Pembangunan, Alam Sekitar & Subsidi
Terasa lama benar saya tidak menulis. Terlalu banyak urusan saya kebelakangan ini. Hari Selasa lalu, sebaik kembali dari laut, saya bergegas ke Kuala Lumpur pada malam itu juga kerana terpaksa menghadiri kursus yang diadakan pada keesokan harinya. Jika diikutkan memang letih. Tetapi mengenangkan saya juga sebenarnya bertujuan hendak ke Plaza Low Yat, maka saya jadi bagai terpaksa dalam rela.
Keesokannya, saya merancanh untuk ke Low Yat bersama seorang teman yang juga ingin mencari sesuatu. Tetapi entah bagaimana, teman saya tadi terlupa untuk menutup cermin tingkapnya. Dia yang pada awalnya ceria menjadi murah. Akhirnya dia memberitahu saya tidak jadi untuk pergi bersama saya. “Aku hantar engkau sajalah. Lepas tu aku balik…” tutur teman saya dalam nada sedih.
Tetapi saya rasakan cara itu akan menyusahkannya. Lalu saya minta diturunkan di tepi sebuah lebuhraya yang sedang sesak (yang saya tidak tahu namanya). Kemudian saya akan mengambil teksi untuk ke Low Yat. Tetapi sementara saya berjalan menuju ke perhentian teksi, saya tiba² bertukar fikiran dan bercadang untuk ke Chow Kit pula kemudian baru ke Low Yat. Lalu saya menahan sebuah taksi yang lalu.
“Chow Kit bang?”. Menggeleng. Tidak mengapalah. Mungkin dia hendak ke tempat lain. Kemudian lalu lau sebuah teksi. Kemudian sebuah lagi dan sebuah lagi. Teksi demi taksi saya tahan namun semuanya menggelengkan kepala apabila mendengar nama Chow Kit. Di dalam hati terasa menyesal pula tidak membiarkan teman saya menghantar saya terus ke Low Yat. Ah. Apa sangatlah menunggu teksi berbanding teman saya yang terpaksa duduk atas kerusi basah.
Saya menahan sebuah lagi teksi. Tetapi kali ini saya meminta dihantarkan ke Plaza Low Yat terus. Barulah saya lihat pemandu itu mengangguk. Sebaik duduk di kerusi penumpang, saya tanyakan kepada pemandu tersebut “Teksi di sini tidak mahu menghantar orang ke Chow Kit kah?” Pemandu itu terdiam sebentar sebelum menjawab “Jalan jem bang. Tapi saya tak kira. Janji duit masuk…”
Kemudian kami mula berbual pelbagai tentang pelbagai isu sekitar pemandu teksi. Dari perbualannya, saya dapat rasakan dia bukanlah seorang penyokong kerajaan. Tidak mengapalah. Itu bukan isunya. Akan tetapi yang sebenarnya saya tertarik dengan bebarapa isu yang diketengahkannya. Hm… Saya bukanlah hendak berbicara tentang politik di sini. Hanya ingin berkongsi dengan saudara² tentang beberapa perkara yang saya kirakan menarik.
Menurut pemandu teksi itu, dia tidak faham mengapa setelah menggunakan meter yang baru, ianya seakan bergerak semakin perlahan ketika jalan sesak. Ini menyebabkan kebanyakan pemandu teksi menanggung kerugian jika membawa penumpang ketika jalan sesak. Berbanding dengan teksi di lura negara, semakin sesak jalan, semakin banyak pemandu teksi mengaut keuntungan. Dari mana dia tahu tentang fakta itu tidak pula saya tanyakan.
Katanya lagi, seolah² apa yang kerajaan mahukan ialah agar semua pemandu teksi meninggalkan kerjaya mereka. Mengapa pula, tanya saya. Kerana kerajaan mahu syarikat LRT dan pengusaha bas awam seperti PutraLine terus hidup. Teksi merupakan persaingan ketat bagi mereka. Sekali dengar pastinya kita bagai hendak tergelak tetapi jika difikirkan semula, rasanya tidak mustahil untuk seorang pemandu teksi berfikiran seperti beliau.
