25 July 2006

Ibu


Dalam sebuah bayan, saya pernah mendengar mengenai sebuah riwayat. Riwayat
ini sangat panjang untuk diceritakan. Tetapi poin yang ingin saya nyatakan
adalah, Allah telah membahagikan kasih sayang kepada 100 bahagian. 99
daripadanya adalah milik Allah iaitu kasihnya Allah kepada sekalian
makhlukNya. Hanya satu bahagian yang Allah sebarkan ke muka bumi ini.
Itulah kasih seorang ibu terhadap anak²nya.

Sebenarnya, 21 Julai yang baru lepas adalah hari ulangtahun kelahiran ibu
saya yang tercinta. Pada tarikh itu, cukup 63 tahun umur ibu. Ibu memang
sudah tua. Tetapi Alhamdulillah masih kekal cergas dan sihat. Hanya
penyakit darah tinggi dan lututnya sahaja yang mencacatkan taraf
kesihatannya. Itupun lutut ibu sudah beransur pulih, Alhamdulillah...
Tetapi ibu masih belum mampu untuk duduk antara dua sujud.

Kasihan ibu. Tenaganya telah dihabiskan ketika membesarkan kami enam adik
beradik. Dan setahu saya, dalam enam beradik sayalah yang paling banyak
mengerah tenaganya. Maklum saja, saya dilahirkan tidak sempurna jadi
terpaksa di tahan di wad hospital. Cerita ibu, dia terpaksa tidur di tepi
katil wad. Itupun tidur duduk. Jika tiba saya demam, lagi menyusahkan. Saya
hanya mahu tidur di pangkuan. Terpaksalah ibu tidur bersila...

Setiap dari kita mempunyai ibu. Sekurang²nya seorang ibu kandung. Bukanlah
tujuan saya di sini untuk mengagungkan ibu saya di hadapan anda semua.
Tidak. Kerana kasih ibu tidak boleh diperbandingkan. Saya tidak boleh kata
ibu saya menyayangi saya lebih dari ibu si anu menyayanginya. Tidak boleh.
Kerana kasih sayang adalah subjektif. Tidak boleh diukur dengan pembaris
mahupun skala ritcher.

Akan tetapi, pokok ceritanya tetap sama. Semua ibu menyayangi anak mereka.
Atau lebih tepat lagi, semua ibu menyayangi anak mereka lebih dari
segala²nya. Hm... Mungkin ada satu atau dua peratus yang terkecuali tetapi,
umumnya memang begitu. Dan sebenarnya, tidak ada kasih apapun di dalam
dunia ini yang mampu mengasihi kita seperti kasihnya ibu kita terhadap kita
melainkan Nabi saw dan Allah.

Saya teringat di tahun lepas. Ketika dalam perjalanan balik ke kampung
isteri saya di Tanjung Karang. Waktu itu tengah malam. Saya memandu
manakala isteri saya lena tidur di sebelah sambil memangku anak kami, Nurul
Naqibah Izzati yang ketika itu baru berusia beberapa bulan. Sesekali
tergerak di hati untuk mengusik isteri saya. Lalu sengaja saya
bermain'zig-zag'. Saya ingin lihat isteri saya terkejut dan menggelabah..

Malangnya dia tetap lena seperti tidak ada apa². Saya terfikir, mungkin dia
terlalu letih. Saya diamkan. Tetapi seketika kemudian, Naqibah bergerak
sedikit. Sedikit sangat. Hanya menggerakkan tangannya, kalau tidak silap
saya. Saya lihat isteri saya terus terjaga dan terus menepuk² paha Naqibah
agak segera lena semula. Saya jadi tersenyum. Begitulah kasih ibu. Ketika
tidur pun masih risaukan anak di pangkuan.

Ibu kita telah banyak berkorban untuk kita. Pengorbanan mereka yang terawal
adalah apabila menahan rasa loya pada tekak, sakit pada pinggang dan macam²
'pembawaan' lain ketika mengandungkan kita. Ini diikuti pula dengan
pengorbanan kedua yang jauh lebih besar, iaitu ketika bersabung nyawa
melahirkan kita. Teringat kata cikgu saya. Bayangkan lubang sebesar jari
hendak melalukan kepala sebesar bola. Tentu sakit, bukan?

Namun mereka segera melupakan kesakitan itu sebaik melihat anak mereka
selamat di sisi mereka. Dan tambah melegakan, apabila melihat anak² mereka
berjaya dalam hidup. Tidak akan terungkit dalam lipatan memori mereka
tentang segala penderitaan mereka ketika mengandung, melahirkan dan
membesarkan kita. Apa yang mereka ingat hanyalah perasaan syukur dan bangga
dengan kejayaan anak² mereka.

Lalu kita pun sebagai anak yang telah dewasa, mulalah kononnya hendak
membalas jasa. Kita belikan mereka barang yang mahal². Kita bawa mereka
berjalan seluruh dunia. Tempatkan di rumah yang besar. Berikan mereka
segala apa yang terlintas atas dunia ini. Persoalannya, apakah kita benar²
dapat membalas jasa mereka dengan cara begitu? Sekali² tidak. Jangan pernah
menyangka kita boleh mampu membayar segala pengorbanan mereka.

