08 March 2007

Hari Wanita

Pagi tadi, sewaktu pulang dari menghantar isteri saya ke sekolah, saya hidupkan radio kereta yang dibiarkan mati dalam perjalanan pergi. Pada awalnya saya bercadang untuk mendengar IKIM.fm kerana sukakan ‘Santapan Rohani’nya. Tetapi sebaik dihidupkan, sudah terdengar bacaan Doa Pagi oleh Munif Ahmad menandakan segmen tersebut sudah berlalu. Namun saya masih terus mendengar dan bersangka baik ianya masih belum tamat.

Tetapi seketika kemudian, yang kedengaran hanyalah iklan-iklan. Bosan, lalu saya menukar siaran ke radion Era. Pagi-pagi buta begini, dengar orang mengarut seronok juga agaknya. Maklumlah, ketika di laut saya jarang dengar radio. Begitu juga jika di rumah. Hanya kerana pagi ini saya menghantar isteri ke sekolah dan membawa pulang kereta, kononnya hendak dicuci kerana malam ini kami akan pulang ke kampung, barulah saya dengar radio.

Topik yang diutarakan pagi ini agak menarik juga. Kerja lelaki yang dilakukan oleh wanita. Ini bersempena dengan sambutan Hari Wanita. Sempat juga saya dengar cerita dua orang pemanggil. Seorang wanita yang dia sendiri bekerja sebagai pemandu lori. Manakala seorang lagi lelaki yang ‘kagum’ dengan seorang wanita yang bekerja sebagai penghantar surat atau despatch. Menarik juga.

Hari Wanita? Bila ya? Saya tidak perasanlah. Siapalah agaknya yang punya idea sebegini. Hm… agaknya ada berapa banyak jenis hari di dalam dunia ini selain hari Isnin hingga Ahad ya? Hari Ibu, Hari Buruh, Hari Kanak-kanak, Hari AIDS dan macam-macam hari lagi. Mengapa agaknya tidak ada Hari Lelaki? Fikir-fikir sebentar, saya tersenyum. Mungkin kerana lelaki begitu perasan bahawa merekalah kaum yang dominan…

Jujur, saya tidak pernah menyambut hari-hari yang disebutkan tadi. Baik Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan berbagai hari lain yang wujud, saya tidak rasakan ianya penting untuk saya. Mengapa? Bukan kerana insan-insan yang diraikan ini tidak penting, tetapi bagi saya, menghargai mereka untuk satu hari dalam setahun tetapi kemudian mensia-siakan mereka untuk 364 hari yang berikutnya, bukanlah sesuatu yang boleh dipanggil mulia.

Hidup saya dikelilingi oleh wanita-wanita yang cukup istimewa. Ibu yang sedia berkorban apa saja demi saya semenjak dalam kandungan, isteri yang tidak pernah henti bersabar menghadapi kerenah lelaki bergelar suaminya ini, kakak-kakak yang pernah menjadikan hidup ini dipenuhi makna dan ramai lagi termasuklah dua orang anak saya yang kedua-duanya perempuan. Maka sebenarnya, saya punyai banyak sebab untuk menyambut Hari Wanita ini.

Tetapi saya enggan menyambutnya. Bukan kerana enggan mengiktiraf wanita dan sumbangan mereka, tetapi saya menganggap pengorbanan wanita, bukan sahaja terhadap keluarganya bahkan terhadap dunia secara amnya, terlalu besar sehinggakan tidak berbaloi untuk disambut dalam sehari sahaja. Sebenarnya, hari wanita adalah setiap hari. Kerana pada setiap harilah, dari mula bangkir dari tidur lagi, wanita memulakan pengorbanan mereka untuk yang dikasihi.

Tentu kita masih ingat seorang wanita yang sangat Nabi Muhammad saw kasihi iaitu Saidatina Khadijah, isteri pertama Baginda saw. Tentu kita juga masih ingat bagaimana beliau telah menenangkan Nabi saw yang ketakutan setelah turun wahyu yang pertama yang dibawa oleh Jibrail? Bukan itu sahaja, Khadijah, wanita kaya di Mekah telah mengorbankan kekayaan demi menyokong tugas kerasulan suaminya.

Kita juga biasa dikisahkan dengan isteri-isteri para sohabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi agama yang kita anut ini. Mereka bukan sahaja sanggup ditinggalkan, bahkan dengan rela hidup dalam kemiskinan, mengorbankan harta yang mereka miliki dan dengan rela membiarkan anak mereka syahid dalam menegakkan agama Allah. Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga adalah asbab hidayah bagi kita semua.

