22 April 2007

Yin

Alhamdulillah… Akhirnya selesai juga kes ‘penculikan’ adik Yin yang heboh diperkatakan akhir-akhir ini. Dan akhirnya, keluarga yang menyelamatkan adik Yin dibebaskan oleh pihak polis setelah siasatan mendapati mereka tidak bersalah dan tujuan mereka ‘menyimpan’ Yin adalah sebagai langkah menyelamatkan kanak-kanak itu, bukan menculiknya dan menjadikannya seorang pengemis seperti mana tanggapan umum selepas penahanan mereka.

Ada banyak reaksi masyarakat yang menyentuh hati saya yang terbangkit berikut kes ini. Antaranya adalah reaksi mereka yang menyalahkan ibu bapa Yin yang dikatakan terlalu asyik membeli-belah sehingga terlepas pandang anak mereka dan mengakibatkan kanak-kanak itu bertindak keluar dari pusat membeli-belah itu bersendirian. Sebagai seorang bapa, tentunya kata-kata sebegini mengusik perasaan saya.

Sebenarnya, ketika menumpang kereta teman saya dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Kerteh kira-kira dua minggu yang lalu, perkara ini telah dibangkitkan oleh teman saya terlebih dahulu. “Bagi aku, kalau jadi hal macam ni, memang salah ibu bapa dia,” katanya. “Kadang-kadang orang ni, tengah asyik sangat shopping, anak sendiri pun tak sedar dah pergi mana…” bebelnya lagi.

Saya pada awalnya ingin menentang kata-katanya. Tetapi apabila teringatkan teman saya ini memang telah ditakdirkan tidak memiliki anak, saya diamkan. Mungkin dia tidak memahami situasi sebenar menjaga anak. Terutamanya ‘anak tahun 2000’. Saya sendiri memiliki anak yang kini berusia dua tahun. Tidak dapat tidak, saya mesti mengakui menjaga anak saya terutamanya ketika membeli belah bukanlah semudah ABC.

Bukan setakat saya, malahan ibu saya, yang telah melahirkan dan menjaga enam orang anak juga mengakui hakikat yang sama. Begitu juga kakak saya yang mana anak-anaknya kini sudah mencecah usia remaja. Katanya, cabaran menjaga ‘anak-anak milineum’ ini memang berbeza. Bukan setakat anak saya, bahkan boleh dikatakan anak-anak saudara saya yang lain. Mereka lebih bijak berbanding kita ketika seusia mereka dahulu.

Mungkin kerana faktor pemakanan atau mungkin juga suasana yang berbeza menyebabkan ini terjadi. Saya percaya, mereka yang punyai anak sebaya saya ataupun Yin, akan mengakui hakikat yang sama. Tambahan kanak-kanak seperti Yin yang dikatakan hiperaktif, tentunya masalah ini berganda. Jadinya untuk meletakkan kesalahan ke bahu ibu bapanya semata-mata saya rasakan cukup tidak adil buat mereka.

Tetapi yang lebih mengharukan ialah, peristiwa yang berlaku selepas penemuan Yin. Pasangan dari Myanmar yang memelihara Yin telah ditahan polis untuk siasatan atas tuduhan culik dan berniat menjadikan Yin sebagai pengemis. Terus-terang, saya pada awal mendengar berita ini serta-merta menjadi marah. Geram kepada pasukan polis dan ibu bapa Yin kerana tidak berterima kasih kepada pasangan yang menyelamatkan anak mereka.

Tetapi kemudian, selepas memerhatikan fakta yang dikemukakan, saya jadi terdiam. Rasanya, pihak polis berhak melakukan siasatan. Ada rasionalnya juga jika difikirkan tentang tempoh 15 hari Yin dalam simpanan mereka, tentang kudis pada kaki Yin, kepala yang dibotakkan atas alasan demam campak yang kemudiannya dinafikan oleh doktor dan juga dakwaan orang yang pernah melihat Yin mengemis sebelum ini.

Bersalahkah pihak polis? Pada pendapat saya tidak. Penyiasatan perlu dijalankan. Ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang lagi. Kita tidak mahu selepas ini muncul lagi orang yang menjadikan ini seperti satu ‘industri’. Menculik anak orang lain dan apabila ada tawaran wang ringgit dikeluarkan, maka dipulangkan dan dapatlah menangguk di air keruh dengan penuh suka ria.

