11 February 2006

Cinta, Kasih Dan Sayang

Di suatu petang, saya melihat seorang teman saya yang beragama Kristian sedang menyusun kertas² yang terpampang gambar Jesus bersama beberapa keping kertas lain yang mengandungi doa mereka. Teman saya tadi memaling kepada saya sambil berkata "This is what we believe is Jesus." Saya hanya tersenyum. Saya tahu teman saya ini memang seorang Katolik yang kuat pegangannya.

Kemudian dia menyambung, "Bayangkan kalau gambar Jesus ini orang tukar menjadi kartun. Atau dilukis sebagai pengganas. Tentu kami marah. Sebab itu saya tentang perbuatan akhbar Denmark tersebut." Katanya merujuk kepada penghinaan terhadap Nabi Muhammad saw. Dia kemudian meneruskan kerja² menyusun lembaran² tersebut sebelum berpaling kepada saya dan bertanya "Mengapa Nabi Muhammad (saw) larang muslim sembah idol?"

Saya menarik nafas seketika, memandang tepat ke matanya dan cuba memberikan jawapan dengan jelas. "Because God is so great. Tidak ada yang boleh menyamaiNya." Dia terangguk². "We're different. Jesus was born." "But do you know what God looks like?" Tanya saya pula. Dia menggeleng. Kemudian tersenyum sambil mengangguk²kan kepala yang saya kira isyarat bahawa dia memahami apa yang cuba saya terangkan.

Sebenarnya sudah banyak kali dia bertanya tentang Islam kepada saya. Dan setiap kali, Alhamdulillah, saya mampu memberikan jawapan yang dia perlukan. Dalam hati saya sering berdoa semoga dia diberikan hidayah dan memeluk Islam. Walaupun umurnya sudah menghampiri 60 tahun, namun mengIslamkannya bukan sesuatu yang sia². Semoga anda semua juga sudi berdoa untuknya. Amin...

Namun bukan itu yang ingin saya kisahkan di sini. Sebenarnya, pada pandangan saya ada sesuatu yang menarik tentang teman saya ini berkenaan fahaman dan pegangannya terhadap agama anutannya. Iaitu tentang rasa cintanya terhadap Jesus. Dia benar² yakin bahawa Jesus dilahirkan untuk menyelamatkan manusia. Kerana itu, dia lebih menyayangi Jesus dari kaum keluarganya sendiri.

Di dalam dompetnya, terdapat berbagai² gambar Jesus dalam pelbagai bentuk dan warna. Di biliknya, di tepi katil, tergantung salib yang menurutnya dicium setiap kali sebelum tidur. Di atas mejanya pula, terdapat Bible dan buku Daily Prayers yang dibacanya setiap hari. Begitu mendalam sekali rasa sayangnya terhadap agama yang dia anuti. Terkadang rasa kasihan saya terhadapnya yang mencintai perkara yang sia²...

Kebetulan, dalam sebuah egroup yang saya setai terdapat perbalahan mengenai posting seorang sahabat bertajuk 'Cinta Orang Hindu Dan Cinta Orang Islam'. Terdapat berbagai respon yang, ada yang bernas dan tidak kurang juga yang mempamerkan kejahilan tukang komen dalam pengetahuan agama. Terkadang merimaskan, akan tetapi terkadang terasa 'seronok' pula melihat mereka ini bercakaran.

Dalam postingnya itu, saudara Rozamal Malakan (http://waghih.blogspot.com) menyebut tentang perbezaan orang Hindu mengamalkan agamanya berbanding dengan orang Islam yang, pada pendapat saya, ada banyak betulnya. Tetapi kata orang, kebenaran itu pahit. Maka kerana itu mungkin ada orang yang tidak dapat menerima. Atau mungkin juga kerana pengaruh fahaman politik dalam fikiran.

Biarkanlah. Saya juga tidak berminat untuk membuat komentar atau membincangkannya di sini. Akan tetapi, tujuan maksud sebenarnya saya menulis adalah tentang perkara yang sama. Tentang rasa cinta, kasih dan sayang. Tentang perasaan kita yang Allah kurniakan sebagai nikmat yang tak terhingga secara percuma ini. Tentang perasaan yang kerananya lahir berbilion umat manusia pada hari ini.

