25 January 2007

Bersolek

Beberapa hari lepas saya pulang ke kampung isteri saya di Tanjung Karang. Pada hari Ahad, saya berkesempatan ke pasar minggu. Kebetulan ibu mertua saya juga teringinkan sate. Sambil itu, saya iringkan adik dan kakak ipar saya ke sebuah kedai menjual barangan elektrik. Mereka ingin membeli sebuah peti sejuk bagi menggantikan unit lama di rumah kami yang sudah uzur benar. Ketika pembayaran dibuat, ia diuruskan oleh seorang perempuan berbangsa Cina.

Seperti biasa, Naqibah akan melilau ke sana ke sini walau ke mana pun kami pergi. Dan ini menarik perhatian perempuan tadi. Akhirnya, kerana tidak larat mengejarnya selalu, saya mendukung Naqibah. Ketika itu, perempuan Cina tadi terlihatkan anting-anting yang tergantung di telinga Naqibah. “Aik? Kecik lagi pun you sudah tebuk dia punya telinga ka?” tanyanya merujuk kepada tindik di telinga anak saya.

“Yalah. Masa kecillah senang. Kalau dah besar nanti dia takut pula.” Jawab saya. “You orang Melayu pakai tudung tak payah tebuk la. Nanti you pakai anting-anting cantik punya, bila pakai tudung sudah tak nampak” ujarnya. “Wah… You sudah salah konsep. Orang lain tak nampak tapi dekat suami nampak. Orang Melayu bersolek bukan untuk orang lain tapi untuk suami dia…” balas saya. “O… Ya ka?” jawabnya sambil ketawa.

Saya tidak pasti sama ada perempuan itu memang benar-benar tidak tahu atau sebenarnya hanya berniat hendak mempermainkan dan menyindir orang Melayu khasnya dan orang Islam amnya. Tetapi saya cukup tertarik dengan topik yang diutarakan. Memang benar. Pada pandangan orang bukan Islam, jika sudah pakai anting-anting yang mahal, bukankah satu kerugian jika disembunyikan?

Begitu juga jika sudah memiliki rupa paras yang cantik. Bukankah sayang jika disembunyikan di sebalik purdah. Dan juga jika memiliki bentuk badan yang menawan, bukankah rugi jika situtupi oleh jubah yang labuh? Mungkin kerana itu mereka suka mempamerkan bentuk tubuh mereka untuk tatapan umum. Seperti yang baca mengenai sesetengah artis barat, mereka menganggap rupa cantik dan tubuh menarik sebagai anugerah yang mesti dipergunakan.

Tetapi Islam tidak begitu. Islam tidak menjadikan perempuan atau wanita sebagai objek seks untuk memuaskan nafsu pandangan orang lelaki. Islam juga tidak menyusahkan perempuan sehingga terpaksa bersusah-payah menghias tubuh badan agar kelihatan menarik. Sebaliknya Islam menghargai perempuan dengan mengambil kira kebolehan dan kepandaian mereka sahaja. Rupa dan tubuh tidak dijadikan persoalan.

Seperti duit. Ya, seperti duit. Cuba kita lihat, boleh dikatakan hampir semua manusia akan menyembunyikan duit mereka. Sama ada di bank, bawah bantal mahupun sekadar di dalam dompet. Mengapa? Kerana duit amat berharga dan mereka tidak mahu duit itu dirampas oleh orang lain. Dan sebegitulah wanita dilayan di dalam Islam. Jubah, jilbab dan tudung bukanlah untuk menyiksa sebaliknya untuk melindungi mereka yang dianggapkan amat berharga.

Lihat keadaan kita hari ini. Tanpa perlaksanaan sistem Islam yang syumul ini, boleh kita lihat berapa banyak kesongsangan yang terjadi. Saya yakin kita biasa melihat bagaimana seorang perempuan yang tidak berkelayakan tetapi disebabkan rupa paras yang menarik, ditambah lagi dengan bentuk tubuh yang menawan dan sering berpakaian seksi, mereka dapat menjawat jawatan yang boleh dikatakan penting.

Bagaimana pula dengan perempuan yang kurang cantik, bertubuh gempal dan sebagainya? Mereka ini, walaupun berkelayakan, selalunya terpinggir. Malah adakalanya menjadi mangsa kepada wanita-wanita yang berwajah jelita tetapi tidak pandai bekerja itu. Di sinilah letaknya salah satu kecantikan Islam. Islam menolak deskriminasi sebegitu. Bukankah ini satu lagi bukti mengapa sistem Islam wajib dijalankan di negara ini?

