara asing dalam hidup kita. Biar dalam
apa situasi sekalipun, perasaan ingin difahami sentiasa kuat di dalam jiwa
kita. "Aku anak muda! Jiwa aku penuh dengan semangat kebebasan! Mengapa
sukar sangat orang tua aku memahami aku?" bentak seorang anak muda. Begitu
juga seorang suami atau isteri yang sering meronta mengharap pasangannya
memahaminya.

Soalnya, kita terlalu sibuk mengharapkan orang lain memahami kita, apakah
pernah kita cuba untuk memahami orang lain? Entah. Sukar untuk dikatakan.
Ada kalanya kita rasa kita sudah cukup memahami seseorang itu. Tetapi pada
hakikat, kita hanya memahaminya tidak sampai 10 peratus dari apa yang
sepatutnya. Dalam keadaan ini, apakah adil untuk kita menyalahkan mereka
yang tidak memahami kita?

Memahami dan difahami adalah ibarat satu proses jual dan beli. Katakan kita
membeli kereta pada harga RM20,000. Tetapi kemudian hanya diberi sebuah
kereta bernilai RM10,000. Apa perasaan kita? Tentu tidak puas hati. Kerana
ketika menyerahkan wang, kita mengharapkan sebuah kereta yang berpadanan
dengan nilai ringgit kita. Begitu juga yang berlaku kepada orang lain
sekiranya kita bertindak sebagai penjual pula.

Begitu juga dalam hal kenaikan tol, minyak dan harga barangan lain. Apa
perasaan kita apabila kita mendengar alasan kerajaan bahawa rakyat perlu
memahami beban yang kerajaan tanggung jika barangan tersebut tidak
dinaikkan harga. Maka setentunya kita berang kerana kerajaan enggan
memahami beban yang kita tanggung akibat kenaikan yang berlaku. Di sinilah
masalahnya. Mahu difahami tanpa ingin memahami.

Sayangnya, orang yang sama, yang berang apabila tidak dafahami, enggan pula
cuba memahami orang lain. Bukankah ianya sesuatu yang janggal? Siapakah di
dalam dunia ini yang sanggup setiap masa cuba memahami diri orang lain
sedangkan kepentingan dan kehendak hidupnya sendiri terabai dan terbiar
tanpa perhatian? Tidak ada orang yang sanggup selamanya begitu.

Tiba-tiba saya teringat sedikit masa dahulu, ada orang yang menghantar
email kepada saya. Dia bertanya, mengapakah orang yang tempat tinggalnya di
negara yang beriklim panas membahang turut dipaksa menutup aurah. Tidakkah
Allah memahami bahawa penyiksaan yang ditanggung oleh wanita yang berjubah
dan bertudung labuh di tengah matahari yang terik? Bukankah Allah Maha
Mengetahui?

Saya jadi takut membaca soalan sebegini. Takut, kerana soalan ini
menggambarkan betapa rapuhnya iman manusia hari ini (termasuk saya). Saya
tidak mampu menjawab soalan itu. Saya serahkan kepada Allah. Hanya yang
boleh saya katakan kepadanya, Allah janjikan syurga yang penuh nyaman untuk
mereka yang patuh kepadaNya. Dan terik di dunia ini terlalu sejuk jika
dibandingkan dengan kepanasan neraka Allah...

Sebenarnya ini juga satu contoh untuk kisah ini. Adakalanya kita terlalu
sedih dengan kejadian yang menimpa kita. Kadangkala kita sering merasakan
diri kita dirundung malang. Apa sahaja yang kita lakukan, selalunya tidak
menjadi. Apakah itu maknanya Allah tidak memahami doa kita? Apakah itu
ertinya Allah tidak memahami kehendak kita? Apakah Allah tidak faham apa
yang terbaik untuk kita?

Cuba hari ini kita tanyakan kepada diri kita sendiri. Apakah kita memahami
tindakan Allah? Apakah kita faham dengan ketentuanNya? Dan yang lebih
penting, apakah kita faham kebaikan dan keburukan atas sesuatu perkara yang
kita doakan? Sebenarnya, kita tidak pernah memahami apa yang Allah
rancangkan. Kerana tahap pemikiran kita yang jauh berada di bawahNya.

Lalu, untuk apa menyesali takdir? Untuk apa merasa kesal dengan apa yang
berlaku? Apakah kita yakin kita mempunyai akal yang mampu menyaingi Allah?
Astaghfirullah... Tidak. Sedangkan Qalam Allah, al-Quran itu sendiri
mempunyai ribuan ayat yang tidak tercapai dek akal akal kita untuk
memahaminya, bagaimana pula untuk kita fahami perancangan yang dibuat oleh
Pemilik Qalam tersebut?

Saya selalu teringat kata-kata mantan presiden sebuah kelab yang saya
sertai ketika di universiti dahulu. Hormat adalah sesuatu yang saya perlu
dapatkan, bukan pinta, katanya. Dan hari ini, saya berpendapat, difahami
juga adalah sesuatu yang perlu saya dapatkan, bukan pinta. Saya tidak boleh
meminta orang lain memahami saya. Tetapi saya perlu lakukan banyak perkara
agar diri ini boleh difahami.