Berilah mereka apapun. Bawalah mereka ke mana pun. Demi Allah, tidak
secalitpun dari jasa mereka yang boleh kita setimpalkan dengan pemberian
kita. Kita akan kekal terhutang budi dan nyawa kepada mereka. Ia akan kekal
begitu. Tidak akan berubah walau sedikitpun. Jadi bolehlah dipadamkan
perkataan membalas jasa ibu. Kerana ianya suatu yang mustahil. Mungkin
boleh digantikan dengan perkataan berkhidmat untuk mereka.

Tidak ada orang dalam dunia ini yang sanggup mengorbankan nyawanya untuk
kita seperti ibu kita. Tidak ada orang yang akan mendahulukan kepentingan
kita dari lain² hal dalam dunia ini seperti ibu kita. Seperti seseorang
yang saya kenal rapat baru². Katanya dia menjahit dan mengambil upah
menjaga anak orang bagi menjana pendapatan tambahan. Namun begitu,
perbelanjaannya masih tidak mencukupi.

Mengapa? Kerana dia mendahulukan perbelanjaan untuk anak²nya. Dua daripada
anaknya di IPTA. Seorang di tingkatan satu dan yang bongsu dalam darjah 4.
Katanya, hendak membeli baju dalam pun dia terpaksa berfikir banyak kali
kerana bimbang kalau² anaknya memerlukan duit untuk perbelanjaan mereka di
IPTA. Begitu juga dengan seorang lagi ibu yang juga saya kenal amat rapat.
Baru² ini, ketika bertemunya dengannya saya menjadi terkejut.

Tubuhnya kurus. Wajahnya agak cengkung. Berat tubuhnya susut dengan begitu
banyak. Hinggakan ada antara temannya yang menggelarnya tengkorak hidup.
Alasannya menjadi begitu hanya satu. Kerana dia terpaksa bekerja keras
untuk menambah pendapatan keluarga. Anak sulungnya kini di Sekolah Menengah
Sains Bandar Penawar dalam tingkatan satu. Anak keduanya pula dalam darjah
enam dan yang bongsu pula darjah dua.

Siapakah agaknya di dalam dunia ini yang sanggup melakukan sebegitu untuk
anak² mereka? Tidak ada melainkan mereka sahaja. Kedua² wanita ini boleh
memilih untuk berehat sahaja di rumah. Tetapi jika mereka berbuat demikian,
yang akan terjejas teruk adalah anak² mereka. Oleh kerana mahukan anak²
mereka mendapat hanya yang terbaik, mereka sanggup korban apa sahaja.
Begitulah tingginya kasih ibu.

Kerana itu saya agak kecewa apabila mendengar berita orang yang mengabaikan
orang tuanya terutama ibunya setelah mereka mencapai kejayaan. Lebih
menyakitkan hati, apabila ada yang mengenepikan keluarga masing² demi
kerana cinta kepada pasangan mereka. Sama ada lelaki atau perempuan.
Merekalah manusia yang kejam. Sanggup meracuni orang yang memberikan mereka
susu selama hidup mereka.

Mati hidup semula, kemudian mati lagi dan dihidupkan sekali lagi pun, tetap
kita tidak akan termampu membalas jasa ibu. Tidak ada harta di dalam dunia
ini yang setara nilainya dengan jasa mereka. Dan tatkala kita dewasa dan
telah berjaya, mereka sudah terlalu tua untuk menikmati hasil usaha kita.
Ketika itu, mereka telahpun mensia² masa muda mereka untuk kita dan jam
tidak mungkin dapat dipusing kembali.

Apa yang mampu untukkita lakukan hanyalah dengan menjadi anak yang soleh
atau solehah. Hanya dengan cara itu kita mampu jaminkan satu tempat yang
cemerlang baginya di akhirat sana, insyaAllah.

Untuk para isteri, redhakan suami anda melebihkan ibu mereka dari anda
sendiri. Percayalah, Allah Maha Adil. Hari ini anda meredhai suami anda
mendahulukan ibu mereka, insyaAllah di masa hadapan, giliran anda pula
didahulukan oleh anak² anda. Berilah suami anda jaminan hidup di syurga
dengan berkhidmat kepada orang tua mereka. Semoga dengan itu tempat anda di
sana akan terjamin sama, insyaAllah...

22 July 2006

Zidane Dan Kad Merahnya


Saya bukanlah peminat bolasepak yang hardcore. Malah boleh digolongkan
dalam golongan kaki bangku. Kata orang Johor, sepak bola pun 'pelor'
(melencong). Tetapi bersempena Piala Dunia baru² ini, saya ambil juga
kesempatan untuk menonton beberapa perlawanan. Terutamanya perlawanan yang
melibatkan pasukan Perancis. Dan kebetulan pula, kebanyakan perlawan
Perancis berlangsung ketika saya bekerja shift malam.

Seperti saya katakan pada awal tadi, saya bukan peminat setia sukan
bolasepak. Jadi memang tidak ada sebarang kelab yang mengisi senarai
favourite saya sama ada dari Liga Perdana Inggeris, Series A, Primera Liga
atau apa sekalipun. Tidak ada. Tetapi di peringkat Piala Dunia, memang
semenjak dahulu lagi, terutama semenjak 1998, saya berminat untuk melihat
permainan pasukan Perancis.

