05 March 2007

Kekuasaan Allah Dan Hakikat Sains

Semalam saya mengirimkan posting saya yang berjudul 'Manusia Dan Kulit
Buku' di grups yang saya sertai. Seperti biasa, saya tidak begitu kisah
dengan sambutan orang terhadap penulisan saya. Kerana bagi saya, setiap
yang saya tulis adalah nasihat untuk diri saya sendiri. Terpulanglah kepada
orang lain untuk mengambil apa yang mereka rasakan baik dan menolak apa
yang mereka rasakan buruk.

Adalah tidak menjadi kebiasaan saya untuk membalas kritikan yang
dilemparkan terhadap saya. Kerana bagi saya, saya perlu bersikap terbuka.
Membalas setiap kritikan yang diterima, terutamanya yang negatif, bererti
saya menutup ruang untuk memperbaiki diri. Ia juga bakal menyerlahkan
betapa tidak rasionalnya saya dalam menghadapi corak permikiran manusia
yang sentiasa berbeza-beza.

Dan kebetulan, posting saya semalam tidak mendapat apa-apa respon kecuali
satu, dari seseorang yang sebelum ini pernah saya ulas penulisannya di
dalam grup. Saya tidak menyalahkan dia kerana mengkritik, bahkan tidak juga
terasa dengan kritikannya. Namun tujuan saya menulis artikel ini hanya
untuk bercerita sedikit apa yang saya rasakan, perasaan yang timbul setelah
membaca apa ulasannya, bukan untuk membela diri.

Semenjak kecil, sememangnya saya amat menggemari bidang ilmu Sejarah. Malah
ketika di sekolah, buku teks matapelajaran Sejarah habis saya baca beberapa
kali seperti membaca novel. Namun dalam kesemua yang pernah saya baca
(sedikit sahaja jumlahnya sebenarnya), yang paling menarik dan melekat di
hati saya adalah sejarah berkenaan Rasulullah saw dan para sohabatnya,
sebelum dan selepas Hijrah.

Saya tahu, ramai yang sering menyebut kegemilangan Islam di zaman Umar
Abdul Aziz, atau zaman Salahuddin al-Ayyubi, atau ketika pemerintahan
empayar Uthmaniah (yang dipanggil Ottoman oleh 'orang putih'). Atau
setidak-tidaknya, kita cukup berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai
oleh Ibn Sinna, Ibn Bathutta, al-Khawarizmi dan lain-lain. Dan kita selalu
mengulang ayat bahawa merekalah pelopor sains yang sebenarnya.

Saya sedikitpun tidak menafikan hakikat itu. Bahkan saya juga amat-amat
mengkagumi mereka. Namun jauh di sudut hati saya, saya percaya tidak ada
sejarah pun di dalam dunia ini yang mampu menyaingi kehebatan zaman
kenabian Muhammad saw. Kisah Baginda saw sedari kecil, sehingga menerima
wahyu yang pertama, ketika penghijrahan, pembentukan Piagam Madinah,
pembukaan Kota Makkah sehinggalah kewafatan Baginda saw.

Diiringi oleh para sohabat yang mulia, yang redha Allah ke atas mereka dan
mereka juga meredhai Allah, juga penentangan oleh kaum musyrikin, ahlil
kitab serta munafiqin, menjadikan sejarah yang dicorak begitu berharga dan
istimewa. Tambah pula, inilah zamannya manusia begitu hampir kepada
Penciptanya. Dan inilah juga zamannya manusia dikhabar tentang kedudukan
mereka di dalam syurga ketika masih lagi bernyawa.

Walaupun hampir keseluruhan sohabat ini orang yang miskin, yang pada mata
kita hari ini sebagai 'orang-orang yang gagal dalam hidup', namun terdapat
banyak kelebihan pada diri mereka, melebihi kelebihan pelopor-pelopor ilmu
sains dan matematik yang disebutkan sebentar tadi. Manakan tidak,
sebahagian besar nash yang kita gunapakai hari ini dipetik dari perbualan
mereka dengan Nabi saw dan juga perbuatan yang mereka lakukan.

