20 February 2006

Gadis Melayu

Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati, tiada memikat? Kalaulah memang tak mungkin aku tertarik. Kalaulah memang tak mungkin aku kan jatuh…” Begitulah bunyinya lirik lagu dedangan asal Othman Hamzah yang dinyanyikan semula oleh Jamal Abdillah dan diikuti oleh Mawi kemudiannya. Jika dinilai berdasarkan lirik lagu ini, tentulah gadis Melayu ini begitu hebat sekali personalitinya.

Di antara gadis² seluruh dunia, tiada yang sehalus mulus oh setulus dia.” Sekali lagi lagu ini begitu memuji gadis Melayu. Hebat. Dibandingkan dengan gadis² seluruh dunia. Bayangkan, orang Arab, Inggeris, India, Pakistan, Bangladesh waima gadis Denmark sekalipun tidak mampu menandingi keayuan dan kelembutan gadis Melayu. Fuh! Anda bersetuju dengan fakta ini? Disebabkan isteri saya juga Melayu (Jawa), maka saya terpaksalah bersetuju :)

Akan tetapi, siapakah sebenarnya gadis Melayu yang begitu hebat sekali dialunkan melodinya oleh 3 penyanyi terkemuka ini? Adakah mereka (gadis²) yang di dalam databasenya di Jabatan Pendaftaran Negara tertulis keturunan mereka sebagai Melayu layak dipanggil gadis Melayu? Siapa Melayu pula sebenarnya? Yang kulitnya sawo matang? Jadi yang berkulit cerah bukanlah orang Melayu? Atau kita ikut saja definisi Perlembagaan bahawa Melayu itu mesti Islam?

Baiklah, kita tinggalkan dulu cerita itu. Sekarang ini, saya ingin mengajak anda kembali ke era 80an dahulu. Jika anda sudah lahir dan sudah mampu mengingatlah. Di kala itu, jika di hadapan kita disebut tentang seorang wanita yang berpakaian ketat, bajunya hanya sekerat sehingga menampakkan pusat dan hidungnya pulak bertindik, siapakah yang akan terlintas dalam pemikiran kita?

Saya tidak tahulah anda tapi jika saya, sudah pastinya saya akan terbayangkan seorang aci (perempuan India tua) dengan pakaian tradisionalnya iaitu saree. Betul atau tidak? Malah ketika kecil saya sering mendengar jenaka mengenai aci² ini. Mereka dikatakan membeli kain sehingga 10 ela panjangnya untuk membuat baju. Tetapi setelah siap bajunya, tetap tidak cukup kain sehingga menampakkan pusat.

Tetapi itu lebih kurang 20 tahun dahulu. Hari ini, di bandar² besar seperti KL dan JB, pemandangan seperti itu masih lagi wujud. Hanya, yang memakainya bukanlah lagi aci² yang baru keluar dari estet, sebaliknya gadis² Melayu yang berbangga dengan kedudukan mereka sebagai warga kota. Ya… Gadis Melayu. Warga kota. Mungkinkah mereka ini yang peribadinya diabadikan di dalam lagu Othman Hamzah tadi?

Seperti mana yang tertulis di dalam perlembagaan, seorang Melayu itu mestilah Islam. Apabila disebut Islam, sepatutnya yang tertera di hadapan mata kita tentulah seorang gadis yang menjaga aurahnya. Sekalipun mungkin tidak sehebat keperibadian Fatimah Binti Muhammad (r.anha), tetapi sekurang²nya bukanlah seperti Saraswathy atau Teynmoli. Tetapi cubalah lihat hari ini. Jika definisi itu diambil kira, masih wujudkah gadis Melayu di negara kita hari ini?

Saya adalah pengguna tetap sistem transit aliran ringan atau LRT jika setiap kali ke Kuala Lumpur. Dan biasanya saya ke Kuala Lumpur atas urusan pekerjaan seperti kursus ataupun mesyuarat. Sudahpun dinamakan kursus, tentu sekali permulaan waktunya adalah sama seperti waktu pejabat syarikat² lain. Jadi, saya terpaksa berebut² menaiki LRT bersama dengan warga KL yang memenuhi rutin harian mereka. Begitu juga waktu pulang.