Semuanya kerana arkitek mereka yang saya kira sangat berskil, kreatif dan
bijak. Siapa lagi jika bukan Zinedine Zidane. Lebih menarik, keserasian
gandingan Zidane dan Thierry Henry memang terbukti berkesan. Kiranya, saya
memang terhibur melihat permainan mereka. Jika ditonton pada siaran
tactical view, pasti boleh dilihat bagaimana kedua pemain ini seakan
mempunyai hubungan telepatik untuk berkomunikasi tanpa suara.

Tetapi saya bukan hendak bercerita tentang Piala Dunia, pasukan Perancis,
Thierry Henry atau apapun segalanya. Penumpuan artikel ini sebenarnya lebih
kepada Zidane itu sendiri. Atau lebih tepat lagi, insiden yang
membabitkannya di mana Zidane telah menanduk dada Materazzi pada 10 minit
terakhir perlawanan akhir yang mengakibatkan Zidane dibuang padang dan
Perancis tewas moral sebelum tewas secara hakiki pada penentuan penalti.

Saya ada membaca beberapa artikel yang mengaitkan kejadian ini dengan salah
faham masyarakat barat terhadap Islam. Malah beberapa pertubuhan
antarabangsa juga secara terang telah menuduh Materazzi sebagai seorang
racist atau bersifat perkauman kerana Zidane adalah seorang muslim yang
mana keluarganya berasal dari Algeria. Sekali lagi, bukan isu itu yang
ingin saya sentuh di sini.

Kerjaya Zidane sebenarnya penuh dengan warna-warni. Setelah disanjung
ketika menjuarai Piala Dunia edisi 1998 dan Kejohanan Euro dua tahun
kemudiannya, Zidane dan rakan² sepasukannya dijadikan bahan kritikan oleh
media Perancis akibat prestasi yang merudum. Sehingga Zidane yang pada
awalnya hendak bersara dari pentas antarabangsa sebelum ini menangguh
keputusannya sehingga selesai Piala Dunia edisi tahun ini.

Dan sepanjang kejohanan kali ini, bintang Zidane begitu menyerlah. Dia
sekali lagi muncul sebagai wira Perancis apabila menjadi antara faktor
utama kemaraan pasukan itu ke perlawanan akhir dengan menumbangkan
Sepanyol, Brazil dan Potugal. Namun niat Zidane untuk bersara dengan memori
manis terbantut apabila dia dikejutkan dengan kekalahan pasukannya dan juga
kad merah akibat insiden yang saya sebutkan sebelum ini.

Sebenarnya, terdapat pengajaran yang berharga di sebalik 'Insiden
El-Matador' oleh Zidane ini. Sebuah pengajaran yang penting. Insiden ini
telah mengajar kita betapa biar sekuat mana kita berusaha, biar segigih
mana kita memanjat gunung yang tinggi, tetapi di penghujungnya kita
terpaksa akur kepada ketentuanNya. Akhirnya kita terpaksa akur dengan
pengakhiran yang kita perolehi yang kadang kala bukan seperti yang kita
inginkan.

Apa sebenarnya yang terjadi? Mengapa pemain sehebat Zidane boleh melakukan
perkara sebodoh itu? Ya, orang boleh berkata kerana provokasi oleh
Materazzi. Memang betul, provokasi begitu memang sering meragut kesabaran
kita. Tetapi bagi saya, punca sebenar adalah pada diri Zidane sendiri. Pada
kelemahannya. Kelemahan untuk menahan perasaan marah atau amarah untuk
melakukan perbuatan sebegitu.

Samalah dalam kehidupan kita. Bukan senang hendak membina sebuah kehidupan
yang kita kecapi hari ini. Bukan sedikit peluh yang telah dititiskan. Bukan
sekali dahi ini dikerutkan. Susah. Dan payah. Tetapi kadangkala, dengan
sedikit kesilapan kita, dengan sedikit kealpaan kita, kita telah
memusnahkan apa yang kita bina selama ini semudah angin memadamkan nyalaan
pada sebatang lilin.

Seperti yang terjadi kepada seorang teman saya sendiri. Bermula sebagai
seorang operator di sebuah kilang elektronik dan kemudian dinaikkan
setingkat demi setingkat sehingga akhirnya ke level juruteknik makmal.
Tetapi sayangnya, setelah sampai ke tahap itu, dia ditangkap mencuri harta
kilang. Bukan setakat diberhentikan kerja, teman saya itu terpaksa pula
merengkok di dalam penjara selama dua tahun.

Sedangkan hakikatnya, bukan dia yang mencuri. Dia hanya ingin membantu
temannya yang lain (bersubahat) yang memerlukan duit bagi menjalankan
upacara perkahwinan. Tetapi, apakah orang akan bertanya dengan punca
mengapa dia mencuri? Tidak. Dia terus²an dihukum. Kad pengenalannya telah
bertukar warna dan dia tidak lagi diterima bekerja oleh mana² kilang
sekalipun.

Hidup ini tidak ubah seperti melalui sebuah titian yang halus untuk
menyeberangi sebuah jurang yang sangat dalam. Kita perlu meniti dengan
penuh berhati². Perlu penuh berwaspada dan perlu memberikan sepenuh
perhatian. Tetapi syaitan akan sentiasa berada di kiri dan kanan kita untuk
menarik perhatian kita supaya kita tergelincir terjerumus ke dalam lembah
itu bersama² mereka.