Tetapi hari ini, bukan sahaja orang kafir bahkan orang Islam sendiri menolak konsep yang sebegini. Bukan sedikit perempuan yang mengaku Islam tetapi berpakaian mengalahkan orang kafir. Dan bukan juga sedikit wanita Islam yang sanggup berhabis gaji sebulan semata-mata untuk mendapatkan kosmetik yang terkini dan kononnya terbaik. Itu tidak dikira kos untuk spa, ubat menguruskan badan dan mengempiskan perut serta rawatan botox.

Apakah Islam melarang wanitanya berusaha untuk kecantikan? Tidak. Bahkan ianya digalakkan. Tetapi biarlah kena pada tempatnya. Sayangnya wanita Islam hari ini lebih suka bersolek untuk konsep yang tidak betul. Jika keluar rumah bukan main cantik jelitanya. Mengalahkan ratu. Wanginya, mengalah Pontianak Harum. Tetapi, jika di rumah, huduhnya mengalahkan hantu. Baunya pula… Mana ada bau peluh yang sedap?

Inilah kesilapan dalam memahami konsep yang Islam terapkan. Allah telah menjadikan perempuan itu sebagai daya penarik. Sememangnya kebanyakan lelaki akan tumbang dengan kecantikan wanita. Maka kerana itu Allah membenarkan wanita untuk bersolek. Tetapi bukan untuk orang lain. Sebaliknya hanya untuk suami. Supaya hati suami senang. Supaya suami terhibur dan hilang keletihan akibat bekerja sebaik melihat wajah isteri di rumah.

Bukan sahaja perempuan. Bahkan lelaki juga perlu begitu. Jika ke pejabat, bukan main lagi kacaknya, dengan tali leher sebesar ketupat, dengan blazer dan rambut tersisir rapi, mengapa ketika di rumah cukup hanya berkain pelikat dan bersinglet yang menampakkan ketiak. Sudahlah begitu, bulu ketiaknya pula berselirat. Hinggakan jika kutu melihatpun pasti berkenan. Sesuai dijadikan tempat pembiakan, katanya.

Allah menyintai kecantikan. Allah menghargai kebersihan. Maka itulah yang perlu dilakukan. Mungkin tidak perlu sehingga si isteri bersolek seperti wayang pek-ji atau si suami memakai tali leher ketika di rumah. Tetapi sekurang-kurangnya, janganlah terlalu selekeh dan pengotor. Biarlah kemas dan bersih. Barulah menepati konsep isteri sebagai penghibur suami dan suami sebagai penghibur isteri…

Saya amat berharap suatu hari nanti, saya tidak lagi perlu menahan mata ini dari melihat keliling. Sebagai lelaki muda yang sihat, tentu sahaja saya tidak dapat menahan mata saya dari melihat ‘kecantikan’ di luar sana. Ditambah pula dengan iman yang tipis, ianya kelihatan seakan mustahil. Tetapi sekiranya nanti wanita benar-benar hanya bersolek untuk suami mereka, tentu sekali tugas saya menjaga iman sendiri menjadi lebih mudah.

Di sebelah kanan, tidak ada lagi perempuan yang rambutnya ala-ala teknik rebonding. Di sebelah kiri, tidak ada lagi wanita yang ‘berbogel’ di tengah bandar. Begitu juga di hadapan, belakang, atas dan bawah. Yang ada, hanya wanita-wanita muslim yang pakaiannya terjaga. Mereka mungkin cantik, mereka mungkin menarik, tetapi yang tahu hanya suami dan juga mahram mereka. Semoga Allah menjadikan ianya sekali lagi suatu kenyataan…

2 comments:

Anonymous said...

nak berkongsi pengalaman saya balik kampung bila singgah kedai cina dan berborak sementara menunggu pakcik datang,mereka suami isteri cina bertanya dengan hairan kenapa saya pakai tudung sedangkan pemimpin sendiri takpakai tudung,dan bertanya adakah saya hanya pakai tudung bila balik kampung sahaja sebab dia perasan ramai anak gadis sopan pakai tudung bila balik kampung tapi jadi hantu dedah sana sini bila ke bandar.saya jelaskan saya bukan macamtu dan agak susah juga nak menjelaskan pasal orang islam lain yang taknak jaga aurat apatah lagi pemimpin sendiri.Dari situ dapat lihat yang orang2 cina atau kaum lain sendiri cukup-cukup pelik dengan pegangan orang islam yang sebenar..

Anonymous said...

Sungguh, harap pegangan saya terhadap Islam x selonggar tu. Arap abg blogger and other viewers leh doakan kami pelajar2 nk ke oversea ni, cuak gak. doa agar kami x seperti lalang...ataupun anak rimau yg nk jadi seperi anak kambing mempunyai tanduk.

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.