Dan di zaman inilah, banyak nushrah (pertolongan) Allah yang turun. Nushrah
yang kadangkala kita sukar percaya menggunakan aqal waras kita. Contohnya,
mukjizat Nabi saw di mana air telah keluar dari celahan jari Baginda ketika
musim kemarau. Dan ketika satu ghizwah di mana mereka menyaksikan bagaimana
anggota badan tentera kafirun bercerai dari tubuh sebelum pedang mereka
(tentera Islam) dihayunkan.

Banyak lagi sebenarnya keistimewaan sohabat Rasulullah saw yang cukup
menyayat hati dan perasaan apabila membaca. Dibandingkan dengan perpecahan
yang berlaku selepas zaman ini, tuduh menuduh dan kafir mengkafir serta
permusuhan antara mazhab (sedangkan pengasas mazhab-mazhab ini tidak
bermusuhan antara satu sama lain) menyebabkan saya kurang memberi perhatian
terhadap mereka (namun tidak pernah membenci mereka).

Saya tidak memerlukan hakikat sains untuk mempercayai kenabian Rasulullah
saw dan kekuasaan Allah swt. Kerana bagi saya, apa sahaja yang termaktub di
dalam al-Quran dan yang Nabi saw sabdakan adalah benar. Sama ada
dipersetujui oleh sains atau tidak, tidak menjadi hal. Bimbang keliru jika
Allah memesongkan hati orang yang mengkaji sehingga mendapati ianya
bertentangan dengan apa yang dipercayai, mana yang akan saya ikuti.

Seperti contohnya mencolek gigi selepas makan. Telah Nabi saw tegaskan
bahawa ianya perbuatan yang baik kerana mencegah mulut dari berbau. Tetapi
kemudian ada saintis Islam yang mengatakan mencolek atau mencungkil gigi
salah dan menyebabkan gigi renggang dan rosak. Sebaiknya digunakan benang.
Maka terjadilah peristiwa kita 'mengubah sunnah' sesuka hati dan mendakwa
'zaman Nabi saw mana ada Dental Floss'...

Saya tidak pedulikan logik aqal. Jika hendak diturut, apakah yang logik di
dalam dunia ini? Apakah yang logiknya di dalam teori persenyawaan sel
sperma dan ovum dalam menghasilkan seorang manusia sebesar saya pada hari
ini? Sukar untuk mencari kenyataannya. Namun Nabi saw telah menyatakan
ianya sebegitu, apakah hanya setelah dibuktikan secara saintifik barulah
kita hendak percaya kebenaran sabdaan Baginda saw?

Allah mentadbir alam ini dengan berbagai-bagai cara. Allah boleh menjadikan
sesuatu itu dengan asbab (bersebab), tanpa asbab atau bertentangan dengan
asbab. Allah telah menciptakan kesemua manusia dengan asbab 'penyatuan' ibu
dan bapa mereka. Tetapi Allah telah mencipta Isa as tanpa bapa, tanpa asbab
yang kita percaya sebagai puncanya. Malah Adam as dicipta tanpa siapa-siapa
sebelumnya.

Begitu juga duit. Boleh dikatakan kesemua manusia hari ini percaya duit
adalah asbab kebahagiaan. Tetapi Allah telah membuktikan, duit telah
menjadikan manusia menderita. Duitlah juga menjadi punca ramai orang kaya
tidak tidur lena. Ini telah bertentangan dengan apa yang kita percaya.
Tetapi Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tidak ada kuasa. Jadi untuk apa
kita sibuk mempertikaikannya.

Namun saya tidak melarang orang yang berminat mahu mengkaji bidang ilmu
sains. Saya bukan anti ilmu sains. Bahkan saya sendiri bekas penuntut
maktab rendah sains dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan.
Namun untuk menggunakan sains untuk menjadikan saya beriman kepada Allah
adalah perkara yang amat memalukan. Dan, orang yang meminati sains pasti
mengetahui, tidak ada yang muktamad dalam bidang ini.

Mengapa? Kerana semuanya terjadi atas taqdir Illahi. Allah tidak memerlukan
teori yang kita kaji untuk menciptakan satu-satu kejadian. Allah hanya
perlu katakan jadi, maka jadilah. Begitulah kuasa Allah. Maka kerana itu
saya katakan, hakikat sains tidak akan cukup untuk membuktikan kuasa Allah.
Sains memang baik dan berguna untuk kebaikan masyarakat. Tetapi mempercayai
kuasa Allah adalah lebih utama dari yang lainnya...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.