Syaitan tidak akan pernah berputus asa dalam menjadikan kita leka. Mereka
akan memperlihatkan di hadapan kita perkara² yang bakal menarik perhatian
kita. Sebagai manusia biasa, sememangnya kita akan sentiasa lemah dan
terdedah untuk termakan bisikan syaitan. Maka kerana itulah kita memerlukan
iman sebagai hijab bagi melindungi kita agar tidak terlalu hampir dengan
syaitan yang direjam itu.

Seperti Zidane, perjalanan kita hari ini umpanya sedang berlari² di
perlawanan akhir. Kita akan terus mengejar bola dan akan terus menggelecek
untuk mendapatkan gol. Akan terdapat ramai Materazzi di sekeliling kita
untuk menghasut kita, untuk menarik perhatian kita keluar dari penumpuan
terhadap perlawanan. Namun bagaimana cara untuk kita menhadapi situasi ini,
bergantung kepada akal kita sendiri dengan berpandukan kepada iman.

Wisel penamat akan ditiup pada bila² masa sahaja dari sekarang. Kita
telahpun bermain dengan sebegitu cantik dan mungkin akan memenangi anugerah
Pemain Terbaik Perlawanan. Bisikan Materazzi masih bergema di gegendang
telinga kita. Bagaimana cara kita hendak menamatkan kerjaya kita, sekarang
terpulang kepada kita. Jika hendak memuaskan hati, tanduklah dada
Materazzi. Tetapi, setelah melalui satu zaman kerjaya yang pernuh gemilang,
tergamakkah kita menamatkannya dengan sekeping kad merah? Terpulanglah
kepada diri masing. Teruskan menanduk, atau berpusing mencari bola untuk
memburu gol seterusnya...

21 July 2006

Murtad


Baru² ini kita dikejutkan dengan kenyataan secara terbuka dari Mufti Negeri
Perak, Datok Harussani mengenai gejala murtad yang mana permohonan untuk
memfailkan pertukaran agama atau untuk keluar dari Islam secara rasmi telah
mencecah angka 100,000 orang. Sebaik pendedahan tersebut, maka terbitlah
berbagai² reaksi sama ada dari pihak berwajib atau dari orang ramai.

Sebenarnya, angka 100,000 itu lebih kecil dari yang pernah saya baca di
internet. Menurut pembacaan saya, kenyataan Datok Harussani sebelum ini
menyebut sejumlah 250,000 telahpun menghantar borang ke Jabatan Pendaftaran
Negara bagi memohon menukar status agama dari Islam ke lain² agama. Tidak
tahulah angka mana yang lebih tepat sebenarnya.

Kemudian, baru² ini tersebar pula email di hampir kesemua egroups yang saya
sertai mengenai kes Lina Joy atau nama asalnya Azalina Jailani. Lina Joy
dikatakan akan menghadiri satu perbicaraan di mahkamah atas tuntutan yang
sama; menukar status agama dari Islam kepada Kristian. Kes ini dikatakan
mendapat perhatian antarabangsa walaupun ia disepikan dari publisiti oleh
media tempatan.

Dalam banyak kejadian, hal dan reaksi, saya paling terkejut dengan
tindakbalas yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam atau Jakim berkenaan
pendedahan Datuk Mufti tersebut. Dalam kenyataannya, Jakim meminta Datuk
Mufti dan mereka yang melakukan kajian mengenainya tampil berserta dengan
bukti mengenai dakwaan mereka tentang 100,000 orang yang murtad itu.

Jika bukti yang Jakim perlukan, mengapa tidak kes Lina Joy ini dijadikan
bukti? Mungkin kita akan terdengar deraian tawa dari orang² kuat di Jakim
akibat pertanyaan saya tadi. Mungkin mereka akan berkata; "Lina Joy
hanyalah satu kes yang terpencil. Tidak boleh dikaitkan dengan angka
100,000 tersebut." Tidak! Ini bukanlah kes yang terpencil. Dan, jika
terpencil sekalipun, ia bukanlah kes yang kecil!

Di tempat kerja saya diajar mengenai piramid keselamatan. Menurut piramid
itu, (misalnya) jika ada 200 kelalaian dalam pekerjaan, akan menghasilkan
100 hampir nahas (near misses). Setiap 100 hampir nahas pula, akan
menghasilkan 50 rawatan kecemasan atau first aid. Setiap 50 rawatan
kecemasan akan menghasilkan 10 kecederaan berat (lost time injury) dan atas
segalanya adalah 1 kematian (fatality).

Setelah berfikir sejenak, saya rasa piramid ini boleh diapplikasikan dalam
kes murtad di negara kita. 200 orang yang melalaikan ibadah mengakibatkan
100 orang yang munafiq. 100 orang munafiq pula mengakibatkan 50 orang
melakukan dosa besar. Berikutnya, terhasil 10 orang yang melakukan syirik
tanpa sedar (minta nombor dan sebagainya) dan atas sekali, pengisytiharan
murtad secara terang²an.

