05 February 2006

Apa Kata Orang


Baru² ini saya ada berhubung dengan seorang teman saya. Teman saya ini,
baru bertunang. Belum lagi sebulan. Jadi, keseronokannya masih terasa.
Kerana itulah agaknya, kisah yang kami ceritakan lebih banyak berkisar
tentang majlis pertunangannya, perancangan masa depannya dan berkenaan
tunangnya sendiri, seorang ustaz. Dan saya sebenarnya amat tertarik kepada
satu perkara yang diketengahkan olehnya.

Menurut teman saya tadi, tunangnya mahukan dia bertudung labuh (atau ada
yang memanggil tudung bulat). Bukanlah teman saya tidak bertudung. Tetapi
mungkin pada pandangan seorang ustaz, tudung yang kebiasaannya dipakai oleh
kebanyakan wanita hari ini tidak memadai (memang pun...). Baguslah, respon
saya sebagai tanda sokongan buatnya. Bukanlah teman saya tidak suka
bertudung begitu, tetapi ada beberapa perkara yang dirisaukannya.

Satu, katanya dia tidak layak berpakaian sebegitu. Dan kedua, dia
bimbangkan pandangan orang atau teman sepejabatnya apabila melihat imej
barunya selepas berkahwin nanti. Saya tertawa mendengar cakapnya.
"Pedulikan apa orang nak kata..." Saran saya kepadanya. Mungkin reaksi saya
membuatkan dia sedikit 'terasa'. "Awak ambil mudah semua perkara!" Balasnya
kepada saya yang membuatkan tawa saya semakin besar.

Sebenarnya, ini bukan masalah teman saya seorang. Rasanya hampir semua
orang yang pernah cuba berubah pernah juga menghadapi dilema yang sebegini.
Memang itulah hakikatnya. Apabila kita hendak berubah, yang selalu kita
fikirkan adalah apa yang akan orang perkatakan. Yang kita bimbang ialah
kita akan ditertawakan. Atau mungkin dengan alasan yang lebih 'mulia'
sedikit, kita tidak mahu merosakkan imej Islam...

Sewaktu saya mula² hendak berubah, saya juga mengalami perkara yang sama.
Apabila hendak solat, saya pastikan orang tidak nampak. Kemudian, ketika
mula berjinak² hendak ke masjid, sengaja saya simpan kopiah ketika memandu.
Agar orang tidak perasan bahawa saya sebenarnya hendak ke masjid. Sebabnya,
saya risau jika bertembung dengan teman² 'seperjuangan', mereka akan
tertawakan saya.

Tetapi Alhamdulillah, kini saya tidak menyorok lagi. Malah saya memandu ke
masjid dengan kurta dan seban yang siap terlilit di kepala. Bukan tidak
pernah terserempak dengan teman² lama, bahkan selalu. Tetapi belum pernah
lagi saya ditertawakan atau diejek. Tidak tahulah saya jika di belakang
saya. Cuma apa yang mereka katakan kepada saya, melihat imej baru saya
membuat mereka terasa ingin turut bersama. Segala puji bagi Allah...

Mengapa ya, kita sering memikirkan apa yang akan orang kata tentang kita
apabila kita hendak berubah ke arah kebaikan? Apakah melakukan amal itu
dilihat sebagai perkara yang memalukan? Apakah bertuduh labuh itu hina?
Atau berjubah / kurta itu kelihatan huduh? Atau sebenarnya kita risau,
dengan latar belakang kita yang 'hitam', maka orang akan mempersoalkan
selama mana imej baru kita itu akan bertahan? Atau apa?

Tetapi yang peliknya, apabila kita melakukan kemaksiatan, kita jarang fikir
apa yang orang akan perkatakan. Contohnya, seorang gadis memakai pakaian
yang singkat, sendat lagi 'padat', boleh berjalan dengan selamba di tengah
bandar yang sesak dengan orang ramai. Tidak terbit pula rasa malu
menunjukkan sebahagian besar dari kulit gebunya kepada orang ramai
sedangkan itu sebahagian dari aibnya sendiri.

