22 March 2007

Siapa Setinggan?

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang tindakan merobohkan rumah setinggan di Kampung Beremban, Selangor. Tindakan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ada yang mengutuk tindakan yang dikatakan kejam itu, malah tidak kurang juga yang menyokong. Kesemuanya berdasarkan hujjah dan pandangan masing-masing. Juga berdasarkan sokongan terhadap parti pemerintah atau parti pembangkang.

Bagi sesetengah orang, mereka berkata tindakan penduduk setinggan yang enggan berpindah setelah diberikan notis dan rumah gantian sebagai melampau. Lagipun, tanah itu dikatakan tanah kerajaan dan mereka (para setinggan) adalah penceroboh. Manakala bagi mereka yang mungkin pernah tinggal di kawasan setinggan dan memahami permasalahan yang mereka alami pula berkata sebaliknya.

Saya sendiri di ketika ini tinggal di sebuah rumah setinggan. Pada asalnya keluarga kami hidup di dalam kemiskinan menyebabkan ayah bertindak membeli rumah ini dari rakannya memandangkan hanya rumah sebegini yang kami mampu. Kini sudah 26 tahun kami menetap di sini. Bukan tidak mahu berpindah. Malah saya sebenarnya sudahpun membeli sebuah rumah hanya ia masih belum siap sepenuhnya.

Tetapi ada yang lebih dari itu. Kejiranan yang kami miliki pada ketika ini. Tinggal di rumah setinggan, keadaannya sungguh berbeza dengan tinggal di taman perumahan. Walaupun kejiranan kami di tengah-tengah bandar, suasana kampung masih wujud di sini walaupun hanya saki baki. Namun hakikat tetap hakikat. Tanah ini bukan milik kami dan kami tetap akan terpaksa meninggalkannya apabila tiba masa diusir nanti.

Tetapi ada warga tua yang benci dengan perkataan ‘tanah milik kerajaan’ ini. Kata mereka, bumi ini milik Allah. Jika diikutkan, kerajaan sendiri tidak berhak apa-apa kerana ‘tidak pernah membayar apa-apa’ kepada Allah sebagai tanda memilikinya. Saya tidak mahu komen tentang ini. Bagi saya, kata-kata itu hanya dipengaruhi emosi. Namun, apa yang mereka dakwakan bukanlah silap sepenuhnya…

Apa sebenarnya yang dikatakan setinggan? Saya tidak punya masa untuk ke perpustakaan untuk merujuk maknanya di dalam Kamus Dewan kerana tidak memilikinya sendiri. Tetapi berdasarkan apa yang saya fahami, setinggan adalah mereka yang mendirikan rumah atau bangunan di kawasan milik kerajaan atau individu atau syarikat tertentu tanpa izin dan tanpa sebarang bayaran.

Kemudian kita kutip semula kata-kata warga tua di tempat saya. Bumi ini milik Allah dan kita semua tinggal di bumi ini atas belas dan ihsan dariNya. Sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui, Allah telah menetapkan garis panduan tertentu yang perlu kita ikuti ketika ‘mendirikan kehidupan’ di dunia ini. Dan garis panduan ini terdapat di dalam kitab suci al-Quran dan juga sunnah rasulNya, Muhammad saw.

Tetapi jika kita teliti kehidupan kita hari ini, apakah sebenarnya kita menjalankan kehidupan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan olehNya? Dari segi hukum privat seperti solat, puasa dan sebagainya sehinggalah kepada perihal pentadbiran sebuah kerajaan. Apakah yang kita amalkan ini berdasarkan apa yang telah diturunkan olehNya kepada kita ataupun sekadar sesuka hati kita sendiri?

Saya pasti ramai yang akan bersetuju jika saya katakan kita dirikan kehidupan di atas muka bumi ini adalah berdasarkan apa yang kita suka tanpa mengira atau mungkin sedikitpun tidak mengambil tahu apa sebenarnya yang Allah mahukan dari kita sebenarnya. Terlalu ramai yang ingkar terhadap arahanNya. Apatah lagi undang-undang Allah (Hudud). Telah kita letakkan di bawah telapak kaki kita.

Jika kita ambil kira perkara ini, maka sebenarnya kita tidak ada bezanya dengan setinggan yang dihina kerana dikatakan menceroboh hak orang lain. Kerana kita juga menceroboh hak Allah. Kita abaikan perintahNya dan buat apa yang dilarangNya. Dengan setiap kemungkaran yang telah dilakukan, apakah kita tidak rasa bahawa kita juga telah menceroboh bumi Allah ini dengan memperlakukannya sesuka hati kita?

Ada yang memberikan contoh. Katanya, bayangkan kita miliki sebuah tanah dan kemudian ada orang yang menceroboh dan mendirikan bangunan di atasnya. Sehingga suatu masa, apabila kita hendak mendirikan bangunan di atas tanah milik kita itu, si penceroboh enggan berpindah. Lalu jika kita robohkan bangunan milik si penceroboh, bolehkah kita didakwa sebagai zalim? Sebenarnya ini adalah satu contoh yang baik.