Bayangkan. Jika teori berkenaan piramid ini betul, bermakna ada begitu
ramai orang yang melalaikan ibadah di dalam negara kita. Dan, sekali lagi,
jika piramid ini betul, dan kenyataan Datok Mufti juga betul, bermakna 20
juta iaitu hampir 100% umat di bumi Malaysia ini tergolong dalam golongan
yang melalaikan ibadah! Allahu Akbar! Peratusan ini termasuklah diri saya
sekali!

Poin saya di sini, sebenarnya kita tidak perlu tunngu sehingga angka itu
mencecah 100,000 untuk bertindak. Tidak perlu menunggu sehingga nasi sudah
menjadi kerak baru hendak dikecilkan apinya! Cukup dengan satu kes ini (kes
Lina Joy) untuk mengejutkan kita dari lena yang tidak berkesudahan. Untuk
bangun dan memulakan gerakan tarbiyyah bagi menyelamatkan aqidah Islamiyah.

Tetapi yang menyedihkan, sama ada di internet, dalam suratkhabar mahupun di
televisyen, orang lebih asyik membicarakan rancangan perkahwinan Siti
Nurhaliza dengan Datuk Khalid berbanding dengan cerita bagaimana untuk
menyelamatkan maruah Islam dan bagaimana hendak meloloskan diri dari
panasnya api neraka kerana melalaikan dakwah dan lain²perintah Allah.

Saya teringat kepada tutur seorang teman saya. Katanya, ada seorang
pemimpin agama lain yang pernah berkata, jika orang Islam ini, diikat
dengan kepala di bawah dan kaki di atas, kemudian dikelar kulitnya dan
dititiskan air limau berserta garam pada kesemua kesan luka tersebut sambil
dipaksa untuk meninggalkan Islam, nescaya dia akan terus kekal bersama
agamanya.

Namun, jika orang Islam dirosakkan dengan fesyen, dengan hiburan, dengan
sukan dan berbagai² dengan lagi dan kemudiannya dengan perlahan menjurus
mereka untuk mengamalkan agama lain, nescaya mereka akan menurut dengan
rela. Tidak pastilah sama ada ayat ini benar dituturkan oleh pemimpin agama
lain atau sebenarnya rekaan teman saya itu sendiri. Tetapi jika ini
rekaannya, tentu saja teman saya itu genius.

Kerana apa yang dikatakannya itu memang benar. Hari ini, kita boleh lihat
keanggotaan IFC terdiri daripada beberapa orang Melayu yang terpelajar.
Mereka berjuang kononnya atas prinsip hak asasi manusia sedangkan hak Allah
diinjak dan disiakan. Begitu juga, berita perkahwinan oleh seorang
selebriti lebih digembar-gemburkan dari berita kemusnahan aqidah umat
terbanyak.

Usah dipersalahkan pendakwah agama lain. Mereka hanya menjalankan tugas
mereka. Mereka menganut kepercayaan mereka kerana mereka yakin itu agama
yang benar. Oleh itu, mereka sudah tentunya mahu kongsikan 'kebenaran' yang
mereka yakini dengan umat sekalian alam. Usah salahkan mereka. Sebaiknya
salahkan diri kita sendiri yang terlalu leka, lalai dan hanyut dibuai arus
kemajuan.

Di hari ini kita memperlekehkan agama kita sendiri. Kita sudah tidak
sanggup menghantar anak² kita ke sekolah tahfiz kerana bimbang mereka tidak
akan ada pekerjaan setelah tamat alam persekolahan. Biarlah mereka tidak
ada agama asalkan mereka ada pekerjaan yang tetap, gaji yang besar dan
segala² perkara yang berbentuk kebendaan dan keduniaan serta bersifat
sementara.

Anak² kecil sekecil 7 tahun (Darjah 1 di sekolah kebangsaan) pula dihantar
ke kelas² tuisyen hinggakan jadual harian mereka padat. Tidak mengapalah
jika berkemampuan tetapi yang menjadi masalahnya, masa anak² ini terlalu
banyak dihabiskan dengan akademik sehingga tidak ada masa untuk belajar
ilmu agama. Mengapa? Kerana ibu bapa malu anak mereka tidak mendapat
keputusan cemerlang di dalam peperiksaan.

Biarlah ilmu agama kosong di dada asalkan cemerlang dengan ilmu dunia.
Beginikan? Bukankah begini sifat segolongan dari kita tinggal di bandar?
Malah gejala ini kian menular di kawasan luar bandar pula. Bukan? Jadi,
dengan sifat begini, apakah kita boleh berharap apa yang berlaku seperti
kes Lina Joy ini akan kekal menjadi kes tunggal dan tidak akan berulang
lagi? Jangan harap!

Sama ada 100,000 atau 1 juta atau sebenarnya 1 orang sekalipun, itu bukan
menjadi pokok persoalannya. Selagi ada manusia yang secara terang berani
menghina keagungan Allah, itu adalah indikasi bahawa penyampaian dakwah
kita mulai susut. Itulah penunjuk bahawa sebenarnya masyarakat kita sedang
menjurus kemusnahan yang abadi. Itulah tanda kita sebenarnya sedang lalai.

