14 February 2006

Menyucikan Niat


Dalam artikel semalam saya bercerita tentang matlamat penulisan saya. Kata isteri saya artikel semalam lain daripada biasa. Hm... Sebenarnya semalam itu kisah benar. Memang ia perbualan yang berlaku dalam hati saya. Dan sebenarnya juga, malam tadi sahaja saya telah menulis dua artikel lain yang kemudiannya saya padamkan terus kerana tidak berpuas hati. Kerana gagal menyampaikan apa yang ingin saya sampaikan.

Terasa bagaikan ada yang tidak kena pada diri saya. Mungkinkah Allah telah menarik semula kebolehan saya? Maka saya pun melakukan muhasabah. Bertanya niat saya menulis dari mula, pada pertengahan dan dipenghujung perbuatan saya. Alhamdulillah... Niat saya masih belum terpesong walaupun nyaris² terjadi. Semuanya hanyalah godaan syaitan. Allah mengizinkan syaitan menggoda saya sebagai ujian dariNya.

Begitulah hidup kita. Ujian akan sentiasa datang dari masa ke semasa. Syaitan juga akan terus menggoda hinggalah kita tergolong sebagai salah seorang dari golongannya. Maka kerana itu kita perlu mulakan sesuatu dengan bacaan 'Bismillah'. Semoga Allah akan bersama dengan kita setiap masa. Kerana bukan mudah untuk mengawal perasaan sendiri. Maka berpada²lah dalam
memberi dan menerima pujian...

Sesungguhnya pujian itu umpama dadah. Boleh buat kita khayal. Memang seronok. Tetapi akhirnya kita ketagihan. Dan akan menjadi tidak keruan apabila tidak mendapatnya. Itu yang bahayanya. Kerana lama kelamaan ia akan memusnahkan diri kita. Memusnahkan niat yang pada asalnya suci. Berlebihan memberi pujian mungkin akan menimbulkan perasaan riak di hati orang yang dipuji.

Saya teringat kepada teman saya yang kurang bersetuju dengan penerangan seorang ustaz. Menurut ustaz itu, jika kita biasa melakukan sesuatu perkara yang baik, kemudian disebabkan kehadiran orang berhampiran itu perkara baik itu kita tinggalkan kerana bimbang akan menjadi riak, sebenarnya itulah yang dinamakan riak. Apabila saya mengiyakan kata ustaz tersebut, teman saya menjadi seakan tidak berpuas hati.

Benarlah. Sebagai contoh, apabila saya bekerja shift malam, biasanya selepas maghrib tidak akan ada sesiapa yang akan masuk ke bilik kawalan (control room) kami. Jadi pada kebiasaannya saya akan luangkan masa untuk membaca al-Quran. Tetapi apabila ada orang masuk ke bilik kawalan selepas maghrib, saya tidak jadi mengaji. Alasannya kerana saya bimbang orang akan mengatakan saya baik.

Mana datang perasaan bahawa orang akan mengatakan saya ini baik? Hm... Dari sifat riaklah. Jadi, betul atau tidak jika saya berhenti berbuat sesuatu amalan hanya kerana bimbang orang kata saya baik itu menunjukkan saya riak? Betul, bukan? Jadinya, untuk mengelak perasaan riak, saya harus meneruskan amalan saya seperti biasa. Supaya saya jadi biasa dengan keadaan itu. Supaya saya boleh yakinkan diri bahawa saya beribadah semata² kerana Allah.

Namun untuk menetapkan hati berbuat sesuatu kebaikan hanya semata² kerana Allah bukanlah semudah ABC. Banyak perkara perlu kita lakukan. Terus terang, saya belum benar² mencapai tahap ini. Setiap detik, pasti ada saja ujian yang 'dikirimkan' bagi menguji sejauh mana kebenaran niat kita itu. Kadangkala kita jadi hilang punca apabila diasak dengan ujian yang bertali arus begitu.

