20 March 2007

Teladan

Rindu rasanya hendak menulis di blog ini. Maklumlah, seminggu yang lepas saya menghabiskan masa di rumah mertua saya di Tanjung Karang kerana perkahwinan kakak ipar saya, pertunangan adik ipar berserta majlis aqiqah anak kedua saya, Nurul Nazhurah Izzati. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Sederhana tetapi meriah, di majlis itu dapat saya rasakan diterima oleh orang kampung. Perhubungan dengan warga emas di sana kian akrab.

Saya berangkat dari Johor Bahru pada hari Khamis. Di siang harinya, saya habiskan masa dengan mencuci kereta. Ketika sedang asyik menggilap kereta saya, tiba-tiba saya terdengar suara orang yang berbual dengan kuat. Oh… Abang Ramli, getus hati saya. Ketika itu, ada seorang jiran saya yang lain yang menegurnya, seorang yang cacat penglihatan, kerana memakai topi keledar walaupun hanya berjalan kaki. Memang agak kelakar juga sebenarnya.

Seketika kemudian, ketika Abang Ramli melewati perkarangan rumah saya, saya menegurnya. “Brother Ramli…!” dan disambut dengan mesra olehnya. “Han. Orang tegur saya sebab pakai helmet walaupun berjalan kaki. Saya peduli apa. Bukan kita buat benda salah pun, kan?” ceritanya dengan ramah. Memang Abang Ramli cukup cam suara orang di sekelilingnya walaupun dia tidak dapat melihat wajah mereka.

Saya meneliti topi keledar yang terikat di kepalanya. Terdapat satu lampu keselamatan berwarna merah di atasnya. “Kalau kita dah tak boleh nampak orang, biarlah orang nampak kita, kan? Kalau macam ni pun orang tak nampak juga, langgar juga, tak tahulah nak cakap apa” sambungnya lagi sambil ketawa. Saya juga turut tertawa mendengar jawapannya kerana faham benar, Abang Ramli memang orang yang sangat mementingkan keselamatan dirinya.

“Kalau orang naik motor tak nak pakai, biar orang jalan kaki je yang pakai. Itu hari lagi sedap, ada sarjan polis tu bagi saya RM10. Kata polis tu, ‘Saya tabik awak. Ini satu tamparan buat mat-mat motor…’” ceritanya lagi. Saya terus tersenyum. Terasa juga di hati saya. Maklumlah, ada masanya saya jarang menggunakan topi keledar jika menunggang motor untuk ke tempat yang dekat seperti ke masjid, misalnya.

Selesai perbualan kami, Abang Ramli meminta diri lalu pulang ke rumahnya yang terletak selang beberapa buah rumah dengan saya. Saya harus segera menyiapkan kerja saya. Kerana saya akan mengambil isteri saya pula dari sekolah sebentar lagi. Tambahan hari pula sudah mula kelihatan ‘murung’. Alhamdulillah, segalanya selesai sebagaimana yang saya rancang dan harapkan. Petang itu, selepas Zuhur saya menuju ke sekolah tempat isteri saya mengajar.

Ketika saya hendak keluar rumah, Naqibah sudah bangkit dari tidur. Dan sudah memang menjadi ‘tabiatnya’ merengek untuk ikut setiap kali melihat saya memegang kunci kereta. Kerana hanya sekadar untuk menjemput isteri saya, rasanya tidak menjadi masalah untuk membawanya bersama. Jadi Naqibah saya dudukkan di kerusi penumpang di bahagian hadapan. Gembiranya bukan kepalang kerana dapat berjalan.

Walaupun saya cukup jarang mengenakan topi keledar, tetapi memakai tali pinggang keledar ketika memandu memang jarang saya abaikan. Sebaik enjin dihidupkan, saya segera melilitkan tali pinggang keledar di tubuh saya. Dan seketika selepas memulakan perjalanan Naqibah mula merengek meminta sesuatu. “Ayah… nak akai. Nak akai…” katanya berulang kali. Rupanya dia sedang memegang tali pinggang keledar di tempat duduk sebelah.

