03 March 2007

Difahami Dan Memahami

Adat bekerja... Kadangkala memang terjadi pertelingkahan antara pekerja
dengan ketua. Saya juga tidak berkecuali. Tetapi, ianya tidaklah seserius
mana. Hanya perbezaan pendapat berkenaan kerja dan suasana kerja. Dan ini
bukan pertama kali. Sudah berkali-kali. Selalunya apabila terdapat
perbezaan antara kami, saya akan memberitahunya secara jujur apa yang saya
rasakan dengan keputusan yang dibuatnya.

Namun, sebagai pekerja, tidak banyak yang boleh diharapkan. Dan juga tidak
punyai kuasa untuk memaksa ketua kita mengikut kehendak kita. Berilah
seberapa banyak alasan yang kita mahukan, bagi seorang ketua yang tegas,
bulat katanya, maka bulatlah ia. Paling tidak, dia akan berkata dengan nada
separuh mengeluh betapa sukarnya orang hendak memahami rasional atas setiap
keputusannya.

Ya, mungkin benar. Mungkin kami 'golongan bawahan' ini tidak memahami
rasional yang dia miliki. Tetapi bagaimana pula dengan kami? Apakah dia
pernah berusaha untuk memahami rasional penentangan kami? Semua ini bermain
di benak saya semenjak pagi tadi. Lalu atas asbab ini, Allah kurniakan saya
ilham untuk menulis lagi. Posting yang separuh jalan saya tulis pagi tadi
saya biarkan dahulu di sisi...

Perkara ini sebenarnya bukanlah perkara asing dalam hidup kita. Biar dalam
apa situasi sekalipun, perasaan ingin difahami sentiasa kuat di dalam jiwa
kita. "Aku anak muda! Jiwa aku penuh dengan semangat kebebasan! Mengapa
sukar sangat orang tua aku memahami aku?" bentak seorang anak muda. Begitu
juga seorang suami atau isteri yang sering meronta mengharap pasangannya
memahaminya.

Soalnya, kita terlalu sibuk mengharapkan orang lain memahami kita, apakah
pernah kita cuba untuk memahami orang lain? Entah. Sukar untuk dikatakan.
Ada kalanya kita rasa kita sudah cukup memahami seseorang itu. Tetapi pada
hakikat, kita hanya memahaminya tidak sampai 10 peratus dari apa yang
sepatutnya. Dalam keadaan ini, apakah adil untuk kita menyalahkan mereka
yang tidak memahami kita?

Memahami dan difahami adalah ibarat satu proses jual dan beli. Katakan kita
membeli kereta pada harga RM20,000. Tetapi kemudian hanya diberi sebuah
kereta bernilai RM10,000. Apa perasaan kita? Tentu tidak puas hati. Kerana
ketika menyerahkan wang, kita mengharapkan sebuah kereta yang berpadanan
dengan nilai ringgit kita. Begitu juga yang berlaku kepada orang lain
sekiranya kita bertindak sebagai penjual pula.

Begitu juga dalam hal kenaikan tol, minyak dan harga barangan lain. Apa
perasaan kita apabila kita mendengar alasan kerajaan bahawa rakyat perlu
memahami beban yang kerajaan tanggung jika barangan tersebut tidak
dinaikkan harga. Maka setentunya kita berang kerana kerajaan enggan
memahami beban yang kita tanggung akibat kenaikan yang berlaku. Di sinilah
masalahnya. Mahu difahami tanpa ingin memahami.

Sayangnya, orang yang sama, yang berang apabila tidak dafahami, enggan pula
cuba memahami orang lain. Bukankah ianya sesuatu yang janggal? Siapakah di
dalam dunia ini yang sanggup setiap masa cuba memahami diri orang lain
sedangkan kepentingan dan kehendak hidupnya sendiri terabai dan terbiar
tanpa perhatian? Tidak ada orang yang sanggup selamanya begitu.

Tiba-tiba saya teringat sedikit masa dahulu, ada orang yang menghantar
email kepada saya. Dia bertanya, mengapakah orang yang tempat tinggalnya di
negara yang beriklim panas membahang turut dipaksa menutup aurah. Tidakkah
Allah memahami bahawa penyiksaan yang ditanggung oleh wanita yang berjubah
dan bertudung labuh di tengah matahari yang terik? Bukankah Allah Maha
Mengetahui?

Saya jadi takut membaca soalan sebegini. Takut, kerana soalan ini
menggambarkan betapa rapuhnya iman manusia hari ini (termasuk saya). Saya
tidak mampu menjawab soalan itu. Saya serahkan kepada Allah. Hanya yang
boleh saya katakan kepadanya, Allah janjikan syurga yang penuh nyaman untuk
mereka yang patuh kepadaNya. Dan terik di dunia ini terlalu sejuk jika
dibandingkan dengan kepanasan neraka Allah...

Sebenarnya ini juga satu contoh untuk kisah ini. Adakalanya kita terlalu
sedih dengan kejadian yang menimpa kita. Kadangkala kita sering merasakan
diri kita dirundung malang. Apa sahaja yang kita lakukan, selalunya tidak
menjadi. Apakah itu maknanya Allah tidak memahami doa kita? Apakah itu
ertinya Allah tidak memahami kehendak kita? Apakah Allah tidak faham apa
yang terbaik untuk kita?

Cuba hari ini kita tanyakan kepada diri kita sendiri. Apakah kita memahami
tindakan Allah? Apakah kita faham dengan ketentuanNya? Dan yang lebih
penting, apakah kita faham kebaikan dan keburukan atas sesuatu perkara yang
kita doakan? Sebenarnya, kita tidak pernah memahami apa yang Allah
rancangkan. Kerana tahap pemikiran kita yang jauh berada di bawahNya.

Lalu, untuk apa menyesali takdir? Untuk apa merasa kesal dengan apa yang
berlaku? Apakah kita yakin kita mempunyai akal yang mampu menyaingi Allah?
Astaghfirullah... Tidak. Sedangkan Qalam Allah, al-Quran itu sendiri
mempunyai ribuan ayat yang tidak tercapai dek akal akal kita untuk
memahaminya, bagaimana pula untuk kita fahami perancangan yang dibuat oleh
Pemilik Qalam tersebut?

Saya selalu teringat kata-kata mantan presiden sebuah kelab yang saya
sertai ketika di universiti dahulu. Hormat adalah sesuatu yang saya perlu
dapatkan, bukan pinta, katanya. Dan hari ini, saya berpendapat, difahami
juga adalah sesuatu yang perlu saya dapatkan, bukan pinta. Saya tidak boleh
meminta orang lain memahami saya. Tetapi saya perlu lakukan banyak perkara
agar diri ini boleh difahami.

Langkah pertama yang perlu diambil, saya haruslah memahami orang lain
dahulu. Belajar menerima pendapat orang lain. Belajar menerima teguran
secara positif. InsyaAllah, jika saya banyak membuka ruang untuk memahami
diri dan pemikiran orang lain, ruang diri ini untuk difahami juga akan
terbuka dengan sendirinya. Orang yang mahu difahami tanpa cuba memahami
adalah orang yang zalim.

Seorang pekerja perlu memahami kehendak majikan dan ketuanya. Namun seorang
ketua juga perlu dan mesti memahami perasaan pekerjanya. Pembentukan
suasana faham dan memahami ini begitu penting. Bukan setakat dalam memacu
produktiviti, bahkan juga dalam agenda berdakwah. Memahami pemikiran orang
lain insyaAllah akan mempermudahkan orang itu menerima apa yang ingin kita
sampaikan.....

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.