22 July 2006

Zidane Dan Kad Merahnya


Saya bukanlah peminat bolasepak yang hardcore. Malah boleh digolongkan
dalam golongan kaki bangku. Kata orang Johor, sepak bola pun 'pelor'
(melencong). Tetapi bersempena Piala Dunia baru² ini, saya ambil juga
kesempatan untuk menonton beberapa perlawanan. Terutamanya perlawanan yang
melibatkan pasukan Perancis. Dan kebetulan pula, kebanyakan perlawan
Perancis berlangsung ketika saya bekerja shift malam.

Seperti saya katakan pada awal tadi, saya bukan peminat setia sukan
bolasepak. Jadi memang tidak ada sebarang kelab yang mengisi senarai
favourite saya sama ada dari Liga Perdana Inggeris, Series A, Primera Liga
atau apa sekalipun. Tidak ada. Tetapi di peringkat Piala Dunia, memang
semenjak dahulu lagi, terutama semenjak 1998, saya berminat untuk melihat
permainan pasukan Perancis.

Semuanya kerana arkitek mereka yang saya kira sangat berskil, kreatif dan
bijak. Siapa lagi jika bukan Zinedine Zidane. Lebih menarik, keserasian
gandingan Zidane dan Thierry Henry memang terbukti berkesan. Kiranya, saya
memang terhibur melihat permainan mereka. Jika ditonton pada siaran
tactical view, pasti boleh dilihat bagaimana kedua pemain ini seakan
mempunyai hubungan telepatik untuk berkomunikasi tanpa suara.

Tetapi saya bukan hendak bercerita tentang Piala Dunia, pasukan Perancis,
Thierry Henry atau apapun segalanya. Penumpuan artikel ini sebenarnya lebih
kepada Zidane itu sendiri. Atau lebih tepat lagi, insiden yang
membabitkannya di mana Zidane telah menanduk dada Materazzi pada 10 minit
terakhir perlawanan akhir yang mengakibatkan Zidane dibuang padang dan
Perancis tewas moral sebelum tewas secara hakiki pada penentuan penalti.

Saya ada membaca beberapa artikel yang mengaitkan kejadian ini dengan salah
faham masyarakat barat terhadap Islam. Malah beberapa pertubuhan
antarabangsa juga secara terang telah menuduh Materazzi sebagai seorang
racist atau bersifat perkauman kerana Zidane adalah seorang muslim yang
mana keluarganya berasal dari Algeria. Sekali lagi, bukan isu itu yang
ingin saya sentuh di sini.

Kerjaya Zidane sebenarnya penuh dengan warna-warni. Setelah disanjung
ketika menjuarai Piala Dunia edisi 1998 dan Kejohanan Euro dua tahun
kemudiannya, Zidane dan rakan² sepasukannya dijadikan bahan kritikan oleh
media Perancis akibat prestasi yang merudum. Sehingga Zidane yang pada
awalnya hendak bersara dari pentas antarabangsa sebelum ini menangguh
keputusannya sehingga selesai Piala Dunia edisi tahun ini.

Dan sepanjang kejohanan kali ini, bintang Zidane begitu menyerlah. Dia
sekali lagi muncul sebagai wira Perancis apabila menjadi antara faktor
utama kemaraan pasukan itu ke perlawanan akhir dengan menumbangkan
Sepanyol, Brazil dan Potugal. Namun niat Zidane untuk bersara dengan memori
manis terbantut apabila dia dikejutkan dengan kekalahan pasukannya dan juga
kad merah akibat insiden yang saya sebutkan sebelum ini.

Sebenarnya, terdapat pengajaran yang berharga di sebalik 'Insiden
El-Matador' oleh Zidane ini. Sebuah pengajaran yang penting. Insiden ini
telah mengajar kita betapa biar sekuat mana kita berusaha, biar segigih
mana kita memanjat gunung yang tinggi, tetapi di penghujungnya kita
terpaksa akur kepada ketentuanNya. Akhirnya kita terpaksa akur dengan
pengakhiran yang kita perolehi yang kadang kala bukan seperti yang kita
inginkan.