Jika kita lihat, penganut agama lain selain Islam, mereka dengan mudah dapat menzahirkan rasa cinta mereka kepada tuhan² mereka. Teman saya tadi dengan gambar Jesus dan salibnya. Orang² Hindu dengan patung² dewa mereka manakala penganut Buddha dengan patung Buddha mereka. Atas nama cinta, mereka bawa ke mana² patung² ini. Dan mereka memuliakan patung ini lebih dari diri mereka sendiri.

Dan kita, sebagai orang Islam, tidak ada sebarang berhala untuk disembah. Malah junjungan kita, Nabi Muhammad saw juga kita dilarang menggambarkannya. Lalu bagaimana hendak kita zahirkan perasaan cinta kita kepada agama kita? Kepada Allah? Kepada Rasulullah saw? Sedang kita dilarang dari menjadikan nama Allah sebagai perhiasan dan aksesori badan seperti loket atau anting² atau sebagainya?

Hm... Rasanya hampir semua orang pernah bercinta. Malah kini, kanak² sekolah rendah juga sudah pandai berpacaran. Ingin saya bertanya. Bagaimana agaknya kita menzahirkan rasa cinta kita kepada pasangan kita? Adakah cukup sekadar melafazkan kata "I love you"? Atau dengan mengorbankan harta dan nyawa kita untuk membahagiakan pasangan kita? Atau bagaimana sebenarnya?

Lazimnya, orang yang sedang hangat dilamun asmara, jika keluar berdating akan cukup menjaga penampilannya. Satunya kerana hendak kelihatan menarik di hadapan pasangan kita. Selain itu kerana bimbang jika kita memalukannya. Iyalah... Rasanya tidak ada yang sanggup keluar berpacaran dengan memakai kain pelikat cap Gadjah Duduk dan bert-shirt Pagoda. Maunya lari pasangan kita nanti.

Anehnya, ketika kita 'berdating' dengan Kekasih Yang Haq, kita tidak begitu peduli dengan penampilan kita. Bukan setakat pakaian yang selekeh, malah kadang bau badan yang cukup tidak menyenangkan. Apakah itu caranya kita menzahirkan rasa cinta kita kepada Allah? Benar, yang penting niat yang baik. Tetapi, apakah kita tidak berniat kelihatan menarik di hadapan Allah seperti mana kita cuba lakukan di hadapan pasangan kita?

Tiba² saya teringat. Tidak sampai sebulan yang lepas, saya dan isteri saya keluar untuk menandatangani surat perjanjian pinjaman perumahan kami. Ketika menuju ke pejabat peguam, kami melalui sebuah restoran makanan segera McDonald. Lalu isteri saya membisikkan keinginannya untuk menikmati Prosperity Burger yang muncul hanya sempena sambutan Tahun Bari Cina. Saya berjanji kami akan dapatkannya ketika perjalanan pulang.

Akan tetapi, ketika menuju ke kereta, kami melalui jalan yang lain. Akibatnya saya terlupa. Kemudian apabila isteri saya menyebutnya sekali lagi, dengan mudah saya jawab "Lain kali." Isteri saya tidak marah tetapi dari raut wajahnya saya tahu dia sedikit hampa. Atas nama rasa cinta, saya naik semula, dengan alasan hendak membayar tiket parking, dan kemudian singgah ke restoran tersebut untuk menunaikan permintaan isteri saya.

Apabila saya tunjukkan kepada isteri saya, dia agak terkejut tetapi riak wajahnya sungguh gembira (mengidam kot?). Saya juga merasa puas dan seronok. Memang kita akan gembira apabila dapat memenuhi permintaan orang yang kita sayangi. Kita pasti gembira jika kita mampu membuat orang yang kita kasihi gembira. Tetapi, apakah kita pernah membuat Yang Maha Penyayang gembira?