Begitu juag dengan ibu bapa Yin. Sebenarnya tidak timbul soal melepaskan anjing tersepit di sini. Mereka berhak merasa khuatir tentang keselamatan dan kebaikan anak mereka. Jadi, jika ada perkara yang mendatangkan syak pada mereka, tidak salahlah untuk mereka laporkan kepada pihak polis. Melainkan jika cerita itu sengaja diada-adakan. Dan seperti yang saya katakan tadi, pihak polis hanya menahan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Mereka belum didakwa di mahkamah lagi. Jadi yang bersalah di sini sebenarnya adalah masyarakat umum yang secara sengaja telah menuduh pasangan Myanmar itu besalah sebaik sahaja mereka ditahan untuk siasatan. Mereka inilah yang bersalah yang menjatuhkan hukuman sebelum pertuduhan dapat dibuktikan. Jika diteliti, pihak polis sendiri belum mensabitkan pasangan itu dengan apa-apa kesalahan.

Di sinilah masalahnya. Masyarakat kita yang begitu cepat ‘menjatukan hukum’ bersalah atau tidak hanya dengan mendengar berita mereka ditahan tanpa mempedulikan apakah hasil siasatan yang bakal diperolehi nanti. Kononnya, ‘seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’. Tetapi oleh kerana pasangan ini berasal dari Myanmar, tambahan pula mereka orang miskin, maka mereka didapati bersalah walaupun belum dibuktikan begitu.

Dalam hal ini, kita perlu berfikiran terbuka sebenarnya. Menuduh ibu bapa Yin sebagai tidak mengenang jasa dan menyalahkan pihak polis yang menjalankan siasatan bukanlah perbuatan yang bijak. Begitu juga menuduh pasangan itu sengaja menculik Yin untuk mendapatkan wang saguhati juga sebagai tindakan yang zalim. Pihak polis dan keluarga Yin hanya melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Kini pasangan tersebut sudah disahkan tidak bersalah. Tentu semua orang boleh berpuas hati kini. Maruah mereka juga mungkin sudah dibaikpulih selepas tersiarnya berita yang sebenar. Dan langkah selanjutnya dari pihak keluarga Yin, menyerahkan wang RM25 ribu yang dijanjikan kepada pasangan ini secepat mungkin. Wang itu milik mereka dan telah menjadi haram ibu bapa Yin menyimpan wang itu tanpa izin pasangan Myanmar tersebut.

Satu perkara positif yang saya lihat tentang kisah kehilangan Yin ini adalah, betapa bersatunya seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang ‘bergelumang’ dengan alam siber ini. Mungkin ada yang pelik mengapa kes ini kelihatan seperti istimewa sehingga mendapat perhatian Ketua Polis Negara sendiri. Bagi saya mudah. Kerana ‘promosi’ dan hebahan yang dilakukan yang begitu besar-besaran oleh rakyat negara ini.

Akhbar (terutamanya Harian Metro), sahabat handai keluarga itu dan rakan-rakan di alam siber yang begitu cepat menyebarkan berita ini menjadikan ianya perhatian umum dalam masa yang sekejap. Dengan perhatian dari pihak umum yang begitu meluas, tidak hairanlah pihak polis terpaksa memberikan tumpuan yang lebih terhadap kehilangan Yin. Kerana umum sedang menilai kredibiliti mereka berdasarkan kes ini.

Penyatuan dan kerjasama sebegini diharap akan dapat diteruskan pada masa akan datang. Keselamatan dan kesejahteraan masyarakat itu tanggungjawab sesebuah masyarakat itu sendiri. Pihak berkuasa seperti polis hanya membantu mempermudahkan tugas ini. Dengan kerjasama erat pihak berkuasa dan rakyat keseluruhannya, insyaAllah, banyak lagi kes boleh diselesaikan. Asalkan pihak polis tegas dan jujur kepada amanah yang mereka galas.

Dan kita juga perlu mengambil perhatian yang serius terhadap sau perkara. Baik buruk seseorang itu tidak ditentukan oleh negara kelahiran mereka. Begitu juga, tidak semua orang miskin sanggup melakukan kerja kotor dan hina untuk mendapatkan wang. Malahan, ada kalanya orang kaya lebih jahat kerana mereka sanggup ‘menyembelih’ kaum mereka sendiri demi untuk survival mereka…..

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.