Tanda tanganlah setebal manapun memorandum bagi menentang Lina Joy, IFC
atau apa sekalipun. Selagi pekerjaan yang paling asas tidak kita lakukan,
masih kita perlekehkan, percayalah. Akan muncul Lina Joy yang berikutnya.
Dan angka 100,000 itu akan bertukar menjadi 1 juta atau mungkin 10 juta.
Atau mungkin satu hari nanti, agama lain akan mengambil alih kedudukan
Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Marilah kita fikirkan bersama.....

20 July 2006

Maaf...


Agak lama saya menyepikan diri dari menulis sebarang artikel. Bukan setakat
sepi dari menulis artikel, bahkan saya juga tidak menjawab sebarang emel,
sms mahupun panggilan telefon. Entahlah. Jika ditanya mengapa saya berbuat
begitu, rasanya saya sendiri tidak ada jawapan yang tepat. Jadi, kepada
anda yang mencari update dari blog ini, sepuluh jari saya susunkan sebagai
tanda memohon kemaafan.

Pun begitu, artikel kali ini saya tajukkan dengan 'Maaf...' bukanlah
semata² atas perkara tersebut. Sebaliknya ia disebabkan oleh selembar emel
yang saya terima dari seseorang yang terdaftar namanya sebagai 'Anonymous'.
Dan ucapan maaf saya tujukan kepadanya kerana emelnya yang bertajuk
'Luahanku' tidak dapat saya jawab secara personal atas sebab² yang
tertentu.

Rasanya saya tidak perlu menyatakan secara terperinci apa yang diceritakan
oleh tuan punya emel terhadap saya. Biarlah saya simpulkan ianya sebagai
sebuah posting biasa. Namun suka saya mengingatkan. Saya bukanlah orang
yang terbaik untuk memberi nasihat apatah lagi panduan. Apa yang saya akan
utarakan adalah sebagai satu perbincangan dan juga pendapat dari seorang
yang cetek pengetahuannya.

Sebenarnya, Allah memang sengaja menciptakan manusia jauh dari sifat
kesempurnaan. Bukan Allah tidak boleh menciptakan manusia siap dengan sifat
yang sempurna tetapi inilah sebagai bukti kekuasaanNya. Agar dengan sifat
yang jauh dari sempurna itu, kita akan menjadi hamba yang sering merintih
dan merayu kepadaNya mengharapkan rahmat simpati dan maghfirah dariNya yang
Maha Pemberi.

Dan sebenarnya juga, tidak ada sekelumitpun dosa di dalam dunia ini yang
terlalu besar sehingga tidak boleh dimaafkan. Tidak ada. Melainkan dosa
mensyirikkan Allah. Inilah yang sering Nabi saw peringatkan kepada kita
betapa sebenarnya Allah itu Maha Pengampun. Maka mintalah ampun kepadaNya
setiap kali kita tersedar melakukan sebarang dosa. InsyaAllah, Dia akan
sedia mengampunkan kita.

Teringat saya akan kisah seorang pemuda Muhajirin yang telah menghadap
Baginda saw lalu menceritakan bagaimana dia telah menyetubuhi mayat seorang
wanita Ansar. Dan ketika dia melangkah pergi setelah melampiaskan nafsunya,
mayat tersebut telah bangkit dan mengutuknya kerana telah meninggalkan ia
(si mayat) dalam keadaan junub dan telanjang untuk menghadap Allah.

Baginda Nabi Muhammad saw menjadi murka dengan perkhabaran ini lantas
menghalau si pemuda tadi. Kemudian si pemuda meratap merintih mengharap
pengampunan Allah dan menurut riwayat, telah berdoa "Ya Allah! Jika Engkau
telah ampuni daku, maka utuskan kepada NabiMu. Jika tiada pengampunan bagi
diriku, maka kau kirimkan batu neraka untuk memusnahkan daku..."

Dengan sifat RahimNya, Allah telah mengutuskan Jibrail bagi menyatakan
keampunanNya terhadap dosa yang dilakukan pemuda tadi. Lalu Baginda saw pun
mengutuskan orang kepada si pemuda untuk memberi tahu akan berita gembira
ini. Inilah contoh kemuliaan dan kebesaran Allah. Dosa yang sekejam itupun
akan diampunkan jika diminta dengan hati yang ikhlas.

Begitu juga dengan kisah seorang perempuan di zaman Nabi Musa as yang telah
berzina dan kemudian membunuh anak yang dilahirkan akibat penzinaan
tersebut. Wanita ini juga telah di halau oleh Nabi Musa as tetapi kemudian
Nabi Musa as diberitahu bahawa dosa seorang yang meninggalkan solat adalah
jauh lebih besar dari dosa wanita itu tadi.

Jika Allah, yang layak untuk bersifat sombong dan layak untuk bersifat ego,
sudi mengampunkan dosa hambaNya yang cukup besar pada pandangan kita, maka
apakah kita seorang hamba yang begitu kerdil tidak boleh untuk
melakukannya? Tentu sekali tidak. Seorang guru pernah mengingatkan saya.
Orang yang memaafkan, layak untuk mendapat keampunan dari Allah.

Dan sebenarnya menyimpan dendam atau enggan memaafkan orang yang berdosa
terhadap kita tidak akan menguntungkan kita di akhirat. "Bagaimana pula?"
tanya seorang teman apabila saya berkata begitu kepadanya. "Bukankah nanti
kita akan memperolehi amalannya sebagai balasan? Atau dia akan memikul dosa
kita jika tiada lagi baki amalan kebaikan untuk kita?"