Saya bukan wali. Apatah lagi Nabi. Jadi saya memang tidak terlepas dari melakukan dosa. Dan, niat saya pun kadangkala terlari juga dari landasan asal. Selalunya akibat pujian. Pujianlah yang sering menjadi racun kepada pohon ibadah kita. Kerana itu ketika menderma, seeloknya apabila tangan kanan memberi, biar sampai tangan kiri tidak melihat. Sekarang bukan setakat tangan kiri, seluruh negara melihat melalui media yang sengaja dipanggil.

Teringat saya suatu ketika saya keluar makan bersama teman² saya di Keramat. Sedang kami menunggu pesanan makanan kami, datang seorang tua menghulurkan tangan meminta bantuan. Ketika teman² lain menggeleng, saya keluarkan RM1 (satu ringgit sahaja!) dan letakkan di tangannya. Selepas perempuan tua itu beredar, kami menyambung semula perbualan kami seperti biasa.

Seketika kemudian, muncul pula seorang perempuan muda bersama anak kecil datang ke meja kami membawa satu bakul. Di dalam bakulnya saya lihat berbagai² jenis kerepek. Dari percakapannya, saya rasakan dia seorang warga Indonesia. Sekali lagi, teman² saya hanya menggelengkan kepala. Saya ambil dua bungkus kerepek dan memberinya RM2 (dua ringgit sahaja!), seringgit bagi setiap bungkus.

Sambil itu saya mengusik² anaknya. Sempat juga saya katakan kepadanya saya suka dengan sifatnya yang pandai mencari wang dan sanggup meredah kesejukan malam. Kemudian saya hulurkan pula RM1 (satu ringgit sahaja!) kepadanya anaknya yang comel. Selepas dia berlalu, perbualan kami bersambung seperti sedia kala. Saya kira segalanya akan habis di situ. Tidak akan diungkit² lagi.

Tetapi lewat kemudian, ketika kami berbual² kosong di dalam kereta semasa perjalanan pulang ke hotel, teman saya menegur saya. Dia mengatakan tidak pernah berjumpa dengan anak muda sepemurah saya. Mulanya saya tidak faham. Lama kemudian barulah saya mengerti. Rupanya dia memuji perbuatan saya berderma RM4 tadi (sebenarnya saya derma RM2 sahaja. RM2 lagi saya beli kerepek yang tidak ada siapa hendak makan).

Terus saya menegur teman saya. Saya katakan dia telah merosakkan amalan saya. Lihatlah. Pujiannya yang tidak sampai 5 minit telah membuatkan saya teringat amal RM2 saya tadi selama 4 tahun. Saya yakin amalan saya tadi tidak dikira. Kerana, walaupun dibibir saya menolak pujian, tetapi adalah menipu jika saya katakan saya tidak 'kembang' dengan pujian itu. Bukankah tidak berbaloi untuk mengingatkan amal sekecil itu untuk selama ini.

Kerana itu penting untuk memeriksa niat kita di akhir perbuatan. Bahkan selepas perbuatan kita. Kerana kadangkala sebelum berbuat sesuatu amal, niat kita telah sempurna. Kemudian ketika amal itu sedang kita lakukan, niat masih lagi betul. Akan tetapi jika di akhir perbuatan niat kita terpesong, amal itu akan tetap jadi sia². Maka itu ingin saya tekankan, berpadalah dalam memberi pujian dan berwaspadalah dalam menerima pujian.

Dipuji orang itu memang menyeronokkan. Tetapi dipuji Pemilik Segala Pujian itu adalah jauh lebih menyeronokkan. Jika kita lakukan sesuatu amal demi mengharapkan pujian manusia, insyaAllah akan dikabulkan. Hidup kita akan disanjung. Tetapi sayang sekali, di hadapan Penguasa Segala Penguasa nanti, kita akan dihina sehina²nya. Wana'uzubillah. Peringatan ini adalah untuk kita semua terutamanya diri saya sendiri...

Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan. (Quran surah Hud 11:15-16)

No comments:

Diari Abu Naqibah telah mula beroperasi semenjak 28 Disember 2005.