“Nak pakai?” tanya saya. Naqibah menganggukkan kepalanya. Lalu segera menyarungkan tali pinggang keledar di tubuhnya. Dia tersenyum puas. “Ayah… akai. Qibah… akai…” ulangnya beberapa kali. Saya tersenyum. Telatah anak kecil. Mungkin Naqibah tidak pasti apa tujuan tali pinggang keledar tetapi oleh kerana dia sering melihat kami memakainya, menjadikan dia juga turut ingin ‘mencuba’ ketika menaiki kereta.

Semua ini membuatkan saya terfikir. Tentang apa yang Abang Ramli dan Naqibah lakukan. Perbuatan Abang Ramli yang memakai topi keledar walaupun berjalan kaki dikatakan tamparan buat penunggang motor oleh seorang pegawai polis. Dan perbuatan Naqibah merengek meminta dipakaikan tali pinggang keledar ketika menaiki kereta menunjukkan bahawa mendidik melalui teladan bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Tetapi sebenarnya ini bukan berkaitan soal keselamatan di jalan raya semata-mata. Ianya lebih dari itu. Perihal mendidik masyarakat melalui teladan sememangnya sesuatu yang diiktirafnya kejayaannya di dalam Islam. Malah, jika kita selusuri hadits-hadits Nabi saw, banyak yang menunjukkan bahawa kaedah inilah yang berkesan dalam menjalankan dakwah. Sama ada untuk mengIslamkan orang kafir atau mengislahkan orang Islam.

Nabi Muhammad saw diiktiraf sebagai makhluk yang paling baik akhlaqnya. Malahan, Baginda digelar sebagai al-Amin, iaitu seorang yang amat dipercayai. Sifat Baginda yang sentiasa jujur, ikhlas, bersopan dan pelbagai akhlaq mulia yang lain telah berjaya menarik bukan sedikit orang kafir untuk mempercayai apa yang telah didakwahkan oleh Baginda saw. Malah, sifat inilah yang menjadi ikutan ahli keluarga serta para sahabat Baginda.

Ada banyak peristiwa menyentuh hati yang telah Baginda saw lakukan. Antara yang paling saya ingat ialah peristiwa Baginda yang menyuapkan makanan ke mulut seorang tua yang tidak henti-henti mencelanya. Baginda tidak sedikitpun marah, bahkan teruskan menyuapnya sehinggalah suatu ketika si tua bertanya siapakah Baginda. Sebaik memperkenalkan diri, menangislah orang tua tersebut lantas menyatakan persaksiannya ke atas kenabian Baginda.

Juga peristiwa di mana Baginda saw diludah setiap kali melalui perkarang rumah seorang musyrik. Sehinggalah suatu hari, apabila Baginda melalui perkarangan rumah tersebut dan tidak diludah, maka Beginda berasa hairan lalu menziarah orang yang meludah Baginda saw di rumahnya. Sifat Baginda yang mengambil berat tentangnya melebihi kaum musyrikin lainlah yang mendorong dia untuk memeluk agama Islam.

Sayang sekali, dengan sebegitu banyak contoh dan teladan yang telah ditunjukkan oleh Baginda saw ketika hayatnya, tidak ramai di kalangan kita yang mampu mengambil pengajaran daripadanya. Bahkan apa yang kita lakukan hari ini menjadi bertentangan dengan apa yang diajar dan ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah saw satu ketika dahulu. Dengan kesemua keburukan yang ada, bagaimanakah dakwah kita akan meninggalkan kesan agaknya?

Bukan setakat terhadap orang kafir, bukan setakat kepada masyarakat, tetapi terhadap keluarga kita sendiri. Jika diri kita sendiri gagal memberatkan solat, bagaimanakah kita hendak melarang anak-anak kita meringankan solah mereka? Jika kita sendiri tidak mementingkan soal halal dan haram rezeki, anak-anak kita bagaimana pula agaknya nanti? Oleh kerana dakwah itu adalah melalui teladan, maka begitulah pentingnya kita mengIslahkan diri sendiri.

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.