Kerana itulah. Cuba bayangkan. Katakanlah kita ini seorang yang baik. Dan
dikatakan, orang yang baik amalannya akan dihisab terlebih dahulu. Lalu
kitapun menghampiri mizan. Tatkala kita hendak dihisab, maka kita akan
dikesampingkan. Kerana masih ada orang yang sedang mencari kita untuk
diberi amalannya kepada kita. Tertangguh di mizan bererti kita juga akan
tertangguh ke syurga, bukan?

"Oh! Saya telah memaafkannya. Tetapi saya tidak dapat melupakan apa yang
telah dilakukannya kepada saya." Ini satu lagi masalah. Terus terang,
masalah ini sendiri berlaku kepada saya. Tetapi sebenarnya, jika dikupas
semula secara mendalam, selagi kita masih belum melupakan perlakuannya
terhadap kita, maka kita sebenarnya belum memaafkannya dari hati. Mungkin
hanya setakat di bibir.

Lalu saya jadi terfikir. Saya teringat akan segala dosa² yang telah saya
lakukan. Terlalu berat. Terlalu besar. Tetapi saya bersangka baik kepada
Allah. Saya mohon keampunan daripadaNya dan saya yankin Dia menerima taubat
yang saya lafazkan. Dan tertulis di dalam hadits, jika seseorang itu
bertaubat dengan sebenar² taubat, Allah akan memerintahkan malaikat
memadamkan dosa itu dari buku amalannya.

Itu yang buat saya terfikir. Jika sekiranya amalan saya yang terdahulu
tidak dipadamkan, apakah tempat saya nanti di akhirat kelak? Ya benar. Jika
kita kata memaafkan, biarlah kemaafan itu datang dari hati. Biarlah
kemaafan itu serentak dengan kita memadamkan kesalahannya dari lipatan
memori kita. Ketika itu, barulah sebuah kehidupan yang baru boleh
dinikmati.

Begitulah. Maaf itu bukan setakat suatu perkataan. Ia adalah sebuah
perbuataan. Bukan setakat dilafazkan pada bibir, bahkan mesti diterjemahkan
dengan perbuatan dan diakui dengan hati. Sedangkan Allah, Pemilik sekalian
makhluk sudi memaafkan dan melupakan setiap kesalahan makhlukNya,
mengapakah kita sebagai manusia perlu bersikap lebih dari itu?

Maksud firman Allah dalam Surah Ali Imran 3:135 & 136;

Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau
menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun
terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain
daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang
mereka mengetahui. Mereka itu balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka
dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai, sedang mereka kekal di
dalamnya; dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal.

02 July 2006

Selamat Ke Menara Gading

Baru sebentar tadi, sebelum masuk waktu Isya', saya menelefon anak saudara
saya yang akan melanjutkan pelajar di UiTM Kota Semarahan (kalau tak salah
saya) di Sarawak dan akan berangkat esok untuk urusan pendaftaran pada hari
Isnin nanti. "Macam mana?" tanya saya. "Takutlah Pak Usu. Angah tak biasa
pergi jauh². Betul! Angah tak pernah pergi jauh macam ni." jawabnya.

Bukanlah dia tidak pernah tinggal di asrama. Sebelum ini dia menghabiskan
tingkatan 4 dan 5nya di Sekolah Teknik Azizah. Tetapi itu di Larkin, Johor
Bahru. Masih terlalu dekat dan boleh pulang setiap minggu. Lalu saya
ceritakan pengalaman saya kepadanya. "Pak Usu dulu masa masuk MRSM Jasin,
Melaka seorang juga. Lagilah. Baru berusia 16 tahun masa itu..."

Saya tahu. Melaka dan Sarawak memang jauh berbeza. Bukan dari segi jarak,
malah juga budaya. Namun hakikatnya tetap juga jauh. Ketika itu kami tidak
punyai banyak wang. Saya tidak mampu membeli tiket bas yang berharga RM16
(kalau tak silap) untuk pulang setiap bulan. Hinggakan perkahwinan kakak
kedua saya pun terpaksa saya tinggalkan kerana kesuntukan wang.

Kemudian saya yakinkan kepadanya bahawa orang Sarawak memang ramai yang
baik². Sama sahaja. Di mana² akan sentiasa wujud orang yang baik dan orang
yang jahat. Dan setelah memberikan sedikit nasihat dan ucapan tahniah, kami
menamatkan perbualan. Kami memang tidak mampu berbual panjang kerana waktu
Isyak sudah semakin hampir. Tetapi perbualan sesingkat itu mengungkit
semula kenangan lalu.

Sebenarnya selepas SRP (kini PMR), saya tidak tahupun ada sekolah bernama
MRSM. Tetapi suatu hari, ketika sedang berehat di kedai jiran saya, saya
terlihat di televisyen iklan tawaran kemasukan ke MRSM. Ketika itu
keputusan SRP masih belum dikeluarkan. Saya hanya berjenaka dengan teman
saya ketika saya katakan bahawa keputusan yang bakal saya peroleh akan
melayakkan saya ke MRSM.