Apa sebenarnya yang terjadi? Mengapa pemain sehebat Zidane boleh melakukan
perkara sebodoh itu? Ya, orang boleh berkata kerana provokasi oleh
Materazzi. Memang betul, provokasi begitu memang sering meragut kesabaran
kita. Tetapi bagi saya, punca sebenar adalah pada diri Zidane sendiri. Pada
kelemahannya. Kelemahan untuk menahan perasaan marah atau amarah untuk
melakukan perbuatan sebegitu.

Samalah dalam kehidupan kita. Bukan senang hendak membina sebuah kehidupan
yang kita kecapi hari ini. Bukan sedikit peluh yang telah dititiskan. Bukan
sekali dahi ini dikerutkan. Susah. Dan payah. Tetapi kadangkala, dengan
sedikit kesilapan kita, dengan sedikit kealpaan kita, kita telah
memusnahkan apa yang kita bina selama ini semudah angin memadamkan nyalaan
pada sebatang lilin.

Seperti yang terjadi kepada seorang teman saya sendiri. Bermula sebagai
seorang operator di sebuah kilang elektronik dan kemudian dinaikkan
setingkat demi setingkat sehingga akhirnya ke level juruteknik makmal.
Tetapi sayangnya, setelah sampai ke tahap itu, dia ditangkap mencuri harta
kilang. Bukan setakat diberhentikan kerja, teman saya itu terpaksa pula
merengkok di dalam penjara selama dua tahun.

Sedangkan hakikatnya, bukan dia yang mencuri. Dia hanya ingin membantu
temannya yang lain (bersubahat) yang memerlukan duit bagi menjalankan
upacara perkahwinan. Tetapi, apakah orang akan bertanya dengan punca
mengapa dia mencuri? Tidak. Dia terus²an dihukum. Kad pengenalannya telah
bertukar warna dan dia tidak lagi diterima bekerja oleh mana² kilang
sekalipun.

Hidup ini tidak ubah seperti melalui sebuah titian yang halus untuk
menyeberangi sebuah jurang yang sangat dalam. Kita perlu meniti dengan
penuh berhati². Perlu penuh berwaspada dan perlu memberikan sepenuh
perhatian. Tetapi syaitan akan sentiasa berada di kiri dan kanan kita untuk
menarik perhatian kita supaya kita tergelincir terjerumus ke dalam lembah
itu bersama² mereka.

Syaitan tidak akan pernah berputus asa dalam menjadikan kita leka. Mereka
akan memperlihatkan di hadapan kita perkara² yang bakal menarik perhatian
kita. Sebagai manusia biasa, sememangnya kita akan sentiasa lemah dan
terdedah untuk termakan bisikan syaitan. Maka kerana itulah kita memerlukan
iman sebagai hijab bagi melindungi kita agar tidak terlalu hampir dengan
syaitan yang direjam itu.

Seperti Zidane, perjalanan kita hari ini umpanya sedang berlari² di
perlawanan akhir. Kita akan terus mengejar bola dan akan terus menggelecek
untuk mendapatkan gol. Akan terdapat ramai Materazzi di sekeliling kita
untuk menghasut kita, untuk menarik perhatian kita keluar dari penumpuan
terhadap perlawanan. Namun bagaimana cara untuk kita menhadapi situasi ini,
bergantung kepada akal kita sendiri dengan berpandukan kepada iman.

Wisel penamat akan ditiup pada bila² masa sahaja dari sekarang. Kita
telahpun bermain dengan sebegitu cantik dan mungkin akan memenangi anugerah
Pemain Terbaik Perlawanan. Bisikan Materazzi masih bergema di gegendang
telinga kita. Bagaimana cara kita hendak menamatkan kerjaya kita, sekarang
terpulang kepada kita. Jika hendak memuaskan hati, tanduklah dada
Materazzi. Tetapi, setelah melalui satu zaman kerjaya yang pernuh gemilang,
tergamakkah kita menamatkannya dengan sekeping kad merah? Terpulanglah
kepada diri masing. Teruskan menanduk, atau berpusing mencari bola untuk
memburu gol seterusnya...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.