Kita sanggup bersusah payah demi cinta kepada pasangan kita. Namun sejauh mana kita bersusah payah demi cinta kepada Allah? Sebanyak mana kita berkorban demi memenuhi permintaan Allah? Apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu, sejauh manakah keikhlasan kita dalam melakukannya? Kita solat. Kita puasa. Tetapi sejauh manakah ibadah solat dan puasa itu kita tujukan buat Allah?

Inilah persoalannya. Inilah masalah kita. Mudah untuk melafazkan rasa cinta terhadap Allah. Terhadap Rasulullah. Tetapi mengapa begitu sukar untuk menterjemahkannya dalam bentuk perbuatan? Kita marah Rasulullah saw dihina dalam bentuk karikatur. Kononnya kerana kita menyayangi dan menyanjungi Baginda saw. Tetapi dalam masa yang sama kita enggan mengikuti ajaran Baginda. Apakah itu cinta namanya?

Baginda saw berpesan, seburuk² perbelanjaan adalah ke atas bangunan. Tetapi kita masih mahu berbelanja besar untuk rumah yang sementara ini. Apakah itu taat namanya? Rasulullah saw berpesan, tidak ada solat bagi lelaki yang menjadi tetangga masjid, tetapi kita tetap bersolat sendirian di rumah dengan berbagai alasan yang remeh (termasuklah menonton AJL). Apakah itu yang kita maksudkan menyayangi Rasulullah saw?

Murahnya cinta kita untuk Baginda saw. Sedangkan Baginda saw begitu amat² sangat menyayangi kita. Sehinggakan di saat sakaratul mautnya, Baginda masih menyebut² tentang kita. Baginda saw lupa akan kesakitan sakaratul maut hanya kerana risaunya terhadap kita. Sayangnya Baginda saw hanya bertepuk sebelah tangan. Kita lebih senang menyintai dunia yang telah Baginda saw sebutkan sebagai cinta yang sia².

Hari ini, demi sedikit nikmat dunia, kita lupakan janji kita untuk menyayangi Allah dan RasulNya sepenuh hati. Demi kerana kasih kita kepada keluarga, kita sisihkan rasa kasih Yang Maha Pengasih. Jika beginilah cara kita menyintai Allah, iaitu dengan mengingkari perintah dan laranganNya, maka tiak perlu dihairankan jika kita dihina oleh bangsa² dan penganut² agama lain.

Sebenarnya kita lebih mudah untuk menyintai Allah, untuk menyintai Rasulullah saw berbanding dengan penganut² agama lain. Kita tidak perlukan patung untuk berada hampir kepadaNya. Dengan setiap ibadah kita, kita sebenarnya menghampirkan diri kepadaNya. Setiap hari kita solat 5 waktu, kita lafazkan dua kalimah syahadah sekurang²nya 9 kali sehari. Bayangkanlah betapa dekatnya Allah dengan kita.

Bukan dengan bentuk zahir, bukan dengan cara fizikal. Sebaliknya Allah terus berada di dalam hati kita. Jika kita melakukan ibadah² itu dengan keikhlasan di tahap yang maksimum. Dan dengan doa² yang diajarkan oleh Rasulullah saw, kita akan bersama Allah bukan setakat ketika jaga, malah ketika tidur. Bahkan ketika kita melepaskan hajat, Allah ada bersama kita. Bukankah sebenarnya kitalah golongan yang paling beruntung?

Cinta orang Islam dan cinta penganut agama lain memang tidak sama. Masing² mempunyai cara yang berbeza. Tetapi, jika orang² kafir boleh menzahirkan rasa cinta mereka terhadap tuhan mereka dengan bersusah payah, mengapakah kita tidak mampu melakukannya? Sedangkan pada hakikat, kita yang lebih mudah untuk menyintai Allah. Tidak perlu berbelanja besar. Hanya perlukan sekeping hati yang ikhlas.

"Ya Allah! Jadikanlah kami hamba yang ikhlas menyintaiMu ya Allah! Janganlah Engkau jadikan kami hamba yang lalai. Dan janganlah Engkau jadikan kami terlepas dari limpahan kasih sayangMu ya Allah. Amin. Ya Rabbal 'Alamin..."

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.