Namun tak semena² abang teman saya (yang ketika itu menuntut di UKM)
menghempas buku dan berkata "Jangan confident sangat." Saya terkedu. Memang
betul keputusan belum diumumkan. Tetapi apakah salah saya bergurau begitu?
Mengapa mesti sampai menghempas buku? Apakah seorang yang bersekolah di
sekolah yang bertaraf kampung seperti saya mumang sudah pasti bodoh?

Saya hanya mendiamkan diri sambil bertekad untuk betul² memohon untuk masuk
ke MRSM. Sebenarnya saya tidak pernah punya niat untuk meninggalkan Sekolah
Menengah Majidi Baru kerana bagi saya, jika semua pelajar pandai ke sekolah
pandai, maka keseimbangan tidak akan wujud. Tetapi saya hanya ingin
membuktikan bahawa bukan hanya dia yang boleh layak ke universiti.

Dan ditaqdirkan, apabila keputusan diumumkan, ternyata memang saya layak.
Tanpa banyak bicara saya memohon dan Alhamdulillah diterima. Tetapi saya
mengambil keputusan untuk menolak kerana perbelanjaan yang terlalu besar
(untuk mebeli cadar, sarung bantal dan lain² keperluan) sedangkan ketika
itu keluarga saya sedang sibuk menguruskan majlis perkahwinan kakak saya.

Tetapi ayah teringin benar melihat anaknya bersekolah di sekolah asrama
penuh. Setelah 5 anak²nya tidak ke mana, biarlah yang bungsu ini seorang
menjadi wakil. Saya pergi juga dengan perasaan yang bercampur². Gembira,
sedih, risau dan berbagai lagi. Apa yang pasti, bukan seperti zaman
sekarang, saya tidak dapat menghubungi keluarga saya dengan kerap. Paling
kerap pun, hanya seminggu sekali.

Teringat lagi waktu bangun pagi yang pertama di dormitori. Tidak ada lagi
ibu yang akan menyiapkan sarapan jemput² atau lempeng. Tidak ada lagi Ateh
yang akan duduk di sebelah. Petang² juga dilalui hanya dengan kawan². Tidak
ada lagi pertengkaran dengan adik beradik. Tidak ada. Hidup hanya
dihabiskan di dorm dan juga di bilik kelas.

Tetapi lama-kelamaan situasi begitu menjadi biasa kepada saya. Dan hari ini
saya rindukan suasana itu. Suasana prep... Dan Alhamdulillah, saya lulus
SPM dengan keputusan yang elok. Tidaklah terlalu cemerlang tetapi cukuplah
untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya ditempatkan dalam kursus
Kejuruteraan Petroleum, walaupun sebenarnya saya tidak tahu apa itu
Kejuruteraan petroleum.

Sengaja saya pilih UTM kerana ianya di Johor Bahru. Tetapi saya telah
tersalah kira. Kerana fakulti saya ketika itu berpusat di kampus Jalan
Semarak, Kuala Lumpur. Sekali lagi saya berjauhan dengan keluarga. Hanya
kali ini saya telah punya pengalaman. Maka ianya tidaklah sesukar
pengalaman yang pertama. Namun, berjauhan dengan keluarga bukanlah perkara
yang terindah.

Ada banyak pengalaman yang telah saya kutip ketika menuntut di UTM. Namun
bukan itu yang ingin saya ceritakan di sini. Artikel ini sengaja saya tulis
dan tujukan khas buat adik² yang bakal melanjutkan pelajaran mereka ke
universiti atau kolej atau apa sahaja. Seperti nasihat saya kepada anak
saudara saya tadi, apa yang paling penting ialah untuk berkawan sebaik
sahaja selesai mendaftar.

Dan jikalau mencari kawan, janganlah semberono. Carilah kawan yang mampu
mengingatkan kita ketika kita terlupa dan menegur kita ketika kita
tersilap. Bukan kawan yang semata² untuk berseronok. Kerana jika itu yang
kita pilih, jangan menyesal apabila keputusan yang bakal kita capai
mengecewakan. Saya pernah melaluinya. Saya pernah hampir disingkirkan dari
universiti.

Buat Deq Nor dan semua yang akan melanjutkan pelajaran ke menara gading,
ingatlah di bahu anda bukan sahaja terpikul dengan masa hadapan anda
sendiri tetapi juga harapan dan impian ibu bapa. Soal cinta, biarkan dahulu
ke sisi. InsyaAllah anda semua akan bercinta apabila sampai masanya. Buat
masa ini, tumpukan dulu kepada pelajaran. Berilah peluang keluarga anda
berbangga dengan kajayaan anda kelak.

Dan yang paling penting, memintalah dan berdoalah kepada Allah. Kerana
hanya Dialah yang dapat membantu dalam apa jua suasana pun. Dan Allah amat²
menyukai hambaNya meminta kepadaNya. Tukarkanlah niat supaya belajar kerana
Allah, bukan kerana hendak mendapatkan kerja yang baik, gaji yang lumayan
atau untuk dianggap pandai. Semoga dengan itu Allah akan menjaga kita,
insyaAllah.

Kepada mereka semua, ikhlas saya ucapkan...

"SELAMAT MELANGKAH KE MENARA GADING DAN SELAMAT MENEMPUH ALAM PENUH
KEJAYAAN..."

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.