Akan tetapi, apabila gadis itu hendak berubah menjadi baik, apabila hendak
menyarungkan tudung di kepalanya, dia akan berfikir bukan setakat 2, 3
kali. Bahkan belasan malah mungkin puluhan kali. Saya pun merasa pelik di
sini. Entah apa sebabnya menutup aurat itu lebih memalukan dari mendedahkan
badan. Dunia ini benar² sudah terbalik agaknya. Jika tidak, masakan perkara
sebegini boleh berlaku.

Sebagaimana seorang lelaki begitu bangga mengusung anak dara orang ke dalam
panggung wayang. Selain menonton, mereka juga 'sama² berlakon'. Kemudian,
dengan bangga cerita kepada kawan² "Aku dah explore anak Pak Abu tu
dah...". Akan tetapi, apabila masuk ke masjid atau kelas² agama, bukan
setakat dirahsiakan dari kawan², malah jika terserempak dengan mereka, rela
bersembungi berjam² lamanya.

Hm... Beginilah. Kalau kita hendak ikut apa yang orang kata, maka sampai
kiamat pun kita tidak akan berubah. Sebab itu saya katakan kepada teman
saya tadi, pedulikan saja apa orang hendak kata. Jika kita hendak turutkan
sangat cakap² orang, apakah nanti di hadapan Hakim Segala Hakim alasan
sebegini boleh diterima pakai? Tidak... Kita nanti akan dipertanggung
jawabkan atas amalan kita sendiri.

Lalu mengapa apa yang orang kata itu selalu kita masukkan dalam akaun?
Buangkan sahaja. Selagi kita yakin apa yang kita lakukan tidak menyalahi
agama, maka lakukanlah. Untuk mereka yang mentertawakan atau mengejek atau
apa saja perbuatan yang menyakitkan hati kita, biarkanlah dan maafkanlah
mereka. Dan kalau boleh, ucapkanlah terima kasih kepada mereka kerana
memberikan kita pahala tambahan.

Sebenarnya, pemakaian kita sedikit sebanyak ada menyumbang dalam menjaga
perlakuan kita. Dengan berjubah dan berserban, apakah kita masih ingin
melihat gadis² murahan di tepi jalan sehingga hampir² tersembul biji mata?
Saya rasa tidak. Dan bagi perempuan, apakah dengan bertudung labuh kita
masih mahu duduk berkumpul dengan teman² sambil meratah daging saudara
sendiri (mengumpat)? Saya kira juga tidak.

Maka itu, bukankah lebih baik jika kita berpakaian lebih elok? Mudah²an,
dengan pakaian sebegitu, akan bertambah kuat akar keimanan kita. Bukanlah
bermaksud kita perlu sujud hingga hitam dahi baru hendak memakai serban.
Tidak. Akan tetapi, mungkin setelah kepala kita berlilit serban akan
menjadikan iltizam kita bertambah kuat untuk lebih beribadah. Berpakaian
sebenarnya bukan apa yang kita suka. Sebaliknya apa yang kita dituntut...

Di akhir perbualan kami, saya katakan kepada teman saya agar bergembiralah
kerana tunangnya sebenarnya sedang mengukir namanya di syurga. Kerana apa
yang diminta oleh tunangnya adalah perkara yang sememangnya elok. Bukanlah
perkara yang dilarang oleh syarak. Dan ianya bukanlah perkara yang melampau
susahnya untuk diamalkan. Terpulanglah untuk dia menerima kata saya atau
tidak.

Perbualan dengannya membuat saya berfikir panjang. Betapa sebenarnya
pandangan dan pendirian masyarakat kita ini perlu diubah. Di sinilah
letaknya da'wah. Dan di sinilah letaknya kepentingan pendidikan agama.
Kerana pandangan masyarakat sendiri boleh membentuk keperibadian individu.
Masyarakat yang memandang baik perbuatan maksiat tidak akan menghasilkan
individu yang beramal soleh dan begitulah sebaliknya.

Kini saya sendiri berazam di dalam hati. Tidak mahu lagi peduli cakap²
orang. Tidak mahu lagi peduli cakap² belakang. Takut nanti menepati bidalan
orang² tua. "Ikut cakap enggang, makan buah belolok. Ikut cakap orang,
masuk dalam lubuk." Wana'uzubillah...

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.