Langkah pertama yang perlu diambil, saya haruslah memahami orang lain
dahulu. Belajar menerima pendapat orang lain. Belajar menerima teguran
secara positif. InsyaAllah, jika saya banyak membuka ruang untuk memahami
diri dan pemikiran orang lain, ruang diri ini untuk difahami juga akan
terbuka dengan sendirinya. Orang yang mahu difahami tanpa cuba memahami
adalah orang yang zalim.

Seorang pekerja perlu memahami kehendak majikan dan ketuanya. Namun seorang
ketua juga perlu dan mesti memahami perasaan pekerjanya. Pembentukan
suasana faham dan memahami ini begitu penting. Bukan setakat dalam memacu
produktiviti, bahkan juga dalam agenda berdakwah. Memahami pemikiran orang
lain insyaAllah akan mempermudahkan orang itu menerima apa yang ingin kita
sampaikan.....

01 March 2007

Suasana

Ada beberapa perkara yang saya banggakan dengan Masjid Jamek Kampung Melayu
di Johor Bahru. Bukan kerana ianya besar dan semakin membesar serta
kerja-kerja memperindahkannya yang sedang giat dijalankan tetapi atas
beberapa perkara lain. Antaranya ialah imam yang menitik beratkan soal
melurus dan merapatkan shaf serta menghidupkan masjid dengan banyak
aktiviti tanpa perlu mengundang ustaz dari luar.

Selain dari itu, bilangan jemaah yang semakin bertambah juga membuatkan
saya berasa semakin gembira berjemaah di sana. Hanya, apabila bertambahnya
bilangan jemaah, maka masalah tempat meletak kereta akan mula kelihatan.
Kerana, selain dari jemaah yang menyambut seruan muazzin, ada juga 'jemaah
kedai makan' di seberang jalan dan 'jemaah pasar malam' turut meletakkan
kereta di situ.

Namun ianya bukanlah masalah yang besar mana. Kerana tempat meletak kereta
di masjid ini agak luas. Hanya, mungkin terpaksa berjalan jauh sedikit
sebelum tiba di pintu hadapan masjid. Yang menjadi masalah sebenarnya ialah
sikap sesetengah jemaah yang enggan meletakkan kereta sebagaimana
sepatutnya. Tidak kiralah jemaah masjid atau 'jemaah kedai makan',
masalahnya kereta diletakkan sesuka hati.

Hendak dikatakan tidak faham dengan papan tanda yang tertulis "Sila
Letakkan Kenderaan Anda Dalam Kotak Yang Disediakan' pun tidak boleh juga
kerana majoriti penduduk Kampung Melayu adalah orang Melayu. Hendak
dikatakan buta huruf lagilah tidak boleh kerana jikalau buta huruf,
bagaimana pula mereka boleh lulus ujian bertulis 'L' ketika mengambil lesen
memandu? Bukan?

Pada suatu ketika, ketika tiba di masjid, saya lihat sebuah kereta yang
diletakkan 'di atas' garisan yang memisahkan dua tempat letak kereta. Di
sebelah kereta ini adalah ruang kosong dan dalam jarak dua kotak, terdapat
sebuah kereta lain. Ketika saya tiba, saya segera meletakkan kereta di
sebelah kereta yang pertama tadi. Bagaimana? Dalam keadaan yang sama.
Kereta saya di atas garisan yang memisahkan dua kotak letak kereta.

Saya berasa agak tidak selesa begitu kerana saya telah menggunakan ruang
yang sepatutnya, jika kereta kami diletakkan dengan betul, akan membolehkan
sebuah lagi kereta diletakkan. "Ah… Bukan salah aku. Salah kereta sebelah
ni…" bisik hati saya. Tetapi kemudian saya jadi terfikir. Jika beginilah
caranya saya bertindak, maka tidak perlu hairan mengapa kemungkaran
berleluasa di dalam dunia hari ini.

Saya sengaja meletakkan kereta tidak mengikut kotaknya kerana saya
berpendapat, kereta di sebelah yang mula berbuat begitu. Tindakan saya yang
'meredhakan' kesalahannya adalah satu kesilapan yang agak besar. Baiklah,
saya boleh beralasan saya tidak kenal siapa pemandunya. Tetapi yang
menjadikan masalah ini lebih besar ialah sikap saya yang turut berbuat
kesalahan yang sama dan kemudiannya menggunakan alasan 'terpaksa'.

Cuba kita letakkan contoh ini dalam kehidupan seharian kita. Sebagaimana
seorang yang memohon lesen untuk berniaga yang mahukan kelulusan segera
lesennya. Dia segera 'menjolok' orang yang menguruskan lesennya demi
menunaikan harapannya. Disebabkan itu, dia telah melangkaui beberapa
permohonan yang terlebih dahulu darinya. Apa yang terjadi kepada orang yang
dilangkaunya? Sakit hati? Sudah pasti.

