01 March 2007

Suasana

Ada beberapa perkara yang saya banggakan dengan Masjid Jamek Kampung Melayu
di Johor Bahru. Bukan kerana ianya besar dan semakin membesar serta
kerja-kerja memperindahkannya yang sedang giat dijalankan tetapi atas
beberapa perkara lain. Antaranya ialah imam yang menitik beratkan soal
melurus dan merapatkan shaf serta menghidupkan masjid dengan banyak
aktiviti tanpa perlu mengundang ustaz dari luar.

Selain dari itu, bilangan jemaah yang semakin bertambah juga membuatkan
saya berasa semakin gembira berjemaah di sana. Hanya, apabila bertambahnya
bilangan jemaah, maka masalah tempat meletak kereta akan mula kelihatan.
Kerana, selain dari jemaah yang menyambut seruan muazzin, ada juga 'jemaah
kedai makan' di seberang jalan dan 'jemaah pasar malam' turut meletakkan
kereta di situ.

Namun ianya bukanlah masalah yang besar mana. Kerana tempat meletak kereta
di masjid ini agak luas. Hanya, mungkin terpaksa berjalan jauh sedikit
sebelum tiba di pintu hadapan masjid. Yang menjadi masalah sebenarnya ialah
sikap sesetengah jemaah yang enggan meletakkan kereta sebagaimana
sepatutnya. Tidak kiralah jemaah masjid atau 'jemaah kedai makan',
masalahnya kereta diletakkan sesuka hati.

Hendak dikatakan tidak faham dengan papan tanda yang tertulis "Sila
Letakkan Kenderaan Anda Dalam Kotak Yang Disediakan' pun tidak boleh juga
kerana majoriti penduduk Kampung Melayu adalah orang Melayu. Hendak
dikatakan buta huruf lagilah tidak boleh kerana jikalau buta huruf,
bagaimana pula mereka boleh lulus ujian bertulis 'L' ketika mengambil lesen
memandu? Bukan?

Pada suatu ketika, ketika tiba di masjid, saya lihat sebuah kereta yang
diletakkan 'di atas' garisan yang memisahkan dua tempat letak kereta. Di
sebelah kereta ini adalah ruang kosong dan dalam jarak dua kotak, terdapat
sebuah kereta lain. Ketika saya tiba, saya segera meletakkan kereta di
sebelah kereta yang pertama tadi. Bagaimana? Dalam keadaan yang sama.
Kereta saya di atas garisan yang memisahkan dua kotak letak kereta.

Saya berasa agak tidak selesa begitu kerana saya telah menggunakan ruang
yang sepatutnya, jika kereta kami diletakkan dengan betul, akan membolehkan
sebuah lagi kereta diletakkan. "Ah… Bukan salah aku. Salah kereta sebelah
ni…" bisik hati saya. Tetapi kemudian saya jadi terfikir. Jika beginilah
caranya saya bertindak, maka tidak perlu hairan mengapa kemungkaran
berleluasa di dalam dunia hari ini.

Saya sengaja meletakkan kereta tidak mengikut kotaknya kerana saya
berpendapat, kereta di sebelah yang mula berbuat begitu. Tindakan saya yang
'meredhakan' kesalahannya adalah satu kesilapan yang agak besar. Baiklah,
saya boleh beralasan saya tidak kenal siapa pemandunya. Tetapi yang
menjadikan masalah ini lebih besar ialah sikap saya yang turut berbuat
kesalahan yang sama dan kemudiannya menggunakan alasan 'terpaksa'.

Cuba kita letakkan contoh ini dalam kehidupan seharian kita. Sebagaimana
seorang yang memohon lesen untuk berniaga yang mahukan kelulusan segera
lesennya. Dia segera 'menjolok' orang yang menguruskan lesennya demi
menunaikan harapannya. Disebabkan itu, dia telah melangkaui beberapa
permohonan yang terlebih dahulu darinya. Apa yang terjadi kepada orang yang
dilangkaunya? Sakit hati? Sudah pasti.

Jalan mudah, dia juga turut menyogok untuk mempercepatkan kelulusan
permohonannya. Dan beginilah seterusnya sehingga akhirnya perbuatan
menyogok menjadi resam kita. Inilah yang saya maksudkan. Kerana sakit hati
hak kita diambil oleh orang lain secara biadap, maka kita bertindak
mengambil pula hak orang lain, juga secara biadap. Dengan perbuatan yang
sebegini, bilakah agaknya kesongsangan ini akan terhenti?

Sebenarnya, kita sudah terlalu banyak bertoleransi dengan kemungkaran yang
terjadi di sekitar kita dengan alasan, sudah terpaksa atau ianya sudah
menjadi kebiasaan dalam hidup kita. Tetapi, apabila diungkitkan tentang
sesuatu gejala yang besar, kita mula membebel menyalahkan orang lain
sedangkan hakikat sebenar, kita yang meninggalkan dakwah dan sibuk
berkompromi dengan maksiat, langsung tidak kita peduli.