Saya applikasikan contoh ini kepada bumi Allah. Mungkin bezanya kita tinggal di bumi ini bukan sebagai penceroboh kerana Allah telahpun memberikan keizinan dengan menghantar Adam as, manusia pertama dan pasangannya Hawa diikuti beberapa ayat al-Quran yang menghalalkan ‘kependudukan’ kita. Namun dari satu segi, apabila Allah mahu mendirikan agamaNya di bumi ini dan kita enggan, apakah kita tidak kelihatan serupa?

Maka jika Allah turunkan bala bencana, musnahkan kehidupan dengan gempa bumi, ribut taufan malah tsunami dan pelbagai bencana alam yang lain, apakah tindakan Allah itu zalim? Tentu sekali tidak. Kerana tujuan dan maksud asal dunia dan seluruh kehidupan di dalamnya diciptakan sudah tidak dicapai. Tentulah, kerana hendak mendirikan ‘bangunan yang halal’, ‘bangunan yang haram’ perlulah dihancurkan terlebih dahulu.

Jadi sebenarnya, siapakah yang setinggan? Dengan suasana hari ini, salahkah kalau saya katakan kita semua adalah setinggan? Setinggan di bumi Allah. Setinggan bukan kerana menceroboh bumi Allah tetapi setinggan kerana dengan sifat dan sikap kita hari ini, kita telah menghalang Allah mentadbirkan bumi ini sebagai mana yang telah ditetapkan olehNya. Setinggan kerana menceroboh hak Allah di bumi milikNya.

Saya jadi tertawa. Manakan tidak, para pemerintah yang telah secara terang-terangan membenci dan menghina para setinggan rupanya juga sang setinggan. Mereka yang dengan jelas mengatakan setinggan memburukkan keindahan Malaysia juga sebenarnya telah secara terang dan nyata memburukkan nama Islam. Rupanya, tindakan mereka membenci setinggan seumpama membenci diri mereka sendiri.

Saya tidak kata para setinggan tidak boleh diusik. Segala perkara yang bukan hak perlu dikembalikan kepada haknya. Namun begitu juga Agama Allah. Sudah terang dan jelas bumi ini milik Allah dan Allah berhak ke atasnya. Maka mengembalikan hak Allah adalah satu kewajipan. Mendirikan Agama Allah di atas muka bumi adalah satu kemestian. Jika tidak, kitalah sebenarnya yang setinggan. Kitalah sebenarnya yang menceroboh…

2 comments:

Anonymous said...

Seharusnya Amerika yang tidak ada unsur seislamannya harus menerima hukuman terlebih dahulu dari Allah dan seharusnya kita kutuk sekeras-kerasnya, tidak menggunakan produknya, tidak melayan ekonomi dengannya. Tetapi yang jelas komen menunjukkan seolah-olah hanya kerajaan Malaysia sahaja satu-satunya disentuh sebagai setinggan ALLAH dan dikata semau-maunya seolah-olah dekat sangat persamaan pemerintah kita dengan pemerintah Amerika, mengutuk pemerintah sama seperti pemerintah Amerika atau seolah-olah hanya malaysia je kut kat dunia ni atau seolah-olah kita tidak nampak bagaimana kedudukan khalifah di malaysia sebagai pemerintah dan sebagai setinggan Allah dibandingkan dengan kedudukan khalifah sebagai pemerintah di Amerika atau kita mempertimbangkan seolah-olah sifat kemanusiaan dan keagamaan pemerintah di Malaysia atau setinggan Allah di malaysia ni tidak jauh bezanya dengan kemanusiaan dan keagamaan pemerintah di Amerika... Logik ke komen sebegini?

Nuh kat Amerika termasuk presiden nya dah lah bukan Islam, lagi lah tidak layak duduk kat bumi Allah ni... lagi haram dari yang haram, kalau khinzir tu haram sebab khinzir tu bukan beragama islam, sama lah dengan presiden Amerika tu tahap keharamannya dan lebih teruk dari Setinggan Allah yang memang dah jelas haramnya duduk kat dunia ni.

Setinggan ALLAH seperti pemerintah di Malaysia memelihara agama bagi majoriti rakyat yang beragama islam dibumi setinggan Allah ni dengan meletakkan jaminan bahawa tiada siapa yang boleh menghalang setinggan Allah ni bersolat lima waktu sehari semalam dan berkunjung kemasjid untuk solat jumaat.

Pemerintah malaysia yang juga setinggan ALLAH direstui bertindak terhadap setinggan Allah yang duduk di setinggan yang tidak dibenarkan mengikut undang-undang pemerintah yang juga setinggan Allah oleh kami dari golongan majoriti yang juga setinggan Allah tapi dari golongan yang menyokong tindakan pemerintah yang kami tahu juga terdiri dari setinggan Allah tapi berjaya menjamin kami dari melaksanakan ibadah asas yang bakal menjadi ukuran timbangan Allah nanti.

Anonymous said...

Ye tak ye juga ye... setinggan yang kata bahawa pemerintah malaysia juga setinggan (Allah) dan mereka tidak layak menghalau setinggan wajar berpindah ke Amerika duduk kat White House sebab rata-rata orang kat White House tu tidak layak untuk menjadi Setinggan kat bumi Allah ni... Apa lagi setinggan yang keras kepala tu.. pakat pindah ke White House

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.