Itu isteri-isteri di kalangan sohabat. Bagaimana dengan sekeliling kita? Pengorbanan seorang ibu yang sanggup menggadaikan nyawa demi membolehkan kita menghirup udara dunia? Padahal mereka tahu, melahirkan anak itu sakit dan membahayakan nyawa mereka. Bagaimana dengan isteri kita yang mengorbankan kebahagiaan dan kebebasan mereka semata-mata untuk membuat kita bahagia?

Maka kerana itulah Allah telah memuliakan wanita. Kerana wanitalah yang melahirkan penyembah-penyambah Allah. Wanita juga;ah yang menyuapkan makanan ke mulut-mulut pejuang agama Allah. Dalam kata yang lebih mudah, wanita adalah sumber kekuatan dunia. Maka kerana itulah Nabi saw mengatakan bahawa wanitalah yang paling mudah untuk masuk ke syurga. Malah mereka akan masuk 500 tahun lebih awal dari lelaki.

Baru-baru ini seorang teman saya berkata (dalam nada mengejek) bahawa perempuan mempunyai satu aqal dan sembilan nafsu berbanding lelaki yang berakal sembilan manakala nafsunya hanya satu. Lalu saya menjawab, sembilan aqal membuktikan bahawa lelaki tidak sempurna. Kerana kesempurnaan adalah sepuluh (perfect ten). Maka keranalah itulah lelaki memerlukan satu aqal dari wanita untuk membolehkan mereka berfikir dengan sempurna…

Pepatah Arab ada menyebut, wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kaki untuk diinjak dan bukan dari kepala untuk memijak. Dekat dengan lengan untuk dilindungi dan dekat dengan hati untuk dicintai. Dan begitulah selayaknya. Seorang lelaki yang gagal menghormati wanita adalah seorang lelaki yang paling lemah. Kerana lelaki yang gagal mentadbir egonya tidak akan mungkin dapat mentadbir dunia.

Dengan segala pengorbanan telah mereka lakukan, saya tidak percaya perlu wujud satu hari khusus untuk meraikan insan-insan mulia yang terlalu banyak pengorbanannya untuk dunia. Setiap hari adalah Hari Wanita. Setiap harilah wanita mesti diraikan. Setiap harilah sepatutnya ibu-ibu dimuliakan. Dan setiap hari jugalah isteri-isteri sepatutnya dibelai. Hargai cinta dan kasih sayang mereka nescaya mereka akan menyerahkan dunia mereka kepada kita.

Baru-baru ini, seorang jiran saya (selang sebuah rumah) telah kehilangan seorang dari ahli keluarga mereka. Allahyarhamah Kak Bedah telah meninggal dunia Rabu lepas, 28 Februari 2007 bersamaan 10 Safar 1428H (ketika saya masih di laut). Sewaktu sampai tempoh hari saya terus ke rumah teman saya dan bertanya tentang kakaknya. Menurutnya Kak Bedah telah meninggal dunia selepas melahirkan anak ketiganya melalui pembedahan.

“Senang sangat”, katanya. “Sebaik selepas pembedahan, Allahyrahamah enggan menaiki kerusi roda yang disediakan. Sebaik berjalan lebih kurang dua tapak, Allahyarhamah terus rebah dan menghembuskan nafas terakhirnya seketika kemudian”. Begitulah pengorbanan seorang isteri untuk melahirkan anak suaminya. Pengorbanan seorang wanita. Semoga Allah mencucuri rahmah ke atas roh Allahyarhamah dan meletakkannya di tempat orang-orang yang solehah. Al-Fathihah…

3 comments:

Unknown said...

anta buat kak menangislah. kisah kak bedah tu terkesan di hati.

muslihah said...

Assalamualaikum,

Memang banyak pengorbanan wanita pada seorang yang bernama suami...tapi adakah apabila berlaku perpisahan diantara suami dan isteri, bekas suami harus melupakan segala pengorbanan bekas isteri nya selama mereka menjadi suami isteri.Wajar kah bekas suami membebankan bekas isteri dengan masaalah kewangan dan menuntut apa-apa yang bekas isteri miliki yang tak seberapa.Bukan saja hadiah perceraian tidak di beri malah perkongsian dalam syarikat pun dinafikan hak bekas isteri kerana nama bekas isteri tidak ada dalam syarikat tersebut.Walhal semasa menjadi isteri , bekas isteri sudah banyak menyumbagkan tenaga dan masa untuk syarikat.Juga bekas suami telah menggunakan name isteri untuk mencari rezeki. Tapi bila berlaku perceraian bekas suami melayannya macam pengemis.

Abu Naqibah said...

Puan Muslihah... Saya tak boleh nak komen banyak. Tapi percayalah. Baik jahat seseorang tu bukan disebabkan oleh jantina, bangsa atau tempat asalnya. Sebaliknya sebab iman dan peribadi individu itu sendiri...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.