Saya tidak pastilah sama ada apa yang Didakwanya itu betul atau tidak. Tetapi apa yang saya pasti, memang pemandu teksi tersepit di tengah² pembangunan Kuala Lumpur. Mungkin bagi kita pengguna, kita merasakan beban yang tertanggung sekiranya tambang teksi dinaikkan. Akan tetapi, apakah kita rasa pemandu teksi dapat menanggung beban apabila harga minyak dinaikkan?
Pada fikiran saya bukanlah perkara yang logik sekiranya harga minyak terus²an dinaikkan tetapi dalam masa yang sama kerajaan sibuk meminta pelbagai pihak yang mengusahakan perniagaan berasaskan kenderaan agar tidak menaikkan tambang mereka. Umpama kita yang mengeluh apabila kenaikan harga barang tidak dituruti dengan kenaikan gaji. Dengan pelbagai cerita yang dikongsikannya dengan saya, rasa simpati terus bertapak di hati saya.
Sememangnya saya meragui kredibiliti barisan pemimpin yang merupakan golongan eksekutif di dalm negara kita. Maaflah, saya bukan mahir tentang politik. Tetapi sebagai rakyat terbanyak yang mengalami kesan lansung dari kenaikan harga minyak yang diikuti harga barang yang lain, saya sebenarnya merasa pelik yang amat sangat apabila kerajaan tetap ingin menaikkan lagi harga minyak. Seolah²nya tidak mendengar keluhan golongan pertengahan.
Mengapa subsidi harus dijadika alasan? Bagi saya, subsidi adalah hak kita. Hak rakyat yang membangunkan negara? Jika PM merasakan gaji sebanyak RM24,000 itu haknya atas kesusahan yang ditanggungnya menggalas tanggungjawab sebagai kepala negara, subsidi itu juga adalah hak kita yang bersusah payah bekerja dengan gaji yang tidak seberapa, berkorban semata² supaya pelabur asing berterusan berkunjung ke negara kita.
Teringat pula saya ketika di hari kursus terbabit. Sebenarnya kursus itu di antara lainnya mengingatkan kami tentang kesan industri minyal terhadap alam sekitar. Pelbagai topik dibincangkan dan ini termasuklah perihal perbuatan syarikat² kecil yang membuang sisa toksik di ‘belakang² rumah orang’. Menurut fasilitator kami, kos untuk melupuskan sisa tosik itu adalah terlalu mahal.
Bagi syarikat kami yang bertaraf antarabangsa, perbelanjaan itu tidak membebankan. Tetapi bagaimana pula dengan syarikat² yang kecil? Maka kerana itulah mereka bertindak melupuskannya di tempat² yang ‘lebih selamat’. Bagi saya, jika benar kerajaan benar² mengambil berat tentang alam sekitar, tentu boleh disediakan subsidi bagi syarikat² kecil bertaraf bumiputera bagi membantu mereka melupuskan sisa toksik mereka.
Tetapi kerajaan telah menjadi begitu fobia dengan perkataan subsidi. Sibuk dilaungkan di sana sini supaya jangan men jadi bangsa subsidi, iaitu bangsa yang tidak pandai berdikari. Tetapi subsidi bukanlah persoalan berdikari atau tidak. Sebaliknya ia persoalan tentang keselamatan alam sekitar kita. Jika para menteri kabinet & ahli² parlimen boleh dibayar dengan gaji yang melampau besarnya, mengapa tidak boleh berkorban untuk generasi masa hadapan kita sendiri?
Maaflah jika ada yang tidak menggemari dengan apa yang saya tulis hari ini. Namun hidup saya yang banyak berjalan ke sana dan ke mari memberikan saya peluang untuk melihat masyarakat dengan lebih dekat lagi. Benar Kuala Lumpur sebuah bandaraya yang pesat membangun. Terlalu banyak bangunan² mewah dan canggih terdapat di sana dan sini. Tetapi alangkah sedihnya apabila bangunan yang mewah dan canggih itu tidak mampu menampung kehidupan warganya.
Di tengah² pembangunan yang pesat, golongan marhen terus²an hidup terhimpit. Jika Saiyidina Umar ra masih hidup, pastinya beliau akan menangis melihat kepimpinan Islam hari ini yang jelas bertentangan dengan sifatnya yang terlalu sayangkan golongan muslim di bawahnya…
No comments:
Post a Comment