Manaiki LRT di waktu pergi dan pulang pejabat bukanlah pengalaman yang menarik. Saya berasa cukup tidak selesa terpaksa berasak² dan berebut ketika menaiki dan terpaksa pula berhimpit² ketika di dalamnya. Setiap kali berada di dalam LRT, saya pasti akan terkenangkan Bas Mini yang telah ditamatkan perkhidmatannya bagi memberi laluan kepada Intrakota. Dengan pengalaman begini, rasanya LRT dan Bas Mini tidak jauh bezanya.

Apa yang membuatkan saya tidak selesa ketika berhimpit² itu ialah kerana percampuran lelaki dan perempuan. Maklumlah, saya ini lelaki yang masih muda dan, ehem, sihat. Sudah pastilah dalam keadaan ‘sardin’ seperti itu akan memudahkan tugas syaitan untuk menggoda. Manakan tidak, gerak ke kanan, terasa lembut. Gerak ke kiri pun terasa lembut juga. Mula² memang mengelak. Lama² sedap pula… Mereka tidak terasakah?

Timbul pula di kotak pemikiran saya. Rasanya sudah masanya untuk kerajaan atau syarikat berkaitan menyediakan sebuah tren ataupun gerabak khas untuk mengangkut penumpang perempuan sahaja. Iyalah… Kalau hendak disalahkan mereka sahaja, tentu sekali tidak adil. Mereka terpaksa bergegas mencari rezeki. Hendak atau tidak, suka atau tidak, mereka terpaksa mengikut sahaja. Di sinilah letaknya peranan sebuah kerajaan yang baik.

Lihatlah. Demi menjana sebuah kehidupan di tengah kotaraya yang begitu tinggi sara hidupnya, gadis² Melayu kita terpaksa menggadaikan keMelayuan mereka. Gadis Melayu yang terkenal dengan sifat pemalunya kini sama sahaja dengan gadis² dari bangsa yang lain. Iya, mungkin dari segi berhimpit di LRT bukan satu pilihan. Tetapi dari segi pemakaian, kebanyakan gadis kita pakaian mereka tidak lebih seperti seorang aci di tahun² 1980an dahulu.

Jadi sekarang ini, saya dapat membuat satu kesimpulan. Ketika Othman Hamzah mendendangkan lagu ini sekitar awal 80an dulu, ia memangnya sebuah kisah yang nyata. Tetapi ketika Jamal Abdillah dan Mawi mendendangkan semula 20 tahun kemudian, ia telah menjadi sebuah kisah lagenda. Kewujudannya diakui tetapi ia sudah tidak ada lagi. Atau lebih tepat dipanggil sebagai spesis terancam. Masih wujud tetapi terlalu sedikit bilangannya.

Kerajaan kita dengan usaha WWF telah bekerja keras demi menyelamatkan spesis penyu belimbing dan orang utan yang sedang terancam. Juga hidupan² liar yang lain. Berbagai² acara dianjurkan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai akan kebahayaan ini. Tidak ketinggalan diwartakan beberapa undang² bertujuan mendakwa barang siapa yang cuba menambah burukkan lagi kepupusan yang sedia ada ini.

Tetapi dalam hal gadis Melayu ini, bukan sahaja tidak berusaha gigih untuk menyelamatkan spesis ini dari terus pupus, malah turut sama menyumbang dengan memberikan lesen berterusan kepada mana² syarikat yang menganjurkan acara² pemupusan secara besar²an. Sedih juga saya. Mana tidaknya. Apakah kita dapat bertemu dengan gadis² Melayu di Karnival TV3 atau Sure Heboh? Atau mungkin di kompleks membeli belah ketika promosi seseorang artis?

Tidak. Bukan gadis Melayu di situ. Walaupun ramai yang bertudung, tetapi mereka terjerit² bagaikan orang kematian suami. Itu gadis Melayukah? Mereka tetap duduk termenung di hadapan pentas menatap wajah artis kesayangan mereka hingga lupa masuknya waktu solat. Tidak ketinggalan yang berkepit dengan jantan, bepeluk untuk duduk di bawah satu payung tatkala hujan. Itukah gadis Melayu?

Sebenarnya konsert² dan karnival² seperti itu lebih menyumbang kepada keruntuhan sosial dan akhlak remaja Melayu Islam. Bukannya membawa apa² kebaikan pun. Jadi sebenarnya jika kita hendak menyelamatkan gadis Melayu dari terus pupus, kita harus matikan terus acara² maksiat seperti ini. Jika tidak, gadis Melayu akan hanya tinggal lagu. Tinggal lagenda. Tinggal sejarah. Sama seperti kisah Mahsuri. Tidak tahu benar palsunya kewujudannya.

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.