Jalan mudah, dia juga turut menyogok untuk mempercepatkan kelulusan
permohonannya. Dan beginilah seterusnya sehingga akhirnya perbuatan
menyogok menjadi resam kita. Inilah yang saya maksudkan. Kerana sakit hati
hak kita diambil oleh orang lain secara biadap, maka kita bertindak
mengambil pula hak orang lain, juga secara biadap. Dengan perbuatan yang
sebegini, bilakah agaknya kesongsangan ini akan terhenti?

Sebenarnya, kita sudah terlalu banyak bertoleransi dengan kemungkaran yang
terjadi di sekitar kita dengan alasan, sudah terpaksa atau ianya sudah
menjadi kebiasaan dalam hidup kita. Tetapi, apabila diungkitkan tentang
sesuatu gejala yang besar, kita mula membebel menyalahkan orang lain
sedangkan hakikat sebenar, kita yang meninggalkan dakwah dan sibuk
berkompromi dengan maksiat, langsung tidak kita peduli.

Hari ini, apabila kejadian gejala seperti 'Mat Rempit', persetubuhan luar
nikah atau berzina, murtad dan yang lain-lainnya berlaku sebenarnya salah
siapa? Benar, pihak berwajib memang memegang saham terbesar kerana
mengenepikan pendidikan Islam tetapi apakah kita boleh berlepas tangan?
Sama sekali tidak. Setiap dari kita juga perlu merasa bersalah atas
kesongsangan ini. Kerana kegagalan kita membentuk suasana.

Iman masyarakat kita hari ini adalah iman suasana. Perbuatan zina tidak
berlaku di khalayak hanya kerana suasana kita yang menolak perbuatan itu.
Namun jika suatu masa nanti, kita sudah boleh menerima perbuatan ini dan
berzina adalah 'suasana yang direstui', tentunya melihat pasangan muda
'bertenggek' di kebun-kebun bunga bukan lagi sesuatu yang mengkengkilkan
biji mata kita.

Pentingnya menimbulkan suasan yang positif, berakhlak dan beriman di dalam
masyarakat kita sebenarnya sama pentingnya dengan minum air selepas makan.
Kita masih boleh hidup tetapi mungkin akan terbegik dan silap haribulan,
boleh mati mengejut. Jika kita gagal menimbulkan suasana sebegini, maka
janganlah bermimpi kita akan memperolehi sebuah masyarakat madani yang kaya
dengan iman dan amal.

Saya selalu terfikir. Orang di barat begitu terkenal dengan nude beach
mereka. Tanpa segan silu, semua pengunjung di situ akan berbogel seolah
ianya bukanlah perkara yang memalukan. Tetapi, orang yang sama, jika dibawa
ke tengah-tengah pusat membeli-belah yang ramai pengunjungnya, kemudain
dikoyakkan bajunya sehingga terlihat colinya, pasti akan menjerit dan
berusaha menutup dadanya.

Mengapa? Bukankah dia sudah biasa berbogel di tepi pantai? Mudah sahaja
jawapannya. Kerana suasana. Disebabkan di tepi pantai itu kesemua yang
datang berbogel, maka tidak timbul rasa malu di kalangan mereka. Malah
mungkin yang tidak berbogel yang akan jadi malu. Tetapi, di tempat yang
semua orang berpakaian, tentu sahaja berbogel, walaupun masih ditutupi
pakaian dalam, menjadi sesuatu yang amat memalukan.

Itulah hakikat suasana. Usaha gerakan Tabligh sebenarnya cuba membentuk
suasana sebegini. Suasana ke masjid, suasana menuntut ilmu, suasana beramal
dan banyak suasana-suasana lain yang diketahui diamalkan oleh para sahabat
Rasulullah saw dahulu. Sayangnya usaha yang baik ini sering ditentang oleh
bukan sahaja orang awam, bahkan AJK masjid dan surau kerana risaukan bil
air dan elektrik mereka yang akan meningkat.

Ada juga pengerusi yang tanpa segan silu meminta ahli jemaah membayar
sekian banyak bayaran demi maksud terbabit. Semuanya kerana suasana hari
ini yang begitu mementingkan duit sehinggakan ianya lebih dipentingkan
daripada usaha untuk keluar pada jalan Allah. Dan jikalau suasana sebegini
berterusan dan tidak dikekang, tidak mustahil suatu hari nanti untuk
bersolat di dalam masjid juga akan dikenakan bayaran.

Terlalu banyak suasana kerosakan yang terbentuk dalam kehidupan kita hari
ini. Sehinggakan anak menonton konsert pun kita anggapkan biasa kerana
ianya bersesuaian dengan jiwa remaja mereka. Mungkin ramai yang lupa. Jika
suasana iman tidak dapat dibentuk, malah ditentang pembentukannya, mungkin
kita sebenarnya sedang mengundang azab Allah. Sebenarnya, kita sedang
mempercepatkan qiamah…

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.