Hari ini, apabila kejadian gejala seperti 'Mat Rempit', persetubuhan luar
nikah atau berzina, murtad dan yang lain-lainnya berlaku sebenarnya salah
siapa? Benar, pihak berwajib memang memegang saham terbesar kerana
mengenepikan pendidikan Islam tetapi apakah kita boleh berlepas tangan?
Sama sekali tidak. Setiap dari kita juga perlu merasa bersalah atas
kesongsangan ini. Kerana kegagalan kita membentuk suasana.

Iman masyarakat kita hari ini adalah iman suasana. Perbuatan zina tidak
berlaku di khalayak hanya kerana suasana kita yang menolak perbuatan itu.
Namun jika suatu masa nanti, kita sudah boleh menerima perbuatan ini dan
berzina adalah 'suasana yang direstui', tentunya melihat pasangan muda
'bertenggek' di kebun-kebun bunga bukan lagi sesuatu yang mengkengkilkan
biji mata kita.

Pentingnya menimbulkan suasan yang positif, berakhlak dan beriman di dalam
masyarakat kita sebenarnya sama pentingnya dengan minum air selepas makan.
Kita masih boleh hidup tetapi mungkin akan terbegik dan silap haribulan,
boleh mati mengejut. Jika kita gagal menimbulkan suasana sebegini, maka
janganlah bermimpi kita akan memperolehi sebuah masyarakat madani yang kaya
dengan iman dan amal.

Saya selalu terfikir. Orang di barat begitu terkenal dengan nude beach
mereka. Tanpa segan silu, semua pengunjung di situ akan berbogel seolah
ianya bukanlah perkara yang memalukan. Tetapi, orang yang sama, jika dibawa
ke tengah-tengah pusat membeli-belah yang ramai pengunjungnya, kemudain
dikoyakkan bajunya sehingga terlihat colinya, pasti akan menjerit dan
berusaha menutup dadanya.

Mengapa? Bukankah dia sudah biasa berbogel di tepi pantai? Mudah sahaja
jawapannya. Kerana suasana. Disebabkan di tepi pantai itu kesemua yang
datang berbogel, maka tidak timbul rasa malu di kalangan mereka. Malah
mungkin yang tidak berbogel yang akan jadi malu. Tetapi, di tempat yang
semua orang berpakaian, tentu sahaja berbogel, walaupun masih ditutupi
pakaian dalam, menjadi sesuatu yang amat memalukan.

Itulah hakikat suasana. Usaha gerakan Tabligh sebenarnya cuba membentuk
suasana sebegini. Suasana ke masjid, suasana menuntut ilmu, suasana beramal
dan banyak suasana-suasana lain yang diketahui diamalkan oleh para sahabat
Rasulullah saw dahulu. Sayangnya usaha yang baik ini sering ditentang oleh
bukan sahaja orang awam, bahkan AJK masjid dan surau kerana risaukan bil
air dan elektrik mereka yang akan meningkat.

Ada juga pengerusi yang tanpa segan silu meminta ahli jemaah membayar
sekian banyak bayaran demi maksud terbabit. Semuanya kerana suasana hari
ini yang begitu mementingkan duit sehinggakan ianya lebih dipentingkan
daripada usaha untuk keluar pada jalan Allah. Dan jikalau suasana sebegini
berterusan dan tidak dikekang, tidak mustahil suatu hari nanti untuk
bersolat di dalam masjid juga akan dikenakan bayaran.

Terlalu banyak suasana kerosakan yang terbentuk dalam kehidupan kita hari
ini. Sehinggakan anak menonton konsert pun kita anggapkan biasa kerana
ianya bersesuaian dengan jiwa remaja mereka. Mungkin ramai yang lupa. Jika
suasana iman tidak dapat dibentuk, malah ditentang pembentukannya, mungkin
kita sebenarnya sedang mengundang azab Allah. Sebenarnya, kita sedang
mempercepatkan qiamah…

1 comment:

Anonymous said...

sudah pun... kalau dulu kat Puduraya bawa beg, kaki lima luas boleh solat kat tepi aja... tak payah simpan beg kat situ pun tak apa...

sekarang hanya satu pintu yg menghala ke tempat simpan bag/kasut dan ke tempat wuduk sebelum masuk ke surau... pintu tepi yg bypass tempat simpan bag kena kunci...

maknanya, nak solat, utk sesiapa yg bawa bag (ada tulisan tak boleh bawa beg masuk surau), kena simpan dan bayar, pergi wuduk, solat... tak ada pilihan utk letak bag kat tepi lima lagi...

tapi surau memang dah baru lah... entah lah...

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.